Oleh Mohd Yakub B Mohd Yunos(Artikel ini diringkaskan daripada buku MENYAMBUT RAMADAN & AIDILFITRI MENURUT SUNNAH RASULULLAH S.A.W. terbitan Karya Bestari)
Sumber : http://akob73.blogspot.com/
Oleh Mohd Yakub B Mohd Yunos
Oleh Nurul Farina NazlanDituduh menjadi punca pelajar lemah bahasa Inggeris
MESKIPUN bahasa Melayu sudah dinobatkan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi negara ini mengikut undang-undang negara dalam Fasal 152, Perlembagaan Persekutuan, tetapi masih ada yang kelompok jaki dan menjadikannya sebagai punca rakyat Malaysia tidak menguasai bahasa Inggeris.
Akhbar The Star bertarikh 23 Jun dalam ruangan ‘Other News and Views’ memetik laporan dalam Nanyang Siang Pau yang menyatakan bahawa penguasaan bahasa Inggeris pelajar di negara ini merosot kerana bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar di sekolah kebangsaan.
Felo Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Teo Kok Seong, berkata kenyataan itu tidak munasabah kerana faktor penguasaan dalam sesuatu bahasa itu banyak bergantung kepada pelajar sendiri.
Prof Teo yakin bahawa kecerdasan pelajar menjadi faktor utama dalam menentukan keupayaan pelajar menguasai banyak bahasa dan sekiranya diperkukuhkan lagi dengan inisiatif bersepadu daripada mereka, terbukti kelompok ini berjaya menguasai banyak bahasa dalam tempoh singkat.
“Lihat saja di kalangan pemimpin bukan Melayu yang bukan saja boleh berbahasa ibunda dengan baik, tetapi turut mampu menguasai bahasa Melayu dan Inggeris dengan cemerlang seperti Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Datuk Seri Ong Tee Keat,” ujarnya.
“Sistem pendidikan hari ini perlu diubah suai dengan mengangkat subjek kesusasteraan sebagai salah satu mata pelajaran teras bermula di sekolah rendah kerana ia mampu meningkatkan rasa cinta kepada negara dan salah untuk mengatakan bahasa Melayu mengurangkan minat pelajar untuk menguasai bahasa Inggeris,” katanya.
Beliau memetik kajian pakar psikolinguistik, Noah Chomsky yang menemukan fakta bahawa dalam otak manusia ada satu alat iaitu Peranti Pemerolehan Bahasa (LAD) yang dapat membantu individu menguasai pelbagai jenis bahasa sedari awal umur tiga tahun.
“Saya tidak setuju dengan pandangan sesetengah individu bahawa penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar negara ini berkurangan akibat bahasa Melayu, apalagi menggunakan pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) sebagai hujah,” jelasnya.
Beliau yang cergas dalam deklamasi puisi, turut menegaskan bahawa penguasaan pelbagai bahasa seseorang adalah inisiatif dalam dirinya sendiri dapat membantu mereka menguasai banyak bahasa jika usaha ditumpukan bagi mencapai matlamat terbabit.
“Pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, bahasa Melayu diangkat dan diiktiraf sebagai lingua franca di Nusantara dan pahlawan Melayu, Hang Tuah, menguasai sehingga 12 bahasa dunia. Ini membuktikan bahasa Melayu bukan punca seseorang itu lemah menguasai bahasa Inggeris,” tegasnya.
Sastera turut mendapat pengalaman pelajar Diploma Komunikasi dan Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Melaka, Raja Nurashikin Raja Aziz, 19, dalam permasalahan penguasaan bahasa Inggeris dan beliau mengakui ada kebaikan dan keburukan jika sesuatu subjek itu diajar dalam bahasa Inggeris.
“Saya adalah generasi pertama yang belajar menggunakan bahasa Inggeris untuk subjek Sains dan Matematik. Pada awalnya kami tidak dapat menguasainya dengan baik, tetapi selepas terdedah beberapa lama kepada perkara terbabit, kami akhirnya dapat menguasai secara berperingkat.
“Justeru saya tidak bersetuju dengan kenyataan sesetengah pihak bahawa kegagalan pelajar menguasai bahasa Inggeris disebabkan bahasa Melayu. Andaian berkenaan tidak tepat kerana manusia boleh menguasai pelbagai bahasa penting, tetapi ia perlu disertai dengan usaha selari dengan matlamat untuk mendapatkan ilmu,” katanya.
