Rabu, 3 Jun 2009

KELUARGA TEGUH ASAS NEGARA UTUH


Ilmu kekeluargaan wajar diajar di sekolah

PENDIDIKAN mengenai rumah tangga dan kekeluargaan tidak boleh dianggap asing dalam sistem pendidikan negara dan ia wajar dijadikan sukatan pelajaran di sekolah menengah sama ada diserapkan dalam beberapa mata pelajaran sedia ada seperti Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, Sains, Biologi, Kesihatan dan Bahasa Melayu atau sebagai mata pelajaran baru.

Bertunjangkan perkembangan manusia, perhubungan, perkahwinan dan keluarga, kemahiran kendiri, kesihatan dan tingkah laku seksual dan masyarakat serta budaya, pendidikan seksualiti dan ilmu kekeluargaan boleh menghindari ‘jahil ilmu’ sehingga menyebabkan ramai gadis remaja terjebak zina walaupun mendakwa dirogol.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Isra’, ayat 32 bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu ialah satu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang amat buruk.”

Antara perlu dijawab dalam isu ini ialah adakah remaja belasan tahun yang masih bersekolah mengamalkan seks bebas kerana jahil ilmu kekeluargaan? Adakah mereka tidak mengetahui kesan hubungan seks tanpa nikah atau hukumnya menurut agama yang dianuti?

Tidakkah pernah ibu bapa mengajar anaknya bahaya gejala sosial yang boleh menyebabkan zina dan melahirkan anak luar nikah? Jika peranan ini perlu dimainkan pendidik yang rasmi di institusi pendidikan, tentu banyak pula implikasinya.

Walaupun boleh diserapkan dalam mata pelajaran lain, pendidikan perkahwinan dan kekeluargaan lebih baik diajar dalam sukatan pelajaran yang khusus tanpa menumpang mana-mana subjek sedia ada. Mata pelajaran berkenaan adalah bab luas dan memerlukan masa panjang. Sekiranya berlaku timbunan bab dalam garis panduan mata pelajaran, kemungkinan skopnya tidak menyeluruh.

Banyaknya kes zina dan rogol di kalangan pelajar seawal usia 11 tahun sungguh mengaibkan dan menjatuhkan maruah golongan dewasa, lantaran kegagalan menghalang mereka daripada berkelakuan sedemikian rupa.

Mereka mungkin ingin mencuba atau kerana tidak arif dosa dan pahala, malah mungkin kerana kurang memahami ilmu kekeluargaan kerana tiada yang mendidik mereka sehingga tidak sedar wanita dicipta untuk menjadi isteri dan ibu yang melahirkan generasi rabbani, yang menyenangkan suami, bukan pemuas nafsu yang tidak halal pada awal usia remaja dan belia.

Dalam Surah Ar Rum, ayat ke 21 Allah SWT berfirman bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya dan dijadikanNya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda bagi kaum berfikir.’

Pembelajaran formal dan khusus amat penting dalam membentuk peribadi lebih harmoni kepada setiap generasi. Pendidikan seksualiti dan ilmu kekeluargaan adalah dua cabang ilmu berbeza. Walaupun kesesuaian diperkenalkan kepada pelajar peringkat menengah tidak seiring, ia tidak boleh dipinggirkan langsung.

Ilmu kekeluargaan dianggap lebih luas dan amat penting diperkenalkan sebagai sukatan mata pelajaran wajib. Antara lain menekankan aspek pembinaan keluarga mengikut lunas agama, faktor asas membina sebuah keluarga harmoni, ciri-ciri perlu ada dalam mempertahankan kebahagiaan keluarga dan tanggungjawab setiap ahli keluarga dalam menjamin keseimbangan toleransi dan kepercayaan menjurus kepada kepentingan institusi keluarga, perkahwinan dan komitmen sepanjang hayat serta keibubapaan.

Kes perceraian semakin meningkat dewasa ini adalah rentetan jalan pintas yang diambil oleh pasangan suami isteri dalam menyelesaikan konflik keluarga. Segala rasional dan diplomasi dianggap sesuatu yang remeh temeh, tambahan pula kebergantungan hidup kepada suami semakin berkurangan.

Isteri mula menafsir tanpa ketua keluarga, mereka masih boleh meneruskan hidup, malah lebih baik. Masalah rumah tangga mungkin boleh diselesaikan dengan perceraian, tetapi masalah pembesaran dan masa depan anak, juga kesan psikologi lantaran perebutan kuasa pemilikan ke atas mereka di samping proses pertumbuhan minda yang kurang sihat akan menzalimi kehidupan anak itu sendiri.

