Selasa, 2 Jun 2009

ISU BUMBUNG STADIUM RUNTUH


Sebelum Kejadian

Selepas Kejadian

Kejadian Bumbung Stadium Runtuh Memalukan Negara - Shaziman

KUALA TERENGGANU, 2 Jun (Bernama) -- Kejadian bumbung utama Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak dekat sini, yang runtuh pagi ini amat memalukan negara, kata Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor.

Beliau berkata walaupun kejadian itu tidak melibatkan kemalangan jiwa, ia menjejaskan imej negara kerana runtuhan itu membabitkan stadium baru yang belum sampai setahun digunakan.

"Walaupun daripada segi membaikpulihnya ditanggung oleh kontraktor dengan memasang bumbung baru, ia memberi gambaran yang tidak baik kepada negara, seolah-olah kontraktor kita tidak berkemampuan untuk melakukan kerja (membina) bangunan sedemikian rupa," katanya selepas meninjau stadium itu bersama Menteri Besar Datuk Ahmad Said.

Dalam kejadian pada kira-kira pukul 9.30 pagi itu, hampir 60 peratus struktur bumbung bahagian hadapan kiri dan kanan stadium berkenaan sepanjang 400 meter runtuh menyebabkan besi serta serpihan bumbung jatuh ke bahagian tempat duduk.

Shaziman berharap Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) akan membuat kajian terperinci bagi mengenalpasti punca runtuhan itu.

"Saya minta satu juruperunding yang mempunyai kepakaran dan berkualiti dilantik bagi menilai dan mengkaji mengapa bumbung stadium baru itu boleh runtuh.

"Saya tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak. Apa yang saya mahu ialah satu laporan terperinci kerana kejadian ini memalukan negara walaupun kesilapannya mungkin bukan berpunca daripada kita," katanya.

Beliau berkata kejadian itu akan menyebabkan masyarakat luar menganggap kontraktor tempatan tidak berkemampuan untuk membina bangunan-bangunan besar.

"Saya juga ingin tekankan kepada CIDB supaya lihat dengan terperinci jika hendak membina satu-satu struktur bangunan di negara ini daripada perancangannya, reka bentuknya, juruperunding, pembinaannya sehinggalah kalau bangunan itu hendak diruntuh pun kita sudah ada piawaian amalan kerja. Kita tidak akan bertolak-ansur dalam perkara ini.

"Pemilihan kontraktor hendaklah berdasarkan kemampuan dan kalau projek besar, pastikan konsultan itu ada kapasiti. Begitu juga dengan kontraktor mesti ada pengalaman dan pengetahuan teknikal yang tinggi," katanya.

Sementara itu, Ahmad berkata kerajaan negeri akan melantik konsultan bebas yang benar-benar berkemampuan dan mendapatkan maklumat dari Jabatan Kerja Raya bagi mengenalpasti punca kejadian.

"Siasatan awal mendapati kerugian dianggar RM25 juta," kata menteri besar itu yang jelas sedih dan kecewa dengan insiden yang berlaku itu.

Beliau berkata stadium utama itu akan ditutup sehingga kerja membaikpulih dilakukan sepenuhnya dan ia akan dibuka setelah mendapat jaminan keselamatan daripada kontraktor yang akan dilantik kelak.

Berikutan kejadian itu, beliau berkata stadium tertutup dan beberapa bangunan baru yang terletak berhampiran stadium utama itu akan diperiksa bagi memastikan ia berada dalam keadaan baik dan selamat untuk digunakan.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati polis, bomba dan penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) masih mengawal keadaan sekitar stadium berkenaan bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.

Stadium berharga RM292 juta itu baru siap setahun lepas dan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 10 Mei tahun lepas. Ia menjadi mercu tanda Terengganu dan gelanggang bagi beberapa acara utama pada Sukan Malaysia (Sukma) 2008.

Sumber- BERNAMA

ISU PENGURANGAN MATA PELAJARAN TERAS SPM

Pendidikan Islam/Moral tingkat jati diri

APAKAH rasional Kementerian Pelajaran untuk mengehadkan pengambilan subjek untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kepada 10 subjek sahaja? Apakah juga relevannya mengurangkan subjek teras dalam SPM kepada hanya empat subjek berbanding enam sebelum ini?

