Isnin, 5 Oktober 2009

Martabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa 1Malaysia

PERJUANGAN untuk memartabatkan kedudukan bahasa Melayu di negara ini tidak pernah terhenti mahupun diabaikan. Pelbagai pihak sentiasa dilihat menyuarakan kebimbangan terhadap penghakisan penghormatan terhadap bahasa yang sepatutnya menjadi tunjang penduduk Malaysia ini.

Kita seolah-olah semakin lupa apa yang tercatat dalam Perlembagaan negara ini walaupun jelas bahasa Melayu sudahpun diiktiraf dan diletakkan di suatu kedudukan yang tinggi martabatnya apabila ia diisytihar sebagai bahasa kebangsaan.

Kita juga perlu ingat bahawa bukan mudah status bahasa kebangsaan ini diberikan. Ia telah dibincang, dibahas dan akhirnya telahpun dipersetujui oleh semua pihak terutamanya semua pemimpin politik yang mewakili semua kaum utama di negara ini semasa perlembagaan itu digubal dan diluluskan.

Maka sewajarnya tidak patut timbul soal bahasa Melayu dipinggirkan ataupun dikesampingkan dalam semua urusan baik yang rasmi mahupun tidak rasmi.

Sepatutnya juga tidak perlu timbul isu keperluan untuk memperjuangkan bahasa ini kerana secara hakikinya dan juga secara automatiknya bahasa ini wajib didaulat dan dimuliakan oleh semua pihak terutamanya setiap warga negara ini.

Namun kelekaan sesetengah pihak dalam menjalankan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan menyebabkan kita semakin terjerumus ke kancah 'keperluan' untuk memperjuangkan sesuatu yang sepatutnya tidak perlu diperjuangkan lagi secara paksa.

Rasanya tidak perlu lagilah kita menuding jari menyalahkan orang politik mahupun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Kesedaran perlu berputik dengan sendirinya di jiwa setiap daripada kita jika mahu bahasa ini terus mekar dan subur.

Bahasa kebangsaan ini besar peranannya jika kita mahu merealisasikan misi 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri kita. Malah boleh dikatakan inilah jambatan penghubung utama antara kaum yang boleh menjayakan misi tersebut.

Kita perlu bersatu dalam satu bahasa supaya komunikasi dan perhubungan antara kaum dapat dipererat serta dimantapkan dan seterusnya boleh mengelakkan segala prasangka buruk sesama kita.

Ini kerana masyarakat kita sememangya sudahpun terpisah di antara satu sama lain dengan pelbagai budaya yang diamalkan oleh kaum masing-masing.

Budaya ini adalah tradisi dan adat masing-masing yang telah menjadi amalan turun- temurun yang tidak boleh dipadam begitu sahaja. Maka dalam aspek apa lagi kita boleh bersatu jika bukan melalui bahasa perantaraan yang satu ini, iaitu bahasa Melayu.

Walaupun sudah 52 tahun kita merdeka namun masih terdapat rakyat yang tidak fasih berkomunikasi dalam bahasa Melayu.

Ia sesuatu yang cukup menyedihkan. Keadaan ini dapat dielakkan jika kita memberi penekanan sewajarnya dalam aspek pemahaman dan pembelajaran bahasa Melayu di peringkat sekolah.

Ternyata pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di sekolah Tamil dan Cina tidak begitu membantu anak-anak untuk berkomunikasi dan bertutur dengan baik dalam bahasa Melayu.

Bahasa rojak terus menjadi amalan. Jika ini dibiarkan maka seluruh generasi akan terbawa-bawa dengan bahasa rojak tersebut.

Dalam hal ini orang Melayu juga perlu memainkan peranan sewajarnya. Misalnya apabila mereka berkomunikasi dengan orang Cina ataupun India maka mereka sepatutnya menggunakan bahasa yang betul dan bukannya bahasa rojak dengan mengikut rentak pertuturan orang Cina ataupun India.

Ini banyak berlaku di kalangan masyarakat kita dalam perbualan dan urusan seharian. Perkara ini perlu dihentikan dan dibendung dengan segera kerana ini menunjukkan seolah-olah orang Melayu sendiri menggalakkan penggunaan bahasa Melayu yang tidak betul ataupun bahasa rojak.

Sepatutnya orang Melayu menjadi contoh dan teladan kepada orang lain dengan bertutur dalam bahasa Melayu yang betul di samping membantu mendidik ataupun memperbetulkan bahasa rojak yang digunakan oleh orang lain. Ini jelas tidak berlaku malah lebih merumitkan keadaan yang sedia ada.