Konflik rumah tangga antara ibu bapa sering kali dilihat sebagai masalah yang tidak boleh ditangani di rumah. Walhal, anak adalah teras paling penting dalam menjamin keharmonian rumah tangga. Persoalannya, dapatkah anak memainkan peranan sepatutnya dalam membantu menyelesaikan konflik antara ibu bapa sekiranya tidak dibekalkan ilmu sepatutnya.

Mengenai ilmu perkahwinan, masyarakat hari ini mempunyai pengetahuan yang sangat cetek mengenai hukum mendirikan perkahwinan, memelihara malah berkaitan dengan pembubarannya. Ekoran pemahaman yang amat sedikit ini, mungkin ada suami mentalakkan isteri tetapi kerana urusan pendaftaran cerai tidak dilakukan seperti termaktub dalam peruntukan Undang-Undang Keluarga Islam, maka mereka tetap meneruskan kehidupan sebagai suami isteri walaupun tiada niat dan keinginan untuk rujuk.

Pengetahuan asas hukum perkahwinan perlu dimaklumi setiap orang kerana ia membabitkan nasab bakal menyambung generasi. Kursus praperkahwinan yang disyaratkan kepada bakal pengantin pula sebenarnya tidak mencukupi dan tempoh kursus yang amat singkat hanya mengizinkan ilmu asas menghadapi perkahwinan didedahkan. Ilmu kekeluargaan sebenarnya melangkau peranan yang harus dimainkan suami dan isteri.

Tidak boleh dinafikan, ilmu kekeluargaan harus disebatikan dalam setiap diri individu. Ia adalah ilmu paling mudah diamalikan memandangkan setiap pelajar mempunyai keluarga. Melalui pendidikan seksualiti dan kekeluargaan saja setiap individu diberi bimbingan secara rasmi mengenai amalan kehidupan, hak dan tanggungjawab yang tergalas di bahu mereka sebagai ahli keluarga dan masyarakat yang baik.

Bangunkan mentaliti rakyat Malaysia hari ini bahawa keluarga teguh adalah asas negara utuh. Rumpun keluarga harmoni dan berteraskan agama menjadi paksi kukuh bangsa bermaruah tinggi.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Sumber : http://www.bharian.com.my/

BELIA BERWAWASAN PENGGERAK KEMAJUAN


Oleh NURUL IZZAH SIDEK

KITA sering mendengar bahawa belia merupakan aset yang amat berharga serta tonggak dan kekuatan masa depan negara. Kita juga sedar bahawa belia juga adalah pewaris kepimpinan negara dan kesinambungan umat di masa hadapan.

Namun persoalannya adakah belia sendiri memahami akan tanggungjawab dan fungsi mereka terhadap pembangunan dan penggerak kemajuan negara? Adakah zaman muda remaja dan belia negara kita dipenuhi dengan aspirasi untuk menjadi belia yang berwawasan dan proaktif?

Sumbangan belia terhadap kemajuan negara

Belia ditakrif sebagai golongan yang berusia di antara 15-40 tahun. Di Malaysia, golongan belia mewakili kira-kira 45 peratus daripada jumlah rakyat Malaysia. Suatu jumlah yang tidak boleh dipandang remeh dan harus diberikan perhatian oleh semua pihak, terutama sekali dalam usaha pembangunan dan pengurusan belia.

Kamus Dewan mendefinisi perkataan wawasan pula sebagai sesuatu pandangan atau konsepsi berkaitan sesuatu perkara. Orang yang berwawasan boleh dikatakan sebagai orang yang mempunyai visi dan misi serta mempunyai pelan-pelan tindakan dan strategi dalam memajukan diri.

Orang yang berwawasan juga mempunyai prinsip yang teguh dan jati diri yang tinggi dalam membangun potensi diri dan orang lain.

Amat menyedihkan apabila golongan belia dan remaja sering dikaitkan dengan fenomena yang kurang baik. Dewasa ini kita disogokkan dengan cerita-cerita negatif yang melanda golongan ini sehinggakan kita sering tertanya-tanya akan puncanya.

Kemajuan dan pembangunan seringkali dijadikan sebagai alasan kepada tindak-tanduk yang kurang bermoral dan telah mendorong kepada perubahan drastik kepada institusi keluarga, masyarakat dan negara.

Kemajuan telah menjadikan taraf hidup semakin meningkat, keperluan keluarga semakin bertambah dan individu semakin bersaing untuk menjadi hebat.

