Khamis, 16 Julai 2009

DIDIK ANAK MENJIWAI ILMU

DALAM sistem pendidikan negara, anak-anak telah mula mempunyai chemistry atau hubungan dengan institusi pendidikan seawal usia empat tahun. Lazimnya, mereka dihantar ke taman asuhan seterusnya ke sekolah. Lengkap dengan buku dan alat tulis serta pakaian seragam serta mengikuti sesi persekolahan selama enam atau tujuh jam sehari.

Itu belum termasuk jadual pendidikan sampingan anak-anak, seperti kelas tuisyen, kelas agama dan mengaji al-Quran atau kegiatan kokurikulum.

Kehidupan seharian anak-anak yang diprogramkan sebegini rupa menunjukkan kepentingan budaya menimba ilmu. Ia penting dalam membentuk manusia yang seimbang nilai rohani, jasmani, emosi dan intelektualnya. Namun, ada anak-anak yang tidak melihatnya sebagai sesuatu yang memberikan makna yang besar, sekadar suatu rutin yang disusun atur oleh ibu bapa.

Pergi ke sekolah dan menuntut ilmu sepatutnya bukan sekadar rutin kepada persepsi anak-anak. Ia perlu dilihat sebagai kewajipan ke atas orang Islam. Ia bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW iaitu "menuntut ilmu itu wajib bagi setiap Muslim."

Anak-anak perlu difahamkan bahawa menuntut ilmu juga diandaikan seperti berjihad ke jalan Allah seperti hadis: "Barang siapa keluar untuk mencari ilmu maka ia berada di jalan Allah sampailah ia kembali" (riwayat al-Tirmizi).

Sebagai ibu bapa pasti ada antara kita yang pernah diajukan persoalan oleh anak-anak seperti: "Ayah, kenapa saya perlu ke sekolah setiap hari?" atau "Ibu, apa perlunya saya belajar bersungguh-sungguh?"

Apa pula agaknya jawapan yang sesuai untuk diberikan? Adakah mencukupi atau tepat dengan mengatakan kepada anak-anak bahawa: "Kamu mesti belajar untuk lulus peperiksaan dengan cemerlang" atau "Kalau nak jadi orang yang ada kerja yang elok dan banyak duit, kenalah pergi ke sekolah dan belajar rajin-rajin."

Jawapan seperti ini ditafsir sesetengah orang sebagai kurang tepat. Ia menzahirkan trend dalam kalangan ibu bapa yang nampaknya bersungguh-sungguh mendidik anak-anak melangkahkan kakinya ke sekolah dengan hanya bermatlamatkan kecemerlangan dalam peperiksaan atau sebagai batu loncatan untuk mendapat kerja.

Bila anak-anak disemai dengan budaya terlalu mengejar kedudukan nombor satu dalam kelas atau deretan 'A' semaksimum mungkin, ia menjadikan mereka mengejar tanda aras (bench mark) tersebut dan tidak berfikir untuk meraih lebih jauh daripada itu.

Banyak impak negatif jika usaha mencari ilmu itu tidak diiringi dengan amalan. Antaranya, anak-anak akan terfokus untuk mengejar objektif yang ditetapkan oleh ibu bapa dan tertekan apabila ia tidak menjadi kenyataan.

Rasa takut dan rendah diri akan wujud jika nombor dalam kelas atau keputusan peperiksaan yang diidamkan oleh ibu bapa tidak dicapai. Akan wujud jugalah situasi di mana sesetengah anak yang "kurang berjaya daripada segi akademik" disisih dan dipandang rendah oleh ibu bapa, keluarga dan masyarakat.

Mereka kemudiannya mencari jalan singkat dalam memujuk diri yang dicap 'kurang bijak' dengan terbabit dalam gejala-gejala negatif seperti merokok, melepak, vandalisme, menagih dadah bahkan membunuh diri.

Hakikatnya, gagal dalam peperiksaan bukanlah bererti mereka sudah tewas dan tidak akan mampu mengharungi cabaran kehidupan di masa mendatang.

Bagi sesetengah anak yang berjaya pula, ilmu yang ditimba itu tidak diamalkan sebaiknya bahkan ia begitu rapuh hilang daripada ingatan selepas berakhirnya peperiksaan atau pengajian. Semudah hilangnya nota-nota atau buku-buku rujukan dari pandangan mata.

Mungkin juga gejala-gejala seperti merasuah dan pecah amanah berlaku disebabkan kedangkalan ilmu atau hanya kelihatan pandai tetapi tidak beramal dengan ilmunya.

Inilah antara senario yang biasa berlaku dalam masyarakat kita. Roh ilmu itu tidak benar-benar meresap di dalam diri sejak kecil, kerana ilmu pengetahuan dicari bersandarkan matlamat-matlamat yang orientasinya kurang tepat - tetapi tidak salah.

Ilmu itu sebenarnya perlu dicari, dipelajari dan dihayati secara istiqamah. Bak kata pujangga, "gersang bumi tanpa hujan, gersang minda tanpa ilmu, gersang jiwa tanpa amal, gersang hati tanpa iman".