Justeru satu permintaan dan harapan kita kepada semua pihak yang berkenaan terutamanya orang Melayu serta pihak yang mempunyai kuasa, patuhi dan kuat kuasakan apa yang tertera dalam Perlembagaan kita supaya bahasa ini didaulat dan digunakan dengan betul.

Sempena pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan peringkat kebangsaan ini, marilah kita bersama-sama bertekad untuk menghayati dan seterusnya membudayakan penggunaan bahasa Melayu di kalangan seluruh rakyat negara ini.

Percayalah bahawa hanya melalui penyatuan bahasa sahaja kita boleh menjayakan misi 1Malaysia.

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED

Serdang, Selangor

Sumber : http: //www.utusan.com.my/

Kempen saban tahun gagal perkasa bahasa Melayu

Oleh Jami'ah Shukri
jamiah@bharian.com.my

BAHASA Jiwa Bangsa, slogan yang diguna pakai dalam program dan kempen bulan bahasa sejak lima dekad lalu, tetapi masih gagal meletakkan bahasa Melayu ke tahap tertinggi. Kekaguman terhadap bahasa Melayu yang diperjuangkan oleh sekumpulan tertentu di negara ini hanya dilihat sebagai mitos dan tidak mendapat sokongan penuh daripada yang sepatutnya.

Sebilangan besar korporat Melayu pula dilihat lebih menebal dan terlalu taksub dengan kehebatan bahasa Inggeris serta menganggap tidak mahir berbahasa global itu, akan menyebabkan sesuatu bangsa itu tidak boleh maju dan berada di puncak kecemerlangan.

Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan, Datuk Dr Hassan Ahmad, berkata kerajaan tidak perlu mengadakan kempen Bulan Bahasa kerana bahasa Melayu sudah menempa nama yang besar dari segi sejarahnya sejak beratus tahun lamanya.

"Saya menganggap kempen seumpama itu sebagai budaya kalangan masyarakat di negara ini. Saya lihat, hanya Malaysia satu-satunya negara di dunia menganjurkannya," katanya yang juga Pengerusi Gerakan Mansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Beliau berkata, sepatutnya dasar berkaitan bahasa itu perlu diperkukuhkan dan pelaksanaan dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Ramai yang masih mencampuradukkan penggunaan bahasa Melayu dan Inggeris terutama ketika berkomunikasi. Lebih malang, ramai kalangan pemimpin, ahli korporat dan perniagaan yang menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama

"Saya tidak fikir dengan berbahasa Melayu kita tidak maju dalam perniagaan atau pekerjaan. Lihat saja, senarai jutawan di Malaysia, ada antaranya tidak tahu berbahasa Inggeris tetapi mampu menunjukkan kemampuan dari segi pencapaian hidupnya.

"Rakyat di Jepun dan Perancis tidak menggunakan bahasa Inggeris dalam pelbagai urusan, tetapi tetap menjadi sebuah bangsa yang maju. Bagi saya, kita tidak mempunyai masalah atau berdepan dengan isu bahasa, sebaliknya hanya sekumpulan masyarakat tertentu yang sudah merosakkannya," katanya.

Justeru, Yayasan Karyawan tidak menjalankan sebarang kempen untuk memperkukuhkan penggunaan bahasa Melayu kerana menganggap bahasa Melayu tidak ada sebarang masalah, sebaliknya, Yayasan Karyawan lebih aktif menerbitkan semula karya agung pada abad ke-14.

Mengenai fungsi bahasa Malaysia sebagai bahasa perpaduan, Hassan berpendapat matlamat ke arah itu masih belum tercapai kerana orang Melayu sendiri tidak bersungguh-sungguh dan lebih ghairah mengagungkan bahasa Inggeris. Ini menyebabkan kaum lain juga melihat, orang Melayu sendiri tidak serius ke arah itu.

"Lihat saja papan tanda, mengapa perlu ada bahasa lain. Mengapa tidak digunakan bahasa Melayu saja. Kita sudah ada konsep 1Malaysia, jadi mengapa perlu ada banyak bahasa pada papan tanda itu," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Datuk Baharuddin Zainal atau Baha Zain, berkata DBP seharusnya membuat bedah siasat terhadap program Bulan Bahasa yang dilancarkan selama ini kerana ia dianggap sebagai program rutin setiap tahun sedangkan ia dilihat seakan gagal mencapai matlamat memartabatkan bahasa Malaysia.