Justeru, apa yang lebih penting adalah kesedaran masyarakat Malaysia mengenai kepentingan menguasai bahasa Melayu dan mengenali akar umbi masyarakat pelbagai kaum di negara ini dan tidak menjadi isu sekiranya sesuatu ilmu itu dipelajari dalam bahasa apa sekali pun, termasuk bahasa Melayu.
Sumber : http://www.bharian.com.my/
| |
| AMALAN bertadarus dalam Ramadan perlu diteruskan pada bulan-bulan lain. |
RAMADAN terbukti berfungsi sebagai bulan tarbiyah dan pelaburan kerana di dalamnya terkandung janji Allah SWT berserta gugusan pahala yang berlipat ganda sebagai anugerah buat sekalian hambanya natijah dari perlaksanaan amalan-amalan wajib dan amalan-amalan sunnah yang disyariatkan.
Rasulullah SAW bersabda, bahawa Allah SWT berfirman dalam sebuah hadis qudsi yang bermaksud: Setiap amal manusia adalah untuk dirinya kecuali puasa, ia adalah untuk-Ku dan Aku memberi ganjaran dengan amalan puasa tersebut. (riwayat Muslim)
Allah SWT tidak pernah mengabaikan setiap perlakuan amal soleh setiap hamba-Nya meskipun hanya seberat zarah.
Firman Allah yang bermaksud: Maka sesiapa yang berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam buku amalannya). (al-Zalzalah: 7).
Demikian pula sesiapa yang melakukan kejahatan walau seberat zarah, amalannya tetap akan diperlihatkan kepadanya. Firman Allah yang bermaksud: Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam buku amalannya). (al-Zalzalah: 8)
Ramadan inspirasi syawal
Ramadan al-Mubarak yang berlalu sewajarnya dijadikan inspirasi dalam mempertingkatkan amalan dan menjaga produktivitinya agar mencapai tingkat istiqamah dalam membina jati diri Muslim yang cemerlang selama saki baki umur masih dibekalkan oleh Allah SWT.
Syawal yang dirai merupakan proses pertama dalam menilai tingkat penghayatan seseorang sepanjang Ramadan, sama ada telah mencapai objektif yang dicita-citakan iaitu memperoleh keampunan dan pembebasan dari azab api neraka pada hari kiamat?
Apakah keintiman hubungan dengan Allah semakin dirasai dan bertambah kukuh? Apakah tali silaturrahim sesama Muslim terjalin erat dalam usaha mentaati perintah Allah SWT dan mencari keredaannya?
Apakah segala amalan yang pernah dilakukan pada saat Ramadan mampu dipraktik untuk kesekian kalinya?
Syawal yang bermakna
Hari raya adalah satu peluang yang cukup besar dan bermakna untuk meningkatkan kualiti amalan, memulihkan hubungan sesama manusia yang merupakan tuntutan syariat Islam, berlapang dada, murah hati, ukhuwah, belas kasihan dan kasih sayang.
Sentiasa istiqamah dalam kebaikan
Daripada Aisyah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Tingkatkanlah amalanmu dengan baik, atau lebih dekatlah kepada kebaikan, dan bergembiralah, kerana amalan seseorang itu tidak dapat memasukkannya ke dalam syurga. Para sahabat bertanya, "Adakah amalanmu juga begitu, wahai Rasulullah"? Jawab Rasulullah SAW: "Amalanku juga begitu. Tetapi Allah melimpahiku dengan rahmat-Nya. Ketahuilah, sesungguhnya amalan yang paling disukai oleh Allah SWT ialah amalan yang dikerjakan secara berterusan walaupun sedikit". (riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Meneruskan amalan Qiamullail dan ibadah lain
Daripada Abu Umamah r.a Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa yang melaksanakan qiamullail pada dua malam Eid (Aidil Fitri dan Aidil Adha), dengan penuh keikhlasan kerana Allah SWT, hatinya tidak akan mati pada hari matinya hati-hati manusia." (riwayat Ibn Majah)
Niat untuk bangun malam melakukan amal ibadah tidak hanya berkutat atau berhenti pada pepatah Melayu 'hangat-hangat tahi ayam'.
Rasullullah mencela umatnya ketika melakukan suatu perkara ghairah melakukannya di peringkat permulaan namun layu terkulai di penghujungnya.
