Jumaat, 11 September 2009

Wanita tertua di dunia meninggal dunia


LOS ANGELES 12 Sept. – Wanita tertua di dunia dilaporkan meninggal dunia hari ini pada usia 115 tahun.

Dr. Cherles Witt berkata, Gertrude Baines meninggal dunia di hospital dipercayai akibat serangan jantung, tetapi autopsi akan dijalankan bagi mengesahkan punca sebenar kematiannya.

Baines yang dilahirkan pada 1894 di Shellman, Georgia dan menjadi satu-satunya wanita tertua di dunia selepas Maria de Jesus, 115, meninggal dunia di Portugal pada Januari lalu.

Menurut Dr. L. Stephen Coles dari Kumpulan Penyelidik Gerontologi, Universiti California Los Angeles Medical Center, wanita tertua di dunia kini menjadi milik Kama Chinen yang berusia 114 tahun dan tinggal di Jepun. – AP

Nota Hujung :

Mengikut catatan, orang tertua yang pernah hidup ialah Jeanne-Louise Calment, perempuan yang bertahan hidup sehingga berumur 122 tahun dan meninggal pada 4 Ogos 1997 di Arles, Perancis.

ISU KESELAMATAN DI JALAN RAYA

Ops Sikap gagal selagi pemandu tidak berhemah

SETIAP kali menjelang Aidilfitri, isu keselamatan di jalan raya pasti menjadi tumpuan. Pelbagai kempen dilaksanakan daripada peringkat tertinggi hinggalah kepada kumpulan kecil. Semuanya bermatlamat memastikan perjalanan ‘balik kampung’ yang menjadi tradisi setiap kali musim perayaan, berakhir dengan kegembiraan bukannya tangisan. Saban tahun, pihak berkuasa juga terpaksa mengambil pelbagai inisiatif mendisiplinkan pemandu dan pengguna jalan raya. Ops Sikap yang dimulakan pada 1998 contohnya, memasuki edisi ke-XX apabila dilancarkan semalam. Malangnya ia tidak banyak mengubah landskap kadar kematian dan kecederaan di jalan raya. Semua ini berpunca daripada tabiat dan tingkah laku masyarakat. Ia dibuktikan apabila kajian Institut Keselamatan Jalan Raya (Miros), mendapati sikap pemandu di negara ini masih teruk dengan 66 peratus mereka tidak takut dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa kerana kesalahan lalu lintas. Lebih buruk lagi, mereka sedia berdepan risiko kematian dan kecederaan kerana keengganan mematuhi peraturan. Statistik Ops Sikap sempena Aidilfitri lalu, menunjukkan antara kesalahan utama pemandu ialah tidak memakai tali pinggang keledar iaitu 25.6 peratus, melebihi had laju (24.08 peratus), ingkar lampu isyarat (21.3 peratus), memotong laluan kecemasan (16 peratus) dan memotong di garisan berkembar (13 peratus).

Apa yang dapat dirumuskan ialah pemandu kita tidak mengendahkan undang-undang dan masih memerlukan penguatkuasaan menerusi operasi khas bagi meningkatkan tabiat serta disiplin. Ini tentunya sesuatu yang menyedihkan kerana ia bukan budaya yang kita harapkan. Negara mempunyai infrastruktur dikagumi tetapi sikap pemandu masih pada takuk lama. Akibatnya, jalan dan lebuh raya kita bertukar menjadi peragut nyawa tiap kali tiba musim perayaan. Slogan Pandu Cermat, Jiwa Selamat tidak lagi dihayati kerana masing-masing bersikap mementingkan diri tanpa memikirkan kesannya. Kita juga hairan bagaimana rakyat Malaysia yang cukup terkenal sebagai penyabar, bersopan, bertolak ansur dan saling menghormati, boleh bertukar ‘kiasu’ di jalan raya. Kerajaan sudah melakukan segala yang termampu mengatur strategi terbaik menangani masalah itu, namun kadar kemalangan tidak pernah surut, malah semakin menjadi-jadi. Benarlah pendapat sesetengah pihak bahawa kemalangan jalan raya bergantung kepada faktor sikap manusia. Tanpa keinsafan dan perubahan sikap, seribu peraturan sekalipun tidak akan memberi sebarang makna dan hasrat mengurangkan jumlah kemalangan pada musim perayaan ini tidak akan tercapai. Bagi kita, bukan penguatkuasaan undang-undang sebenarnya yang boleh mengurangkan kadar nahas jalan raya, sebaliknya sikap pengguna sendiri yang lebih utama. Tanpa kesedaran dan kesungguhan untuk mengubah sikap oleh setiap pengguna jalan raya, Ops Sikap XX yang dilancarkan di Johor semalam tidak akan mampu mencapai matlamatnya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU HUBUNGAN DUA HALA MALAYSIA - INDONESIA


