Khamis, 3 September 2009

Meningkatkan kualiti, kuantiti doa sepanjang Ramadan

Oleh DR. IRFAN MOHAMAD

RAMADAN tidak seharusnya dibiarkan berlalu hanya dengan ibadah wajib seperti puasa, solat fardu dan fitrah semata-mata. Menjadi suatu kerugian jika amalan-amalan lain masih dikekalkan dengan rentak dan momentum yang sama.

Allah SWT telah menjanjikan kelebihan dan keutamaan untuk ibadat-ibadat lain sepanjang Ramadan ini. Antara yang sepatutnya kita sedari kelebihannya pada bulan ini ialah berdoa.

Ramadan menghimpun beberapa kriteria manusia atau waktu yang dimustajabkan doanya. Saat seseorang itu berpuasa itu sendiri menjadikan doanya lain daripada bulan-bulan lain.

Rasulullah SAW bersabda: "Ada tiga golongan orang yang tidak akan ditolak doanya. Pemimpin yang adil, orang yang berpuasa sehingga dia berbuka dan orang yang dianiaya." - Hadis Riwayat Abu Hurairah.

Kita dianjurkan berdoa bukan sahaja untuk keperluan dunia bahkan turut ditekankan untuk kebajikan hari akhirat. Berdoa memohon keampunan ialah antara yang dianjurkan oleh Rasulullah sebagaimana dalam hadis yang diriwayatkan oleh At-Tirmizi dan Ibnu Majah.

Aisyah r.a bertanya kepada Rasulullah: "Wahai Rasulullah jika aku mendapat Lailatulqadar, doa apa yang kuucapkan pada malam tersebut?" Rasulullah berkata: "Ya Allah sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf maka maafkanlah aku." - Hadis Riwayat At-Tirmidzi dan Ibnu Majah.

Sesungguhnya peluang bagi merebut keampunan sepanjang Ramadan terbuka luas. Bahkan Rasulullah menggredkan mereka yang gagal memperolehnya sepanjang bulan ini akan termasuk dalam golongan mereka yang malang dalam kehidupan.

Suatu masa ketika Rasulullah menaiki mimbar ketika ingin berkhutbah di Madinah Baginda berhenti tiga kali mengaminkan doa Jibril yang mengatakan malang sungguh nasib orang yang tidak diampunkan dosanya sepanjang Ramadan.

"Sangat malang orang yang berkesempatan melalui Ramadan tetapi tidak diampunkan dosanya." - Hadis Riwayat Ibnu Khuzaimah, Al-Baihaqi.

Kesempatan untuk memperbanyakkan doa sepanjang bulan penuh keberkatan ini tidak sahaja terbuka pada saat kita kelaparan dan kedahagaan pada siang hari bahkan peluang juga terbuka luas pada waktu malamnya.

Antara bahagian pada waktu malam yang mustajab doa adalah pada waktu sepertiga malam yang akhir. Waktu ini merupakan waktu mustajab bukan sahaja pada bulan Ramadan bahkan juga menjadi waktu afdal untuk beroda bagi bulan-bulan lain.

Yang menjadi kelebihan pada bulan Ramadan ini ialah waktu sepertiga malam ialah sememangnya waktu untuk kita semua bangun bagi bersahur. Beruntunglah bagi mereka yang memanfaatkan waktu ini bukan sahaja bagi memenuhi tuntutan jasmani mengisi perut bahkan lebih menguntungkan bagi mereka yang membuat tuntutan-tuntutan rohani dalam bentuk doa baik sebelum bersahur atau selepas bersahur.

"Di sepertiga malam ketika Allah SWT menyeru: Apabila ada orang yang berdoa, maka Aku akan perkenan doanya itu. Apabila ada yang memohon keampunan, maka Aku mengampunkannya." -- Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim.

Selain daripada kuantiti doa, aspek kualiti diri seseorang yang berdoa juga harus dipertingkatkan bagi menunjukkan kesungguhan dan penuh pengharapan pada Allah SWT terhadap kandungan doa yang dipanjatkan. Doa yang dituturkan di mulut harus diikuti dengan perasaan rendah diri dan suara yang lembut bagi menggambarkan sifat hamba kepada Tuhannya.

Allah telah menyatakan dengan jelas dalam al-Quran tentang penggunaan suara serta hati yang tidak khusyuk dalam berdoa bukan sahaja menyebabkan doanya tertolak bahkan boleh mengundang kemurkaan Allah SWT.

"Berdoalah kepada Tuhanmu dengan rendah diri dan suara yang lembut. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas." - Surah Al-A'raf ayat 55.

Ketika berdoa juga seharusnya hati dididik supaya yakin bahawa Allah akan memakbulkan doanya. Keyakinan ini amat penting ditanamkan kerana Allah tidak akan menerima doa dari mereka yang tidak yakin dengan apa yang diminta kepada Allah.

