Isnin, 26 Oktober 2009

Guru kaunseling kena celik teknologi

KAEDAH kaunseling digunakan di sekolah diakui berada pada takuk lama, bersifat konvensional serta tidak selari dengan perkembangan remaja ketika ini yang lebih suka mencari alternatif lain untuk meluahkan perasaan mereka.

Presiden Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, berkata jika dilihat kepada pendekatan sedia ada yang meletakkan seorang guru kaunseling di sekolah dengan harapan murid bermasalah berjumpa dan berkongsi masalah mereka adalah satu kaedah lama yang tidak lagi berkesan dipraktikkan ketika ini.

Pelajar sekarang tak suka berkongsi masalah secara terus dengan guru, apatah lagi berasakan ia tidak selamat kerana guru kaunseling juga hakikatnya seorang guru. Oleh itu, mereka akan memilih alternatif lain dan laman web adalah kaedah popular ketika ini. Fenomena itu biasa dan mereka tak boleh dipersalahkan.

Sepatutnya, guru kaunseling perlu mempunyai pendekatan yang selari dengan perkembangan situasi semasa. Jika pelajar guna Facebook, guru juga perlu guna. Jadi kawan mereka dalam Facebook dan ajak mereka kongsi masalah. Guru perlu dekat dengan kehendak mereka,” katanya.

Beliau berkata, akibat kegagalan dalam sistem komunikasi itu, pelajar memilih untuk berkongsi secara terbuka di alam maya dan lantaran mereka juga tidak dididik supaya berhemah, berlaku pelanggaran tatasusila ketika berkomunikasi di internet. Selain itu, ketelusan serta integriti di kalangan guru kaunseling juga boleh dipersoalkan menyebabkan pelajar tidak yakin untuk berkongsi masalah dengan mereka.

Turut dipersoalkan ialah bagaimana kaedah menangani isu disiplin di sekolah, terutama membabitkan kes di laman web kerana mungkin wujud elemen tindakan beremosi pengetua tanpa mengambil kira semua faktor atau punca perkara itu berlaku.

“Pengetua tak wajar buang pelajar yang hina guru dalam laman web. Sepatutnya kena cari punca ia berlaku. Cari jalan rapatkan hubungan dan cari bukti kebenaran yang diluahkan dalam laman web. Namun, hukuman lain perlu juga dilaksanakan untuk menjadi iktibar kepada pelajar lain.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata merujuk kepada kes dilaporkan akhbar mengenai pelajar sekolah berasrama penuh yang dinasihatkan supaya berpindah sekolah selepas menghina pengetuanya dalam laman web Friendster, perkara itu bukanlah semata-mata kesalahan yang dilakukannya sehingga tindakan sebegitu diambil.

“Ia kesalahan berulang selepas beberapa tindakan sudah diambil. Dalam sistem pengurusan disiplin di sekolah, ada beberapa langkah digunakan termasuk amaran, kaunseling dan langkah buang sekolah adalah tindakan terakhir.

“Menghina sekolah atau pengetua dalam laman web tetap satu kesalahan disiplin, walaupun ia tidak termaktub dalam peraturan sekolah. Pengetua berhak menggunakan kuasa yang ada untuk bertindak. Apa saja yang menjejas atau memburukkan nama baik sekolah dianggap satu kesalahan,” katanya.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Mohamed Sharil Tarmizi, apa saja perkataan dalam laman web yang berunsur lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelek sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain adalah satu kesalahan.

“Sebarang bentuk perbuatan dianggap salah dalam alam nyata turut dianggap salah dalam alam maya,” katanya.

Yang Dipertua Majlis Guru Besar, Ruslan Madon, pula berkata, kemahuan pelajar meluahkan perasaan tidak wajar disekat dan sepatutnya pihak sekolah menggunakan pendekatan yang seboleh mungkin seiring dengan kehendak dan cara pelajar. Keengganan dan kekerasan pihak sekolah menyekat kebebasan melepaskan tekanan di kalangan remaja menyebabkan berlaku banyak perkara tidak diingini, sekali gus mendorong pelajar bertindak di luar batas norma yang sepatutnya.

“Jika kita amati, pelajar suka menggunakan alternatif lain meluahkan perasaan. Mereka tak suka bersemuka dengan guru kerana rasa tidak selamat. Justeru, pelbagai cara digunakan termasuk menggunakan laman web, menconteng dinding dengan kata-kata kesat terhadap seseorang, malah ada yang menendang pintu atau menumbuk dinding.

“Sesetengah pelajar tak suka bersemuka atas pelbagai sebab. Mungkin mereka malu atau takut risiko lain. Oleh itu, jika mereka suka gunakan laman web atau internet, kita juga perlu guna sumber sama,” katanya.

