Rabu, 5 Ogos 2009

ISU PELAKSANAAN DASAR SATU MALAYSIA

Konsep 1Malaysia pemangkin seru rakyat tingkat prestasi

Oleh Dr KS Nathan


KONSEP 1Malaysia boleh ditafsirkan sebagai pemangkin menyeru rakyat berganding bahu meningkatkan prestasi negara pada peringkat domestik, serantau mahupun di persada dunia. - Gambar hiasan

Pengurusan strategik terbaik harus penuhi objektif capai perpaduan negara, pembangunan modal insan

NEGARA meraikan ulang tahun ke-52 kemerdekaannya pada 31 Ogos ini, sambil Asean juga meraikan ulang tahunnya ke-42 pada Sabtu ini. Kedua-dua peristiwa itu mempunyai kesan mendalam terhadap keseluruhan proses pembangunan, kestabilan, kemajuan serta kemakmuran negara dan keselamatan serantau. Soal yang lebih genting ialah setakat mana dapat kita lihat pertalian antara dasar luar Malaysia dan perkembangan Asean dalam tempoh lebih empat dekad kebelakangan ini, serta impak hubungan Malaysia-Amerika terhadap keselamatan Asia secara keseluruhan.

Usaha kuasa tempatan mewujudkan jati diri kebangsaan mahupun serantau bermula dengan penubuhan Persatuan Asia Tenggara atau ASA pada 1961. Pembentukan rangka kerjasama antara tiga negara pengasas iaitu Malaysia, Thailand dan Filipina adalah petanda terpenting dari sudut inisiatif tempatan bagi memupuk kerjasama serantau berlandaskan keperluan dan aspirasi tempatan.

Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra memainkan peranan penting memajukan kerjasama sosiobudaya berasaskan andaian kemajuan pada peringkat ini akan disambung ke arena kerjasama politik, ekonomi dan keselamatan. Jadi, kerjasama sosial dan budaya pada tahap awal, berkembang pula keazaman politik untuk melonjak ke paras lebih tinggi dan mencabar.


Daripada menentang komunis menerusi strategi dan program 'keselamatan dan pembangunan', negara terus memerangi keganasan sehingga Parti Komunis Malaya (PKM) pada 1989 secara rasmi meletakkan senjata. Dasar luar Malaysia berjaya mengukuhkan dasar pembangunan sosioekonominya ke arah perpaduan serta pembangunan ekonomi.


Peranan aktif dimainkan Malaysia dalam forum Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) menghasilkan gambaran pada dekad 1980-an sebagai juara memupuk kerjasama antara Selatan-Selatan. Usaha menumpaskan komunisme melambangkan kesanggupan pemimpin pengasas Asean membina negara bangsa yang mencerminkan hasrat rakyat mendokong sistem demokrasi serta mengembangkan kerjasama serantau berteraskan keperluan tempatan.

Kerjasama serantau dan Asean dengan kuasa luar mencerminkan matlamat sama yang hendak dimajukan negara Asia Tenggara. Sehubungan itu, Asean memulakan hubungan rakan dialog dengan semua kuasa luar, termasuk Amerika Syarikat (AS) sejak 1970-an. Dialog AS-Asean yang pertama diadakan pada 1977.

Sejak tamatnya Perang Dunia Kedua, kuasa dan pengaruh AS ketara menonjol khasnya dari sudut keupayaan dan peranannya sebagai penjamin keselamatan di rantau Asia-Pasifik. Suatu simbol kesinambungan peranan keselamatan Amerika di Asia dapat dilihat dalam pengekalan pakatan tentera Amerika Syarikat-Jepun yang termeterai pada 1951.

Asean mengambil pendirian strategik mengenai pakatan dua hala itu kerjasama keselamatan AS-Jepun membawa manfaat kepada seluruh Asia khususnya dari segi menstabilkan keselamatan dalam keadaan tidak menentu selepas tamatnya Perang Dingin pada 1990. Di samping itu, pakatan berkenaan membebaskan negara yang baru merdeka daripada belanja berlebihan untuk pertahanan, sebaliknya membuka peluang menghulurkan tenaga kepada pembangunan.

