Isnin, 20 Julai 2009

Prasekolah jadi sebahagian sistem pendidikan kebangsaan

PUTRAJAYA: Kerajaan berhasrat menjadikan prasekolah sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan sebagai satu daripada usaha memantapkan penguasaan Bahasa Inggeris (BI) di kalangan pelajar dari peringkat awal persekolahan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata melalui usaha itu, guru-guru terlatih dalam Bahasa Inggeris akan dibekalkan ke sekolah-sekolah tersebut bagi meningkatkan pembelajaran bahasa itu.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata usaha itu pada dasarnya telahpun dipersetujui namun belum tahu bila akan dilaksanakan, dan ia juga selaras dengan usaha kerajaan untuk mewajibkan kelulusan bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Kalau di peringkat pra sekolah kita boleh memasukkan satu tempoh jangka waktu (pembelajaran BI) yang sesuai dengan guru yang terlatih mungkin tidak sampai enam tahun (sekolah rendah), dalam masa dua tiga tahun sahaja sudah pasti boleh kita kuasai.

"Kalau tak cukup enam tahun (sekolah rendah) tambah lagi lima tahun (sekolah menengah) sampai ke peringkat SPM takkanlah gagal juga (dalam peperiksaan SPM)?," katanya di majlis perhimpunan bersama warga pendidik di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Muhyiddin berkata kerajaan sedar terdapat pihak yang bimbang bahawa syarat wajib lulus Bahasa Inggeris akan menyebabkan ramai pelajar terutama pelajar luar bandar kandas dalam peperiksaan SPM.

Beliau berkata keputusan peperiksaan SPM 2008, contohnya, hanya 26.9 peratus calon luar bandar yang lulus dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris, bermakna 73.1 peratus pelajar luar bandar akan gagal memperolehi sijil sekiranya syarat itu dilaksana.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan tidak boleh mengambil pendekatan ''menurunkan untuk melaraskan'' dalam usaha meningkatkan mutu pendidikan negara, sebaliknya perlu berani untuk mengambil pendekatan ''meningkatkan untuk melaraskan'' iaitu berusaha sedaya upaya meningkatkan keupayaan pelajar-pelajar yang lemah dalam menguasai sesuatu ilmu sehingga mereka boleh menguasai ilmu itu dengan baik.

"Dalam konteks penguasaan Bahasa Inggeris, syarat wajib lulus BI adalah usaha ''meningkatkan untuk melaraskan'' yang akan mengangkat keupayaan pelajar-pelajar kita, terutama pelajar luar bandar untuk menguasai BI dengan lebih baik dan sekali gus membolehkan mereka bersaing dalam dunia yang semakin kompetitif," katanya.

Muhyiddin berkata dasar itu mungkin akan dilaksanakan tidak lama lagi, namun usaha untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris terutama di kalangan pelajar luar bandar mesti bermula sekarang.

Sumber : http://www.bernama.com/

ISU KANAK-KANAK TERBIAR

Jangan Biar Isu Anak Jalanan Menjadi Barah

Oleh Melati Mohd Ariff


Rencana ini ialah bahagian satu daripada siri rencana mengenai isu sosial yang memberi fokus kepada kanak-kanak.

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) -- Ketika kebanyakan anak yang sebaya ceria menghayun langkah ke sekolah, dia pula hanya menghabiskan usia mudanya menerjah debu di lorong belakang yang menyimpan seribu macam kerenah pahit-getir kehidupan.

Gedung ilmu baginya hanya lorong belakang dan medan letak kereta sementara lingkungan kawan-kawannya pula terdiri daripada anak-anak jalanan atau penagih dadah dan bapa ayam.

Kurang perhatian ibu bapa yang sibuk dengan kerja menjadikan Hisyam (bukan nama sebenar) anak jalanan, terbiar dan tercicir daripada persekolahan. Dalam usia hanya 13 tahun, dia juga sudah terjebak dengan ketagihan menghidu gam.

'Anak jalanan' ini yang mencari wang dengan menjadi atendan letak kereta ditemui sukarelawan Arfidah Ab Latif, ketika membuat kerja mendekati masyarakat di sekitar Jalan Bukit Bintang di sini baru-baru ini.

Beliau turut meninjau pondok papan yang serba-serbi usang dengan dinding yang sudah dimakan anai-anai menjadi tempat anak jalanan ini melepaskan lelah bersama rakan-rakan senasib dengannya.

Di kawasan yang sama, Arfidah bertemu seorang remaja perempuan berusia kira-kira 16 tahun yang berpakaian seksi. Meskipun jarum jam melepasi pukul 1 pagi, remaja ini masih berkeliaran bersama teman lelakinya dan beberapa remaja lelaki yang lain. Beliau juga mendapat tahu remaja itu juga pernah tidak pulang ke rumah dan bermalam di rumah kawannya.

Remaja perempuan ini juga, menurut Arfidah ketagih menghidu gam.

Sebagai sukarelawan yang sudah masak dengan kerenah anak-anak jalanan ini, hatinya bagai ditusuk sembilu melihatkan anak-anak jalanan ini dengan kehidupan yang terumbang-ambing dan bergelumang dengan cara kehidupan yang songsang.

Acap kali juga dia mengesat air matanya yang berjurai mengenangkan nasib anak-anak jalanan ini, seketika terkenang tiga orang anaknya yang disifatkan lebih bernasib baik kerana dijaga keluarganya di kampung.

BAGAI CENDAWAN

Bagi Arfidah, isu anak jalanan ini yang berkeliaran di sekitar Jalan Bukit Bintang, Chow Kit dan Jalan Tuanku Abdul Rahman, bagaikan 'cendawan, yang dipetik selepas kembang dan kemudian tumbuh balik.'

