Ahad, 31 Mei 2009

FATWA TENTANG AMALAN MEROKOK


Syaikh Muhammad al-Aini dalam bukunya, Fatwa Syurbi al-Dukhan (Hukum Menghisap Rokok) dan Nasihah al-Insan menjelaskan bahawa merokok adalah haram kerana salah satu faktor berikut:

  • Ia memudaratkan kesihatan yang disepakati oleh doktor pakar. Menurutnya, setiap yang memudaratkan kesihatan adalah haram. Ia disepakati doktor bahawa penggunaannya boleh melesukan badan sedangkan perbuatan itu dilarang berdasarkan hadis riwayat Imam Ahmad yang menyebut kalimah ‘muftirun’ (yang melesukan).

  • Baunya yang busuk (serta beracun boleh meresap ke otak) sehingga boleh memberi kesan kepada orang lain yang tidak merokok sama ada daripada kalangan manusia mahupun malaikat. Larangan ini berpandu kepada hadis riwayat Bukhari dan Muslim tentang perintah Nabi Muhamad supaya mengeluarkan orang yang makan bawang mentah dari masjid.

  • Membazir tidak memberi faedah, malah memudaratkan. Pengharaman perkara melampau dan berbahaya itu selari dengan pendapat akal manusia. Al-Quran menyebut bahawa orang yang membazir itu adalah saudara syaitan.


FAKTA MEMBIMBANGKAN TENTANG MEROKOK

* 50% daripada golongan lelaki di Malaysia adalah perokok.
* Di Kuala Lumpur, nisbah antara perokok lelaki dan wanita di bawah umur 30 tahun adalah 5:1.
* Kadar perokok daripada golongan remaja dan wanita semakin meningkat. 25% daripada pelajar sekolah berumur 15 tahun ke atas pernah mencuba merokok dan 70% daripada kumpulan ini akan menjadi perokok tegar apabila meninggalkan bangku sekolah.
* 60-75% daripada asap rokok akan disedut oleh orang yang tidak merokok.
* Hanya 50% perokok akan dapat menjangkau umur 70 tahun.
* Rakyat Malaysia membelanjakan RM1.5 bilion setiap tahun untuk membeli rokok.

Sumber :http://www.myhealth.gov.my/

ROKOK TANPA GRAFIK AMARAN DIRAMPAS


Oleh Hafizah Iszahanid

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan merampas rokok yang dijual tanpa amaran bergambar pada kotaknya di seluruh negara mulai esok, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Serentak itu, katanya, pembekal, pengedar dan penjual rokok sudah tidak mempunyai alasan lagi untuk merayu kepada kementerian kerana arahan itu sudah dikeluarkan secara berperingkat sejak 2008.

Beliau berkata, alasan menjual rokok dalam bungkusan lama juga tidak dibenarkan selaras peruntukan mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2008.

Peraturan Kementerian Kesihatan mewajibkan pembungkusan rokok mesti mengandungi 40 peratus grafik yang dicetak di kotak depan dan 60 peratus dipamerkan di belakang kotak. Enam gambar yang digunakan membabitkan komplikasi merokok, antaranya barah paru-paru, keguguran janin, bayi pramatang, barah mulut dan gangren.

Liow berkata, pengilang atau penjual yang gagal mematuhi peraturan itu boleh dihukum denda RM10,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

"Daripada maklum balas, amaran bergambar ini memberi kesan psikologi kepada perokok dan bukan perokok. Penguatkuasaan ini akan diperhebatkan di seluruh negara," katanya pada sidang media sempena Hari Tembakau Sedunia peringkat kebangsaan di sini, semalam.

Ketika ini, ada 2.73 juta perokok di seluruh negara dengan 33 juta rokok dihisap sehari membabitkan pembelian berjumlah RM8.6 juta sehari, manakala ada 103,629 perokok remaja di Malaysia yang membelanjakan RM272,132 sehari untuk membeli rokok.


Sementara itu, Liow berkata, walaupun Malaysia diisytihar bebas daripada wabak Influenza A (H1N1), orang ramai dinasihat sentiasa peka dengan kesihatan diri dan mengamalkan penjagaan kebersihan diri sebaik mungkin.

Katanya, H1N1 pantas merebak dan mudah berjangkit. Sehingga kini 53 buah negara disahkan berhadapan dengan H1N1 membabitkan 15,510 kes termasuk 99 kematian.