Sejak kecil lagi, anak-anak perlu dididik bahawa ilmu pengetahuan bukan hanya untuk dicari dan dipelajari, bahkan ia diamal dan diniatkan kerana Allah SWT. Menurut perspektif Islam, dengan cara itu dapat meningkatkan darjat hidup manusia di dunia dan akhirat.

Ibu bapa sebagai role model yang paling rapat dengan anak-anak wajar memberikan misalan terbaik dalam mendasari kaedah mengamalkan ilmu.

Cara paling mudah adalah untuk menunjukkan minat dan sokongan padu terhadap anak-anak. Contohnya, mengambil berat keperluan dan perkembangan pelajaran mereka dengan meluangkan masa membantu atau bertanyakan kerja rumah yang diberikan guru. Selain itu, mereka juga boleh dinasihati agar memelihara kemurnian ilmu untuk kebaikan di dunia dan akhirat.

Dalam hal beramal misalnya, ibu bapa boleh mengajak anak-anak mengerjakan solat pada awal waktu, tidak culas melaksanakan puasa sunat serta bertadarus bersama-sama. Ini merupakan contoh kaedah pengamalan ilmu yang diperoleh secara hands-on atau praktis secara langsung. Barulah ilmu itu tepat dengan sasaran "dari mata turun ke hati, lalu kekal tersemat di dalam jiwa dan pemikiran."

Dalam hal moral dan tatasusila, ibu bapa wajar menunjukkan contoh pekerti mulia seperti tidak merokok, menjaga percakapan daripada mengumpat atau menutur kata-kata kesat, menjaga adab-adab berjiran, dan sebagainya.

Dengan cara ini, anak-anak akan lebih jelas bahawa ibu bapanya tidak menunjukkan tindak-tanduk yang kontra dengan apa yang dipelajari di sekolah.

Kaedah-kaedah yang dicadangkan sebenarnya tidak sesukar mana dan memerlukan komitmen yang berterusan daripada ibu bapa.

Pokok pangkalnya, sekelumit contoh yang diberikan penulis di atas adalah diyakini mampu menjadi pencetus yang signifikan dalam menceritakan kepentingan mengamalkan ilmu kepada anak-anak.

Ia mampu menjadi pencetus terbaik bagi mereka menjiwai bidang-bidang ilmu yang akan diterokainya kelak bahkan memberikan pulangan lebih lumayan dan terkesan dalam membangunkan martabat anak-anak, ibu bapa, masyarakat, agama dan negara.

PENULIS ialah Pensyarah di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Malaysia juara Remaja Asia

Oleh Lukman Salleh
lukmsal@bharian.com.my


PASUKAN remaja negara meraikan kejayaan mereka selepas menewaskan China di Stadium Juara Bukit Kiara, petang semalam.

Kejutkan China 3-1 di final

MALAYSIA muncul juara Kejohanan Badminton Remaja Asia � untuk mengulangi kejayaan pada 2007 - selepas menumbangkan pilihan pertama China 3-1 dalam perlawanan akhir di Stadium Juara, Bukit Kiara, semalam.

Selepas tunduk perlawanan pertama beregu campuran untuk ketinggalan 1-0 kepada China, Malaysia bangkit melalui perseorangan lelaki, Iskandar Zulkarnain Zainuddin (gambar kecil), disusuli mata kedua oleh perseorangan wanita, Tee Jing Yi, sebelum kombinasi Goh Jian Hao-Pang Zheng Lin memberi mata kemenangan kepada skuad pimpinan Sun Chen Hua.

"Saya gembira dapat mengembalikan keyakinan kepada pasukan negara dengan menyamakan kedudukan selepas kita kalah beregu campuran," kata Iskandar, 18, pemain kelahiran Kuala Lumpur.

Malaysia memulakan pertarungan menentang China dengan langkah kiri apabila gandingan campuran Ow Yao Han-Lai Pei Jing tunduk mudah 17-21, 10-21 kepada kombinasi China, Lu Kai-Bao Yixin.

Bagaimanapun, Iskandar menceriakan kem negara apabila menampilkan permainan terbaiknya untuk menundukkan Tian Houwei 21-17, 21-16 dalam 45 minit untuk menyamakan kedudukan 1-1.



Dengan semangat kembali disuntik, perseorangan wanita Jing Yi, memberikan aksi penuh bertenaga untuk mengejutkan Chen Xiaojia dalam pertarungan tiga set 21-19, 12-21, 21-17 hampir sejam.

"Saya memang bertekad memberi satu mata kepada negara," kata Jing Yi. "Selepas persembahan buruk semalam (kelmarin) ketika menentang Jepun, saya berjanji menebus kegagalan itu dan berjaya walaupun saya kalah dalam set kedua," katanya.

Mendahului 2-1, tiba giliran gandingan Jian Hao-Zheng Lin untuk memberikan mata kemenangan menentang Liu Peixuan-Guo Junjie dan mereka tidak mengecewakan.