Daripada Abdullah bin Amr ibn al-As berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Wahai Abdullah, janganlah engkau seperti si pulan, suatu ketika dahulu dia melakukan solat malam (tetapi sekarang) dia tidak melakukannya lagi." (riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Melakukan puasa enam hari dalam bulan Syawal
Daripada Abu Ayyub Al-Ansari r.a sesungguhnya dia telah dikhabarkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian dia mengiringi puasanya dengan enam hari dari bulan Syawal, maka (pahalanya) seolah-olah berpuasa selama setahun." (riwayat Muslim)
Meneruskan amalan bersedekah
Daripada Abu Hurairah r.a sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: "Tidak satu hari pun dimana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, satu antara kedua-duanya berkata: "Ya Allah, berikanlah ganti (kembangkanlah harta) bagi orang-orang yang berinfak (menghulurkan sedekah)" dan satu yang lain pula berdoa, "Ya Allah, binasakanlah harta orang-orang yang kikir (kedekut)". (riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Istiqamah menjauhi amalan yang bertentangan
Istiqamah itu bukan sahaja dituntut dalam perihal amal kebaikan sahaja, akan tetapi istiqamah turut dituntut dalam meninggalkan perkara-perkara yang keji dan berdosa.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah. Dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu sedang mereka mengetahui akan salahnya dan akibatnya. (ali-'Imran: 135)
Dalam suasana meraikan kedatangan Syawal dan Aidilfitri khasnya, umat Islam dilarang melakukan amalan yang bertentangan dengan syariat Islam. Antaranya:
1. Membazir dan berlebih-lebihan dalam berbelanja. Perbuatan ini amat bertentangan dengan perintah Allah SWT di dalam al-Quran yang bermaksud, Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya. (al-Isra': 27)
2. Hilangnya perasaan kasih sayang dan simpati terhadap fakir miskin. Perlakuan ini bertentangan dengan sabda baginda SAW.
Daripada Abu Said al-Khudri r.a, Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: "Mana-mana orang mukmin yang memberi makan kepada seorang mukmin semasa ia lapar, nescaya Allah memberi makan kepadanya pada hari kiamat dari buah-buahan syurga; dan mana-mana orang mukmin yang memberi minum kepada seorang mukmin semasa ia dahaga, nescaya Allah memberi minum kepadanya pada hari kiamat dari minuman syurga yang tersimpan dengan sebaik-baiknya; dan mana-mana orang mukmin yang memberi pakai kepada seorang mukmin semasa ia memerlukan pakaian, nescaya Allah memberi pakaian kepadanya dari pakaian syurga". (riwayat al-Tirmidzi)
3. Meniru cara atau etika orang-orang kafir dalam berpakaian ketika menyambut Aidilfitri terutama wanita.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti Yang dilakukan oleh orang-orang jahiliah zaman dahulu; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat; dan Taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu Dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu. (al-Ahzab: 33)
Daripada Ibn Umar r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, dia termasuk dalam golongan mereka". (hadis sahih riwayat Abu Dawud).
4. Meninggalkan solat berjemaah di masjid. Perlakuan ini bertentangan dengan anjuran Rasulullah agar menunaikan solat secara berjemaah di masjid bagi kaum lelaki.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Solat berjemaah itu adalah lebih baik daripada solat bersendirian iaitu sebanyak 27 darjat (ganjaran)." (riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sebagai kesimpulan, aidilfitri adalah bukti kesyukuran hamba atas segala limpah kurniaan Allah yang Maha Kuasa.
Sumber : http: //www.utusan.com.my/
Salam Aidil Fitri Maaf Zahir & Batin diucapkan khusus kepada kesemua rakan guru bahasa Melayu di seluruh negara, rakan-rakan guru cemerlang, seluruh warga pendidik, para pengunjung blog, anak-anak murid PANGLIMA, bekas- bekas pelajar saya serta seluruh umat Islam di mana-mana juga berada.
oleh: Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin Masyarakat melayu kita sering mengaitkan hari raya dengan hari kesedihan. Perkara ini diransang tambah oleh media kita. Apabila tiba hari raya, takbir raya ala melayu berirama sedih, alunan melodinya mendayu dan mengundang airmata, drama dan cerita dalam media akan dikaitkan dengan kisah-kisah sedih dan pilu, puisi dan lagu juga begitu. Apakah hari raya dalam Islam hari sedih, atau hari kemenangan dan kegembiraan?