Beliau juga mahu semua pihak lebih memahami dan prihatin dengan kehendak serta masalah remaja kerana pasti semua dinyatakan atau diluahkan, meskipun dalam bentuk tidak sesuai menggambarkan satu situasi yang bersebab.

“Apa kata kita ikut rentak mereka. Sediakan dinding khas di sekolah supaya mereka boleh pada bila-bila masa meluahkan perasaan di tempat yang disediakan. Nak tumbuk dinding, sediakan ‘punching bag’ supaya mereka boleh belasah sepuas hati. Guru kaunseling dan pengetua pula perlu ada emel yang diketahui semua pelajar supaya mereka boleh meluahkan perasaan tanpa perlu bersemuka.

“Sesetengah pelajar tak suka bersemuka atas pelbagai sebab. Mungkin mereka malu atau takut risiko lain. Kerana itu, jika mereka suka gunakan laman web atau internet, kita juga perlu guna sumber yang sama,” katanya. Beliau juga mahu semua pihak lebih memahami dan prihatin dengan kehendak serta masalah remaja kerana pasti semua yang dinyatakan atau diluahkan, meskipun dalam bentuk tidak sesuai menggambarkan satu situasi yang bersebab.

“Takkan mereka memaki hamun tanpa sebab. Mesti ada sebab. Mungkin juga ada kebenarannya. Jika mereka meluahkan sesuatu, periksa dan siasat. Mana tahu mungkin memang benar guru dimaksudkan bermasalah,” katanya.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Promosikan Sasterawan Negara untuk Hadiah Nobel

Oleh Imlan adabi
imlan@bharian.com.my

KITA sudah ada 10 Sasterawan Negara. Yang terbaru adalah Anwar Ridhwan atau Datuk Dr Anuar Rethwan yang dilahirkan di Sabak Bernam, Selangor pada 5 Ogos 1949. Penobatannya sebagai Sasterawan Negara sudah diduga. Karyanya amat terserlah dari segi mutu dan kehalusan seni. Novelnya yang pertama ialah Hari-hari Terakhir Seorang Seniman yang memenangi Hadiah Novel Gapena-Yayasan Sabah pada 1979. Sebuah lagi novelnya Arus (1985) memenangi Hadiah Sastera Malaysia (1984/1985). Antara cerpen karyanya ialah Perjalanan Terakhir (1971), Dunia adalah Sebuah Apartmen (1973), Sesudah Perang (1976) dan Dari Kiev ke Moskova (1992). Karya beliau yang diilham dan disiapkan di Jepun pada 2001 berjudul Naratif Ogonshoto memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2000/2001. Novel itu dengan judul Bili i Nebili Ostrovov Ogonsoto diterbitkan dalam bahasa Russia (penterjemah Victor Pogadaev) pada 2006 di Sanct-Petersburg (penerbit Paideia).

Kewibawaan dan kerajinan berkarya meletakkan nama Anwar sebaris tokoh besar sastera yang lain. Bagaimanapun apakah cukup sekadar sasterawan terbaik menerima Anugerah Sasterawan Negara, tanpa sebarang promosi dan pencalonan untuk meraih Hadiah Nobel dalam bidang kesusasteraan?

Persoalan ini amat wajar dilontarkan kerana sejak lebih tiga dekad lampau, kita kurang promosi karyawan tempatan untuk Hadiah Nobel. Jika Indonesia pernah menubuhkan sebuah panitia khas mempromosikan Pramoedya Ananta Toer selama beberapa tahun, kita agak sepi dan amat longlai.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sepatutnya bertindak lebih aktif melobi dan meletakkan sasterawan Malaysia ke peta dunia. Badan penulis bertaraf nasional seperti Gapena dan kerabatnya, Pena perlu lakukan sesuatu supaya Hadiah Nobel menjadi milik karyawan Malaysia. Jika selama ini persatuan penulis kerap bercakap mengenai dunia Melayu hingga Afrika Selatan dan Indochina, wajar pula mereka memperjuangkan sasterawan Malaysia menerima anugerah tertinggi dunia pula.

Penulis dan badan sastera sepatutnya tidak sekadar menggamit nostalgia tanpa memandang lebih jauh. Memperkasakan bangsa dengan karya yang baik dan meraih Hadiah Nobel, sepatutnya menjadi idaman karyawan di Malaysia. Kerajaan dan sarjana sastera juga perlu berperanan secara aktif dan telus melalui konsep 1Malaysia. Kejayaan meraih Hadiah Nobel secara langsung meletakkan nama Malaysia di persada persuratan global. Kita akui Sasterawan Negara adalah penghormatan tertinggi terhadap karyawan besar tempatan. Namun kehebatan di gelanggang sendiri bukan kayu pengukur yang sebenarnya.