Menang selesa set pertama 21-16, anak didik Yap Kim Hock itu bagaimanapun menampilkan aksi buruk set kedua apabila ketinggalan 1-8 sebelum merapatkan jurang 14-16 tetapi ketinggalan lagi dan di ambang kekalahan apabila gandingan China itu memegang mata akhir 20-14.

Pada ketika itulah Jian Hao-Zheng Lin melakukan kebangkitan menakjubkan apabila mengunci kedudukan China untuk memungut enam mata berturut-turut buat menyamakan kedudukan 20-20 sebelum meraih dua mata akhir bagi kemenangan 22-20 dan gelaran juara remaja Asia kepada Malaysia. "Pada kedudukan 14-20, kami menukar strategi menghantar bola ke belakang dan membiarkan mereka melakukan kesilapan. Sedikit demi sedikit, kami merapatkan diri dan menang perlawanan. Kami sendiri sukar mempercayainya," kata Zheng Lin.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

ISU BUDAYA KERJA PERKHIDMATAN AWAM

Penjawat awam mesti komited, bertanggungjawab

SEKTOR perkhidmatan awam sering kali dijadikan petunjuk kepada keberkesanan penyampaian kerajaan kepada masyarakat akar umbi.

Gagasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak: "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" pastinya akan menjadikan rakyat terus menilai sejauh mana kualiti dan budaya kerja sektor perkhidmatan awam.

Harus diakui kerajaan telah, sedang dan akan dari semasa ke semasa memenuhi keperluan kakitangan awam daripada pelbagai aspek antaranya skim gaji, kenaikan pangkat, hal-hal berkaitan kebajikan hinggalah keselesaan bekerja dengan prasarana pejabat yang canggih.

Persoalannya, adakah pegawai dan kakitangan kerajaan benar-benar menghargai kemudahan yang diberikan itu dengan melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab?

Memang bukan semua penjawat awam bermasalah. Hanya segelintir sahaja. Namun, ibarat kerbau membawa lumpur, habis semua terpalit. Begitulah kenyataan yang berlaku hari ini. Masih ramai yang terpaksa berdepan dengan sikap dan cara kerja kakitangan awam yang bertugas secara sambil lewa dan ada kalanya biadap pula.

Banyak mekanisme yang dilakukan oleh kerajaan dalam menilai keberkesanan kerja penjawat awam seperti peperiksaan dan kursus. Bagaimanapun ia akan menjadi sia-sia sahaja jika sikap negatif kakitangan awam tidak berubah.

Oleh itu, semua penjawat awam harus memperbaiki dan meningkatkan kualiti diri. Sikap banyak berbual kosong ketika waktu kerja, cenderung mencari kesilapan rakan sekerja serta memperbesar-besarkan cerita dan tidak membantu mewujudkan suasana kerja yang kondusif.

Penjawat awam seharusnya menghayati etika kerja jabatan masing-masing dan diterjemahkan dalam kerja mereka. Paling tidak patut dibuat ialah terjebak dalam penyelewengan kuasa termasuklah penyalahgunaan Internet di pejabat walaupun isu ini dianggap remeh.

Tidak kurang pentingnya juga kemahiran komunikasi yang bukan sekadar berputar pada soal penguasaan bahasa Inggeris semata-mata.

Perkara paling dasar dalam komunikasi iaitu ketertiban, beradab dan menghormati antara sesama rakan sekerja serta paling penting, pelanggan. Ia perlu sentiasa dipupuk dan diberi penekanan.

Dalam masa yang sama, penjawat awam juga wajar menjadikan membaca sebagai amalan sekurang-kurangnya membaca akhbar-akhbar harian serta sebuah buku sebulan.

Apa pun, penjawat awam harus bersyukur kerana ditakdirkan Tuhan terlibat dalam perkhidmatan awam. Ramai yang di luar sana mengidamkan 'kerusi' penjawat awam tetapi tidak kesampaian meskipun ada sebahagiannya yang lebih layak.

Oleh itu, amatlah keterlaluan jika rezeki yang dianugerahkan-Nya itu tidak dihargai dengan sikap dan amalan kerja sambil lewa, bongkak dan tidak komited terhadap kerja yang diamanahkan.

Perlu ditegaskan perkhidmatan awam sama sekali tidak memerlukan modal insan yang seperti itu kerana ia akan merosakkan imej kerajaan.

Mereka ini harus keluar daripada perkhidmatan awam untuk merasai sepak terajang, cabaran atau pahit-maung dalam sektor swasta atau bekerja sendiri.

Penjawat awam yang menyedari peranannya akan komited dengan tugas. Ini penting agar apa sahaja dasar kerajaan dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan demi manfaat dan kesejahteraan hidup rakyat Malaysia.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

MELAYU BERMIMIPI DALAM KEPOMPONG BUDI BAHASA

BUAT ke sekian kalinya, Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah bertitah lagi tentang orang Melayu. Ternyata baginda amat prihatin dengan perkembangan bangsa Melayu kini.

