Rabu, 7 Oktober 2009

Pelajar bakar sekolah

Oleh Johan Afandi dan Tuan Nazuri Tuan Ismail
bhnews@bharian.com.my


MARKOM (dua dari kanan) dan pegawai Jabatan Pelajaran meninjau kelas yang dibakar di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Johor Jaya 2, Johor Bahru, awal pagi semalam.

Calon PMR ambil ujian di bilik kuarantin H1N1

JOHOR BAHRU: Seramai 75 calon Penilaian Menengah Rendah (PMR) di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Johor Jaya 2 di sini, terpaksa menduduki peperiksaan di bilik kuarantin H1N1 dalam keadaan tidak selesa selepas dewan sekolah itu terbakar, awal pagi semalam, dipercayai akibat perbuatan khianat seorang pelajar.


Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Markom Giran, berkata kebakaran itu disedari seorang pengawas peperiksaan yang tiba di sekolah itu, jam 6.25 pagi dan ketika itu api sudah hampir padam.

"Kejadian dipercayai perbuatan khianat pelajar yang mungkin tidak berpuas hati dengan pihak pengurusan sekolah kerana guru terbabit sempat melihat kelibat seseorang melarikan diri dari tempat kejadian," katanya ketika mengadakan lawatan ke sekolah itu.


Dalam kejadian itu, sebahagian kecil dewan berkenaan, termasuk beberapa kerusi dan meja, rosak. Ini adalah kejadian kedua di sekolah berkenaan dan kali pertama ia berlaku, dua tahun lalu.

Markom berkata, laporan polis dibuat sejurus selepas kejadian itu dan kerugian dianggar RM20,000.

Sementara itu, pengetua sekolah berkenaan, Meskam Masbor, berkata kejadian itu menjejaskan keselesaan calon PMR kerana ruang di tingkat satu dewan peperiksaan berkenaan terpaksa ditutup bagi kerja membaik pulih dijalankan.

"Dewan ini adalah bangunan baru sekolah dan ia digunakan kali kedua selepas peperiksaan percubaan PMR yang berlangsung, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin ketika dihubungi, semalam tidak menolak kemungkinan kejadian itu berpunca daripada perbuatan khianat.

"Memang, kita ada mendapat maklumat bahawa ada saksi melihat individu mencurigakan dilihat di tempat kejadian sejurus selepas kebakaran itu berlaku.

"Kita sudah memanggil Unit Forensik bagi membuat siasatan dan akan turut mendapatkan bantuan pihak Bomba dan Penyelamat bagi mengesahkan sama ada kebakaran dewan itu berpunca daripada perbuatan khianat atau tidak," katanya sambil menambah tiada sebarang tangkapan dilakukan setakat ini.

Sementara itu, di KLANG, guru dan kakitangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Andalas gempar seketika apabila menerima panggilan bom palsu, kira-kira jam 9 pagi.

Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop, berkata panggilan bom palsu itu diterima oleh kerani sekolah dan pihaknya menghantar pasukan Unit Pemusnah Bom dan disahkan bahawa ia adalah panggilan palsu sejam selepas membuat pemeriksaan secara berhemah.

"Pemeriksaan dijalankan secara berhemah untuk tidak mendatangkan ketakutan dan keresahan kepada calon yang menduduki PMR," katanya dan tidak menolak panggilan palsu berkenaan dibuat bagi mengganggu kelancaran perjalanan peperiksaan itu.

Sumber: http: //www.bharian.com.my/

Nota hujung:

Apabila meneliti peristiwa ini, saya lantas teringat akan kandungan ceramah yang pernah saya hadiri. Kata penceramah tersebut, ramai dalam kalangan manusia kini dijangkiti penyakit, tetapi yang terlebih bahaya ialah mereka yang dijangkiti penyakit jiwa akibat hilang nilai-nilai kemanusiaan dalam diri. Golongan ini hidup tanpa berpaksikan agama. Mereka kehilangan arah; ibarat layang-layang putus talinya. Anak- anak yang lahir daripada keluarga seumpama inilah yang biasanya akan mendatangkan masalah kepada pihak sekolah, masyarakat, dan negara. Sesungguhnya, hanya insan yang kukuh pegangan agama dalam diri sahaja yang akan menampilkan akhlak yang baik, justeru menghargai ilmu. Jadi, jalan terbaik untuk ini hanyalah kembali kepada agama.

Bahasa Melayu lambang jati diri nasional

SAMBUTAN Bulan Bahasa Kebangsaan yang berlangsung sepanjang Oktober ini membuka semula perbincangan mengenai peranan Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) dalam memartabatkan bahasa Melayu (BM) sebagai bahasa kebangsaan.

Polemik mengenai keterbatasan DBP sebagai pusat pengembangan dan persuratan BM kerana ketiadaan peruntukan kuasa yang khusus adalah sesuatu yang jelas.

Mengambil contoh dalam isu penggunaan bahasa pada sesebuah papan tanda, DBP tidak mempunyai kuasa langsung untuk menghalang mana-mana papan tanda yang menyalahi penggunaan bahasa.

Sebaliknya ia terletak di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) yang memberikan kelulusan untuk sesebuah papan tanda dinaikkan.

Malangnya, PBT tidak pula diwajibkan untuk merujuk kepada DBP dalam konteks penggunaan bahasa. Ia hanya bergantung kepada sejauh mana kesedaran sesebuah PBT untuk meminta pandangan dan khidmat nasihat daripada DBP sebelum menaikkan papan tanda.

Dengan kira-kira 150 buah PBT di seluruh negara ketika ini, ada yang tidak jelas mengenai penggunaan bahasa itu sehingga menimbulkan pelbagai kesalahan termasuk mengetepikan ejaan dan tatabahasa yang betul.

Ironiknya, setiap PBT termasuk di Sabah dan Sarawak menerusi undang-undang kecil PBT masing-masing memperuntukan perkara mengenai penggunaan bahasa Melayu di tempat awam.