Globalisasi mendesak negara serantau menggubal dasar politik dan ekonomi domestik ke arah menyelaraskan ekonominya kepada tuntutan baru yang muncul daripada persekitaran luar. Persoalan paling mencabar adalah menyambut tuntutan dan desakan luar tanpa mengorbankan jati diri negara mahupun ciri kebangsaan yang setakat ini berjaya memantapkan sistem politik, ekonomi dan sosial.

Dalam konteks ini, Malaysia sendiri berasa tercabar daripada pelbagai sudut mempertahankan kedaulatan negara sambil membuka sektor domestik bagi pelaburan luar supaya kedua-dua pihak dapat menikmati pembangunan ekonomi serta kemantapan serantau.

Wawasan 2020 yang diilhamkan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1991 membayangkan pandangan strategik bagaimana Malaysia sebagai negara majmuk harus menangani pelbagai cabaran, dalam dan luar, dengan cetusan era globalisasi sejak 1990-an. Konsep mengukuhkan perpaduan tidak jauh bezanya daripada memperkasakan serantau.

Maka konsep pengurusan strategik menjadi neraca mengimbangi segala unsur positif dan negatif yang menyusul dengan sesuatu tindakan diambil. Sesuatu strategi terbaik, bernas dan berkesan harus memenuhi objektif mencapai perpaduan negara, pembangunan modal insan dan fizikal, dan memastikan daya saing negara tanpa kompromi.

Penggubalan dasar harus menepati landasan ditetapkan demi kebaikan semua rakyat Malaysia. Daripada perspektif ini, Wawasan 2020 sudah pun merangka strategi, dasar dan langkah yang kini dipaparkan sebagai gagasan '1Malaysia'.

Walaupun falsafah yang membimbing kedua-dua gagasan itu sama, pelaksanaannya akan buntu jika pegangan minda yang enggan menerima realiti bahawa dasar dan strategi yang berkesan dulu masih menebal kerana ia mungkin kurang relevan kepada perubahan zaman. Begitu pun, perubahan psikologi pemimpin serta masyarakat tidak akan berlaku secara mendadak; perlukan masa, usaha dan kesanggupan melakukan perubahan.

Justeru, konsep '1Malaysia' boleh ditafsirkan sebagai pemangkin menyeru rakyat berganding bahu meningkatkan prestasi negara pada peringkat domestik, serantau mahupun di persada dunia. Dasar liberalisasi sektor tertentu di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak bertujuan meyakinkan rakyat Malaysia bahawa, memandangkan kegawatan ekonomi dunia masa kini, kerajaan peka dan insaf kepada tuntutan masyarakat dan berazam menunaikan aspirasi rakyat.

Namun, cabaran lebih genting kepada pemerintahan baru ialah sama ada langkah politik dan ekonomi yang diambil dapat dipertahankan untuk jangka panjang tanpa mengorbankan tujuan mencapai kesaksamaan sosioekonomi, mempertahankan kedaulatan sistem demokrasi berpolitik, ketelusan pentadbiran dan kesediaan mendengar suara rakyat.

Prof Dr KS Nathan ialah Timbalan Pengarah dan Ketua, Pusat Kajian Amerika (Kamera) Institut Kajian Oksidental (Ikon) UKM

Sumber : http ://www.bharian.com.my/

ISU SELESEMA BABI ( INFLUENZA A H1N1)

Pelaksanaan cegah, rawat H1N1 perlu tindakan serius

EMPAT lagi kematian dicatatkan semalam. Ia menjadikan jumlah yang maut akibat selesema babi kini meningkat kepada 12 orang. Bermula dengan korban pertama pada 21 Julai, jumlah kematian akibat influenza A (H1N1) meningkat mendadak selepas dua minggu.

Ia semakin membimbangkan. Apatah lagi jumlah kes yang positif H1N1 kini meningkat kepada 1,476.

Jumlah kematian itu dicatatkan walaupun negara telah mengambil langkah 'berjaga-jaga' sejak akhir April lalu.

Persoalannya, sejauh manakah langkah berjaga-jaga atau pencegahan itu dilaksanakan? Apakah langkah-langkah utama membendung penularan wabak itu benar-benar dilakukan? Atau adakah ia sekadar indah di atas kertas?

Berdasarkan perkembangan terbaru itu, tidak keterlaluan jika dikatakan langkah pencegahan hanya bersifat "sekadar ada" sahaja.