Terlebih dahulu kita hendaklah tahu bahawa hari raya dalam Islam bukan sekadar tradisi atau cetusan idea mana-mana pihak, ia adalah syariat yang diturunkan oleh Allah dan ada hukum-hakamnya yang tersendiri. Di samping ia adalah hari yang Allah peruntukkan untuk kaum muslimin membesarkan Allah, kemenangan dan kegembiraan.
Firman Allah (maksudnya):
“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan, maka hendaklah dia berpuasa; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (maka diganti) pada hari-hari yang lain. (dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur”. (Surah al-Baqarah: 185).
Ayat ini menjelaskan tentang kedatangan Hari Raya adalah tanda syukur atas nikmat kurniaan Allah. Maka kita disuruh bertakbir membesarkan Allah pada Hari Raya. Ini semua tanda kejayaan dan kegembiraan.
Apatah lagi hadis-hadis Nabi s.a.w menunjukkan penghayatan hari raya pada zaman baginda penuh dengan kegembiraan dan ceria. Kata Ummu Atiyyah r.aha:
“Rasulullah s.a.w memerintahkan kami (kaum wanita) keluar pada hari raya fitri dan adha; termasuk para gadis, wanita haid, anak dara sunti. Adapun mereka yang haid tidak menunaikan solat tetapi menyertai kebaikan dan seruan kaum muslimin” (Riwayat al-Bukhari).
Maka Nabi s.a.w dalam sunnahnya, menunaikan solat hari raya di tanah lapang, sehingga memungkin setiap individu menyertai kemenangan dan kegembiraan pada hari tersebut, juga lebih penting untuk memperlihatkan kekuatan, perpaduan, kejayaan dan kebahagiaan hidup kaum muslimin.
Takbir hari raya adalah takbir yang bersemangat, bukan berirama sedih seperti takbir kita. Cubalah dengar takbir hari raya di dunia Arab, lain iramanya.
- Gambar Hiasan
Hiburan
Di sudut hiburan pula, ruang yang luas Islam berikan untuk insan muslim bergembira, syaratnya jangan menyanggahi syariat. Islam agama yang luhur lagi memahami jiwa insan yang berbagai. Hiburan bukan satu kewajipan, tetapi satu ruang atau sudut yang kadang-kala diperlukan oleh insan dalam keadaan tertentu, atau membantu seseorang menikmati kehidupan dunia ini. Sesiapa yang tidak mahu, tidak mengapa tetapi jangan dihalang orang menikmatinya.
Hari raya adalah hari gembira. Hiburan dengan disiplin dan adab yang baik merangsang kegembiraan itu, maka bertambah meriah hari raya yang diperuntukkan agama untuk kita. Dalam hadis daripada isteri Rasulullah s.a.w Ummul Mukminin ‘Aishah r.aha:
“bahawa pada hari raya Fitri atau Adha, Abu Bakr masuk ke rumahnya (rumah ‘Aishah) dan Nabi s.a.w berada di sisinya. Ketika itu ada dua penyanyi wanita sedang menyanyi mengenai kebanggaan Ansar pada Hari Bu‘ath (peperangan antara Aus dan Khazraj). Abu Bakr berkata: “Suara syaitan” (sebanyak dua kali). Nabi s.a.w bersabda: “Biarkan mereka wahai Abu Bakr! Setiap kaum ada hari raya dan sesungguh hari ini adalah hari raya kita” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Dalam riwayat Muslim yang lain menyatakan mereka memukul gendang sebagai alatan muzik iringan nyanyian mereka.
Amat menarik sikap lunak yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. Bayangkan bagaimana dua gadis ini boleh menyanyi dalam rumah Rasulullah s.a.w? Jikalah tabiat Rasulullah itu keras dan garang, tentulah dari awal mereka tidak berani menyanyi dan bergendang dalam rumah Nabi s.a.w.
Lihat pula reaksi baginda apabila Abu Bakr memarahi mereka, baginda tidak berdiam diri sebaliknya menyatakan pendirian nabawi bahawa itu semua diizinkan.
