Ahad, 13 September 2009

Sedia kit H1N1 ketika raya

Oleh Sazarina Shahrim
sazarina@bharian.com.my

Elak jangkitan wabak pada Aidilfitri

KUALA LUMPUR: Bimbang dengan kemungkinan Influenza A (H1N1) merebak pantas ke seluruh negara berikutan pergerakan besar-besaran rakyat ketika cuti Aidilfitri hujung minggu ini, orang ramai disaran membawa bersama kit pencegahan H1N1 sepanjang masa dan ke mana saja mereka pergi.

Mereka yang akan pulang berhari raya di kampung halaman atau bercuti sempena cuti panjang Aidilfitri minggu depan juga diminta menjaga kebersihan diri dan sentiasa peka terhadap tanda-tanda kemungkinan dijangkiti penyakit itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata kit mengandungi topeng mulut dan hidung, tisu serta pencuci tangan antikuman yang tidak perlu dibilas boleh disediakan sendiri atau dibeli di farmasi.

"Ia perlu dianggap sebagai barang perlu dimiliki oleh semua yang bercadang balik kampung sama ada menggunakan kenderaan sendiri atau perkhidmatan awam.

"Kit H1N1 boleh disediakan sendiri dan perlu sentiasa dibawa. Hanya perlu ada tiga komponen untuk melengkapkan kit itu yang mempunyai pencuci tangan antikuman, topeng penutup mulut serta hidung dan tisu," katanya semalam.

Orang ramai juga disaran mengehadkan pertemuan dan pergaulan ketika bercuti dan menggunakan topeng serta kerap mencuci tangan.

Selain itu, orang ramai yang mempunyai gejala selesema serta berisiko dihinggapi jangkitan disaran menggunakan pengangkutan sendiri untuk pulang ke kampung.

"Namun, jika terpaksa menggunakan pengangkutan awam, mereka perlu memakai penutup hidung serta mulut bermula dari saat menunggu di kawasan terminal sehingga berlepas, selain mengamalkan kebersihan tangan sepanjang masa," katanya.

Dr Mohd Ismail berkata, pengendali pengangkutan awam dinasihatkan menyediakan tong sampah bertutup dan pencuci tangan antikuman bagi mengelakkan jangkitan.

Katanya, penumpang kenderaan awam, terutama bas perlu memastikan kertas tisu muka yang sudah digunakan dibuang dalam tong sampah yang ditutup.

"Langkah pencegahan ini perlu dilakukan sepanjang berada di kampung. Jika mengalami tanda-tanda seperti selesema atau batuk, elakkan berada terlalu hampir dengan anggota keluarga.

"Selain itu, jika boleh elak daripada menghadiri majlis rumah terbuka atau kenduri dan berada di tempat yang sesak. Bagaimanapun, jika perlu menghadirinya, sentiasa memakai topeng penutup hidung serta mulut," katanya.

Beliau juga mengingatkan mereka yang sihat dan tidak ada simptom Influenza Like Illness (ILI) mengambil langkah berjaga-jaga dengan meneruskan amalan mencuci tangan setiap kali ingin menjamah makanan atau selepas bersalaman.

Sementara itu, Dr Mohd Ismail berkata, tiada kematian baru akibat H1N1 dilaporkan semalam, menjadikan jumlah kes kematian kekal 74 orang.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

18 barang kawalan


Ismail Sabri Yaakob (dua dari kanan) mencuba kebolehannya memotong ikan pari ketika membuat lawatan di Pasar Sehari Temerloh, semalam.


TEMERLOH 13 Sept. - Sebanyak 18 jenis barangan disenaraikan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya tahun ini bermula hari ini sehingga 27 September.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu bertujuan membendung tindakan mencatu barangan keperluan oleh para peniaga yang tidak beretika semasa musim perayaan.

Beliau bagaimanapun berkata, peniaga perlu mendapatkan lesen menjual barang-barang kawalan yang dikeluarkan secara percuma daripada mana-mana cawangan kementerian.

"Sehingga ini sebanyak 15,057 lesen seumpama itu telah dikeluarkan kepada peniaga di seluruh negara,'' katanya kepada pemberita selepas meninjau harga barangan di pekan sehari Temerloh di sini hari ini.

Antara barang yang disenaraikan adalah ayam hidup, ayam standard, ayam super, daging lembu tempatan, daging kerbau import India, telur ayam gred A, telur ayam gred B, telur ayam gred C, kobis bulat import dari Indonesia dan China.

Turut disenaraikan cili merah, tomato, kelapa biji, kelapa parut, ubi kentang import dari Indonesia dan China, kacang tanah import, bawang merah kecil India, bawang putih China dan ikan Kembung.

