Selasa, 21 Julai 2009

ISI-ISI KARANGAN SPM BERDASARKAN ISU TERPILIH

(a) Kepentingan Seni Mempertahankan Diri

1. Menghargai seni warisan
2. Melambangkan budaya warisan yang dipandang tinggi
3. Menjaga kesihatan diri
4. Menjaga keselamatan diri
5. Menjaga disiplin dalam kehidupan
6. Mengeratkan hubungan kekeluargaan /silaturahim
7. Melatih bakat kepimpinan
8. Saling menghormati antara ahli kumpulan
9. Menghargai keistimewaan seseorang dan menilai kekurangan diri.

(b) Kepentingan Pengangkutan Awam

1. Menjimatkan kos.
2. Mengatasi masalah kesesakan lalu lintas.
3. Mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.
4. Meningkatkan sistem pengangkutan awam.
5. Mengatasi masalah tempat letak kereta.
6. Mewujudkan sifat bekerjasama dan bertolak ansur.

(c) Manfaat ICT Terhadap Masyarakat

1. Memudahkan kerja
2. Merapatkan dunia global
3. Melambangkan imej kemajuan
4. Dapat menambah pengetahuan melalui pemerkasaan internet dan akses kendiri.
5. Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) dapat memberikan peluang kepada masyarakat melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
6. Maklumat di hujung jari.

(d) Cara-cara Untuk Memupuk Integrasi Nasional

1. Pelbagai aktiviti kelab/persatuan (kokurikulum) pada pelbagai peringkat mestilah melibatkan semua kaum dan etnik termasuk di Sabah dan Sarawak.
2. Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan:
- Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan
- Mudah dipelajari dan dikuasai oleh semua kaum.
3. Aktiviti sukan dan rekreasi dapat menyatupadukan kaum.
4. Penempatan kediaman.
- Penyusunan kawasan perumahan / tanah @ rumah dijual mestilah mempunyai gabungan kaum dalam sesuatu kawasan/lorong perumahan.
- Ada Rukun Tetangga: nama-nama bertugas.
5. Mewujudkan sekolah wawasan
6. Program rumah terbuka

(e) Strategi Untuk Memupuk Minat Membaca

1. Peranan ibu bapa menyediakan perpustakaan mini dan bahan bacaan di rumah.
2. Pihak sekolah melaksanakan program Nilam dan Bukti secara berterusan dan menyeluruh.
3. Galakan daripada kerajaan – melalui Kempen Bulan Membaca (bulan Julai Bulan Membaca), kerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka.
4. Media massa sering menyiarkan rencara / dokumentasi tentang kepentingan membaca.
5. Pihak swasta @ NGO mengadakan pelbagai bentuk sayembara (pertandingan) seperti bercerita, penulisan cerita, puisi dan esei bagi menggalakkan pelajar membaca.

(f) Faedah-Faedah Mengamalkan Nilai Murni Dalam Kalangan Masyarakat

1. Mengeratkan hubungan silaturahim / kekeluargaan.
2. Mewujudkan amalan saling menghormati.
3. Memupuk rasa tanggungjawab.
4. Memudahkan sesuatu kerja.
5. Menjimatkan masa.
6. Menjimatkan kos.
7. Memahami budaya sesuatu kaum.
8. Memperkasa konsep kejiranan.

(g) Faedah Aktiviti Beriadah Rakyat Malaysia

1. Kesihatan akan terjamin dan tidak mudah terjejas atau dihinggapi penyakit.
2. Merapatkan hubungan silaturahim antara kaum dan ahli komuniti setempat.
3. Memberikan peluang kepada ahli masyarakat agar terlibat dengan aktiviti riadah khususnya kepada golongan yang tidak meminati aktiviti sukan dan permainan.
4. Meredakan stres / menenangkan fikiran selepas bekerja.
5. Melahirkan warganegara / pekerja yang produktif.

(h) Faedah Gotong-royong

1. Melahirkan konsep pemilikan bersama.
2. Menjimatkan kos.
3. Menjimatkan masa.
4. Memupuk perpaduan dalam kalangan anggota masyarakat setempat.
5. Mendidik sikap ingin memberikan sumbangan secara sukarela.
# Cadangan Peribahasa:
- Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicicah.
- Bagai aur dengan tebing.
- Jangan jadi seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.

MENCARI BAHAGIA MELALUI SABAR

Apabila kita diuji dengan kesusahan dan kepayahan lalu kita bersabar, maka hati kita akan tenang dan hati kita akan rasa bahagia. Kita yakin apa yang berlaku adalah ujian dan Allah swt mengetahui apa yang terbaik untuk kita Kebahagian kita boleh perolehi apabila kita bersabar dan menghadapan berbagai masalah dalam kehidupan.

Hakikat ini dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w.

عجبا لأمر المؤمن إن أمره كله خير إن أصابته سراء شكر فكان خيرا له وإن أصابته ضراء صبر وكان خيرا له وليس ذلك لأحد إلا للمؤمن.

Maksudnya; Sungguh menghairankan urusan orang beriman, Semua urusanya baik, apabila mendapat nikmat kesenengan, ia bersyukur, maka baiklah baginya dan apabila ditimpa kesusahan, ia bersabar maka baik jugalah baginya. Dan sifat tersebut tidak ada melainkan bagi orang yang beriman.