Ada sesetengah pendapat yang menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w tidak menafikan bahawa nyanyian adalah suara syaitan seperti yang disebut oleh Abu Bakr, cuma membiarkan khusus untuk hari tersebut kerana ia hari raya. Pendapat ini agak ganjil. Apakah jika hari raya maka suara syaitan dibenarkan? Atau apakah hari raya nyanyian tidak menjadi suara syaitan, tetapi apabila tamat hari raya ia kembali menjadi suara syaitan kembali? Cukuplah dengan teguran Nabi s.a.w itu sebagai satu bantahan umum atas kenyataan Abu Bakr.
Bahkan hadis ini diriwayatkan al-Bukhari bersama riwayat berikut untuk menunjukkan keluasan Islam; kata ‘Aishah juga:
“Pada hari raya orang Sudan membuat pertunjukan permainan perisai dan lembing. Aku tidak pasti sama ada aku yang meminta, atau baginda yang berkata: “Apakah engkau ingin menontonnya?” Jawabku: “Ya”. Lalu baginda menjadikan aku berada belakangnya, pipiku menyentuh pipinya sambil baginda berkata: “Teruskan wahai Bani Arfidah (orang-orang Sudan)”. Sehinggalah aku jemu. Kemudian baginda berkata kepadaku: “Sudah cukupkah (jemukah)?”. Jawabku: “Ya”. Kata baginda: “Kalau begitu, pergilah”. (Riwayat al-Bukhari).
Pertunjukan yang disebut dalam hadis ini sebenarnya berlangsung dalam masjid Nabi s.a.w seperti mana yang disebut oleh hadis lain yang juga diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim. Maka pandangan yang agak ketat dan ‘tidak luas’ yang mengehadkan menikmati hiburan seperti yang disebut dalam hadis-hadis di atas untuk hari raya sahaja sebenarnya telah menyempitkan urusan muamalat dan kehidupan yang diluaskan oleh Islam.
Soal hiburan bukan seperti ibadah khusus yang memang tidak boleh ditokoh tambah. Hiburan adalah sesuatu yang bermula dari titik tolak ‘harus’ atau keizinan umum syarak yang tidak boleh diharamkan melainkan dengan dalil yang jelas. Hiburan bukan seperti ibadah yang tidak boleh direka tambah.
Hiburan adalah hak inovasi dan kreativiti insan yang diizinkan secara luas selagi tidak menyanggahi prinsip dan hukum yang Islam tetapkan.
Apatah lagi baginda Nabi s.a.w apabila mengizinkan hal-hal ini semua menyebut pada hari berkenaan:
“Agar Yahudi mengetahui bahawa dalam agama kita ada keluasan. Sesungguhnya aku diutuskan dengan agama yang lurus lagi mudah” (Riwayat Ahmad, dinilai sahih oleh al-Albani).
Pada hari ini ramai yang rasa Islam itu sempit dan menyongkong. Demikian Barat dan Yahudi menuduh Islam hal yang sama. Nabi s.a.w membuka ruang kegembiraan dan hiburan, agar Islam tidak difitnah dan dituduh demikian rupa.
Apa yang hendak disampaikan adalah hari raya dalam Islam adalah hari gembira, bukan hari sedih dan duka seperti yang selalu ditonjolkan oleh drama dan lagu melayu menjelang hari raya. Apa sahaja aktiviti yang merangsang suasana gembiara dan tidak menyanggahi syarak, adalah digalakkan pada hari raya. Ini termasuklah kuih-muih, ziarah-menziarahi, duit dan hadiah raya, juga nyanyian dan hiburan. Islam adalah agama lurus tapi mudah dan praktikal untuk kehidupan insan.
Malang masyarakat kita, jika di sebahagian tempat, hari sedih seperti hari kematian dijadikan hari kegembiraan dengan dibuat ‘kenduri atau jamuan kematian’, ‘wang angpau untuk sembahyang jenazah’ dan berbagai perkara lain bagaikan berpesta dengan kematian. Itu semua bukan ajaran Islam.
- Gambar Hiasan
Namun apabila tiba saat yang disuruh gembira iaitu hari raya, didendangkan irama dan drama sedih, menangis di kubur dan berbagai lagi. Kita terbalikkan suasana. Hari raya hari gembira bukan hari sedih. Bak kata sabda Nabi s.a.w: “Agar Yahudi mengetahui bahawa dalam agama kita ada keluasan. Sesungguhnya aku diutuskan dengan agama yang lurus lagi mudah”
Sumber : http://drmaza.com/
Beliau berkata pemberian cuti khas itu melibatkan semua sekolah dan institusi pendidikan di bawah Kementerian Pelajaran.