Lazimnya cendawan apabila sudah kembang, orang akan petik untuk dimakan atau dijual. Lepas dipetik, cendawan itu akan tumbuh lagi. Macamlah juga anak-anak jalanan ini, kita pantau mereka dan kemudian demi masa depan mereka, kita ambil dari tepi jalan, beri terapi dan serahkan ke pusat-pusat penjagaan.

"Kami ingat bila sudah ditolong, bilangan anak-anak jalanan ini akan berkurangan tapi keadaan sebaliknya berlaku. Bilangan mereka terus bertambah. Saya percaya anak-anak itu datang dari luar kawasan sini," jelas Arfidah kepada Bernama dalam satu wawancara di sini baru-baru ini.

Anak-anak jalanan itu, katanya, mengisi masa dengan menyelongkar 'harta karun' (apa sahaja barang yang boleh dijual) di tong-tong sampah untuk mencari wang.

"Yang paling sedih ada anak-anak jalanan seawal usia 13 tahun di sekitar Jalan Bukit Bintang sudah menjadi macai iaitu budak suruhan kepada bapa ayam atau pengedar dadah. Ada juga remaja perempuan yang menjadi macai.

"Macai ini juga akan menjadi mangsa buli Otai iaitu mereka yang sudah duduk lama di kawasan berkenaan dan kemudian menjadi pengedar dadah atau bapa ayam. Otai ini bermula sebagai Macai dan kebanyakannya orang Melayu. Ada juga yang berasal dari Sabah dan Sarawak," jelas Arfidah.

Beliau berkata ada anak jalanan (lelaki) yang menjadi 'anak ikan' iaitu anak didik pondan atau 'mak nyah' dan mereka ialah anak pekerja seks yang terbiar dan menjadi rapat dengan pondan yang tinggal berhampiran.

"Pondan yang sudah tua akan mengumpan anak ikan ini yang biasanya mempunyai wajah yang tampan dengan wang ringgit. Kemudian, budak ini akan disolek menjadi perempuan dan disuruh melacur. Pondan tadi akan mengambil sebahagian wang anak ikannya untuk membayar sewa bilik dan untuk perbelanjaan lain," kata Arfidah.

SIAPA ANAK JALANAN

Bercakap lebih lanjut tentang anak-anak jalanan ini, Arfidah berkata kebanyakan mereka datang daripada keluarga yang berkrisis.

Ibu anak-anak jalanan itu mencari nafkah dengan bekerja di kilang, kedai, hotel (sebagai pencuci) dan pegawai perhubungan pelanggan (GRO). Ada juga yang menagih dadah dan menjadi pekerja seks, katanya.

Mengenai bapa mereka, Arfidah memberitahu bahawa kebanyakannya penagih dadah dan ada juga yang sedang menjalani tahanan dan pemulihan di pusat-pusat serenti.

"Mereka datang ke kawasan ini untuk mencari kehidupan baru tetapi malangnya kehidupan yang ditemui tidak seindah yang mereka impikan. Anak-anak yang terbiar ini, ada yang tidak bersekolah, dan ada yang tidak mempunyai sijil kelahiran. Ramai juga anak yang dilahirkan di luar nikah.

"Mereka memilih tinggal di kawasan ini (sekitar Chow Kit dan Jalan Tuanku Abdul Rahman) kerana sewa bilik murah, sekitar RM10 sehari, tak perlu bayar deposit air dan elektrik.

"Bilik yang disewa cuma untuk tempat tidur. Kalau nak makan, beli sahaja di gerai dan kalau nak dapat duit, cari harta karun (barang-barang yang boleh dikitar semula) di tong sampah. Yang banyak buat kerja ini ialah penagih dadah," jelas Arfidah.

Beliau berkata ada juga anak jalanan yang menjadi penagih dadah kerana ibunya sendiri penagih dadah.

"Perkara ini berlaku di depan mata saya. Perempuan ini menjual dadah sambil mengkelek anaknya yang berumur tiga tahun. Bila kanak-kanak ini besar, dia menjadi penagih dadah. Budak ini pernah dimasukkan ke sekolah pemulihan tetapi bila dia keluar, perangainya menjadi lebih teruk.

"Nak salahkan siapa? Dari kecil dia dah ikut emak dia dari lorong ke lorong menjual dadah, akhirnya bila remaja, budak ini sendiri terlibat dengan dadah!" cerita Arfidah.

Menurut beliau, ada juga anak kecil yang dijadikan umpan untuk mengemis oleh siibu sehingga pukul 3 pagi untuk mencari wang mudah bagi membeli dadah. "Nak menjual tubuh, saham sudah turun, jadi mengemis jalan mudah untuk mendapatkan wang. Mengemis selepas tengah malam juga lebih selamat kerana tidak ada operasi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau pihak berkuasa lain," ujarnya.

ATAS KESEDARAN

Arfidah, bekas penagih dadah tegar, pada mulanya melakukan kerja sukarelawan bermula pada tahun 1999 untuk membantu penagih dadah khususnya di sekitar kawasan Chow Kit sebagai, katanya, untuk 'menebus dosa'.

"Apabila pulih dari dadah, saya mahu menyibukkan diri saya dan mengisi ruang kosong dengan melakukan kerja sukarelawan atas kesedaran saya sendiri. Ketika itu saya tidak menyertai mana-mana pertubuhan

"Bila saya turun padang, pergi ke lorong-lorong di Chow Kit, saya terpandang kanak-kanak yang terbiar di kawasan itu. Timbul perasaan sedih dan kasihan. Saya berfikir bagaimana saya boleh membantu anak-anak yang berkeliaran di kawasan berisiko tinggi ini?

"Anak-anak berkenaan, ada yang tidak pergi ke sekolah, ada yang tidak mempunyai sijil kelahiran. Ini semua sebab kelalaian ibu mereka, ada yang ditinggal suami, ramai juga anak di luar nikah," cerita Arfidah.

Menurut beliau, setakat ini pihaknya berjaya membantu lebih 20 orang kanak-kanak mendapatkan sijil kelahiran.