Ismail Sabri menjelaskan, bekalan barang-barang keperluan untuk hari raya tahun ini mencukupi berikutan jaminan pembekal dan pemborong untuk mengadakan bekalan yang secukupnya.

"Kebiasaannya orang ramai akan membeli barang-barang keperluan itu secara banyak seminggu sebelum hari raya,'' katanya.

Oleh itu kata beliau, seramai 2,000 pegawai penguat kuasa kementerian juga telah diarah supaya meningkatkan pemeriksaan dan pemantauan bagi memastikan peniaga tidak menaikkan harga barang.

Beliau juga meminta orang ramai supaya melaporkan kepada mana-mana cawangan penguat kuasa di seluruh negara dengan mengunakan talian tol bebas 1-800-886-800 atau e-aduan@kpdnkk.gov.my jika mendapati ada peniaga yang menaikkan harga barang tersebut untuk diambil tindakan.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Fenomena serba baru sambut Hari Raya

Oleh MOHAMMAD ISMAIL

TINGGAL beberapa hari lagi umat Islam akan menyambut kedatangan Aidil Fitri sebagai tanda kemenangan mengharungi puasa di bulan Ramadan. Sekarang masa paling sibuk dan kemuncak bagi kebanyakan kita membuat persiapan menjelang Hari Raya.

Dalam kepala masing-masing seboleh-bolehnya ingin memastikan semuanya baru, dari segi pakaian, perabot, langsir, kereta dan sebagainya.

Pendek kata kalau boleh dari kaki sampailah ke kepala semuanya ingin ditukar kepada yang baru. 10 malam yang terakhir sepatutnya masjid-masjid dipenuhi dan diperbanyakkan amal ibadat tetapi cuba kita tinjau di kompleks membeli-belah, pasar raya-pasar raya setiap hari dipenuhi oleh umat Islam untuk persiapan Hari Raya.

Ibu-ibu di rumah pula sibuk menyiapkan biskut raya dan mengukur langsir untuk dipasang dengan yang baru. Lebih mendukacitakan apabila sofa, perabut yang dah ada dan masih elok pun ingin ditukar asalkan semuanya mesti baru. Bak kata pepatah membesarkan kerak nasi iaitu menambah atau membeli sesuatu yang tidak perlu.

Bagi mereka yang berkemampuan, mereka akan menggunakan 'kuasa poket' dan 'kuasa tunjuk' untuk membeli apa sahaja demi untuk memuaskan nafsu berbelanja.

Lebih membimbangkan jika ada yang sanggup berhutang, bergolok bergadai dan yang paling menakutkan jika ada yang sanggup menghulurkan salam Aidilfitri pada ahlong demi untuk memastikan kelengkapan rumah dan pakaian menjadi baru.

Terdapat juga yang mengambil pertimbangan munasabah dengan ansuran mudharabah. Walaupun nampak mudah dibayar secara ansur-ansur tetapi kita sebenarnya terbeban secara ansur-ansur. Janganlah sampai kita berbelanja melebihi kemampuan, ukurlah baju mengikut saiz badan sendiri bukannya mengikut saiz kawan-kawan atau jiran-jiran.

Pada saat inilah kebanyakan iklan akan memainkan peranan mereka dengan pelbagai tawaran diskaun untuk memancing pengguna supaya berbelanja.

Tidak kurang juga ada syarikat yang menawarkan guna dulu, bayar kemudian, ini telah menaikkan lagi nafsu berbelanja di kalangan masyarakat dan ternyata kebanyakan kita tewas dengan pujukan tersebut.

Tanpa kita sedari bahawa Ramadan sebenarnya mengajar dan mendidik kita untuk mengawal nafsu, bukan setakat nafsu makan dan batin tetapi juga nafsu berbelanja atau lebih tepat lagi pembaziran.

Ramadan juga mendidik kita agar berjimat cermat dan tidak boros dalam berbelanja sehingga melakukan pembaziran. Mungkin ramai yang menganggap Hari Raya hanya setahun sekali maka kita perlu membeli apa sahaja, itu adalah fahaman salah tentang Hari Raya bahkan sebulan Ramadan sebenarnya adalah bekalan untuk mengharungi hidup dalam bulan-bulan seterusnya agar berbelanja secara berhemah dan berjimat cermat.

Islam tidak menggalakkan umatnya membazir dan berlebihan-lebihan malahan kesederhanaan amat dituntut.

Kita perlu memahami hakikat bahawa menyambut Aidilfitri bukanlah bermakna semuanya mesti ditukar menjadi baru. Cukuplah sekadar membeli baju sepasang dua sahaja bukannya membeli pakaian untuk dipakai di Hari Raya pertama warna dan pakaiannya lain, Hari Raya kedua lain fesyennya, Hari Raya ketiga pula semakin bergaya dan seterusnya.