"Kabinet membuat keputusan tersebut dalam mesyuaratnya hari ini bagi membolehkan ibu bapa membuat perancangan awal perjalanan keluarga bercuti di kampung halaman masing-masing dan mengelakkan kesesakan jalan raya," katanya dalam kenyataan media.
Korban sehari Ops Sikap atasi sebulan kematian H1N1 OPS Sikap ke-20 yang bermula pada Ahad lalu menyaksikan angka kematian sebanyak lapan kes pada hari pertama. Angka kematian itu dijangka terus meningkat menjelangnya waktu puncak iaitu dua atau tiga hari sebelum dan selepas hari raya.
Ops Sikap dilancarkan untuk mengurangkan angka kemalangan jalan raya pada musim perayaan dan sekali gus mengurangkan kehilangan nyawa. Menjelang usianya yang ke-20, diharapkan suatu statistik yang lebih baik dapat dilihat setelah berakhirnya Ops Sikap ini.
Pelbagai pihak telah cuba sedaya-upaya bagi mencapai objektif meminimakan nahas jalan raya pada musim perayaan. Bukan sahaja pihak Polis Diraja Malaysia, bahagian Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) turut melaksanakan tanggungjawabnya dengan kolaborasi agensi-agensi kerajaan lain.
Pelbagai pendekatan telah dan akan diambil bagi menurunkan kadar kemalangan dan angka nahas maut ekoran insiden ini.
Antaranya ialah larangan ke atas kenderaan barangan menggunakan jalan raya pada 18 dan 19 September serta 26 dan 27 September selain pemantauan dan kawalan keredaan trafik melalui 19 Menara Kawalan Trafik PDRM, pemantauan dan pemeriksaan perkhidmatan bas ekspres di depot dan 35 lokasi terminal bas, pengurangan had laju maksimum sebanyak 10 kilometer sejam bagi jalan persekutuan dan negeri mulai 13 hingga 27 September.
Kerajaan juga menggalakkan penggunaan sistem pengangkutan awam serta kempen-kempen advokasi keselamatan jalan raya.
Menteri Kerja Raya telah mengarahkan kerja-kerja membaik pulih di lebuh-lebuh raya dihentikan seketika bagi mengurangkan risiko kesesakan dan yang lebih penting ialah meminumkan kes kemalangan.
Sungguhpun begitu operasi tahunan ini sering kali dipandang enteng dan kurang penting oleh pengguna-pengguna jalan raya. Dalam mereka berwaspada dengan perangkap-perangkap had laju, pedal minyak kembali ditekan setelah lokasi penguatkuasa polis atau kamera perakam kelajuan dilepasi.
Inilah sebenarnya masalah yang besar yang dilihat sukar ditangani saban tahun.
Aktiviti memotong barisan boleh dilihat di mana-mana jalan asal sahaja ada barisan. Di mana ada barisan, di situlah ada yang mengambil kesempatan tanpa memikirkan perasaan mereka yang berbaris menunggu sekian lama.
Lebih parah, rasa mereka sentiasa terselamat dan kemalangan-kemalangan yang menimpa seperti dipaparkan dalam akhbar dan televisyen hanya menimpa orang lain membuat mereka yang samseng di jalan raya ini bersikap 'kebal peraturan'.
Kita seharusnya ingat bahawa mungkin disebabkan perbuatan kita, ada orang lain yang menjadi mangsa. Kita mungkin terlepas namun orang lain mungkin terbabas kerana mengelakkan kenderaan kita.
Harga satu nyawa amatlah berharga sebagaimana yang kita lihat dengan jelas bagaimana kerajaan berhabis-habisan memerangi wabak influenza A H1N1 semata-mata bagi menyelamatnya komoditi yang sama iaitu sebuah nyawa.
Jika sebulan sebelum ini, khususnya pada bulan Ramadan yang telah hampir penghujungnya, bilangan kes kematian yang dicatatkan hanyalah sekitar 6 kes (68 kepada 74), maka apakah justifikasi yang harus diberikan untuk bilangan kes kematian yang sama atau lebih banyak di jalan raya yang berlaku hanya dalam tempoh satu hari sahaja, jika bukan kerana sikap kita sendiri?
Sumber : http: //www.utusan.com.my/