Katanya, DBP perlu mengupas secara holistik program itu di samping mendapatkan pandangan daripada pakar serta pejuang bahasa supaya ia mampu memenuhi konteks baru dan situasi semasa, dengan melihat semula status bahasa kebangsaan dalam keseluruhan sistem pentadbiran, pendidikan serta sektor swasta.

"Kita berharap supaya bulan bahasa kebangsaan dilaksanakan pada masa depan mampu menjadi pelengkap ke arah memperkasakan bahasa itu. Tidak banyak kesan dicapai selama ini," katanya.

Pada masa sama, kerajaan perlu menanamkan keazaman untuk memulihkan bahasa Melayu yang semakin terpinggir terutama ketika pelaksanaan PPSMI dan seterusnya dijadikan asas pembangunan moden negara ini.

Katanya, kerajaan sewajar-nya memulihkan keazaman dan mengembalikan semula kecemerlangan bahasa Malaysia sama seperti pada zaman pentadbiran Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein.

"Apa yang dilihat penggunaan bahasa Melayu tidak menyeluruh termasuk dalam sektor awam. Lihat sajalah pengurusan tertinggi syarikat berkaitan kerajaan (GLC), lebih suka bercakap bahasa Inggeris. Kepemimpinan melalui teladan tidak diterap di situ, bagaimana orang bawahan akan mengikut.

"Pengurusan tertinggi GLC ini melahirkan kelas elit yang tidur, rasa diri terpisah daripada budaya bahasa. Isu bahasa Melayu juga masih pincang pada peringkat pengajian tinggi. Ketika ini, pendirian mengenai pengajaran dalam bahasa Melayu sudah dicapai di sekolah rendah dan menengah, tetapi tidak di institusi akademi itu," katanya.

Apa yang penting, pandangan pejuang bahasa berkaitan isu ini tidak seharusnya dikesampingkan kerana mereka adalah sekumpulan entiti elit yang mewakili sebahagian suara rakyat di peringkat akar umbi.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Kaji beri lebih kuasa DBP martabat bahasa

LARUT 4 Okt. - Kerajaan sedia mengkaji untuk memberi lebih kuasa kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau sedar ada pihak tertentu menuntut agar pihak terbabit memainkan peranan yang lebih besar dalam menjamin kedudukan dan masa depan bahasa kebangsaan itu.

''Ini (beri kuasa) kita akan mengkaji lagi, tetapi pastinya yang penting, Akta Bahasa Kebangsaan hendaklah dipinda dan usaha pindaan sudah dilakukan.

''Ia perlu dibawa ke Kabinet dulu sebelum Parlimen," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Larut di sini hari ini.

Muhyiddin diminta mengulas pandangan Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia hari ini mengenai perlunya DBP diberi kuasa penguatkuasaan bagi memartabatkan bahasa Melayu.

Cadangan itu merupakan hasil Persidangan Antarabangsa Bahasa Melayu Bahasa Dunia yang berlangsung di Johor Bahru, baru-baru ini.

Menurut Awang Selamat, selagi DBP tidak mempunyai kuasa tersebut, agensi itu dilihat umpama 'harimau tidak bertaring.'

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, draf pindaan Akta Bahasa Kebangsaan tersebut telah pun siap dan diserahkan kepada Peguam Negara untuk disemak sebelum di bawa ke Kabinet.

''Sudah ada draf pindaan kepada Akta Bahasa Kebangsaan yang telah siap dan diserahkan kepada Peguam Negara tetapi belum dibawa ke Kabinet.

''Dalam perkara itu juga ada perakuan yang dibuat pada pindaan akta (untuk) memberi kuasa (kepada DBP), tetapi kita hendak tengok bagaimana perkara itu boleh dilaksanakan, masa yang sesuai walaupun tuntutan sekarang ini. Kalau ikut suara-suara tertentu, (mereka) minta kuasa lebih," katanya.

Mengulas mengenai pelajar Malaysia yang berhadapan dengan risiko bencana alam di negara seperti Indonesia, jelas Muhyiddin, kerajaan tidak bercadang menghentikan penajaan pelajar ke negara-negara berkenaan.

Beliau berkata, kerajaan juga tidak menghalang ibu bapa yang mahu menghantar anak-anak mereka ke negara tersebut sekiranya mereka berminat berbuat begitu.