Malahan baju untuk rumah terbuka pun dibeli beberapa pasang untuk memastikan rakan-rakan menyedari bahawa kita memiliki baju baru. Rasulullah SAW menggalakkan umatnya untuk berpakaian baru dan cantik pada Hari Raya tetapi tidaklah sampai sehingga melakukan pembaziran dan berhutang.

Fenomena untuk menukar kepada serba baru secara berlebihan ini telah lama sebati dalam kebanyakan masyarakat kita dan tanpa disedari kita telah melanggar etika nilai-nilai murni yang ditetapkan dalam Islam tentang pembaziran atau boros berbelanja. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada perintah tuhannya." (Surah al-Isra', ayat 27).

Ayat tersebut jelas memberi gambaran kepada kita tentang pembaziran adalah sesuatu yang patut dijauhi dan ditinggalkan oleh kita umat Islam.

Dalam mengharungi bulan yang penuh keberkatan ini, janganlah kita lupa kepada mereka yang kurang berkemampuan. Kita digalakkan bersedekah kerana kekayaan dan kesenangan bukanlah milik kita tetapi kurniaan daripada Allah SWT. Adalah menjadi tanggungjawab golongan yang berada untuk membantu yang miskin.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Mereka (yang diredai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tidak terlalu berlebihan dan tidak pula bakhil (kedekut); dan adalah (perbelanjaan yang baik itu) di antara kedua-duanya (boros dan bakhil)." (Surah al-Furqan,ayat 67).

Justeru, jadikan Ramadan dan Aidilfitri kali ini sebagai satu titik permulaan untuk perubahan dalam diri masing-masing agar menjauhi daripada sifat-sifat membazir dan bakhil. Gunakanlah kesempatan Ramadan yang tinggal ini untuk kita menuai keberkatan dan pahala yang ada untuk bekalan di hari akhirat.

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis.

Sumber : http: //www.utusan.com.my/

Sabtu, 12 September 2009

Keperluan wajib sebelum balik kampung

Oleh Kamal Affandi Hashim

Kaedah terbaik maklumkan kepada balai polis berhampiran agar premis dapat dipantau

Setiap kali musim perayaan, ramai mula 'tersedar' keperluan memastikan rumah dan harta benda yang bakal ditinggalkan di dalamnya dalam keadaan selamat. Ada yang sudah mula mencongak bajet membayar perkhidmatan kawalan keselamatan statik daripada pihak ketiga. Ada pula yang sudah merangka jadual penggiliran tugas berjaga minggu pertama Aidilfitri. Bahkan, ada pula yang terpaksa menjadi pengawas rasmi atau wajib rumah jiran semata-mata kerana tidak pulang ke kampung pada tahun ini!

Sebenarnya, prinsip pengurusan risiko adalah seperti berikut:

a) Mengelak risiko

b) Memecahkan risiko

c) Mengalihkan risiko

d) Menyubahati risiko

e) Mengandaikan risiko

Sama ada seseorang tinggal di rumah banglo, teres atau pangsapuri sekalipun, semuanya tetap tertakluk kepada kaedah sama. Bahkan, memang benar kata orang saiz tidak penting. Tidak kira besar atau kecil saiz sesebuah premis itu, kaedah pecah masuk sama yakni melalui tingkap, pintu atau bumbung.

Pintu

Apa yang perlu dilakukan kita ialah memastikan jalan masuk/keluar ini dapat membantu mengelak risiko pecah masuk di samping diperkukuh untuk menghindar harta benda daripada dicuri atau dilarikan. Cuba perhatikan daun pintu ini dari sebelah luar mahupun dalam dan lihat keadaan tombol dan engselnya.

Sekiranya posisi anda adalah di luar rumah dan untuk membuka pintu perlu ditolak ke dalam, anda hanya perlu memeriksa/mengukuhkan telinga gril (dengan membuat kimpalan lipan) dan juga memasang kunci tambahan pada daun pintu dari jenis dead-bolt saja. Itu saja keperluannya dan pintu anda sudah dinaiktarafkan darjah kekebalannya!

Keadaan sebaliknya bagi pintu jenis yang ditarik ke luar untuk membukanya. Sebenarnya pintu anda tidak kukuh kerana sudah dipasang terbalik! Ini kerana bahagian kerjanya seperti engsel dan mekanisme kunci terdedah dan boleh dimanipulasi dengan mudah. Anda perlu menukar tombol itu kepada yang lebih baik (mahal), menambah dead bolt lock, selak di bahagian atas dan bawah daun pintu serta barangkali tidak balik kampung pada raya ini!