Sabar adalah sifat mahmudah yang amat penting dalam kehidupan manusia. Sabar membawa kepada kebahagian, sabar akan membawa kepada ketenangan dan sabar membawa redha Allah s.w.t. Apabila seseorang mencapai redha Allah s.w.t maka itulah hakikat kebahagian yang hakiki.

Sifat sabar banyak mempengaruhi kehidupan manusia yang membawa kepada kebaikan sebaliknya orang yang tidak mempunyai sifat sabar akan melakukan perkara-perkara yang boleh memudharatkan dan menyusahkan orang lain. Apabila kita mampu mengawal hati kita dan sematkan sifat sabar didalammnya insyaallah ketenangan dan kebahagian dapat kita rasai.

Banyak tempat Allah s.w.t menyebutkan sifat sabar dalam al-Quran antaranya ialah;

Firman Allah swt;

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنْفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ

Maksudnya; Dan kami berikan ujian kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.(al-Baqarah:155).

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اصْبِرُوا وَصَابِرُوا وَرَابِطُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya; Hai orang-orang yang beriman, Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah, supaya kamu beruntung.: Dan Allah sayng kepada orang-orang yang sabar.( Ali Imran :200)

إِنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ أَجْرَهُمْ بِغَيْرِ حِسَابٍ

Maksudnya; Sesungguhnya Hanya orang-orang yang Bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.(al-Zumar:10)

Sabda Rasulullah s.a.w.

واعلم أن النصر مع الصبر

Maksudnya; Dan ketahuilah sesungguhnya kemenangan dan kejayaan itu bersama orang yang sabar.

Dalam sebuah hadis Qudsi, Allah s.w.t berkata;

إذا ابتليت عبدي بحبيبتيه ثم صبر عوضته منهما الجنة

Maksudnya; Apabila Aku menguji hambaku dengan kehilangan dua orang yang disayangi lalu ia bersabar nescaya aku gantikan keduanya dengan syurga.

Sifat sabar perlu ketika menghadapi tiga perkara berikut:

1. Bersabar dalam mengerjakan segala perintah Allah.

2. Bersabar dalam meninggalkan segala larangan Allah

3. Bersabar dalam menghadapi ujian kesusahan dan kepayahan.

Sifat sabar itu dipuji pada syara‘ kerana seseorang yang bersifat sabar menunjukkan ia beriman dengan sempurna kepada Allah, dan menunjukkan ia taat dan menjunjung segala perintah agama.

Orang yang beriman kepada Allah mengetahui bahawa segala perkara yang berlaku ke atas drinya adalah kehendak Allah yang tidak dapat dielak lagi. Begitulah juga orang yang taat, tidak akan merasa susah dalam mengerjakan segala perintah Allah dan meninggalkan laranganNya.

Dengan sikap dan perasaan seperti ini seseorang dengan sifat sabar akan merasa tenang dan bahagia seterusnya kehidupannya dalam keadaan yang bahagia walaupun apa yang dihajati tidak kesampaian atau kehilangan sesuatu yang disayangi.

Sumber : http://usrahrasahati.blogspot.com/

Apollo 11 dan penerokaan angkasa negara

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL

EMPAT puluh tahun telah berlalu sejak Neil Armstrong menjadi manusia pertama menjejakkan kaki ke bulan pada 20 Julai 1969. Misi menggunakan pesawat angkasa lepas Apollo 11 itu turut membawa dua lagi angkasawan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa lepas Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA).

Mereka ialah Michael Collins sebagai juruterbang modul dan Edwin "Buzz" Aldrin Jr. iaitu juruterbang modul lunar. Aldrin menjadi manusia kedua menjejakkan kaki ke bulan iaitu lewat kira-kira 20 minit berbanding Armstrong.

Kejayaan Apollo 11 sebenarnya dirintis lebih awal oleh sekumpulan angkasawan iaitu Frank Borman, Jim Lovell dan William Anders. Mereka berjaya memasuki orbit bulan menggunakan pesawat angkasa lepas Apollo 8 pada 21 Disember 1968 itu.

Kejayaan Apollo 8 itu sebenarnya lebih bersejarah kerana ia membuka pintu kepada manusia untuk menyingkap rahsia alam. Ia juga membawa perlumbaan manusia ke angkasa pada tahap yang baru.

Pelbagai misi kajian dilakukan termasuk mengkaji mekanik tanah, meteoroid, gempa di Bumi, aliran haba, julat Bulan, medan magnet dan angin suria.

Di peringkat antarabangsa pula, kejayaan NASA mendorong beberapa negara lain meningkatkan kemampuan penerokaan angkasa mereka. Meskipun perlumbaan itu lebih kepada kepentingan politik dan pertahanan, namun ia membawa bersama manfaat lain.

Bidang komunikasi misalnya berkembang pantas apabila lebih banyak satelit dilancar dan mengorbit bumi. Teknologi seperti pemetaan digital, pengemudian satelit, teleperubatan dan banyak lagi berkembang pesat dengan sokongan satelit.