''Saya tak fikir ini jadi fenomena berpanjangan, sebab berlaku (gempa bumi) maka tak ada minat lagi hendak ke sana kerana peluang belajar ada di mana-mana.

''Itu langkah yang kurang bijak. Tetapi dalam situasi sekarang, tentulah yang penting kita nak membantu pelajar yang ditimpa musibah ini," jelasnya.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Kita penentu hala tuju bahasa Melayu


Oleh ARIF ATAN


RUANGAN Bisik-bisik Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia semalam mengemukakan isu ke manakah hala tuju bahasa Melayu.

Pelbagai forum, seminar dan persidangan mengenai bahasa Melayu telah diadakan bagi membincangkan untung rugi bahasa ini.

Terbaharu, Persidangan Antarabangsa Bahasa Melayu Bahasa Dunia di Johor Bahru minggu lalu.

Namun, nasib bahasa Melayu yang juga bahasa kebangsaan negara ini masih begitu juga. Malah, dilihat semakin goyah.

Meskipun dipanggil bahasa Malaysia tetapi sebahagian besar rakyat negara ini masih menganggap bahasa itu milik orang Melayu sahaja.

Buktinya, apabila perbualan melibatkan orang Melayu dengan bukan Melayu atau sesama orang bukan Melayu, ia kerap berlaku dalam bahasa Inggeris.

Mengapa hal ini terjadi walhal bahasa Inggeris bukan milik kaum Cina atau India di negara ini?

Dalam masa yang sama, lihatlah juga kain rentang mengenai kegiatan anjuran pertubuhan atau badan bukan kerajaan termasuklah di universiti-universiti serta sesetengah parti komponen Barisan Nasional sendiri.

Jarang benar sekarang kita lihat iklan atau kenyataan dalam bahasa Mandarin atau Tamil memiliki terjemahan bahasa kebangsaan di atasnya. Lihat sahaja logo parti Makkal Sakhti.

Hakikatnya, kita sendiri iaitu 27 juta rakyat Malaysia sebenarnya yang menentukan hala tuju bahasa Melayu pada masa depan.

Kita harus rasa 'berdosa' jika sewenang-wenangnya mengabaikan penggunaan bahasa kebangsaan dalam urusan kehidupan sehari- hari.

Hanya dengan itulah kerisauan mengenai masa depan bahasa Melayu dapat diatasi.

Selagi wujud rasa rendah diri apabila menggunakan bahasa Melayu selagi itulah pemikiran kita masih belum merdeka sepenuhnya.

Ini kerana sikap, tindakan atau keputusan yang meminggirkan bahasa kebangsaan samalah seperti kita 'memenggal kepala' bangsa Malaysia kita sendiri.

Sebaliknya, segenap lapisan kaum negara ini perlu memiliki jiwa besar dalam mengutamakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu, komunikasi, pentadbiran, penyiaran, percetakan dan dalam urusan berkaitan hubungan diplomatik.

Semua pihak harus berusaha memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa jiwa bangsa bagi merealisasikan hasrat murni Satu Malaysia.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Ahad, 4 Oktober 2009

Berjiwa Melayu selepas lima tahun


Oleh Mohd Aziz Ngah
azis@bharian.com.my

Gadis Russia cipta sejarah juara Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu

DUA tahun lalu, seorang gadis manis dari Moscow Russia, Olga Vadimovna Vasilevskaya, mencipta kejutan apabila diumumkan juara Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Timbalan Perdana Menteri 2007 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Walaupun ketika itu Olga berusia 19 tahun dan baru tiga tahun mempelajari Bahasa Melayu, pelajar dari Moscow State University, Russia itu berjaya menewaskan pemidato dari Malaysia dan peserta negara berbahasa Melayu yang lain.

Kepetahannya membicarakan tajuk 'Mampukah Dunia Melayu Mencorakkan Arah Pentadbiran Dunia pada Masa Hadapan?' secara tenang berserta hujah bernas membuktikan penguasaan bahasa Melayu tinggi yang baik, diselit dengan pepatah dan bidalan Melayu melayakkannya menerima anugerah itu.

Kini, gadis berusia 21 tahun itu baru saja menamatkan pengajian peringkat sarjana dalam bidang Pelaburan Kewangan di Universiti Nottingham, cawangan Semenyih, Selangor. Tempoh setahun berada di Malaysia membuka peluang luas untuknya bergaul dengan masyarakat setempat.