PROVOKASI dan sikap konfrontasi yang cuba disemarakkan oleh segelintir rakyat Indonesia perlu ditangani segera oleh Jakarta dan Kuala Lumpur agar ia tidak menjadi krisis besar. – AFP


TERBUKTI setelah kerajaan kita menyatakan protes terhadap tindakan ekstrem dan provokasi pelbagai pihak terhadap Malaysia, media massa Indonesia kini lebih berhati-hati.

Setakat ini tiada lagi laporan berat sebelah disiarkan mengenai hubungan dua hala kedua-dua negara.

Tindakan Menteri Luar, Datuk Anifah Aman memanggil Duta Besar Indonesia di Malaysia Da‘i Bachtiar bagi menyatakan rasa tidak puas hati Malaysia merupakan tindakan paling tepat untuk menghentikan tindakan memperlekehkan Malaysia.

Selama ini apabila Malaysia mendiamkan diri, ia seolah-olah membangkitkan keberanian banyak pihak di Indonesia untuk terus menghina Malaysia.

Kerajaan Indonesia pula seolah-olah ‘menghalalkan’ apa juga bentuk tindakan anti-Malaysia termasuk membiarkan usaha “mengumpulkan senjata tajam untuk menyerang Malaysia” walaupun ia nyata mengancam keselamatan.

Rakyat Malaysia yang pertama menjadi sasaran ialah pelajar perubatan di Universiti Gajah Mada di Jogyakarta di mana rumah sewa mereka dilempar dengan batu.

Selepas itu sekumpulan 30 pelajar universiti berkenaan mengambil tindakan berkonfrantasi dengan pelajar Malaysia dan mendesak pihak universiti terbabit tidak lagi mengambil pelajar Malaysia.

Kemuncaknya apabila kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) bertindak menyekat lalu lintas di Jalan Deponegoro, Menteng Jakarta Pusat bagi mencari rakyat Malaysia untuk diusir atau dipanggil sweeping.

Kumpulan itu didakwa didalangi oleh Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) pimpinan Megawati Soekarnoputri.

Bapanya, Presiden Soekarno merupakan pemimpin yang mempelopori slogan “Ganyang Malaysia”. Jadi tidak hairan apabila kumpulan berkenaan menjadi penerus kepada fahaman anti-Malaysia.

Kelompok Megawati sebenarnya kelompok yang kecewa selepas kalah pada pilihan raya lalu dan Megawati juga gagal kembali ke tampuk pimpinan Indonesia selepas tewas kepada Susilo Bambang Yudhoyono pada Pilihan Raya Presiden 2004.

Kelompok kecewa ini sanggup melakukan apa saja termasuk mengganggu ketenteraman negara sendiri demi meluahkan perasaan marah. Apatah lagi ketika ini Susilo yang kekal sebagai Presiden sedang sibuk menyusun Kabinet baru.

Menteri Pelancongan, Jero Wacik sendiri telah meletak jawatan selepas mengetahui namanya tidak terdapat di dalam senarai Kabinet tersebut.

Jero jugalah yang menjadi punca kepada kekecohan dan kekeruhan hubungan dua hala Malaysia-Indonesia.