"Walaupun kematian akibat H1N1 hanya satu peratus tetapi jangan ambil mudah kerana ia cepat merebak dan mudah berjangkit," katanya.


Sumber : http://www.bharian.com.m
y/


KEPULAN PENYAKIT


BERMULA dengan ingin mencuba merokok seperti yang dilihat dalam filem atau di kalangan golongan dewasa, seorang remaja mungkin kekal sebagai perokok tegar seumur hidupnya. Jika seseorang mula dengan menghisap banyak rokok secara mendadak, ia sebenarnya mampu menjadikannya khayal atau membunuh jika tahap nikotina dan kimia tembakau terlalu tinggi di dalam badan.

Bagaimanapun, jika tabiat buruk itu dimulakan secara perlahan, badan akan dapat menyesuaikan diri dengan kandungan racun rokok sehingga mampu menghisap puluhan batang rokok sehari. Dengan penyesuaian terhadap tahap ketepuan nikotina dan bahan sampingan yang tinggi ini, pasti amat sukar untuk berhenti menghisap rokok.

PEMBAWA PENYAKIT

Sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia hari ini, sekali lagi 'amaran kesihatan tembakau' ditekankan supaya lebih ramai perokok dan ahli keluarga mereka yang sedar merokok menjadi punca utama penyakit dan kematian yang boleh dicegah.

Pakar Perunding Kardiologi dan Pengarah Klinikal Pemulihan Jantung, Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr. Aizai Azan Abdul Rahim menceritakan bagaimana rokok mula diperkenalkan sebagai ubat asma, alahan dan nafas berbau pada awal abad ke-20.

"Pada awalnya, para doktor sendiri mengesyorkan rokok untuk bermacam jenis penyakit pada 1920-an dan 1930-an. Bagaimanapun, dengan penemuan risiko dan kesan rokok, doktor mula menolak amalan merokok," katanya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan sekitar 100 juta maut sepanjang abad ke-20 akibat penggunaan tembakau dengan jangkaan lebih 1 bilion lagi akan mati sepanjang abad ke-21 jika jumlah perokok kekal, atau semakin bertambah dengan perokok muda.

Kini, dianggarkan seorang perokok (atau perokok pasif) meninggal dunia setiap 6 saat akibat penyakit berkaitan tembakau. Sebanyak 5.4 juta menemui ajal setiap tahun akibat tembakau, jauh lebih banyak daripada jumlah bersama maut akibat tibi, HIV, malaria, kemalangan, dadah atau pembunuhan.

Dr. Aizai Azan menegaskan lebih 80 peratus kematian akibat tembakau akan berlaku di negara membangun menjelang 2030 jika tindakan segera tidak diambil.

"Walaupun tabiat merokok di Barat mengalami penurunan mendadak, bilangan perokok di negara membangun seperti di Asia dan Malaysia pula makin meningkat.

"Dengan lebih 4,000 bahan kimia serta 250 bahan toksin dan juga karsinogen (penyebab kanser) dalam tembakau, tidak menghairankan enam daripada lapan punca kematian utama dunia berkaitan dengan tembakau," ujarnya.

Secara umumnya, merokok meningkatkan risiko serangan jantung dua kali ganda, kematian mengejut akibat penyakit jantung (empat kali ganda) dan strok (tiga kali ganda). Merokok juga meningkatkan risiko kanser paru-paru sebanyak 20 kali ganda dan menjadi punca 90 peratus kanser paru-paru dan 75 peratus penyakit sumbatan pulmonari kronik (COPD).

SITUASI TEMPATAN

Di Malaysia, situasi semasa menunjukkan berita baik dan juga berita buruk. Dr. Aizai Azan memaklumkan kebanyakan rakyat negara ini tidak merokok dengan catatan sekitar 3 juta perokok di Malaysia pada 2006.

"Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi negara juga menunjukkan sekitar 10,000 perokok berhenti merokok sepenuhnya setiap tahun.

"Malangnya, ramai rakyat Malaysia yang menghadapi risiko penyakit dengan menjadi perokok pasif dari asap perokok," jelasnya.

Tambahan pula katanya, bilangan 10,000 yang berhenti merokok setiap tahun itu sebenarnya mungkin telah meninggal dunia akibat penyakit berkaitan tembakau (penyakit kardiovaskular, kanser, strok dan COPD).

