Isnin, 14 September 2009

Tiada kenikmatan, kemanisan ibadah tanpa ilmu

Dr Juanda Jaya

RAMADAN hampir berakhir, tahniah bagi mereka yang istiqamah menjaga ibadah dengan sempurna sebagaimana yang diteladani daripada sunnah Nabi SAW. Diucapkan dukacita kepada sesiapa yang cepat bosan dengan ibadahnya, tidak merasai kemanisan puasa, solat malam dan membaca al-Quran.

Mereka hanya menikmati keletihan saja. Mereka tidak mampu menyelami hakikat ibadah sedalam-dalamnya disebabkan kejahilan dan terhalangnya hati mendekati ilmu. Lalu hati cepat berpaling, jemu dan mencari kerehatan sepuas-puasnya sehingga tidak disangka ia menjadi lalai.

Tanpa ilmu ibadah tidak terasa nikmat, hati kurang menjiwai amal, akal menjadi jumud dan terikut-ikut suasana tanpa keyakinan. Ibadah yang dilakukan ala kadar dan tanpa asas ilmu akan cepat hilang kepanasannya, bagai manusia tiada roh dan mati jiwanya.


Oleh itu ramai beribadah tetapi masih mencari rezeki dengan menipu orang lain, memakan riba, dan rasuah. Tidak sedikit yang begitu teliti menjaga kesucian badannya daripada najis tetapi tidak menjaga kesucian hatinya daripada mengumpat, memfitnah, berkata kesat kepada orang lain bahkan bersumpah palsu.

Mereka semua ahli ibadah tetapi ibadah yang bukan dari hati yang mengenal Tuhannya. Jauh sekali berpegang kepada asas ilmu yang diwarisi daripada Nabi SAW. Bahkan ramai yang beribadah secara taksub bertaqlid kepada tokoh agama disucikan dan tersohor, sayangnya sunnah Nabi SAW yang sahih diketepi begitu saja.

Apa saja perkataan tokoh itu diikuti tanpa usul periksa dan jauh sekali mahu merujuk kepada Al-Quran dan al-Hadis, akhirnya ibadah yang dilakukan terseleweng daripada kebenaran. Begitulah ragam orang beribadah, yang jahil atau yang taqlid buta, kedua-duanya akan berasa keletihan dan cepat bosan kerana tidak melalui jalan yang dilalui Nabi SAW.

Hanya ibadah cara Nabi SAW yang menjanjikan kenikmatan, kepuasan jiwa dan ketenangan hati. Sebagaimana yang dilalui sahabat dan Salafus salih. Antara rahsia ibadah dan syarat kesempurnaannya sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW adalah:

Ibadah membina asas tauhid

Jalan mengenal Allah hendaklah diterokai sewaktu melakukan ibadah. Kesempurnaan nama, sifat-sifat dan perbuatan-Nya sewajarnya difahami dengan penghayatan yang mendalam supaya lahir jiwa hamba yang berserah diri, patuh dan mencintai Allah SWT tanpa syarat.

Belajar ilmu mengenal Allah SWT melalui al-Quran dan Hadis akan memberi kesan terhadap kualiti ibadah yang dilakukan. Oleh itu Rasulullah SAW mengajar umatnya untuk menyebut nama dan sifat Allah ketika berdoa, memuji Allah dalam sembahyang, merasai kebesaran Allah ketika berpuasa, haji dan umrah.

Bahkan ketika bermusafir dengan berjalan kaki pun Baginda menyuruh sahabatnya bertakbir ketika menaiki bukit dan bertasbih ketika menuruninya. Menyebut nama dan sifat Allah yang mulia seraya memuji dengan penuh khusyuk memberi kesan terhadap hubungan dua hala di antara hamba dan Tuhannya. Untuk itu dapat disimpulkan bahawa kenikmatan ibadah bergantung kepada sejauh mana hati seseorang itu mengenal Allah.

Ibadah sebagai bukti cinta dan mengharap rahmat-Nya.

Ibnu Al-Qayyim Al-Jauziyah dalam kitabnya Zadul Ma’ad telah memaparkan dua jenis cinta yang hidup di dunia. Pertama cinta yang menjadi kesenangan jiwa, kelazatan hati, kenikmatan roh, hidangan dan penawar kalbu iaitu cinta kepada Allah semata. Kedua, cinta yang menjadi seksaan bagi roh, keresahan jiwa, penjara hati dan kesesakan dada. Ia menjadi sebab kepedihan dan keletihan, itulah cinta kepada selain Allah SWT.