Namun apabila kesalahan bahasa itu terus berlaku, ia pastinya ada kena-mengena dengan kelemahan aspek penguatkuasaan.

DBP pula disebabkan tidak mempunyai kuasa, tidak mampu bertindak atas kesalahan dan kelemahan tersebut. Apa yang terdaya dilakukan hanyalah memberi khidmat nasihat, itu pun sekiranya diperlukan.

Walaupun peruntukan kuasa itu bukanlah keutamaan DBP, namun melihat kepada senario itu, DBP pastinya berharap undang-undang kecil di bawah Akta Kerajaan Tempatan dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan diberi perhatian.

Setidak-tidaknya memasukkan keperluan mendapatkan kelulusan DBP bagi semua papan tanda, nama bangunan dan jalan sebelum diluluskan.

Ini juga merupakan salah satu resolusi yang dicapai dalam sebuah seminar yang diadakan dengan PBT pada 2005. Namun seperti biasa, resolusi hanya tinggal resolusi.

Bagaimanapun, kesediaan kerajaan mengkaji perkara itu seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini, memberi nafas baru kepada usaha DBP memartabatkan BM.

Namun persoalannya, adakah perlu elemen yang menjadi lambang bangsa dan negara seperti bahasa Melayu dipertahankan menerusi saluran perundangan? DBP sendiri apakah berasa bangga seandainya diberikan kuasa untuk menghukum pesalah bahasa?

Sesuatu yang pasti, seperti yang dijelaskan oleh pengkaji bahasa Melayu, Prof Dr. Teo Kok Seong, hal ini merupakan beberapa perkara malang yang terus menimpa bahasa rasmi kita itu.

Menurut beliau, kita tidak memberikan penghormatan yang sewajarnya kepada BM sebagai bahasa negara, lebih-lebih lagi dalam penggunaan yang baik dan betul, sehingga perlu diwujudkan undang-undang dan akta untuk mengawalnya.

''Sebenarnya rakyat Malaysia termasuk orang Melayu selaku penutur natif kepada BM, rata-ratanya tidak sayang, tidak bangga dan tidak taat kepada BM. Baik dalam kapasitinya sebagai bahasa ibunda atau etnik, atau dalam kapasitinya sebagai bahasa negara," ujar Felo Penyelidik Utama & Profesor Sosiolinguistik Bahasa Melayu di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Penguatkuasaan undang-undang dalam memartabatkan bahasa sebenarnya turut diamalkan di negara-negara maju seperti Perancis dan Jepun.

Ini dilakukan semata-mata untuk memastikan identiti atau jati diri nasional sesebuah negara itu terus wujud sebagai unsur yang penting.

Bahasa juga adalah simbol asas dan tempat berpusatnya pelbagai perkara lain seperti pendidikan dan peradaban.

Justeru tambah Kok Seong, impak bahasa sebagai jati diri bangsa dan negara itu adalah begitu besar dan dengan mengambil kira hal ini, sudah tiba masanya BM dihormati sebagai bahasa negara.

''Jika penghormatan itu tidak dapat dilahirkan dengan perasaan bangga kita semua terhadap BM, maka wajarlah ia dizahirkan melalui penguatkuasaan perundangan. Ini dilakukan semata-mata untuk mengekalkan selain memantapkan jati diri nasional Malaysia," ujar beliau.

Dalam polemik berkaitan bahasa kata Kok Seong, DBP selaku badan pengembangan dan persuratan bahasa, tidak wajar untuk sering dipertanggungjawabkan. Ini kerana rakyat Malaysia sendiri, rata-ratanya bersikap dingin dan buruk terhadap BM.

Baik dari sudut kemampuannya menjadi bahasa ilmu, mahupun dari segi keindahannya untuk menamai sesuatu, seperti kereta nasional kita, yang tidak seharusnya menggunakan nama-nama bahasa Inggeris atau bercirikan keinggerisan.

Dalam erti kata yang lain, BM sebenarnya berdepan dengan krisis ketidakyakinan terhadap kemampuannya di kalangan penuturnya sendiri.

Kerana itu bagi Kok Seong, selain menggunakan perundangan untuk memastikan kelestarian BM agar masih relevan pada zaman ini dan era mendatang, DBP perlu berusaha untuk memupuk perasaan sayang, megah dan setia kepada BM selaku bahasa negara.

Dengan perkataan lain, 'ideologi bahasa kebangsaan' itu perlu dipupuk di kalangan rakyat, terutama generasi muda. Supaya dari sudut psikologinya, mereka bukan sahaja mengungkapkan jati diri nasional melalui BM, tetapi bangga mengidentifikasikan diri mereka dengan BM.

''Dalam hal ini kita perlu mendidik rakyat kita untuk menjiwai BM, dan BM adalah aspek penting dalam kehidupan harian serta kehidupan nasional setiap rakyat Malaysia,'' ujar beliau.

Penekanan terhadap BM juga sebenarnya mengambil kira peranan yang lebih besar yang dibawanya iaitu sebagai bahasa pemersatu bangsa.

Dalam sebuah masyarakat majmuk seperti yang menjadi tulang belakang kepada pembentukan Malaysia, hanya elemen bahasa yang tunggal sahaja boleh menjadi elemen perpaduan.

Perkara ini juga sudah dipersetujui ketika negara mencapai kemerdekaan 52 tahun lalu apabila bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa rasmi.

Sewajarnya dengan hakikat itu hari ini, kita tidak lagi perlu terkial-kial membahaskan mengenai kedudukan bahasa Melayu. Barangkali kerana gagal meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa penyatu bangsa juga, hubungan mesra antara kaum ketika ini sering kali berkocak.

Bagi Kok Seong, BM mampu melakukan penyatuan ini sekiranya negara hanya menggunakan bahasa itu dalam sistem pendidikan nasional.