Dalam berdoa juga, selain yakin, kita juga seharusnya sentiasa bersangka baik dengan Allah sekiranya apa yang diminta tidak tertunai. Mungkin Allah akan mengganjari kita dengan kelebihan yang lebih baik pada hari akhirat, atau menukarkan doa yang diminta kepada menghindarkan bala yang telah ditakdirkan akan menimpa kita.

Sesungguhnya peluang keemasan buat kita telah menjelma lagi. Namun ia sekali-kali tidak akan menunggu kita untuk selama-lamanya.

Setelah tamat tempohnya maka ia akan berlalu pergi. Jika kita bernasib baik dan dimurahkan rezeki dengan umur yang panjang dan kesihatan yang baik, maka insyaAllah akan bertemu lagilah dengan Ramadan yang berikutnya.

Jika tidak, gunakan Ramadan ini dengan sebaik-baiknya bagi merebut keampunan dengan memperbanyakkan doa dan mempertingkatkan kualiti doa agar diperkenankan oleh Allah SWT.

PENULIS ialah Pensyarah Perubatan ORL, Fakulti Perubatan, Universiti Sains Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

MADRASAH RAMADAN PERKASA JIWA LESTARI

Oleh Prof Datuk Dr Zaini Ujang
zaini@utm.my

RAMADAN bukan sekadar madrasah untuk meningkatkan taqwa dan amal salih dalam pengertian amalan khusus dan keuntungan ukhrawi semata-mata. Jika diperluaskan definisi madrasah Ramadan itu, maka program pendidikan yang tersirat melalui pelbagai amalan salih berkenaan, sebenarnya menyediakan peluang untuk mendidik umat Islam memantap jiwa, memperkasa fizikal, memperkaya rohani dan melestarikan minda.

Lestari dalam konteks ini bukan hanya jaminan kebahagiaan di akhirat bahkan kesejahteraan hidup di dunia. Pada hemat saya, amalan sepanjang Ramadan ini memberi empat pengajaran utama yang seharusnya dapat dihayati sepanjang hidup. Pengajaran utama ialah mengenai kepentingan masa.
Sepanjang Ramadan kita diperingatkan setiap amalan dilakukan akan diberi pahala dan rahmat berganda. Ini selari dengan konsep 'waktu perdana' dalam mengerjakan amal salih. Fadilat melakukan amal tertentu luar biasa ganjarannya, misalnya amalan pada malam Lailatul Qadar yang lebih baik daripada 1,000 bulan pahala.

Dalam soal ini madrasah Ramadan mengajar kita supaya tidak mempersia-siakan masa dan mengambil kesempatan untuk berlumba-lumba beramal salih. Dalam pengertian yang luas, Islam mendorong umatnya supaya tidak mempersia-siakan waktu dan kesempatan, serta memohon doa kesejahteraan dunia dan akhirat.

Banyak perkara dan kejadian di dunia ini adalah di luar keupayaan manusia... bencana alam seperti gempa bumi dan taufan misalnya. Hanya kepada Allah kita memohon perlindungan dan belas ihsan.
Selain itu, madrasah Ramadan mendidik kita bersederhana dan berjimat cermat. Bersederhana khususnya dalam menyediakan juadah berbuka puasa dan berjimat untuk menyambut kedatangan Aidilfitri. Pendidikan ini jika dihayati akan membenihkan amalan, keperibadian dan minda lestari. Bersederhana dan berjimat, dalam konteks yang luas, bermakna tidak membazir wang, makanan, masa, tenaga, air dan sumber alam lain.

Dengan menghayati konsep bersederhana dan berjimat, kita dididik supaya meningkatkan prestasi produktiviti dalam setiap lapangan hidup. Dengan minda lestari tiada pembaziran sumber membolehkan kita mengurangkan penghasilan sisa, sama ada sisa masa, tenaga, pepejal atau cecair.

Pengurangan ini juga membolehkan kita mengurangkan perbelanjaan dan kebergantungan kepada sumber-sumber yang semakin mahal seperti bahan api petroleum, elektrik, air dan bahan mentah lain. Hal ini bersesuaian dengan dasar penjimatan sumber, khususnya sumber tenaga seperti dicadangkan Perdana Menteri ketika pembentangan Bajet 2008.

Di samping itu, madrasah Ramadan, terutama menerusi amalan berpuasa mendidik kita menghayati konsep ikhlas dan jujur. Tiada siapa dapat mengesahkan amalan puasa seseorang selain Allah SWT, seperti maksud hadis sahih riwayat Abu Hurairah r.a.: "Bahawa Allah berfirman, semua amal salih manusia untuk dirinya sendiri, kecuali puasa yang khusus untuk-Ku, dan Aku akan memberikan ganjaran kepadanya. Puasa itu perisai (daripada seksa)."

Didikan madrasah Ramadan supaya kita bersifat jujur dan ikhlas bukan saja ketika menjalani ibadat puasa, bahkan perlu diperluaskan kepada amalan lain seperti solat, zakat, haji, bertetangga, berkerja dan melestarikan alam sekitar.