Dia yang mahu menjadi ‘hero” telah menggunakan isu tarian Pendet dari Bali yang kononnya digunakan oleh Malaysia bagi mempromosikan pelancongan sendiri.

Bagaimanapun ia terbukti bukan angkara kerajaan Malaysia tetapi dilakukan oleh syarikat swasta di Singapura.

Discovery Channel sendiri telah mengutuskan surat permohonan maaf kepada Indonesia di atas kesilapan tersebut.

Bagaimanapun isu itu masih diperbesarkan sehingga Susilo sendiri memberi peringatan kepada Malaysia berhubung perkara tersebut.

Inilah yang dikatakan “matlamat menghalalkan cara”. Semua dilakukan Jero semata-mata untuk perjuangan karier politiknya iaitu berharap akan dikekalkan di dalam Kabinet. Tetapi akhirnya yang sebaliknya berlaku.

Selain itu Malaysia juga dituduh mencuri budaya Indonesia apabila turut mempromosikan batik, masakan rendang dan keris sebagai milik Malaysia selain menggunakan lagu Rasa Sayang dalam promosi pelancongan.

Provokasi itu tetap berlaku walaupun mereka sedar Malaysia dan Indonesia adalah serumpun. Kita bukan sahaja mempunyai hubungan kekeluargaan malah budaya serta tradisi juga sama.

Memang agak pelik apabila Indonesia mahu mempatenkan batik, keris, rendang dan sebagainya sebagai hak mereka dan mana-mana pihak yang mahu menggunakannya perlu mendapat kebenaran terlebih dahulu.

Sedang Jepun negara yang lebih maju contohnya tidak pernah mempatenkan pedang samurai serta kimono. Bahkan menjadi satu kebanggaan apabila tradisi mereka terkenal serta diikuti di seluruh dunia.

Begitu juga India tidak pernah mempatenkan pakaian sari dan China tidak pernah mempatenkan tarian singa dan tarian naga.

Jika India mula mempatenkan kebudayaan mereka, Indonesia sendiri tidak dapat mempromosikan kebudayaan mereka yang banyak dipengaruhi agama Hindu terutama di Bali.

Oleh itu Susilo dan Kabinet barunya perlu memikirkan kaedah yang sesuai bagi mengelakkan media massanya daripada terus bertindak sebagai “polis, mahkamah bahkan menjadi presiden”.

Jika ia berterusan tidak akan ada lagi negara yang menghormati kepimpinan beliau khususnya dan Indonesia amnya.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

ISU LAGU NEGARAKU

Lagu Terang Bulan bukan pemberian Indonesia kepada Malaysia

SAYA merujuk kepada petikan berita dalam Utusan Malaysia, Sabtu 5 September 2009 di laman Luar Negara dengan judul Terang Bulan diberi kepada Malaysia.

Saya ingin menyanggah kenyataan bahawa lagu tersebut milik Indonesia yang kononnya diberikan dengan ihsan Bung Karno melalui Saiful Bahri.

Meski pun lagu itu popular di Indonesia suatu ketika dulu yang dijadikan lagu pembukaan persembahan bangsawan, ia bukan milik Indonesia.

Lagu tersebut telah diciplak dari lagu asal ciptaan ahli muzik Perancis bernama Pierrr Jean de Beranger (1780-1857).

Karya-karya Beranger digunakan oleh Napoleon Bonaparte sebagai lagu-lagu march band untuk kempen ketenteraannya.

Ketika Sultan Abdullah dibuang ke Pulau Seychelles pada tahun 1876-1892, saban petang baginda dan puterinya Tengku Mariam akan bersiar-siar di padang awam di Mahe, Seychelles.

Di tengah-tengah padang itu, ada wakaf tempat brass band memainkan lagu-lagu march. Salah satu lagu yang dimainkan itu dirakam dalam memori Tengku Mariam yang juga seorang pemain biola.