Malaysia sendiri memiliki lima buah satelit termasuk yang baru dilancarkan pada 22 Jun lalu iaitu Measat-3a. Satelit itu menyertai satelit Measat-1 dan Measat-2 yang sudah berada di orbit sejak 1996 serta Measat-3 pada 12 Disember 2006.

Satelit itu antara lain berkemampuan menyediakan perkhidmatan komunikasi C-band di seluruh benua Asia, Asia Barat dan Afrika. Dengan 17 ruang orbit yang diperuntukkan kepada Malaysia, adalah pasti untuk menyaksikan lebih banyak satelit yang dibangunkan sepenuhnya oleh kepakaran tempatan menjelajah angkasa pada masa depan.

Di atas peta astronomi dunia pula, Malaysia turut tercatat sebagai sebuah negara yang berjaya melahirkan angkasawan. Dr. Sheikh Muzaffar Shukor menjalankan kajian di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) selama 10 hari bermula 10 Oktober dan pulang ke bumi pada 21 Oktober 2007.

Kejayaan Sheikh Muzaffar itu melakar sejarah yang baru kepada pembinaan tamadun bangsa dan negara Malaysia. Ia juga merupakan kemuncak kepada penguasaan bidang ilmu sains dan teknologi di kalangan rakyat tempatan.

Ekoran kejayaan Sheikh Muzaffar itu juga, Malaysia meletakkan sasaran untuk menyaksikan anak tempatan pertama mendarat di bulan pada 2020. Mungkin impian ini kedengaran terlalu optimistik.

Tetapi ia bukanlah angan-angan kosong sebaliknya boleh dicapai dengan kesungguhan semua pihak. Misi menghantar angkasawan seterusnya termasuk ke bulan ini adalah misi yang sangat bermakna dan tidak boleh dianggap satu pembaziran.

Ia sebaliknya bakal memberi impak yang sangat besar terhadap pembangunan kepakaran tempatan dan kapasiti bidang biologi graviti serta penyelidikan angkasa. Kita sudah pun membuktikan kemampuan dengan kelahiran angkasawan pertama hanya selepas 50 tahun kemerdekaan negara.

Maka, tidak mustahil dalam tempoh seperti itu atau mungkin lebih awal lagi, seorang rakyat Malaysia akan menjejakkan kaki di tempat sama Armstrong meninggalkan jejaknya 40 tahun lalu.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Isnin, 20 Julai 2009

Prasekolah jadi sebahagian sistem pendidikan kebangsaan

PUTRAJAYA: Kerajaan berhasrat menjadikan prasekolah sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan sebagai satu daripada usaha memantapkan penguasaan Bahasa Inggeris (BI) di kalangan pelajar dari peringkat awal persekolahan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata melalui usaha itu, guru-guru terlatih dalam Bahasa Inggeris akan dibekalkan ke sekolah-sekolah tersebut bagi meningkatkan pembelajaran bahasa itu.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata usaha itu pada dasarnya telahpun dipersetujui namun belum tahu bila akan dilaksanakan, dan ia juga selaras dengan usaha kerajaan untuk mewajibkan kelulusan bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Kalau di peringkat pra sekolah kita boleh memasukkan satu tempoh jangka waktu (pembelajaran BI) yang sesuai dengan guru yang terlatih mungkin tidak sampai enam tahun (sekolah rendah), dalam masa dua tiga tahun sahaja sudah pasti boleh kita kuasai.

"Kalau tak cukup enam tahun (sekolah rendah) tambah lagi lima tahun (sekolah menengah) sampai ke peringkat SPM takkanlah gagal juga (dalam peperiksaan SPM)?," katanya di majlis perhimpunan bersama warga pendidik di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Muhyiddin berkata kerajaan sedar terdapat pihak yang bimbang bahawa syarat wajib lulus Bahasa Inggeris akan menyebabkan ramai pelajar terutama pelajar luar bandar kandas dalam peperiksaan SPM.

Beliau berkata keputusan peperiksaan SPM 2008, contohnya, hanya 26.9 peratus calon luar bandar yang lulus dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris, bermakna 73.1 peratus pelajar luar bandar akan gagal memperolehi sijil sekiranya syarat itu dilaksana.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan tidak boleh mengambil pendekatan ''menurunkan untuk melaraskan'' dalam usaha meningkatkan mutu pendidikan negara, sebaliknya perlu berani untuk mengambil pendekatan ''meningkatkan untuk melaraskan'' iaitu berusaha sedaya upaya meningkatkan keupayaan pelajar-pelajar yang lemah dalam menguasai sesuatu ilmu sehingga mereka boleh menguasai ilmu itu dengan baik.

"Dalam konteks penguasaan Bahasa Inggeris, syarat wajib lulus BI adalah usaha ''meningkatkan untuk melaraskan'' yang akan mengangkat keupayaan pelajar-pelajar kita, terutama pelajar luar bandar untuk menguasai BI dengan lebih baik dan sekali gus membolehkan mereka bersaing dalam dunia yang semakin kompetitif," katanya.