Penggunaan pelbagai bahasa di bawah status 'bahasa ibunda' ternyata melambatkan dan membantut hasrat menyatukan pelbagai kaum di negara ini menerusi satu bahasa. Malah, ia juga melahirkan generasi baru yang tidak memperlihatkan jati diri nasional yang bukan sahaja tidak sama, malah tidak jelas pula.

Sebagai contoh tambah Kok Seong, mengakui diri sebagai warganegara Malaysia, tetapi tidak boleh berbahasa kebangsaannya walaupun dalam bentuk yang daif.

Sedangkan jati diri yang sama dan jelas sifat Malaysianya, khususnya dalam konteks penguasaan dan penggunaan BM dalam kehidupan sosial rakyat, adalah indeks penting terhadap tahap integrasi dalam kehidupan nasional.

Khususnya dari sudut bahasa dan budaya kebangsaan, kedua-duanya mementingkan elemen Melayu selaku kelompok dominan negara. ''Bagi saya, BM selaku bahasa kebangsaan dan rasmi tidak boleh dipersalahkan dalam hal kegagalan integrasi dan perpaduan.

Yang salah ialah apabila bahasa-bahasa lain diberi ruang beroperasi di bawah label bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar di sektor pendidikan sama ada yang dibantu oleh kerajaan atau swasta,'' ujar Kok Seong.

Dengan pelbagai cabaran semasa yang semakin menghakis kepentingan BM ketika ini, membawa kita merenung sejauh mana bahasa yang telah dipertuturkan lebih dari 500 tahun ini mampu mewakili kita sebagai bangsa Malaysia.

Untuk meramalkannya pupus barangkali sesuatu yang tidak mungkin akan berlaku kerana ia merupakan bahasa ibunda milik orang Melayu.

Tetapi untuk melihat BM sebagai bahasa kebangsaan serta milik seluruh rakyat Malaysia adalah sesuatu yang sukar. Justeru tegas Kok Seong, kerajaan dan orang Melayu selaku penutur natif perlu memastikan BM terus relevan khususnya dalam konteks kenegaraan.

BM perlu diperlihat dalam kapasitinya sebagai bahasa negara Malaysia dan tidak boleh sekali-kali sebagai bahasa ibunda orang Melayu semata-mata.

Bagi kelompok dan lapisan tertentu dalam masyarakat, BM perlu dikuasai dan digunakan dengan orientasi integratif dan menjadikannya sebahagian daripada struktur sosial.

Bukan semata-mata dari dimensi instrumental yang mana BM hanya penting dalam peperiksaan atau digunakan kerana dikehendaki oleh undang-undang. Orang Melayu sebagai kelompok dominan juga perlu menunjukkan kepada kaum lain bahawa BM adalah bahasa yang mampu membawa kemajuan kepada sesiapa sahaja.

Dalam ilmu linguistik tambah Kok Seong, BM merupakan sebilangan bahasa besar di dunia. Ini diukur antaranya dari sudut penyebarannya dalam bentuk mata pelajaran bahasa asing di lebih daripada 100 buah institusi pengajian tinggi (IPT) di kira-kira 30 buah negara.

Angka ini sendiri menunjukkan tingkat keantarabangsaan BM yang tidak boleh diperlekeh oleh mana-mana pihak.

''Justeru, jangan biarkan BM tersungkur sebagai bahasa besar di negara watannya sendiri. Sedangkan ia mekar di perantauan termasuk diminati rakyat asing kerana keindahan dan kepentingannya pada zaman moden ini," jelas Kok Seong.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Selasa, 6 Oktober 2009

Sistem penggredan baru SPM bantu pelajar capai kecemerlangan

Pelajar cemerlang SPM 2007

PERKEMBANGAN pesat sistem pendidikan negara banyak membantu pelajar mencapai kecemerlangan. Analisis pelbagai peperiksaan utama saban tahun menunjukkan pencapaian akademik pelajar di negara ini semakin meningkat. Keadaan ini menyebabkan proses penapisan atau pemilihan yang terbaik di kalangan yang terbaik menjadi semakin rencam serta sukar dilakukan. Melihat sistem yang diguna pakai semasa, terlalu ramai pelajar meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan utama seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sehingga seolah-olah wujud keperluan mengklasifikasikan kelompok itu. Pada peringkat lulusan SPM contohnya, kekaburan garis pemisah antara terbaik di kalangan terbaik ini boleh menimbulkan isu, khususnya dari segi tawaran biasiswa kerajaan untuk melanjutkan pelajaran. Oleh sebab tempat yang disediakan terhad, hanya segelintir daripada kelompok cemerlang itu berpeluang menikmatinya. Ketiadaan piawaian pemisah yang jelas itu ada kalanya mencetus tidak puas hati dalam kalangan masyarakat.

Tindakan kerajaan mengumumkan sistem penggredan baru bagi SPM bermula tahun ini diyakini mampu menangani masalah itu. Kaedah berkenaan, yang diluluskan Kabinet bulan lalu membabitkan penggredan 10 peringkat berbanding sembilan sebelum ini. Mengikut sistem baru, gred yang digunakan ialah A+, A, A-, B+, B, C+, C, D, E menggantikan 1A, 2A, 3B, 4B, 5C, 6C, 7D, 8E dan 9G yang sedia ada. Ia jelas memberi tumpuan khusus kepada kelompok cemerlang dengan membahagikannya kepada lebih banyak kategori. Jika sebelum ini, kecemerlangan dalam sesuatu subjek SPM hanya dikelaskan kepada dua iaitu 1A dan 2A, penggredan baru memecahkannya kepada tiga iaitu A+, A dan A-. Bagaimanapun, perubahan sistem gred itu tidak membabitkan pertukaran dasar dan calon tidak perlu khuatir ia menjejaskan kedudukan mereka. Selain menghapuskan kekeliruan, sistem baru itu juga sejajar usaha kerajaan menyediakan Biasiswa Perdana yang khusus kepada pelajar cemerlang akademik.