Sebahagian besar perokok didapati pernah cuba untuk berhenti tetapi gagal kerana kurangnya bantuan. Walaupun kebanyakan perokok adalah lelaki, peningkatan bilangan perokok wanita amat membimbangkan. Ini kerana perokok (atau perokok pasif) menghadapi risiko kesihatan lebih tinggi, terutamanya jika mereka turut menggunakan ubat pencegah kehamilan.

Dr. Aizai Azan menyatakan risiko tinggi menunjukkan kepentingan perokok wanita berhenti merokok dengan segera.

"Badan memerlukan 15 tahun untuk membuang sepenuhnya toksin tembakau dari dalam badan. Berhenti merokok juga dilihat jauh lebih berkesan daripada ubat atau senaman untuk meningkatkan kesihatan diri.

"Lebih banyak manfaat dapat dinikmati jika perokok berhenti dengan segera, sebelum berlaku kerosakan kekal dan ketagihan tegar," katanya.

USAHA BERHENTI

Pengarah Serantau Urusan Perubatan Pfizer, Dr. Alaster Allum menjelaskan bagaimana kebanyakan perokok memikirkan risiko merokok cuma dihadapi orang lain dan bukan diri mereka.

"Sebagai perokok, mereka perlu sedar bahawa mereka mungkin sempat melihat anak ke kolej atau berkahwin, tetapi kemungkinan besar mereka tidak berkesempatan melihat cucu.

"Perlu difahami bahawa jika perokok cuma menghisap satu atau dua batang rokok sehari, ianya atas dasar pilihan sendiri. Tetapi, jika sehingga satu kotak sehari, itu sejenis ketagihan," tegasnya.

Kebiasaannya, perokok akan memulakan hari dengan sebatang rokok, mungkin bersama secawan kopi atau sarapan pagi, yang memberi kepuasan besar selepas semalaman tidak merokok. Jika perokok itu cuba berhenti merokok, mereka akan merasa tarikan amat kuat untuk merokok ketika menikmati kopi atau sarapan pagi.

Dengan kehadiran masalah dalam hidup seharian, usaha untuk berhenti mungkin gagal. Bila perokok mula merokok semula, rokok pertama itu bagaikan rokok paling nikmat dalam hidupnya. Rasa nikmat ini seterusnya menyukarkan lagi usaha perokok untuk berhenti.

Dr. Allum menjelaskan keazaman diri atau berhenti mendadak (cold turkey) cuma berkesan untuk peratusan kecil perokok berhenti merokok.

"Terdapat banyak ubat mahupun terapi gantian nikotina (NRT) di pasaran yang boleh digunakan bagi membantu seseorang berhenti merokok.

"Ubat terbaru, varenicline, merupakan antara yang mampu membantu meningkatkan kebarangkalian perokok tegar berhenti merokok," jelasnya.

Menurut beliau, ujian percubaan ubat tersebut menunjukkan kebarangkalian sehingga 44 peratus untuk membantu berhenti merokok selepas 12 minggu rawatan. Walaupun tidak sampai 50 peratus, kebarangkalian tersebut jauh lebih tinggi berbanding peratusan amat rendah berhenti atas keazaman diri semata-mata.

Dengan berpandukan ujian darah, tahap karbon monoksida badan dan ujian-ujian lain, bentuk ketagihan perokok dapat ditentukan bagi menentukan kaedah rawatan yang sesuai (NRT atau terapi ubat). Usia dan tempoh merokok juga akan menentukan bentuk dan keberkesanan rawatan.

PERLU BERTANYA

Dr. Allum memaklumkan bahawa bukan semua doktor akan merawat perokok tegar. Sebenarnya golongan doktor dan juga ahli farmasi perlu bertanya jika seseorang itu ingin berhenti merokok.

"Sama ada ya atau tidak, dengan bertanya sudah banyak membantu seorang perokok tegar ke arah berhenti merokok.

"Dari situ, bermacam jenis ubat boleh digunakan untuk membantu mereka berhenti, bila tiba masa keinginan untuk berhenti merokok," katanya.

Hidup tiada kepastian. Dr. Allum menyamakan bagaimana golongan yang suka melakukan aktiviti berbahaya bukan semuanya mati.

