Selasa, 8 September 2009

ISU HUBUNGAN DUA HALA MALAYSIA - INDONESIA

SEKUMPULAN lelaki Indonesia mengadakan sekatan jalan haram sambil memegang sepanduk `Maaf Jalan Anda Terganggu : Sweeping Orang Malaysia’’ di Jakarta semalam. Dalam sekatan itu mereka menyoal pemandu dan penumpang seandainya mereka warga Malaysia. - AFP

Rakyat Malaysia Di Jakarta Diancam Dengan Buluh Runcing

JAKARTA, 8 Sept (Bernama) -- Jabatan Penuntut Malaysia di sini Selasa ini menasihati semua pelajar Malaysia di seluruh Indonesia supaya sentiasa berhati-hati memandangkan kebencian segelintir rakyat negara itu yang semakin memuncak berikutan penyebaran pelbagai fitnah oleh media massanya kebelakangan ini.Jabatan itu telah menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi menasihati semua pelajar Malaysia di sini khasnya agar jangan sekali-kali melalui Jalan Diponegoro bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.

Kebencian mereka itu memuncak kepada tahap yang serius dan menakutkan berikutan media tempatan baru-baru ini menyiarkan berita dan visual lebih 360 sukarelawan ilmu kebal yang dilaporkan sudah mendaftar dan bersedia untuk mengganyang Malaysia.Kebencian mereka itu memuncak lagi apabila hari ini terdapat sekumpulan orang yang menggelar diri mereka sebagai Benteng Demokrasi Rakyat (BENDERA) mula bertindak liar dengan mengugut rakyat Malaysia dengan buluh runcing di Jalan Diponegoro.Dilaporkan bahawa 50 anggota BENDERA yang bersenjatakan buluh runcing (buluh yang ditajamkan hujungnya) memaksa orang ramai yang melalui jalan itu menunjukkan tanda pengenalan mereka dan jika kebetulannya orang berkenaan seorang rakyat Malaysia maka orang itu akan terus ditahan.

Tindakan mereka mengambil undang-undang di tangan sendiri dilaporkan media massa online tempatan termasuk detikcom.Sebelum ini pernah rumah kediaman yang disewa pelajar Malaysia di Universiti Gadjah Mada, Yogyakarta dibaling telur busuk oleh kumpulan yang berdemonstrasi terdiri daripada sekumpulan mahasiswa tempatan kerana marahkan Malaysia yang difitnah sebagai mencuri tarian Pendet yang berasal dari Bali.Berikutan isu itu yang terus diapi-apikan media massa tempatan dan dikaitkan pula dengan isu-isu lampau yang diungkit semula, beberapa kumpulan rakyat Indonesia juga berdemonstrasi di depan Kedutaan Besar Malaysia di sini.

Walaupun penafian telah dibuat bahawa Malaysia tidak pernah "mencuri" tarian itu untuk iklan video klip promosi pelancongan negara yang sebenarnya dibuat sebuah syarikat swasta yang berpejabat di Singapura, namun hakikat itu "jatuh ke telinga yang tuli dan mata yang buta".Anehnya, sebuah stesen TV yang baru saja menyiarkan program dialog di mana seorang pegawai tinggi Kementerian Luar Indonesia memberikan penjelasan bahawa Malaysia tidak pernah mengakui Pendet sebagai tarian berasal dari Malaysia, namun stesen TV yang sama juga kemudian mengulangi lagi tuduhan yang serupa.

Laman web okezone pula melaporkan bahawa anggota BENDERA ada memeriksa lebih daripada 100 orang.Bagaimanapun, detikcom melaporkan bahawa tiada seorang pun rakyat Malaysia yang kebetulan melalui jalan itu dan tindakan yang dikatakan akan dilakukan selama sejam, berakhir hanya selepas setengah jam.

-- BERNAMA

SESI PERSEKOLAHAN 2010 BERMULA 3, 4 JANUARI

KUALA LUMPUR 8 Sept — "Sesi persekolahan tahun depan akan bermula pada 3 Januari bagi Kedah, Kelantan serta Terengganu, dan negeri-negeri lain pula pada hari berikutnya iaitu 4 Januari", kata Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Beliau berkata cuti penggal pertama pula akan bermula dari 12 hingga 20 Mac bagi Kedah, Kelantan dan Terengganu, sementara bagi negeri lain pada 13 hingga 21 Mac.

“Sementara itu cuti pertengahan tahun pula bermula dari 4 hingga 19 Jun bagi ketiga-tiga negeri itu, dan negeri lain bermula pada 5 hingga 20 Jun,” katanya dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan di sini hari ini.

Beliau berkata cuti penggal kedua pula akan bermula dari 3 hingga 11 September, dan cuti akhir tahun dari 19 November hingga 1 Januari 2011 bagi Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Sementara bagi negeri-negeri lain, cuti penggal penggal kedua akan bermula pada 4 hingga 12 September, dan cuti akhir tahun dari 20 November hingga 2 Januari 2011,” katanya.

