Rabu, 16 September 2009

SALAM AIDIL FITRI ...

Salam Aidil Fitri Maaf Zahir & Batin diucapkan khusus kepada kesemua rakan guru bahasa Melayu di seluruh negara, rakan-rakan guru cemerlang, seluruh warga pendidik, para pengunjung blog, anak-anak murid PANGLIMA, bekas- bekas pelajar saya serta seluruh umat Islam di mana-mana juga berada.

"Terhampar pengorbanan sesuci perjuangan...mengutip manisnya iman, menyunting akrabnya takwa... SALAM AIDIL FITRI" daripada Cikgu Taufiq.

Hari Raya Bukan Hari Sedih

oleh: Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin

Masyarakat melayu kita sering mengaitkan hari raya dengan hari kesedihan. Perkara ini diransang tambah oleh media kita. Apabila tiba hari raya, takbir raya ala melayu berirama sedih, alunan melodinya mendayu dan mengundang airmata, drama dan cerita dalam media akan dikaitkan dengan kisah-kisah sedih dan pilu, puisi dan lagu juga begitu. Apakah hari raya dalam Islam hari sedih, atau hari kemenangan dan kegembiraan?

Terlebih dahulu kita hendaklah tahu bahawa hari raya dalam Islam bukan sekadar tradisi atau cetusan idea mana-mana pihak, ia adalah syariat yang diturunkan oleh Allah dan ada hukum-hakamnya yang tersendiri. Di samping ia adalah hari yang Allah peruntukkan untuk kaum muslimin membesarkan Allah, kemenangan dan kegembiraan.

Firman Allah (maksudnya):

“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan, maka hendaklah dia berpuasa; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (maka diganti) pada hari-hari yang lain. (dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur”. (Surah al-Baqarah: 185).

Ayat ini menjelaskan tentang kedatangan Hari Raya adalah tanda syukur atas nikmat kurniaan Allah. Maka kita disuruh bertakbir membesarkan Allah pada Hari Raya. Ini semua tanda kejayaan dan kegembiraan.

Apatah lagi hadis-hadis Nabi s.a.w menunjukkan penghayatan hari raya pada zaman baginda penuh dengan kegembiraan dan ceria. Kata Ummu Atiyyah r.aha:

“Rasulullah s.a.w memerintahkan kami (kaum wanita) keluar pada hari raya fitri dan adha; termasuk para gadis, wanita haid, anak dara sunti. Adapun mereka yang haid tidak menunaikan solat tetapi menyertai kebaikan dan seruan kaum muslimin” (Riwayat al-Bukhari).

Maka Nabi s.a.w dalam sunnahnya, menunaikan solat hari raya di tanah lapang, sehingga memungkin setiap individu menyertai kemenangan dan kegembiraan pada hari tersebut, juga lebih penting untuk memperlihatkan kekuatan, perpaduan, kejayaan dan kebahagiaan hidup kaum muslimin.

Takbir hari raya adalah takbir yang bersemangat, bukan berirama sedih seperti takbir kita. Cubalah dengar takbir hari raya di dunia Arab, lain iramanya.


- Gambar Hiasan

Hiburan

Di sudut hiburan pula, ruang yang luas Islam berikan untuk insan muslim bergembira, syaratnya jangan menyanggahi syariat. Islam agama yang luhur lagi memahami jiwa insan yang berbagai. Hiburan bukan satu kewajipan, tetapi satu ruang atau sudut yang kadang-kala diperlukan oleh insan dalam keadaan tertentu, atau membantu seseorang menikmati kehidupan dunia ini. Sesiapa yang tidak mahu, tidak mengapa tetapi jangan dihalang orang menikmatinya.

Hari raya adalah hari gembira. Hiburan dengan disiplin dan adab yang baik merangsang kegembiraan itu, maka bertambah meriah hari raya yang diperuntukkan agama untuk kita. Dalam hadis daripada isteri Rasulullah s.a.w Ummul Mukminin ‘Aishah r.aha:

“bahawa pada hari raya Fitri atau Adha, Abu Bakr masuk ke rumahnya (rumah ‘Aishah) dan Nabi s.a.w berada di sisinya. Ketika itu ada dua penyanyi wanita sedang menyanyi mengenai kebanggaan Ansar pada Hari Bu‘ath (peperangan antara Aus dan Khazraj). Abu Bakr berkata: “Suara syaitan” (sebanyak dua kali). Nabi s.a.w bersabda: “Biarkan mereka wahai Abu Bakr! Setiap kaum ada hari raya dan sesungguh hari ini adalah hari raya kita” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam riwayat Muslim yang lain menyatakan mereka memukul gendang sebagai alatan muzik iringan nyanyian mereka.