Sesiapa yang lebih mencintai sesuatu selain Allah, maka dia akan diseksa dengan sesuatu yang dicintainya itu. Cinta kepada dunia ataupun wanita membuat seseorang letih dan payah mengejar kenikmatan perasaan dan akhirnya terpenjara olehnya. Tetapi jika dia mencintai Allah SWT, menghadirkan bukti cinta itu dengan beribadah secara ikhlas maka Allah akan memberi ketenangan hati. Adapun orang yang cinta akan sentiasa mengharap balasan daripada yang dicintai, begitu pula seorang hamba yang menagih rahmat-Nya setiap kali melakukan sembahyang, zikrullah, puasa, tilawatul Quran, sedekah, haji dan umrah.

Jika bukan kerana rahmat-Nya siapalah kita, sebagaimana al-Quran mengingatkan menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Dan sekiranya bukanlah kerana kurniaan Allah dan rahmat-Nya kepada kamu semua, (nescaya kamu akan ditimpa azab yang besar) dan Allah Maha Penyantun lagi Maha Penyayang.” - (Al-Nur: 20)

Dengan beribadah, seorang hamba membuktikan bahawa sesungguhnya dia mencintai Allah dan layak menerima balasan rahmat-Nya. Ibadah yang diikat dengan rasa cinta berlainan daripada ibadah yang dilakukan tanpa ikatan perasaan apapun.


Penulis ialah Mufti Perlis

Sumber : http: //www.bharian.com.my/

ISU HUBUNGAN DUA HALA MALAYSIA - INDONESIA

Gempa di Indonesia, prihatin di Malaysia


SEORANG ibu dan anaknya (gambar kiri) hanya mampu melihat sayu rumah mereka yang musnah akibat gempa bumi, sementara penduduk di Kampung Ciloe, Tasikmalaya, Jawa Barat bertungkus lumus membantu mangsa dalam kejadian gempa yang mengorbankan sekurang-kurangnya 74 penduduk baru-baru ini - Gambar AFP


PERASAAN terayun-ayun atau terbuai-buai, buku-buku jatuh dari rak, tanah bergoyang ke kiri dan ke kanan disusuli dengan tempikan panik menyelamatkan diri, akan membuatkan siapa saja menganggap kiamat sudah tiba, namun ia bukan perkara asing bagi Indonesia.

Seluruh rakyatnya sedia maklum negara yang mereka duduki terletak dalam Lingkaran Api Pasifik yang menyumbang kepada kewujudan hampir 150 gunung berapi daratan dan dasar laut serta garis gelincir yang banyak, menyebabkan Indonesia digegarkan dengan 'kiamat kecil' dengan kerap.

Pukul 2.57 petang hari Rabu 2 September lalu menyaksikan Indonesia sekali lagi digegar dengan gempa bumi sekuat 7.3 pada skala Richter di Tasikmalaya, Jawa Barat, dengan angka korban yang disahkan seramai 74 orang dan kira-kira 1,250 yang lain cedera,

Angka sebenar kematian dijangka melebihi 100 orang kerana 34 mangsa yang tertanam akibat tanah runtuh di perkampungan Cikangkareng, yang dicetuskan gempa bumi, masih belum ditemui dan kemungkinan sangat tinggi mereka sudah terbunuh.

Gegaran yang turut mencetuskan panik kepada pekerja-pekerja pejabat di bangunan pencakar langit di Jakarta itu menyebabkan 88,000 orang kehilangan tempat tinggal dan 54,000 rumah dan bangunan rosak dengan anggaran kerugian setinggi RM350 juta.

Setakat ini, bencana paling teruk melanda Indonesia adalah tragedi tsunami 26 Disember 2004, dicetuskan oleh gempa bumi Sumatra-Andaman yang meragut hampir 230,000 nyawa di 11 negara, dengan Indonesia merekodkan korban paling tinggi iaitu lebih 130,000 mangsa kebanyakannya di Acheh.