Alimuddin berkata jumlah hari persekolahan termasuk cuti am tahun depan ialah 210 hari, manakala jumlah cuti penggal 78 hari.

— BERNAMA

Isnin, 7 September 2009

Bersedia tangani gejala mercun, kemalangan musim raya

RAMADAN sudah pun memasuki minggu ketiga, satu tempoh di mana bakal menyaksikan kehangatan promosi raya, selain peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya kerana kesibukan

Dalam masa yang sama, dentuman mercun, percikan bunga api di taman-taman perumahan, kawasan kejiranan dan kampung halaman makin jelas kelihatan.

Biar dilarang, biar begitu banyak undang-undang dikuatkuasakan, namun selagi ada permintaan selagi itulah bunga api, mercun menjadi bahan jualan yang paling menguntungkan.

Maka di saat umat Islam bakal menyambut Aidilfitri yang seharusnya dirayakan dengan penuh kegembiraan, keinsafan, dan kemuliaan, akan adalah segmen komuniti yang meratap hiba, menemani anak di hospital kerana melecur di muka, putus jari tangan.

Selain itu akan padatlah berita, di akhbar utama, mahupun siaran berita tv, cerita kemalangan yang bersilih ganti. Begitu murahnya nyawa rakyat, sedang warga negara lain mati akibat perang, jihad dan sebagainya, kita disajikan dengan pengorbanan dan terkorbannya jiwa di jalan raya.

Rutin ini berlaku setiap tahun, baik di musim perayaan apa sekalipun, statistik meningkat. Pelbagai langkah diambil, jutaan ringgit dihabiskan untuk kempen, operasi, penguatkuasaan bagi membendung dua gejala ini -- mercun dan kemalangan jalan raya.

Malangnya ia tidak pernah dapat dituntaskan, puncanya kerana sikap manusia dan pelakunya yang tidak mahu berubah. Binalah sistem perhubungan jalan raya yang selesa, dan canggih sekalipun, namun tabiat buruk pemandu Malaysia sukar dikikis, lantas bila berlaku natijah akibat kemalangan jalan raya jawapan mudah diucapkan “itu semua sudah suratan takdir”.

Walhal qada dan qadar Allah SWT boleh diubah dengan doa dan usaha, demikianlah kata Saidina Abu Bakar Al-Sidiq, r.a.

Perilaku buruk pemandu dan sebahagian komuniti yang masih mahu memanjakan anak-anak dengan membeli bunga api dan mercun bagi mainan anak-anak bukanlah satu langkah yang murni. Walhal budaya kemeriahan Aidilfitri tidak akan hilang serinya di kalangan anak-anak jika tanpa pun bunga api dan mercun.

Apa yang penting kepekaan ibu bapa, mengisi sambutan Aidilfitri di kalangan anak-anak melalui mekanisme lain yang lebih kreatif, hasil gabungan elemen tradisi dan unsur Islamisasi. Apa tidak bolehkah kita ajarkan anak-anak bertakbir, bertasbih, bertahmid secara beramai-ramai dan menyeru mereka agar dilaungkan kalimat murni itu menjelang dua atau tiga hari sebelum Hari Raya. Ini lebih harmoni, lebih menepati konsep Aidilfitri itu sendiri.

Demikian juga, usaha bertadarus al-Quran bersama anak-anak atau bergabung dengan anak-anak jiran yang lain. Bergotong-royong bersama anak-anak juga boleh dilakukan bagi mencari buluh dibuat lemang, ataupun memasang pelita di halaman rumah, mendidik anak-anak dan membawa mereka menginsafi penderitaan anak yatim dan fakir miskin.

Dengan kebersamaan aktiviti sebeginilah, barangkali mungkin keinginan untuk mencari kemeriahan Aidilfitri melalui medium mercun dan bunga api di kalangan anak-anak dapat dikurangkan. Sekali gus mampu mengurangkan bilangan anak-anak yang terpaksa dimasukkan ke dalam wad di hospital, akibat melecur muka, badan dan putus jari tangannya.

Begitu juga halnya dalam menangani isu kemalangan jalan raya yang sudah tentu meningkat menjelang seminggu sebelum dan selepas hari raya. Waktu puncak di mana keghairahan pulang beraya ke kampung halaman, dan beraya ke rumah sanak saudara menjadi satu kemestian.

Jika demikian sifatnya, apakah sebagai contoh tidak boleh diatur satu jadual perjalanan berkonvoi secara khusus melibatkan pengangkutan awam mahupun pengangkutan persendirian dari destinasi utama Kuala Lumpur ke negeri-negeri tertentu.

Kerjasama PDRM, JPJ, PLUS, syarikat pengangkutan bas ekspres dan pengguna boleh dijalinkan dalam konteks ini. Misalnya hasil analisis dikatakan pada 17 September yakni tiga hari menjelang hari raya, akan ada lebih 500 buah bas ekspres bergerak menuju ke utara dan selatan tanah air dan lebih 200,000 buah kenderaan akan bergerak keluar dari ibu kota.