Amat menarik sikap lunak yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. Bayangkan bagaimana dua gadis ini boleh menyanyi dalam rumah Rasulullah s.a.w? Jikalah tabiat Rasulullah itu keras dan garang, tentulah dari awal mereka tidak berani menyanyi dan bergendang dalam rumah Nabi s.a.w.

Lihat pula reaksi baginda apabila Abu Bakr memarahi mereka, baginda tidak berdiam diri sebaliknya menyatakan pendirian nabawi bahawa itu semua diizinkan.

Ada sesetengah pendapat yang menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w tidak menafikan bahawa nyanyian adalah suara syaitan seperti yang disebut oleh Abu Bakr, cuma membiarkan khusus untuk hari tersebut kerana ia hari raya. Pendapat ini agak ganjil. Apakah jika hari raya maka suara syaitan dibenarkan? Atau apakah hari raya nyanyian tidak menjadi suara syaitan, tetapi apabila tamat hari raya ia kembali menjadi suara syaitan kembali? Cukuplah dengan teguran Nabi s.a.w itu sebagai satu bantahan umum atas kenyataan Abu Bakr.

Bahkan hadis ini diriwayatkan al-Bukhari bersama riwayat berikut untuk menunjukkan keluasan Islam; kata ‘Aishah juga:

“Pada hari raya orang Sudan membuat pertunjukan permainan perisai dan lembing. Aku tidak pasti sama ada aku yang meminta, atau baginda yang berkata: “Apakah engkau ingin menontonnya?” Jawabku: “Ya”. Lalu baginda menjadikan aku berada belakangnya, pipiku menyentuh pipinya sambil baginda berkata: “Teruskan wahai Bani Arfidah (orang-orang Sudan)”. Sehinggalah aku jemu. Kemudian baginda berkata kepadaku: “Sudah cukupkah (jemukah)?”. Jawabku: “Ya”. Kata baginda: “Kalau begitu, pergilah”. (Riwayat al-Bukhari).

Pertunjukan yang disebut dalam hadis ini sebenarnya berlangsung dalam masjid Nabi s.a.w seperti mana yang disebut oleh hadis lain yang juga diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim. Maka pandangan yang agak ketat dan ‘tidak luas’ yang mengehadkan menikmati hiburan seperti yang disebut dalam hadis-hadis di atas untuk hari raya sahaja sebenarnya telah menyempitkan urusan muamalat dan kehidupan yang diluaskan oleh Islam.

Soal hiburan bukan seperti ibadah khusus yang memang tidak boleh ditokoh tambah. Hiburan adalah sesuatu yang bermula dari titik tolak ‘harus’ atau keizinan umum syarak yang tidak boleh diharamkan melainkan dengan dalil yang jelas. Hiburan bukan seperti ibadah yang tidak boleh direka tambah.

Hiburan adalah hak inovasi dan kreativiti insan yang diizinkan secara luas selagi tidak menyanggahi prinsip dan hukum yang Islam tetapkan.

Apatah lagi baginda Nabi s.a.w apabila mengizinkan hal-hal ini semua menyebut pada hari berkenaan:

“Agar Yahudi mengetahui bahawa dalam agama kita ada keluasan. Sesungguhnya aku diutuskan dengan agama yang lurus lagi mudah” (Riwayat Ahmad, dinilai sahih oleh al-Albani).

Pada hari ini ramai yang rasa Islam itu sempit dan menyongkong. Demikian Barat dan Yahudi menuduh Islam hal yang sama. Nabi s.a.w membuka ruang kegembiraan dan hiburan, agar Islam tidak difitnah dan dituduh demikian rupa.

Apa yang hendak disampaikan adalah hari raya dalam Islam adalah hari gembira, bukan hari sedih dan duka seperti yang selalu ditonjolkan oleh drama dan lagu melayu menjelang hari raya. Apa sahaja aktiviti yang merangsang suasana gembiara dan tidak menyanggahi syarak, adalah digalakkan pada hari raya. Ini termasuklah kuih-muih, ziarah-menziarahi, duit dan hadiah raya, juga nyanyian dan hiburan. Islam adalah agama lurus tapi mudah dan praktikal untuk kehidupan insan.

Malang masyarakat kita, jika di sebahagian tempat, hari sedih seperti hari kematian dijadikan hari kegembiraan dengan dibuat ‘kenduri atau jamuan kematian’, ‘wang angpau untuk sembahyang jenazah’ dan berbagai perkara lain bagaikan berpesta dengan kematian. Itu semua bukan ajaran Islam.