Dari segi sejarah, Anugerah Sasterawan Negara mula diperkenalkan pada 1981 apabila Keris Mas (Kamaludin Muhamad) dinobatkan sebagai penerima pertama. Kemudian diikuti Datuk Shahnon Ahmad (1982), Datuk Dr Usman Awang (1983), Datuk A Samad Said (1985), Arena Wati (1987), Prof Dr Muhammad Salleh (1991), Datuk Noordin Hassan (1993), Datuk Abdullah Hussain (1996) dan S Othman Kelantan pada 2003.

Dari segi mutu, karya Samad dan Shahnon dianggap wajar dicalonkan untuk Hadiah Nobel. Ranjau Sepanjang Jalan, Sampah, Shit, Sutan Baginda, Hujan Pagi, Daerah Zeni dan Salina bukan sekadar penceritaan yang ada plot dan watak, malahan mengangkat kehidupan bangsa Malaysia dengan pelbagai kerenah sosiobudaya tempatan. Karya sedemikian lazimnya dapat mencuit perhatian panel Hadiah Nobel, jika usaha tegas dan berwibawa dilakukan. Sajak karya Muhammad seperti Pulang si Tanggang amat puitis dan intelektual.

Sejak penyair Perancis, Sully Prudhomme meraih Hadiah Nobel kali pertama pada 1901, karya yang berjiwa besar dan jujur mengangkat permasalahan bangsanya sering menjadi tumpuan panel.

Hal ini bertepatan dengan wasiat Alfred Nobel yang mahu merakamkan anugerah kepada karyawan 'luar biasa atau memberi sumbangan yang utama kepada masyarakat'. Sehingga kini hanya empat sasterawan Asia menerima Hadiah Nobel. Tiada seorang pun karyawan Asia Tenggara tersenarai. Selepas Rabindranath Tagore (India) menerima anugerah pada 1913, karyawan lain ialah Shmuel Yosef Agnon (Israel, 1966), Yasunari Kawabata (Jepun, 1968), Oe Kenzabur (Jepun, 1994) dan Guo Zingjian (Rusia-China, 2000).

Kita berharap nama Samad, Shahnon, Muhammad dan Anwar turut tersenarai kerana Hadiah Nobel diberikan kepada karyawan yang masih hidup. Walaupun karya Usman, Arena Wati dan S Othman Kelantan amat berwibawa, nama mereka tidak layak dicalonkan kerana lebih awal meninggalkan kita.

Bagi kebanyakan karyawan dan pengkaji sastera, beberapa hasil tempatan sudah layak dipertimbang untuk pencalonan Hadiah Nobel. Isunya sekarang adalah promosi dan usaha berterusan membawa karya tempatan ke peringkat global. Birokrat seni sepatutnya berperanan dalam hal ini. Jangan kita dianggap 'kurang visi, kurang reti dan kurang rasa!'.

Sumber : http: //www.bharian.com.my/

Ahad, 25 Oktober 2009

Insentif sekolah cemerlang

Muhyiddin Yassin (duduk empat dari kiri) bergambar bersama para peserta sebelum menyertai Kejohanan Golf Kebajikan Yayasan Al-Khaadem di Tropicana Golf & Country Resort, Petaling Jaya, Selangor, semalam. Turut kelihatan, Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Mansor (lima dari kiri) serta Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussin (enam dari kiri).

PUTRAJAYA 25 Okt. - Sebanyak tiga hingga empat peratus daripada pengetua atau guru besar dan guru di sesebuah sekolah bakal menikmati insentif istimewa sekiranya mereka berjaya memacu kecemerlangan sekolah bermula tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tawaran baru berbentuk pemberian insentif itu merupakan salah satu Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) yang ditetapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2010 Jumaat lalu kepada pengetua atau guru besar.

Bagaimanapun, kata beliau, bentuk insentif tersebut belum diputuskan lagi dan hanya akan dimaklumkan sebelum akhir tahun ini.

''Tawaran baru ini diberikan supaya pengetua dan guru besar memberi lebih perhatian kepada kepimpinan di sekolah yang tidak hanya bersandar kepada keputusan peperiksaan.

''Pemberian istimewa ini mungkin sama ada berbentuk sebulan atau dua bulan gaji bukan sahaja akan diberikan kepada pengetua atau guru besar tetapi juga untuk guru-guru lain. Ini kerana kejayaan sesebuah sekolah tidak terletak kepada pengetua atau guru besar sahaja tetapi usaha bersama," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pertandingan Akhir Mighthy Minds National Challenge 2009 anjuran akhbar The Star dan RHB Bank, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kementeriannya sedang menggubal kurikulum baru supaya pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik lebih holistik, interaktif dan menyeronokkan.