Adakah tidak boleh masa perjalanan pulang kesemua kenderaan ini sebagai contohnya disatukan, dan pergerakan mereka diiringi oleh polis peronda, JPJ di hadapan dan di belakang, sehingga sampai ke destinasi stesen bas negeri yang dituju.

Kawalan sebegini bukan sahaja akan melancarkan perjalanan, malah mampu memberi jaminan keselamatan, kerana dua faktor:

Pertama, pemandu bas ekspres atau kenderaan persendirian sudah tentu tidak akan berani memandu laju. Kedua, aliran trafik melalui penggunaan lorong sebelah kiri lebuh raya akan diidentifikasikan dengan konvoi pulang beraya, biarlah sampai terlewat satu atau dua jam kerana momentum pergerakan tentulah tidak boleh dipacu mengikut kata hati lagi sebaliknya perlu ikut peraturan.

Apa yang penting statistik kemalangan dikurangkan, banyak nyawa dapat diselamatkan, dan akan lebih ramai kaum keluarga akan menunggu dengan tawa riang, kerana anak-anak, cucu, dan sanak saudara dapat sampai dengan selamat ke pangkuan keluarga di destinasi yang dituju.

Apa pun langkah diambil, diharap Ramadan dan Aidilfitri tahun ini tidak lagi disajikan dengan berita ngeri kesan tragedi jalan raya dan insiden pembakaran mercun dan bunga api yang bukan sahaja membazir dan tidak membawa sebarang faedah, malah lebih banyak mudaratnya.


Alor Setar, Kedah

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Budaya balik kampung mengajar generasi muda kenali asal-usul

Oleh Dr Ruzman Md Noor

AMALAN balik kampung sempena Hari Raya sudah sebati dengan masyarakat kita di Malaysia. Bandar raya besar seperti Kuala Lumpur akan sekali lagi sunyi sepi, bagaikan diletak di bawah perintah darurat.

Bagi yang 'terpaksa' berhari raya di Kuala Lumpur akan cuba melakukan kegiatan yang paling hampir dengan suasana di kampung dengan memasang lampu dan menjadikan persekitaran seakan-akan kampung halaman.

Dalam satu iklan di televisyen sebelum ini, seorang ayah membawa anaknya pulang ke rumah pusaka keluarga walaupun ibu dan ayahnya sudah tiada dan bila ditanya oleh anaknya kenapa pulang ke rumah itu sedangkan datuk/neneknya sudah tiada, lantas si ayah berkata dengan sedih bahawa ketika mana ibu/ayahnya (datuk/nenek budak itu) masih hidup, dia tidak pun pulang menziarahi mereka.

Begitu sekali rapatnya hubungan orang kita dengan kampung halaman. Orang yang tidak suka balik kampung biasanya mempunyai masalah tertentu seperti berlaku perselisihan faham dengan keluarga di kampung, masalah harta pusaka yang tak selesai, balik rumah mentua dan lain-lain keadaan yang masih tidak menghilangkan kerinduannya kepada kampung halaman.

Menyambut hari raya jika tidak di kampung halaman, macam tak sempurna, bahkan dikatakan seperti tidak berhari raya. Sebahagian besar antara kita juga membesar dengan lagu Allahyarham Sudirman, 'Balik Kampung' yang jika lagu ini didengar di luar musim raya, boleh menitiskan air mata, apatah lagi bagi rakyat Malaysia yang berada di luar negara.

Amalan ini sangat kuat berakar umbi dalam diri kita. Kamus Dewan (DBP 1991) menjelaskan makna 'kampung' sebagai kawasan kediaman (terdiri dari sekumpulan rumah dan lain-lain) di luar bandar, desa dan dusun; juga bermaksud kawasan dalam bandar tempat sesuatu kaum tinggal berkelompok seperti kampung Cina dan lain-lain.

Sementara itu 'kampung halaman' pula bermaksud kampung tempat lahir. Perkataan yang sama disebut dalam bahasa Arab sebagai 'al-qaryah' yang ditafsir oleh Kamus Besar Arab-Melayu (DBP 2006) sebagai sebagai kampung dan kediaman. Tujuan saya menyebut istilah ini adalah untuk mengaitkan dengan konsep balik kampung yang menjadi fenomena di negara ini.

Dari sudut falsafahnya apakah jenis kampung yang menjadi tempat yang sangat dirindui dan menjadi tumpuan pada musim cuti dan perayaan khususnya Hari Raya. Beberapa ciri yang menjadikan sesuatu tempat itu sangat gemar dikunjungi.

Antaranya tempat asal seseorang; tempat seseorang itu dilahirkan; tempat seseorang itu dibesarkan sejak dari kecil atau selepas dilahirkan; tempat yang dihuni oleh ibu/ayah/datuk/ nenek atau saudara mara yang rapat dan tempat yang pernah menyimpan nostalgia kehidupan masa kecil atau keluarga terdekat.