Dalam titah di majlis perasmian Muzakarah Cendekiawan Islam 2009, baginda sekali lagi mengingatkan umat Melayu supaya berpijak pada kenyataan dan berpandu pada akal fikiran.

Dengan kedaulatan baginda yang berasal daripada keturunan raja-raja Melayu Melaka, dan ditambah dengan keintelektualannya, orang Melayu mesti serius dalam memahami gejala kehancuran yang sedang melanda.

Mengulas tentang saranan Raja Nazrin supaya orang Melayu menggunakan akal fikiran, saya ingin mengaitkan dengan serangkap pantun Melayu: "Yang kurik kundi, yang merah saga; yang baik budi, yang indah bahasa."

Dalam satu kajian, saya terjumpa baris ketiga pembayang dan baris keenam maksud pantun itu yang saya fikir sengaja dihilangkan. Baris ketiga pembayang ialah: "yang keras itu takal" manakala baris keenam maksud pula berbunyi: "yang pantas itu akal".

Kehilangan kedua-dua baris keramat itu saya jangka adalah sebahagian usaha orientalis dan penjajah British yang mahu memisahkan orang Melayu daripada dunia keintelektualan.

Hal ini samalah dengan momokan British yang kononnya sebahagian besar naskhah persuratan Melayu yang sarat dengan pemikiran dan unsur-unsur keintelektualan telah tenggelam bersama-sama kapal Raffles tatkala dibawa belayar ke Eropah.

Dengan demikian, walaupun setelah lebih separuh abad orang Melayu merdeka daripada penjajahan Barat, ternyata aspek kemerdekaan minda masih belum berlaku. Orang Melayu masih gagal membuat pertimbangan tanpa pengaruh emosi, assabiyah dan dendam kesumat.

Orang Melayu masih terlalu hebat berbudi bahasa sehinggakan apabila sekali termakan budi, kita rela menggadai maruah dan menghambakan diri tanpa memikirkan masa depan bangsa sendiri. Kita rela berbantah-bantahan dengan saudara kita sendiri demi menyokong dan menegakkan orang lain.

Walaupun istilah Melayu itu bersinonim dengan Islam, tetapi nampaknya orang Melayu masih belum benar-benar mukmin.

Namun jangan sekali-kali diperlekeh keislaman mereka walaupun mereka tidak solat, tidak puasa, atau melakukan perbuatan-perbuatan yang tidak Islamik.

Islam menuntut kita supaya bersatu padu tetapi kita tidak mahu. Islam menyuruh kita berfikir, tetapi kita lebih suka mengikut emosi dan nafsu.

Ternyata setelah dijajah selama 446 tahun, orang Melayu berjaya dipisahkan daripada akal mereka dan hanya hidup berpandukan budi bahasa semata-mata. Dalam kepompong budi bahasa itulah sebahagian orang Melayu leka dengan mimpi yang indah-indah tetapi bercanggah dengan realiti semasa.

Walaupun telah banyak kali diperingatkan dan diuji, sikap sebahagian orang Melayu masih tidak berubah menjadi manusia yang dinamik dan pragmatik. Keselesaan mereka dalam dimensi fatamorgana benar-benar berjaya meletakkan diri mereka dalam arus pemikiran bawah sedar. Mereka terpisah daripada rasional dan hanya bersifat pengikut yang taksub.

Siapa tidak tahu bahawa orang Melayu sangat suka berhasad dengki sehinggakan apabila ada orang Melayu yang naik tinggi, akan diusahakan supaya dijatuhkan. Apabila mengatur majlis, orang Melayu terkenal dengan "waktu Melayu". Apabila dipujuk rayu misalnya oleh Pak-pak Arab, Mat-mat Indonesia, anak-anak Melayu mudah terlentuk dan hanyut.

Tidak lama dahulu banyak kes anak-anak Melayu yang terbabit dengan sindiket pengedaran dadah antarabangsa apabila dijanjikan kemewahan hidup. Nampaknya dunia telah tahu bahawa orang Melayu sangat mudah 'digula-gulai' kerana bangsa ini seolah-olah tidak berakal!

Setelah Raja Muda bertitah demikian, apakah pemimpin dan rakyat Melayu masih belum faham-faham lagi?

Yang kurik kundi,

yang merah saga,

yang keras takal;

yang baik budi,

yang indah bahasa,

yang pantas akal.

DR. SHARIFUDIN LUBIS

Universiti Putra Malaysia

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Selasa, 14 Julai 2009

ISU DISIPLIN PELAJAR

Padah apabila gagal mengawal emosi

PERISTIWA lima pelajar perempuan yang terlibat dalam satu pergaduhan di sebuah sekolah di Ketengah Jaya, Dungun, Terengganu bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan dan dijadikan contoh. Lebih mengejutkan, kejadian pergaduhan dilakukan oleh sekumpulan pelajar perempuan yang dilihat bersifat agresif menyerang mangsa.