''Kita akan memberi lebih tumpuan kepada soal kokurikulum, sukan dan aktiviti luar daripada mata pelajaran biasa supaya pelajar lebih menguasai bukan sahaja ilmu tetapi beberapa kemahiran lain supaya dapat membangunkan perwatakan pelajar yang seimbang," katanya.

Mengenai pemberian biasiswa nasional kepada 30 pelajar terbaik berasaskan merit untuk melanjutkan pelajaran ke universiti tersohor dunia, Muhyiddin berkata, ia akan dimulakan tahun depan berdasarkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Cabaran sebenar ASEAN

Oleh NORAINI ABD. RAZAK
(Di Hua Hin, Thailand)

HARI ini Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva mampu menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya maruah negara gajah putih yang tercalar akibat insiden di Pattaya April lalu dapat ditebus.

Tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku sepanjang tiga hari pemimpin-pemimpin ASEAN dan enam rakan dialog mereka bertemu.

Baik mesyuarat di peringkat persediaan mahupun ketika berlangsungnya Sidang Kemuncak ASEAN Ke-15, suasana di Cha-am, Hua Hin yang menempatkan Hotel Dusat Thani tenang. Kawalan ketat pasukan tentera dan polis serta langkah membuka laluan khas ASEAN ternyata berbaloi.

Lebih daripada itu, Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) yang mempertemukan rakan dialog dari New Zealand dan Australia akhirnya dapat diterjemahkan dalam pertemuan yang ringkas tetapi bermakna.

Namun di sebalik kelancaran persidangan, ada kocakan kecil yang mengalih perhatian dunia terhadap agenda penting yang ingin diketengahkan oleh pemimpin-pemimpin ASEAN.

Kocakan peristiwa itu juga menguji sejauh mana semangat ASEAN ke arah solidariti dan uniti mampu disepakati kalangan anggotanya.

Apatah lagi isu panas ketika 'musim panas' di Chaam, Hua Hin yang menyusutkan nilai berita sidang kemuncak melibatkan pemimpin dan jiran kontroversi - Thaksin Shinawatra serta Kemboja.

Isu yang mendapat liputan meluas media tempatan dan asing menyebabkan Abhisit terpaksa membatalkan sidang akhbar semalam kerana telah menjangkakan soalan-soalan pemberita.

Mereka tidak berminat tentang pencapaian persidangan sebaliknya kemelut terbaru Abhisit dan Perdana Menteri Kemboja Hun Seng menjadi tumpuan pemberita terutamanya media asing yang menyifatkan sidang kemuncak kali ini sebagai 'sejuk'.

Hakikat yang mesti diterima tentang ASEAN dan 'isu rumah tangga' yang terbentang luas ialah ia ditelan oleh isu panas terbaru ini.

Di situ semangat ASEAN sebagai pertubuhan serantau yang berperanan memakmurkan setiap anggotanya boleh saja dipersoalkan. Seperti yang ditegaskan Abhisit, rakan sejawatannya Hun Seng memijak kaki ke Cha-am atas semangat ASEAN. Justeru mengeluarkan kenyataan yang boleh membunuh semangat itu bukanlah sesuatu yang bijak.

Ia bertentangan dengan kesepakatan ASEAN mahu membina komuniti sendiri yang saling berhubungan tanpa mengenal batas sempadan melalui pelbagai rangkaian kehidupan.

Sememangnya Hun Seng ada hak untuk membicarakan tentang rakan baiknya Thaksin. Begitu juga dengan Abhisit yang juga ada hak mempertahankan maruahnya sebagai tuan rumah sidang kemuncak apabila isu di luar agenda persidangan diperkatakan sedemikian rupa.

Namun menjadikan sidang kemuncak yang ditunggu-tunggu sejak April lalu sebagai platform adalah sangat tidak sesuai. Sememangnya diketahui juga ada isu yang belum selesai berkaitan pertikaian sempadan kawasan berhampiran Kuil Preah Vihear sejak abad ke-11, yang memanaskan 'iklim' hubungan Thailan-Kemboja.

Konflik seperti itu cukup untuk menggambarkan ada pertentangan antara perjuangan pertubuhan sepuluh negara anggota itu dengan 'kedegilan' segelintir anggotanya menyanggahi semangat ASEAN.

Apatah lagi dalam keadaan Thailand bertungkus lumus mahu membuktikan kemampuan mereka menjadi tuan rumah, isu Thaksin dan Kemboja mencacatkan tumpuan persidangan.