Beliau menjelaskan di peringkat awal banyak halangan yang terpaksa dilalui untuk mendapatkan sijil itu.

"Ada yang menyoal saya ini siapa, dari pertubuhan mana? Ada juga yang berkata mengapa saya yang sibuk-sibuk mahu menguruskan perkara sijil kelahiran itu.

"Tapi saya ini jenis wanita yang degil. Ini semua tidak mematahkan semangat saya untuk membantu anak-anak yang tidak berdosa ini," cerita Arfidah sambil menjelaskan bahawa beliau mula memberi penekanan kepada anak-anak jalanan pada tahun 2000 apabila dia bekerja sebagai sukarelawan sepenuh masa dengan sebuah pertubuhan bukan kerajaan.

Semasa menjadi sukarelawan sepenuh masa itu, beliau berpeluang mengikuti kursus undang-undang yang antaranya cara-cara membantu ibu tunggal dan mendapatkan hak penjagaan anak serta urusan dengan mahkamah syariah dan mahkamah sivil.

"Ilmu serta pengalaman yang saya perolehi banyak membantu saya dalam kerja sukarelawan yang saya lakukan. Setakat ini saya telah dapat membantu wanita penagih dadah (hampir 150 orang) dan anak-anak jalanan sekitar Chow Kit, Jalan Bukit Bintang, Jalan Raja Laut dan Kampung Baru (kira-kira 500 orang).

"Saya sudah buat kerja ini hampir 10 tahun. Umur saya kini sudah memasuki 55 tahun. Selagi saya masih berdaya untuk berjalan, saya akan terus menyusuri lorong-lorong hitam ini, membantu mereka yang terpinggir ini.

"Kalaulah masyarakat di luar sana dapat melihat di mana anak-anak jalanan ini dan ibu mereka tinggal... terharu betul," kata Arfidah, air mata jernih sekali lagi bergenang lalu menitis membasahi pipinya.

RASA BANGGA

Bagi Arfidah yang juga dikenali sebagai 'Mak Andak' dalam kalangan anak-anak jalanan, tiada yang lebih membanggakan apabila anak-anak yang pernah dibantunya masih mengingatinya.

"Bila saya pergi ke lorong-lorong, saya dengar suara memanggil Mak Andak. Hati saya menjadi sayu kerana dia masih ingat pada saya sedangkan masa saya membantunya, usianya baru 7 tahun dan sekarang dia sudah 18 tahun. Walaupun dia seorang yang degil tetapi dia masih ingat pada saya.

"Ada juga anak-anak yang bila mereka tahu saya berada di kawasan ini, mereka akan datang mendapatkan saya. Mereka masih hormat dengan saya. Apa yang saya lakukan hanyalah sekadar menghulurkan tangan, memberi nasihat semasa mereka kecil," kata Arfidah dengan suara yang bergetar menahan kesedihan.

Menurut wanita yang cekal hati ini, meskipun dia hanya seorang bekas penagih dadah tanpa pelajaran yang tinggi, dia bersyukur kerana sedikit sebanyak dia dapat mentarbiahkan kanak-kanak yang terbiar itu.

Jelasnya, anak-anak jalanan biasanya perlu didekati terlebih dahulu untuk mengenali masalah mereka dan proses itu mengambil masa, sebelum beliau merujukkan anak-anak itu ke pusat penjagaan atau pemulihan.

TURUN PADANG

Melihat gejala yang tidak sihat ini yang seperti tiada surutnya, Arfidah berharap pihak berkuasa yang berkenaan akan lebih 'turun padang' untuk melihat sendiri pelbagai masalah sosial yang boleh diibaratkan sebagai 'api dalam sekam' dalam masyarakat.

Kawasan Chow Kit bagaikan 'padang permainan' baginya. Banyak yang telah dilalui Arfidah sepanjang 20 tahun bergelumang dengan dadah di kawasan itu sebelum beliau insaf dan kembali ke pangkal jalan.

Anak-anak yang terbiar, baginya adalah hasil sikap ibu bapa yang terlepas pandang akan kebajikan anak-anak mereka. Ibu bapa yang sibuk dengan pekerjaan, ibu bapa yang miskin dan tidak ada pelajaran dan keadaan rumah yang sempit adalah antara faktor yang mendorong anak-anak keluar dari rumah dan menjadi anak jalanan.

"Selagi anak itu tidak mengalami kecederaan fizikal, ibu bapa akan membiarkan sahaja anak mereka tetapi apabila sudah berlaku sesuatu yang tidak diingini, barulah mereka akan tersentak.

"Seperti seorang remaja perempuan yang saya temui di Jalan Bukit Bintang. Bagi saya, remaja yang terbiar seperti ini bakal menjadi pelacur. Sekarang dia sudah pandai hidu gam, mungkin kemudian akan mengambil najis dadah. Dia mungkin akan menjual tubuhnya untuk mendapatkan wang untuk membeli dadah.

"Tidak mustahil juga suatu hari nanti remaja itu akan dijangkiti HIV dan bila saham dah turun, akan merempat dan mengemis seperti perempuan yang meriba bayi yang saya katakan tadi," keluh Arfidah.

Bagi sukarelawan ini, beliau hanya melakukan apa yang terdaya dibuatnya tetapi perlu ada susulan dan kesinambungan daripada pihak yang berwajib supaya isu anak jalanan ini tidak berlarutan yang akhirnya akan menjadi 'barah' dalam masyarakat.

Sumber : http://www.bernama.com/

Ketinggian akhlak pelajar sama penting kecemerlangan akademik

BANYAK yang dilakukan kerajaan bagi memastikan sistem pembelajaran negara berada pada tahap tinggi. Ia termasuk cadangan mewajibkan pelajar yang ingin mengambil Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) lulus Bahasa Inggeris dan kredit Bahasa Melayu. Beberapa hari lalu pula, kerajaan memansuhkan PPSMI.