Akibat tindakan mereka yang tidak dapat mengawal emosi, dua daripada lima pelajar perempuan tersebut dibuang sekolah. Dua lagi pelajar dikenakan hukuman gantung sekolah selama seminggu manakala seorang lagi digantung persekolahan tiga hari.

Peluang untuk meneruskan persekolahan masih terbuka untuk dua pelajar yang dibuang sekolah. Sekiranya mereka masih mahu meneruskan persekolahan, mereka perlu mengemukakan rayuan untuk tindakan lanjut. Dilaporkan juga, siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana bergaduh dan Seksyen 506 akta sama kerana terdapat unsur ugutan dalam kejadian itu.

Perasaan cemburu dikatakan antara penyebab kepada pergaduhan. Kedua-dua mangsa dikatakan cerdik, cantik dan disukai guru sekolah. Ini menyebabkan tiga pelajar senior merancang pergaduhan antara kedua-dua mangsa yang merupakan pelajar tingkatan satu.

Tindakan lebih berani dilakukan apabila aksi kejadian melibatkan empat daripada lima pelajar itu yang berpakaian seragam sekolah turut tersebar di laman perkongsian video, YouTube.

Hukuman yang dikenakan kepada mereka memang wajar untuk menjadi tauladan kepada pelajar-pelajar lain supaya tidak mengambil tindakan yang boleh menjejaskan masa hadapan mereka.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom menjelaskan, rata-rata pelajar yang terlibat dalam gejala negatif seperti pergaduhan dan buli tidak sedar bahawa ia boleh menjejaskan masa depan mereka.

Kenyataan beliau perlu diberi perhatian serius kerana masa hadapan pelajar banyak bergantung kepada keupayaan untuk mengawal emosi dan tidak bertindak secara agresif.

Banyak kajian menunjukkan bahawa tindakan seperti buli bermula dengan hanya perbuatan suka-suka dan berseronok. Apa yang sering berlaku ialah peristiwa yang pada mulanya menyeronokkan membawa padah yang buruk kepada mangsa dan pelaku.

Adalah satu yang amat menyedihkan apabila pelajar yang masih lagi berada pada peringkat remaja dan umur yang masih muda terpaksa meninggalkan alam persekolahan. Apa yang lebih menyedihkan lagi apabila mereka disabitkan dengan perlakuan jenayah dan terpaksa melupakan kehidupan sebagai seorang pelajar. Ini tentunya akan memberi kesan buruk kepada diri dan keluarga mereka.

Remaja yang berada di luar alam persekolahan dilihat lebih terdedah kepada masalah sosial dan jenayah. Begitu juga, adalah lebih sukar untuk remaja yang tidak mendapat pendidikan yang baik untuk mempunyai masa hadapan yang cerah.

Seperti mana kenyataan Alimuddin, pelajar perlu berfikir panjang untuk tidak melakukan perkara-perkara yang akan menjejaskan masa hadapan mereka. Secara psikologinya, pada peringkat perkembangan diri, remaja banyak menghadapi konflik. Ini termasuk konflik perhubungan dengan rakan-rakan.

Perasaan cemburu atas kelebihan yang ada pada orang juga wujud. Jika konflik diri ini tidak diurus dengan baik, ia akan membawa banyak kesan negatif. Bertindak balas secara agresif atas ketidakupayaan mengawal emosi seperti membuli ternyata bukan sahaja memberi kesan kepada mangsa tetapi juga kepada pembuli.

Pelajar sekolah yang berada pada tahap remaja memerlukan bimbingan dalam kehidupan mereka. Jika mereka menghadapi konflik diri, mereka boleh mendapatkan bantuan seperti kaunseling, berbincang dengan rakan-rakan dan guru atau mencari hobi yang diminati.

Ibu bapa pula memainkan peranan yang sangat penting memantau perkembangan anak-anak di samping bekerjasama dengan pihak sekolah dalam menyelesaikan setiap masalah yang dihadapi.

DR. SAPORA SIPON

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Isnin, 13 Julai 2009

HARI TIDAK BERBELANJA -16 JULAI 2009

GABUNGAN Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mengadakan Hari Tidak Berbelanja pada 16 Julai 2009. Aktiviti ini yang merupakan kali kedua dianjurkan oleh FOMCA. Kali pertama diadakan pada tahun 2008.

Hari Tidak Berbelanja sebenarnya telah menjadi acara di peringkat antarabangsa. Ia mula diadakan pada bulan September 1992 di Vancouver, Kanada. Kemudiannya acara ini ditetapkan pada 28 November di Amerika Utara dan 29 November bagi peringkat antarabangsa, iaitu selepas sambutan `Thankgiving’.

Di Malaysia pula, FOMCA telah memilih 16 Julai sebagai tarikh bagi Hari Tidak Berbelanja.

Hari Tidak Berbelanja ini merupakan sebahagian daripada program Kempen Konsumer Kebangsaan (Kempen 3K) yang dijalankan oleh FOMCA, dengan kerjasama Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO), Majlis Belia Malaysia dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS). Pada 12 Jun lalu, PETRONAS telah turut serta dalam Kempen 3K ini.