Tiada langkah aktif dan proaktif bagi membendung penyebaran virus tersebut. Tidak dinafikan iklan-iklan mengenainya disiarkan berulang kali di media massa tetapi bila tiba soal pelaksanaan, ia hanya kekal di takuk lama.

Ketika ini semakin banyak keluhan daripada orang ramai berhubung sikap sesetengah doktor yang tidak serius untuk membantu pesakit mengenal pasti jangkitan H1N1.

Luahan seorang ibu dalam ruangan forum di Utusan Malaysia semalam, menceritakan realiti yang berlaku ketika ahli masyarakat cuba mendapatkan pengesahan mengenai jangkitan virus maut berkenaan.

Sikap sambil lewa doktor yang enggan membuat pemeriksaan lanjut walaupun pesakit telah berminggu-minggu diserang batuk dan selesema sangat mengecewakan.

Adakah benar doktor di hospital hanya akan melakukan pemeriksaan lanjut dan teliti sekiranya pesakit menunjukkan tanda-tanda kritikal seperti sesak nafas dan demam dengan suhu yang terlalu tinggi? Ketika itu mereka di ambang nazak?

Kenapa begitu layanan pegawai perubatan ke atas mereka yang mahu diperiksa kerana khuatir dijangkiti selesema babi?

Mengapa tidak dilaksanakan prosedur seperti untuk mengesan denggi? Adakah selesema babi kurang berbahaya berbanding denggi?

Rasanya sikap "ambil mudah" itu bukan langkah yang dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan. Tetapi itulah realiti yang berlaku di hospital-hospital di bawah kementerian itu.

Amat malang kerana mereka yang sepatutnya sangat arif mengenai langkah pencegahan dan pengesanan awal, bersikap sambil lewa. Mengapa kita tidak belajar daripada wabak Japanese Encephalitis (JE) atau Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) dahulu?

Maka kerana itu, kita sangat berharap pengumuman kerajaan mengenai empat langkah tambahan membendung penularan H1N1 akan memberi momentum baru kepada semua pihak.

Langkah kerajaan meningkatkan simpanan stok antivirus kepada 20 peratus dengan melibatkan kos RM20 juta perlu diikuti dengan pelaksanaan sebaik mungkin.

Begitu juga dengan arahan untuk memberi rawatan serta-merta kepada enam kategori pesakit iaitu wanita hamil, obesiti, penghidap asma, paru-paru kronik, diabetes dan pesakit dengan imuniti rendah.

Paling penting mereka di barisan hadapan khususnya doktor dan jururawat, perlu sentiasa peka. Semua langkah utama dan tambahan bagi pencegahan dan rawatan H1N1 itu memerlukan pelaksanaan segera. Ia perlu menepati slogan "rakyat diutamakan".

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

LIDAH SANG PENDUSTA

Katamu, setelah merdeka
telah termaktub di perlembagaan
bahasa ibundaku yang satu itu
berdiri gagah penuh daya
menggerak sebuah negara bangsa
menuju keabadian cita
disanjung, dimuliakan selayaknya
mengemudi sebuah negara.

Hari ini, bahasa Melayu itu
tidak ubah nasibnya
bagai tikar mengkuang bonda
telah hilang serinya, robek di tangan sendiri
dipijak, dihenyak sesuka hati
lidah yang tidak punya jati diri.

Engkau telah berdusta
tidak mempertahankan kemuliaannya
tidak peduli amanat bangsa
membiarkan bahasamu dibunuh
oleh lidahmu sendiri, tanpa sedikit
rasa berdosa mengkhianati
demi globalisasi dan cita-citamu sendiri.

KAMAL SUJAK
Cyberjaya, Selangor

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Selasa, 4 Ogos 2009

PERSEDIAAN MENGHADAPI RAMADHAN AL-MUBARAK

Sabda Rasulullah s.a.w:

((كَمْ مِنْ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ وَكَمْ مِنْ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلَّا السَّهَرُ))

(( Berapa ramai orang yang berpuasa tetapi ia tidak memperoleh apa-apa kecuali lapar dan dahaga dan berapa ramai orang yang qiam (solat malam) tetapi ia tidak memperoleh apa-apa melainkan berjaga sahaja)). Riwayat Imam Ahmad

Hadis di atas membayangkan bahawa pada bulan Ramadan terdapat juga golongan yang berpuasa namun mereka tidak mendapat ganjaran pahala dari Allah Taala kerana mereka berpuasa dalam keadaan jahil atau ketika berpuasa mereka turut melanggar syariat Allah Taala. Justeru bagi memastikan ibadah puasa Ramadan tidak dilalui dengan sia-sia sewajarnyalah kita berusaha membuat persediaan rapi demi memperolehi ganjaran berlipat ganda yang ditawarkan oleh Allah Taala sepanjang Ramadan.