- Gambar Hiasan

Namun apabila tiba saat yang disuruh gembira iaitu hari raya, didendangkan irama dan drama sedih, menangis di kubur dan berbagai lagi. Kita terbalikkan suasana. Hari raya hari gembira bukan hari sedih. Bak kata sabda Nabi s.a.w: “Agar Yahudi mengetahui bahawa dalam agama kita ada keluasan. Sesungguhnya aku diutuskan dengan agama yang lurus lagi mudah”

Sumber : http://drmaza.com/

Sekolah cuti khas Jumaat ini

PUTRAJAYA: Kerajaan memberikan cuti khas Jumaat ini kepada semua sekolah sempena Aidilfitri, kata Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Beliau berkata pemberian cuti khas itu melibatkan semua sekolah dan institusi pendidikan di bawah Kementerian Pelajaran.

"Kabinet membuat keputusan tersebut dalam mesyuaratnya hari ini bagi membolehkan ibu bapa membuat perancangan awal perjalanan keluarga bercuti di kampung halaman masing-masing dan mengelakkan kesesakan jalan raya," katanya dalam kenyataan media.

Berikutan keputusan Kabinet itu, surat kementerian berkaitan cuti tambahan sempena hari raya sebelum ini adalah terbatal. - Bernama

Langkah Meminimumkan Nahas di Jalan Raya Menjelang Musim Perayaan

Korban sehari Ops Sikap atasi sebulan kematian H1N1

OPS Sikap ke-20 yang bermula pada Ahad lalu menyaksikan angka kematian sebanyak lapan kes pada hari pertama. Angka kematian itu dijangka terus meningkat menjelangnya waktu puncak iaitu dua atau tiga hari sebelum dan selepas hari raya.

Ops Sikap dilancarkan untuk mengurangkan angka kemalangan jalan raya pada musim perayaan dan sekali gus mengurangkan kehilangan nyawa. Menjelang usianya yang ke-20, diharapkan suatu statistik yang lebih baik dapat dilihat setelah berakhirnya Ops Sikap ini.

Pelbagai pihak telah cuba sedaya-upaya bagi mencapai objektif meminimakan nahas jalan raya pada musim perayaan. Bukan sahaja pihak Polis Diraja Malaysia, bahagian Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) turut melaksanakan tanggungjawabnya dengan kolaborasi agensi-agensi kerajaan lain.

Pelbagai pendekatan telah dan akan diambil bagi menurunkan kadar kemalangan dan angka nahas maut ekoran insiden ini.

Antaranya ialah larangan ke atas kenderaan barangan menggunakan jalan raya pada 18 dan 19 September serta 26 dan 27 September selain pemantauan dan kawalan keredaan trafik melalui 19 Menara Kawalan Trafik PDRM, pemantauan dan pemeriksaan perkhidmatan bas ekspres di depot dan 35 lokasi terminal bas, pengurangan had laju maksimum sebanyak 10 kilometer sejam bagi jalan persekutuan dan negeri mulai 13 hingga 27 September.

Kerajaan juga menggalakkan penggunaan sistem pengangkutan awam serta kempen-kempen advokasi keselamatan jalan raya.

Menteri Kerja Raya telah mengarahkan kerja-kerja membaik pulih di lebuh-lebuh raya dihentikan seketika bagi mengurangkan risiko kesesakan dan yang lebih penting ialah meminumkan kes kemalangan.

Sungguhpun begitu operasi tahunan ini sering kali dipandang enteng dan kurang penting oleh pengguna-pengguna jalan raya. Dalam mereka berwaspada dengan perangkap-perangkap had laju, pedal minyak kembali ditekan setelah lokasi penguatkuasa polis atau kamera perakam kelajuan dilepasi.

Inilah sebenarnya masalah yang besar yang dilihat sukar ditangani saban tahun.

Aktiviti memotong barisan boleh dilihat di mana-mana jalan asal sahaja ada barisan. Di mana ada barisan, di situlah ada yang mengambil kesempatan tanpa memikirkan perasaan mereka yang berbaris menunggu sekian lama.

Lebih parah, rasa mereka sentiasa terselamat dan kemalangan-kemalangan yang menimpa seperti dipaparkan dalam akhbar dan televisyen hanya menimpa orang lain membuat mereka yang samseng di jalan raya ini bersikap 'kebal peraturan'.

Kita seharusnya ingat bahawa mungkin disebabkan perbuatan kita, ada orang lain yang menjadi mangsa. Kita mungkin terlepas namun orang lain mungkin terbabas kerana mengelakkan kenderaan kita.

Harga satu nyawa amatlah berharga sebagaimana yang kita lihat dengan jelas bagaimana kerajaan berhabis-habisan memerangi wabak influenza A H1N1 semata-mata bagi menyelamatnya komoditi yang sama iaitu sebuah nyawa.

Jika sebulan sebelum ini, khususnya pada bulan Ramadan yang telah hampir penghujungnya, bilangan kes kematian yang dicatatkan hanyalah sekitar 6 kes (68 kepada 74), maka apakah justifikasi yang harus diberikan untuk bilangan kes kematian yang sama atau lebih banyak di jalan raya yang berlaku hanya dalam tempoh satu hari sahaja, jika bukan kerana sikap kita sendiri?