Pergolakan rumah tangga kedua-dua negara itu memberi gambaran seolah-olah ASEAN bukan keluarga bahagia yang bekerjasama menjaga kesejahteraan antara satu sama lain apatah lagi dalam satu majlis yang mempertemukan kesemua adik beradik bersama sepupu sepapat mereka.

Selepas 42 tahun ditubuhkan, itulah dilema ASEAN untuk bergerak sebagai badan yang dapat mewujudkan kemakmuran serantau dari pelbagai sudut - baik berupa menjaga perut penduduknya mahu pun memelihara kestabilan politik serantau.

ASEAN sememangnya telah berjaya dalam banyak hal. Kegawatan ekonomi serantau, bencana alam, pandemik, pendidikan, pelancongan, jaminan makanan dan perubahan iklim antara cabaran yang berjaya ditangani atas semangat ASEAN.

Namun di sebalik kejayaan itu, ada cabaran hebat lain menunggu badan itu.

Cabarannya adalah bagaimana badan itu dapat memainkan peranan menjernihkan kabut yang menyelubungi negara anggotanya. Ini kerana di samping mempunyai semangat ASEAN, ada satu lagi semangat yang mesti dijaga iaitu semangat tidak campur tangan hal ehwal dalam negara anggota.

Dalam kes 'Abhisit lwn Hun Seng' misalnya semangat ASEAN jelas tidak terpakai. Dalam hal ini Hun Seng menjaga semangat Kemboja mana Abhisit mempertahankan semangat tanah airnya.

Di mana kedudukan semangat ASEAN? Apa peranannya?

Sebab itu, apabila sidang kemuncak kali ini memuktamadkan penubuhan Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR), ada yang mencebik.

Kata mereka, apa guna ada suruhanjaya yang pertama seumpamanya di rantau Asia Pasifik jika ia tidak bertaring. Jika ia tidak boleh bertindak terhadap mana-mana negara anggota yang melanggar hak asasi manusia.

Di situ dilema ASEAN. Mahu ada semangatnya sendiri menuju kepada solidariti dan uniti tetapi dalam hal tertentu terikat dengan tali serta janji yang terpateri iaitu 'jangan campur urusan rumah tangga orang lain'.

Dan apabila induk atau ibu tidak ada peranan membetulkan kesalahan anak-anaknya maka akan tercetuslah rasa tidak puas hati. Akan terbentuk juga semangat mementingkan diri sendiri tanpa menghiraukan semangat yang mahu dipupuk.

Untuk itu peranan ASEAN kini mahu diperluaskan. Kejayaan yang dicapai serta dokumen tebal pelbagai perjanjian kerjasama termasuk dengan tiga rakan dialognya yang disepakati tidak cukup untuk menjadikan ASEAN pertubuhan yang relevan.

ASEAN mesti lebih berani. Kesungguhan untuk membina komuniti ASEAN dengan semangat serta jiwa yang tersendiri sedang rancak diusahakan. Apabila ada komuniti tunggal ASEAN yang sasarannya enam tahun lagi, maka semangat, tanggungjawab dan keprihatinan akan menjadi lebih padu. Di situ akan ada rasa hormat sekurang-kurangnya untuk tidak membuat onar di peringkat dalaman sehingga boleh menjejaskan semangat ASEAN itu sendiri.

ASEAN mesti proaktif membuktikan bahawa badan itu dihormati atas semangat yang telah dipersetujui bersama. Isu rumah tangga, serantau mahu pun antarabangsa mesti ditangani dengan bijak. Ia mesti diselesaikan atas semangat ASEAN sebelum badan ini bukan sahaja mendapat pengiktirafan malah dihormati dunia.

Pertikaian di peringkat negara sememangnya menuntut campur tangan semangat ASEAN. Dalam kes hubungan Malaysia-Indonesia misalnya, kontroversi tarian Pendet diselesaikan atas semangat ASEAN dalam masa yang sama kedua-dua negara berusaha menghormati urusan rumah tangga masing-masing.

Bagaimanapun untuk berjaya ke peringkat itu tidak mudah. Ia menuntut kekuatan untuk membataskan keterujaan. Lantaran apabila terlalu teruja manusia sering terlupa sehingga secara sengaja mengetepikan rasa hormat dan semangat yang dipersetujui.

Carik-carik bulu ayam akhirnya bercantum juga, jika tersilap carik akan terlerai.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Nota hujung:

# Carik-carik bulu ayam akhirnya bercantum juga bermaksud perselisihan sesama keluarga itu akhirnya akan berbaik kembali.