Ketika ini pencemaran alam sekitar banyak berpunca daripada sikap tidak jujur di kalangan pelbagai pihak. Memang diakui pihak berkuasa tidak berupaya memantau seluruh kegiatan berisiko yang boleh mencemarkan alam sekitar kerana alam sekitar luas terbentang menerusi sistem atmosfera, akuatik atau tanah.

Di sinilah perlu kejujuran dan keikhlasan untuk sama-sama melestarikan alam sekitar. Amalan mesra alam, misalnya mengurangkan penghasilan sisa berbahaya, kitar semula sampah, mematuhi prosedur pengurusan sisa dan tidak melakukan pembakaran terbuka adalah tanggungjawab setiap individu yang perlu dilaksanakan dengan sempurna, ikhlas dan efektif biarpun tanpa kehadiran pihak penguat kuasa.

Menerusi amalan dan penghayatan madrasah Ramadan, kita sentiasa menyedari bahawa Allah Maha Mengetahui dan kita akan dibicarakan pada Hari Pembalasan nanti. Madrasah Ramadan juga mendidik kita untuk meringankan bebanan dan kesusahan orang lain, tanpa mengira warna kulit dan darjat.

Itulah pengajaran di sebalik kewajipan mengeluarkan zakat fitrah, memperbanyak sedekah dan menyediakan juadah berbuka puasa. Ada riwayat menyebut pahala menyediakan makanan untuk berbuka kepada orang berpuasa sama seperti pahala berpuasa.

Dalam pengertian lebih luas, konsep meringankan kesusahan orang lain juga boleh dinisbahkan kepada amalan yang tidak menyusahkan orang lain, khususnya dari segi keselamatan nyawa dan harta benda.

Madrasah Ramadan mendidik kita mengenai kewajipan melindungi sumber alam, termasuk ekosistem sungai, laut dan hutan. Seandainya kewajipan itu tidak dilakukan, maka musibahnya besar kepada masyarakat dan makhluk lain seperti gangguan bekalan air, jerebu, ketidaktentuan pola iklim dan peningkatan suhu bumi.

Satu contoh biasa berlaku ialah membuang sampah merata-rata. Ketika hujan, sampah itu akan dihilirkan dalam sistem perparitan dan ada kemungkinan tersangkut lalu menghalang laluan air sehingga boleh menyebabkan banjir kilat. Banjir ini menyebabkan kesesakan lalu-lintas atau kemusnahan harta benda, malah menyebabkan kehilangan nyawa.

Madrasah Ramadan adalah sebaik-baik kesempatan untuk kita menilai dan meningkatkan kualiti amalan salih. Ibadah intensif sepanjang Ramadan ini seharusnya mendorong kita membersih jiwa, menjernihkan minda, memperindahkan budi dan memperkasa jasad.

Itulah hakikat madrasah Ramadan, sesuai dengan peringatan sabda Rasulullah: 'Ada banyak orang yang berpuasa, tetapi tidak memperoleh dari puasanya itu selain lapar dan dahaga".

Prof Datuk Dr Zaini Ujang ialah Naib Canselor UTM dan penerima Anugerah Merdeka 2009 (Pencapaian Ulung Akademik)

Sumber: http://www.bharian.com.my/

Tadabbur ayat-ayat al-Quran

Oleh MOHD. NORZI NASIR


KELIBAT 10 hari pertama Ramadan telah berlalu meninggalkan umat Islam. Kalangan tetamu Ramadan antaranya terus melaksanakan ibadah solat fardu masing-masing di samping menghidupkan waktu siang dan malam Ramadan dengan melipat-gandakan amalan-amalan sunat yang lain.

Pelbagai aktiviti Ramadan berbentuk praktikal barangkali turut dilakukan seperti kunjung mengunjung mengeratkan tali silaturrahim sesama Muslim, bersedekah, memberi makan orang yang berpuasa, fakir miskin dan anak-anak yatim.

Sewajarnya umat Islam melakukan penilaian sama ada setiap hari atau setidak-tidaknya seminggu sekali terhadap puasa yang telah dijalani. Nilaian terhadap puasa yang dilakukan berdimensi amal lahiriah dan batiniah.