Sumber : http: //www.utusan.com.my/

Selasa, 15 September 2009

Al-qadr: Jangan sibuk dengan mencari ‘tanda’


Dr. Mustafa Abdullah


KITA sekarang berada pada fasa terakhir Ramadan yang mana di dalamnya terkandung malam al-qadar. Malam paling istimewa di mana mereka yang beribadat pada malam ini akan diberi ganjaran pahala 1,000 bulan atau 84 tahun.

Ia sebagai mana firman Allah yang bermaksud: Malam Qadar itu lebih baik daripada 1,000 bulan. (al-Qadr: 3)

Dalam satu hadis Nabi SAW bersabda yang maksud-Nya: Dan sesiapa yang bangun mendirikan lailatul qadar dengan penuh iman dan mengharapkan pahala, diampunkan baginya dosa yang telah lalu. (riwayat Bukhari)

Wartawan, MOHD. RADZI MOHD. ZIN menemu bual Ketua Jabatan Al-Quran dan Sunnah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Mustafa Abdullah bagi mengupas isu ini.

MEGA: Ramadan adalah bulan diturunkan al-Quran. Ramai juga yang membacanya pada bulan mulia ini tetapi tidak ramai yang mengambil iktibar daripadanya. Mengapa berlaku demikian?

DR. MUSTAFA: Memang Ramadan adalah bulan diturunkan al-Quran. Ini dijelaskan menerusi firman Allah yang bermaksud: Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran menjadi petunjuk bagi sekelian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan di antara yang benar dan salah. (al-Baqarah: 185)

Mengapa ada yang tidak mengambil iktibar daripada ayat-ayat Allah ini sebab utamanya adalah kerana kita tidak memahami al-Quran. Oleh yang demikian, kita tidak dapat menghayati pengajaran yang terkandung di dalamnya. Seterusnya, menyebabkan kita gagal menghayati dan menterjemahkannya dalam kehidupan seharian.

Sejarah membuktikan bagaimana seorang yang digelar 'singa' seperti Saidina Omar al-Khattab yang pada zaman jahiliahnya sangat garang dan membenci Rasulullah SAW akhirnya menjadi insan yang hebat imannya selepas mendapat hidayah Allah menerusi ayat daripada surah Taha.

Bagi kita yang bukan Arab, hendaklah kita berusaha mempelajari al-Quran melalui pengajian-pengajian ilmu tafsir. Ini bukanlah terlalu sukar dilakukan kerana banyak institusi di negara kita sama ada masjid, surau atau juga pusat-pusat pengajian tinggi yang menawarkan kuliah atau pengajian ilmu tafsir.

Satu lagi punca berlaku begini ialah kebanyakan kita hanya mempelajari al-Quran secara tradisi. Maknanya kita mula mengaji semasa kecil dan cukup setakat khatam al-Quran sahaja. Sepatutnya pencarian ilmu itu tidak terhenti di situ.

Sebaliknya, selepas belajar mengaji kita meningkatkan ilmu dengan mempelajari ilmu tajwid dan qiraat. Apabila dewasa diteruskan dengan pengajian ilmu tafsir.

Sebagai kitab yang memberi petunjuk seharusnya sikap kita kepada al-Quran adalah sama iaitu membaca, menghayati dan mengamalkannya. Sebaliknya, wujud perbezaan pendirian dalam hal ini. Mengapa ini berlaku?

DR. MUSTAFA: Tidak semua di kalangan manusia yang beragama Islam memiliki cita rasa yang sama terhadap al-Quran. Perkara ini telah ditegaskan oleh Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud: Kemudian kitab itu kami wariskan kepada orang-orang yang kami pilih di antara hamba-hamba Kami, lalu di antara mereka ada yang menganiaya diri sendiri, ada yang bersederhana dan ada yang berlumba-lumba berbuat kebaikan dengan izin Allah, yang demikian itu adalah kurniaan yang amat besar. (Faatir: 32)

Ayat ini menggambarkan tiga kelompok manusia yang berbeza pendirian terhadap al-Quran:

a) Golongan yang menganiaya diri sendiri iaitu golongan yang kesalahan dosa mereka lebih banyak daripada pahala kebaikan. Sebabnya, mereka tidak membaca al-Quran, mentelaah, berdiskusi apatah lagi beramal dengan perintah Allah di dalamnya.

b) Golongan yang bersederhana iaitu golongan di mana kesalahan dosa mereka sama banyak dengan pahala. Mereka adalah golongan yang membaca al-Quran tetapi belum bersedia melaksanakan isi kandungannya yang terdiri daripada hukum hakam Allah.

c) Golongan yang berlumba-lumba berbuat kebaikan. Mereka amat banyak melakukan kebaikan dan jarang membuat kesalahan. Mereka adalah golongan yang bersedia melaksanakan hukum Allah dalam al-Quran.