Muhyiddin berkata dasar itu mungkin akan dilaksanakan tidak lama lagi, namun usaha untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris terutama di kalangan pelajar luar bandar mesti bermula sekarang.

Sumber : http://www.bernama.com/

ISU KANAK-KANAK TERBIAR

Jangan Biar Isu Anak Jalanan Menjadi Barah

Oleh Melati Mohd Ariff


Rencana ini ialah bahagian satu daripada siri rencana mengenai isu sosial yang memberi fokus kepada kanak-kanak.

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) -- Ketika kebanyakan anak yang sebaya ceria menghayun langkah ke sekolah, dia pula hanya menghabiskan usia mudanya menerjah debu di lorong belakang yang menyimpan seribu macam kerenah pahit-getir kehidupan.

Gedung ilmu baginya hanya lorong belakang dan medan letak kereta sementara lingkungan kawan-kawannya pula terdiri daripada anak-anak jalanan atau penagih dadah dan bapa ayam.

Kurang perhatian ibu bapa yang sibuk dengan kerja menjadikan Hisyam (bukan nama sebenar) anak jalanan, terbiar dan tercicir daripada persekolahan. Dalam usia hanya 13 tahun, dia juga sudah terjebak dengan ketagihan menghidu gam.

'Anak jalanan' ini yang mencari wang dengan menjadi atendan letak kereta ditemui sukarelawan Arfidah Ab Latif, ketika membuat kerja mendekati masyarakat di sekitar Jalan Bukit Bintang di sini baru-baru ini.

Beliau turut meninjau pondok papan yang serba-serbi usang dengan dinding yang sudah dimakan anai-anai menjadi tempat anak jalanan ini melepaskan lelah bersama rakan-rakan senasib dengannya.

Di kawasan yang sama, Arfidah bertemu seorang remaja perempuan berusia kira-kira 16 tahun yang berpakaian seksi. Meskipun jarum jam melepasi pukul 1 pagi, remaja ini masih berkeliaran bersama teman lelakinya dan beberapa remaja lelaki yang lain. Beliau juga mendapat tahu remaja itu juga pernah tidak pulang ke rumah dan bermalam di rumah kawannya.

Remaja perempuan ini juga, menurut Arfidah ketagih menghidu gam.

Sebagai sukarelawan yang sudah masak dengan kerenah anak-anak jalanan ini, hatinya bagai ditusuk sembilu melihatkan anak-anak jalanan ini dengan kehidupan yang terumbang-ambing dan bergelumang dengan cara kehidupan yang songsang.

Acap kali juga dia mengesat air matanya yang berjurai mengenangkan nasib anak-anak jalanan ini, seketika terkenang tiga orang anaknya yang disifatkan lebih bernasib baik kerana dijaga keluarganya di kampung.

BAGAI CENDAWAN

Bagi Arfidah, isu anak jalanan ini yang berkeliaran di sekitar Jalan Bukit Bintang, Chow Kit dan Jalan Tuanku Abdul Rahman, bagaikan 'cendawan, yang dipetik selepas kembang dan kemudian tumbuh balik.'

Lazimnya cendawan apabila sudah kembang, orang akan petik untuk dimakan atau dijual. Lepas dipetik, cendawan itu akan tumbuh lagi. Macamlah juga anak-anak jalanan ini, kita pantau mereka dan kemudian demi masa depan mereka, kita ambil dari tepi jalan, beri terapi dan serahkan ke pusat-pusat penjagaan.

"Kami ingat bila sudah ditolong, bilangan anak-anak jalanan ini akan berkurangan tapi keadaan sebaliknya berlaku. Bilangan mereka terus bertambah. Saya percaya anak-anak itu datang dari luar kawasan sini," jelas Arfidah kepada Bernama dalam satu wawancara di sini baru-baru ini.

Anak-anak jalanan itu, katanya, mengisi masa dengan menyelongkar 'harta karun' (apa sahaja barang yang boleh dijual) di tong-tong sampah untuk mencari wang.

"Yang paling sedih ada anak-anak jalanan seawal usia 13 tahun di sekitar Jalan Bukit Bintang sudah menjadi macai iaitu budak suruhan kepada bapa ayam atau pengedar dadah. Ada juga remaja perempuan yang menjadi macai.

"Macai ini juga akan menjadi mangsa buli Otai iaitu mereka yang sudah duduk lama di kawasan berkenaan dan kemudian menjadi pengedar dadah atau bapa ayam. Otai ini bermula sebagai Macai dan kebanyakannya orang Melayu. Ada juga yang berasal dari Sabah dan Sarawak," jelas Arfidah.

Beliau berkata ada anak jalanan (lelaki) yang menjadi 'anak ikan' iaitu anak didik pondan atau 'mak nyah' dan mereka ialah anak pekerja seks yang terbiar dan menjadi rapat dengan pondan yang tinggal berhampiran.

"Pondan yang sudah tua akan mengumpan anak ikan ini yang biasanya mempunyai wajah yang tampan dengan wang ringgit. Kemudian, budak ini akan disolek menjadi perempuan dan disuruh melacur. Pondan tadi akan mengambil sebahagian wang anak ikannya untuk membayar sewa bilik dan untuk perbelanjaan lain," kata Arfidah.