Ada yang berjaya menjalani kehidupan dengan lancar, namun ada juga yang tidak dapat menongkah arus yang pesat ini lalu rebah dengan pengaruh yang kurang elok.

Pun begitu, Islam tidak menolak kemajuan dan perubahan. Malah, Islam amat menggalakkan umatnya berusaha untuk mempertingkatkan diri dan umat asalkan tidak tercicir daripada landasan syariat.

Justeru, adalah perlu golongan belia ini diasuh, dididik dan dibimbing ke jalan yang benar dan diredai Allah SWT. sehingga mampu menjadi generasi yang boleh diharapkan dan dibanggakan iaitu belia yang beriman, berilmu, beramal dan berakhlak mulia.

Adalah lumrah dan fitrah untuk mencari harta dan kesenangan di waktu muda belia kerana itu adalah keperluan hidup. Namun peranan belia hari ini bukan sekadar meningkatkan kerjaya diri dan mencari kesenangan harta, tetapi juga berusaha membangunkan negara ke landasan yang seimbang dan maju dalam acuan kita sendiri.

Ketangkasan berfikir dan kesihatan yang sangat optimum di zaman belia harus dimanfaatkan ke jalan yang benar dan berintegriti.

Sesebuah negara yang merdeka memerlukan setiap warganegaranya bersifat patuh dan taat terhadap program-program yang diatur yang memberi manfaat untuk membangunkan negara dalam semua bidang.

Kepatuhan terhadap membangunkan kualiti modal insan yang berkualiti menjadi pra syarat kepada pembangunan negara itu sendiri. Tanpa kualiti ilmu dan akhlak yang baik, tidak mungkin acuan pembangunan negara akan berjalan atas landasan yang seimbang.

Belia yang berjiwa kekhalifahan akan sentiasa mempunyai jiwa yang mempunyai kesedaran yang mendalam bahawa pengurusan itu adalah suatu amanah dan dikaitkan dengan ibadah dan barakah.

Jiwa kekhalifahan yang ditunjangi dengan jiwa kehambaan yang tinggi akan memerdekakan negara daripada kejahilan dan kemunduran dan ianya bakal membina negara kita ke arah negara yang maju dalam acuan kita sendiri.

Acuan sendiri haruslah tidak menolak faktor-faktor luar yang sifatnya bermanfaat dan dalam masa yang sama, faktor keislaman dapat dicemerlangkan.

Oleh itu para belia harus insaf dan sedar bahawa pembangunan potensi diri menjadikan belia berwawasan adalah suatu perkara yang amat penting dalam menjana kemajuan negara. Belia yang berketerampilan dan berwawasan pada dasarnya mempunyai kemahuan yang tinggi yang tidak mampu digugat sebarang kelemahan, sedia berkorban serta memahami prinsip kebenaran, meyakininya dan menghormatinya.

Merenung peranan belia di zaman Rasulullah, tidak dapat dinafikan bahawa belia menjadi tonggak utama perjuangan Rasulullah.

Dalam sejarah perkembangan Islam, golongan muda seperti Saidina Ali Karamallah Wajhah, Saidina Osman Ibni Affan, Abdul Rahman bin Auf, Ibni Zubair, Ibni Abbas dan ramai lagi para sahabat yang menjadi pelopor kepada suatu kebangkitan dan menjadi penggerak kepada arus perdana perubahan masyarakat.

Mereka selaku sahabat Rasulullah SAW sentiasa berjuang dan berjihad dalam menegakkan ajaran Allah di muka bumi ini.

Sejarah juga pernah menyaksikan ketangkasan Usamah bin Ziad yang ketika itu berusia 18 tahun memimpin satu bala tentera untuk menyerang kerajaan Rom. Begitu juga dengan kehebatan Muhammad al-Fateh membuka Kota Istanbul (Konstantinopal) ketika usia beliau 21 tahun.

Oleh itu terdapat beberapa perkara yang boleh diambil perhatian semua pihak agar potensi golongan belia dapat dibangunkan secara menyeluruh dan sistematik.

Pertamanya, golongan belia harus dibangun dengan nilai-nilai Islami dan murni. Minda golongan belia dan remaja amat terdedah kepada pengaruh baru.

Pendekatan Barat misalnya tidak semuanya selari dengan apa yang diperlukan dalam hidup. Namun harus diingatkan bahawa Barat tidak harus ditolak secara mutlak, tetapi proses pembaratan harus diwaspadai.