Seorang ulama terkenal, Muhammad Syakib Arslan berkata beberapa sebab yang membawa kemunduran umat Islam antaranya adalah kejahilan tetapi boleh diajar dan dibentuk.

Kedua, mempunyai ilmu tetapi tidak sempurna. Ini lebih bahaya daripada orang jahil yang lebih mudah diajar. Ketiga, rosak akhlak menyebabkan piawaian hidupnya adalah kebendaan.

Selain kehebatan malam al-qadr, al-Quran juga diturunkan pada waktu malam. Apakah hikmahnya?

DR. MUSTAFA: Antara hikmahnya, Allah SWT turun ke langit dunia setiap malam dan penurunan al-Quran pada waktu malam itu adalah satu kemegahan dan kemuliaan.

Kedua, ia memberi isyarat tentang beribadat pada waktu malam itu tidak ada riak. Menurut Imam al-Sya'rawi, beribadat dengan sebenar kepada Allah tanpa riak adalah dilakukan pada waktu malam. Seorang yang riak dan nifak tidak mampu beribadat pada waktu malam.

Ketiga, ia juga adalah isyarat kepada kelebihan solat waktu malam. Rasulullah SAW bersabda yang maksud-Nya: Puasa yang paling utama selepas Ramadan ialah puasa sunat bulan Muharam manakala solat yang paling utama selepas solat fardu adalah solat tengah malam (qiamullail). (riwayat Muslim)

Keempat, kita samawi juga diturunkan pada waktu malam. Bermula dengan Suhuf Ibrahim sehingga kepada al-Quran. Manusia dalam kegelapan maka turunnya cahaya Allah (kitab) bagi menerangi kehidupan.

Kelima, malam itu membayangkan keadaan gelap yang dihadapi oleh umat manusia. Maka muncul cahaya dalam kegelapan menerusi perutusan Nabi Muhammad SAW, penurunan al-Quran iaitu cahaya yang dapat menerangi hidup manusia yang hanyut dalam kegelapan jahiliah.

Kita selalu mendengar tanda-tanda malam al-qadar antaranya pokok sujud pada malam tersebut dan air yang masin menjadi tawar. Adakah ini berlandaskan nas yang sahih?

DR. MUSTAFA: Ini adalah pandangan orang lama-lama dan ia termasuk dalam riwayat Israeliyat. Tidak ada sumber yang jelas tentangnya. Tetapi ia masih ada sehingga hari ini kerana tanda-tanda tersebut terdapat dalam kitab-kitab jawi lama. Jadi, guru-guru agama masih menggunakannya.

Bagaimanapun, jika ada tanda-tanda tentang lailatul qadar, ia tidak boleh menggunakan akal atau logik tetapi mengikut nas. Alamat atau tanda secara langsung seperti yang dijelaskan oleh Ibn Uthaimin dalam Fatawa Rasa'il Ibn Uthaimin antaranya:

1. Sinar cahaya sangat kuat pada malam al-qadr dibandingkan dengan malam-malam lain.

2. Bertambanh kuatnya cahaya pada malam itu.

3. Ketenangan dan kelapangan hati yang dirasakan oleh orang-orang yang beriman lebih kuat daripada malam-malam yang lain.

4. Angin dalam keadaan tenang pada malam al-qadr. Tidak bertiup kencang dan tidak ada rebut petir. Ini berdasarkan hadis dari sahabat Jabir bin Abdillah sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Aku melihat lailatuk qadr kemudian dilupakannya. Lailatul qadr turun pada 10 akhir (bulan Ramadan) iaitu malam yang tenang, tidak dingin dan tidak panas serta tidak hujan. (riwayat Ibn Khuzaimah dan Ibn Hibban)

5. Terkadang Allah memperlihatkan malam al qadr kepada seseorang dalam mimpinya. Sebagaimana yang terjadi pada diri para sahabat Nabi SAW.

6. Kenikmatan beribadat dirasakan oleh seseorang pada malam itu lebih tinggi daripada malam-malam lainnya.

7. Alamat selepas terjadi (iaitu pada pagi harinya) di antaranya, matahari terbit dalam keadaan tidak tersebar sinarnya dan tidak menyilaukan berbeza dengan hari-hari biasa.

Ini berdasarkan hadis dari sahabat Ubay bin Ka’ab yang mengatakan; Sesungguhnya Rasulullah mengkhabarkan kepada kami: Sesungguhnya matahari terbit pada hari itu dalam keadaan yang tidak tersebar sinarnya. (riwayat Muslim)

8. Alamat yang menyebutkan bahawa tidak ada atau sedikit nyalakan anjing pada malam al-qadr adalah tidak benar kerana ada ditemui pada 10 malam terakhir Ramadan anjing dalam keadaan menyalak.