Hari Tidak Berbelanja ini diadakan bertujuan untuk memberikan kesedaran kepada para pengguna agar memikirkan tabiat berbelanja mereka. Pada hari tersebut, para pengguna digalakkan agar tidak membuat sebarang pembelian yang tidak perlu.

Selain itu, melalui Hari Tidak Berbelanja ini, pengguna disaran agar dapat meningkatkan kesedaran tentang isu penggunaan yang berlebih-lebihan dalam perbelanjaan. Matlamatnya bukan untuk menyelesaikan masalah penggunaan yang berlebih-lebihan ini dalam tempoh satu hari sahaja, tetapi untuk mendidik pengguna membuat pembelian yang lebih berhemat sepanjang 364 hari yang lainnya dalam tahun tersebut.

Hari Tidak Berbelanja tidak bertujuan untuk memboikot atau berkonfrontasi terhadap mana-mana pihak, tetapi lebih menjurus kepada usaha mendidik para pengguna agar menjadi lebih bijak dalam perbelanjaan harian mereka. Ia berhasrat untuk menyebarkan mesej yang jelas kepada para pengguna bahawa mereka masih dalam menjalani kehidupan dengan sejahtera walaupun tidak perlu berbelanja.

Adalah diharapkan agar Hari Tidak Berbelanja mampu mendidik para pengguna supaya meminimumkan perbelanjaan supaya mereka lebih menghargai nilai wang yang dibelanjakan setiap hari. Para pengguna akan menilai sama ada wang mereka dibelanjakan dengan sewajarnya atau tidak.

Soalan Lazim Hari Tidak Berbelanja

Apakah maksud Hari Tidak Berbelanja?

Hari Tidak Berbelanja merupakan hari bagi pengguna mencabar diri mereka sendiri untuk tidak membeli-belah dalam tempoh sehari, tetapi masih dapat menikmati kehidupan. Sesiapa sahaja boleh mengambil bahagian dengan syarat mereka tidak mengeluarkan wang pada hari itu!

Apakah tujuannya?

Sebagai pengguna, kita seharusnya mempersoalkan barang-barang yang kita beli dan syarikat yang mengeluarkannya. Tujuannya untuk membolehkan masyarakat memikirkan tentang apakah jenis barang dan bagaimana barang tersebut boleh memberi kesan kepada alam sekitar.

Adakah membeli-belah merupakan sesuatu yang tidak baik?

Membeli-belah tidak memberikan kemudaratan, namun ia bergantung kepada jenis barang-barang yang kita beli. Kita perlu memastikan tentang ‘keperluan’ dan ‘kehendak’ sebelum berbelanja. Kita perlu mengetahui alasan ‘MENGAPA’ kita membeli sesuatu agar dapat meningkatkan corak perbelanjaan pengguna dan dalam masa yang sama mengurangkan pembaziran.

Siapa yang harus terlibat?

Anda boleh melakukannya – ini merupakan hari anda – anda perlu terlibat bersama-sama. Sebarkan mesej ini kepada rakan-rakan anda dan elakkan daripada membeli-belah pada 16 Julai 2009.

Apa yang boleh saya lakukan? Apabila anda tidak melakukan sesuatu, sebenarnya anda telah melakukan sesuatu! Tindakan anda untuk bersetuju mengurangkan berbelanja adalah suatu permulaan. Hari Tidak Berbelanja merupakan hari untuk kita melawan perasaan ingin membeli barang. Ia merupakan hari bagi kita mencabar diri kita.

Apa yang akan saya capai?

Memang amat mencabar untuk menahan diri selama 24 jam dengan tidak membelanjakan wang. Anda akan merasa bebas daripada membeli-belah dan sedar betapa banyaknya masa lapang yang telah anda gunakan untuk membeli-belah. Dalam masa 24 jam tersebut anda akan dapat menikmati kehidupan anda. Ini merupakan satu pencapaian yang besar!

Adakah itu bermakna saya perlu berhenti membeli-belah sama sekali?

Tidak sukar untuk berhenti daripada membeli-belah untuk satu hari dan ia tidak akan menjejaskan ekonomi Malaysia. Usaha ini bertujuan untuk mencabar anda untuk memikirkan kesan barang-barang yang anda beli terhadap alam sekitar.

Adakah program selama satu hari ini akan membuat sebarang perubahan?

Hari Tidak Berbelanja tidak bermaksud untuk untuk mengubah cara hidup anda dalam tempoh satu hari, tetapi ia menimbulkan kesedaran berpanjangan – yang mungkin merupakan satu pengalaman hidup! Hari Tidak Berbelanja ini akan terus terpahat dalam minda anda, iaitu setiap kali anda berbelanja, anda akan memikirkan kesan barang tersebut terhadap alam sekitar.