Tanpa asas agama dan nilai murni, watak belia dan remaja terutamanya remaja Islam akan mengalami ketirisan.

Keduanya, memperkukuh pendidikan secara integrasi supaya adanya kesepaduan antara ilmu fardu ain dan fardu kifayah. Mempelajari asas agama adalah suatu kewajipan yang penting, dan kita sedar akan pentingnya menuntut ilmu yang kifayah.

Tetapi dalam mendepani arus globalisasi yang semakin menghimpit umat Islam, menuntut ilmu dan memajukan diri telah menjadi suatu kewajipan demi mempertahankan agama dan umat. Pendidikan yang bersepadu yang menggabungkan kepentingan menuntut ilmu ukhrawi dan duniawi adalah amat penting supaya kehidupan umat Islam bertambah lebih baik dan dalam masa yang sama ajaran Islam tidak dipinggirkan.

Seterusnya, pembangunan belia harus dijana melalui pembangunan modal insan yang berkualiti dan seimbang. Ini amat signifikan dalam usaha menjana pembangunan negara bangsa dan cita-cita agama.

Program-program yang dianjurkan haruslah melibatkan semua pihak dan didasari dengan objektif yang berguna dan bermanfaat.

Badan-badan belia dan pertubuhan remaja wajar diberi peluang yang luas untuk mendedahkan aktiviti mereka kepada umum untuk menarik perhatian golongan remaja dan belia.

Kerjasama antara badan-badan pertubuhan juga amat penting supaya potensi golongan belia dan remaja dapat dibimbing dan disalurkan ke jalan yang betul.

Keempat, mengekang pengaruh budaya popular dan pendekatan secara hedonistik. Tidak dapat dinafikan bahawa pengaruh hedonistik menjadi cabaran kepada gaya dan cara kehidupan pada zaman ini.

Media cetak dan elektronik perlu menunjukkan contoh yang baik dan menampilkan laporan yang lebih bersifat membina daripada bersifat memusnah.

Rencana-rencana yang memberi inspirasi, bersifat intelektual dan membina minda harus disaji kepada minda golongan belia dan remaja dengan harapan agar ia dapat membina golongan belia yang berwawasan dan berpandangan jauh.

Kelima, melibatkan golongan belia dan remaja dalam bidang keusahawanan dan perniagaan. Bidang keusahawan menjanjikan peluang dan rezeki yang amat luas untuk golongan belia.

Selain daripada menjanjikan keuntungan yang tinggi, bidang ini menjana golongan belia supaya berfikiran lebih positif, berwawasan, kreatif, dan cekal.

Kemahiran kendiri (soft skills) juga dapat dibangunkan dengan baik. Rasulullah SAW di zaman belianya juga adalah seorang peniaga yang amat handal dan bijak. Justeru, amat wajar belia diberi peluang yang luas dalam bidang ini kerana ia bukan sahaja untuk keuntungan sendiri, malah juga membantu meningkatkan ekonomi negara dan umat secara seluruhnya.

Kesimpulan

Terdapat banyak lagi usaha yang boleh dilakukan dalam pembangunan belia. Namun ia memerlukan tanggungjawab dan usaha semua pihak dalam menjayakannya.

Dalam usaha mencapai matlamat belia sebagai penggerak kemajuan negara, golongan belia perlu meletakkan diri mereka sebagai pencetus, penggerak dan pembina tamadun Islam yang unggul, dihormati dan disegani oleh masyarakat dunia.

Sekiranya golongan ini mengambil inisiatif untuk melakukan perubahan kearah kebaikan maka akan lahirlah generasi cemerlang dan negara terbilang yang akan menaikkan martabat agama dan kedaulatan negara di tahap yang tertinggi dan terbaik.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

PUNCA PROJEK PEMBANGUNAN GAGAL SIAP IKUT JADUAL DAN CARA MENGATASINYA

KEKESALAN yang dilahirkan oleh Menteri Kerja Raya berhubung projek-projek pembangunan yang lambat siap atau tidak dapat disiapkan (terbengkalai), sebenarnya bukanlah isu baru di negara ini.

Selain boleh menjejaskan nama baik agensi kerajaan berkaitan, ia juga akan memberi kesan kepada bakal pengguna. Biasanya akan melibatkan orang ramai apabila memperkatakan tentang projek-projek pembangunan oleh kerajaan.

Kegagalan demi kegagalan kontraktor menyiapkan projek mengikut jadual menimbulkan persoalan tentang sejauh manakah kemampuan sebenar kontraktor yang dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan projek berkenaan.