Dalam persekitaran semasa yang menunjukkan semakin ramai pelajar mampu melampaui piawaian kecemerlangan, langkah membuat penilaian bersesuaian itu amat menepati keperluan supaya potensi mereka tidak terbantut. Pada masa sama, pendekatan baru itu juga akan membuka ruang litup lebih luas kepada kelompok elit yang mempunyai keupayaan luar biasa supaya ia dapat digilap ke peringkat lebih tinggi. Mungkin selepas ini, pendekatan sama boleh diaplikasi pada peringkat lebih rendah bagi memastikan bakat mereka dapat dikenal pasti awal. Ia juga boleh membantu kita mengenal pasti kemahiran lain yang boleh ditingkatkan dalam kalangan kelompok ini sejajar usaha merealisasikan wawasan sistem pendidikan ke arah melahirkan lebih ramai modal insan yang sempurna sahsiahnya pada masa depan.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

STRATEGI MENGHADAPI PEPERIKSAAN DENGAN CEMERLANG


Peperiksaan penting seperti UPSR, PMR, SPM dan STPM memerlukan persediaan lebih daripada sekadar membaca semata-mata.Tanpa persediaan yang rapi maka ramai pelajar yang mendapat keputusan yang tidak setimpal dengan usahanya. Anda tidak perlu takut dengan peperiksaan. Sebab sama ada anda bersedia atau tidak, masa untuk berhadapan dengannya tetap akan tiba. Oleh itu lebih baik anda fokuskan kepada persediaan anda untuk berjuang. Untuk cemerlang dalam peperiksaan, pelajar perlu bersedia dari segala aspek, bukan setakat membaca dan mengulangkaji semata-mata. Persediaan yang rapi memupuk keyakinan yang tinggi untuk pelajar menghadapi peperiksaan mereka.

Artikel yang ditulis ini tidak mengajar subjek-subjek yang tertentu. Pelajar perlu merujuk kepada guru kelas masing-masing tentang keTEPATan dalam menjawab setiap soalan. Artikel ini bertujuan untuk memberikan gambaran yang jelas tentang persediaan-persedian seperti fizikal, mental, emosi dan ruhani. Harapan saya, ia akan membolehkan pelajar melangkah ke dewan peperiksaan dengan mengatakan ........"AKU BOLEH BERJAYA". Melangkah dengan fikiran yang positif.

PERSEDIAAN FIZIKAL


KESIHATAN

Sebagai pelajar anda memerlukan kesihatan yang baik bermula dari ketika membuat persedian mengulangkaji hinggalah ke dewan peperiksaan. Keadaan kesihatan yang buruk akan mengganggu persediaan diri untuk peperiksaan. Sekiranya masih banyak yang anda perlu ulangkaji, maka pastinya anda rasa bimbang. Gangguan kesihatan pasti tidak mengizinkan anda mengulangkaji dan ini akan membawa kepada tekanan emosi. Pastikan anda menjaga perkara yang berikut:

Tidur yang cukup

Tidur yang cukup ialah diantara 6 - 7 jam sehari. Kurang tidur menyebabkan anda rasa mengantuk, letih dan boleh jatuh sakit. Tidur yang berlebihan juga tidak baik untuk kesihatan. Jadi pastikan anda latih diri anda dengan masa tidur yang optimum ini dari sekarang.

Jaga pemakanan

Allah s.w.t telah berfirman yang mafhumnya "Makanlah dari makanan yang baik yang telah Kami berikan" (Al-Baqarah : 57). Yang dimaksudkan sebagai yang baik di sini ialah baik dari segi sumbernya (halal), kualitinya (zat), rasanya (enak dan lazat) dan bersih (tidak membawa penyakit dan kemudaratan). Kepada ibu bapa pastikan anak-anak anda diberi makan makanan dari sumber yang halal. Makanan yang haram akan menghitamkan dan menggelapkan hati mereka.

Riadah

Jangan beriadah sehingga meletihkan badan. Ramai pelajar yang bermain hingga penat dan akibatnya anda akan rasa mengantuk untuk mengulangkaji
pelajaran. Anda hanya perlu beriadah selama 20 minit dan sebanyak tiga kali seminggu. Lakukanlah senaman ringan yang mengeluarkan sedikit peluh. Disaat-saat akhir sebegini, lupakanlah soal bolasepak, takraw, badminton dan sebagainya. Anda boleh tangguhkan semua aktiviti yang anda minati ini setelah tamat peperiksaan penting nanti.

KESELAMATAN

Anda perlu menjaga keselamatan diri anda sebaiknya. Jauhkan diri anda dari aktiviti lasak yang boleh membawa kepada kecelakaan. Elakkan diri dari sebarang kecederaan. Anda pasti tidak mahu mengambil peperiksaan sewaktu berada dalam wad di hospital. Memanglah kecelakaan tidak pernah diundang, tetapi kalau anda tidak berhati-hati, anda sebenarnya mendedahkan diri kepada pelbagai kemungkinan. Dalam musim menjelangnya peperiksaan, lebihkan masa anda untuk berada di rumah.

PERSEDIAAN MENTAL

Pelbagai Gambaran Negatif

Kerap kali masalah yang dihadapi oleh pelajar apabila hampir dengan peperiksaan ialah takutkan kegagalan. Walau pun anda telah berusaha bersungguh-sungguh namun perasaan takutkan kegagalan ini sering mengganggu fikiran. Antara keadaan yang menekan diri pelajar ialah:

Menyerah kalah sebelum berjuang

Ini disebabkan kerana mereka rasakan yang mereka tidak punya harapan lagi. Mereka rasakan buat apa belajar kalau dah tahu hasilnya nanti ialah kegagalan. Mereka percaya yang mereka akan gagal dalam peperiksaan berdasarkan kepada keputusan peperiksaan atau ujian-ujian sebelum ini. Mereka cuba membaca teta dengan keyakinan bahawa tidak mungkin mereka mampu memahami dan mengingati setiap fakta yang dibaca.