Berikut adalah beberapa persiapan yang boleh dibuat oleh seorang muslim bagi menjadikan Ramadan kali ini lebih bermakna:

1) Persiapan Diri:

Sebagai muslim yang benar-benar prihatin dengan kehadiran Ramadhan semestinyalah menyemak semula hukum-hakam yang berkaitan dengan pengertian puasa, hikmah, rukun dan perkara-perkara yang membatalkan puasa agar ibadah yang dilalui tidak sia-sia. Juga hendaklah mengetahui amalan-amalan sunat yang sangat digalakkan ketika berpuasa seperti membaca al-quran, bersedekah dan membantu golongan yang susah. Di samping itu hendaklah juga mengetahui fatwa-fatwa berkaitan dengan permasalahan semasa yang berkaitan dengan puasa.

Kita juga hendaklah mengetahui bahawa ketika Ramadhan kita bukan sahaja dituntut menahan lapar dan dahaga tetapi hendaklah juga memelihara aurat, tidak bergaul bebas lelaki dan perempuan, tidak mengunjungi pusat-pusat hiburan dan kelab malam, tidak bersentuhan dengan bukan muhrim, tidak membeli tiket loteri dan berjudi, tidak menghabiskan masa membuat perkara sia-sia seperti menonton tv dan mendengar lagu-lagu yang melalaikan dan tidak terlibat dengan mengumpat dan menfitnah orang lain.

Seorang muslim yang akan menempuh bulan Ramadhan sewajarnya menanamkan keazaman dengan penuh ikhlas untuk menumpukan sepenuhnya bulan ini dengan amal ibadah. Kehadiran ke masjid bukan kerana malu kepada orang ramai tetapi benar-benar mengharapkan pengampunan dari Allah Taala.

Cara yang terbaik untuk meningkat ilmu dan kefahaman berkaitan puasa khususnya ialah dengan menghadiri ceramah-ceramah dan kuliah-kuliah yang menyentuh tentang persediaan Ramadhan dan ibadah puasa.

Bagi memastikan amalan harian kita lebih teratur dan tersusun sepanjang Ramadhan, kita bolehlah menyusun satu jadual ringkas seperti berikut:

Subuh :
• Bangun awal dan solat sunat dua rakaat (tahajjud).
• Bersahur sekurang-kurangnya seteguk air.
• Solat Subuh di masjid atau surau.
• Membaca al-Quran atau mendengar tazkirah subuh.

Pagi:
• Ke pejabat dengan menghayati bacaan al-Quran di dalam kenderaan.
• Solat Sunat Dhuha
• Bekerja seperti biasa.

Tengah hari:
• Solat Zohor berjamaah samada di masjid berdekatan atau di pejabat.
• Tadarus al-Quran bersama rakan-rakan di pejabat atau belajar membaca al-Quran.
• Rehat atau tidur lebih kurang sepuluh minit.
• Bekerja seperti biasa.

Petang:
• Solat Asar di masjid atau surau.
• Membaca al-Quran.
• Pulang ke rumah dengan menghayati bacaan al-Quran di dalam kenderaan.
• Menyediakan juadah berbuka/membantu isteri.
• Bertadarus al-Quran dengan keluarga.
• Berbuka puasa dengan tamar dan air kemudian solat maghrib berjamaah di masjid (bagi lelaki).
• Solat Maghrib Berjamaah di Masjid (Kaum lelaki).
• Pulang ke rumah untuk makan bersama keluarga.

Malam:
• Solat Sunat sebelum Isyak
• Solat Isyak.
• Solat Sunat selepas Isyak.
• Solat Sunat Tarawih.
• Bertadarus al-Quran di masjid atau surau.
• Tidur awal untuk bangun awal.