Bagaimanapun, saya sebagai seorang Islam sedih melihat sesetengah pelajar sekolah sekarang amat rendah akhlak mereka walaupun cemerlang dalam akademik.

Ramai pelajar sekolah sekarang terjebak dengan kegiatan tidak bermoral seperti lumba haram, ponteng, menghisap rokok dan seks bebas.

Kita terlalu leka membahaskan soal mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sehinggakan mata pelajaran yang boleh membentuk akhlak diabaikan. Matlamat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan, menyebut ‘Pendidikan di Malaysia adalah usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Usaha ini bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

Justeru, saya mencadangkan agar mewajibkan kredit bagi mata pelajaran Pendidikan Islam atau subjek yang setaraf dengannya (pendidikan al-Quran dan sunnah, pendidikan syariah islamiah dan tasawwur) bagi pelajar Islam yang menduduki SPM.

Pelajar bukan Islam pula diwajibkan mendapat kredit dalam Pendidikan Moral.

Sesetengah pelajar memandang remeh mata pelajaran Pendidikan Islam atau setaraf dengannya sehinggakan mereka tidak kisah mata pelajaran itu lulus atau pun tidak.

Apabila mata pelajaran yang dapat membantu membaik pulih sahsiah dipandang remeh, bagaimana sahsiah pelajar yang unggul dapat dibentuk?

Mungkin, pada pandangan orang ramai mata pelajaran ini bukan faktor yang dapat membentuk sahsiah pelajar yang unggul, namun sekurang-kurangnya jika perhatian yang lebih diberikan kepada subjek itu, sudah pasti ia dapat menambah baik sahsiah remaja.

Ketika memberi tumpuan lebih terhadap isi kandungan mata pelajaran berkenaan, mereka akan berfikir dan membandingkan dengan perbuatan yang sudah mereka lakukan, sama ada betul atau salah.

Sedikit sebanyak ia dapat menginsafkan pelajar dan sahsiah mereka diterapkan dengan moral yang baik seperti hasrat kerajaan yang ingin melahirkan modal insan yang berkualiti dari segi intelek dan rohani.


AL-HAZIM IBN MOHD ZAIN,

Mahasiswa semester tiga

Universiti Pendidikan Sultan Idris.


Sumber : http://www.bharian.com.my/

Ahad, 19 Julai 2009

BEBERAPA PENGAJARAN DARIPADA PERISTIWA ISRAK DAN MIKRAJ

Iktibar kembara agung ke langit

WALAUPUN setelah 40 tahun angkasawan Niel Armstrong menjejakkan kaki ke bulan, rahsia langit luas masih kekal rahsia. Ia masih belum dapat dijangkau oleh akal manusia.

Malah manusia juga masih tidak mampu untuk memikirkan sesuatu kecuali berdasarkan apa yang dapat dicapai oleh pancaindera. Justeru itu, wahyu dan pertolongan Allah SWT sahaja yang boleh merungkai rahsia alam ini.

Sebagai contoh, peristiwa kembara agung perjalanan Rasulullah SAW ke langit. Ia menjadi bukti kepada orang yang beriman betapa Allah SWT sememangnya "Maha Berkuasa". Allah menjemput kekasihnya, Nabi Muhammad SAW menerusi suatu perjalanan menakjubkan dari Masjidilharam di Mekah, melalui ruang udara Madinah kemudian menuju ke Baitulmaqdis di Palestin.

Baginda kemudiannya dibawa naik melepasi langit ke tujuh untuk bertemu zat Allah SWT. Semua perjalanan itu hanya dilakukan dalam tempoh satu malam sahaja.

Peristiwa menakjubkan ini dirakamkan oleh Allah SWT dalam firmannya: "Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (Surah al-Isra', Ayat 1).

Sehubungan itu, umat Islam diminta agar tidak menjadikan peristiwa ini sebagai acara peringatan tahunan yang hanya dipenuhi dengan sesi ceramah dan juadah enak sahaja tanpa berusaha untuk mengambil pelajaran daripada peristiwa itu.

Ini kerana banyak kewajipan agama sama ada yang tersurat mahupun tersirat boleh dijadikan pedoman untuk manusia memperkuatkan keimanan dan ketakwaan terhadap Allah SWT. Antaranya ialah:

*Beriman dengan perkara ghaib

Peristiwa Israk Mikraj merupakan peristiwa ghaib yang pernah menyebabkan sebilangan masyarakat Arab menjadi murtad. Ini kerana mereka tidak dapat menerima perkhabaran yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW mengenai perjalanannya itu.

Apa tidaknya, perjalanan yang biasanya mengambil masa berbulan-bulan - Mekah ke Madinah ke Palestin - hanya dilakukan oleh Baginda dalam tempoh satu malam sahaja.

Namun perkara itu tidak boleh hanya disandarkan kepada logik akal semata-mata kerana peristiwa itu adalah benar dan telah ditempuhi sendiri oleh Rasullah SAW.

Maka, setiap umat Islam wajib percaya dengan perkara-perkara ghaib yang menjadi asas tauhid kepada Allah SWT. Ia bukanlah sesuatu yang begitu sukar, kerana di dunia ini terdapat banyak perkara yang dibuktikan oleh sains wujud tetapi tidak terlihat oleh pandangan mata kasar.

Contohnya, oksigen yang dihela oleh manusia setiap masa. Ia wujud walaupun tidak kelihatan pada mata kasar. Malah kewujudan oksigen dibuktikan secara saintifik dan ternyata sangat penting kepada manusia sebagai unsur utama untuk meneruskan hidup.

*Perintah wajib mengerjakan sembahyang

Ibadah sembahyang yang difardukan oleh Allah SWT pada malam Israk dan Mikraj itu merupakan suatu kaedah unik yang diadaptasikan daripada perlakuan malaikat bagi melaksanakan tanggungjawab ibadah kepada Allah SWT.