Seperti yang kita tahu, enam subjek teras SPM ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik, Sejarah dan Pendidikan Islam atau Moral.

Selain untuk menimba ilmu, subjek-subjek teras juga merupakan permulaan kepada proses pembentukan menjadi warganegara yang bertanggungjawab, bertoleransi dan tahu asal usul negara bermasyarakat majmuk ini.

Pelajaran seperti Sejarah amat penting untuk pelajar. Begitu juga Pendidikan Islam dan juga Moral. Subjek-subjek ini bagaimanapun perlu tampak signifikan untuk diajar dan bukan hanya sekadar belajar untuk lulus peperiksaan semata-mata.

Ia mesti dapat diadaptasi dan diaplikasikan di dalam kehidupan seharian pelajar.

Realitinya, pengisian dan pemahaman tulen kepada kandungan subjek itu adalah jauh lebih penting daripada terburu-buru menghabiskan topik-topik di dalam buku untuk menyelesaikan sukatan pelajaran.

Malah, penekanan kepada beberapa topik penting yang sangat relevan kepada negara bermasyarakat majmuk ini juga perlu dipertingkatkan agar mesejnya sampai ke sanubari warga muda negara ini.

Di sini penulis ingin mengesyorkan agar topik-topik di dalam subjek teras seperti Sejarah, Pendidikan Islam/Moral, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris patut juga dikaji semula agar relevan dan lebih padat.

Adakalanya topik di dalam subjek tersebut tidak berapa signifikan dengan perkembangan persepsi warga muda ketika ini. Dalam masa sama, topik-topik yang signifikan untuk mereka sekadar bacaan sambil lalu dan ringan yang hanya untuk dihafal dan bukannya mendatangkan kesan mendalam kepada emosi mereka.

Pendek kata, mana-mana topik yang kurang signifikan kepada pelajar-pelajar perlu digugurkan sahaja. Tidak apa jika sesetengah topik di dalam subjek itu dikurangkan asalkan topik-topik yang tinggal atau dikekalkan, masih relevan dan berkesan.

Maka, topik-topik yang penting seperti perkembangan evolusi negara dan bangsa perlu ditekan dan diperkembangkan dengan harapan pelajar-pelajar atau golongan muda ini dapat menjiwai kerangka pembinaan negara dengan lebih sempurna.

Realitinya, Kementerian Pelajaran masih mempunyai hak untuk membantu membentuk anak-anak bangsa ini menjadi warganegara yang lebih bertoleransi dan sensitif terhadap kehidupan dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Jika mengurangkan subjek teras kepada empat sahaja (kemungkinan Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains), Kementerian Pelajaran seolah-olah telah terlepas satu peluang untuk membaja jiwa pelajar-pelajar agar lebih patriotik.

Ini kerana usia muda di zaman persekolahan inilah merupakan tempoh terbaik untuk mendidik kalangan anak-anak ini dengan aspek kecintaan terhadap negara dan jati diri yang tinggi. Ia ibarat melentur buluh sewaktu di peringkat rebung.

Penulis berpendapat subjek Sejarah dan Pendidikan Islam/ Moral patut terus menjadi subjek wajib agar ia dipelajari dan difahami oleh setiap pelajar. Kandungan pelajaran di dalam Pendidikan Islam/Moral mampu menjana naluri pelajar untuk menjadi insan berjiwa murni.

Maka amat penting untuk kedua-dua subjek itu terus dijadikan subjek 'paksaan' kepada pelajar. Ini kerana jika ia dijadikan subjek alternatif, mungkin ramai pelajar yang tidak akan mengambilnya.

Dan jika ia berlaku, maka Kementerian Pelajaran telah terlepas peluang untuk bertindak sebagai organisasi penting dalam membentuk keluhuran jiwa dan emosi warga muda yang masih di bawah lingkungan tanggungjawab kementerian dalam aspek pendidikan itu.

Ayat mudah untuk menerangkan maksud penulis ialah, "tidak" kepada soal pengurangan subjek teras.