Trauma

Kira-kira tiga bulan selepas itu, trauma kembali dengan giliran Kepulauan Nias pula digoncang gempa bumi sekuat 8.7 pada skala Richter pada 28 Mac 2005 yang mencatatkan lebih 1,300 kematian selain meranapkan ribuan rumah dan jambatan.

Gempa bumi Yogyakarta pada 27 Mei 2006 sekuat 6.2 pada skala Richter pula meragut hampir 6,000 nyawa manakala gegaran pada magnitud 7.7 skala Richter dua bulan kemudian di selatan Jawa membunuh lebih 650 orang.

Bencana alam serupa melanda Bengkulu pada 12 September 2007 dengan kekuatan gegaran 8.5 pada skala Richter, meragut 23 nyawa dengan 88 yang lain cedera, beberapa minit sebelum masuk waktu Maghrib menandakan ketibaan Ramadan sekali gus menyebabkan penduduknya menjalani ibadah puasa dalam keadaan benar-benar teruji.

Gempa terbaru ini juga berlaku pada bulan Ramadan dan September dua tahun selepas itu, membuatkan rakyat Malaysia merasa terpanggil untuk menghulurkan bantuan baik dari segi kemanusiaan ataupun membantu saudara seagama dalam kesulitan.

Malaysia memang dikenali sejak dulu lagi dengan reputasi pantas menghulurkan bantuan apabila negara tetangganya ini berdepan dengan masalah, semuanya dilakukan atas dasar kemanusiaan, semangat kejiranan dan asal bangsa serumpun.

Contohnya rancangan bantuan melaksanakan sistem perparitan terancang untuk mengurangkan pembakaran di Rokam Hilir, Riau, Indonesia bagi menangani masalah jerebu yang melanda rantau ini.

Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) juga sudah beberapa kali ke Indonesia bagi menghulurkan bantuan ketika beberapa kawasannya dilanda gempa bumi seperti di Acheh, Nias, Yogyakarta dan Bengkulu sebelum ini.

Pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia juga 'diseru' semangat sama untuk menhulurkan tangan dalam tragedi bencana. Contohnya, seramai 35 penuntut perubatan di Jakarta dan Bandung baru-baru ini menyertai pasukan sukarela Bulan Sabit Merah Indonesia bagi memberi bantuan kepada mangsa gempa bumi di Pangalengan, Bandung Selatan.

Atas rasa prihatin rakyat Malaysia sebeginilah tertubuhnya Tabung Gempa Nusantara, hasil kerjasama akhbar Utusan Malaysia dengan Malayan Banking Bhd. (Maybank) yang dimulakan selepas gempa bumi melanda Bengkulu dua tahun lalu.

Rasa belas kasih rakyat Malaysia nyata terbukti kutipan lebih RM1 juta yang diterjemahkan kepada 11 buah ambulans dan seunit lori tangki dan diserahkan kepada hospital-hospital di wilayah Bengkulu pada 18 Ogos tahun lalu.

Ia disampaikan sendiri oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin bersama Penasihat Maybank, Datuk Mohammed Hussein kepada Gabenor Bengkulu, Agusrin M. Najammudin dan 11 bupati untuk digunakan di hospital-hospital di daerah masing-masing.

'Seruan' yang sama juga sekali lagi menggerakkan Tabung Gempa Nusantara pada Selasa 8 September lalu bagi meringankan beban penduduk mangsa gempa di Jawa Barat baru-baru ini.

Apa yang menghairankan, sebilangan kecil rakyat Indonesia sanggup menjalankan gerakan 'Sweeping Malaysia' (Sapu Malaysia) bagi mencari dan mengusir rakyat kita di sana hanya kerana isu remeh seperti tarian Pendet yang nyata diperbesar-besarkan pihak tertentu.

Sedikit sebanyak penduduk di Malaysia berasa terkilan dengan isu-isu yang timbul namun itu tidak membantutkan niat menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan atas dasar kemanusiaan dan tanggungjawab sebagai negara jiran.

Tambahan pula, masyarakat di kedua-dua negara yang berasal dari rumpun bangsa yang sama dan kita nyata tidak boleh melihat saja saudara seagama mengharungi baki Ramadan dalam keadaan kesusahan atau menyambut ketibaan Syawal dengan kedukaan.