Ketika waktu cuti pula sebaiknya dipenuhi dengan amalan beriktikaf di masjid samada seorang diri atau membawa isteri dan anak-anak yang sudah dewasa. Sewajarnya bulan puasa ini dikurangkan aktiviti berjalan-jalan ke pusat membeli belah atau pusat pelancongan kerana biasanya akan terdedah kepada memandang kepada sesuatu yang boleh mengurangkan pahala puasa.

Segala perancangan amalan di atas tidak boleh dilakukan secara mengejut atau tergesa-tergesa, oleh itu kesempatan di bulan Syaaban ini wajar digunakan bagi membiasakan diri dengan amalan-amalan tersebut.

2) Persiapan di Rumah:

Sebagai ketua keluarga seorang bapa adalah bertanggungjawab untuk mewujudkan suasana iman di rumah ketika bulan khususnya ketika bulan Ramadhan. Isteri dan anak-anak hendaklah dibiasakan dengan aktiviti-aktiviti yang bermanfaatSabda Rasulullah s.a.w:


Antara persediaan yang boleh dilakukan ialah dengan menyediakan bilik atau sudut khusus di dalam rumah untuk beribadah. Sediakan al-Quran secukupnya untuk ahli keluarga dan tetapkan waktu untuk solat malam berjamaah atau waktu membaca al-Quran bersama-sama. Sediakan vcd kuliah agama dan dokumentari Islam untuk ditonton ketika waktu lapang. Pastikan ahli keluarga tidak menghabiskan masa di hadapan tv menonton rancangan atau filem yang tidak bermanfaat.

Ketua keluarga juga mestilah memastikan isteri dan anak-anak yang sudah dewasa benar-benar menutup aurat ketika keluar dari rumah.

Sebelum Ramadhan elok juga diadakan satu taklimat khusus kepada ahli keluarga untuk menerangkan fadhilat-fadhilat Ramadhan dan disiplin yang mesti dipatuhi sepanjang Ramadhan.

3) Persiapan di Masjid.

Masjid atau surau adalah tempat tumpuan sepanjang bulan Ramadhan. Oleh itu ahli jawatankuasa masjid hendaklah membuat perancangan rapi bagi menyediakan tempat yang kondusif untuk beribadah sepanjang Ramadhan khususnya. Persediaan rapi ini juga wajar dibuat supaya ada ahli jamaah yang datang dapat terus istiqomah berjamaah di masjid walaupun selepas tamatnya Ramadhan.

Antara aktiviti-aktiviti yang boleh dilakukan ialah menyediakan Imam yang baik bacaannya untuk mengetuai solat Tarawih kerana ia memainkan peranan penting membangkitkan keseronokan melakukan solat Tarawih. Imam ini juga hendaklah diberi taklimat terlebih dahulu agar membaca al-Quran tidak terlalu panjang dan tidak terlalu pendek ketika solat Tarawih. Amalan membaca sejuzuk al-Quran satu malam perlulah diukur dengan kesesuaian ahli jamaah. Kerana fenomena yang sering berlaku ialah tempoh yang panjang ketika solat Tarawih menyebabkan ramai makmun yang lari dan meninggalkan jamaah. Begitu juga dengan jumalah rakaat solat Tarawih samada 8 atau 20 hendaklah dilihat dari sudut keberkesanan dan peluang menyampaikan untuk berdakwah.

Di samping itu satu ceramah atau kuliah khusus perlu diadakan sebelum Ramadhan bagi meningkatkan kefahaman tentang ibadah puasa. Manakala di sepanjang bulan Ramadhan hendaklah diatur aktiviti tazkirah 7 ke 10 minit setiap hari selepas 4 rakaat solat Tarawih.Tazkirah ini hendaklah menfokuskan kepada hikmah-hikmah berpuasa dan perkara-perkara yang berkaitan dengan keindahan Islam. Kerana kebanjiran umat Islam di masjid ketika Ramadhan wajar dijadikan peluang menyampaikan mesej dakwah dan menanamkan kefahaman Islam kepada mereka.

Penutup.

Demikianlah beberapa cadangan persiapan yang boleh dilakukan oleh setiap individu muslim bagi memastikan keagungan bulan Ramadhan yang ditempuhi tidak berlalu dengan sia-sia.