Sabtu, 24 Oktober 2009

BAGAI AUR DENGAN TEBING

Lima sahabat terima anugerah

LIMA sahabat dari kiri, Norly, Nor Diana, Nor Hashikin , Suhaili dan Adilah bangga memakai selendang Anugerah Naib Canselor pada Konvokesyen UiTM Ke-71 di Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM: 'Bagai aur dengan tebing'. Itu peribahasa paling tepat diungkapkan kepada semangat saling bekerjasama lima sahabat sehingga membolehkan mereka menerima anugerah Naib Canselor pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) Ke-71, di sini semalam.

Lima sahabat berkenaan, Adilah Irdahwani Abdul Rahim memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.80; Shuhaili Kamarudin (3.73); Nor Diana Samsudin (3.72); Nor Hashikin Mohd Shuhaimi (3.68) dan Norly Marlia Kamaruddin, 3.67.

Mereka yang sama usia 23 tahun menyifatkan kejayaan berkenaan hasil usaha gigih dan sikap saling membantu sejak di semester pertama lagi walaupun berasal dari negeri berbeza, iaitu Kedah, Melaka, Perak, Selangor dan Kuala Lumpur.

Lima sahabat yang menggenggam segulung ijazah dari Fakulti Pengurusan Perniagaan itu menjadikan pendidikan sebagai cara merapatkan hubungan sesama mereka.

Bagi Adilah Irdahwani yang dianggap sebagai ketua kumpulan berkenaan, empat rakannya dianggap seperti adik beradik sendiri dan kejayaan yang diperoleh tidak akan bermakna jika seorang daripada mereka gagal.

Beliau bertanggungjawab memastikan tiada antara mereka terleka atau terjebak dalam kegiatan tidak bermoral, sebaliknya menumpukan sepenuh masa belajar sehingga mencapai kejayaan.

'Matlamat kami berlima ialah pada setiap peperiksaan semester, perlu mendapat anugerah dekan dan Alhamdulillah, hari ini (semalam) kami membuktikannya. Cara ini juga mewujudkan persaingan sihat di antara kami," katanya.

Adilah yang bakal memulakan tugas di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bulan depan, bersyukur kerana nasib mereka juga baik dalam pasaran pekerjaan, malah empat rakannya itu sudah bekerja di beberapa jabatan kerajaan dan syarikat swasta.

"Kami tiada masa untuk menganggur," katanya sambil menambah Norly Marlia kini bekerja di Kuwait Finance House, Nor Diana di Bank Islam Malaysia Bhd, manakala Nor Hashikin dan Suhaili masing-masing di Jabatan Perangkaan Wilayah serta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Mengenai rahsia kejayaan, Adilah berkata, mereka berlima sepakat serta bekerjasama mengulangkaji pelajaran dan tinggal di rumah sewa di luar kampus bukan alasan untuk mudah terjebak dengan aktiviti tidak bermoral.

Malah, katanya, masa yang banyak dihabiskan ketika menunggu bas untuk pulang dari kuliah digunakan dengan membaca buku bagi memastikan masa terluang dapat dimanfaatkan sebaik mungkin.

Sumber : http: //www.bharian.com.my/

Nota hujung:

Penulis melihat sikap setia kawan positif yang ditunjukkan kelima-kelima penerima anugerah Naib Canselor UITM ini wajar dijadikan teladan oleh pelajar-pelajar lain. Sikap saling membantu yang ditunjukkan oleh mereka bersesuaian dengan saranan Allah S.W.T dalam Al-Qur'an Surah Al Asr : 1-3, yang maksudnya:


1. Demi masa!

2. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian

3. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

Kejayaan tidak datang menggolek. Tanpa usaha dan perancangan yang sistematik tidak mungkin sesuatu kejayaan akan diperoleh, justeru berusahalah selagi ada kesempatan, jangan tunggu sehingga kesempitan.

Mengangkat warisan ke persada dunia

Sasterawan Negara Datuk Dr. Anwar Ridhwan

Bismillah itu permulaan kalam,

Dengan nama Allah Khalikulalam,

Berkat Muhammad Sayid Alanam,

Memberi rahmat siang dan malam.


Awal bismillah fakir menyusun,

Di pangkal jalan memohon ampun,

Maklum bahasa tidak tersusun,

Banyak perkara hendak dihimpun.


Majlis permai fakir mengisi,

Kata dan fikir dengan puisi,

Kerana fakir bertugas di institusi,

Yang "melangkah ke hadapan bersama tradisi."


I. Citra Sastera

Sastera itu adab persuratan,

Pelbagai makna serta tafsiran,

Namun bakat serta indah penulisan,

Tentang Tuhan, makhluk-Nya dan pemikiran.


Bakat dan karya ada tanggungjawab,

Berbuat di dunia balasannya di alam baqa,

Diingatkan Allah menjadi khalifah-Nya,

Bantu membimbing umat manusia.