Diharap seluruh rakyat Malaysia dapat menghulurkan bantuan melalui Tabung Gempa Nusantara kali ini agar dapat meringankan beban mangsa gempa dengan menyalurkan sumbangan ikhlas tanpa mengambil kira isu-isu remeh yang kebelakangan ini melingkari hubungan dengan Indonesia.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

RAMADAN GURU KITA

Saban Ramadan menggurui kita
antara aksara ukhrawi
dan abjad duniawi
antara resam haiwani
dan resmi insani.
Ramadan telah menggurui kita
bagaimana mempelajari nikmat
iman itu manis cinta
tapisan ujian dan duga
hamba menyaring hikmah
di celah himpitan mazmumah
dan kekangan mahmudah.
Tanda murid yang cintakan guru
ketika menghadap wajahnya
kita merendah dan hormat
tetapi seriau malu
jauh di belakang matanya.
Ramadan adalah kiai
yang setia menggurui kita
padanya wibawa
padanya pemurah
tidak hormati kemuliaannya
ertinya kita memilih derhaka
tidak pedulikan tawarannya
ertinya kita memilih papa.
ABD RAZAK @ REZEKI OTHMANSMKTIP 1, Gua Musang
Sumber : http://penyair.wordpress.com/

DOA MOHON KESEMBUHAN DARIPADA PENYAKIT

Ahad, 13 September 2009

Sedia kit H1N1 ketika raya

Oleh Sazarina Shahrim
sazarina@bharian.com.my

Elak jangkitan wabak pada Aidilfitri

KUALA LUMPUR: Bimbang dengan kemungkinan Influenza A (H1N1) merebak pantas ke seluruh negara berikutan pergerakan besar-besaran rakyat ketika cuti Aidilfitri hujung minggu ini, orang ramai disaran membawa bersama kit pencegahan H1N1 sepanjang masa dan ke mana saja mereka pergi.

Mereka yang akan pulang berhari raya di kampung halaman atau bercuti sempena cuti panjang Aidilfitri minggu depan juga diminta menjaga kebersihan diri dan sentiasa peka terhadap tanda-tanda kemungkinan dijangkiti penyakit itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata kit mengandungi topeng mulut dan hidung, tisu serta pencuci tangan antikuman yang tidak perlu dibilas boleh disediakan sendiri atau dibeli di farmasi.

"Ia perlu dianggap sebagai barang perlu dimiliki oleh semua yang bercadang balik kampung sama ada menggunakan kenderaan sendiri atau perkhidmatan awam.

"Kit H1N1 boleh disediakan sendiri dan perlu sentiasa dibawa. Hanya perlu ada tiga komponen untuk melengkapkan kit itu yang mempunyai pencuci tangan antikuman, topeng penutup mulut serta hidung dan tisu," katanya semalam.

Orang ramai juga disaran mengehadkan pertemuan dan pergaulan ketika bercuti dan menggunakan topeng serta kerap mencuci tangan.

Selain itu, orang ramai yang mempunyai gejala selesema serta berisiko dihinggapi jangkitan disaran menggunakan pengangkutan sendiri untuk pulang ke kampung.

"Namun, jika terpaksa menggunakan pengangkutan awam, mereka perlu memakai penutup hidung serta mulut bermula dari saat menunggu di kawasan terminal sehingga berlepas, selain mengamalkan kebersihan tangan sepanjang masa," katanya.

Dr Mohd Ismail berkata, pengendali pengangkutan awam dinasihatkan menyediakan tong sampah bertutup dan pencuci tangan antikuman bagi mengelakkan jangkitan.

Katanya, penumpang kenderaan awam, terutama bas perlu memastikan kertas tisu muka yang sudah digunakan dibuang dalam tong sampah yang ditutup.

"Langkah pencegahan ini perlu dilakukan sepanjang berada di kampung. Jika mengalami tanda-tanda seperti selesema atau batuk, elakkan berada terlalu hampir dengan anggota keluarga.

"Selain itu, jika boleh elak daripada menghadiri majlis rumah terbuka atau kenduri dan berada di tempat yang sesak. Bagaimanapun, jika perlu menghadirinya, sentiasa memakai topeng penutup hidung serta mulut," katanya.