Amalan lahiriah berdimensikan sosial, manakala amalan batiniah berdimensikan niat ikhlas kerana Allah ke arah mencapai ketaqwaan yang sebenar. Di sinilah tersiratnya pengertian sabda baginda yang bermaksud, Sesiapa yang melaksanakan puasa Ramadan dengan penuh keimanan dan penuh kesedaran nescaya diampuni dosa-dosanya yang lalu. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Menilai tingkat tadabbur terhadap ayat-ayat al-Quran

Ramadan al-Mubarak pastinya menggamit memori sejarah besar bagi seluruh Umat Islam lantaran di dalam bulan inilah berlakunya penurunan al-Quran atau disebut sebagai Nuzul al-Quran.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Bulan Ramadan adalah bulan yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang batil). (al-Baqarah: 185)

Al-Quran diturunkan untuk dihayati setiap perkatan dan bait-bait maksudnya. Firman Allah yang bermaksud: (Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu Wahai Muhammad), -Kitab yang mempunyai banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayat-Nya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna sebagai peringatan dan iktibar. (Shaad: 29)

Kefahaman yang tepat dan mendalam terhadap isi kandungan al-Quran akan menjadikan seseorang hamba itu bertambah teguh keimanannya kepada Allah SWT. Dr. 'Aid Ibn Abdullah Al Qarni mengatakan: "Seseorang itu tidak dianggap membaca al-Quran jika tidak menghayati (tadabbur) apa yang dibacanya kerana tadabbur merupakan sesuatu yang penting dalam kehidupan manusia. Tadabbur melahirkan iman, menanamkan keikhlasan dalam hati dan memberikan ruang dan dapatan ilmu kepada manusia tentang ketauhidan.

"Keyakinan dan keutuhan seseorang itu kepada Allah SWT akan semakin bertambah cantik sekiranya menghayati setiap untaian kalam Allah SWT". (Sejenak Bersama Hidangan Al-Quran)

Selain itu, hafalan ayat-ayat Allah SWT di samping tadabbur merupakan usaha yang sangat efektif untuk mengecapi roh al-Quran. Natijah istiqamah dalam gerak kerja murni ini akan memberi kekuatan bagi setiap hamba dalam mengharungi mehnah dan tribulasi yang menimpa dalam kehidupan.

Namun persoalannya adakah setiap dari kita berusaha memperoleh nikmat kefahaman dan tadabbur yang dinyatakan dalam setiap tilawah yang dibaca, tidak berusaha memahami dan memikirkan isi al-Quran?

Firman Allah SWT yang bermaksud: (Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran al-Quran)? (Muhammad: 24)

Berapa ramai pembaca al-Quran yang membaca ayat-ayat al-Quran, namun akhlaknya tidak meneladani akhlak nabi SAW serta kehidupannya jauh dari garapan dan ajaran al-Quran al-Karim. Mereka membaca al-Quran sebagaimana puak al-khawarij membaca al-Quran.

Bacaan al-Quran mereka tidak meruntun dan menyelinap masuk ke dalam hati sanubari dan hanya mengikut desakan hawa nafsu semata-mata.

Ali r.a pernah berkata bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: Pada akhir zaman kelak akan muncul kaum yang muda usia dan lemah akalnya. Mereka berkata-kata seolah-olah mereka adalah manusia yang terbaik. Mereka membaca al-Quran tetapi tidak melepasi kerongkong mereka. Mereka keluar dari agama sebagaimana anak panah menembusi binatang buruan. Apabila kamu bertemu dengan mereka, maka bunuhlah mereka kerana sesungguhnya, membunuh mereka akan mendapat ganjaran pahala di sisi Allah pada hari kiamat. (riwayat al-Imam al-Bukhari, Muslim, al-Nasai, Abu Daud)

Tadabbur ayat doa

Mengisi bingkisan bicara sunnah Ramadan al-Mubarak kali ini, melalui kupasan tafsiran ringkas dan beberapa hadis Rasulullah, sama-sama kita mentadabbur intisari ayat doa (al-Baqarah: 186) dalam potongan ayat puasa dalam al-Quran.

Tadabbur bermaksud usaha memahami setiap ayat-ayat al-Quran yang dibaca atau didengar, disertai kekhusyukan hati dan anggota badan seterusnya dibuktikan dengan cara mengamalkannya atau mempraktikkannya.

Kupasan Ringkas

Ayat 186 ini difirmankan oleh Allah SWT setelah ayat perintah berpuasa dan ayat yang menerangkan tentang kelebihan bulan Ramadan, hikmah penurunannya dalam bulan Ramadan serta beberapa hukum berkaitan puasa pada ayat 183,184,185 surah al-Baqarah.

Setelah itu maka datanglah ayat doa iaitu ayat 186 melalui firman Allah SWT yang bermaksud: Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku. maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta betul. (al-Baqarah: 186)

Doa: manifestasi keimanan kepada Allah

Doa merupakan manifestasi keimanan kepada Allah SWT. Ia secara psikologi berfungsi sebagai sumber harapan dan motivasi yang sangat penting dalam kehidupan manusia. Ia dapat menghadirkan cinta hamba kepada Allah SWT dalam rutin kehidupan sehari-hari pembaca, pada setiap langkah dan tarikan nafas hela pembaca yang mendamba cinta Allah dan Rasul-Nya.

Menurut Ibn Kathir, ayat ini diletakkan di antara ayat-ayat hukum puasa sebagai petunjuk agar setiap muslim bersungguh-sungguh dalam berdoa setelah menyelesaikan jumlah hari berpuasa dalam sebulan, bahkan anjuran berdoa pada setiap kali waktu berbuka.