Ada juga yang beranggapan jika dapat malam al-qadr maka pada bulan lain bolehlah buat maksiat. Adakah ini betul?

DR. MUSTAFA: Ini silap. Apabila dapat pahala 1,000 bulan tidak bermaksud akan menafikan syariat yang lain yang dikenakan oleh Allah. Mendapat ganjaran lailatul qadr adalah keistimewaan tetapi syariat lain seperti kewajipan solat, puasa, zakat dan lain-lain masih perlu kita tunaikan.

Tentang alamat tadi, tidak semestinya orang yang tidak nampak tanda-tanda malam al-qadr kita tidak mendapat malam tersebut.

Menurut Imam al-Munawi dalam Fayd al-Qadir: “Barangkali seorang yang bangun pada malam al-qadr itu tidak memperolehi dari malam itu melainkan peluang beribadah dan tidak ada sebarang tanda yang dilihatnya.

“Dia lebih baik dan lebih mulia di sisi Allah daripada orang yang melihat tanda-tandanya sahaja (tetapi tidak beribadat pada malam itu)”.

Sumber : http: //www.utusan.com.my/

Isnin, 14 September 2009

Tiada kenikmatan, kemanisan ibadah tanpa ilmu

Dr Juanda Jaya

RAMADAN hampir berakhir, tahniah bagi mereka yang istiqamah menjaga ibadah dengan sempurna sebagaimana yang diteladani daripada sunnah Nabi SAW. Diucapkan dukacita kepada sesiapa yang cepat bosan dengan ibadahnya, tidak merasai kemanisan puasa, solat malam dan membaca al-Quran.

Mereka hanya menikmati keletihan saja. Mereka tidak mampu menyelami hakikat ibadah sedalam-dalamnya disebabkan kejahilan dan terhalangnya hati mendekati ilmu. Lalu hati cepat berpaling, jemu dan mencari kerehatan sepuas-puasnya sehingga tidak disangka ia menjadi lalai.

Tanpa ilmu ibadah tidak terasa nikmat, hati kurang menjiwai amal, akal menjadi jumud dan terikut-ikut suasana tanpa keyakinan. Ibadah yang dilakukan ala kadar dan tanpa asas ilmu akan cepat hilang kepanasannya, bagai manusia tiada roh dan mati jiwanya.


Oleh itu ramai beribadah tetapi masih mencari rezeki dengan menipu orang lain, memakan riba, dan rasuah. Tidak sedikit yang begitu teliti menjaga kesucian badannya daripada najis tetapi tidak menjaga kesucian hatinya daripada mengumpat, memfitnah, berkata kesat kepada orang lain bahkan bersumpah palsu.

Mereka semua ahli ibadah tetapi ibadah yang bukan dari hati yang mengenal Tuhannya. Jauh sekali berpegang kepada asas ilmu yang diwarisi daripada Nabi SAW. Bahkan ramai yang beribadah secara taksub bertaqlid kepada tokoh agama disucikan dan tersohor, sayangnya sunnah Nabi SAW yang sahih diketepi begitu saja.

Apa saja perkataan tokoh itu diikuti tanpa usul periksa dan jauh sekali mahu merujuk kepada Al-Quran dan al-Hadis, akhirnya ibadah yang dilakukan terseleweng daripada kebenaran. Begitulah ragam orang beribadah, yang jahil atau yang taqlid buta, kedua-duanya akan berasa keletihan dan cepat bosan kerana tidak melalui jalan yang dilalui Nabi SAW.

Hanya ibadah cara Nabi SAW yang menjanjikan kenikmatan, kepuasan jiwa dan ketenangan hati. Sebagaimana yang dilalui sahabat dan Salafus salih. Antara rahsia ibadah dan syarat kesempurnaannya sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW adalah:

Ibadah membina asas tauhid

Jalan mengenal Allah hendaklah diterokai sewaktu melakukan ibadah. Kesempurnaan nama, sifat-sifat dan perbuatan-Nya sewajarnya difahami dengan penghayatan yang mendalam supaya lahir jiwa hamba yang berserah diri, patuh dan mencintai Allah SWT tanpa syarat.

Belajar ilmu mengenal Allah SWT melalui al-Quran dan Hadis akan memberi kesan terhadap kualiti ibadah yang dilakukan. Oleh itu Rasulullah SAW mengajar umatnya untuk menyebut nama dan sifat Allah ketika berdoa, memuji Allah dalam sembahyang, merasai kebesaran Allah ketika berpuasa, haji dan umrah.