Setiap umat Islam wajib melaksanakan perintah ini. Dalam apa jua situasi tanpa sebarang persoalan atau bantahan. Sembahyang lima waktu yang difardukan oleh Allah SWT juga merupakan tiang agama yang wajib dilaksanakan dengan penuh rasa khusyuk sambil mengharapkan keredhaan-Nya.

Bahkan ia termasuk perkara pertama yang akan dihisab di Hari Kemudian. Pelbagai hukuman disediakan oleh Allah SWT kepada mereka yang ingkar. Ia sebenarnya cukup untuk menjadi ingatan agar orang Islam tidak melalaikan segala suruhan-Nya. Gambaran azab dengan menghantuk-hantukkan kepala ke dinding hanya kerana leka dan malas mengerjakan sembahyang cukup menjadi bukti betapa ibadah itu sangat penting dalam kehidupan seorang muslim.

*Wajib percaya dengan Hari Kiamat

Perlu difahami bahawa kehidupan dunia hanya sementara. Semua manusia akan dihimpunkan di Padang Mahsyar untuk diperhitungkan segala perlakuan semasa di dunia. Berdasarkan gambaran dunia laksana wanita tua yang uzur dan tidak berdaya yang dipertontonkan kepada Nabi Muhammad SAW di malam Israk dan Mikraj, dunia kini diambang kehancuran.

Oleh itu, setiap orang Islam bukan sahaja wajib percaya dengan Hari Kiamat tetapi diperintahkan untuk membuat persiapan berupa bekalan amal kebajikan bagi menghadapi hari yang maha dahsyat itu.

Individu Muslim disaran agar meletakkan diri sebagai seorang pengembara yang dalam perjalanan bertemu Allah SWT. Sebagai pengembara kita perlu membawa pelbagai bekalan. Amal ibadat dan kebajikan yang dilakukan semasa di dunia merupakan bekalan kita ketika menuju ke akhirat bagi mengelak kesulitan untuk sampai ke destinasi yang dituju itu.

Selain itu, persembahan hadiah berupa amalan ibadah kepada Allah SWT juga mesti disediakan agar beroleh kebahagiaan yang kekal lagi abadi.

*Wajib percaya dengan azab Tuhan

Pelbagai seksaan ditunjukkan kepada Nabi Muhammad SAW dalam perjalanan Israk dan Mikraj tersebut. Antaranya akibat perbuatan zina, makan riba, ingkar menunaikan solat dan kewajipan berzakat, berdusta serta pecah amanah. Ia membuktikan betapa Allah SWT berkuasa untuk menghukum hamba yang ingkar dan hidup bergelumang dosa.

Semua gambaran itu diharap menginsafkan umat Islam agar sentiasa menjauhi dosa yang mengundang kemurkaan Ilahi.

Di sudut lain, gambaran kurniaan Ilahi kepada satu kaum yang menanam tanaman dan menuai pada hari yang sama seharusnya menjadikan individu Muslim memiliki semangat juang yang tinggi terutama ketika berdepan dengan godaan syaitan iaitu musuh utama kita.

*Wajib percaya dengan qada dan qadar

Dalam mengharungi kehidupan dunia yang penuh pancaroba ini, manusia berdepan dengan dugaan dan rintangan yang mematangkan jiwa. Biasa didengar ada orang yang beroleh kenikmatan dan terdapat pula yang ditimpa musibah.

Nabi Muhammad SAW juga tidak lekang dengan pelbagai ujian. Ini kerana Baginda juga merupakan manusia biasa.

Sebelum dijemput naik ke langit, Nabi Muhammad SAW diuji dengan kehilangan dua individu penting dalam karier dakwahnya iaitu isterinya, Siti Khadijah dan bapa saudaranya, Abu Talib.

Tetapi Baginda tetap tabah menghadapi ujian itu sehingga diberi ganjaran dengan dipertemukan dengan zat Allah pada malam Israk dan Mikraj yang penuh keberkatan.

Maka selayaknya umat Islam mencontohi Nabi dengan menerima segala qada dan qadar Ilahi tanpa terlalu bersedih apabila ditimpa musibah ataupun terlalu bergembira apabila diberi kenikmatan kerana ia suatu bentuk penilaian Allah SWT kepada hamba hamba-Nya.

Terdapat pelbagai lagi iktibar dan pengajaran daripada peristiwa Israk dan Mikraj yang boleh diperoleh oleh sesiapa yang dibukakan hatinya oleh Allah SWT. Namun yang lebih utama, janganlah kita hanya berseronok merayakan pelbagai hari kemuliaan Islam tanpa merenung pelajaran di sebalik setiap peristiwa berkenaan.

Marilah kita mensyukuri segala nikmat itu dengan mempertingkatkan amal ibadat dan kebaikan demi menjamin kebahagiaan di dunia dan akhirat.

PENULIS ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Isu Prestasi Pasukan Bola Sepak Negara

Semai semula semangat 'Chandran'

SYABAS kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Syabas juga kepada pasukan jurulatih bola sepak kebangsaan dan anakanak muda yang bertungkus-lumus bertarung menentang Manchester United (MU), malam semalam.

Pengurus pasukan MU, Sir Alex Ferguson yang terkenal dengan ketegasannya, turut mengagumi mutu permainan pasukan negara. Beliau menegaskan bahawa pasukan Malaysia beraksi secara terbuka dan penuh bertenaga!

Ferguson melihat semangat juang yang tinggi di dalam diri setiap pemain Malaysia. Pastinya beliau tidak lagi menganggap Malaysia sebagai pasukan belasahan seperti yang berlaku ketika negara berdepan dengan kelab-kelab ternama dunia sebelum ini.

Ramai yang mungkin sangsi membaca kenyataan akhbar semalam. Namun saya yakin sebahagian besar hampir 80,000 penonton di Stadium Nasional pada malam Sabtu itu, bersetuju dengan kenyataan Ferguson tersebut.