Berasa belum bersedia

Keadaan yang kedua pula berlaku kepada mereka yang sememangnya belajar. Mereka rasakan yang diri belum cukup bersedia. Mereka sentiasa fikirkan apa akan berlaku kalau segala usaha ini sia-sia? Apa akan terjadi kalau apa yang dibaca kelak lupa? Betapa malunya nanti kalau kawan-kawan yang kurang berusaha mendapat keputusan yang jauh lebih baik? Semua ini bermain difikiran.

Harapan ibu bapa yang terlalu tinggi

Tidak ada ibu bapa yang tidak mengharapkan kejayaan anak-anak. Ada ketikanya pula ibu bapa berulangkali menyatakan harapan mereka kepada anak-anak tanpa memikirkan kemampuan sebenar diri anak. Harapan yang terlalu tinggi ini ada ketikanya menjadi beban kepada anak-anak hinggakan mengganggu fikiran mereka. Kepada ibu bapa, saya sarankan agar dorong anak-anak berusaha gigih dan melakukan yang terbaik mengikut kemampuan masing-masing. Nyatakan dengan jelas bahawa apa yang anda mahukan ialah anak-anak melakukan yang terbaik dan sungguh-sungguh. Anda redha walau apa sekalipun keputusannya kelak. Ini akan mengurangkan tekanan atas diri anak-anak.

Berfikiran Positif

Bagi mengatasi segala tekanan mental seperti di atas anda perlulah berfikiran positif. Fokuskan mental anda kepada apa yang perlu anda lakukan dan apa pula hasil yang anda harapkan. Tidak perlu anda bimbang apa keputusan yang bakal diperolehi tetapi anda perlu bimbang kalau-kalau anda tidak menggunakan sisa-sisa masa yang masih ada untuk berusaha sepenuhnya.

Sekiranya anda memikirkan kegagalan maka anda hanya tergambar pelbagai rintangan dan halangan. Ini akan melemahkan semangat anda. Ia juga membuatkan anda meragu kebolehan diri anda.

Dalam berusaha anda mesti berpegang kepada kata-kata seperti:

"Sedikit pencapaian itu lebih baik dari tiada pencapaian langsung". "Something is better than nothing"
Lakukan "Latihan Minda" setiap hari.
"If you can't see it, you can't have it".

Kata-kata di atas menunjukkan bahawa untuk mencapai sesuatu kejayaan itu maka gambaran kejayaan mestilah terlebih dahulu wujud dalam pemikiran. Sebelum anda mampu mendapat 8A dalam PMR, maka 8A itu mesti terlebih dahulu ada dalam pemikiran. Ia ibarat menghasilkan sebuah lukisan, anda tidak akan melakar sesuatu yang anda tidak gambarkan. Lakaran anda berasaskan kepada apa yang anda nampak dalam mata minda. Begitulah juga dengan kehidupan ini. Anda tidak akan menhasilkan sesuatu yang anda tidak gambarkan. Oleh itu, gambarkanlah kejayaan dan anda pasti akan terdorong untuk merealisasikan apa yang digambarkan itu. Makin jelas gambaran yang ada, makin tinggilah kesungguhan anda untuk merealisasikannya.

Untuk membantu anda menggambar dengan baik, anda perlu membuat latihan minda seperti dibawah.

1.Duduk dikerusi anda dengan selesa. Tangan diletakkan diatas peha. Badan tidak bersandar. Tenangkan fikiran dan kendurkan setiap otot, sendi, urat saraf dan pejamkan mata anda.

2.Tarik nafas beberapa kali dalam-dalam. Tarik melalui hidung dan hembuskan melalui mulut. Ketika nafas ditarik, gambarkan yang anda menyedut keyakinan diri. Ketika nafas dibuang, gambarkan yang anda membuang segala ketakutan dan kebimbangan.

3.Saya percaya anda pernah capai kejayaan sebelum ini, sama ada kecil atau besar. Saya mahu anda kembali kepada peristiwa kejayaan itu. Kejayaan itu mungkin berkaitan dengan pelajaran, sukan, debat dan sebagainya. Pilih satu yang paling bermakna kepada anda. Di mana ia berlaku? Apa yang berlaku? Apa yang anda dapat lihat? Suara apa yang anda dengar? Kalau ada tepukan, dengar tepukan gemuruh ketika itu. Kalau ada puji-pujian dengarkan suara siapa yang memuji itu. Gambarkannya secara jelas mengikut kemampuan anda. Dengar suara yang ada dengan jelas. Rasakan apa perasaan anda ketika itu. Rasakan keseronokan anda pernah dipuji. Rasakan kebanggaan anda sebagai orang yang berjaya ketika itu. Hadirkan perasaan itu kembali.

4.Apabila perasaan yakin dan bangga mula memuncak, cubit sedikit kedua-dua peha anda dengan tangan. Biar terasa sedikit sakit. Buka mata anda, dan pejam kembali. Ulang langkah 2 - 4 beberapa kali.

5.Kini pejamkan mata, gambarkan anda melangkah masuk ke dewan peperiksaan. Gambarkan anda duduk di kerusi dan di atas meja tersedia kertas soalan. Rasakan ketenangan dalam dewan. Gambarkan kini anda membelek-belek kertas soalan dan anda dapati semua apa yang anda baca keluar. Rasakan kegembiraan itu. Gambarkan bagaimana anda menjawab setiap soalan satu persatu dengan penuh keyakinan. Ide keluar mencurah-curah. Gambarkan 8A dalam PMR (10 1A untuk SPM). Ketika ini sekali lagi cubit kedua-dua peha anda seperti yang telah anda lakukan dalam langkah 4 tadi.

6.Buka mata anda, ulangi langkah 5 beberapa kali.

7.Buatkan latihan minda ini 10 - 15 minit setiap hari. Sekiranya anda lakukan latihan ini sungguh-sungguh setiap hari, anda dapat mengawal perasaan takut anda ketika berada di dewan peperiksaan dengan menarik nafas dan mencubit kedua-dua peha.