Apabila mereka kembali pada tahun 1892, lagu itu kemudian diangkat menjadi lagu negeri Perak yang kemudiannya dalam satu pertandingan memilih lagu Kebangsaan Persekutuan Malaya sempena hari kemerdekaan, lagu negeri Perak dengan senikata baru telah memenangi pertandingan tersebut. Bagi 26 juta rakyat Malaysia, lagu kebangsaan itu dikenali sebagai Negaraku bukan Terang Bulan.

Semoga dua bangsa serumpun tidak terus bergaduh soal-soal sebegini sedangkan lagu itu bukan milik kedua-dua bangsa. Indonesia terus menghidupkan propaganda lapuk zaman konfrontasi-PKI untuk menangani isu-isu sosio-politik masa kini. Berhentilah menjadi abang tiri yang mencemburui adik tirinya.

Cubalah membina hubungan baik antara kedua-dua negara dan hubungan akrab antara kedua-dua bangsa serumpun. Jangan lupa, yang menjadi bangsa serumpun mempunyai banyak persamaan atau pun kemiripan dalam aspek budaya dan sosial.

TERANG BULAN

Kuala Lumpur

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ANTOLOGI TEKS KOMSAS TINGKATAN 4 (2010) - HARGA REMAJA

Sumber : http://munsyibm.blogspot.com/

Berikut disertakan kandungan senarai genre yang termuat di dalam antologi Harga Remaja yang akan digunakan oleh murid Tingkatan 4 (2010):

KANDUNGAN ANTOLOGI HARGA REMAJA TINGKATAN 4

Genre

Judul Karya

Puisi Tradisional

Pantun Empat Kerat (Budi)

Pantun Empat Kerat (Jenaka & Sindiran)

Syair Definisi Orang Berakal

Syair Siti Sianah

Gurindam 12 Fasal yang Keenam

Seloka Emak Si Randang

Sajak

Harga Remaja

Di Perpustakaan

Mengintai Ruang Insaf

Mahsuri

Adat Sezaman

Tiba Waktunya

Prosa Tradisional

Pelayaran Yang Penuh Peristiwa

Merah Silu

Hikayat Indera Nata

Hikayat Khoja Maimun

Cerpen

Ibu dan Ceper

Memori Seorang Tua

Israk

Pemain Catur

Mellisa

Biarkan Samudera

Drama

Gelanggang Tuk Wali

Forum Remaja 2020

Cempaka Berdarah

Khamis, 10 September 2009

ISU HUBUNGAN DUA HALA MALAYSIA - INDONESIA

Pelajar kita dihamun

Oleh Hardi Effendi Yaacob, Mohd Anwar Patho Rohman dan Haspaizi Mohd Zain
bhnews@bharian.com.my

Rakyat Malaysia tukar penampilan di Jakarta; Pelancong batal lawatan ke Indonesia;

KUALA LUMPUR: Gerakan 'Sapu Malaysia' yang dilancarkan sekumpulan ekstremis di Indonesia mula memberi kesan terhadap industri pelancongan apabila banyak tempahan lawatan ke republik itu dibatalkan.

Malah, rakyat Malaysia terutama pelajar di republik itu juga mengakui keadaan di Jakarta masih tidak menentu berikutan isu penggunaan 'Tarian Pendet', sejenis tarian tradisional Kepulauan Bali dalam promosi pelancongan Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif EastQabillah Travel & Tours Sdn Bhd, Fadzil Abdullah, berkata biarpun masih terlalu awal untuk membuat rumusan berhubung isu itu, namun banyak tempahan yang dibuat dengan syarikatnya sempena cuti sekolah akhir tahun ini sudah dibatalkan.

"Kita mula merasai kesannya apabila ada pelanggan membatalkan tempahan atau mengubah destinasi pelancongan yang dianggap lebih selamat seperti Padang dan Medan," katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini.

Di Jakarta, rakyat Malaysia, terutama pelajar terpaksa mengubah penampilan diri supaya tidak menampakkan identiti rakyat negara ini kerana bimbang dicederakan kumpulan anti-Malaysia itu yang terlalu taksub dengan isu 'Tarian Pendet'.