Kampung yang saya maksudkan dalam artikel ini mungkin memiliki salah satu atau gabungan beberapa ciri-ciri ini. Sesuatu tempat itu masih diiktiraf sebagai kampung halaman seseorang walaupun sudah tidak dihuni oleh sesiapa jika mempunyai ciri di atas.

Oleh itu kita tanyalah diri sendiri, di manakah kampung halaman kita atau adakah kita masih punya kampung halaman? Balik kampung sebenarnya ada asas dalam Islam. Ia bukan sekadar satu adat atau budaya orang kita.

Kalau digabungkan ciri-ciri di atas, pada prinsipnya kampung halaman adalah tempat asal seseorang atau tempat yang dihuni oleh orang tua kita. Ini bermakna balik kampung adalah suatu amalan untuk kembali kepada asal usul kita sebagai manusia.

Dalam bahasa Arab istilah yang diguna pakai ialah 'usul' iaitu orang yang di atas kita yang terdiri daripada ibu/ayah, datuk/nenek, moyang, piut sehingga ke atas. Balik kampung sebenarnya adalah balik semula kepada asal usul kita meskipun mungkin orang tua sudah tak ada lagi.

Dengan sebab itu juga Rasulullah membenarkan ziarah kubur sebagai tanda ingatan kita kepada orang tua dan untuk ingat kepada kematian. Rasulullah juga bersabda yang bermaksud bahawa doa anak yang soleh/solehah sampai pahalanya kepada si mati sebagai tanda ingatan seseorang kepada ibu/ayahnya.

Dalam Islam kita diajar supaya kembali kepada al-quran dan Al-Sunnah sebagai usul yang jika dipegang tidak akan sesat selama-lamanya. Allah Taala juga dalam banyak ayat-Nya meminta kita merenung kembali kepada asal penciptaan kita iaitu dari nabi Adam dan dari air mani.

Seseorang yang jika masih mempunyai 'usul' (ayah/ibu dan ke atas) tetapi tidak rindu kepada mereka atau tidak gemar pulang menziarahi mereka sebenarnya mempunyai sikap angkuh dan tidak bersedia untuk ingat kepada asal-usul kejadiannya.

Bagi yang sudah tidak ada kampung atau tidak ada orang tua lagi, maka perasaan sentiasa ingat kepada mereka dan mendoakan mereka adalah juga manifestasi kepada amalan 'balik kampung' yang banyak faedahnya.

Ibu/bapa wajar melatih anak-anak supaya ingat kepada orang tua dan kampung halaman. Tunjukkan kepada mereka tempat kita dilahirkan, tempat kita bermain pada waktu kecil dan lain-lain supaya nanti anak-anak kita akan ingat kepada 'usul' mereka iaitu diri kita sendiri.

Prof Madya Dr Ruzman Md Noor adalah tenaga pengajar Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

Sumber : http: //www.bharian.com.my/

Ahad, 6 September 2009

Masalah Disiplin di Sekolah dan Langkah-langkah Mengatasinya

Sahabat anda menulis surat, ingin mengetahui masalah disiplin yang berlaku di sekolah anda dan langkah-langkah yang telah dilaksanakan oleh pihak sekolah untuk mengatasinya. Balas surat sahabat anda itu.
Muhamad Ameerul bin Mohd,
1661, Taman Perdana Indah, 
73000 Tampin.

16 Oktober 2009.
Ke hadapan sahabatku, saudara Zul yang berada di Brunei, diharapkan saudara sekeluarga sihat walafiat hendaknya.

Saudara Zul,
Apa khabar saudara di Brunei? Sudah selesaikah peperiksaan akhir tahun di sekolah saudara? Terima kasih kerana begitu cepat membalas surat saya. Penerangan Zul tentang tempat-tempat pelancongan di Brunei dan gambar-gambar yang dikirim menerusi e-mel, amat menarik. Baiklah, saya akan menceritakan kepada Zul serba sedikit masalah disiplin yang berlaku di sekolah saya dan langkah-langkah yang telah dijalankan oleh pentadbir sekolah saya untuk mengatasi masalah berkenaan. 