Dalam perkara ini, punca kegagalan pelaksanaan projek perlu diteliti dan antara sebabnya ialah:

Pertama, ramai kontraktor yang tidak faham dengan mendalam tentang projek yang mereka laksanakan. Keadaan itu menyebabkan mereka gagal menjangka masalah-masalah yang bakal dihadapi.

Kedua, tiada perancangan rapi di peringkat awal projek. Perancangan sepatutnya meliputi sumber iaitu keperluan bahan binaan, tenaga kerja, keperluan peralatan serta perancangan aliran tunai projek.

Ketiga, tiada komitmen mendesak dalam diri sesetengah kontraktor. Akibatnya terhasillah "projek sambil lewa" dan mereka kemudiannya mengharap tempoh dilanjutkan.

Keadaan-keadaan di atas itu berlaku disebabkan kebanyakan kontraktor datang daripada latar belakang bukan dalam bidang pembinaan. Justeru, mereka tidak mempunyai pengetahuan mantap dalam selok belok pembinaan.

Kedua, mereka membuat perhitungan harga yang tidak tepat atau rendah disebabkan terlalu ingin memenangi tender projek berkenaan.

Ketiga, perhitungan harga yang tidak terperinci menyebabkan kesukaran untuk menyediakan perancangan kos perlaksanaan projek serta kemungkinan berlakunya pembaziran yang ketara.

Keempat, mereka gagal menentukan masa penyiapan projek dengan munasabah dan gagal mengenal pasti masalah-masalah yang mungkin timbul.

Kelima, mereka terlalu bergantung kepada sub kontraktor dan tidak menyediakan teknik pemantauan yang sempurna.

Bagaimanapun, kelemahan-kelemahan tersebut boleh diatasi sekiranya semua pihak mengambil sikap sentiasa peka dengan semua keadaan.

Maka, kerajaan hendaklah memastikan kontraktor-kontraktor yang dilantik benar-benar mempunyai pengalaman. Mereka perlu mempunyai rekod yang memuaskan sebelum dilantik menjadi kontraktor.

Selain itu, pemilihan kontraktor tidak seharusnya berdasarkan kepada harga tender paling rendah semata-mata. Sebaliknya berdasarkan kepada sejauh manakah hampirnya harga tender dengan anggaran kos yang terperinci yang disediakan oleh Juruukur Bahan berkelayakan.

Kerajaan juga mesti memastikan kontraktor menyediakan jadual perancangan projek secara terperinci sebelum kebenaran memiliki tapak. Dan ia hendaklah merangkumi kesemua kategori projek dan kelas kontraktor.

Selain itu, pihak yang bertanggungjawab memantau pelaksanaan sesuatu projek hendaklah sentiasa memberi ingatan kepada kontraktor sekiranya projek menunjukkan tandatanda akan berlakunya kelewatan.

Pihak berkenaan seharusnya mengarahkan kontraktor terbabit untuk membentangkan jadual pemulihan bagi mengelakkan berlaku kelewatan yang lebih buruk.

Kerajaan sendiri perlu mencadangkan tempoh penyiapan yang munasabah sebagai asas untuk kontraktor menyiapkan projek dan bukannya berdasarkan kepada cadangan oleh kontraktor.

Selain itu, peraturan yang lebih ketat dalam pemberian lesen kepada kontraktor pada masa depan perlu dilakukan. Ini kerana kita memerlukan kontraktor yang benar-benar berwibawa.

PROF. MADYA ZAKARIA MOHD YUSOF

Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi Malaysia

Sumber: http://www.utusan.com.my/

ISU PENGURANGAN MATA PELAJARAN TERAS SPM

Jangan kurangkan subjek teras SPM

KENYATAAN Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran untuk mengurangkan bilangan subjek teras dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) daripada enam kepada empat harus dikaji semula. Enam mata pelajaran teras bagi pelajar yang menduduki SPM pada masa ini ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam/Moral, Sejarah, Matematik dan Sains.

Memang pengurangan bilangan subjek teras berkenaan akan membolehkan calon-calon SPM mempunyai lebih banyak pilihan untuk subjek elektif dalam peperiksaan tersebut. Tetapi ia akan menjejaskan jati diri pelajar sebagai seorang rakyat Malaysia.

Apakah yang akan berlaku sekiranya empat subjek teras tersebut nanti adalah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains kerana dianggap lebih penting. Sudah tentu pelajar-pelajar yang tidak minat subjek Sejarah akan meminggirkan subjek tersebut.