Ia perlu diteruskan terutama ketika negara memerlukan usaha keras menyemai dan mempertahankan perpaduan di kalangan rakyat pelbagai kaum ini.

Seperkara lagi, struktur peperiksaan Kementerian Pelajaran juga perlu lebih fleksibel di dalam menerima pelbagai taraf IQ pelajar. Tidak ada salahnya jika ada pelajar yang mahu mengambil lebih daripada 10 subjek semasa peperiksaan SPM.

Ibu bapa dan guru-guru yang terlibat di dalam proses pembelajaran tersebut pastinya sudah mengkaji dan menganalisis kapasiti pelajar tersebut sebelum menggalakkan mereka mengambil lebih banyak subjek.

Dan penulis pasti ia bukan untuk menunjuk-nunjuk tetapi lebih kepada menilai diri sendiri. Lagi pun, ia adalah satu usaha positif, maka apa salahnya mereka mengambil lebih subjek dalam SPM.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

EMPAT KUNCI KEBAHAGIAAN

Kenderaan Mewah: Adakah Untuk Keperluan atau
Kepuasan atau Menggambarkan Prestij Seseorang?
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
"Empat perkara yang membawa kebahagiaan iaitu wanita yang solehah, rumah yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa!”
(Ibnu Hibban)
Huraian
  1. Kehidupan yang selesa adalah suatu bentuk kehidupan yang dialu-alukan oleh Islam. Kehidupan yang sempurna memerlukan empat elemen asas yang penting iaitu:
    a) Wanita yang solehah iaitu isteri yang baik yang dapat menguruskan keluarga dan rumahtangga dengan sempurna.
    b) Rumah yang luas yang boleh memberikan keselesaan untuk bermesra dengan keluarga dan anak-anak di samping dapat melapangkan fikiran dengan baik dan tenang.
    c) Jiran yang baik kerana jiran merupakan orang yang paling rapat selepas sanak saudara dan keluarga. Jiran yang baik dapat menjamin keharmonian hidup bermasyarakat sehinggakan ikatan kejiranan itu boleh bertukar seakan-akan sebuah keluarga yang kasih-mengasihi dan saling mengambil berat antara satu sama lain.
    d) Kenderaan yang selesa kerana kenderaan yang selesa dapat memberikan kemudahan dalam segala urusan.
  2. Antara tabiat buruk yang mengancam kebahagiaan hidup ialah berfoya-foya dengan kehidupan mewah, boros harta dan membazir ketika berbelanja. Tabiat ini sering disebut dalam al-Quran sebagai punca kehancuran beberapa umat yang terdahulu.
  3. Kemewahan hidup berbeza antara satu zaman dengan zaman yang lain, mungkin mewah pada suatu ketika dahulu, tidak dianggap mewah pada hari ini, kerana perbezaan masa, suasana dan pendapatan menjadikan ukuran kemewahan turut berbeza.
Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Isnin, 1 Jun 2009

ISU KEMALANGAN JALAN RAYA : KAJI PEMANDUAN WAKTU MALAM

Kemalangan maut melibatkan bas ekspres seperti ini mungkin boleh dielakkan sekiranya sistem pemanduan waktu malam dikaji semula dan had laju maksimum ditetapkan bagi mengelak para pemandu memecut terutama di jalan-jalan yang berisiko tinggi.

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
rencana@utusan.com.my

CADANGAN untuk mengehadkan kelajuan maksimum bas ekspres dan bas penumpang kepada 90 kilometer sejam seperti yang dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz kelmarin sewajarnya dilaksanakan secepat mungkin.

Di kalangan penumpang bas sendiri, cadangan itu dilihat sekurang-kurangnya memberi jaminan terhadap soal keselamatan mereka sewaktu di jalan raya.

Ini kerana kemalangan ngeri membabitkan bas ekspres dengan jumlah kematian yang tinggi bukanlah sesuatu yang di luar jangkaan di negara ini.

Kejadian terbaru berlaku di Pahang pada 19 Mei lalu apabila sebuah bas ekspres bertembung dengan treler dan membunuh dua orang manakala tujuh yang lain cedera parah.