"Semua bermula dengan minat. Dua tahun pertama mempelajari Bahasa Melayu memang sukar kerana kurang rakan untuk berkomunikasi, kurang buku rujukan dan masalah penterjemahan dalam Bahasa Russia.

"Kini selepas lima tahun, saya cukup seronok dan berasakan diri sebagai sebahagian daripada jiwa Melayu kerana saya juga belajar kebudayaan Melayu dan tarian Melayu," katanya.

Ketika berpeluang menemuinya, gadis manis tinggi lampai ini kelihatan cukup yakin dengan pertuturannya. Memang benar, jika kerap berkomunikasi terutama dengan pengamal bahasa kebangsaan ini, ia memberi kelebihan kepadanya untuk meningkatkan penguasaan bahasa.

Tanggapan awal yang mengatakan, gadis ini cuma mahir dalam aspek membaca dan menulis kerana mendapat pendidikan akademik secara formal jelas meleset kerana Olga sebenarnya juga dapat menguasai bahasa perbualan harian dan 'bahasa pasar'.

Bahkan, ketika menuntut di Moscow, beliau adalah pengasas kumpulan peminat bahasa Melayu dan banyak menganjurkan program seperti persembahan tarian zapin, tulisan jawi, menulis lirik lagu Melayu dan aktiviti seni serta sastera.

Beliau cukup beruntung kerana ketika minatnya memuncak untuk mempelajari Bahasa Melayu, beliau bertemu dan bergaul dengan pelajar Malaysia yang menuntut di universiti yang sama.

"Kami sama-sama bertukar idea bagaimana saya mahu menguasai bahasa dan kebudayaan Melayu dan sebaliknya. Kami mendapat faedah dan mampu meningkatkan penguasaan ilmu bahasa.

"Saya cukup kagum dengan dua pensyarah iaitu Dr Tatiana Dorofeeva dan Dr Evgeniya Kukuskina. Mereka dianggap pakar bahasa Melayu di Russia. Mereka pernah bekerja di Universiti Malaya (UM) selama setahun.

"Mereka banyak bercerita mengenai Malaysia dan menggambarkan negara ini seperti syurga. Itu membuatkan saya cukup tertarik untuk ke sini dan memahami budayanya, tetapi saya mesti menguasai Bahasa Melayu terlebih dulu jika mahu bergaul dengan masyarakat di sini," katanya.

Namun, jelasnya, ada juga rakannya yang cukup bagus dalam mata pelajaran Bahasa Melayu ketika menuntut di universiti, tetapi apabila datang ke sini, langsung tidak mampu bertutur kerana bahasa perbualan dan bahasa buku mempunyai perbezaan serta kurang melakukan latihan pertuturan.

Kini, apa yang ingin dilakukannya ialah memantapkan persatuan peminat Bahasa Melayu di Institute of Oriental Studies Moscow dengan memperbanyakkan bahan bacaan dan aktiviti kebudayaan.

"Kami bermasalah untuk menerbitkan kamus terjemahan bahasa Melayu ke dalam bahasa Russia. Bahan bacaan bercetak juga terhad, diharapkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta kementerian pelancongan atau Kedutaan Malaysia dapat membantu.

"Sebenarnya, kami cukup teringin mendengar pemimpin Malaysia dan pegawai kerajaan yang datang ke Russia berucap dalam Bahasa Melayu. Itu melambangkan budaya negara tetapi mereka lebih gemar berbahasa Inggeris jika datang ke sini.

"Di Russia, bahasa Inggeris tidak begitu diutamakan. Kenapa tidak berbahasa Melayu kerana Presiden Russia tidak pernah berucap dalam bahasa lain, selain bahasa Russia dalam upacara rasmi di mana saja.

"Sedangkan beliau menguasai banyak bahasa dunia lain tetapi hanya menggunakan dalam acara tidak rasmi," katanya.

Sumber : http: //www.bharian.com.my/

Nota hujung:

Kemampuan orang lain (gadis Russia) menguasai bahasa Melayu membuktikan bahawa bahasa rasmi negara kita itu bahasa yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dan mudah dikuasai. Yang pasti, kesungguhan gadis tersebut untuk belajar bahasa Melayu itulah kunci kejayaannya. Benarlah peribahasa belakang parang, kalau diasah lagikan tajam dan hendak seribu daya tak hendak seribu dalih.