SIAPA ANAK JALANAN

Bercakap lebih lanjut tentang anak-anak jalanan ini, Arfidah berkata kebanyakan mereka datang daripada keluarga yang berkrisis.

Ibu anak-anak jalanan itu mencari nafkah dengan bekerja di kilang, kedai, hotel (sebagai pencuci) dan pegawai perhubungan pelanggan (GRO). Ada juga yang menagih dadah dan menjadi pekerja seks, katanya.

Mengenai bapa mereka, Arfidah memberitahu bahawa kebanyakannya penagih dadah dan ada juga yang sedang menjalani tahanan dan pemulihan di pusat-pusat serenti.

"Mereka datang ke kawasan ini untuk mencari kehidupan baru tetapi malangnya kehidupan yang ditemui tidak seindah yang mereka impikan. Anak-anak yang terbiar ini, ada yang tidak bersekolah, dan ada yang tidak mempunyai sijil kelahiran. Ramai juga anak yang dilahirkan di luar nikah.

"Mereka memilih tinggal di kawasan ini (sekitar Chow Kit dan Jalan Tuanku Abdul Rahman) kerana sewa bilik murah, sekitar RM10 sehari, tak perlu bayar deposit air dan elektrik.

"Bilik yang disewa cuma untuk tempat tidur. Kalau nak makan, beli sahaja di gerai dan kalau nak dapat duit, cari harta karun (barang-barang yang boleh dikitar semula) di tong sampah. Yang banyak buat kerja ini ialah penagih dadah," jelas Arfidah.

Beliau berkata ada juga anak jalanan yang menjadi penagih dadah kerana ibunya sendiri penagih dadah.

"Perkara ini berlaku di depan mata saya. Perempuan ini menjual dadah sambil mengkelek anaknya yang berumur tiga tahun. Bila kanak-kanak ini besar, dia menjadi penagih dadah. Budak ini pernah dimasukkan ke sekolah pemulihan tetapi bila dia keluar, perangainya menjadi lebih teruk.

"Nak salahkan siapa? Dari kecil dia dah ikut emak dia dari lorong ke lorong menjual dadah, akhirnya bila remaja, budak ini sendiri terlibat dengan dadah!" cerita Arfidah.

Menurut beliau, ada juga anak kecil yang dijadikan umpan untuk mengemis oleh siibu sehingga pukul 3 pagi untuk mencari wang mudah bagi membeli dadah. "Nak menjual tubuh, saham sudah turun, jadi mengemis jalan mudah untuk mendapatkan wang. Mengemis selepas tengah malam juga lebih selamat kerana tidak ada operasi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau pihak berkuasa lain," ujarnya.

ATAS KESEDARAN

Arfidah, bekas penagih dadah tegar, pada mulanya melakukan kerja sukarelawan bermula pada tahun 1999 untuk membantu penagih dadah khususnya di sekitar kawasan Chow Kit sebagai, katanya, untuk 'menebus dosa'.

"Apabila pulih dari dadah, saya mahu menyibukkan diri saya dan mengisi ruang kosong dengan melakukan kerja sukarelawan atas kesedaran saya sendiri. Ketika itu saya tidak menyertai mana-mana pertubuhan

"Bila saya turun padang, pergi ke lorong-lorong di Chow Kit, saya terpandang kanak-kanak yang terbiar di kawasan itu. Timbul perasaan sedih dan kasihan. Saya berfikir bagaimana saya boleh membantu anak-anak yang berkeliaran di kawasan berisiko tinggi ini?

"Anak-anak berkenaan, ada yang tidak pergi ke sekolah, ada yang tidak mempunyai sijil kelahiran. Ini semua sebab kelalaian ibu mereka, ada yang ditinggal suami, ramai juga anak di luar nikah," cerita Arfidah.

Menurut beliau, setakat ini pihaknya berjaya membantu lebih 20 orang kanak-kanak mendapatkan sijil kelahiran.

Beliau menjelaskan di peringkat awal banyak halangan yang terpaksa dilalui untuk mendapatkan sijil itu.

"Ada yang menyoal saya ini siapa, dari pertubuhan mana? Ada juga yang berkata mengapa saya yang sibuk-sibuk mahu menguruskan perkara sijil kelahiran itu.

"Tapi saya ini jenis wanita yang degil. Ini semua tidak mematahkan semangat saya untuk membantu anak-anak yang tidak berdosa ini," cerita Arfidah sambil menjelaskan bahawa beliau mula memberi penekanan kepada anak-anak jalanan pada tahun 2000 apabila dia bekerja sebagai sukarelawan sepenuh masa dengan sebuah pertubuhan bukan kerajaan.

Semasa menjadi sukarelawan sepenuh masa itu, beliau berpeluang mengikuti kursus undang-undang yang antaranya cara-cara membantu ibu tunggal dan mendapatkan hak penjagaan anak serta urusan dengan mahkamah syariah dan mahkamah sivil.

"Ilmu serta pengalaman yang saya perolehi banyak membantu saya dalam kerja sukarelawan yang saya lakukan. Setakat ini saya telah dapat membantu wanita penagih dadah (hampir 150 orang) dan anak-anak jalanan sekitar Chow Kit, Jalan Bukit Bintang, Jalan Raja Laut dan Kampung Baru (kira-kira 500 orang).