Untuk pengetahuan saudara Zul, salah satu masalah disiplin yang berlaku di sekolah saya ialah kes merokok yang kian meningkat saban minggu. Masalah merokok menjadi rutin harian, terutamanya bagi pelajar-pelajar lelaki tingkatan tiga, tingkatan empat dan tingkatan lima. Sikap segelintir pelajar ini sebenarnya mengundang padah kepada diri mereka sendiri, kerana pelbagai hukuman menanti mereka, jika mereka ditangkap merokok di kawasan sekolah. Sungguhpun para pelajar ini telah berkali-kali menerima hukuman rotan daripada Encik Huhanesan, guru disiplin, namun usaha guru disiplin di sekolah saya ibarat "menghitung bulu kambing." Tahukah saudara mengapa gejala merokok di sekolah saya berterusan? Para pelajar di sekolah saya, begitu mudah terpengaruh dengan sikap negatif rakan-rakan sebaya yang sering mengabaikan pelajaran. Sebaik sahaja guru keluar dari kelas setelah tamat waktu sesuatu mata pelajaran, pelajar-pelajar yang gemar merokok turut keluar dari kelas. Mereka akan ke tandas dan ke tempat-tempat strategik seperti di belakang Makmal Multimedia, di belakang Kompleks Pertanian atau bersembunyi di sebalik Stor Perabot yang terletak di hujung bangunan sekolah. Sekiranya tiada pihak yang berjaya mengesan tindakan negatif mereka, pelajar-pelajar berkenaan akan melepak di luar kelas berjam-jam lamanya. Sesungguhnya saudara, sikap segelintir pelajar yang ketagih rokok, memburukkan imej sekolah saya, seterusnya menyukarkan pihak pentadbir menjadikan sekolah ini "bebas masalah disiplin." Lebih menyedihkan, terdapat pelajar yang cuba memasukkan ganja ke dalam puntung rokok dan kes berkenaan kini dalam perhatian pihak polis. Pada minggu lepas sahaja, sebanyak sepuluh kotak rokok dan empat pemetik api berjaya dirampas daripada pelajar-pelajar yang disyaki merokok. Tuan Haji Hanafis, guru penolong kanan hal ehwal murid di sekolah saya, begitu marah dengan sikap pelajar-pelajar yang keras hati kerana nasihat yang diberikan oleh para guru "seperti hujan jatuh ke pasir." Tegasnya saudara, masalah pelajar merokok di sekolah saya, kian membimbangkan dan pihak sekolah sedang merangka kerjasama dengan pihak polis untuk menyelesaikan permasalahan yang semakin kronik ini. 


Saudara Zul,
Pada era globalisasi yang kian mencabar, para remaja begitu mudah terjebak dengan pelbagai anasir negatif. Sikap suka memberontak dan perasaan tidak puas hati terhadap peraturan sekolah yang membosankan, mendorong segelintir pelajar di sekolah saya melakukan vandalisme. Perbuatan merosakkan harta benda sekolah dan menconteng dinding bangunan sekolah turut dilakukan kerana geram dengan sikap guru-guru yang bertindak tegas menghukum atau mendenda pelajar. Saya terkilan dengan gejala vandalisme yang berlaku di sekolah saya kerana pihak sekolah terpaksa mengeluarkan perbelanjaan hampir lima belas ribu ringgit tahun lepas, semata-mata untuk membaik pulih segala kerosakan yang berlaku. Dinding pada bahagian tangga sekolah dan dinding tandas sekolah diconteng dengan pelbagai lukisan dan perkataan yang tidak selaras dengan norma masyarakat yang bertatasusila. Kepala paip di tandas, bukan sahaja dirosakkan, malah ada yang dicuri. Lubang tandas pelajar lelaki disumbat dengan kayu, batu, pasir dan buku-buku latihan. Pada minggu lepas ketika perhimpunan sekolah, pengetua sekolah saya melahirkan rasa kesal dan marah kerana tiga buah tombol pintu di kelas tingkatan tiga, dicabut! Pada waktu petang, terdapat pelajar yang sengaja merosakkan papan-papan kenyataan di kelas, mengoyakkan kertas bunga yang telah rapi dibalut pada meja, mencuri buku-buku latihan yang ditinggalkan oleh pelajar dan merosakkan kerusi meja di kelas. Mungkin saudara mengatakan saya mereka-reka segala cerita ini, namun inilah realiti suasana sekolah pada era pascamerdeka. Terdetik di hati saya, inikah caranya putera puteri harapan bangsa menghargai nikmat kemerdekaan? Untuk pengetahuan saudara, apabila kes-kes vandalisme berlarutan, pelajar-pelajar sudah tawar hati dan enggan menceriakan lagi, kelas masing-masing. Bayangkanlah saudara, berpuluh-puluh ringgit sudah kami keluarkan untuk Program Keceriaan Kelas, tetapi segala keindahan yang diusahakan bersama-sama oleh para pelajar, musnah sekelip mata angkara pelajar-pelajar yang tidak berperikemanusiaan. Bukankah peribahasa ada menyebut, "kerana nila setitik, rosak susu sebelanga?" Konklusinya, masalah vandalisme yang berterusan, boleh menjejaskan imej sekolah dan wajar ditangani dengan berkesan. 