Secara keseluruhannya, pasukan negara yang kebelakangan ini jarang-jarang sekali menerima sorakan dan tepukan gemuruh penonton, telah berjaya mengembalikan suasana gamat di stadium berkenaan. Mereka berjaya menghidupkan perasaan teruja di hati penonton.

Saya terpesona, khususnya terhadap kekentalan barisan pertahanan negara yang menimbulkan rasa cemas di kalangan pemain-pemain ternama MU yang bertaraf dunia. Nama-nama gah seperti Micheal Owen, Dimitar Berbatov, Ryan Giggs dan Wayne Rooney yang mulanya nampak bersantai tetapi akhirnya berhempas pulas cuba memecah benteng pertahanan negara bagi mencari kemenangan.

Dengan ranking ke-161 FIFA, tewas 2-3 kepada kelab terkemuka dunia seperti MU hakikatnya adalah satu "kemenangan besar". Ia membawa seribu pengajaran pada kita semua untuk merentasi kemajuan bola sepak malah juga kemajuan ekonomi negara.

Saya katakan kemenangan besar kerana ia berkemungkinan memberi jawapan awal kepada persoalan lama yang masih belum terjawab. Beberapa tahun lalu, semasa menghadiri satu sesi membincangkan prestasi dan strategi ekonomi rantau Asia Timur di Seoul, Korea Selatan, saya dikejutkan oleh satu soalan oleh seorang rakan yang juga seorang pakar ekonomi di sana.

Beliau berusia awal 50-an. Soalnya: "Where is Chandran? (Di mana Chandran?)" Pastinya di kalangan pembaca muda, ramai yang tertanya-tanya siapakah Chandran?

Pembaca yang lebih senior mungkin tersenyum apabila terkenangkan M. Chandran. Beliau ialah ketua pasukan bola sepak negara di era 1970-an. Beliau begitu dikagumi kerana kehebatan pertahanannya.

Kegemilangan bola sepak negara di era 1970-an sehingga kini diingati oleh pakar ekonomi Korea Selatan yang mengajukan soalan tersebut pada saya. Katanya, ketika usia muda iaitu di tahun-tahun 1970-an, seluruh peminat bola sepak Korea Selatan terasa gentar apabila pasukan Malaysia bertandang ke Seoul.

Semua tertanya-tanya, adakah Chandran turut hadir? Kehadiran Chandran merunsingkan Korea Selatan kerana pertahanan Malaysia begitu kental dan begitu susah untuk ditembusi.

Ia nampak bertambah hebat apabila turut mendapat sengatan "Super Mokh". Ketika itu siapa tidak kenal atau tidak mengagumi kehebatan Allahyarham Mokhtar Dahari. Beliau penyerang hebat pasukan bola sepak negara. Kehadiran pasukan Malaysia sangat menggentarkan Korea Selatan. Pasukan kita memang digeruni.

Kini setelah hampir 40 tahun, istilah gerun itu tiada lagi bila menyentuh mengenai pasukan bola sepak negara. Kini tahap permainan bola sepak Korea Selatan telah mencapai kelas dunia. Mereka telah jauh meninggalkan Malaysia.

Pesta Bola Merdeka yang satu masa dahulu menjadi rebutan negara-negara Asia tiada lagi keistimewaannya. Pasukan utama Korea Selatan tidak lagi menjadikannya sasaran utama mereka. Tiada apa yang boleh dibanggakan dengan penyertaan atau kemenangan pada pertandingan Pesta Bola Merdeka.

Pasukan bola sepak kita semakin suram. Kita bukan lagi menimbulkan kegentaran tetapi menjadi 'makanan' kepada pasukan lain. Pendek kata sejak kebelakangan ini, pasukan negara sering diaibkan dengan kekalahan demi kekalahan walaupun berdepan dengan pasukan tidak terkenal.

Nasib bola sepak kita juga boleh disamakan dengan keadaan daya saing ekonomi kita. Di awal 1970-an, Korea Selatan adalah rakan sekelas dari perspektif kemajuan ekonomi. Pendapatan per kapita dan tahap kemajuan teknologi Malaysia dan Korea Selatan adalah setanding.

Malah pernah satu ketika Korea Selatan terpaksa menghantar sepasukan ahli ekonominya ke Malaysia untuk mempelajari dan memanfaatkan kemajuan ekonomi negara.

Saya difahamkan mereka pernah bertandang di Unit Perancang Ekonomi (EPU). Semuanya untuk mempelajari cara kita menguruskan soal ekonomi negara. Mereka mahu belajar dan mungkin ketika itu berasa 'gerun' dengan perkembangan dan daya saing ekonomi kita.

Namun kini kemajuan ekonomi negara juga hampir senasib seperti bola sepak. Benar kita telah mencatat kemajuan ekonomi yang boleh juga dibanggakan khususnya sehingga pertengahan 1990-an. Lagipun ekonomi kita tidak pernah jatuh merudum berpanjangan seperti nasib yang menimpa pasukan bola sepak.

Bagaimanapun secara relatifnya, keghairahan ekonomi kita agak pudar berbanding Korea Selatan.

Pada tahun 1980, pendapatan per kapita (harga semasa) kedua-dua negara adalah setanding, iaitu AS$1,812 bagi Malaysia dan AS$1,750 untuk Korea Selatan. Jumlah itu menunjukkan persamaan walaupun Kuala Lumpur sedikit mengatasi Seoul iaitu hanya AS$62.

Tetapi pada tahun lalu, pendapatan per kapita Korea Selatan mencecah AS$19,506. Jumlah itu dua kali lebih besar berbanding Malaysia yang hanya mencatatkan pendapatan per kapita AS$8,141. Bayangkan perbezaan sebanyak AS$11,365. Sekali imbas semua tahu bahawa terdapat jurang yang ketara.

Sebenarnya, dalam kamus kemajuan ekonomi tidak ada istilah impossible (mustahil). Kita masih belum terlambat. Tetapi kita perlu jadikan prestasi lalu sebagai pengajaran. Jelasnya, kita amat perlu suntikan baru.

