Isnin, 16 November 2009

Bersiap sedia hadapi banjir, tanah runtuh

MUSIM banjir sudah kembali. Minggu lepas, negeri sebelah Pantai Timur dilanda banjir. Minggu ini nampaknya giliran negeri sebelah utara Pantai Barat.

Kedatangan banjir sudah boleh diramal. Di mana banjir akan berlaku juga boleh dijangka.

Berdasarkan pengalaman tahun-tahun terdahulu, masalah banjir kerap berlaku pada November hingga Disember iaitu musim tengkujuh di negara kita.

Hakikatnya semua rakyat Malaysia sepatutnya sudah tahu bila banjir akan berlaku dan apa persediaan yang perlu dibuat untuk menghadapinya. Ketika hujan turun hampir setiap hari, maka elok kita mengingatkan penduduk di kawasan yang berhampiran sungai dan yang kerap berlaku banjir supaya membuat persiapan awal.

Kita percaya, Kerajaan Pusat dan negeri sudah membuat persediaan dari segi sistem yang mencukupi untuk menghadapi bencana banjir yang bukan asing bagi kita.

Justeru, kepekaan dan tahap kewaspadaan mereka yang terbabit sepanjang musim tengkujuh ini amat dituntut bagi mengelakkan keadaan 'sudah jatuh ditimpa tangga.'

Jika setiap orang mengambil langkah berhati-hati, sudah tentu angka korban banjir dapat dikawal. Perkara paling penting, kecuaian akibat terlepas pandang mesti dielakkan bagi menjamin keselamatan anak-anak. Ini kerana kelalaian boleh mengundang padah di musim banjir.

Sifat kanak-kanak yang kebanyakannya masih menganggap banjir sebagai 'pesta air' menuntut pemantauan berterusan oleh anggota keluarga. Membiarkan mereka mandi-manda di sungai semasa musim banjir seolah-olah membiarkan anak-anak menempah maut.

Kita percaya kerajaan berusaha menangani masalah banjir dengan menaik taraf infrastruktur dan sistem pengairan. Bukan itu sahaja, kerajaan juga gigih menghulur bantuan kepada mangsa.

Namun, mungkin tiba masanya bantuan bukan hanya diberi kepada mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat penempatan sementara. Sebaliknya, bantuan perlu dihulurkan kepada mereka yang terjejas pendapatan akibat banjir seperti petani dan penoreh getah.

Walaupun rumah mereka tidak ditenggelami banjir tetapi tanaman mereka di kebun musnah. Golongan yang terjejas pendapatan seperti ini perlu dibantu.

Mungkin satu perkara yang perlu kita ingat di musim hujan ini ialah kejadian tanah runtuh. Jangan kerana tertumpu lebih pada bencana banjir, kita kurang menyedari bahawa tanah runtuh juga boleh terjadi terutama di kawasan penempatan di tanah tinggi dan lereng bukit.

Berdasarkan peristiwa lalu, kejadian tanah runtuh di negara kita berlaku serentak pada musim tengkujuh. Kepada penduduk kawasan tanah tinggi dan pihak berkuasa tempatan, rajin-rajinlah membuat pemantauan kawasan kediaman. Ambil tindakan segera jika ada tanda-tanda struktur tanah berhampiran rumah tidak kukuh.

Alangkah baiknya jika dalam keadaan begini, kita tidak perlu lagi mendengar rintihan dan rungutan daripada mangsa banjir atau tanah runtuh, di samping aduan berhubung kelemahan usaha bantuan.

Oleh itu, kita berharap musim tengkujuh sekarang tidak membawa cerita sedih.

Sumber : http: //www.utusan.com.my/

Ahad, 15 November 2009

Arahan siap sedia hadapi bah ketika SPM

SEBAHAGIAN daripada 131 pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Pongsu, Bagan Serai, menaiki bas untuk dipindahkan ke Sekolah Menengah Teknik Kerian, untuk menduduki peperiksaan SPM di sekolah berkenaan, pagi ini, apabila sekolah mereka ditenggelami air banjir.

KUALA LUMPUR: Lembaga Peperiksaan(LPM) sudah memaklumkan kepada Majlis Keselamatan Negara dan Pejabat Ketua Pengarah Keselamatan Kerajaan Malaysia, Jabatan Perdana Menteri, mengenai kemungkinan ancaman banjir ketika peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari 18 November hingga 16 Disember ini, untuk mendapat bantuan sewajarnya.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata semua pengarah jabatan pelajaran negeri serta pengetua sekolah turut dimaklumkan mengenai persediaan yang perlu dibuat berkaitan banjir berdasarkan Operasi Payung (Pekeliling Persediaan Menghadapi Banjir Yang Mengancam Perjalanan Peperiksaan Bil 6/2008).

Beliau berkata, langkah persediaan sebelum, semasa dan selepas banjir sudah dibuat oleh semua pihak terbabit bagi memastikan peperiksaan dapat berjalan lancar mengikut jadual.

"Sekolah berisiko tinggi menghadapi banjir perlu menyediakan bilik peperiksaan alternatif yang lebih selamat. Mana-mana calon yang mungkin diancam banjir juga dikenal pasti bagi memudahkan sebarang bentuk bantuan seperti tempat tinggal, makanan dan keperluan asas, disalur atau disediakan dengan segera," katanya dalam kenyataan media, semalam.

Seramai 465,853 calon akan menduduki peperiksaan SPM tahun ini di 3,569 pusat dengan 23,864 petugas di seluruh negara.