Beliau juga mengingatkan mereka yang sihat dan tidak ada simptom Influenza Like Illness (ILI) mengambil langkah berjaga-jaga dengan meneruskan amalan mencuci tangan setiap kali ingin menjamah makanan atau selepas bersalaman.

Sementara itu, Dr Mohd Ismail berkata, tiada kematian baru akibat H1N1 dilaporkan semalam, menjadikan jumlah kes kematian kekal 74 orang.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

18 barang kawalan


Ismail Sabri Yaakob (dua dari kanan) mencuba kebolehannya memotong ikan pari ketika membuat lawatan di Pasar Sehari Temerloh, semalam.


TEMERLOH 13 Sept. - Sebanyak 18 jenis barangan disenaraikan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya tahun ini bermula hari ini sehingga 27 September.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu bertujuan membendung tindakan mencatu barangan keperluan oleh para peniaga yang tidak beretika semasa musim perayaan.

Beliau bagaimanapun berkata, peniaga perlu mendapatkan lesen menjual barang-barang kawalan yang dikeluarkan secara percuma daripada mana-mana cawangan kementerian.

"Sehingga ini sebanyak 15,057 lesen seumpama itu telah dikeluarkan kepada peniaga di seluruh negara,'' katanya kepada pemberita selepas meninjau harga barangan di pekan sehari Temerloh di sini hari ini.

Antara barang yang disenaraikan adalah ayam hidup, ayam standard, ayam super, daging lembu tempatan, daging kerbau import India, telur ayam gred A, telur ayam gred B, telur ayam gred C, kobis bulat import dari Indonesia dan China.

Turut disenaraikan cili merah, tomato, kelapa biji, kelapa parut, ubi kentang import dari Indonesia dan China, kacang tanah import, bawang merah kecil India, bawang putih China dan ikan Kembung.

Ismail Sabri menjelaskan, bekalan barang-barang keperluan untuk hari raya tahun ini mencukupi berikutan jaminan pembekal dan pemborong untuk mengadakan bekalan yang secukupnya.

"Kebiasaannya orang ramai akan membeli barang-barang keperluan itu secara banyak seminggu sebelum hari raya,'' katanya.

Oleh itu kata beliau, seramai 2,000 pegawai penguat kuasa kementerian juga telah diarah supaya meningkatkan pemeriksaan dan pemantauan bagi memastikan peniaga tidak menaikkan harga barang.

Beliau juga meminta orang ramai supaya melaporkan kepada mana-mana cawangan penguat kuasa di seluruh negara dengan mengunakan talian tol bebas 1-800-886-800 atau e-aduan@kpdnkk.gov.my jika mendapati ada peniaga yang menaikkan harga barang tersebut untuk diambil tindakan.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Fenomena serba baru sambut Hari Raya

Oleh MOHAMMAD ISMAIL

TINGGAL beberapa hari lagi umat Islam akan menyambut kedatangan Aidil Fitri sebagai tanda kemenangan mengharungi puasa di bulan Ramadan. Sekarang masa paling sibuk dan kemuncak bagi kebanyakan kita membuat persiapan menjelang Hari Raya.

Dalam kepala masing-masing seboleh-bolehnya ingin memastikan semuanya baru, dari segi pakaian, perabot, langsir, kereta dan sebagainya.

Pendek kata kalau boleh dari kaki sampailah ke kepala semuanya ingin ditukar kepada yang baru. 10 malam yang terakhir sepatutnya masjid-masjid dipenuhi dan diperbanyakkan amal ibadat tetapi cuba kita tinjau di kompleks membeli-belah, pasar raya-pasar raya setiap hari dipenuhi oleh umat Islam untuk persiapan Hari Raya.

Ibu-ibu di rumah pula sibuk menyiapkan biskut raya dan mengukur langsir untuk dipasang dengan yang baru. Lebih mendukacitakan apabila sofa, perabut yang dah ada dan masih elok pun ingin ditukar asalkan semuanya mesti baru. Bak kata pepatah membesarkan kerak nasi iaitu menambah atau membeli sesuatu yang tidak perlu.

Bagi mereka yang berkemampuan, mereka akan menggunakan 'kuasa poket' dan 'kuasa tunjuk' untuk membeli apa sahaja demi untuk memuaskan nafsu berbelanja.