Pada masa sama, gril yang ada di sebelah dalam itu juga perlu dikemaskini dengan menambah selak di atas dan di bawahnya. Posisi selak ini pula bukan di penjuru, se-baliknya di tengah-tengah bagi mengelirukan bakal penjenayah yang bercadang memecah masuk selepas berjaya membuka pintu yang anda tidak mahu kukuhkan tadi!

Bagi pintu gelungsur atau sliding door, ada yang masih menggunakan batang kayu penyapu yang diletak di atas landasannya. Ini kaedah yang lazim digunapakai oleh hampir semua penghuni rumah. Keburukannya hanya tiga; pintu masih boleh dibuka dengan mengangkat saja panel gelungsur itu, batang kayu terpaksa disorok bila ada tetamu datang dan sakit pinggang kerana banyak membongkok!

Cara paling mudah, murah dan lebih berkesan yakni sekitar RM25 ialah dengan membeli kunci khas pintu gelungsur di kedai perkakasan DIY. Jika bajet anda hanya RM5, usah khuatir kerana anda masih boleh membeli selak dan memasangnya di setiap bingkai panel pintu gelungsur ini.

Tingkap

Jenis tingkap yang paling popular ialah panel kaca bersusun atau lebih dikenali sebagai Naco (sebutan; nako). Ia dilengkapi dengan bar besi dan didatangkan dengan set bingkai lengkap. Hanya perlu pilih jenis kaca hendak diguna dan panjangnya saja. Kelemahan Naco cuma ia boleh dimanipulasi dari luar tanpa perlu membuka cermin satu persatu seperti tanggapan umum.

Tidak banyak yang perlu anda lakukan bagi tujuan memastikan ia tidak dapat dibuka dari luar. Anda cuma perlukan sedikit masa, pemulas skru dan sebatang skru saja. Sebelum meninggalkan rumah, skru betul-betul di bahagian bawah pemegang tuas pembuka itu. Tinggalkan sedikit kepala skru tadi di paras tuas pembuka. Tujuannya untuk mematikan tuas pembuka tadi. Dengan cara itu, ia tidak dapat langsung dibuka dari luar.

Bumbung

Bagi yang memiliki bumbung dan atap, kebimbangan ialah apabila kemasukan dilakukan melalui jalan ini. Apatah lagi yang tinggal di rumah teres berkembar dan kawasan perumahan baru, ia adalah mimpi ngeri tuan rumah. Sebelum tidur asyik lihat ke siling rumah dan terpaksa membayangkan pelbagai senario menakutkan? Kebetulan pula kebanyakan bukaan lubang akses siling ialah di bilik tidur utama!

Ya, benar ada kes pecah rumah yang berlaku yang mana penjenayah turun ala Spiderman melalui siling. Tetapi yang pasti, mereka akan membuka sekeping panel akses ke siling itu sebelum turun/naik melaluinya. Belum ada yang memecahkan bahagian lain siling rumah untuk turun.

Selain daripada sistem penggera moden, anda boleh meletakkan perangkap tikus jenis spring di beberapa tempat di dalam siling rumah. Ini dapat membantu dalam banyak cara. Sekiranya terpijak atau terpegang ketika penjenayah merangkak dalam gelap, prapp!!, barang sudah tentu cap jari dan bukti DNAnya melekat di situ!

(Ada kenalan saya meletakkan papan berpaku di merata tempat di dalam silingnya). Jangan lupa pastikan pintu bilik yang ada bukaan siling ini ditutup sepenuhnya apabila meninggalkan rumah nanti. Jika tidak ditutup, ia berupaya membantu penjenayah turun/naik nanti. Pada masa sama, tambah dead bolt lock supaya ia langsung tidak dapat dibuka kecuali dengan kunci.

Perkara lain

Perlindungan insurans adalah antara kaedah memindahkan risiko. Bayar premium dan harta anda terjamin sekiranya dicuri dalam kejadian jenayah.

Di samping itu, maklumkan jiran dan kenalan jangkaan tarikh anda pulang ke kampung dan kembali semula ke kediaman. Kalau premis anda sebuah kedai, jangan tampal notis tarikh dan dijangka tutup!.

Apabila selesai sambutan dan sebaik saja sampai semula di kediaman, jangan ulangi kesilapan orang lain. Ramai yang terus saja keluar dari kenderaan dan berebut-rebut masuk ke dalam rumah. Ini bahaya kerana manalah tahu kalau-kalau pada masa itu ada penjenayah di dalam rumah. Parah dibuatnya!

Yang penting, bapa akan keluar dari kenderaan terlebih dulu, masuk rumah, buka lampu dan buat pemeriksaan pintu belakang, bilik atas dan semuanya sebelum membenarkan anak-anak masuk.