Laluan untuk itu sudah ada dan sudah tersedia. Lagipun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah membuka era baru untuk kita semua. Model ekonomi baru yang kini dibentuk dan tata cara kita berekonomi telah diumumkan oleh Perdana Menteri sejak mengetuai kepimpinan negara. Ia memberi kita signal yang begitu jelas. Kita mula bermain dengan rentak baru seiring dengan struktur baru ekonomi global yang begitu dinamik dan kompetitif.

Kita menyatakan kesediaan untuk bersaing dan mengolah polisi dan struktur ekonomi negara agar lebih bersedia untuk bersaing di peringkat global. Semua pihak termasuk ekonomi negara, industri, firma dan setiap rakyat perlu bersungguh-sungguh menyediakan diri untuk turut sama menyertai era ekonomi baru ini.

Jika diteliti, persembahan pasukan bola sepak negara semasa menentang MU malam kelmarin boleh dijadikan iktibar. Ia seolah-olah memberi jawapan bahawa Malaysia masih ada Chandran.

Kita masih ada Super Mokh. Mungkin lebih banyak Chandran yang dapat dihasilkan sekiranya kita terus bersungguh-sungguh menggilap bakat yang ada.

Apa pun, kita perlu konsisten dalam soal prestasi. Kita tidak perlu sangsi dengan kemampuan diri. Kita tidak boleh berkompromi atau berputus asa dalam soal meningkatkan kemampuan.

Buktinya, berdasarkan saiz fizikal pemain dan ranking pasukan negara, kita mungkin terlalu jauh kebelakang berbanding dengan MU. Namun dengan semangat "Satu Pasukan" dan patriotisme yang tinggi - demi negara - menyebabkan MU pun terasa bahangnya kelmarin.

Stadium yang dibanjiri warna merah (menyokong MU), akhirnya membuat keputusan. Pemain negara menunjukkan kehebatan. Mereka menerima tepukan dan sorakan gemuruh daripada para penonton.

Rata-rata yang berbaju merah akhirnya 'berpaling tadah'. Di luar merah, namun jauh di sudut hati mereka melakar warna belang kuning. Bila 'Chandran' mula menjelma, semangat semua naik membara.

Begitulah juga dengan ekonomi negara. Semoga era baru yang mula diteroka juga akan kembali meletakkan ekonomi Malaysia di peta dunia. Dengan semangat Satu Malaysia yang baru dinyalakan tidak mustahil satu hari nanti saya akan bangga ketika sekali lagi mengunjungi Korea Selatan.

Ketika itu saya mungkin telah bersedia dengan jawapan. Saya boleh berbangga sekiranya sekali lagi berkesempatan bertemu pakar ekonomi di Seoul itu. Saya mahu memberitahunya bahawa saya dan juga rakyat Malaysia sudah menemui 'Chandran' yang ditanya olehnya itu. Kita telah menemui semangatnya. Bukan sahaja dalam bola sepak tetapi juga ekonomi negara.

Dan saya serta jutaan rakyat Malaysia turut mengharapkan suasana yang sama malah lebih baik apabila pasukan negara bertemu MU sekali lagi malam nanti. Malaysia Boleh!

PROF. DATUK DR. NOOR AZLAN GHAZALI ialah Pengarah, Malaysian Development Institute (MDI), Unit Perancang Ekonomi (EPU)

Sumber : http://www.utusan.com.my/

JANGAN MEMIHAK KETIKA ANAK-ANAK BERGADUH


oleh Hafizah Iszahanid

"Mak, tengok abang ni, main tolak-tolak," atau anda akan kedengaran, "Abang dulu, abang dulu, tepi.. tepi."

Sebagai ibu bapa anda tentu sudah biasa mendengar ayat berkenaan. Pergaduhan antara adik beradik memang sebahagian daripada proses pembesaran mereka. Selalunya, pergaduhan atau bibit-bibit cemburu dimulakan oleh anak yang tua. Misalnya anak sulung yang cemburukan kelahiran adik atau anak tengah yang cemburu pada adik baru.

Bagaimanapun, ada juga dalam kalangan kanak-kanak ini akhirnya mampu bersahabat baik dengan adik- beradik sendiri dan saling mempercayai.

"Letihlah tengok budak-budak ni, asyik bergaduh saja." Anda juga biasa mendengar luahan seperti ini dari rakan anda. Mengapa kanak-kanak bergaduh?

Sebenarnya banyak perkara boleh menyebabkan kanak-kanak bergaduh. Walaupun ada kalanya sebagai ibu bapa, kita merasakan ia perkara remeh- temeh, namun bagi mereka itu adalah soal besar. Apatah lagi dalam kalangan si abang atau kakak, rasa cemburu atau ingin bersaing sentiasa ada dalam diri mereka.

Perkara Universal

Namun, pergaduhan antara adik beradik adalah perkara universal dan normal. Malah, ramai yang berpendapat ia tanda keluarga yang sihat. Kehidupan orang dewasa atau kehidupan sebenar di dunia ini juga penuh pertelingkahan dan pertikaian.

Bagaimanapun, itu tidak bermaksud anda perlu membiarkan saja mereka bergaduh terutama apabila mungkin membabitkan kecederaan fizikal, caci mencaci atau penggunaan kata-kata kesat. Anda sebagai ibu bapa harus bijak menangani situasi itu tanpa melukakan hati kedua-dua anak anda.

Mengapa Mereka Bergaduh?

# Seorang anak berasa tidak mendapat perhatian yang sama banyak dengan adik beradik lain. Atau mereka berasa dibebankan dengan banyak tanggungjawab berbanding adik beradik lain.

# Fasa pembesaran mereka juga mempengaruhi sikap mereka terhadap orang lain dan bagaimana mereka menerima hakikat perlu berkongsi perhatian dan kasih sayang ibu bapa dengan adik beradik lain.