Pelajar Universiti Kristen Krida Wacana (Ukrida), Raihana Asila A Kadir, berkata berikutan kontroversi itu, pelajar perempuan tidak lagi memakai baju kurung dan bertudung ala-Malaysia ketika keluar ke bandar.

"Kami tidak lagi berani berjalan seorang diri untuk ke sesuatu tempat, termasuk pusat beli-belah di bandar. Terasa banyak sangat mata memerhati kami dengan pandangan sinis, seolah-olah tidak berpuas hati. Malah, kami turut dimaki hamun dan dilempar pelbagai kata kesat," katanya ketika dihubungi di Jakarta, semalam.

Selasa lalu, Kumpulan Anti-Malaysia (KAM) mengadakan sekatan jalan raya dan membawa buluh runcing untuk mengugut rakyat Malaysia di Jalan Diponegoro, Jakarta.

Penyelaras KAM, Muchtar Bonaventura, dilaporkan berkata tindakan itu sebagai amaran kepada Malaysia supaya tidak memberi layanan buruk kepada rakyat Indonesia atau mendakwa elemen budaya republik itu sebagai miliknya.

Beliau juga merancang untuk meluaskan operasi kumpulan itu dan menjadikan pejabat dan rumah milik rakyat Malaysia sebagai sasaran.

Seorang lagi pelajar Malaysia di Ukrida, Ahmad Akmal, berkata suasana agak tegang berikutan demonstrasi jalanan oleh kumpulan berkenaan yang menyokong kempen 'Sapu Malaysia'.

Sumber : http: //www.bharian.com.my/

ISU ALAM SEKITAR

Kelestarian, inovasi atasi krisis ekonomi

Oleh Dr Zaini Ujang

KENAPA pelestarian menjadi kunci inovasi? Demikian persoalan pokok dibahaskan dalam majalah terkini Harvard Business Review (HBR) edisi September 2009. Persoalan itu dikemukakan dalam konteks ekonomi dunia belum pulih daripada krisis yang bermula dengan kemelut kewangan di Amerika Syarikat. Hujah penulis ialah pelestarian (sustainability) menjadi keperluan sejagat bukan saja untuk memastikan alam sekitar terpulihara, bahkan membolehkan pertumbuhan ekonomi lebih stabil dan sesuai dengan keperluan asasi manusia.

Sebelum ini, pihak industri dan ahli ekonomi berpendirian bahawa kerangka dan dasar pelestarian akan meningkatkan kos. Itulah sebabnya keprihatinan dan komitmen dijustifikasi untuk memenuhi keperluan perundangan supaya tidak mencemarkan alam sekitar, atau sekadar bentuk komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) semata-mata. Dengan kata lain, faktor pelestarian bersifat pinggiran dan bukan struktural.

Namun, krisis ekonomi dunia ketika ini mengubah persepsi industri dan penggubal ekonomi terhadap makna dan kepentingan pelestarian. Hal ini menyerlah dengan menyedari kemelut kewangan di Amerika Syarikat berpunca, antaranya sifat tamak mementingkan keuntungan kewangan jangka pendek, tidak bersifat lestari yang hanya menguntungkan kelompok tertentu tanpa mengambil kira kepentingan orang ramai, apatah lagi alam sekitar dan sejagat.

Selain itu, minda lestari semakin berkembang di kalangan komuniti profesional termasuk pusat pengajian ternama, seperti Harvard, MIT dan Oxford. Banyak inisiatif pelestarian dimulakan untuk menilai semula asas dan kerangka kerja dasar sedia ada.

Baru-baru ini Universiti Harvard misalnya melantik John Briscoe, sebagai Profesor dalam Amalan Kejuruteraan Alam Sekitar di Sekolah Pengajian Kejuruteraan dan Sains Gunaan untuk memulakan Harvard Water Security Initiative (HWSI). Profesor Briscoe ialah bekas penasihat kanan Bank Dunia dan penulis buku 'Water Sector Strategy' dijangka berperanan menyediakan asas pemikiran dan strategi membolehkan sektor air dimajukan secara lestari.