Bahkan ketika bermusafir dengan berjalan kaki pun Baginda menyuruh sahabatnya bertakbir ketika menaiki bukit dan bertasbih ketika menuruninya. Menyebut nama dan sifat Allah yang mulia seraya memuji dengan penuh khusyuk memberi kesan terhadap hubungan dua hala di antara hamba dan Tuhannya. Untuk itu dapat disimpulkan bahawa kenikmatan ibadah bergantung kepada sejauh mana hati seseorang itu mengenal Allah.

Ibadah sebagai bukti cinta dan mengharap rahmat-Nya.

Ibnu Al-Qayyim Al-Jauziyah dalam kitabnya Zadul Ma’ad telah memaparkan dua jenis cinta yang hidup di dunia. Pertama cinta yang menjadi kesenangan jiwa, kelazatan hati, kenikmatan roh, hidangan dan penawar kalbu iaitu cinta kepada Allah semata. Kedua, cinta yang menjadi seksaan bagi roh, keresahan jiwa, penjara hati dan kesesakan dada. Ia menjadi sebab kepedihan dan keletihan, itulah cinta kepada selain Allah SWT.

Sesiapa yang lebih mencintai sesuatu selain Allah, maka dia akan diseksa dengan sesuatu yang dicintainya itu. Cinta kepada dunia ataupun wanita membuat seseorang letih dan payah mengejar kenikmatan perasaan dan akhirnya terpenjara olehnya. Tetapi jika dia mencintai Allah SWT, menghadirkan bukti cinta itu dengan beribadah secara ikhlas maka Allah akan memberi ketenangan hati. Adapun orang yang cinta akan sentiasa mengharap balasan daripada yang dicintai, begitu pula seorang hamba yang menagih rahmat-Nya setiap kali melakukan sembahyang, zikrullah, puasa, tilawatul Quran, sedekah, haji dan umrah.

Jika bukan kerana rahmat-Nya siapalah kita, sebagaimana al-Quran mengingatkan menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Dan sekiranya bukanlah kerana kurniaan Allah dan rahmat-Nya kepada kamu semua, (nescaya kamu akan ditimpa azab yang besar) dan Allah Maha Penyantun lagi Maha Penyayang.” - (Al-Nur: 20)

Dengan beribadah, seorang hamba membuktikan bahawa sesungguhnya dia mencintai Allah dan layak menerima balasan rahmat-Nya. Ibadah yang diikat dengan rasa cinta berlainan daripada ibadah yang dilakukan tanpa ikatan perasaan apapun.


Penulis ialah Mufti Perlis

Sumber : http: //www.bharian.com.my/

ISU HUBUNGAN DUA HALA MALAYSIA - INDONESIA

Gempa di Indonesia, prihatin di Malaysia


SEORANG ibu dan anaknya (gambar kiri) hanya mampu melihat sayu rumah mereka yang musnah akibat gempa bumi, sementara penduduk di Kampung Ciloe, Tasikmalaya, Jawa Barat bertungkus lumus membantu mangsa dalam kejadian gempa yang mengorbankan sekurang-kurangnya 74 penduduk baru-baru ini - Gambar AFP


PERASAAN terayun-ayun atau terbuai-buai, buku-buku jatuh dari rak, tanah bergoyang ke kiri dan ke kanan disusuli dengan tempikan panik menyelamatkan diri, akan membuatkan siapa saja menganggap kiamat sudah tiba, namun ia bukan perkara asing bagi Indonesia.

Seluruh rakyatnya sedia maklum negara yang mereka duduki terletak dalam Lingkaran Api Pasifik yang menyumbang kepada kewujudan hampir 150 gunung berapi daratan dan dasar laut serta garis gelincir yang banyak, menyebabkan Indonesia digegarkan dengan 'kiamat kecil' dengan kerap.

Pukul 2.57 petang hari Rabu 2 September lalu menyaksikan Indonesia sekali lagi digegar dengan gempa bumi sekuat 7.3 pada skala Richter di Tasikmalaya, Jawa Barat, dengan angka korban yang disahkan seramai 74 orang dan kira-kira 1,250 yang lain cedera,

Angka sebenar kematian dijangka melebihi 100 orang kerana 34 mangsa yang tertanam akibat tanah runtuh di perkampungan Cikangkareng, yang dicetuskan gempa bumi, masih belum ditemui dan kemungkinan sangat tinggi mereka sudah terbunuh.

Gegaran yang turut mencetuskan panik kepada pekerja-pekerja pejabat di bangunan pencakar langit di Jakarta itu menyebabkan 88,000 orang kehilangan tempat tinggal dan 54,000 rumah dan bangunan rosak dengan anggaran kerugian setinggi RM350 juta.

Setakat ini, bencana paling teruk melanda Indonesia adalah tragedi tsunami 26 Disember 2004, dicetuskan oleh gempa bumi Sumatra-Andaman yang meragut hampir 230,000 nyawa di 11 negara, dengan Indonesia merekodkan korban paling tinggi iaitu lebih 130,000 mangsa kebanyakannya di Acheh.