Ada pelajar yang tidak akan mengambil subjek Pendidikan Islam dan Moral kerana diangap subjek yang tidak begitu penting sedangkan Pendidikan Islam, Moral dan Sejarah merupakan elemen penting membentuk modal insan yang berkaliber.

Dengan menghasilkan pelajar yang kurang pengetahuan agama dan nilai-nilai murni serta buta sejarah, apakah yang akan berlaku kepada masyarakat Malaysia pada masa hadapan? Akibat lemah pegangan agama dan buta sejarah, masyarakat Malaysia boleh terjerumus ke arah kehancuran peradaban yang akan menyaksikan masyarakat musnah ditelan pelbagai gejala tidak sihat.

NORHISYAM MOHAMAD

Sumber :http://www.utusan.com.my/

ISU BUMBUNG STADIUM RUNTUH

Insiden bumbung stadium runtuh undang pelbagai persoalan

INSIDEN runtuhnya sebahagian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin bernilai RM292 juta di Kompleks Sukan Gong Badak di Kuala Terengganu, memalu dan mengejutkan banyak pihak, apatah lagi ia baru setahun digunakan. Kebanggaan rakyat Terengganu khususnya, kerana memiliki sebuah stadium yang pertama di Asia dibina menggunakan sistem bumbung tanpa sokongan tiang, rupanya tidak lama. Bagaimanapun ini bukan kali pertama kejadian seumpama itu berlaku membabitkan stadium di negara kita meskipun saban tahun kita dengar insiden stadium runtuh berlaku di beberapa negara seperti Iran, Argentina, Brazil, United Kingdom dan sebagainya, dengan sebilangan kejadian itu membawa padah kepada penonton termasuk maut. Nasib baik ketika kejadian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin runtuh pada jam 9.30 pagi semalam, tiada yang cedera tetapi sebuah kereta dan tiga motosikal serta sebuah jentera berat yang diletakkan di sekitar stadium itu ranap. Pada November 1995, kerangka bumbung Stadium Tertutup di Kompleks Sukan Pahang (Sukpa) di Bandar Indera Mahkota, Kuantan yang sedang dibina, runtuh menyebabkan 10 pekerja cedera, termasuk tiga parah. Stadium berharga RM12 juta itu dikhaskan bagi acara bola tampar dalam Sukan Malaysia Ke-6 pada Jun tahun berikutnya. Nyata apa yang berlaku di Gong Badak semalam, tidak mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di negeri jiran Pahang 14 tahun lalu. Stadium dengan kapasiti 50,000 muatan itu menjadi mercu tanda Terengganu dan gelanggang bagi beberapa acara utama pada Sukan Malaysia (Sukma) 2008 dan perlawanan bola sepak Liga Super, yang pembukaannya dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 10 Mei tahun lalu.

Kita mahu supaya insiden yang menyebabkan anggaran kerugian RM25 juta itu dibuat siasatan rapi bagi mengenal pasti punca sebenar. Kualiti pembinaannya menjadi tanda tanya sehingga 60 peratus struktur bahagian bumbungnya runtuh. Mujur tiada sebarang acara sukan dianjurkan ketika bumbung di kawasan pentas utama itu runtuh kerana ia mungkin menyebabkan kehilangan nyawa. Jika benar seperti dakwaan sesetengah pihak bahawa lingkungan pada struktur bumbung tanpa sokongan tiang atau space frame structure sudah dapat dilihat dari jauh dan semakin ketara sejak beberapa minggu lalu, bermakna sesuatu yang buruk bakal berlaku. Masalahnya, mengapa tiada pemeriksaan atau pemantauan dilakukan bagi mengelak kejadian pada hal tanda awal sudah wujud. Namun, ia sudah berlaku dan cara terbaik ialah memulakan siasatan, sama ada ia berpunca daripada kecuaian kontraktor, perunding atau pengurusan stadium. Tidak perlu bagi kita untuk menuding jari apabila pelbagai pihak selepas ini dijangka mengeluarkan kenyataan bagi mempertahankan diri, sebaliknya berilah kerjasama kepada pihak yang menyiasat. Kita juga berharap Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) membuat kajian khusus mengenai runtuhan itu bagi mengelak kejadian sama berulang.

Sumber : htp://www.bharian.com/

Selasa, 2 Jun 2009

ISU BUMBUNG STADIUM RUNTUH


Sebelum Kejadian

Selepas Kejadian

Kejadian Bumbung Stadium Runtuh Memalukan Negara - Shaziman

KUALA TERENGGANU, 2 Jun (Bernama) -- Kejadian bumbung utama Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak dekat sini, yang runtuh pagi ini amat memalukan negara, kata Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor.