Saudara Zul,
Setiap masalah yang berlaku, pasti ada jalan penyelesaiannya. "Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan." Sebenarnya saudara, pelbagai langkah telah dilaksanakan oleh pihak sekolah bagi menangani masalah disiplin yang kian meningkat. Pada awal semester kedua, pihak sekolah telah bekerjasama dengan pihak polis daerah untuk melaksanakan Program Ops Disiplin. Program Ops Disiplin merupakan program motivasi khas yang dijalankan oleh pihak polis di daerah saya, bagi membantu mengatasi masalah disiplin pelajar di sekolah menengah. Pihak polis telah meminta guru disiplin menyenaraikan nama pelajar yang pernah melakukan kesalahan disiplin melebihi tiga kali. Kesalahan disiplin yang diambil kira ialah merokok, ponteng kelas, ponteng sekolah, buli, gangsterisme, bergaduh dan melawan guru. Semua pelajar yang disenaraikan namanya diwajibkan pergi ke Balai Polis Tampin untuk menghadiri sesi motivasi.Pegawai-pegawai polis yang mengendalikan sesi ceramah motivasi merupakan pegawai polis yang bertugas di Jabatan Narkotik dan Jabatan Siasatan Jenayah. Setelah sehari suntuk didedahkan dengan sesi ceramah, keesokannya pula, pelajar-pelajar berkenaan dibawa ke Kem Biro Tatanegara, Kuala Pilah selama dua hari. Remaja-remaja yang bermasalah disiplin ini dikerah menjalani pelbagai aktiviti lasak, yang mencabar ketahanan fizikal dan mental. Untuk pengetahuan saudara, aktiviti di Kem Biro Tatanegara bermula seawal 4.30 pagi dan berakhir selewat 1.30 pagi keesokan harinya. Aktiviti yang ditempuhi oleh semua peserta benar-benar mencabar kemahiran minda, ketahanan diri dan amat memenatkan. Kerjasama erat antara pihak sekolah dan pihak polis menjayakan Program Ops Disiplin ternyata menunjukkan hasil yang positif. "Tiada kejayaan semanis madu, tanpa pengorbanan sepahit hempedu." Pihak polis sendiri telah datang ke sekolah saya pada waktu perhimpunan pagi dan menyampaikan sijil penyertaan kepada para pelajar yang terpilih menyertai Program Ops Disiplin. Empat bulan selanjutnya, guru disiplin di sekolah saya menarik nafas lega kerana semua pelajar begitu bersemangat menuntut ilmu, belajar di kelas masing-masing tanpa suasana bising. Kesimpulannya saudara, kerjasama erat antara pihak sekolah dan pihak polis perlu diteruskan pada tahun-tahun yang akan datang, agar disiplin para pelajar pada alaf baharu ini dapat dimantapkan. 

Selain menjalinkan kerjasama dengan pihak polis, pihak pentadbir sekolah telah melaksanakan Program Keceriaan Sekolah bersama-sama guru-guru, pekerja sekolah, ahli keluarga pelajar dan pelajar-pelajar sekolah saya. Program ini dilaksanakan bertujuan untuk menerapkan nilai-nilai murni seperti semangat bekerjasama, cinta akan harta benda sekolah dan cinta akan kebersihan alam sekitar dalam kalangan anak-anak didik di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Murni. Program ini telah berlangsung pada hari Sabtu mulai 8.00 pagi sehingga 1.00 petang. Sepanjang tempoh tersebut, segala kerosakan yang dilakukan oleh para pelajar akibat kegiatan vandalisme, dibaik pulih dan persekitaran sekolah diceriakan kembali. Para pelajar bersama-sama ibu bapa, abang dan kakak mereka bekerjasama "bagai aur dengan tebing", mengecat semula dinding kelas, dinding tangga dan dinding tandas yang diconteng. Papan-papan kenyataan yang berlubang-lubang diganti dengan papan kenyataan baharu. Kerusi dan meja yang patah turut dibaiki. Semua kelas telah dihias dan diceriakan dengan sumbangan langsir, sumbangan alas meja dan pokok hiasan daripada keluarga pelajar. Kata-kata hikmat digantung semula pada laluan ke makmal, laluan ke kantin dan laluan ke pejabat sekolah. Beberapa kumpulan pelajar yang mahir dalam pendidikan seni, menyiapkan mural pada dinding sekolah. Untuk makluman saudara, setelah Program Keceriaan Sekolah tamat pada 1.00 petang, persekitaran sekolah saya lebih indah dan lebih ceria berbanding dahulu. Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) telah menyediakan jamuan makan tengah hari dan sesi cabutan nombor bertuah untuk ibu bapa dan pelajar-pelajar yang hadir. Secara tidak langsung, program ini berjaya menyuntik rasa keinsafan dalam diri para pelajar agar menghargai usaha ibu bapa dan ahli keluarga mereka yang bersusah-payah membantu pihak sekolah membaik pulih segala kerosakan yang berlaku angkara vandalisme. Bukankah peribahasa ada menukilkan, "ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni?" Intihanya, kerjasama erat antara pihak sekolah dan ibu bapa pelajar, berjaya mengurangkan masalah vandalisme yang sebelum ini begitu berleluasa. 