Bagaimanapun dalam mengikat kelajuan bas ekspres dan bas penumpang, kerajaan juga disaran untuk mengkaji pelbagai cadangan yang sering disuarakan setiap kali berlakunya kemalangan ngeri membabitkan pengangkutan awam itu.

Antaranya ialah kebenaran perjalanan bas ekspres pada sebelah malam yang ketika ini membabitkan hampir ke semua lokasi terutamanya ke bandar-bandar besar di seluruh negara.

Jika dilihat kepada rekod kemalangan membabitkan bas ekspres sebelum ini, kebanyakannya berlaku pada waktu awal pagi.

Puncanya di sini sangat jelas, iaitu kerana faktor pemandu yang mengantuk. Tidak sukar untuk memahami logik itu kerana lumrahnya waktu malam adalah untuk tidur.

Tetapi bagi pemandu bas ekspres, mereka dipertanggungjawabkan dengan kira-kira 40 nyawa penumpang. Tidak dinafikan pemandu bas ekspres mungkin sudah mendapat rehat yang cukup pada sebelah siangnya.

Kehadiran pemandu kedua juga sedikit sebanyak dapat mengelak risiko kemalangan disebabkan faktor mengantuk.

Tetapi kita pasti bersetuju bahawa rasa mengantuk tidak memerlukan masa yang panjang untuk mencetuskan tragedi kemalangan yang dahsyat.

Memadai hanya dalam beberapa saat sahaja untuk pemandu terlelap kerana tidak dapat menahan rasa mengantuk yang keterlaluan. Kesannya, ia mungkin akan menyebabkan banyak nyawa terkorban.

Banyak kes kemalangan membabitkan pemandu yang terlelap sewaktu memandu sehingga menyebabkan bas terbabas. Akibatnya ia mungkin bertembung dengan kenderaan lain atau terjunam ke dalam gaung.

Paling malang apabila kemalangan itu meragut nyawa ramai penumpang. Bayangkan hanya kerana kealpaan beberapa saat, begitu ramai yang menjadi mangsa. Jika penumpang yang terbunuh itu merupakan satu-satunya sumber pencari rezeki kepada sesebuah keluarga, maka ramai lagi "mangsa" yang menderita.

Namun di pihak pengusaha bas ekspres, menamatkan perjalanan pada sebelah malam pastinya mendatangkan kerugian besar.

Bagaimanapun, ia bukanlah alasan untuk mereka berkompromi dengan nyawa penumpang. Kerugian yang ditanggung mereka tidak seberapa berbanding kerugian yang bakal ditanggung oleh keluarga mangsa.

Kerana itu juga kerajaan perlu meneliti banyak perkara dalam pengurusan kecekapan dan keselamatan cabang pengangkutan awam ini.

Antaranya dengan mengkaji semula skim gaji dan komisen di kalangan pemandu. Ketika ini, gaji permulaan kebanyakan pemandu bas ekspres dikatakan begitu rendah. Mereka terpaksa bekerja keras untuk mendapat komisen dan biasanya jumlah komisen itu dikira berdasarkan jumlah perjalanan atau pemanduan yang dilakukan oleh pemandu terbabit.

Keadaan itu memaksa mereka mengejar komisen daripada trip pemanduan berikutnya dalam tempoh masa yang singkat. Ia secara tidak langsung menyebabkan pemandu berada dalam situasi yang tidak selesa untuk memandu kerana dibelenggu oleh rasa letih dan mengantuk.

Risiko kemalangan pada sebelah malam juga menjadi lebih besar kerana faktor jalan yang agak berbahaya lebih-lebih lagi di kawasan yang sering berlakunya kemalangan maut.

Bagi perjalanan ke sebelah Pantai Timur yang sebahagian besarnya perlu melalui jalan persekutuan dan jalan negeri, risiko kemalangan pada waktu malam juga agak tinggi.

Keadaan jalan dan bahu jalan yang sempit, menyukarkan pemandu mengelak daripada terbabit dalam kemalangan yang serius.

Jalan raya yang sunyi pada sebelah malam kadang-kadang diambil kesempatan oleh segelintir pemandu bas ekspres untuk memecut dengan laju.

Dalam keadaan ini, sedikit kecuaian manusia serta keadaan jalan yang tidak sempurna boleh mengundang bencana.