Menurut Adi Ignatius, Editor HBR, corak sama setiap kali berlaku krisis ekonomi: pertumbuhan ekonomi perlahan, pengangguran meningkat dan kerajaan akan mengubah kadar faedah serta menyediakan pakej rangsangan untuk memacu ekonomi. Tetapi setiap kemelut ekonomi ada kejutan. Dan kejutan kali ini ialah inisiatif pelestarian atau ekonomi hijau.

Syarikat peruncitan terbesar Wal-Mart mengumumkan sistem penarafan pelestarian untuk memastikan sebuah produk jualannya bersifat mesra alam pada Julai lalu. Saingannya seperti Tesco dan Target dijangka akan memulakan inisiatif sama. Sementara kerajaan China mengumumkan bajet 210 bilion yuan untuk pakej rangsangan dalam pembangunan lestari.

Hakikatnya, krisis ekonomi kali ini menyediakan peluang strategik untuk menjadikan pelestarian sebagai teras pertumbuhan ekonomi menerusi nilai tinggi dijana kreativiti dan inovasi. Selain sektor pertanian dan pembuatan, inisatif pelestarian juga semakin menyerlah dalam pembangunan teknologi dan pembinaan. Di Malaysia, 'indeks bangunan hijau' baru saja dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Julai lalu.

Ketika ini label 'hijau' di negara maju seolah-olah sama konotasinya dengan 'halal' bagi orang Islam. Itu sebabnya sektor yang selama ini tidak begitu sinonim dengan pelestarian juga sudah berubah seperti teknologi maklumat dan telekomunikasi (ICT). Inisiatif pelestarian dalam perkakasan komputer berkembang pesat, termasuk penyelidikan dan pembangunan untuk membolehkan komponen komputer tidak mencemar alam sekitar, boleh diguna semula dan tidak menjejaskan kesihatan pengguna.

Kunci kejayaan dalam merangka dasar ekonomi lestari tidak hanya bersifat pulangan yang boleh dilihat menerusi data dan laporan statistik ekonomi. Hemat saya, ia terletak kepada keupayaan membentuk budaya, nilai dan masyarakat mesra alam. Petunjuk kejayaan tidak hanya pada kejayaan penguatkuasaan undang-undang. Petunjuk itu juga perlu dilihat dari segi keupayaan menyediakan iklim sesuai bagi mengalakkan kreativiti dan inovasi yang memberi impak kepada sistem ekonomi dan komitmen komuniti korporat.

Sejak 1970-an, paradigma pengurusan alam sekitar menjurus kepada penguatkuasaan undang-undang alam sekitar. Namun demikian, tindakan itu tidak mungkin berjaya tanpa pembudayaan dan penghayatan nilai mesra alam di kalangan seluruh lapisan masyarakat. Seandainya gagal, berlakulah fenomena 'polis dan penjenayah': Pihak berkuasa terpaksa mengawasi kegiatan pihak yang berpotensi mencemar alam sekitar. Sementara pihak satu lagi mencari peluang mencemar alam sekitar disebabkan kononnya faktor peningkatan kos dan kekurangan kepakaran.

Menyedari kelemahan paradigma yang terlalu sarat perundangan itu, maka satu kerangka baru dikemukakan dengan menyediakan peluang perniagaan 'mesra alam' pada dekad 1990-an. Dan kini, pelestarian dan mesra alam menjadi survival, bukan lagi pilihan untuk memacu ekonomi.

Bagi sektor korporat, survival untuk memastikan perkhidmatan dan produk mesra alam tidak menambah parah impak alam sekitar menerusi peningkatan suhu bumi. Bagi kerajaan, survival untuk membolehkan pembangunan lestari mengambil kira seluruh aspek dan lapisan masyarakat, termasuk sumber asli dan tenaga. Dan bagi individu, pelestarian adalah survival kerana itulah fitrah insaniah.

Penulis ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia yang sedang berkursus di Harvard Business School, Amerika Syarikat

Sumber : http : //www.bharian.com.my