Sumber : http://zuridanmdaud.blogspot.com/

ISU SELESEMA BABI ( INFLUENZA A H1N1)

Pastikan rakyat sentiasa waspada jangkitan H1N1

WABAK selesema babi atau Influenza A (H1N1) yang pertama kali dilaporkan di negara ini 15 Mei lalu, sudah mencatat korban kesembilan semalam. Jumlah yang disahkan menghidap penyakit itu pula meningkat kepada kira-kira 1,500 orang. Walaupun kematian pertama akibat wabak itu di negara ini dicatatkan 23 Julai lalu, angka korban dalam tempoh dua minggu itu memberi isyarat negara perlu lebih bersedia menghadapi ancaman wabak itu. Ketika dunia masih tercari-cari penawar H1N1, kita sebenarnya tiada pilihan selain berusaha meningkatkan kesedaran di kalangan rakyat untuk mencegah jangkitan wabak itu. Kita tidak boleh berdiam diri dan menunggu sehingga ada antara keluarga kita yang dihinggapi wabak penyakit itu, baru mahu bertindak. Kita akui, pelbagai langkah sudah diambil oleh pihak berkuasa, khususnya Kementerian Kesihatan untuk membendung wabak itu. Bagaimanapun, peningkatan berterusan kes jangkitan dan korban jiwa menuntut sesuatu tindakan lebih drastik dilakukan. Kita menghargai usaha pihak berkuasa menguat kuasa perintah kuarantin dan arahan tegas menutup kampus institusi pengajian bagi membendung wabak itu. Apa pula langkah yang harus diambil sektor awam dan swasta. Dengan ancaman penularan yang semakin serius, ketua jabatan di kedua-dua sektor itu harus melakukan sesuatu untuk menjamin keselamatan kakitangan dan anggota keluarga mereka. Pada saat getir seperti ini, sektor swasta perlu mengambil berat soal kakitangan mereka dan tidak memikirkan soal komersial semata-mata. Jika perlu mengeluarkan modal untuk belanja perubatan dan kos pemeriksaan kesihatan, ia perlu dilakukan dengan rela hati. Ini penting bukan saja untuk menjamin keutuhan operasi mereka, malah memastikan mesej meningkatkan kesedaran di kalangan orang ramai terhadap bahaya wabak lebih berkesan. Usaha ini perlu bermula dengan golongan pekerja yang kebanyakannya adalah ketua keluarga.

Melihat senario semasa, tidak keterlaluan disimpulkan bahawa kesedaran masyarakat negara ini terhadap bahaya H1N1 umumnya masih di tahap rendah. Rata-rata kita lihat orang ramai masih meneruskan rutin harian seperti biasa. Hakikat bahawa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan jumlah kes itu kini sudah melepasi paras 130,000 sehingga akhir bulan lalu dengan hampir 1,000 kematian dan mencapai tahap pandemik, tidak membawa kebimbangan kepada mereka. Di pusat membeli-belah, taman, tempat awam malah lapangan terbang pun, jumlah yang mengambil inisiatif perlindungan asas seperti memakai topeng muka, amat sedikit bilangannya. Itu belum lagi diambil kira mereka yang ingkar arahan kuarantin atau enggan membuat pemeriksaan walaupun selepas menghidap sindrom H1N1. Budaya 'tidak kisah' dan 'sudah terhantuk baru terngadah' ini harus diubah segera. Dalam konteks ini, pihak berkuasa perlu segera merumus strategi untuk menimbulkan kesedaran masyarakat. Hari ini, kita dapat lihat dengan jelas bagaimana kerajaan berjaya mewujudkan kesedaran terhadap ancaman denggi, jadi tiada sebab kempen serupa tidak boleh dilakukan terhadap H1N1. H1N1 jauh lebih bahaya daripada denggi dengan nisbah kematiannya 1:200 berbanding denggi yang hanya 1:500. Kita prihatin bahawa usaha mewujudkan kesedaran di kalangan rakyat tidak seharusnya mencetuskan suasana panik. Matlamatnya ialah untuk memastikan rakyat sentiasa berwaspada. Hanya dengan cara itu, sebarang langkah yang diambil pihak berkuasa dalam membendung H1N1 dapat dijayakan dengan berkesan.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SELESEMA BABI ( INFLUENZA A H1 N1)

Pandemik H1N1 serlahkan jentera kawalan krisis negara lemah

KINI setiap kali matahari terbit menimbulkan kegusaran apabila bertambahnya lagi statistik kematian dan penularan wabak selesema babi atau influenza A (H1N1). Daripada beberapa orang, kini sudah menjadi ribuan.