Sempena dengan cuti perayaan, kita bernasib baik kerana polis kita berbanding kepolisan negara lain sentiasa menganjurkan Kempen Rumah Selamat Ketika Bercuti. Anda mungkin tidak tahu bahawa dalam 10 tahun program ini dilaksanakan, semua rumah yang berdaftar pada tempoh kempen ini masih mempunyai rekod cemerlang iaitu sifar peratus pecah!

Elok rasanya anda menghubungi balai polis terdekat dan mengisi borang yang disediakan. Apatah lagi perkhidmatan ini percuma. Di samping jimat, ia juga boleh memberikan ketenangan minda apabila pulang ke kampung halaman hujung minggu ini.

Penulis adalah penganalisis jenayah.

Sumber : http: //www.bharian.com.my/

Latar Belakang Ringkas Parlimen Malaysia

Oleh Cik Rashidah Abd Ghani

Sempena Dengan Ulangtahun Ke-50 Parlimen Malaysia

KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Selepas 52 tahun merdeka, sistem demokrasi berparlimen di Malaysia dan institusi-institusi demokrasinya kekal agung.

Badan perundangan yang berasaskan kepada Westminster di Britain diterima oleh Malaysia selepas mencapai kemerdekaan daripada Britain pada 1957 dan merupakan institusi penting bagi Demokrasi Berparlimen dengan Raja Berpelembagaan sebagai pemimpin tertinggi.

Rakyat Malaysia patut bersyukur kerana Malaysia kekal sebagai negara demokratik sejak merdeka sedangkan banyak daripada negara telah beralih kepada pemerintahan tentera atau diktator.

Walaupun prinsip demokrasi negara pernah tercabar tetapi secara keseluruhannya demokrasi serta institusi-institusinya masih berperanan penting di Malaysia.

Antara institusi yang mendaulatkan demokrasi di Malaysia ialah Parlimen, yang terdiri daripada Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Parlimen merupakan tempat di mana undang-undang negara dirumus, dibahas dan diluluskan demi manfaat negara dan rakyatnya. Parlimen mewakili suara rakyat, intipati penting demokrasi.

SEJARAH BANGUNAN PARLIMEN

Pada bulan Disember 1959, satu kawasan berhampiran Taman Bunga Kuala Lumpur dipilih sebagai tapak kompleks bangunan Parlimen.

Menurut laman web rasmi Parlimen, ilham untuk membina kompleks bangunan Parlimen datangnya daripada Ketua Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Bangunan yang menjadi simbol demokrasi di negara ini melibatkan kos RM18 juta.

Yang di-Pertuan Agong ketiga Tuanku Syed Putra Al-Haj Ibni Al-Marhum Syed Hassan Jamalullail telah berkenan melakukan peletakan batu asas.

BANGUNAN UTAMA

Kompleks bangunan parlimen ini terbahagi kepada bangunan utama tiga tingkat dan menara yang mempunyai 17 tingkat.

Ia dirasmikan oleh Tuanku Syed Putra pada 21 Nov 1963.

Bangunan utama tiga tingkat itu menempatkan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Di tingkat pertama terdapat kantin, bilik wartawan dan bilik jamuan anggota Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Reka bentuk Dewan Negara hampir serupa dengan Dewan Rakyat tetapi ruangnya kecil sedikit. Bagaimanapun Dewan Negara mempunyai keistimewaan tersendiri. Jendela-jendelanya lutsinar dengan corak Islam asli daripada mozek merah dan biru.

Di tingkat bawah bangunan ini pula terletak bilik rehat diraja, sebuah surau bulat yang boleh memuatkan 100 jemaah dan sebuah dewan jamuan besar yang boleh memuatkan 500 orang.

Di tingkat kedua terbahagi kepada dua anjung. Anjung kiri terdapat dua buah bilik jawatankuasa yang besar (boleh memuatkan 30 orang), empat bilik kecil (muat 12 orang), pejabat dan tempat rehat bagi para pegawai kerajaan serta bilik Persatuan Parlimen Komanwel.

Di anjung kanan pula terdapat dua bilik makan, satu bilik khusus untuk ahli Parlimen dan yang lainnya untuk tetamu serta pegawai kerajaan. Ruang dapur terletak di antara dua bilik makan ini. Dapur ini mampu menyediakan makanan bagi 1,000 orang tetamu dalam satu masa. Bahagian tengah tingkat kedua ini dipayungi oleh bumbung Dewan Rakyat. Ia dijadikan Taman Sari iaitu tempat anggota Parlimen berehat semasa persidangan.

MENARA

Menara setinggi 17 tingkat ini terletak di hadapan bangunan utama. Ia bersambung ke bangunan utama melalui sebuah jambatan dan di dalamnya ditempatkan pejabat para menteri dan anggota Parlimen yang lengkap dengan segala kemudahan seperti kerusi meja dan pembesar suara.