"Saya sudah buat kerja ini hampir 10 tahun. Umur saya kini sudah memasuki 55 tahun. Selagi saya masih berdaya untuk berjalan, saya akan terus menyusuri lorong-lorong hitam ini, membantu mereka yang terpinggir ini.

"Kalaulah masyarakat di luar sana dapat melihat di mana anak-anak jalanan ini dan ibu mereka tinggal... terharu betul," kata Arfidah, air mata jernih sekali lagi bergenang lalu menitis membasahi pipinya.

RASA BANGGA

Bagi Arfidah yang juga dikenali sebagai 'Mak Andak' dalam kalangan anak-anak jalanan, tiada yang lebih membanggakan apabila anak-anak yang pernah dibantunya masih mengingatinya.

"Bila saya pergi ke lorong-lorong, saya dengar suara memanggil Mak Andak. Hati saya menjadi sayu kerana dia masih ingat pada saya sedangkan masa saya membantunya, usianya baru 7 tahun dan sekarang dia sudah 18 tahun. Walaupun dia seorang yang degil tetapi dia masih ingat pada saya.

"Ada juga anak-anak yang bila mereka tahu saya berada di kawasan ini, mereka akan datang mendapatkan saya. Mereka masih hormat dengan saya. Apa yang saya lakukan hanyalah sekadar menghulurkan tangan, memberi nasihat semasa mereka kecil," kata Arfidah dengan suara yang bergetar menahan kesedihan.

Menurut wanita yang cekal hati ini, meskipun dia hanya seorang bekas penagih dadah tanpa pelajaran yang tinggi, dia bersyukur kerana sedikit sebanyak dia dapat mentarbiahkan kanak-kanak yang terbiar itu.

Jelasnya, anak-anak jalanan biasanya perlu didekati terlebih dahulu untuk mengenali masalah mereka dan proses itu mengambil masa, sebelum beliau merujukkan anak-anak itu ke pusat penjagaan atau pemulihan.

TURUN PADANG

Melihat gejala yang tidak sihat ini yang seperti tiada surutnya, Arfidah berharap pihak berkuasa yang berkenaan akan lebih 'turun padang' untuk melihat sendiri pelbagai masalah sosial yang boleh diibaratkan sebagai 'api dalam sekam' dalam masyarakat.

Kawasan Chow Kit bagaikan 'padang permainan' baginya. Banyak yang telah dilalui Arfidah sepanjang 20 tahun bergelumang dengan dadah di kawasan itu sebelum beliau insaf dan kembali ke pangkal jalan.

Anak-anak yang terbiar, baginya adalah hasil sikap ibu bapa yang terlepas pandang akan kebajikan anak-anak mereka. Ibu bapa yang sibuk dengan pekerjaan, ibu bapa yang miskin dan tidak ada pelajaran dan keadaan rumah yang sempit adalah antara faktor yang mendorong anak-anak keluar dari rumah dan menjadi anak jalanan.

"Selagi anak itu tidak mengalami kecederaan fizikal, ibu bapa akan membiarkan sahaja anak mereka tetapi apabila sudah berlaku sesuatu yang tidak diingini, barulah mereka akan tersentak.

"Seperti seorang remaja perempuan yang saya temui di Jalan Bukit Bintang. Bagi saya, remaja yang terbiar seperti ini bakal menjadi pelacur. Sekarang dia sudah pandai hidu gam, mungkin kemudian akan mengambil najis dadah. Dia mungkin akan menjual tubuhnya untuk mendapatkan wang untuk membeli dadah.

"Tidak mustahil juga suatu hari nanti remaja itu akan dijangkiti HIV dan bila saham dah turun, akan merempat dan mengemis seperti perempuan yang meriba bayi yang saya katakan tadi," keluh Arfidah.

Bagi sukarelawan ini, beliau hanya melakukan apa yang terdaya dibuatnya tetapi perlu ada susulan dan kesinambungan daripada pihak yang berwajib supaya isu anak jalanan ini tidak berlarutan yang akhirnya akan menjadi 'barah' dalam masyarakat.

Sumber : http://www.bernama.com/

Ketinggian akhlak pelajar sama penting kecemerlangan akademik

BANYAK yang dilakukan kerajaan bagi memastikan sistem pembelajaran negara berada pada tahap tinggi. Ia termasuk cadangan mewajibkan pelajar yang ingin mengambil Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) lulus Bahasa Inggeris dan kredit Bahasa Melayu. Beberapa hari lalu pula, kerajaan memansuhkan PPSMI.

Bagaimanapun, saya sebagai seorang Islam sedih melihat sesetengah pelajar sekolah sekarang amat rendah akhlak mereka walaupun cemerlang dalam akademik.

Ramai pelajar sekolah sekarang terjebak dengan kegiatan tidak bermoral seperti lumba haram, ponteng, menghisap rokok dan seks bebas.