Ketika menafsirkan ayat ini Ibn Kathir telah menukilkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abu Hatim yang menyatakan bahawa seorang Arab Badawi bertanya kepada Rasulullah SAW: Wahai Rasulullah, adakah Tuhan kita itu dekat dan kita dapat bermunajat kepada-Nya atau Tuhan itu jauh dan kita perlu menyeru-Nya? Rasulullah SAW terdiam seketika dan turunlah ayat ini. (Tafsir Ibn Kathir, al-Imam al-Tabari dalam tafsirnya Tafsir al-Tabari menyebutkan riwayat yang sama seperti yang dibawa oleh Ibn Kathir).

Abu Hurayrah r.a berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tiga golongan yang tidak ditolak doanya iaitu imam yang adil, orang yang berpuasa sehingga dia berbuka puasa dan doa orang yang dizalimi". (Riwayat Abu Dawud al-Tayalisi dalam musnadnya)

Daripada Abdullah ibn 'Amr dia berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Bagi orang yang berpuasa doanya dimakbulkan (diperkenankan) ketika saat berbuka". (riwayat Abu Dawud al-Tayalisi dalam musnadnya]

Daripada Abu Musa al-Asy'ari r.a. dia berkata: Kami bersama-sama Rasulullah SAW di dalam perperangan, setiap kali kami menaiki bukit dan mendakinya, serta menuruni lembah, kami akan mengangkat suara dengan bertakbir. Rasulullah SAW mendekati kami dan bersabda: Wahai manusia, bersederhanalah pada diri-diri kamu (tidak terlalu mengangkat suara). Ini kerana kamu tidaklah menyeru sesuatu yang pekak mahupun yang tiada, sesungguhnya yang kamu seru atau doakan adalah yang paling hampir dengan kamu daripada leher unta. Wahai Abdullah ibn Qays hendakkah kamu jika aku ajarkanmu suatu kalimah yang merupakan perbendaharaan syurga? (iaitu) kalimah La Hawla Wa Quwwata Illa Billah. (riwayat al-Bukhari)

Al-Imam Malik r.a meriwayatkan dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda: Doa seseorang di antara kamu akan dikabulkan selama dia tidak meminta untuk dipercepat dengan mengatakan, "Aku sudah berdoa, namun doaku tidak dikabulkan". (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Daripada Anas r.a, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Allah SWT berfirman, Wahai anak Adam, satu untukmu, satu untuk-Ku, dan satu antara Aku dan kamu. Satu empunya-Ku ialah hendaklah kamu menyembah-Ku dan tidak menyekutukan Aku dengan sesuatu. Manakala satu empunyamu ialah apa jua yang kamu amalkan akan Aku tepati. Dan yang satu antara Aku dan kamu ialah, kamu yang berdoa dan Aku yang mengkabuIkannya". (riwayat al-Imam al-Bazzar)

Sebagai kesimpulan, Ramadan al-Mubarak tidak hanya berfungsi sebagai bulan menjalani ibadah puasa semata-mata. Ia merupakan madrasah intensif dan proses perjalanan seseorang hamba menjalani ibadah puasa dengan iringan doa berterusan di samping menghidupkan amalan-amalan sunat pada setiap malamnya.

Tanpa doa, ibadah yang dilakukan seakan-akan tidak mencapai haknya dan barangkali seorang hamba tidak akan mengecapi sesuatu yang dihajati seperti memohon keampunan dan pembebasan dari azab api neraka pada hari kiamat.

Wallahu A'laam.

Sumber : http ://www.utusan.com.my/

DOA UNTUK MENOLAK GANGGUAN SYAITAN


Maksudnya:

"Aku berlindung dengan kalimat Allah yang sempurna, yang tidak boleh ditembusi oleh orang yang baik dan yang jahat, daripada kejahatan semua makhluk, daripada kejahatan semua yang turun dari langit dan yang naik kepadanya, daripada kejahatan semua yang tumbuh di dalam bumi dan yang keluar daripadanya, daripada kejahatan fitnah yang berlaku pada waktu malam dan siang dan daripada kejahatan yang datang (pada waktu malam) kecuali dengan tujuan baik, wahai Tuhan yang Maha Pengasih"

Sumber : http://doaharian.blogspot.com/

Rabu, 2 September 2009

ISU POLARISASI KAUM DALAM KALANGAN PELAJAR IPT


SAYA rasa telah agak lama kita membicarakan isu polarisasi kaum di kalangan para pelajar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di negara kita. Sejak sekian lama kita membicarakan isu ini, saya tidak tahu sejauh manakah hal ini berkembang, menjadi bertambah serius? Atau telah ada usaha untuk membaikinya, tetapi sejauh manakah kejayaannya?