Bagaimanapun beliau menegaskan seorang perokok sudah pasti memendekkan 10 tahun hayatnya.

Bagi Dr. Aizai Azan, pilihan bermacam jenis ubat di pasaran perlu disertakan dengan sesi kaunseling lebih berkesan dalam membantu seseorang berhenti merokok.

"Banyak faktor sampingan yang memainkan peranan dalam menentukan perokok berjaya atau gagal berhenti merokok.

"Gabungan ubat dan kaunseling bagaimanapun cuma memberi sehingga 50 peratus kebarangkalian berjaya berhenti. Disebabkan itu, kebanyakan perokok secara puratanya hanya berjaya berhenti selepas tiga kali mencuba," jelasnya.

Apa yang penting tegasnya, adalah meneruskan usaha untuk berhenti kerana tiada dua perokok yang sama dan tiada satu program yang sesuai untuk semua berhenti merokok.

Jika perokok kembali kepada tabiat buruk itu, mereka boleh memulakan semula sesi rawatan dan kaunseling. Untuk itu, doktor dan ahli farmasi juga perlu memberi nasihat mengenai pilihan yang ada dan membantu perokok berhenti sepenuhnya.

Dr. Aizai Azan memaklumkan IJN sendiri telah membuka klinik berhenti merokok sejak dua bulan lalu sebagai pusat sehenti bagi membantu menasihat dan memberi terapi bagi yang ingin berhenti merokok.

"Klinik ini bagaimanapun tidak diuruskan oleh para doktor, sebaliknya oleh jururawat terlatih dalam membantu menentukan rawatan bersesuaian mengikut situasi perokok.

"Ini berikutan pesakit dilihat memberi tindak balas lebih baik dalam hubungan bersama kakitangan kesihatan berbanding doktor. Dengan menggunakan jalinan hubungan ini, diharap perokok lebih mudah dibantu untuk berhenti," ujarnya.

Golongan perokok yang ingin berhenti atau ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi talian utama IJN 03-26178200 atau menghubungi mana-mana klinik berhenti merokok berhampiran, doktor, mahupun ahli farmasi.

Sumber : http://www.utusan.com.my/


Jumaat, 29 Mei 2009

SUBJEK TERAS DIKURANG

Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my

Calon SPM boleh ambil lebih banyak mata pelajaran elektif ikut pengkhususan

KUALA LUMPUR: Bilangan subjek teras Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan dikurangkan kepada tiga atau empat, berbanding enam sekarang selaras keputusan mengehadkan maksimum 10 mata pelajaran yang boleh diambil calon peperiksaan itu, mulai tahun depan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata pengurangan subjek teras itu akan membolehkan calon SPM dalam semua aliran pendidikan, termasuk agama mengambil lebih banyak mata pelajaran elektif mengikut keperluan bidang pengkhususan dan minat masing-masing.

Ketika ini, calon SPM wajib mengambil enam mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik, Sejarah dan Pendidikan Islam/Pendidikan Moral.

"Apabila jumlah mata pelajaran teras dikurangkan kepada tiga atau empat, setiap calon akan dikehendaki mengambil minimum enam sehingga maksimum 10 subjek dalam peperiksaan itu.

"Ini bermakna calon masih berpeluang mengambil beberapa subjek elektif lain yang diminati tanpa perlu mengorbankan pemilihan mata pelajaran elektif dalam bidang pengkhususan mereka," katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau memberi contoh, calon dalam aliran sains dapat mengambil mata pelajaran elektif Biologi, Kimia, Fizik serta Matematik Tambahan dan pada masa sama boleh memilih dua atau tiga subjek lain yang di luar bidang aliran pendidikan mereka seperti Prinsip Perakaunan dan Ekonomi Asas.

Alimuddin berkata, calon dari aliran agama juga mempunyai peluang mengambil subjek yang mencukupi dalam bidang pengkhususan mereka, seperti Tasawwur Islam, Bahasa Arab Tinggi, Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah serta Pendidikan Syariah Islamiah.

Beliau mengulas kebimbangan ibu bapa dan pelajar aliran agama mengenai kekangan untuk mengambil mata pelajaran elektif dalam bidang pengkhususan mereka berikutan keputusan Kementerian Pelajaran mengehadkan pengambilan maksimum 10 subjek dalam SPM yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kelmarin.