Kita terlalu leka membahaskan soal mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sehinggakan mata pelajaran yang boleh membentuk akhlak diabaikan. Matlamat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan, menyebut ‘Pendidikan di Malaysia adalah usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Usaha ini bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

Justeru, saya mencadangkan agar mewajibkan kredit bagi mata pelajaran Pendidikan Islam atau subjek yang setaraf dengannya (pendidikan al-Quran dan sunnah, pendidikan syariah islamiah dan tasawwur) bagi pelajar Islam yang menduduki SPM.

Pelajar bukan Islam pula diwajibkan mendapat kredit dalam Pendidikan Moral.

Sesetengah pelajar memandang remeh mata pelajaran Pendidikan Islam atau setaraf dengannya sehinggakan mereka tidak kisah mata pelajaran itu lulus atau pun tidak.

Apabila mata pelajaran yang dapat membantu membaik pulih sahsiah dipandang remeh, bagaimana sahsiah pelajar yang unggul dapat dibentuk?

Mungkin, pada pandangan orang ramai mata pelajaran ini bukan faktor yang dapat membentuk sahsiah pelajar yang unggul, namun sekurang-kurangnya jika perhatian yang lebih diberikan kepada subjek itu, sudah pasti ia dapat menambah baik sahsiah remaja.

Ketika memberi tumpuan lebih terhadap isi kandungan mata pelajaran berkenaan, mereka akan berfikir dan membandingkan dengan perbuatan yang sudah mereka lakukan, sama ada betul atau salah.

Sedikit sebanyak ia dapat menginsafkan pelajar dan sahsiah mereka diterapkan dengan moral yang baik seperti hasrat kerajaan yang ingin melahirkan modal insan yang berkualiti dari segi intelek dan rohani.


AL-HAZIM IBN MOHD ZAIN,

Mahasiswa semester tiga

Universiti Pendidikan Sultan Idris.


Sumber : http://www.bharian.com.my/

Ahad, 19 Julai 2009

BEBERAPA PENGAJARAN DARIPADA PERISTIWA ISRAK DAN MIKRAJ

Iktibar kembara agung ke langit

WALAUPUN setelah 40 tahun angkasawan Niel Armstrong menjejakkan kaki ke bulan, rahsia langit luas masih kekal rahsia. Ia masih belum dapat dijangkau oleh akal manusia.

Malah manusia juga masih tidak mampu untuk memikirkan sesuatu kecuali berdasarkan apa yang dapat dicapai oleh pancaindera. Justeru itu, wahyu dan pertolongan Allah SWT sahaja yang boleh merungkai rahsia alam ini.

Sebagai contoh, peristiwa kembara agung perjalanan Rasulullah SAW ke langit. Ia menjadi bukti kepada orang yang beriman betapa Allah SWT sememangnya "Maha Berkuasa". Allah menjemput kekasihnya, Nabi Muhammad SAW menerusi suatu perjalanan menakjubkan dari Masjidilharam di Mekah, melalui ruang udara Madinah kemudian menuju ke Baitulmaqdis di Palestin.

Baginda kemudiannya dibawa naik melepasi langit ke tujuh untuk bertemu zat Allah SWT. Semua perjalanan itu hanya dilakukan dalam tempoh satu malam sahaja.

Peristiwa menakjubkan ini dirakamkan oleh Allah SWT dalam firmannya: "Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (Surah al-Isra', Ayat 1).

Sehubungan itu, umat Islam diminta agar tidak menjadikan peristiwa ini sebagai acara peringatan tahunan yang hanya dipenuhi dengan sesi ceramah dan juadah enak sahaja tanpa berusaha untuk mengambil pelajaran daripada peristiwa itu.

Ini kerana banyak kewajipan agama sama ada yang tersurat mahupun tersirat boleh dijadikan pedoman untuk manusia memperkuatkan keimanan dan ketakwaan terhadap Allah SWT. Antaranya ialah:

*Beriman dengan perkara ghaib

Peristiwa Israk Mikraj merupakan peristiwa ghaib yang pernah menyebabkan sebilangan masyarakat Arab menjadi murtad. Ini kerana mereka tidak dapat menerima perkhabaran yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW mengenai perjalanannya itu.

Apa tidaknya, perjalanan yang biasanya mengambil masa berbulan-bulan - Mekah ke Madinah ke Palestin - hanya dilakukan oleh Baginda dalam tempoh satu malam sahaja.

Namun perkara itu tidak boleh hanya disandarkan kepada logik akal semata-mata kerana peristiwa itu adalah benar dan telah ditempuhi sendiri oleh Rasullah SAW.

Maka, setiap umat Islam wajib percaya dengan perkara-perkara ghaib yang menjadi asas tauhid kepada Allah SWT. Ia bukanlah sesuatu yang begitu sukar, kerana di dunia ini terdapat banyak perkara yang dibuktikan oleh sains wujud tetapi tidak terlihat oleh pandangan mata kasar.

Contohnya, oksigen yang dihela oleh manusia setiap masa. Ia wujud walaupun tidak kelihatan pada mata kasar. Malah kewujudan oksigen dibuktikan secara saintifik dan ternyata sangat penting kepada manusia sebagai unsur utama untuk meneruskan hidup.