Kejayaan latihan minda di atas banyak bergantung kepada kesungguhan anda melatih diri, kekerapan latihan dan tumpuan anda.

PERSEDIAAN EMOSI

Dalam saat-saat menghadapi peperiksaan, anda perlu mengelak diri dari sebarang bentuk gangguan emosi. Perkara-perkara yang berikut perlu dielakkan:

Pertengkaran dengan rakan-rakan;

Melakukan perkara yang membuatkan ibu bapa marah;

Cinta monyet yang mungkin kecundang pada saat-saat peperiksaan;

Bersikap terlalu yakin - "overconfident";

Berprasangka buruk terhadap orang lain;

Ramai pelajar bertindak balas secara spontan terhadap sesuatu yang berlaku terhadap mereka. Tindak balas spontan ini menjadi tabiat semulajadi mereka. Apa perasaan anda kalau rakan membohongi anda? Anda mungkin serta-merta menjadi marah. Apa berlaku kalau rakan memulau dan mengejek anda? Anda mungkin rasa tersinggung dan kecil hati. Kalaulah begini tindak balas spontan anda, apa akan berlaku dengan persediaan peperiksaan anda? Anda pasti tidak mampu memberikan tumpuan untuk mengulang kaji. Ada ketikanya luka di hati berkekalan berhari-hari.

Kenapa tidak selepas ini kawal emosi anda. Jangan izinkan sesiapa melukai hati anda. Mereka boleh berkata apa sahaja, mereka boleh berbohong dan sebagainya. Mereka ada suara, biarkanlah mereka. Anda cuma pekakkan telinga. Banyakkan bersikap sabar. Teruskan sahaja kerja anda. Kekalkan matlamat peperiksaan anda. Apabila anda berjaya satu hari nanti, rakan-rakan akan mula menghormati anda.

Sebenarnya peristiwa tidak mencetuskan sebarang emosi. Tanggapan atau paradigma andalah yang mencetuskan emosi. Kita boleh melihat setiap perkara yang berlaku terhadap diri kita dari dua perspektif, iaitu positif atau negatif. Mulai hari ini ambillah dari sudut yang positif. Ingatlah setiap apa yang berlaku adalah ujian Allah dan ada hikmah sekiranya anda bersabar. Dengan cara ini anda mampu membenteng emosi anda.

PERSEDIAAN ROHANI

Selain daripada persediaan fizikal, mental dan emosi, persediaan rohani juga perlu. Anda perlu faham kedudukan kita sebagai hamba hanyalah mampu melakukan usaha sebaik mungkin tetapi hasil sebenarnya Allahlah yang menentukannya. Ketenangan jiwa dan fikiran sangat perlu pada saat-saat menghadapi peperiksaan, oleh itu lakukanlah sesuatu untuk meraih ketenangan ini.

Antara perkara yang boleh anda lakukan ialah:

1.Sentiasa bermunajat kepada Allah. Lakukan solat hajat dan pohon agar Allah campakkan ketenangan dan terangkan hati dalam menghadapi peperiksaan. Minta pada Allah agar apa yang dipelajari keluar dalam peperiksaan.

2.Minta restu kedua-dua ibu bapa. Doa ibu bapa untuk anaknya sangat makbul. Jadi mintalah restu daripada kedua-duanya. Mintalah mereka mendoakan kejayaan anda.

3.Banyakkan berzikir dan membaca al-Quran. Hati yang banyak berzikir akan memperoleh ketenangan. Hati juga lebih terang apabila anda sering membaca al-Quran. Allah telah berfirman dalam surah ar-Ra'ad, ayat 36, yang mafhumnya "Sesungguhnya dengan mengingat Allah akan menjadi tenanglah semua hati".

4.Jauhi maksiat. Jauhi diri anda daripada perbuatan maksiat dan dosa besar. Mereka yang bergelumang dengan maksiat mempunyai jiwa yang resah. Hidup juga tidak diberkati Allah.

5.Banyakkan berdoa. Pastikan anda berdoa mengikut adab-adab berdoa.

Sumber :http://www.usm.my/education/kaunseling/tip.htm

Isnin, 5 Oktober 2009

Martabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa 1Malaysia

PERJUANGAN untuk memartabatkan kedudukan bahasa Melayu di negara ini tidak pernah terhenti mahupun diabaikan. Pelbagai pihak sentiasa dilihat menyuarakan kebimbangan terhadap penghakisan penghormatan terhadap bahasa yang sepatutnya menjadi tunjang penduduk Malaysia ini.

Kita seolah-olah semakin lupa apa yang tercatat dalam Perlembagaan negara ini walaupun jelas bahasa Melayu sudahpun diiktiraf dan diletakkan di suatu kedudukan yang tinggi martabatnya apabila ia diisytihar sebagai bahasa kebangsaan.

Kita juga perlu ingat bahawa bukan mudah status bahasa kebangsaan ini diberikan. Ia telah dibincang, dibahas dan akhirnya telahpun dipersetujui oleh semua pihak terutamanya semua pemimpin politik yang mewakili semua kaum utama di negara ini semasa perlembagaan itu digubal dan diluluskan.

Maka sewajarnya tidak patut timbul soal bahasa Melayu dipinggirkan ataupun dikesampingkan dalam semua urusan baik yang rasmi mahupun tidak rasmi.

Sepatutnya juga tidak perlu timbul isu keperluan untuk memperjuangkan bahasa ini kerana secara hakikinya dan juga secara automatiknya bahasa ini wajib didaulat dan dimuliakan oleh semua pihak terutamanya setiap warga negara ini.

Namun kelekaan sesetengah pihak dalam menjalankan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan menyebabkan kita semakin terjerumus ke kancah 'keperluan' untuk memperjuangkan sesuatu yang sepatutnya tidak perlu diperjuangkan lagi secara paksa.