Seperkara yang perlu diperhatikan dalam mengurus kemalangan membabitkan bas ekspres ialah sejauh mana aspek penguatkuasaan diberikan penekanan oleh pihak berkuasa.

Realitinya setiap kali membincangkan mengenai isu kemalangan jalan raya, isu ketidakcekapan, konsistensi dan keberanian pihak berkuasa mengambil tindakan tegas sering menjadi persoalan.

Perkara yang sama tidak mustahil dapat diperhatikan sekiranya cadangan mengikat had laju bas ekspres kepada 90 kilometer dilaksanakan.

Satu-satunya cara untuk memastikan had laju itu dipatuhi ialah dengan melakukan pemantauan berterusan termasuk sehingga ke tahap berada dalam bas.

Sedangkan operasi seperti itu sangat jarang dilakukan atau hanya dalam tempoh tertentu sahaja.

Mahu tidak mahu, kita perlu menerima hakikat bahawa pihak berkuasa terlalu banyak pertimbangan dengan pesalah jalan raya, termasuk dengan pemandu bas.

Kerana itu juga antara pendedahan "wajib" media setiap kali berlakunya kemalangan maut membabitkan bas ialah berapa banyak saman kesalahan memandu yang dimiliki pemandunya.

Justeru, apa jaminan pemandu bas akan mematuhi had kelajuan 90 kilometer sekiranya ia menjadi undang-undang nanti?

Mungkin kerajaan boleh mewajibkan semua bas ekspres menggunakan meter automatik yang akan menghalang bas-bas berkenaan daripada memecut melebihi had yang dibenarkan itu.

Sumber :http://www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : BUDAYA MELAYU DALAM MENDIDIK ANAK SEMAKIN LONGGAR


Oleh Nazmi Yaakub

KETEGASAN ibu bapa mendidik anak dalam budaya Melayu dulu sehingga anak tidak mungkin membawa cerita dihukum di sekolah termasuk dirotan pulang ke rumah masih kental dalam himpunan memori sebahagian masyarakat.

Ini kerana anak yang dihukum sudah maklum bahawa ibu bapa bukan saja tidak akan menyebelahi mereka, bahkan mengiyakan hukuman berkenaan dan sekiranya tidak bernasib baik, rotan akan singgah sekali lagi ke tubuh mereka atau setidak-tidaknya dipiat telinga.

Malah, sesetengah daripada kita masih teringat-ingat kisah bapa sudah menanti di pintu dengan rotan apabila pulang menjangkau waktu Maghrib dan sebaik saja kaki melangkah ke bendul rumah, tanpa banyak soal, terus melibas rotan berkenaan.

Bagaimanapun, pengalaman dalam budaya Melayu itu sudah jarang dialami terutama masyarakat kota sehingga sekiranya anak pulang membawa kisah dihukum di sekolah, sebahagian ibu bapa tanpa usul periksa membuat laporan polis, memanggil pemberita dan berkira-kir menyaman guru serta sekolah.

Perubahan ini disifatkan oleh Pensyarah Kanan, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohd Sharifudin Yusop, sebagai anjakan paradigma Melayu yang songsang.

Ini kerana bangsa Melayu sudah berubah seratus peratus daripada zaman ibu bapa bergantung kepada sekolah untuk pendidikan anak kepada era sekolah dianggap seolah-olah ancaman kepada anak dan keluarga.

Beliau mengimbau pengalaman pendidikannya dalam dekad 1960-an dan 1970-an yang mewarisi semangat era sebelum itu apabila ibu bapa menghantar anak ke sekolah dengan satu rotan berbekalkan ayat, “Cikgu, ini anak saya dan ini rotan. Ajarlah dan didiklah dia asal jangan patah atau buta.”

“Kami tempuh zaman yang sekiranya anak salah di sekolah, maka hukuman di rumah pun tetap salah, tetapi sekarang mereka sanggup melaporkan kes di balai polis dan membawanya ke mahkamah,” kata pakar bidang sosiolinguistik, sosiobudaya, bahasa Orang Asli dan ketrampilan berbahasa.