Trauma

Kira-kira tiga bulan selepas itu, trauma kembali dengan giliran Kepulauan Nias pula digoncang gempa bumi sekuat 8.7 pada skala Richter pada 28 Mac 2005 yang mencatatkan lebih 1,300 kematian selain meranapkan ribuan rumah dan jambatan.

Gempa bumi Yogyakarta pada 27 Mei 2006 sekuat 6.2 pada skala Richter pula meragut hampir 6,000 nyawa manakala gegaran pada magnitud 7.7 skala Richter dua bulan kemudian di selatan Jawa membunuh lebih 650 orang.

Bencana alam serupa melanda Bengkulu pada 12 September 2007 dengan kekuatan gegaran 8.5 pada skala Richter, meragut 23 nyawa dengan 88 yang lain cedera, beberapa minit sebelum masuk waktu Maghrib menandakan ketibaan Ramadan sekali gus menyebabkan penduduknya menjalani ibadah puasa dalam keadaan benar-benar teruji.

Gempa terbaru ini juga berlaku pada bulan Ramadan dan September dua tahun selepas itu, membuatkan rakyat Malaysia merasa terpanggil untuk menghulurkan bantuan baik dari segi kemanusiaan ataupun membantu saudara seagama dalam kesulitan.

Malaysia memang dikenali sejak dulu lagi dengan reputasi pantas menghulurkan bantuan apabila negara tetangganya ini berdepan dengan masalah, semuanya dilakukan atas dasar kemanusiaan, semangat kejiranan dan asal bangsa serumpun.

Contohnya rancangan bantuan melaksanakan sistem perparitan terancang untuk mengurangkan pembakaran di Rokam Hilir, Riau, Indonesia bagi menangani masalah jerebu yang melanda rantau ini.

Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) juga sudah beberapa kali ke Indonesia bagi menghulurkan bantuan ketika beberapa kawasannya dilanda gempa bumi seperti di Acheh, Nias, Yogyakarta dan Bengkulu sebelum ini.

Pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia juga 'diseru' semangat sama untuk menhulurkan tangan dalam tragedi bencana. Contohnya, seramai 35 penuntut perubatan di Jakarta dan Bandung baru-baru ini menyertai pasukan sukarela Bulan Sabit Merah Indonesia bagi memberi bantuan kepada mangsa gempa bumi di Pangalengan, Bandung Selatan.

Atas rasa prihatin rakyat Malaysia sebeginilah tertubuhnya Tabung Gempa Nusantara, hasil kerjasama akhbar Utusan Malaysia dengan Malayan Banking Bhd. (Maybank) yang dimulakan selepas gempa bumi melanda Bengkulu dua tahun lalu.

Rasa belas kasih rakyat Malaysia nyata terbukti kutipan lebih RM1 juta yang diterjemahkan kepada 11 buah ambulans dan seunit lori tangki dan diserahkan kepada hospital-hospital di wilayah Bengkulu pada 18 Ogos tahun lalu.

Ia disampaikan sendiri oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin bersama Penasihat Maybank, Datuk Mohammed Hussein kepada Gabenor Bengkulu, Agusrin M. Najammudin dan 11 bupati untuk digunakan di hospital-hospital di daerah masing-masing.

'Seruan' yang sama juga sekali lagi menggerakkan Tabung Gempa Nusantara pada Selasa 8 September lalu bagi meringankan beban penduduk mangsa gempa di Jawa Barat baru-baru ini.

Apa yang menghairankan, sebilangan kecil rakyat Indonesia sanggup menjalankan gerakan 'Sweeping Malaysia' (Sapu Malaysia) bagi mencari dan mengusir rakyat kita di sana hanya kerana isu remeh seperti tarian Pendet yang nyata diperbesar-besarkan pihak tertentu.

Sedikit sebanyak penduduk di Malaysia berasa terkilan dengan isu-isu yang timbul namun itu tidak membantutkan niat menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan atas dasar kemanusiaan dan tanggungjawab sebagai negara jiran.

Tambahan pula, masyarakat di kedua-dua negara yang berasal dari rumpun bangsa yang sama dan kita nyata tidak boleh melihat saja saudara seagama mengharungi baki Ramadan dalam keadaan kesusahan atau menyambut ketibaan Syawal dengan kedukaan.

Diharap seluruh rakyat Malaysia dapat menghulurkan bantuan melalui Tabung Gempa Nusantara kali ini agar dapat meringankan beban mangsa gempa dengan menyalurkan sumbangan ikhlas tanpa mengambil kira isu-isu remeh yang kebelakangan ini melingkari hubungan dengan Indonesia.

Sumber : http://www.utusan.com.my/