*Perintah wajib mengerjakan sembahyang

Ibadah sembahyang yang difardukan oleh Allah SWT pada malam Israk dan Mikraj itu merupakan suatu kaedah unik yang diadaptasikan daripada perlakuan malaikat bagi melaksanakan tanggungjawab ibadah kepada Allah SWT.

Setiap umat Islam wajib melaksanakan perintah ini. Dalam apa jua situasi tanpa sebarang persoalan atau bantahan. Sembahyang lima waktu yang difardukan oleh Allah SWT juga merupakan tiang agama yang wajib dilaksanakan dengan penuh rasa khusyuk sambil mengharapkan keredhaan-Nya.

Bahkan ia termasuk perkara pertama yang akan dihisab di Hari Kemudian. Pelbagai hukuman disediakan oleh Allah SWT kepada mereka yang ingkar. Ia sebenarnya cukup untuk menjadi ingatan agar orang Islam tidak melalaikan segala suruhan-Nya. Gambaran azab dengan menghantuk-hantukkan kepala ke dinding hanya kerana leka dan malas mengerjakan sembahyang cukup menjadi bukti betapa ibadah itu sangat penting dalam kehidupan seorang muslim.

*Wajib percaya dengan Hari Kiamat

Perlu difahami bahawa kehidupan dunia hanya sementara. Semua manusia akan dihimpunkan di Padang Mahsyar untuk diperhitungkan segala perlakuan semasa di dunia. Berdasarkan gambaran dunia laksana wanita tua yang uzur dan tidak berdaya yang dipertontonkan kepada Nabi Muhammad SAW di malam Israk dan Mikraj, dunia kini diambang kehancuran.

Oleh itu, setiap orang Islam bukan sahaja wajib percaya dengan Hari Kiamat tetapi diperintahkan untuk membuat persiapan berupa bekalan amal kebajikan bagi menghadapi hari yang maha dahsyat itu.

Individu Muslim disaran agar meletakkan diri sebagai seorang pengembara yang dalam perjalanan bertemu Allah SWT. Sebagai pengembara kita perlu membawa pelbagai bekalan. Amal ibadat dan kebajikan yang dilakukan semasa di dunia merupakan bekalan kita ketika menuju ke akhirat bagi mengelak kesulitan untuk sampai ke destinasi yang dituju itu.

Selain itu, persembahan hadiah berupa amalan ibadah kepada Allah SWT juga mesti disediakan agar beroleh kebahagiaan yang kekal lagi abadi.

*Wajib percaya dengan azab Tuhan

Pelbagai seksaan ditunjukkan kepada Nabi Muhammad SAW dalam perjalanan Israk dan Mikraj tersebut. Antaranya akibat perbuatan zina, makan riba, ingkar menunaikan solat dan kewajipan berzakat, berdusta serta pecah amanah. Ia membuktikan betapa Allah SWT berkuasa untuk menghukum hamba yang ingkar dan hidup bergelumang dosa.

Semua gambaran itu diharap menginsafkan umat Islam agar sentiasa menjauhi dosa yang mengundang kemurkaan Ilahi.

Di sudut lain, gambaran kurniaan Ilahi kepada satu kaum yang menanam tanaman dan menuai pada hari yang sama seharusnya menjadikan individu Muslim memiliki semangat juang yang tinggi terutama ketika berdepan dengan godaan syaitan iaitu musuh utama kita.

*Wajib percaya dengan qada dan qadar

Dalam mengharungi kehidupan dunia yang penuh pancaroba ini, manusia berdepan dengan dugaan dan rintangan yang mematangkan jiwa. Biasa didengar ada orang yang beroleh kenikmatan dan terdapat pula yang ditimpa musibah.

Nabi Muhammad SAW juga tidak lekang dengan pelbagai ujian. Ini kerana Baginda juga merupakan manusia biasa.

Sebelum dijemput naik ke langit, Nabi Muhammad SAW diuji dengan kehilangan dua individu penting dalam karier dakwahnya iaitu isterinya, Siti Khadijah dan bapa saudaranya, Abu Talib.

Tetapi Baginda tetap tabah menghadapi ujian itu sehingga diberi ganjaran dengan dipertemukan dengan zat Allah pada malam Israk dan Mikraj yang penuh keberkatan.

Maka selayaknya umat Islam mencontohi Nabi dengan menerima segala qada dan qadar Ilahi tanpa terlalu bersedih apabila ditimpa musibah ataupun terlalu bergembira apabila diberi kenikmatan kerana ia suatu bentuk penilaian Allah SWT kepada hamba hamba-Nya.

Terdapat pelbagai lagi iktibar dan pengajaran daripada peristiwa Israk dan Mikraj yang boleh diperoleh oleh sesiapa yang dibukakan hatinya oleh Allah SWT. Namun yang lebih utama, janganlah kita hanya berseronok merayakan pelbagai hari kemuliaan Islam tanpa merenung pelajaran di sebalik setiap peristiwa berkenaan.

Marilah kita mensyukuri segala nikmat itu dengan mempertingkatkan amal ibadat dan kebaikan demi menjamin kebahagiaan di dunia dan akhirat.

PENULIS ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru

Sumber : http://www.utusan.com.my/