Kalau dulu tidak ada kematian, kini kematian berlaku setiap hari dan ia menunjukkan ke arah peningkatan yang mendadak.

Pola jangkitan juga tidak lagi daripada gejala import tetapi penularannya lebih bersifat domestik. Kalau dilihat setakat kelmarin (3 Ogos) jumlah yang dijangkiti ialah 1,446 orang. Mengikut pecahan, hanya 574 sahaja mendapat infeksi dari luar negara. Bakinya seramai 872 orang adalah infeksi domestik.

Ini bermakna, jangkitan tempatan sudah jauh melebihi jangkitan import. Ia sudah pun di tahap gawat. Malang sekali, selain daripada pengumuman, iklan tv dan radio, penutupan sekolah serta institusi pengajian tinggi, nampaknya tidak ada langkah pencegahan (pre amptive) sebenar dilakukan bagi mengekang gejala ini daripada terus menular.

Selain Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pengajian Tinggi melaksanakan beberapa tindakan kuarantin dan menghantar pulang pelajar serta pelatih ke kampung masing-masing, jentera negara yang berkaitan dengan isu H1N1 dilihat seperti tidak prihatin langsung dengan wabak ini.

Tidakkah Majlis Keselamatan Negara melihat ini sebagai satu ancaman bencana besar? Ataupun, perlukah menunggu petunjuk-petunjuk lain baru melaksanakan satu tindakan menyeluruh secara tergesa-gesa dan tidak terancang?

Rakyat biasa mungkin tidak memahami bahaya sebenar wabak yang selalu diberikan interpretasi yang remeh termasuk oleh pihak yang berwajib. Malah, terdapat kenyataan mengejutkan yang menyamakan H1N1 ini dengan selesema biasa.

Bolehkah kita salahkan mereka jika mengambil sikap demikian kerana tanggapan-tanggapan yang salah hasil pemahaman yang silap itu?

Fakta sebenar H1N1 adalah sejenis jangkitan baru yang belum ada rekod untuk dijadikan sebagai perbandingan. Kita semua tidak tahu apa yang berupaya dijanakan oleh penyakit ini. Malahan sehingga kini tidak ada rawatan khusus selain daripada antiviral yang boleh diberikan. Hatta tidak ada sebarang vaksin boleh diberikan kepada rakyat bagi menghalang jangkitan tersebut.

Apakah perkara ini tidak difikirkan secara rasional dan matang oleh pihak berwajib? Tidakkah mereka melihat gejala penularannya saban hari sebagai satu mimpi ngeri ‘tsunami wabak’ yang mungkin memakan korban terbesar pada alaf baru ini?

Di sebalik gerakan mansuh ISA yang dipelopori oleh Gerakan Memansuhkan ISA diberikan respons melewati kegusaran sebenar; H1N1 amat dikhuatiri memberikan kesan yang lebih hebat. Mungkin dalam tempoh terdekat, tidak ada lagi rakyat yang mampu berjalan secara bebas.

Sepatutnya, lama sebelum ini semboyan sudah dibunyikan oleh Pusat Kawalan Krisis Negara dan mereka sudah bersedia dengan pelbagai rancangan jangka pendek, sederhana dan panjang bagi menghadapi situasi ini. Apakah budaya “sudah terhantuk baru tengadah” masih menjadi pegangan?

Sepatutnya kita sudah ada garis pengukur jumlah jangkitan sebagai petunjuk kepada tahap seriusnya penyakit ini dan langkah berjaga-jaga. Jika statistik yang diberikan setiap hari tidak dilihat sebagai kayu pengukur, apakah lagi petunjuk yang akan digunakan?

Mari kita tanyakan diri kita sendiri apa akan berlaku selanjutnya pada hari esok, lusa, tulat dan seterusnya jika pihak berwajib hanya membuat pengumuman mengenai jumlah jangkitan atau kematian semata-mata?

Satu rayuan dan seruan rakyat kepada pemimpin di atas – tolong berikan saranan mengenai cara bagaimana pandemik ini boleh disekat atau diatasi.

Kami bukan perlukan iklan mencuci tangan dengan sabun berjenama tertentu yang kononnya mampu membunuh virus H1N1. Kami perlukan satu agenda kukuh yang terancang dan boleh dilaksana serta diikuti secara serentak di peringkat nasional.