Baginya hal itu berlaku akibat beberapa dasar dalam sistem pendidikan yang terlalu kebaratan terutama apabila pelajar dihantar ke luar negara untuk mengambil sarjana dan kedoktoran dalam bidang pendidikan, lalu membawa pulang pelbagai teori dan nilai untuk dilaksanakan di sekolah.

Dr Mohd Sharifudin berkata, dasar pelajaran yang banyak dipengaruhi unsur luar dan liberalisasi pendidikan sampai ke tahap tidak boleh bertolak-ansur lagi sehingga peraturan, tindakan dan idealisme berlandaskan budaya serta warisan tidak diambil kira lagi.

“Kegawatan moral yang awalnya bermula di rumah itu, dibawa ke sekolah sehingga institusi pendidikan menjadi tempat untuk memulihkan pelajar, tetapi kuasa tidak diberikan, manakala tindakan sekolah diberi tafsiran negatif seperti mendera dan merosakkan masa depan pelajar,” ujarnya.

Baginya, ibu bapa yang melalui sistem pendidikan berdasarkan doktrin dan idealisme barat, terdedah dengan ilmu psikologi dan sosiologi, tetapi malangnya ia hanya berasaskan idealisme serta teori luar, bukannya Islamik mahupun berunsurkan ketimuran.

“Ia sampai ke tahap rasional dan daya tafsir menjadi keliru apabila kita berasa ibu bapa yang baik, hanya bersifat lembut dan mesra dengan anak, sedangkan dalam menangani remaja, pendekatan lembut melampau tidak boleh digunakan.

“Dasar liberal ini menyebabkan kita tidak membuka peluang untuk mengguna pakai pendidikan agama, sedangkan Islam mengizinkan penggunaan hukuman keras seperti rotan bagi anak yang malas menunaikan solat pada usia 10 tahun,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Mohd Sharifudin menegaskan pelaksanaan hukuman tidak boleh seperti dulu yang diberikan tanpa usul periksa, sebaliknya anak perlu diberi peluang untuk menjelaskan tindakan atau kesalahan mereka.

Pensyarah Sosiologi Keluarga, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Fatimah Abdullah, berkata perubahan nilai dalam budaya orang Melayu itu kesan daripada perpecahan struktur sosial apabila ahli keluarga besar tidak lagi tinggal serumah atau berdekatan.

“Dalam analisis sosiologi, manifestasi ini umpama puncak bungkah ais iaitu kawalan sosial secara tidak formal menjadi lemah, kesan perpecahan struktur sosial sehingga kita hidup saling tidak peduli, manakala unsur bantu-membantu dan tegur-menegur tiada lagi dalam masyarakat.

“Tanpa kawalan sosial secara tidak formal, yang tinggal hanya undang-undang, manakala adat, resam dan tatacara yang dulunya kita belajar daripada ibu bapa dan datuk nenek sudah tidak ada lagi,” katanya.

Dr Fatimah yakin bahawa kesibukan ibu bapa dalam kerjaya juga menyebabkan mereka terpaksa memejamkan mata terhadap kesalahan anak kerana kepenatan dan tidak mempunyai masa yang banyak untuk diluangkan dengan anak.

Sumber : http://www.bharian.com/

Ahad, 31 Mei 2009

AMAH PENYELAMAT ATAU PENYENGAT?

Pembantu rumah suka timbulkan 1,001 masalah dan konflik suami isteri

Oleh Rohaniza Idris

MENGIKUT statistik Jabatan Imigresen, sehingga Jun 2008 seramai 256,097 warga asing bekerja sebagai pembantu rumah di negara ini. Ini bermakna 300,00 keluarga mempunyai pembantu rumah kerana mengikut syarat satu keluarga boleh mengambil seorang pembantu rumah saja.

Felo Kanan Pusat Ekonomi dan Kajian Sosial, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Siti Fatimah Abdul Rahman, berkata sukar untuk menentukan peratusan sebenar keluarga di negara ini yang menggunakan perkhidmatan pembantu rumah kerana tiada perangkaan yang tepat mengenai keluarga yang memilikinya.


Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia (KPKM) yang dilaksanakan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) 2004, mendapati hanya enam hingga 13.9 peratus keluarga menggunakan perkhidmatan pembantu rumah, manakala 42 hingga 58 peratus masih menggunakan khidmat ahli keluarga.

Walaupun peratusan pembantu rumah di negara ini masih kecil, ia kini menjadi pilihan keluarga yang suami atau isteri keluar bekerja, terutama di bandar besar.

Siti Fatimah berkata, pada asasnya pembantu rumah dilihat jalan penyelesaian bagi penjagaan kanak-kanak ketika ibu bapa keluarga bekerja. Namun, katanya seperti bentuk jagaan lain, penjagaan anak oleh pembantu rumah sebenarnya mempunyai kebaikan dan keburukannya tersendiri.

“Sebenarnya lebih banyak kebaikan dan faedah diperoleh sesebuah keluarga jika mendapat perkhidmatan pembantu rumah berbanding keburukan. Namun, semua itu bergantung kepada individu yang menjadi pembantu rumah itu sendiri.

“Dalam keadaan normal, iaitu pembantu rumah tidak memberikan masalah atau seperti yang dikehendaki majikan, amah membantu kerja di rumah 24 jam sehari. Ini berlaku kepada amah yang tinggal bersama majikan. Namun tidak bermakna majikan boleh memerah tenaga pembantu rumahnya tanpa henti,” katanya.

Beliau menjelaskan banyak faedah diperoleh jika sesebuah keluarga menggajikan pembantu rumah, termasuk pergerakan suami isteri ke tempat kerja pada waktu pagi akan lebih mudah, malah rumah lebih terurus, kemas dan bersih yang dapat memberi ketenangan minda kepada keluarga.Pembantu rumah juga membantu menguruskan kain dan pakaian keluarga dengan baik, memudahkan kerja memasak dan majikan ada masa berbaki kerana banyak bebanan kerja rumah sudah diringankan dengan bantuan pembantu rumah yang mana masa berkenaan boleh diluangkan dengan ahli keluarga, malah perhatian lebih dapat diberikan kepada anak-anak.

Lebih penting lagi, dengan ada pembantu rumah, bayi akan diberikan perhatian khusus ketika ibu keluar bekerja dan anak tidak terdedah kepada penyakit berjangkit yang selalu diperoleh di pusat jagaan harian seperti demam, selesema dan batuk.

“Dengan kata lain, pembantu rumah ini menjadi penyelamat kepada keluarga yang suami atau isteri bekerja dan mengurangkan tekanan kepada keluarga,” katanya.

Apabila ada kebaikan, akan ada keburukan apabila mengambil perkhidmatan pembantu rumah bagi membantu menjaga dan menyelesaikan kerja rumah.

Paling jelas, kata Siti Fatimah, pengambilan amah memerlukan kos permulaan yang tinggi dan terkini dilaporkan kosnya semakin meningkat, termasuk kos perkhidmatan dan levi pekerja.

“Apabila sesebuah keluarga mempunyai pembantu rumah, perbelanjaan harian juga bertambah kerana pembantu rumah menjadi ahli dalam isi rumah. Bebanan juga wujud apabila tamat tempoh kontrak biasanya dua tahun, pembantu rumah tidak mahu menyambung kontrak mereka dan majikan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan lagi mencecah hingga RM7,000 untuk mengambil amah baru. Ini tidak termasuk kos kenaikan gaji amah yang diambil bekerja,” katanya.

Pengambilan amah juga menimbulkan persoalan di kalangan majikan sama ada mereka mampu melaksanakan tugas, baik atau sebaliknya.

“Setelah membayar sejumlah wang yang besar serta mengambil masa mengikut prosedur ditetapkan, tiada jaminan bahawa pembantu rumah yang dipilih memenuhi jangkaan majikan. Ia banyak bergantung kepada nasib.

“Jika bernasib baik, dapat pembantu rumah yang baik dan pelaburan itu berbaloi. Jika sebaliknya berlaku, majikan yang terseksa kerana terpaksa mengeluarkan belanja untuk mengambil amah baru,” katanya.