Saya kembali ke universiti semula setelah meninggalkan kerja di universiti kerana berkhidmat dalam bidang lain, di dalam dan di luar negara, lebih daripada 15 tahun yang lalu. Setiap hari saya ke universiti pada masa kini, melewati kumpulan para pelajar yang sedang berkumpul menanti giliran untuk masuk ke bilik kuliah, atau setelah berehat dan sedang duduk-duduk berbual sesama sendiri selepas kuliah, malah kumpulan pelajar yang sedang makan minum di kantin.

Saya dapat melihat pandangan yang agak mengganggu perasaan saya sebagai seorang Malaysia, iaitu ketika melihat para pelajar berkumpul, berbual, berjenaka dan makan minum, atau lainnya, bersama-sama kaum masing-masing.

Saya masih ingat bahawa keadaan ini tidak begitu ketara semasa saya berkhidmat di universiti lebih satu atau dua dekad yang lalu. Pada masa itu keadaan agak berbeza, iaitu kalau diandaikan peratusan polarisasi kaum pada masa itu di kalangan pelajar universiti mungkin hanya antara 40 dan 50 peratus.

Tetapi pada masa kini pada umumnya, di sesetengah IPT, mungkin nisbah itu meningkat kepada lebih 90 peratus. Ini bererti bahawa semakin lama kita melangkah ke hadapan dalam membina satu bangsa Malaysia yang bersatu, maka nampaknya keadaan di IPT menunjukkan hasil yang bertentangan dari matlamat yang disasarkan itu jika diterjemahkan dari sudut perpaduan kaum para pelajarnya.

Pelajar-pelajar daripada pelbagai kaum, mungkin hanya bersama-sama menghadiri kuliah dan mengambil kursus yang sama tanpa mengira kaum. Mendengar syarahan pensyarah yang sama. Mungkin dalam perjumpaan formal anjuran universiti, mereka turut serta sebagai pelajar universiti yang sama. Tetapi ketika bergaul secara tidak formal, atau berbincang dan berdiskusi tentang pelajaran mereka, maka mereka akan memilih kaum sendiri. Apatah lagi dalam banyak keadaan, mereka masing-masing menggunakan bahasa ibunda mereka sendiri.

Mungkin bagi sesetengah orang, hal ini merupakan perkara biasa sahaja, iaitu ketika pelajar merasa lebah mudah dan selesa berbual atau berbincang dengan rakan kaumnya sendiri, apa lagi bagi sesetengah pelajar Melayu sendiri.

Mereka nampaknya lebih mesra berkumpul dengan rakan-rakan Melayu yang berasal dari negeri yang sama, seperti dari Kelantan, Terengganu, Johor, Kedah dan lain-lain. Jadi apakah nak dihairankan sekiranya dalam masa yang sama, pelajar-pelajar lebih suka bergaul hanya dengan kaum mereka sahaja.

Memanglah pada pandangan sepintas lalu, polarisasi kaum di IPT ini bukanlah satu isu besar. Tetapi sekiranya dikaji secara yang lebih mendalam, kita mungkin sedar bahawa bibit-bibit perpecahan dan kadang-kadang bibit-bibit permusuhan boleh berlaku akibat daripada polarisasi ini.

Tanpa pergaulan mesra di antara para pelajar pelbagai kaum dalam program formal dan tidak formal, dalam perbincangan sesama sendiri tentang pelajaran dan lain-lainnya, mereka tidak akan dapat menyelami hati budi kaum lain, tidak dapat merasakan cara berfikir dan pendekatan kepelbagaian kaum dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Malah tidak akan dapat memahami tradisi, budaya dan prinsip agama masing-masing dalam pergaulan, pembicaraan dan penyelesaian konflik ketika berlaku konflik umpamanya.

Mereka akan hanya memahami budaya mereka masing-masing, tradisi dan nilai moral sendiri, tanpa memahami hal itu bagi kaum yang lain, sedangkan mereka merupakan bangsa Malaysia, yang akan keluar ke tengah-tengah masyarakat sebagai pemimpin, peniaga dan orang biasa yang berada di dalam sebuah negara dengan mempunyai cita-cita yang sama dalam membangunkan bangsa dan negara yang sama.

Sehingga ke masa kini, ramai pengkaji mengambil kesimpulan bahawa dakwaan yang mengatakan bahawa rakyat kita dari pelbagai kaum telah memahami budaya dan adat serta prinsip-prinsip agama kaum lain dengan kefahaman yang mendalam adalah satu teori sahaja, bukan sebenarnya merupakan kenyataan yang hakiki.

Teori ini lebih merupakan satu penonjolan palsu kepada masyarakat dunia, dan lebih merupakan satu kosmetik yang menjadi perhiasan luaran sahaja, sedangkan dalamannya adalah kosong.