Kita tentu tidak boleh menangani krisis ini secara terasing dan ikut-ikutan semata-mata. Kena ada satu langkah secara besar-besaran dan mesti dilaksanakan serentak. Kerana masalah ini bukan lagi terpencil. Ia bukan masalah orang kaya atau terpelajar yang sering ke luar negara. Tetapi ia telah melanda sehingga ke kampung pedalaman dan menyerang mereka yang tidak pernah menjejakkan kaki ke luar negara walau sekalipun.

Jentera Kawalan Krisis Negara perlu digerakkan segera. Jangan tunggu “nasi menjadi bubur” baru hendak memulakan langkah. Tetapi itulah hakikat yang perlu kita akui – jentera ini masih belum bergerak ataupun digerakkan. Apa lagi yang ditunggu?

Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SELESEMA BABI ( INFLUENZA A H1 N1)


Empat langkah tambahan bendung penularan H1N1

PUTRAJAYA 4 Ogos – Kerajaan hari ini memutuskan empat langkah tambahan menangani wabak selesema babi atau influeza A (H1N1) yang sehingga kini telah mengorbankan sembilan nyawa.

Langkah-langkah tersebut adalah:

*Meningkatkan simpanan stok antivirus dari 10 kepada 20 peratus melibatkan kos sebanyak RM20 juta.

*Memberi rawatan antivirus serta merta kepada enam kategori pesakit yang berisiko dan mempunyai simptom selesema babi.

Enam kategori pesakit itu adalah:

*Wanita mengandung

*Obesiti

*Penghidap asma

*Pesakit paru-paru kronik

*Pesakit diabetes

*Pesakit yang mempunyai imuniti rendah

*Melaksanakan saringan suhu badan ke atas semua pelajar sebelum kelas bermula. Semua guru kelas akan dibekalkan dengan alat penyukat suhu. Pelajar yang didapati kurang sihat akan diasing dan dinasihat berehat di rumah serta mematuhi nasihat kesihatan.

*Menambah jumlah katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital-hospital terbabit sekiranya tidak mencukupi.

Langkah tambahan itu diputuskan Jawatankuasa Kebangsaan Antara Kementerian Mengenai Pandemik A (HINI) yang bermesyuarat di sini, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kesemua pesakit yang berisiko dan mempunyai simptom HINI tidak perlu menjalani ujian pengesahan.

Katanya, rawatan antivirus akan diberi untuk kes-kes yang dikesan dalam tempoh 48 jam selepas menunjukkan tanda dijangkiti H1N1.

Beliau menjelaskan, keputusan itu dibuat berikutan jumlah kehadiran orang ramai yang mahu menjalani pemeriksaan H1N1 di hospital agak ramai.

“Semua kes yang mempunyai simptom jangkitan influenza dan mempunyai faktor risiko akan diberi rawatan antivirus serta-merta tanpa perlu membuat ujian pengesahan H1N1,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut di sini, hari ini.

Muhyiddin memberitahu, sebanyak 14 kes baru H1N1 melibatkan jangkitan tempatan dan warga Malaysia dilaporkan hari ini di mana 13 daripadanya merupakan kejadian daripada tiga kluster baru serta satu kes terpencil.

Katanya, jumlah terkumpul kes H1N1 di negara ini adalah sebanyak 1,460 kes terdiri daripada 574 kes import dan 886 jangkitan tempatan dengan angka kematian masih lapan orang.

“Daripada jumlah itu, seramai 1,410 pesakit telah sembuh. Hanya 27 orang sedang menerima rawatan antivirus di hospital dengan 10 pesakit di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 23 pesakit lain menerima rawatan antivirus di rumah.

“Daripada 10 kes di ICU, tiga orang mempunyai faktor risiko iaitu obesiti (1), wanita lepas bersalin (1) dan imuniti rendah (2),” ujarnya.

Timbalan Perdana Menteri menambah, berdasarkan situasi global, sehingga hari ini sebanyak 189,155 kes dengan 1,319 kematian dilaporkan membabitkan 168 negara dengan Pakistan melaporkan kes pertama.

Jelas beliau, statistik tersebut meningkat sebanyak 3,301 kes dengan 12 kematian berbanding hari sebelumnya.

Sumber : http : // www.utusan.com.my /