# Ada kala kanak-kanak yang lapar, bosan dan mungkin penat dengan persekitaran menyebabkan mereka suka memulakan pergaduhan.

# Mereka inginkan perhatian ibu bapa atau kakak atau abang.

Bagaimana Anda Menangani Pergaduhan Anak-anak?

* Jangan memihak dan jangan terbabit kecuali jika pergaduhan itu boleh mendatangkan kecederaan fizikal. Sebabnya, jika anda kerap campur tangan mungkin menimbulkan pemahaman kepada mereka, ibu atau bapa akan sentiasa ada untuk membantu mereka. Jadi, mereka tidak upaya untuk berdikari menyelesaikan masalah sendiri.

Apabila anda memihak pula, akan timbul kefahaman pada seorang lagi anak, dia sentiasa dilindungi dan sentiasa selamat kerana lebih disayangi.

* Hati-hati dengan anak yang suka mengadu. Mungkin dia betul dan mungkin juga tidak. Kadangkala mendengar sebelah pihak hanya menyelesaikan perkara itu sekejap saja sebelum mereka bergaduh semula. Kadangkala mereka juga sering menuduh adik beradik lain atas kesilapan yang dibuat.

* Jangan membuat perbandingan siapa yang lebih baik dan sebaliknya.

* Perhatikan masa dan hari atau pola yang memungkinkan pergaduhan boleh tercetus. Misalnya pertukaran jadual rutin harian.

* Luangkan masa berkualiti dengan anak-anak. Misalnya berkhemah atau melancong sekeluarga. Aktiviti begini akan lebih mengeratkan lagi hubungan mereka apabila mula berkongsi cerita.

* Jangan fokus keterlaluan anak mana yang patut disalahkan, sebaliknya selesaikan dengan baik membabitkan kedua-duanya. Misalnya saling bermaafan.

* Bantu anak anda membentuk kemahiran bagi mengatasi konfliknya sendiri. Misalnya ajar mereka bertolak ansur, saling menghormati dan mengagihkan makanan atau apa saja barangan yang perlu dikongsi secara adil.

* Apabila mereka bergaduh anda cuba meleraikannya, sebaiknya jangan tengking atau membebel. Nasihat dengan baik mengapa mereka tidak boleh bergaduh dan apa kesannya jika mereka bergaduh.

* Paling utama, jika anda kerap menengking atau menaikkan suara apabila bersama mereka, mulakan dengan mengurangkan atau menghapuskannya langsung. Tingkah laku anda mudah ditiru anak.

Sumber : http://info-kesihatan-anda. blogspot.com

Sabtu, 18 Julai 2009

SEMANGAT MALAYSIA BOLEH

Slogan Tidak Gentar Rahsia Pasukan Malaysia

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Jurulatih negara K. Rajagobal menyemai sikap 'tidak gentar dalam bola sepak' kepada anak buahnya apabila pasukan pilihan Malaysia tewas tipis 2-3 kepada Manchester United pada perlawanan persahabatan Sabtu

Katanya slogan "Tidak Gentar Dalam Bola Sepak" yang sentiasa diberi tumpuan oleh Sir Bobby Charlton ketika beliau mengikut latihan di Pusat Latihan Trafford di Carrinton beberapa tahun lepas menjadi pegangannya.

Pusat itu merupakan gelanggang latihan bagi Manchester United.

Walaupun ketinggalan 2-0 selepas jaringan Wayne Rooney dan Nani sebelum babak pertama perlawanan berakhir, barisan pilihan Malaysia, kebanyakan pemain berusia bawah 23 tahun, lebih berazam untuk merapatkan jurang jaringan.

Semangat juang dan keazaman tinggi anak buah Rajagobal membuahkan hasil apabila ketua pasukan Selangor Mohd Amri Yahyah merapatkan jaringan pada minit ke-43 sebelum menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-62.

Bagaimanapun, Michael Owen menghampakan Malaysia dengan gol kemenangan Manchester United lima minit sebelum wisel penamat perlawanan.

"Pada waktu rehat babak pertama, saya beritahu pemain supaya meningkatkan kesungguhan pada babak kedua serta menasihatkan mereka supaya tidak gentar apabila berdepan dengan pasukan mantap seperti MU," kata Rajagobal.

Bagaimanapun, beliau mengakui kesilapan melakukan banyak pertukaran selepas kedudukan terikat 2-2 menyebabkan kekalahan apabila pemain baru Manchester United, Owen meledakkan gol kemenangan.

Rajagobal berkata beliau akan mengekalkan barisan sama pada perlawanan kedua menentang Manchester United Isnin ini dan menyifatkan kekalahan tipis itu akan memberi motivasi untuk menampilkan persembahan yang lebih baik.

Sementara itu, pengurus Manchester United Sir Alex Ferguson agak terkejut dengan kepantasan, corak perlawanan terbuka dan semangat penuh minat yang ditunjukkan oleh barisan negara.

"Adalah bagus untuk mendahului 2-0 pada babak pertama tetapi agak terkejut dengan gol pembukaan Malaysia," katanya.

"Pada babak kedua, saya perhatikan pemain Malaysia lebih berazam dan bermain dengan penuh minat khususnya dalam kawalan bola," katanya.

Ferguson menyifatkan persembahan pasukan Malaysia telah meningkat sejak pertemuan terakhir mereka pada perlawanan persahabatan di sini pada 2001 di mana pasukan itu menang 6-0.

Kunjungan Manchester United kali ini adalah kali keempat selepas tahun 1991, 1995 dan 2001.

Sumber : http://www.bernama.com/

Nota hujung :

Semangat juang yang ditunjukkan oleh para pemain negara wajar dipuji. Cuma kita agak terkilan apabila menyaksikan lebih ramai rakyat Malaysia yang menyokong MU berbanding mereka yang menyokong pasukan negara sendiri. Di mana agaknya semangat patriotik warganegara Malaysia? Fikir-fikirkan...