Ironisnya, dalam masa orang dari negara lain mahu mempelajari bahasa kita, pemimpin dan rakyat di negara kita sendiri pula tidak yakin akan kemampuan bahasa sendiri sebagai bahasa ilmu. Lebih malang dan menghairankan lagi, ramai kalangan anak Melayu; yang lahir dalam lingkungan keluarga Melayu, bertutur bahasa Melayu, dan mengamalkan budaya Melayu sejak kecil, gagal menguasai bahasa Melayu walaupun telah mempelajarinya secara formal berbelas-belas tahun.

Sabtu, 3 Oktober 2009

Pengaruh bahasa tegakkan syiar Islam

Oleh Abdulrahman Haqqi

BAHASA adalah satu bukti tanda kebesaran Allah SWT. Firman-Nya yang bermaksud: “Dan antara tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan bagi orang yang berpengetahuan.” - (Surah al-Rum: 22)


Apabila dikatakan kepada kita 'yang ini halal' akan berbeza anggapan kita jika dikatakan 'yang ini boleh'. Begitu pula jika dikatakan kepada kita 'barang itu haram' akan berlainan tanggapan kita dengan ucapan 'barang itu dilarang', pada hal kedua-dua perkataan ini mempunyai makna yang sama yakni 'boleh' dan 'tidak boleh'. Yang membezakan antara kedua-dua penggunaan perkataan haram dan halal dengan boleh dan dilarang ialah nilai keagamaan yang ada pada perkataan 'halal' dan 'haram', manakala boleh dan dilarang tidak demikian.

Istilah keagamaan bahasa Melayu ini tidak hanya mendominasi amalan ibadat saja, malah ia juga menguasai seluruh aspek kehidupan umat Melayu dari politik (seperti rakyat, taat dan khalifah), sosial (seperti silaturahim, ziarah dan nikah), budaya (seperti nasyid, adat dan lagu) dan ekonomi (seperti sifar, mudharabah dan syarikat).

Bersempena 50 tahun Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara dalam Perlembagaan Negeri Brunei (1959- 2009), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan Negara Brunei Darussalam menganjurkan forum khas mengenainya pada awal minggu lalu bertemakan ‘Bahasa Melayu Dalam Perlembagaan: Laluan, Cabaran dan Harapan’.

Adalah diharapkan melalui perkongsian idea yang dicetuskan dalam forum seumpamanya akan menjadi dorongan dalam menggariskan beberapa langkah bagi memperkukuh dan meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap Bahasa Melayu.

Bahasa Melayu dituturkan oleh lebih 300 juta orang di seluruh dunia yang sebahagian besarnya penduduk rantau ini. Bahkan bahasa Melayu/Indonesia dijadikan bahasa rasmi di Brunei, Indonesia dan Malaysia.

“Peranan yang penting sekarang ialah bagaimana kita perlu mengutuhkan semula penggunaan bahasa Melayu yang digunakan sejak 500 tahun dulu seperti pada zaman kesultanan Melaka dan kesultanan Brunei, malah dalam era globalisasi terdahulu bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa berkomunikasi rakyat umum dan orang pada zaman itu yang tidak bertutur bahasa Melayu tidak boleh berniaga atau berdagang di Timur dan mereka itu dianggap orang Eropah,” kata Datuk A Aziz Deraman, bekas Pengarah DBP Malaysia, salah seorang ahli panel forum.

Sebagai bahasa ilmu dan agama, bahasa Arab mempengaruhi hampir semua bahasa induk di dunia. Seperti kita imani bahawa al-Quran adalah berbahasa Arab dan ia mempunyai pengaruh dan kesan yang amat mendalam serta meluas dalam semua bahasa tempatan yang menerima Islam. Kuatnya pengaruh itu dapat dilihat dari segi jumlah perkataan pinjaman bahasa Arab yang ada dalam sesuatu bahasa tempatan. M A J Beg (1979: xiv) membahagikan sumbangan al-Quran kepada dua kategori, iaitu sumbangan umum dan sumbangan khusus. Sumbangan umum bermaksud sumbangan perbendaharaan kata yang berasaskan al-Quran yang dipinjam dan diterima pakai sebagai sebahagian daripada bahasa semua bangsa yang memeluk Islam dari Indonesia sehinggalah Sahara Barat.

Ada sekian banyak kelompok bahasa dalam Asia, Afrika, dan Eropah yang meminjam perkataan Arab dan kelompok ini diringkaskan seperti yang berikut:

Bahasa Asia ialah Parsi, Turki, Kurdis, Urdu, Hindi, Origa, Melayu, Tamil, Tibet, dan lain-lain.