Jumlah itu meliputi 406,420 calon Kementerian Pelajaran, persendirian perseorangan (32,561), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan sekolah perantis tentera (7,071), sekolah agama negeri (8,765), serta sekolah agama rakyat dan sekolah swasta (11,036).

Alimuddin berkata, LPM mengingatkan semua calon terbabit membuat persiapan awal menghadapi sebarang keadaan yang mungkin menghalang atau menyebabkan mereka tergendala ke pusat peperiksaan mengikut jadual.

"Pada masa sama, calon diminta sentiasa peka dan mengikuti perkembangan terkini melalui media massa sekiranya berlaku sebarang pindaan jadual atau perubahan pusat peperiksaan," katanya.

Di samping itu, Alimuddin berkata, LPM mengeluarkan pekeliling berkaitan Garis Panduan Menghadapi Wabak Penyakit Yang Mengancam Perjalanan Peperiksaan kepada semua sekolah.

Katanya, garis panduan itu menghendaki pelajar dan keluarga mengikuti perkembangan wabak penyakit serta peka kepada maklumat terkini, terutama bagi mengelak penularan virus Influenza A (H1N1), sekali gus mematuhi arahan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesihatan.

Beliau berkata, Bilik Gerakan SPM akan beroperasi di LPM mulai 17 November hingga 16 Disember depan, dari jam 7 pagi hingga 7 malam, dan boleh dihubungi melalui talian 03-8889 3601 / 3809 / 3582 / 3520 / 3551 atau 03-8884 3030, manakala nombor faks ialah 03-8889 3010 / 5561 / 3445.

Sumber: http: //www.bharian.com.my/

Sabtu, 14 November 2009

FOKUS PRAPEPERIKSAAN SPM 2009

BM KERTAS 1:

1. Pelancongan Domestik / Pelancongan Kesihatan - kepentingan dan langkah.

2. Perpaduan kaum di Malaysia - kepentingan dan langkah.

3. Isu alam sekitar di Malaysia- tanah runtuh, hakisan tanah, banjir kilat, penebangan hutan secara tidak terkawal.

4. Isu kemelesetan ekonomi dunia - masalah pengangguran dan langkah mengatasi.

5. Memulihara warisan bangsa - bangunan bersejarah, permainan tradisional.

6. Kepentingan mempelajari bahasa asing seperti bahasa Inggeris, bahasa Mandarin dan sebagainya - persaingan di pasaran pekerjaan.

7. Sistem pengangkutan - kelemahan pengangkutan awam, kemalangan jalan raya, kepentingan pengangkutan moden, keperluan lebuh raya.

8. Amalan membaca – kepentingan dan cara-cara menggalakkan.

9. Kesan alat komunikasi - telefon bimbit, internet.

10. Pemanasan global- kerjasama antarabangsa untuk mengatasi masalah tersebut.

11. Kepentingan amalan menabung / pelaburan untuk masa depan.

12. Program Penghayatan Sastera - Faedah.

13. Aktiviti kokurikulum di sekolah - kepentingan dan langkah.

14. Isu warga tua / orang kurang upaya - punca dan langkah.

15. Program Motivasi / Kaunseling di sekolah – kepentingan.


BM KERTAS 2:

TEKS KOMSAS ( ANTOLOGI ANAK LAUT DAN KERUSI)

Cerpen (2b)
1. Lambaian Malar Hijau (Anak Laut)
2. Annyys Sophillea (Anak Laut)
3. Virus Zel Untuk Abah (Kerusi)

Drama (2b)
1. Serunai Malam (Anak Laut)
2, Jangan Bunuh Rama-Rama (Kerusi)

Prosa Klasik (2c)
1. Cerita Bayan… (Anak Laut)
2. Pertarungan Tuah Dengan Jebat (Anak Laut)
3. Asal Usul Raja Kecil (Kerusi)
4. Kisah Kepahlawanan Tun Beraim Bapa (Kerusi)

Sajak (2d)
1. Anak Laut (Anak Laut)
2. Jalan- Jalan Raya Kotaku (Anak Laut)
3. Derita Pertama (Anak Laut)
4. Duhai Pentafsir (Kerusi)
5. Di Ruang Gemanya (Kerusi)

Puisi Tradisional (2d)
1. Seloka Pak Kaduk (Anak Laut)
2. Syair Kelebihan Ilmu (Kerusi)
3. Pantun Enam Kerat (Kerusi)


KAJIAN NOVEL:

1. Teknik plot

2. Perbandingan peranan watak sampingan

3. Faedah mengkaji novel

4. Kaitan antara tajuk novel dengan isi cerita

5. Perbandingan latar masa


NOTA HUJUNG:

#Senarai isu dan topik yang dinyatakan hanya sebagai garis panduan dalam usaha penulis membantu pelajar untuk menghadapi peperiksaan.

#Penulis BUKAN panel penggubal yang membina soalan di Lembaga Peperiksaan Malaysia, justeru apa-apa yang dipaparkan di sini hanyalah berdasarkan analisis ISU dan TOPIK yang dibuat oleh penulis dan rakan-rakan guru BM.

#Bagi penulis, selagi anda belum memasuki dewan untuk menjawab kertas peperiksaan yang akan dijalankan pada hari RABU (18 NOVEMBER 2009), selagi itu masih ada ruang untuk anda membuat persiapan yang terbaik.

#Penulis mendoakan semoga anda BEROLEH KECEMERLANGAN dalam SPM yang bakal diduduki. Amin!