Saudara Zul,
Natijahnya, permasalahan disiplin dapat diatasi dengan berkesan seandainya pelajar pada era globalisasi berupaya menghayati tanggungjawabnya sebagai anak yang soleh, murid yang berakhlak mulia dan warga negara yang budiman. Diharapkan pihak sekolah akan terus menjana kerjasama erat antara ibu bapa demi memastikan kecemerlangan sahsiah anak-anak. Malah, kerjasama dengan pihak polis juga wajar diteruskan kerana pihak polis berupaya memantau masalah sosial pelajar di luar sekolah. "Bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat." Anjakan paradigma yang berkesan oleh pentadbir sekolah merupakan inspirasi dan pencetus semangat kepada pelajar untuk terus berusaha menimba ilmu dan berjaya dengan cemerlang. Saya amat bersyukur kerana pihak sekolah telah mengambil pelbagai langkah untuk mengatasi masalah disiplin pelajar. Kini, saya dan rakan-rakan boleh menumpukan perhatian sepenuhnya untuk menghadapi Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia yang bakal tiba tidak lama lagi. Semoga kita sama-sama dapat meneruskan perjuangan murni kita di medan ilmu ini, meneruskan perjuangan menjejaki istana kejayaan. 

Sekianlah sahaja coretan saya buat kali ini. Semoga penerangan saya tentang masalah disiplin yang berlaku di sekolah saya dan langkah-langkah mengatasinya, berjaya meluaskan horizon pemikiran saudara. "Yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan." Semoga saudara berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan yang akan ditempuhi pada akhir semester nanti. 


Sekian, terima kasih.
Yang benar,
Ameerul

Sumber : http://teratakcikgu.blogspot.com/

52 Tahun Merdeka : Bagaimanakah Nasib Bahasa Melayu?

Bahasa Inggeris untuk dua ketul ayam, kentang goreng

Oleh Imlan Adabi
news@bharian.com.my

PERLUKAH berbahasa Inggeris semata-mata untuk menempah bufet juadah berbuka puasa di hotel lima bintang? Perlukah juga bahasa penjajah untuk memesan dua ketul paha ayam, kentang goreng dan segelas Pepsi di restoran makanan segera?

Ketika menempah tiket penerbangan di kaunter syarikat pesawat nasional, kita diajukan pertanyaan dalam bahasa Inggeris. Dalam pesawat pula, pramugari menuturkan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua, itu pun dengan loghat yang luar biasa.

Apakah ini citra wajah Malaysia yang diperjuangkan oleh sebuah bangsa yang setengah abad merdeka? Apakah Malaysia seperti negara membangun di Afrika, Amerika Latin dan Asia yang masih dihinggap sindrom rendah diri dan meyakini bahasa pribumi tidak bernilai, kolot dan memalukan?


Apakah kita yakin bahawa kualiti bahasa Melayu masih rendah, tidak pernah meningkat dan sering dipertikaikan? Persoalan ini amat wajar dilontarkan ketika negara baru saja menyambut kemerdekaan ke-52 tahun, martabat bahasa Melayu (sekarang sengaja ditukar bahasa Malaysia) masih dipertikai nilai ekonomi dan sosialnya.

Status bahasa Melayu amat terpinggir di negaranya sendiri. Walaupun setengah abad penjajah meninggalkan negara ini, bahasa Melayu masih dianggap pinggiran.

Jika memandu di kawasan segi tiga emas di Kuala Lumpur, papan iklan dan paparan skrin elektronik begitu ketara mengutamakan bahasa Inggeris. Bahasa Melayu, kalau adapun sekadar ada-ada saja. Bahasa Inggeris sentiasa mengambil tempat sebagai bahasa utama dunia.

Jika kita mahu Malaysia seiring di pentas global, kehadiran bahasa Inggeris tidak boleh dielakkan. Bagaimanapun, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan milik asal Tanah Melayu perlu didaulatkan. Merendahkan kedaulatan bahasa pribumi hanya mencalar nilai sejarah yang wujud ribuan tahun di Nusantara.

Hari ini setengah bilion penutur bahasa Melayu di Asia Pasifik hingga Afrika Selatan. Tanpa sedar pengguna bahasa Melayu merata di perairan Selat Melaka, Laut China Selatan, Teluk Siam, Selat Sunda hingga ke Afrika dengan pelbagai pengubahsuaian dan penerapan nilai setempat.

Memartabatkan bahasa Melayu ada kaitan dengan jati diri dan sistem sosial. Justeru, usaha mendaulatkan bahasa sendiri sepatutnya bukan halangan di Malaysia. Dasar pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) sepatutnya tidak berlaku. Tidak ada mana-mana negara yang beradat dan beradab tergamak meminggirkan bahasa sendiri untuk dua subjek penting itu.

Membicarakan isu bahasa dan kemerdekaan ada waktunya melelahkan. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sendiri pernah mencatatkan kelantangan era Tan Sri Syed Nasir Ismail yang begitu tegas menentang usaha meleburkan bahasa Melayu.

Sekarang, ketika merayakan kemerdekaan pada Ramadan, amat wajar kita merenung penutup ucapan Allahyarham Tan Sri Asri Muda yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen ketika menentang Rang Undang-undang Bahasa Kebangsaan (1967) di Dewan Rakyat pada Mac 1967.