Hindari kutukan kepada penyair sesat,

Dalam Al-Syu'ara telah tersurat,

Yang ditulis benar itulah yang diperbuat,

Takwa itu memandu pena menyurat.


Dengan akal pena menukilkan,

Seperti lidah wajar berperaturan,

Pena yang jujur lebih dimuliakan,

Bukan pedang melibas sembarangan.


Persuratan itu mengandung ilmu,

Juga mendidik tiadalah jemu,

Mutiara kata dapat ditemu,

Yang indah-indah dan merdu turut diramu.


Hamzah Fansuri, Syeikh Ahmad al-Fatani,

Tun Seri Lanang, Raja Ali Haji,

Karya persuratan padat berisi,

Tanda pujangga seorang insani.


Persuratan tidak mengulang yang lama,

Atau hanya alam dan watak semata,

Fikrah falsafah itu lebihlah mulia,

Disulam keindahan membijaksanakan manusia.


Dibantu ilmu karya terkarang,

Piawai Melayu ini jangan dibuang,

Nyata dan magis silang bersilang,

Ke pentas dunia masuk gelanggang.


Melayu menyediakan atur hukum sastera,

Dalam puisi dan hikayat warisan bangsa,

Ditambah ilmu bantu dan prinsip semasa,

Ciptakan karya bertaraf dunia.


Ibn Tufail, Ibn al-Nafis,

Menyelami dasar falsafah menulis,

Apungkan ilmu madahnya pun majlis,

Keadilan hakiki pencarian penulis.


II: Keprihatinan Sastera Malaysia

Sastera bukan khayali ke dalam diri,

Nasib alam dan ummah diperhati;

Peka akan gejolak yang mengelilingi,

Dicipta persuratan untuk dihayati.

(i)

Asas tamadun sudah bertunas,

Melayu bersyarak kepada nas,

Lenyap kegelapan oleh nur yang bernas,

Hablum min Allah, Hablum min al-nas.


Pusat intelektual bermula di istana,

Lahirkan ulama, pemikir dan pujangga,

Muamalat, munakahat, siasah dijana,

Hukum jinayat, adab, persuratan juga.


Seteguh dahulukah Melayu-Islam kini?

Akidah mencair atas nama hak asasi,

Islam liberal dan sekularisme mencemari,

kepada ad-Din yang benar hendaklah kembali.


Ada yang mencabar hukum syariah

Anggap hukum duniawi lebih indah,

Tidak sempurna bukan sifatnya Allah,

Di atas segalanyalah asma'ilahiyyah.

(ii)

Kita mengenal Suhaif al-Rumi,

Begitu juga Salman al-Farisi,

Beserta dengan Bilal al-Habashi,

Begitu pelbagainya wajah insani.


Allah ciptakan pelbagai bangsa,

Allah hembuskan seribu bahasa,

Untuk berkenalan sesama manusia,

Jangan sampai abaikan hak milik kita.


Semenanjung Melayu ini di Alam Melayu,

Sebab musababnya jelas bagi yang tahu,

Sejak abad ke-VII kembangkan tradisi ilmu,

Kuasai ekonomi Nusantara delapan penjuru.


Majapahit, Sriwijaya, Langkasuka dan Melaka,

Corakkan wajah kebudayaan kita,

Sehingga penjajah membawa tenaga kerja,

Bekerja demi kepentingan ekonomi mereka.


Kini tenaga kerja asing terus penuhi negara,

Pada tempat dan ketika lebih ramai mereka,

Rakyat rasa tak selamat tak rasa bebas merdeka,

Berbuatlah sesuatu agar negara ini tenang semula.


(iii)

Bangsa bermaruah merdeka daripada penjajah,

Kuasa-kuasa Barat dan Timur datang menjarah,

Menghalau mereka tidak sahaja perwira dan orang siasah,

Peranan ulama dan penulis juga diakui sejarah.


Justeru setiap menyambut ulang tahun merdeka,

Kenangilah pengorbanan dan bakti mereka,

Yang benar-benar berjasa tampilkan ke muka,

Berterima kasih pada saat sesuai dan ketika.


Melayu dengan kedaulatan dan ketuanan,

Ihsan memberi taraf kerakyatan,

"Kontrak Sosial" menjadi ikatan,

Diikat kukuhlah jangan rungkaikan.


Maka teguh-kukuhkan perkara yang empat,

Kedudukan Raja-Raja Melayu menjamin daulat,

Islam agama rasmi, Melayu Bahasa Kebangsaan dinobat,

Hak istimewa Melayu dan bumiputera mendapat tempat.