Bahasa Afrika ialah Swahili, Somali, Amhara, Berber, Hausa dan lain-lain.

Bahasa Eropah ialah Sepanyol, Portugis, Latin, Inggeris, Perancis, Itali dan lain-lain.

Dari segi sumbangan khusus, al-Quran atau bahasa Arab mempengaruhi sekurang-kurangnya empat lingua franca dunia iaitu bahasa Melayu, Urdu, Swahili, dan Hausa. Bahasa Melayu dituturkan di seluruh alam Melayu khususnya di Malaysia dan di Indonesia, bahasa Urdu di Pakistan, di India dan di Bangladesh, bahasa Swahili dituturkan di Nigeria, Kenya, Uganda, Tanzania sementara bahasa Hausa pula dituturkan di Niger, di Cameroon dan sebagainya.

Ada dua cara bagaimana pengaruh ini boleh berlaku, iaitu melalui proses islamisasi dan perhubungan secara langsung dengan bangsa Arab. Yang lebih menarik ialah semua bahasa itu menggunakan abjad Arab dalam tulisan. Ada juga bahasa yang menerapkan sistem nahu dan struktur sintaksis yang sama dengan bahasa Arab. (Lihat Mustafa Daud dan Munif Zarirrudin Fikri Nordin, Bahasa Dari Perspektif al-Quran)

Ahli bahasa tidak dapat menentukan definisi tunggal bagi bahasa kerana luasnya perkaitan antara disiplin bahasa dengan disiplin lain seperti psikologi, sosiologi, mantik, falsafah, biologi, dan pelbagai disiplin lagi. Kesemua disiplin itu melihat bahasa dari perspektif yang berbeza mengikut metodologi masing-masing.

Namun begitu, secara amnya, bahasa dapat diertikan sebagai satu sistem komunikasi manusia yang terdiri daripada bunyi berstruktur (atau yang bertulis) kepada unit yang lebih besar seperti morfem, perkataan, ayat yang dihasilkan oleh organ pertuturan untuk membolehkan manusia berinteraksi antara satu sama lain. Inilah juga definisi yang dikemukakan oleh al-Quran menerusi ayat yang bermaksud: “Tidakkah engkau lihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu kalimah yang baik adalah sebagai batang pokok yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Ia mengeluarkan buahnya pada tiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah membuat perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat dan mendapat pelajaran.” - (Surah Ibrahim: 24-25)

Hamka dalam tafsiran ayat ini berpendapat bahawa al-Quran menganjurkan supaya manusia menggunakan keupayaan berbahasa yang dianugerah Allah berdasarkan ketentuan akidah, syarak, dan akhlak yang bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah. Bahasa seharusnya digunakan untuk meningkatkan keimanan, ketakwaan dan amal salih. Bahasa yang dapat mencapai matlamat tadi diibaratkan sebagai tanah yang subur dan benih yang baik, apabila ditanam menumbuhkan pohon yang rendang dan buah yang ranum, memberi manfaat dan kebaikan kepada manusia dan haiwan. Ia juga sebagai tempat berteduh dan berlindung ketika panas dan menghilangkan lapar dan dahaga dengan buah yang ranum dan manis. Dalam erti kata lain, bahasa yang baik lagi bernilai terhasil daripada budi dan sopan santun serta bertitik tolak daripada keimanan, ketakwaan, dan amal soleh yang akhirnya membawa keamanan dan menghasilkan kesejahteraan kepada kehidupan manusia di dunia dan di akhirat. Inilah konsep bahasa yang diperjuangkan oleh Islam.

Dari perspektif falsafah bahasa, definisi, dan konsep ini menyingkap hubungan antara bahasa dengan ilmu pengetahuan manusia, proses berfikir, pandangan semesta dan realiti kewujudan serta kehidupan manusia. Pada peringkat ini, bahasa dapat disifatkan sebagai wahana utama bagi menjana segala kegiatan manusia baik perhubungan, pengucapan, perakaman mahupun perwarisan dalam tamadun manusia. Demikianlah yang kita dapat simpulkan daripada kertas kerja yang ditulis dua orang pensyarah daripada Universiti Utara Malaysia itu. Masyarakat di rantau ini terkenal dengan pegangan teguh agamanya yang disebabkan beberapa faktor termasuk faktor bahasa Melayu yang mempunyai nilai keagamaan di dalamnya sebagai kesan masuknya agama Islam sejak awal lagi ke rantau ini. Alhamdulillah!