Di tingkat dua menara ini terdapat ruang tempat duduk dengan pemandangannya ke arah padang perbarisan di mana acara sambutan rasmi Parlimen diadakan.

Di tingkat 16 pula terdapat ruang lapang untuk menikmati keindahan pemandangan sekeliling kawasan Parlimen. Di menara inilah majlis-majlis tidak rasmi diadakan.

KEISTIMEWAAN

Tahukah anda berapa banyak batu-bata yang digunakan untuk membina kompleks Parlimen?

Menurut laman web rasmi Parlimen, lebih daripada sejuta batu-bata, 2,000 tan besi waja, 54,000 tan konkrit, 200,000 kampit simen dan 3,000 tan kaca telah digunakan untuk pembinaannya.

Keseluruhan bangunan Parlimen ditutup dengan kaca yang boleh menyerap haba dan cahaya.

Bagi menghalang sinaran cahaya matahari itu, seluruh bangunan ditutup dengan terawang berukir diperbuat daripada konkrit. Terawang berbentuk sarang lebah itu dipasang bahagian demi bahagian dan ini menyerlahkan lagi kehebatan bangunan ini.

Sementara itu, sistem pembahagian air yang membekalkan air kolam dan pancurannya merupakan satu lagi ciri keistimewaan bangunan Parlimen yang mana air akan mengalir melalui dua sistem yang berangkai.

Air berwarna biru, yang berfungsi untuk menghindarkan lumut dan lumpur, bermula di bahagian bumbung bangunan membawa ke seluruh kompleks.

Selain daripada keistimewaan pada bangunannya, kompleks Parlimen turut dihiasi dengan pelbagai jenis tumbuhan dan binatang peliharaan.

Antara pokok yang ditanam sekitar kawasan Parlimen ialah pokok berlian, mata kucing, berangan, nam-nam, selarat dan tamar, yang diimport khas dari Arab Saudi.

Bersebelahan kawasan kompleks Parlimen terdapat kawasan lapang yang dijadikan Taman Rusa.

Parlimen sekarang ini sudah masuk penggal ke-12.

-- BERNAMA

Sebatian Kimia Dan Keunikan Semut




SEKALI pandang, semut adalah sejenis makhluk kecil yang tidak memberikan apa-apa manfaat dalam kehidupan manusia.

Namun begitu, makhluk kecil ini mendapat perhatian istimewa dalam agama Islam sehinggakan di dalam kitab suci Al Quran sendiri ada suatu surah khas yang dinamakan semut iaitu Surah al-Naml.

Kehidupan semut juga agak unik. Bayangkan bagaimana beribu-ribu ekor semut di dalam koloni mereka dapat mengenali antara satu sama lain.

Pernahkah kita memerhatikan pergerakan semut sewaktu ia berjalan dan berjumpa semut lain.

Semut-semut seakan-akan bercium atau bersentuhan antara satu sama lain. Seolah-olah mereka kenal antara satu dengan yang lain di dalam sebuah kumpulan semut yang berjumlah puluhan ribu pada satu-satu masa.

Ahli kimia dan biologi telah bergabung untuk merungkai misteri dan rahsia di sebalik keunikan serangga jenis semut ini yang tidak dipecahkan sejak berabad-abad lamanya.

Saintis kimia dan biologi berusaha untuk menemukan sejenis sebatian kimia yang tersimpan di dalam jasad semut yang membolehkan mereka berinteraksi, kehidupan mereka yang tersusun, teratur, tekun dan juga berdisiplin dalam menjalankan kehidupan sebagai seekor semur di alam ini.

Saintis di Eropah dan Finland telah membuat kesimpulan awal bahawa sejenis semut yang dikenali sebagai Formica exsecta memiliki sebatian kimia campuran alkena dan komposisi setiap sebatian kimia jenis alkena tersebut adalah unik dan berbeza antara satu dengan yang lain.

Kajian awal tentang tingkah laku semut yang dijalankan menunjukkanbahawa, perubahan kecil yang dilakukan ke atas komposisi sebatian kimia yang dimiliki ooleh semut akan memberikan reaksi dan tingkah laku berbeza bagi setiap semut tersebut.

Menurut Stephen Martin dari Universiti Sheffield United Kingdom, mekanisme komunikasi dan interaksi antara beberapa koloni semut dalam kategori atau spesies yang berlainan adalah satu fenomena unik yang cuba dikaji oleh saintis.

Kumpulan penyelidik yang diketuai oleh beliau memulakan penelitian dengan melihat tingkahlaku semut-semut dari satu koloni yang sama dengan meletakkan telur-telur mereka di dalam sarang koloni semut yang lain.

Mereka ingin mengkaji mengapa situasi tersebut berlaku.