Beliau berkata walaupun kejadian itu tidak melibatkan kemalangan jiwa, ia menjejaskan imej negara kerana runtuhan itu membabitkan stadium baru yang belum sampai setahun digunakan.

"Walaupun daripada segi membaikpulihnya ditanggung oleh kontraktor dengan memasang bumbung baru, ia memberi gambaran yang tidak baik kepada negara, seolah-olah kontraktor kita tidak berkemampuan untuk melakukan kerja (membina) bangunan sedemikian rupa," katanya selepas meninjau stadium itu bersama Menteri Besar Datuk Ahmad Said.

Dalam kejadian pada kira-kira pukul 9.30 pagi itu, hampir 60 peratus struktur bumbung bahagian hadapan kiri dan kanan stadium berkenaan sepanjang 400 meter runtuh menyebabkan besi serta serpihan bumbung jatuh ke bahagian tempat duduk.

Shaziman berharap Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) akan membuat kajian terperinci bagi mengenalpasti punca runtuhan itu.

"Saya minta satu juruperunding yang mempunyai kepakaran dan berkualiti dilantik bagi menilai dan mengkaji mengapa bumbung stadium baru itu boleh runtuh.

"Saya tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak. Apa yang saya mahu ialah satu laporan terperinci kerana kejadian ini memalukan negara walaupun kesilapannya mungkin bukan berpunca daripada kita," katanya.

Beliau berkata kejadian itu akan menyebabkan masyarakat luar menganggap kontraktor tempatan tidak berkemampuan untuk membina bangunan-bangunan besar.

"Saya juga ingin tekankan kepada CIDB supaya lihat dengan terperinci jika hendak membina satu-satu struktur bangunan di negara ini daripada perancangannya, reka bentuknya, juruperunding, pembinaannya sehinggalah kalau bangunan itu hendak diruntuh pun kita sudah ada piawaian amalan kerja. Kita tidak akan bertolak-ansur dalam perkara ini.

"Pemilihan kontraktor hendaklah berdasarkan kemampuan dan kalau projek besar, pastikan konsultan itu ada kapasiti. Begitu juga dengan kontraktor mesti ada pengalaman dan pengetahuan teknikal yang tinggi," katanya.

Sementara itu, Ahmad berkata kerajaan negeri akan melantik konsultan bebas yang benar-benar berkemampuan dan mendapatkan maklumat dari Jabatan Kerja Raya bagi mengenalpasti punca kejadian.

"Siasatan awal mendapati kerugian dianggar RM25 juta," kata menteri besar itu yang jelas sedih dan kecewa dengan insiden yang berlaku itu.

Beliau berkata stadium utama itu akan ditutup sehingga kerja membaikpulih dilakukan sepenuhnya dan ia akan dibuka setelah mendapat jaminan keselamatan daripada kontraktor yang akan dilantik kelak.

Berikutan kejadian itu, beliau berkata stadium tertutup dan beberapa bangunan baru yang terletak berhampiran stadium utama itu akan diperiksa bagi memastikan ia berada dalam keadaan baik dan selamat untuk digunakan.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati polis, bomba dan penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) masih mengawal keadaan sekitar stadium berkenaan bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.

Stadium berharga RM292 juta itu baru siap setahun lepas dan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 10 Mei tahun lepas. Ia menjadi mercu tanda Terengganu dan gelanggang bagi beberapa acara utama pada Sukan Malaysia (Sukma) 2008.

Sumber- BERNAMA

ISU PENGURANGAN MATA PELAJARAN TERAS SPM

Pendidikan Islam/Moral tingkat jati diri

APAKAH rasional Kementerian Pelajaran untuk mengehadkan pengambilan subjek untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kepada 10 subjek sahaja? Apakah juga relevannya mengurangkan subjek teras dalam SPM kepada hanya empat subjek berbanding enam sebelum ini?

Seperti yang kita tahu, enam subjek teras SPM ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik, Sejarah dan Pendidikan Islam atau Moral.

Selain untuk menimba ilmu, subjek-subjek teras juga merupakan permulaan kepada proses pembentukan menjadi warganegara yang bertanggungjawab, bertoleransi dan tahu asal usul negara bermasyarakat majmuk ini.