Rasanya tidak perlu lagilah kita menuding jari menyalahkan orang politik mahupun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Kesedaran perlu berputik dengan sendirinya di jiwa setiap daripada kita jika mahu bahasa ini terus mekar dan subur.

Bahasa kebangsaan ini besar peranannya jika kita mahu merealisasikan misi 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri kita. Malah boleh dikatakan inilah jambatan penghubung utama antara kaum yang boleh menjayakan misi tersebut.

Kita perlu bersatu dalam satu bahasa supaya komunikasi dan perhubungan antara kaum dapat dipererat serta dimantapkan dan seterusnya boleh mengelakkan segala prasangka buruk sesama kita.

Ini kerana masyarakat kita sememangya sudahpun terpisah di antara satu sama lain dengan pelbagai budaya yang diamalkan oleh kaum masing-masing.

Budaya ini adalah tradisi dan adat masing-masing yang telah menjadi amalan turun- temurun yang tidak boleh dipadam begitu sahaja. Maka dalam aspek apa lagi kita boleh bersatu jika bukan melalui bahasa perantaraan yang satu ini, iaitu bahasa Melayu.

Walaupun sudah 52 tahun kita merdeka namun masih terdapat rakyat yang tidak fasih berkomunikasi dalam bahasa Melayu.

Ia sesuatu yang cukup menyedihkan. Keadaan ini dapat dielakkan jika kita memberi penekanan sewajarnya dalam aspek pemahaman dan pembelajaran bahasa Melayu di peringkat sekolah.

Ternyata pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di sekolah Tamil dan Cina tidak begitu membantu anak-anak untuk berkomunikasi dan bertutur dengan baik dalam bahasa Melayu.

Bahasa rojak terus menjadi amalan. Jika ini dibiarkan maka seluruh generasi akan terbawa-bawa dengan bahasa rojak tersebut.

Dalam hal ini orang Melayu juga perlu memainkan peranan sewajarnya. Misalnya apabila mereka berkomunikasi dengan orang Cina ataupun India maka mereka sepatutnya menggunakan bahasa yang betul dan bukannya bahasa rojak dengan mengikut rentak pertuturan orang Cina ataupun India.

Ini banyak berlaku di kalangan masyarakat kita dalam perbualan dan urusan seharian. Perkara ini perlu dihentikan dan dibendung dengan segera kerana ini menunjukkan seolah-olah orang Melayu sendiri menggalakkan penggunaan bahasa Melayu yang tidak betul ataupun bahasa rojak.

Sepatutnya orang Melayu menjadi contoh dan teladan kepada orang lain dengan bertutur dalam bahasa Melayu yang betul di samping membantu mendidik ataupun memperbetulkan bahasa rojak yang digunakan oleh orang lain. Ini jelas tidak berlaku malah lebih merumitkan keadaan yang sedia ada.

Justeru satu permintaan dan harapan kita kepada semua pihak yang berkenaan terutamanya orang Melayu serta pihak yang mempunyai kuasa, patuhi dan kuat kuasakan apa yang tertera dalam Perlembagaan kita supaya bahasa ini didaulat dan digunakan dengan betul.

Sempena pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan peringkat kebangsaan ini, marilah kita bersama-sama bertekad untuk menghayati dan seterusnya membudayakan penggunaan bahasa Melayu di kalangan seluruh rakyat negara ini.

Percayalah bahawa hanya melalui penyatuan bahasa sahaja kita boleh menjayakan misi 1Malaysia.

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED

Serdang, Selangor

Sumber : http: //www.utusan.com.my/

Kempen saban tahun gagal perkasa bahasa Melayu

Oleh Jami'ah Shukri
jamiah@bharian.com.my

BAHASA Jiwa Bangsa, slogan yang diguna pakai dalam program dan kempen bulan bahasa sejak lima dekad lalu, tetapi masih gagal meletakkan bahasa Melayu ke tahap tertinggi. Kekaguman terhadap bahasa Melayu yang diperjuangkan oleh sekumpulan tertentu di negara ini hanya dilihat sebagai mitos dan tidak mendapat sokongan penuh daripada yang sepatutnya.

Sebilangan besar korporat Melayu pula dilihat lebih menebal dan terlalu taksub dengan kehebatan bahasa Inggeris serta menganggap tidak mahir berbahasa global itu, akan menyebabkan sesuatu bangsa itu tidak boleh maju dan berada di puncak kecemerlangan.

Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan, Datuk Dr Hassan Ahmad, berkata kerajaan tidak perlu mengadakan kempen Bulan Bahasa kerana bahasa Melayu sudah menempa nama yang besar dari segi sejarahnya sejak beratus tahun lamanya.

"Saya menganggap kempen seumpama itu sebagai budaya kalangan masyarakat di negara ini. Saya lihat, hanya Malaysia satu-satunya negara di dunia menganjurkannya," katanya yang juga Pengerusi Gerakan Mansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Beliau berkata, sepatutnya dasar berkaitan bahasa itu perlu diperkukuhkan dan pelaksanaan dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Ramai yang masih mencampuradukkan penggunaan bahasa Melayu dan Inggeris terutama ketika berkomunikasi. Lebih malang, ramai kalangan pemimpin, ahli korporat dan perniagaan yang menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama

"Saya tidak fikir dengan berbahasa Melayu kita tidak maju dalam perniagaan atau pekerjaan. Lihat saja, senarai jutawan di Malaysia, ada antaranya tidak tahu berbahasa Inggeris tetapi mampu menunjukkan kemampuan dari segi pencapaian hidupnya.

"Rakyat di Jepun dan Perancis tidak menggunakan bahasa Inggeris dalam pelbagai urusan, tetapi tetap menjadi sebuah bangsa yang maju. Bagi saya, kita tidak mempunyai masalah atau berdepan dengan isu bahasa, sebaliknya hanya sekumpulan masyarakat tertentu yang sudah merosakkannya," katanya.