Pada masa kini, hal ini menjadi agak tepat, kerana segala isu yang timbul di dalam negara kita mutakhir ini sering merupakan isu yang ditafsir secara sentimen melulu berasaskan kepada kaum, agama dan individu. Rasa perkauman kembali agak menebal dalam masyarakat kita, dan sentimen ini dibesar-besarkan dalam semua aspek pembangunan negara kita, sama ada dalam pembangunan ekonomi, perundangan, bahasa, budaya, agama, politik, pentadbiran awam, ketenteraan, polis dan sebagainya.

Oleh itu isu polarisasi kaum di kalangan para pelajar universiti haruslah dibendung dan disalurkan kepada perpaduan yang lebih bermakna sekiranya kita mahu melihat bangsa Malaysia benar-benar dapat disatukan bagi mengendali negara kita pada masa yang akan datang untuk menjadi negara maju dan bermoral menjelang tahun 2020, kerana merekalah yang akan berperanan menerajui negara kita pada masa hadapan.

Gagasan 1 Malaysia merupakan satu jam loceng yang mengejutkan kita untuk segera sedar dan bangun memperbaiki keadaan, juga untuk memahami di manakah kita berada selama ini dalam perjalanan kita untuk membina bangsa dan negara kita yang bersatu padu, aman makmur dan terhindar dari semua jenis keganasan dan kekacauan yang menghancur-leburkan pembangunan sesuatu bangsa itu.

Semangat 1 Malaysia, roh patriotik dan rasa bangga dengan kemerdekaan negara yang menjangkau usia 52 tahun, dan kemampuan kita membangun begitu banyak IPT awam dan swasta, seharusnya kita manfaatkan sebagai titik awal untuk meninjau kembali kekuatan dan kelemahan kita, dan meningkatkan kualiti pembangunan bangsa kita, juga memperbaiki segala kelemahan kita selama ini, termasuk isu polarisasi kaum para pelajar IPT kita.

Datuk Dr. Ismail Ibrahim ialah ahli pemegang amanah Yayasan Satu Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Malaysia Satu juara lagu 1Malaysia

PUTRAJAYA: Lagu "Malaysia Satu" ciptaan Audi Mok, lirik Nur Fatimah, nyanyian Faizal Tahir diumum juara Pertandingan Lagu 1Malaysia.

Mok memberitahu pemberita, lagu itu diilhamkan daripada konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Apabila kami mendapat tahu mengenai pertandingan ini, kami memutuskan untuk menjadikannya satu kenyataan. Iramanya lebih rancak dan kami mahu menjadikan lagu ini lebih moden dan boleh didendangkan di mana-mana saja, bukannya kedengaran seperti sebuah lagu patriotik tradisional," katanya.
Faizal juga kelihatan gembira semasa mendendangkan lagu itu di hadapan penonton termasuk Najib, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Nur Fatima berkata beliau mahu lagu itu menggambarkan sumbangannya kepada penduduk negara ini.

"Saya merasakan ia sebagai tugas saya dan sebagai seorang rakyat Malaysia, menjadi tanggungjawab saya untuk menulis sesuatu yang dapat mencerminkan masyarakat Malaysia, budaya kita, sumbangan kita dan sebagainya," katanya.

Najib yang mengumumkan pemenang pertandingan itu turut menyampaikan cek berjumlah RM25,000.

Ketika berucap, Perdana Menteri berharap lagu itu akan menjadi inspirasi untuk menghayati makna dan maksud 1Malaysia.

"Satu Malaysia bermatlamat menjurus ke arah perpaduan dan keharmonian untuk melonjakkan negara kita menjadi negara yang hebat dan berjaya di mana ia berasaskan Satu Impian, Satu Harapan, Satu Bangsa, Satu Negara, Satu Malaysia," katanya.

Najib berkata, lagu itu juga lebih mesra rakyat kerana proses memilih pemenangnya terletak di tangan orang ramai yang mengundi lagu pilihan mereka daripada kalangan 10 lagu yang berjaya ke peringkat akhir menerusi laman web rasmi 1Malaysia dan HOT FM.

"Cara kita pilih adalah satu cara baru dan bukan konvensional, maknanya kita nak lagu ini sesuai dengan tagline kita 1Malaysia. Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan supaya ia lahir dan terbit daripada hati nurani rakyat sendiri.

"Rakyat mencipta lagu itu, rakyat ilhamkan seni kata, rakyat dendangkan lagu itu dan media medium untuk penyiaran lagu itu dan akhir sekali rakyat yang tentukan lagu kegemaran mereka," katanya.

Pada sidang media kemudian, Najib berkata beliau menghormati pilihan rakyat yang memilih lagu yang berirama rancak dan bersemangat membuatkan iramanya sesuai dengan cita rasa golongan muda.

Beliau berkata, lagu itu juga sesuai untuk diperdengarkan di peringkat antarabangsa tetapi memerlukan sedikit pengubahsuaian kerana iramanya agak tinggi yang tidak semua orang mampu menyanyikannya.