Pembantu rumah juga dikatakan menyebabkan ruang peribadi tiada di rumah dan suami isteri tidak bebas kerana kehadiran orang luar dalam rumah mereka. Mungkin ada suami berasa kurang selesa kerana tidak lagi tanpa berbaju ketika di rumah dan membataskan suami isteri untuk bermesra apabila ada pembantu rumah.

Keluarga yang mempunyai pembantu rumah mungkin mendedahkan anak kecil kepada salah laku dan penderaan oleh amah yang tidak bertanggungjawab.

Perkara ini sering didengari dan banyak dilaporkan di media, terutama jika anak yang dijaga masih belum boleh bercakap. Anak yang sudah pandai bercakap akan mengadu dengan ibu bapa jika mereka disakiti atau keperluan mereka tidak dipenuhi pembantu rumah.

Perkara ini sebenarnya, kata Siti Fatimah, masih boleh ditangani jika majikan melakukan pemeriksaan dan pemantauan dari semasa ke semasa, melihat bahasa badan anak apabila bersama pembantu rumah, meminta bantuan jiran melihat anak dan pembantu rumah ketika keluar bekerja atau meletakkan kamera litar tertutup (CCTV).

Selain itu, pembantu rumah asing kurang berpengetahuan mengenai perkembangan anak-anak dan mungkin boleh memberikan pengaruh buruk kepada golongan itu dari segi pertuturan dan tingkah laku.

Dari sudut lain, dengan bantuan pembantu rumah, anak-anak mempunyai peluang terhad untuk berinteraksi dengan rakan sebaya atau orang dewasa, selain terlalu bergantung kepada amah dan mungkin kanak-kanak kehilangan peluang diajar kemahiran hidup seperti membasuh kasut sekolah dan mengemas bilik sendiri.

Malah, dalam keadaan lain, kebergantungan kepada pembantu rumah menyebabkan kanak-kanak lebih rapat dengan amah berbanding ibu bapa sendiri.

“Dengan kata lain, kita lihat pembantu rumah ini seakan ‘penyengat’ bukannya menyelamatkan keadaan ketika ibu bapa keluar bekerja. Justeru, majikan yang mengambil pembantu rumah perlu bijak mencari jalan mengatasi konflik yang wujud supaya amah tidak menjadi ‘penyengat’ dan memberi 1,001 masalah kepada keluarga,” katanya.


INFO:

Kebaikan ada pembantu rumah

· Bantuan domestik 24 jam

· Pergerakan ke pejabat pada waktu pagi lebih mudah.

· Rumah yang kemas dan bersih akan memberi ketenangan minda kepada keluarga.

· Kain dan pakaian keluarga diuruskan dengan baik.

· Memudahkan kerja memasak.

· Masa dan tenaga berbaki kerana banyak bebanan kerja rumah sudah diringankan pembantu rumah dan masa yang ada boleh diluangkan dengan ahli keluarga.

· Anak dan bayi dapat perhatian khusus daripada penjaga.

· Anak tidak terdedah kepada penyakit berjangkit yang selalu diperoleh di pusat jagaan harian seperti demam, selesema dan batuk.


Keburukan

· Kos permulaan yang tinggi

· Tiada jaminan mendapat pembantu rumah yang baik dan benar-benar cepat membuat kerja. Ini satu perjudian.

· Ada pasangan berasa tidak selesa atau hilang privasi dengan kehadiran orang luar dalam rumah mereka.

· Jika anak belum boleh bercakap mereka mungkin terdedah kepada salah laku atau penderaan oleh pembantu rumah yang tidak bertanggungjawab.

· Pembantu rumah asing kurang berpengetahuan mengenai perkembangan kanak-kanak.

Pembantu rumah asing boleh memberi pengaruh yang buruk kepada anak-anak dari segi pertuturan dan tingkah laku.

· Anak-anak dijaga pembantu rumah mempunyai peluang terhad berinteraksi dengan rakan sebaya dan orang dewasa.

· Kebergantungan keterlaluan kepada pembantu rumah menghilangkan peluang anak berdikari dan belajar kemahiran hidup.

· Kebergantungan yang tinggi menyebabkan anak-anak rapat dengan pembantu rumah berbanding ibu bapa masing-masing.

Sumber : http://www.bharian.com/