Justeru, Yayasan Karyawan tidak menjalankan sebarang kempen untuk memperkukuhkan penggunaan bahasa Melayu kerana menganggap bahasa Melayu tidak ada sebarang masalah, sebaliknya, Yayasan Karyawan lebih aktif menerbitkan semula karya agung pada abad ke-14.

Mengenai fungsi bahasa Malaysia sebagai bahasa perpaduan, Hassan berpendapat matlamat ke arah itu masih belum tercapai kerana orang Melayu sendiri tidak bersungguh-sungguh dan lebih ghairah mengagungkan bahasa Inggeris. Ini menyebabkan kaum lain juga melihat, orang Melayu sendiri tidak serius ke arah itu.

"Lihat saja papan tanda, mengapa perlu ada bahasa lain. Mengapa tidak digunakan bahasa Melayu saja. Kita sudah ada konsep 1Malaysia, jadi mengapa perlu ada banyak bahasa pada papan tanda itu," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Datuk Baharuddin Zainal atau Baha Zain, berkata DBP seharusnya membuat bedah siasat terhadap program Bulan Bahasa yang dilancarkan selama ini kerana ia dianggap sebagai program rutin setiap tahun sedangkan ia dilihat seakan gagal mencapai matlamat memartabatkan bahasa Malaysia.

Katanya, DBP perlu mengupas secara holistik program itu di samping mendapatkan pandangan daripada pakar serta pejuang bahasa supaya ia mampu memenuhi konteks baru dan situasi semasa, dengan melihat semula status bahasa kebangsaan dalam keseluruhan sistem pentadbiran, pendidikan serta sektor swasta.

"Kita berharap supaya bulan bahasa kebangsaan dilaksanakan pada masa depan mampu menjadi pelengkap ke arah memperkasakan bahasa itu. Tidak banyak kesan dicapai selama ini," katanya.

Pada masa sama, kerajaan perlu menanamkan keazaman untuk memulihkan bahasa Melayu yang semakin terpinggir terutama ketika pelaksanaan PPSMI dan seterusnya dijadikan asas pembangunan moden negara ini.

Katanya, kerajaan sewajar-nya memulihkan keazaman dan mengembalikan semula kecemerlangan bahasa Malaysia sama seperti pada zaman pentadbiran Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein.

"Apa yang dilihat penggunaan bahasa Melayu tidak menyeluruh termasuk dalam sektor awam. Lihat sajalah pengurusan tertinggi syarikat berkaitan kerajaan (GLC), lebih suka bercakap bahasa Inggeris. Kepemimpinan melalui teladan tidak diterap di situ, bagaimana orang bawahan akan mengikut.

"Pengurusan tertinggi GLC ini melahirkan kelas elit yang tidur, rasa diri terpisah daripada budaya bahasa. Isu bahasa Melayu juga masih pincang pada peringkat pengajian tinggi. Ketika ini, pendirian mengenai pengajaran dalam bahasa Melayu sudah dicapai di sekolah rendah dan menengah, tetapi tidak di institusi akademi itu," katanya.

Apa yang penting, pandangan pejuang bahasa berkaitan isu ini tidak seharusnya dikesampingkan kerana mereka adalah sekumpulan entiti elit yang mewakili sebahagian suara rakyat di peringkat akar umbi.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Kaji beri lebih kuasa DBP martabat bahasa

LARUT 4 Okt. - Kerajaan sedia mengkaji untuk memberi lebih kuasa kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau sedar ada pihak tertentu menuntut agar pihak terbabit memainkan peranan yang lebih besar dalam menjamin kedudukan dan masa depan bahasa kebangsaan itu.

''Ini (beri kuasa) kita akan mengkaji lagi, tetapi pastinya yang penting, Akta Bahasa Kebangsaan hendaklah dipinda dan usaha pindaan sudah dilakukan.

''Ia perlu dibawa ke Kabinet dulu sebelum Parlimen," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Larut di sini hari ini.

Muhyiddin diminta mengulas pandangan Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia hari ini mengenai perlunya DBP diberi kuasa penguatkuasaan bagi memartabatkan bahasa Melayu.

Cadangan itu merupakan hasil Persidangan Antarabangsa Bahasa Melayu Bahasa Dunia yang berlangsung di Johor Bahru, baru-baru ini.

Menurut Awang Selamat, selagi DBP tidak mempunyai kuasa tersebut, agensi itu dilihat umpama 'harimau tidak bertaring.'

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, draf pindaan Akta Bahasa Kebangsaan tersebut telah pun siap dan diserahkan kepada Peguam Negara untuk disemak sebelum di bawa ke Kabinet.

''Sudah ada draf pindaan kepada Akta Bahasa Kebangsaan yang telah siap dan diserahkan kepada Peguam Negara tetapi belum dibawa ke Kabinet.

''Dalam perkara itu juga ada perakuan yang dibuat pada pindaan akta (untuk) memberi kuasa (kepada DBP), tetapi kita hendak tengok bagaimana perkara itu boleh dilaksanakan, masa yang sesuai walaupun tuntutan sekarang ini. Kalau ikut suara-suara tertentu, (mereka) minta kuasa lebih," katanya.

Mengulas mengenai pelajar Malaysia yang berhadapan dengan risiko bencana alam di negara seperti Indonesia, jelas Muhyiddin, kerajaan tidak bercadang menghentikan penajaan pelajar ke negara-negara berkenaan.

Beliau berkata, kerajaan juga tidak menghalang ibu bapa yang mahu menghantar anak-anak mereka ke negara tersebut sekiranya mereka berminat berbuat begitu.

''Saya tak fikir ini jadi fenomena berpanjangan, sebab berlaku (gempa bumi) maka tak ada minat lagi hendak ke sana kerana peluang belajar ada di mana-mana.

''Itu langkah yang kurang bijak. Tetapi dalam situasi sekarang, tentulah yang penting kita nak membantu pelajar yang ditimpa musibah ini," jelasnya.

Sumber : http://www.utusan.com.my/