Sumber : http: //www.bharian.com.my/

ISUBAHASA : LANGKAH MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU




Ke mana bahasa Melayu?

Persidangan Antarabangsa Bahasa Melayu Bahasa Dunia yang berlangsung di Johor Bahru, baru-baru ini menuntut perhatian besar. Resolusi persidangan tersebut antara lain mendesak kerajaan memberi kuasa penguatkuasaan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi memartabatkan bahasa Melayu. Desakan ini bukan perkara baru kerana ia sudah kerap disuarakan. Pada Awang, selagi DBP tidak mempunyai kuasa tersebut, agensi itu dilihat umpama harimau tidak bertaring.

Sedangkan gejala pencemaran dan penyalahgunaan bahasa semakin berleluasa terutama pada papan tanda dan paparan iklan premis perniagaan. Begitu juga dengan penggunaan bahasa rojak secara keterlaluan di televisyen dan radio. Itu belum mengambil kira kegagalan banyak pihak termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mengutamakan bahasa kebangsaan dalam urusan mereka di dalam negara.

Hari ini, jika ada bahasa lain lebih besar saiz paparannya daripada bahasa Melayu, ia tidak lagi dipersoalkan. Malah semakin banyak info produk barangan pengguna biarpun yang dikeluarkan di dalam negara, tidak lagi menggunakan bahasa kebangsaan.

Siapakah yang perlu bertanggungjawab memantau dan memperbetulkan semua ini kalau bukan DBP. Tetapi jika agensi itu tidak diberi kuasa, ia tidak membawa apa-apa makna.

Sementara menanti perubahan serius yang dilakukan oleh kerajaan berhubung hal ini (itu pun jika ada kemahuan politik yang tinggi), Awang amat berharap DBP lebih agresif dan proaktif dalam memainkan peranannya mengembangkan bahasa.

Agensi itu dilihat oleh banyak pihak sebagai lesu. ''Bangunannya lebih gah daripada keberanian dan pencapaiannya untuk melonjak martabat bahasa," kata seorang tokoh akademik. Apa yang beliau cuba sampaikan, DBP tidak lagi lantang memperjuangkan soal bahasa. Kritikan itu mungkin tidak adil dan boleh diperdebatkan. Usaha memartabatkan apatah lagi menyelamatkan bahasa Melayu bukan semata-mata tugas DBP malah semua pihak termasuk pemimpin kerajaan, pembangkang dan sektor swasta.

Awang juga tertanya-tanya ke mana perginya para pejuang bahasa yang sanggup berdemonstrasi dan berterusan membantah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dalam kaitan mempertahankan kedudukan bahasa Melayu secara keseluruhannya.

Selepas PPSMI dimansuhkan, apakah kepada mereka, perjuangan memartabatkan bahasa Melayu sudah selesai? Apakah juga masa depan bahasa Melayu hanya berkaitan pengajaran kedua-dua subjek itu dalam bahasa kebangsaan sahaja?

Sepatutnya kelompok itu yang menjadi benteng hadapan, meneruskan momentum mereka dengan mewujudkan gelombang kesedaran mengenainya.

Ini termasuk menegur Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), menteri-menteri dan pemimpin parti-parti politik terhadap apa sahaja perkara berkaitan kepentingan bahasa. Awang teruja mahu melihat para pejuang dan badan pertubuhan kerajaan (NGO) turun di jalanan atau menyerbu ke mana-mana kementerian, agensi mahupun pejabat swasta membuat bantahan jika perlu.

Sesungguhnya terlalu banyak yang perlu dilakukan bagi memartabatkan bahasa Melayu terutama bagi menjadikannya bahasa komersial yang lebih meluas. Dalam usaha ini tiada siapa boleh berputus asa apatah lagi bagi mencapai matlamat murni mempertahankan bahasa Melayu yang kedudukannya sudah termaktub dalam perlembagaan negara.

Untuk apa kita memperakukan bahasa Melayu mampu berkembang sebagai bahasa dunia, kalau di peringkat dalam negara sendiri kita sudah tidak menampakkan keyakinan. Banyak lagi petunjuk yang membimbangkan di sekeliling kita. Bukankah kita sendiri yang mewujudkan persekitaran yang akhirnya membunuh bahasa Melayu?

Sumber : http://www.utusan.com.my/