Selain itu, satu lagi fenomena yang cuba untuk difahami oleh saintis ialah tentang bagaimana semut-semut ini mampu mengenali ribuan semut lain di dalam sarang dan koloni mereka, namun akan mula bertindak agresif dan menyerang kumpulan semut yang datang dari koloni lain.

Hipotesis awal menunjukkan sebatian kimia yang ada pada semut ini mempengaruhi setiap tindak-tanduk semut.

Semut yang dipilih untuk kajian iniialah jenis Formica execta yang merupakan spesis terbaik untuk mengkaji komposisi kimia yang dimiliki oleh koloni semut bagi memecahkan rahsia komunikasi serangga ini menurut Profesor Stephen Martin.

Spesisi F.execta menghasilkan sebatian campuran kimia alkana dan alkena, dan untuk mengetahui rahsia ini semut merupakan serangga yang paling baik untuk tujuan tersebut.

Seorang lagi saintis kimia dari Universiti Keele, United Kingdom iaitu Profesor Falko Drijfthout menggunakan Gas Chromatography Mass Spectrometry untuk mempelajari profil alkena yang terhasil dari setiap koloni semut.

Dalam kajian beliau, Drijthouft menemui dalam satu koloni, profil alkena hampir sama dengan semua semut yang lain yang menunjukkan bahawa mereka menggunakan hanya alkena dan bukan alkana untuk melihat koloni musuh yang cuba menyusup masuk dalam koloni mereka.

Salah satu kaedah uji kaji yang dijalankan ialah dengan mencelup semut yang diambil dari satu koloni ke dalam bahan kimia heksana iaitu sejenis pelarut universal untuk memecahkan komposisi bau berasaskan alkena yang sedia ada pada badan semut tersebut.

Selepas dineutralkan menggunakan heksana, semut tadi kemudiannya direndam pula ke dalam alkena dan diletakkan semula ke dalam koloninya yang sama.

Dari pemerhatian pengkaji, semut tadi kemudiannya terus diserang oleh semut-semut lain walaupun ia datang dari kumpulan atau koloni yang sama.

Uji kaji lain pula dilakukan dengan menggunakan alkena-alkena jenis berlainan untuk koloni semut yang sama dan keputusanjelas menunjukkan sebatian kimia alkena yang berbeza akan membuatkan kumpulan semut ini tidak dapat mengenali ahli koloni mereka sesama sendiri.

Menurut Martin, penemuan awal, kajian ini adalah sangat penting bagi kumpulan saintis dalam mempelajari biologi dan kimia koloni serangga yang telah mengkaji tentang keunikan kehidupan semut.

Ia seolah-olah memberikan satu petanda atau kod-kod tertentu kepada semut dalam berkomunikasi dan interaksi sesama mereka.

Penemuan sebatian kimia jenis alkena di dalam semut mungkin boleh diaplikasikan dalam penciptaan teknologi terkini sistem pengecaman yang semakin hari semakin kompleks.

Teknologi sistem pengecaman manusia umpamanya menjadi semakin penting apabila saban hari kita dikejutkan dengan berita-berita penjenayah yang gagal dikesan dengan teknologi yang sedia ada.

Kemungkinan penyelidikan Profesor Stephen Martin dan Falko Drijftout tentang komposisi kimia di dalam serangga semut dapat dimanfaatkan untuk tujuan tersebut. Banyak kemungkinan yang boleh berlaku dalam dunia sains dan penyelidikan.

Penulis ialah Pegawai Sains di Institut Kejuruteraan Mikro dan Nanoelektronik (IMEN) Universiti Kebangsaan Malaysia.


Sumber : http://cyberita.asia1.com.sg/

Gandakan Amalan Pada 10 Malam Terakhir Ramadan

Antara amalan Nabi SAW apabila mendekati 10 malam terakhir Ramadan adalah:

i. Melakukan qiamullail;

ii. Menggerakkan keluarga untuk solat malam pada malam itu;

iii. Tidak mendatangi isteri (daripada melakukan jimak);

iv. Mandi antara Maghrib dan Isyak;

v. Iktikaf dalam masjid.

Aisyah meriwayatkan bahawa Nabi SAW sentiasa melakukan ibadat pada 10 yang terakhir Ramadan dengan cara yang tidak pernah dilakukan pada waktu selainnya. (Riwayat Muslim)

Dalam hadis ini nabi memberikan penumpuan khusus kepada malam terakhir Ramadan untuk merebut peluang mendapat lailatul qadar yang disifatkan Allah dalam ayat ke-3 surah al-Qadar sebagai: "Lailatulqadar lebih baik daripada 1,000 bulan."

Demikian pula dalam hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim, maksudnya: "Sesiapa mengerjakan ibadah pada lailatulqadar kerana imannya kepada Allah dan mengharapkan keredaan-Nya, diampunkan dosanya yang lalu".