"Lagu itu juga akan dinyanyikan bersama-sama lagu keluaran RTM untuk acara rasmi," katanya. - Bernama

Membudayakan Penggunaan Satu Bahasa

Iklan, program, lagu mesti gunakan bahasa kebangsaan

SUDAH menjadi kelaziman, iklan dan program TV atau radio bertemakan kemajmukan kaum, perpaduan dan keharmonian hidup di negara ini akan ke udara apabila tibanya sambutan ulang tahun kemerdekaan.

Persoalannya, sejauh mana penerbit rancangan dan syarikat pembuat iklan berkenaan faham akan hakikat perpaduan dan kemerdekaan dalam iklan yang di ketengahkan?

Misalnya, amat tidak kena apabila ada program TV bercorak dokumentari yang menceritakan kejayaan anak-anak Malaysia dalam pelbagai bidang tetapi disampaikan dalam bahasa Inggeris, bukan bahasa kebangsaan!

Turut mengecewakan apabila ada sebahagian pencipta lirik bagi lagu-lagu patriotik sempena bulan kemerdekaan ini yang berkonsepkan santai oleh radio menampilkan lagu berkonsepkan Satu Malaysia yang ‘rojak’ seni katanya iaitu bercampuk-aduk bahasanya!

Begitu juga dengan iklan. Setelah 52 tahun merdeka, rupa-rupanya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) masih berfikir dalam kotak perkauman apabila ditampilkan watak-watak bercakap dalam pelbagai bahasa mengikut warna kulit!

Walhal, kita sudah diseru supaya mempraktikkan semangat Satu Malaysia yang terasnya sudah tentu satu bahasa kebangsaan. Malah, sudah ada pun gesaan agar pengenalan kaum melalui borang digugurkan hanya semata-mata mahu mengikis identiti kaum.

Persoalannya, bilakah lagi syarikat penaja iklan kemerdekaan mahu berfikir di luar kotak perkauman? Bilakah GLC termasuk syarikat pengiklan dan penerbit program TV sedar bahawa hanya penggunaan bahasa kebangsaan sahajalah kaedah kita merapatkan hubungan rakyat berbilang kaum di negara ini?

Mengapa di dalam iklan menggambarkan perpaduan, jika kaum Cina mesti bercakap Cina dan India mesti cakap bahasa Tamil manakala jika sudah berjaya dan berprestij mesti menggunakan bahasa Inggeris?

Sejak bila bahasa-bahasa asing itu sudah diangkat sebagai bahasa rasmi menggantikan kedudukan dan fungsi bahasa kebangsaan?

Membenarkan penggunaan bahasa selain bahasa kebangsaan atau ‘menghadirkan’ bahasa-bahasa lain di samping bahasa kebangsaan dalam iklan dan program TV, jelas satu tindakan kurang sopan dan membelakangkan peruntukan dalam Perlembagaan serta merendah-rendahkan kedudukan bahasa kebangsaan.

Malah, lebih memalukan telah memperlekehkan kemampuan rakyat berbilang kaum di negara ini dalam menguasai bahasa kebangsaan.

Budaya bercakap kita pada hari ini tidak sama dengan 52 tahun dahulu. Jika dahulu benar ramai golongan bukan Melayu tidak faham bahasa kebangsaan tetapi sekarang generasi muda bukan Melayu sudah fasih malah sebahagiannya lebih baik penguasaan bahasa Melayu mereka mengalahkan orang Melayu sendiri!

Hakikat ini mesti difahami oleh syarikat pengeluar iklan dan penerbit program TV yang umum tahu berorientasikan keuntungan selain daripada mesej khidmat masyarakat yang ditampilkan.

Adalah salah sama sekali jika ada syarikat pengeluar iklan masih menganggap usaha ‘memancing’ perhatian pengguna bukan Melayu mestilah dibuat dalam bahasa Cina dan bahasa Tamil!

Lebih mengecewakan jika ada iklan yang menonjolkan watak bukan Melayu bercakap sesama mereka dalam bahasa Inggeris!

Tidak keterlaluan dikatakan, pihak yang masih berbicara dalam kotak perkauman atau pun berkiblatkan Inggeris sebenarnya telah gagal menunaikan tanggungjawab sosial mereka.

Perlu ditegaskan, penerbit program TV, pencipta lagu serta syarikat yang mengeluarkan iklan lebih-lebih lagi GLC mesti sedar mereka memikul tanggungjawab sosial yang besar dalam merakyatkan penggunaan bahasa kebangsaan untuk seluruh rakyat Malaysia tanpa membeza-bezakan warna kulit!

Jika benar kita mahu menghayati erti 52 tahun kemerdekaan negara dan semangat 1Malaysia, tidak kira sama ada warna kulitnya sawo matang, kuning langsat atau hitam si tampuk manggis mestilah bersama-sama membudayakan penggunaan satu bahasa iaitu bahasa kebangsaan dalam segenap urusan hidup seharian tidak terkecuali dalam bidang pengiklanan, penyiaran dan hiburan.


Tanah Merah, Kelantan

Sumber : http: //www.utusan.com.my/