Kebimbangan sama turut disuarakan ibu bapa dan badan bukan kerajaan (NGO) masyarakat India ketika mengadakan pertemuan dengan Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu.

Samy Vellu dalam kenyataannya semalam, meminta Kementerian Pelajaran mengkaji semula peraturan itu kerana berpendapat ia akan menghalang pelajar keturunan India daripada mengambil kedua-dua kertas Bahasa Tamil dan Kesusasteraan Tamil dalam peperiksaan itu.

Mengenai subjek teras yang akan dikeluarkan dan dijadikan mata pelajaran elektif, Alimuddin berkata ia masih terbuka kepada sebarang pandangan daripada pihak lain.

"Kementerian dalam peringkat akhir menambah baik keseluruhan cadangan penstrukturan semula SPM, termasuk dari segi penentuan mata pelajaran teras serta sistem penggredan peperiksaan itu, yang dijangka siap dalam satu atau dua minggu lagi.

"Apabila siap, ia akan dibincangkan dalam mesyuarat profesional kementerian sebelum dibentangkan kepada Menteri Pelajaran untuk kelulusan dan sekiranya diminta Menteri Pelajaran, nota Kabinet akan turut disediakan," katanya.

Mengulas lanjut, Alimuddin menegaskan langkah mengehadkan pengambilan subjek dalam SPM tidak akan menimbulkan masalah besar kerana berdasarkan statistik, tahun lalu tidak sampai 10 peratus atau kira-kira 38,000 daripada 480,000 calon SPM mengambil lebih 10 mata pelajaran.

Beliau menasihatkan calon tidak membuat pemilihan subjek elektif secara 'caca marba' atau 'bertindih', sebaliknya menumpukan pengambilan mata pelajaran mengikut pengkhususan masing-masing berdasarkan keperluan kelulusan untuk memasuki bidang pengajian tertentu di universiti kelak.

Justeru, katanya, peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) amat penting bagi menentukan kecenderungan penguasaan bidang ilmu seseorang pelajar untuk membolehkannya mengkhusus dalam aliran pendidikan berkenaan mulai Tingkatan Empat.

"Kementerian berharap ibu bapa dan pelajar memahami langkah ini (mengehadkan bilangan subjek boleh diambil calon SPM). Antara tujuannya ialah untuk mengelakkan calon mengabaikan aktiviti kokurikulum.

"Apabila mengambil terlalu banyak subjek, mereka tiada masa kerana terpaksa mengikuti tuisyen bagi mata pelajaran elektif yang tidak diajar di sekolah.

"Ada banyak aduan bahawa sistem pendidikan negara ketika ini seolah-olah terlalu berorientasikan peperiksaan semata-mata sedangkan konsep sebenar pendidikan ialah gabungan penguasaan ilmu pengetahuan, kemahiran serta nilai murni bagi melahirkan modal insan cemerlang," katanya.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

JANGAN BIARKAN AH LONG BERLELUASA


Oleh SUFFIAN ABU BAKAR
jenayah@utusan.com.my

KEKEJAMAN yang dilakukan oleh ah long terhadap golongan pemiutang yang gagal membayar pinjaman kini sudah berada pada tahap serius dan perlu ditangani segera.

Sebelum ini agak jarang mendengar berita mengenai kezaliman ah long seperti yang berlaku kepada tiga lelaki yang menjadi mangsa kekejaman penjenayah itu.

Ah long (pada zaman ini) mengambil kesempatan kemerosotan ekonomi yang melanda negara dan seluruh dunia untuk menarik lebih ramai mangsa untuk berhutang.

Walaupun jumlah hutang itu sedikit, mangsa akan diperlakukan seperti zaman jahiliah - dikurung dan dirantai selain ditambah dengan pelbagai penyeksaan lain yang tidak pernah kita dengar sebelum ini.

Di mana silapnya sehingga kekejaman ah long seperti ini boleh terjadi? Sedangkan umum sedia maklum bahawa kewujudan ah long ini bukanlah satu perkara baru.

Kegiatan ah long di Malaysia sudah wujud sejak sekian lama tetapi mereka kini semakin berani bertindak di luar batasan, seperti yang berlaku kepada tiga lelaki yang menjadi mangsa kurungan dan dirantai penjenayah itu.

Serbuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke atas sebuah rumah kedai di Bukit Serdang di ibu negara Rabu lalu, menunjukkan golongan ah long kini semakin berani melaksanakan hukuman sendiri, walhal hukuman itu sebenarnya tidak setimpal dengan kesalahan gagal membayar jumlah hutang yang tidak seberapa.

Ah long juga bertindak di luar batas kemanusiaan dengan melakukan jenayah kekerasan terhadap mangsa.

Mereka mewujudkan lokap tahanan sendiri, menghukum mangsa-mangsa itu sesuka hati dengan hukuman tidak sepatutnya dilakukan kepada manusia bertamadun pada zaman ini.

Sikap masyarakat sendiri yang masih percaya dan sanggup meminjam wang dengan ah long menyebabkan gejala ini tidak dapat diatasi sepenuhnya.

Kenapa masih ada masyarakat yang sanggup berurusan dengan ah long, sedangkan mereka tahu kesan dan risiko yang bakal dihadapi bukan sahaja diri sendiri, malah ahli keluarganya jika gagal melunaskan hutang.

Tidak dinafikan mereka yang terdesak dan mengalami masalah kewangan sering hilang pertimbangan untuk berfikir, sehingga ada yang sanggup mempertaruhkan nyawa dan keselamatan mereka.

Jalan paling mudah dan cepat bagi mereka yang bermasalah ialah menghubungi mana-mana nombor syarikat pinjaman ini (yang kononnya berlesen) untuk menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapi.

Untuk mencari ah long ini pula bukannya susah, malah mereka kini semakin 'approachable' apabila nombor-nombor ah long begitu mudah diperoleh menerusi poster, kain rentang dan kad edaran di mana-mana jua ketika ini.

Bukannya masyarakat kita tidak tahu kekejaman yang dilakukan oleh ah long selama ini, sekiranya hutang gagal dilunaskan dalam tempoh yang ditetapkan.

Masyarakat sebenarnya tahu tetapi mengambil sikap seolah-olah tidak tahu kesannya dan terus meminjam daripada ah long. Dan inilah silapnya.

Sering kali berita-berita mengenai kesengsaraan yang dihadapi mangsa ah long dipaparkan oleh media-media massa, namun sindrom meminta tolong daripada ah long ini masih berlaku.

Ketepikan soal kaum apa yang sering meminjam wang daripada ah long kerana ia kini bukan lagi masalah yang melibatkan satu kaum tertentu.

Bukan hanya satu jenis kaum sahaja yang meminjam daripada ah long kerana kini juga sudah ada kaum Melayu yang bermasalah dan sanggup meminjam daripada ah long.

Sepatutnya, kita lebih percaya kepada institusi kewangan berlesen yang dibenarkan oleh kerajaan untuk menyelesaikan beban hutang.

Banyak skim pinjaman yang diwujudkan oleh bank-bank tempatan. Namun, semakin banyak skim yang ada, semakin banyak juga rakyat kita yang lebih tertarik kepada ah long.

Hal ini juga perlu diberi perhatian. Kenapa orang lebih suka meminjam dengan ah long dan tidak dengan bank. Adakah begitu banyak prosedur yang perlu dipenuhi jika ingin meminjam daripada bank.

Jika itulah puncanya, pihak institusi kewangan dan kerajaan perlu melihat semula kaedah pemberian pinjaman ini agar ia tidak terlalu ketat dan menyukarkan golongan peminjam untuk berbuat demikian.

Mereka, jika gagal memperoleh pinjaman sudah pasti akan pergi kepada sumber yang paling mudah - jalan singkat ketika bermasalah dan hilang pertimbangan, iaitu meminjam daripada ah long.

Jenayah kekerasan yang dilakukan oleh golongan ah long juga menjadi sesuatu perkara yang tidak diduga. Sebagaimana yang berlaku kepada tiga mangsa di Bukit Serdang yang menggemparkan negara itu, siapa pun tidak menduga bahawa ah long kini bukan setakat sanggup membunuh, malah sanggup menyeksa mangsanya persis zaman dahulu kala.

Kepada pihak PDRM, bertegaslah dengan golongan ini. Heret mereka yang terlibat ini ke muka pengadilan. Jangan biarkan golongan ini berterusan menyeksa golongan pemiutang malah membunuh keluarga mangsa yang tidak berdosa.