Diriwayatkan al-Tabarani daripada Ali bahawa Nabi SAW mengejutkan keluarganya pada 10 hari terakhir di kalangan yang kecil dan besar dan yang dewasa yang mampu melakukan solat.

Dalam sesetengah riwayat apa yang sangat dituntut ke atas Muslim ialah menggerakkan keluarga pada malam ganjil seperti 21, 23, 25, 27 dan 29 kerana mengharapkan lailatulqadar. Pada malam pilihan seperti ini, Nabi SAW menurut riwayat Anas dan Aisyah, menjauhi hubungan suami isteri untuk berada di masjid bertujuan melakukan iktikaf sama ada mendirikan solat sunat, beristighfar dan sebagainya.

Persiapan Nabi SAW untuk menghadapi iktikaf juga harus kita contohi. Ibn Abi Ashim meriwayatkan daripada Abu Huzaifah Nabi SAW pernah mandi sebelum beriktikaf dengan dilindungi Abu Huzaifah. Kemudian Abu Huzaifah mandi dan Baginda menjadi dindingnya. Inilah sebabnya sahabat gemar mandi setiap malam antara Maghrib dan Isyak sebelum ke masjid untuk iktikaf.

Ulama Islam berbeza pandangan mengenai pelaksanaan qiamullail antara menghidupkan keseluruhan malam ataupun sebahagiannya saja. Abu Jakfar Muhammad Ali mengatakan Rasulullah menghidupkan sebahagian daripada malam, bukan sepanjang malam. Demikian juga Imam al-Syafi'iy dan amal ahli Madinah menyokong pendapat itu.

Ini berpandukan hadis riwayat Aisyah Nabi tidak pernah solat malam hingga ke Subuh tanpa berehat. Sesetengah ulama meringankan persoalan qiam sehingga mengatakan seseorang dianggap melakukan qiamullail disebabkan kesungguhannya bersolat jemaah Isyak dan Subuh. Ini berdasarkan riwayat dalam al-Muwatthak daripada Ibn Musayyib yang berkata, maksudnya: "Sesiapa yang menghadiri solat Isyak dengan berjemaah, sesungguhnya dia memperoleh bahagiannya daripada malam itu."

Dalam riwayat daripada Imam al-Syafi'iy menyatakan: "Sesiapa yang solat Isyak dan Subuh berjemaah, dia mengambil bahagiannya daripada bulan itu." Ibn Abi Dunya daripada Abu Jakfar Muhammad Ali meriwayatkan Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang datang kepadanya Ramadan, lalu dia berpuasa siangnya, solat Tarawih pada malamnya, menahan matanya daripada melihat perkara haram, menjaga kemaluannya, lidah dan tangannya dan sentiasa berusaha untuk solat berjemaah dan Jumaat, maka dia sudah memperoleh lailatulqadar dan pahala Allah SWT yang tidak ternilai harganya."

Ringkasnya sekurang-kurang usaha membangunkan malam ataupun qiamullail untuk mendapat kelebihan lailatulqadar ialah melakukan solat Isyak dan subuh berjemaah bagi lelaki.

Bagi wanita khasnya yang uzur kerana haid dan nifas, masih mampu memperoleh lailatulqadar dengan melakukan ketaatan seperti beristighfar, berzikir, berselawat, mempertingkatkan sedekah dan mengamalkan doa yang dianjurkan Nabi kepada Aisyah iaitu: "Ya Allah sesungguhnya Engkau adalah Tuhan yang maha pengampun, Engkau gemar memberikan keampunan, maka ampunkan aku."

Dalam tafsir Hasyiah al-Sawiy 'alal Jalalain, al-Sawi berkata, doa paling penting yang dituntut ke atas kita mengamalkannya adalah memohon keampunan dan keafiatan seperti disarankan Nabi SAW.

Dalam zikir, kita mengucapkan: "Tiada Tuhan melainkan Allah yang sangat besar kemurahan-Nya, lagi sangat pemurah. Maha suci Allah SWT, yang memiliki tujuh petala langit dan Tuhan yang memiliki Arasy yang maha agung (tiga kali), maka sesungguhnya dia sudah mendapatkan lailatul qadar."

Selain itu, sebagai tambahan bagi lelaki dan perempuan yang inginkan lailatulqadar terdapat amaran tegas daripada Nabi SAW seperti riwayat Ibn Abbas bermaksud: "Sesungguhnya Allah akan memerhatikan orang beriman daripada kalangan umat Nabi Muhammad, lalu dimaafkan bagi mereka dan dirahmati melainkan empat golongan iaitu peminum arak, penderhaka ibu bapa, orang selalu bertengkar dan orang memutuskan silaturahim."

Ustaz Zahazan Mohamad

Sumber : http: //www.bharian.com.my/