Pelajaran seperti Sejarah amat penting untuk pelajar. Begitu juga Pendidikan Islam dan juga Moral. Subjek-subjek ini bagaimanapun perlu tampak signifikan untuk diajar dan bukan hanya sekadar belajar untuk lulus peperiksaan semata-mata.

Ia mesti dapat diadaptasi dan diaplikasikan di dalam kehidupan seharian pelajar.

Realitinya, pengisian dan pemahaman tulen kepada kandungan subjek itu adalah jauh lebih penting daripada terburu-buru menghabiskan topik-topik di dalam buku untuk menyelesaikan sukatan pelajaran.

Malah, penekanan kepada beberapa topik penting yang sangat relevan kepada negara bermasyarakat majmuk ini juga perlu dipertingkatkan agar mesejnya sampai ke sanubari warga muda negara ini.

Di sini penulis ingin mengesyorkan agar topik-topik di dalam subjek teras seperti Sejarah, Pendidikan Islam/Moral, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris patut juga dikaji semula agar relevan dan lebih padat.

Adakalanya topik di dalam subjek tersebut tidak berapa signifikan dengan perkembangan persepsi warga muda ketika ini. Dalam masa sama, topik-topik yang signifikan untuk mereka sekadar bacaan sambil lalu dan ringan yang hanya untuk dihafal dan bukannya mendatangkan kesan mendalam kepada emosi mereka.

Pendek kata, mana-mana topik yang kurang signifikan kepada pelajar-pelajar perlu digugurkan sahaja. Tidak apa jika sesetengah topik di dalam subjek itu dikurangkan asalkan topik-topik yang tinggal atau dikekalkan, masih relevan dan berkesan.

Maka, topik-topik yang penting seperti perkembangan evolusi negara dan bangsa perlu ditekan dan diperkembangkan dengan harapan pelajar-pelajar atau golongan muda ini dapat menjiwai kerangka pembinaan negara dengan lebih sempurna.

Realitinya, Kementerian Pelajaran masih mempunyai hak untuk membantu membentuk anak-anak bangsa ini menjadi warganegara yang lebih bertoleransi dan sensitif terhadap kehidupan dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Jika mengurangkan subjek teras kepada empat sahaja (kemungkinan Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains), Kementerian Pelajaran seolah-olah telah terlepas satu peluang untuk membaja jiwa pelajar-pelajar agar lebih patriotik.

Ini kerana usia muda di zaman persekolahan inilah merupakan tempoh terbaik untuk mendidik kalangan anak-anak ini dengan aspek kecintaan terhadap negara dan jati diri yang tinggi. Ia ibarat melentur buluh sewaktu di peringkat rebung.

Penulis berpendapat subjek Sejarah dan Pendidikan Islam/ Moral patut terus menjadi subjek wajib agar ia dipelajari dan difahami oleh setiap pelajar. Kandungan pelajaran di dalam Pendidikan Islam/Moral mampu menjana naluri pelajar untuk menjadi insan berjiwa murni.

Maka amat penting untuk kedua-dua subjek itu terus dijadikan subjek 'paksaan' kepada pelajar. Ini kerana jika ia dijadikan subjek alternatif, mungkin ramai pelajar yang tidak akan mengambilnya.

Dan jika ia berlaku, maka Kementerian Pelajaran telah terlepas peluang untuk bertindak sebagai organisasi penting dalam membentuk keluhuran jiwa dan emosi warga muda yang masih di bawah lingkungan tanggungjawab kementerian dalam aspek pendidikan itu.

Ayat mudah untuk menerangkan maksud penulis ialah, "tidak" kepada soal pengurangan subjek teras.

Ia perlu diteruskan terutama ketika negara memerlukan usaha keras menyemai dan mempertahankan perpaduan di kalangan rakyat pelbagai kaum ini.

Seperkara lagi, struktur peperiksaan Kementerian Pelajaran juga perlu lebih fleksibel di dalam menerima pelbagai taraf IQ pelajar. Tidak ada salahnya jika ada pelajar yang mahu mengambil lebih daripada 10 subjek semasa peperiksaan SPM.

Ibu bapa dan guru-guru yang terlibat di dalam proses pembelajaran tersebut pastinya sudah mengkaji dan menganalisis kapasiti pelajar tersebut sebelum menggalakkan mereka mengambil lebih banyak subjek.

Dan penulis pasti ia bukan untuk menunjuk-nunjuk tetapi lebih kepada menilai diri sendiri. Lagi pun, ia adalah satu usaha positif, maka apa salahnya mereka mengambil lebih subjek dalam SPM.

Sumber : http://www.utusan.com.my/