Langkah Yang Boleh Dilakukan Semasa Hari Tidak Berbelanja

Bancuh minuman anda sendiri sewaktu sarapan;

Bawa bekal untuk makanan tengah hari / snek ke pejabat atau sekolah;

Memasak sendiri makanan tengah hari (membawa ke pejabat untuk dimakan pada waktu tengah hari) dan malam;

Berjalan kaki atau menaiki pengangkutan awam, dan bukannya memandu kereta;

Merancang perjalanan terlebih dahulu untuk mengurangkan pembaziran bahan api;

Meluangkan masa bersama-sama keluarga dan kawan-kawan bermain permainan dalaman / melakukan aktiviti lasak;

Pergi ke perpustakaan untuk meminjam buku-buku;

Membuat satu senarai bahan-bahan mentah yang terdapat di rumah anda yang boleh dikitar semula atau mengubahnya menjadi sesuatu yang baru;

Memasak sesuatu masakan dengan menggunakan bahan-bahan yang sedia ada di rumah anda;

Membuat kad atau hadiah sendiri untuk diberikan kepada insan yang tersayang;

Berkebun;

Tinggalkan semua wang, kad ATM dan kad kredit di rumah;

Menjauhkan diri daripada kedai;

Membuat satu inventori barang-barang yang telah sedia ada di rumah untuk mengelakkan membeli barangan yang sama apabila anda pergi membeli-belah kelak;

Menyebarkan mesej dengan memberitahu kawan-kawan anda di pejabat atau sekolah, tulis di blog anda, menghantar sms atau e-mel kepada mereka;

Membuat pertukaran pakaian dengan kawan-kawan anda. Kumpulkan baju-baju dan kasut-kasut yang tidak anda gunakan lagi di rumah dan menukarkan barang-barang tersebut dengan kawan-kawan anda. Barang-barang yang tidak mahu diambil oleh sesiapa boleh didermakan kepada badan-badan kebajikan;

Menjadi tuan rumah dengan menonton wayang gambar di rumah anda. Anda boleh menonton cerita kegemaran daripada koleksi anda. Sekiranya tetamu yang datang ke rumah anda membawa bersama-sama makanan dari rumah mereka, ini dapat mengelakkan diri anda daripada pergi ke kedai untuk membeli snek.

Membuat aktiviti yang percuma seperti pergi ke muzium, membantu komuniti atau menawarkan diri untuk meluangkan masa bersama orang-orang tua atau anak-anak yatim.

Sedarlah Bahawa Melakukan Sesuatu Perkara Kecil Boleh Membawa Perubahan Yang Lebih Besar!

Sumber : http://mstar.com.my/

ISU PEMANSUHAN PPSMI 2012

Keputusan profesional penuh justifikasi

KEPUTUSAN yang ditunggu-tunggu penuh debaran oleh rakyat Malaysia tiba juga Rabu lepas. Akhirnya, Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan keputusan muktamad kerajaan memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Ada yang gembira, ada yang tak puas hati dan ada juga yang masih mengambil sikap tunggu dan lihat. Paling menarik barangkali, di sebalik gambaran 'penolakan seratus peratus rakyat terhadap dasar PPSMI' sebagaimana yang digembar-gemburkan oleh pihak pembangkang, ada juga beberapa bancian bebas yang dilaksanakan oleh beberapa blog popular membuktikan sebaliknya.

Hakikatnya, jika keputusan bancian anjuran blog bebas masih memihak kepada cadangan supaya PPSMI diteruskan sekali pun, keputusan tersebut masih boleh dipersoalkan.

Menurut perangkaan 2008 yang dikumpulkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), pengguna Internet berdaftar di rumah adalah 85 peratus tertumpu di kawasan bandar dan hanya 15 peratus di kawasan luar bandar.

Statistik ini jelas menunjukkan bahawa taburan pengguna Internet yang diambil sebagai 'sampel' bancian tersebut hanya tertumpu kepada kelompok rakyat di dalam bandar yang aktif berinternet, manakala pandangan dan undian keseluruhan rakyat luar bandar belum diambil kira dan pasti dipinggirkan.

Secara kesimpulannya, tidak kira sama ada undi pelbagai bancian di atas benar-benar boleh dipercayai atau tidak, keputusan akhir ke atas dasar PPSMI ternyata ada 'peminat' yang tersendiri!

Kerajaan bukanlah tidak mencuba untuk meneruskan dasar PPSMI. Bagaimanapun, hasil pelbagai kajian ilmiah bebas seawal 2004 yang dianjurkan oleh pelbagai institusi dan organisasi berkaitan serta data statistik yang dikumpulkan oleh Kementerian Pelajaran mengenai keputusan pelajar dan kemampuan guru terhadap PPSMI tidak condong kepada penerusan dasar PPSMI. Ini sekali gus 'memaksa' kerajaan bertekad kepada keputusan pemansuhan.