Prihatinlah akan nasib tanah air dan bangsa,

Hubbul watan minal iman peganglah ia,

Berhujahlah Melayu baru dengan akal dan fakta,

Bukan zahirkan rasa dan emosi semata.


Namun bertimbang rasalah kepada taulan,

Pelbagai bangsa jiran dan kenalan,

Pada zamannya Nabi telah tunjukkan,

Islam menjalin indah perpaduan.

(iv)

Melayu itu beradab, berperaturan, berkerajaan,

Di alam Melayu ribuan tahun kekuasaan,

Khalifah Allah segala raja dan sultan,

Patut dibantu orang-orang besar bijaksana lagi budiman.


Jangan sekali-kali bertindak atas hukum rimba,

Matlamat dan cara mesti halal belaka,

Tersurat hukum kanun dan undang-undang mulia,

Pangkal peraturan bagi segala raja-raja dan rakyatnya.

(v)

Pendidikan Melayu itu berliku lorongnya,

Pada zaman penjajah, hanya vernacular kastanya,

Pribumi sengaja ditolak dari bandar dan kotanya,

Sentiasa mengekori pelajar kota yang pantas lariannya.


Terfikir fakir akan nasib bahasanya,

Ratusan tahun melakar wacana,

Tanpa menjadi bahasa ilmu akan ke mana?

Cukupkah jadi bahasa basahan sahaja?


Pada abad XVI Valentin terpesona,

Di sebelah sini bahasa Melayu berkuasa,

Dari timur Parsi hingga ke Kepulauan Filipina,

Kini mesti lebih perkasa di negaranya dan dunia.


Ilmu sekular moden Melayu wajar berhati-hati,

Kerana akhirat itu pasti dihadapi,

Atas ilmu ukhrawi dirikan ilmu duniawi,

Baharulah barakah hingga ke kampung kekal abadi.

(vi)

Asal asali itu Melayu teras jua,

Bangsa besar lagi majoriti jumlahnya

Patutlah teras segala citra budaya,

Entah kenapa kini digerhanakan seri wajahnya.


Budaya itu bersendi adat berpangkal agama,

Tanda bangsa beradab lagi mulia,

Tapi hedonisme tampak dibiarkan merajalela,

Budi bahasa amat ketara lunturnya.


Segalanya bermula darinya rumah,

Mencipta kasih sayang mawaddah war-rahmah,

Tahzibul akhlak tanggungjawab ummah,

Akhiran terpuji husnul khatimah.

(vii)

Persuratan dan bahasa "azwar" yang baik,

Tamsil makhluk dengan yang Khalik,

Perjuangan bahasa bukanlah pelik,

Kuasai yang asing, tak tercicir milik.


Hang Tuah kuasai berbelas bahasa,

Melalui munsyi bahasa yang berjasa,

Bukan dengan "pandai besi" berbadan sasa,

Bukan dengan "pandai emas" mencanai suasa.


Kuasai bahasa Arab di dalam dada,

Bahasa Barat dan Timur di dalam minda,

"Seribu bahasa kita bicara,

Manakan sama bahasa bonda".


Ke manakah arah bahasa Melayu?

Dipandang rendah tak banyak yang mahu,

Sesekali dipakai miskinnya mutu,

Nama tempat, jalan dan bangunan tidak menentu.


Alangkah molek bercitra kebangsaan,

Setiap bangsa rohnya diciptakan Tuhan,

Tercabut rohnya citra pun kehilangan,

Bagaikan tanah ini tidak bertuan.

(viii)

Sebelum mengundur diri fakir rakamkan,

Ucapan "terima kasih" kepada sekalian,

Pengkritik, penterjemah, editor dan panel budiman,

Isteri, anakanda dan menantu pemberi sokongan.


Serta sahabat fakir Cina dan India,

Kadazandusun dan Iban juga,

Dengan bakat, akal, bahasa dan karya,

Perkasakan tamadun bangsa kita.


Sudah sampai ke hujung fakir bermadah,

Pada malam bersejarah menjunjung Anugerah,

Jutaan ampun atas silap dan salah,

Yang Maha Sempurna Terpuji itu miliknya Allah.


Wahai segala arif permata,

janganlah apa fakir dikata,

Kalam buruk kertasnya lata,

Menyuratnya tiada ada pelita.


Sudahlah dengan takdir Allah,

Tiadalah dapat lagi disalah,

di Lohmahfuz suratan terjumlah,

Barang yang datang disyukurkanlah.


(PETIKAN pidato penerimaan Anugerah Sastera Negara oleh Sasterawan Negara Ke-10, Datuk Dr. Anwar Ridhwan pada 20 Oktober lalu)

Sumber : http: // www. utusan.com.my/