PENULIS ialah Ketua Meja Jenayah Utusan Malaysia.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

KUOK KEKAL PALING KAYA


KUALA LUMPUR: Raja Gula, Tan Sri Robert Kuok Hock Nien kekal orang paling kaya di Malaysia dengan nilai kekayaan AS$9 bilion, walaupun kemelesetan ekonomi mengurangkan AS$1 bilion nilai kekayaannya yang dicatatkan tahun lalu, menurut Senarai Terkaya Forbes Asia Malaysia 2009.


Antara fakta menarik yang dicatatkan adalah Kuok menduduki senarai berkenaan setiap tahun sejak Forbes Asia memulakan ranking 40 rakyat Malaysia terkaya pada 2006.

Ahli perniagaan, Tan Sri Ananda Krishnan menduduki tempat kedua dengan nilai kekayaan AS$7 bilion, manakala di tempat ketiga dipegang pemilik IOI Corporation Bhd, Tan Sri Lee Shin Cheng dengan nilai kekayaan AS$302 bilion.

Jumlah nilai kekayaan Kuok dan Krishnan mencatatkan 44 peratus daripada kekayaan 40 rakyat Malaysia terkaya.


Antara bilionir yang mencatat nama dalam senarai berkenaan adalah Tan Sri Syed Mokhtar Albukhari dari Yayasan Albukhary, Tan Sri Azman Hashim dari Amcorp Group dan Datuk Mokhzani Mahathir yang mengelolakan Litar Antarabangsa Sepang.


Selain itu, Datuk Kamarudin Meranun dari AirAsia turut tersenarai sebagai 40 rakyat Malaysia terkaya serta Tan Sri Rozali Ismail dari Puncak Niaga serta Raja Datuk Seri Eleena Raja Azlan Shah, peguam terkemuka yang juga pemegang saham terbesar dalam Gamuda.

Turut sama tersenarai adalah Ahmayuddin Ahmad dari Westport yang juga pemegang saham untuk syarikat pengeluar alat tulis, Pelikan dan Tan Sri Hamdan Mohamad dari Ranhill Berhad.

Tan Sri VincentTan dari Berjaya Corporation Bhd adalah satu-satunya rakyat Malaysia yang terkeluar daripada ranking serta memiliki kekayaan berbilion dolar dalam tempoh 12 bulan lalu kerana harga saham syarikatnya merosot.


Tiga muka baru yang memasuki kumpulan terkaya itu ialah anggota Lembaga Pengarah IOI, Chan Fong Ann, pemilik kasino dan perniagaan pelancongan, Tan Sri Chen Lip Keong dan eksekutif perisian, Goh Peng Ooi.

Empat nama tersenarai semula selepas terkeluar selama setahun atau lebih antaranya Pengerusi Concorde Hotels & Resorts (Malaysia) Sdn Bhd, Datuk Syed Mohd Yusof Tun Syed Nasir dan Tan Sri Tan Teong Hean yang menjual saham Southern Bank beberapa tahun lalu dan kini membuat pelaburan baru.


Sumber : http://www.hmetro.com.my/


NOTA HUJUNG:


Mungkin ada dalam kalangan anda yang bercita-cita tinggi untuk namanya turut tercatat dalam senarai Jutawan Tersohor suatu hari nanti. Walau bagaimanapun usaha untuk mendapat status tersebut bukan mudah. Nasihat orang terkaya di dunia (Warren Buffet) yang berikut saya kira amat berguna untuk difikirkan jika anda bercita-cita sedemikian:


1) Hindarilah kad kredit , menabunglah untuk diri anda sendiri dan ingat bahawa wang tidak mencipta manusia tetapi manusialah yang mencipta wang.

2) Hiduplah secara sederhana.

3) Jangan lakukan apa yang orang lain katakan, dengari pandangan mereka, namun lakukan apa-apa yang baik menurut fikiran anda.

4) Jangan memaksakan diri untuk memiliki barang-barang berjenama.

5) Jangan memboroskan wang anda untuk hal-hal yang tidak diperlukan; gunakanlah wang anda untuk membantu mereka yang memerlukan bantuan.

6) Jangan biarkan orang lain mengatur hidup anda . Andalah yang sepatutnya mengendalikan hidup anda sendiri.