Lebih membimbangkan jika ada yang sanggup berhutang, bergolok bergadai dan yang paling menakutkan jika ada yang sanggup menghulurkan salam Aidilfitri pada ahlong demi untuk memastikan kelengkapan rumah dan pakaian menjadi baru.

Terdapat juga yang mengambil pertimbangan munasabah dengan ansuran mudharabah. Walaupun nampak mudah dibayar secara ansur-ansur tetapi kita sebenarnya terbeban secara ansur-ansur. Janganlah sampai kita berbelanja melebihi kemampuan, ukurlah baju mengikut saiz badan sendiri bukannya mengikut saiz kawan-kawan atau jiran-jiran.

Pada saat inilah kebanyakan iklan akan memainkan peranan mereka dengan pelbagai tawaran diskaun untuk memancing pengguna supaya berbelanja.

Tidak kurang juga ada syarikat yang menawarkan guna dulu, bayar kemudian, ini telah menaikkan lagi nafsu berbelanja di kalangan masyarakat dan ternyata kebanyakan kita tewas dengan pujukan tersebut.

Tanpa kita sedari bahawa Ramadan sebenarnya mengajar dan mendidik kita untuk mengawal nafsu, bukan setakat nafsu makan dan batin tetapi juga nafsu berbelanja atau lebih tepat lagi pembaziran.

Ramadan juga mendidik kita agar berjimat cermat dan tidak boros dalam berbelanja sehingga melakukan pembaziran. Mungkin ramai yang menganggap Hari Raya hanya setahun sekali maka kita perlu membeli apa sahaja, itu adalah fahaman salah tentang Hari Raya bahkan sebulan Ramadan sebenarnya adalah bekalan untuk mengharungi hidup dalam bulan-bulan seterusnya agar berbelanja secara berhemah dan berjimat cermat.

Islam tidak menggalakkan umatnya membazir dan berlebihan-lebihan malahan kesederhanaan amat dituntut.

Kita perlu memahami hakikat bahawa menyambut Aidilfitri bukanlah bermakna semuanya mesti ditukar menjadi baru. Cukuplah sekadar membeli baju sepasang dua sahaja bukannya membeli pakaian untuk dipakai di Hari Raya pertama warna dan pakaiannya lain, Hari Raya kedua lain fesyennya, Hari Raya ketiga pula semakin bergaya dan seterusnya.

Malahan baju untuk rumah terbuka pun dibeli beberapa pasang untuk memastikan rakan-rakan menyedari bahawa kita memiliki baju baru. Rasulullah SAW menggalakkan umatnya untuk berpakaian baru dan cantik pada Hari Raya tetapi tidaklah sampai sehingga melakukan pembaziran dan berhutang.

Fenomena untuk menukar kepada serba baru secara berlebihan ini telah lama sebati dalam kebanyakan masyarakat kita dan tanpa disedari kita telah melanggar etika nilai-nilai murni yang ditetapkan dalam Islam tentang pembaziran atau boros berbelanja. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada perintah tuhannya." (Surah al-Isra', ayat 27).

Ayat tersebut jelas memberi gambaran kepada kita tentang pembaziran adalah sesuatu yang patut dijauhi dan ditinggalkan oleh kita umat Islam.

Dalam mengharungi bulan yang penuh keberkatan ini, janganlah kita lupa kepada mereka yang kurang berkemampuan. Kita digalakkan bersedekah kerana kekayaan dan kesenangan bukanlah milik kita tetapi kurniaan daripada Allah SWT. Adalah menjadi tanggungjawab golongan yang berada untuk membantu yang miskin.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Mereka (yang diredai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tidak terlalu berlebihan dan tidak pula bakhil (kedekut); dan adalah (perbelanjaan yang baik itu) di antara kedua-duanya (boros dan bakhil)." (Surah al-Furqan,ayat 67).

Justeru, jadikan Ramadan dan Aidilfitri kali ini sebagai satu titik permulaan untuk perubahan dalam diri masing-masing agar menjauhi daripada sifat-sifat membazir dan bakhil. Gunakanlah kesempatan Ramadan yang tinggal ini untuk kita menuai keberkatan dan pahala yang ada untuk bekalan di hari akhirat.

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis.

Sumber : http: //www.utusan.com.my/