“Akhirnya , Tuan Yang Dipertua, saya berani menyatakan di sini bahawa tentulah bangkangan yang saya kemukakan ini akan ditindas atau akan dikalahkan dengan jumlah kepala-kepala penyokong kerajaan dalam Dewan ini nanti, tetapi, Tuan Yang Dipertua, biarlah sejarah mencatatkan bahawa kelulusan rang undang-undang ini adalah tambahan daripada dosa jenayah politik ... yang begitu banyak untuk diadili oleh mahkamah sejarah keturunan bangsa Melayu akan datang" (Keranda 152: Halaman 20)

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Jangan cemari Ramadan, Syawal dengan dentuman mercun

Gambar kiri, Mohd Hafizi hilang jari akibat letupan mercun buatan sendiri Khamis lalu di Besut. Gambar tengah, Wan Amirul Faiz mungkin hilang empat jari dalam kejadian di Marang, semalam

TRAGEDI kehilangan dua batang jari yang dialami oleh seorang remaja di Marang, Terengganu akibat mercun kelmarin bukan perkara luar biasa. Ia adalah lanjutan, kesinambungan serta pertambahan jumlah kes ‘kerja kreatif’ anak-anak Melayu kita.

Asal tiba musim raya, pasti ada kes akibat kecederaan akibat bermain mercun – buatan sendiri. Kudung tangan, buta mata dan kecederaan kekal menjadi sinonim dengan musim perayaan.

Semakin dekat dengan raya semakin ramai yang cedera. Namun perkara seperti itu tidak berlaku sewaktu perayaan Tahun Baru Cina, Deepavali, Hari Krismas dan perayaan lain.

Sukar untuk difahami dan payah dicari sebabnya, kenapa sebaik sahaja bermula puasa, maka di sana sini akan terdengar dentuman mercun. Ia termasuk meriam buluh malah tangki minyak kenderaan pun dijadikan bahan letupan untuk bunyi yang lebih kuat.

Paling malang, bukan setakat ‘pencipta’ bahan letupan yang cedera tetapi orang yang tidak ada kena mengena juga sesekali menerima padahnya.

Walaupun penjualan mercun dilarang dan mereka yang terbabit membekalkannya boleh ditangkap, didakwa dan dihukum, namun gema letupan mercun masih kedengaran. Ia berbunyi seawal hari pertama puasa. Keadaan semakin membingitkan apabila semakin dekat hari raya.

Kekhusyukan bersolat sunat terawih boleh terganggu oleh bunyi dentuman mercun ini.

Maknanya dalam keadaan terdedah kepada kemungkinan ditangkap, didakwa dan dihukum, masih ada yang sanggup menanggung risiko. Mereka masih sanggup menyeludup, mengedar, membekal dan menjual mercun. Semuanya kerana keuntungan berlipat ganda.

Keadaan itu mungkin ditambah oleh sikap sesetengah ibu bapa yang tidak cuba memotivasikan anak masing-masing tentang bahaya bermain mercun. Apatah lagi jika menggunakan ‘kreativiti’ sendiri mencipta bahan letupan. Ia menyebabkan di kalangan anakanak menganggap dentuman mercun sebagai antara faktor yang boleh memeriahkan sambutan raya.

Keadaan itu tetap berlaku di negara ini walaupun ia bukan budaya Islam untuk menyambut Syawal.

Seharusnya kita perlu mendidik anak-anak agar mereka sedar bahawa apa yang dituntut oleh Islam ialah memperbanyakkan takbir dan tasbih sepanjang Ramadan dan ketika menyambut Syawal. Kita juga digalakkan saling kunjung-mengunjungi dan bermaaf-maafan.

Walaupun sambutan raya dengan letupan mercun dipopularkan oleh masyarakat Cina di negara ini, kaum itu mematuhi arahan kerajaan. Sekurang-kurangnya anak-anak mereka tidak bermain mercun buatan sendiri.

Adalah sesuatu yang pelik dan janggal apabila tradisi itu ‘dibuang’ oleh pemilik asalnya tetapi kini menjadi ‘warisan’ kepada orang Melayu beragama Islam.

Pada pendapat saya, usaha menjadikan negara ini “mercun sifar” mungkin boleh dilakukan jika hukuman lebih keras dan tegas dikenakan ke atas mereka yang terlibat.

Semua anggota masyarakat juga seharusnya bersama-sama membantu kerajaan membanteras penjualan mercun.

Jangan lagi berkompromi dengan pembekal dan peruncit mercun. Sekiranya ada maklumat, kita seharusnya segera melaporkannya kepada pihak berkuasa.

Semoga kerjasama semua pihak akan mampu mengurang dan seterusnya memastikan tiada lagi yang menjadi mangsa mercun pada sambutan Ramadan dan Syawal di tahun-tahun mendatang.


Kota Bharu, Kelantan

Sumber : http: //www.utusan.com.my/