Menyedari hasrat dan falsafah dasar PPSMI, kerajaan di peringkat awal tidak pernah putus asa untuk meneruskan dasar tersebut. Buktinya adalah melalui pelaburan ratusan juta ringgit ke atas usaha memperkasakan pengetahuan serta kebolehan guru dalam kedua-dua subjek berkenaan melalui pelbagai kursus dan latihan. Penggunaan teknik-teknik pengajaran yang terbaik juga telah diguna pakai. Namun, tiada perubahan ketara dapat dilihat.

Pelajar Melayu akan terus kecundang, keyakinan diri terbantut dan terus menganggur

Statistik Kementerian Pelajaran juga menunjukkan bahawa guru-guru PPSMI tidak mampu mengajar Sains dan Matematik seratus peratus dalam bahasa Inggeris malah dicampuradukkan dengan bahasa Melayu semasa mengajar dua subjek tersebut. Senario ini tidak berlaku di sekolah-sekolah kebangsaan Cina dan Tamil kerana kedua-dua subjek tersebut diajar dalam bahasa ibunda masing-masing. Yang menjadi mangsa adalah para pelajar Melayu yang semakin keliru, memperolehi keputusan peperiksaan yang terus menjunam sehingga mengakibatkan keyakinan diri terbantut. Kurang keyakinan diri inilah punca sebenar mengapa pelajar Melayu terus menganggur.

Untuk dikatakan dasar PPSMI telah gagal rasanya tidak juga. Lebih tepat barang kali kalau dikatakan ia kurang berjaya mencapai sasaran yang diingini. Bagi saya sendiri, PPSMI bukanlah tidak baik. Hasratnya, murni.

Namun demikian, menurut statistik sahih kajian Kementerian Pelajaran jelas membuktikan guru-guru belum bersedia sepenuhnya dan sebilangan pelajar luar bandar ada kekangan. Jika PPSMI diteruskan juga, kita menghadapi kekesalan berpanjangan kerana sejumlah besar anak-anak kampung yang cerdik tetapi ada kekangan pemahaman bahasa Inggeris akan menjadi korban nanti. Sanggupkah kita?

Syukurlah hikmah di sebalik pelaksanaan dasar kontroversi ini sekurang-kurangnya telah meningkatkan kesedaran akan pentingnya penguasaan bahasa Inggeris. Inilah natijah dan nawaitu asal PPSMI sewaktu perencanaannya diilhamkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dahulu.

Melalui transformasi sistem pendidikan Malaysia yang dirancang oleh Kementerian Pelajaran ketika ini, ia akan tetap dapat memurnikan hasrat Tun Dr. Mahathir itu dengan kaedah memperkasakan pembelajaran bahasa Inggeris melalui 12 langkah yang diutarakan oleh Muhyiddin. Saya amat setuju agar bahasa Inggeris sepatutnya diperkasakan dahulu sebelum subjek Matematik dan Sains diajar dalam bahasa tersebut.

Saya berharap sangat jika silibus baru disusun supaya pelbagai jargon teknologi dan sains dapat diterapkan dalam pembelajaran bahasa Inggeris. Begitu juga dengan subjek Geografi hari ini yang hanya fokus terhadap ilmu alam Malaysia sahaja.

Saya yakin para pelajar akan lebih tertarik jika mereka dihidangkan dengan Geografi dunia sebagai salah satu silibus dalam subjek bahasa Inggeris. Dengan silibus tersebut, ia bukan sahaja seiring dengan pendekatan saluran National Geographic dan Discovery tetapi juga memupuk pemikiran generasi muda Malaysia untuk berbahasa Inggeris apabila mereka menjelajahi dunia suatu hari nanti.

Dalam perihal memartabatkan bahasa Melayu, iltizam Kementerian Pelajaran memperkasakan pembelajaran bahasa Melayu seharusnya telah menjawab tuduhan beberapa pihak yang mendakwa kerajaan tidak sensitif dengan nasib bahasa kebangsaan. Apatah lagi sekarang, dalam modul transformasi pendidikan ini, Muhyiddin telah mengangkat semula martabat bahasa Melayu menjadi bahasa ilmiah untuk memacu kemajuan ketamadunan Melayu masa hadapan.

Suka saya katakan, keputusan kerajaan sudah pun win-win (menang-menang) bagi semua pihak. Objektif murni PPSMI bakal diusahakan secara terbaik sementara bahasa Melayu pula akan terus dimartabatkan.

Sekalipun usaha menjurus kepada keputusan terhadap PPSMI telah dibuat, usaha untuk memperjelaskan falsafah di belakang transformasi pelajaran perlu dibuat secara crystal clear (sejelas mungkin).

Rakyat hari ini semakin peka terhadap hal ehwal semasa dan sentiasa mahukan penjelasan konkrit. Ingatlah, pihak pembangkang pula tidak pernah lelah mencari 'peluru' untuk mengelirukan rakyat daripada fakta sebenar.

Setiap keputusan perlukan penilaian profesional, penjelasan dan justifikasi rasional. Kalau ia demi kebaikan, rakyat tentu boleh menerimanya biarpun mungkin mengambil sedikit masa.

FERIZ OMAR ialah Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris)

Sumber : http://www.utusan.com.my/