PEMAIN Malaysia merai detik gemilang selepas Ahmad Fakri meledak gol kemenangan 2-1 ke atas Thailand petang semalam.
Singkir juara lapan kali berturut-turut untuk ke separuh akhir
TANGISAN bukan milik Malaysia apabila skuad negara gah menempah tiket mara ke separuh akhir selepas menyingkirkan juara lapan kali berturut-turut, Thailand 2-1 pada aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Utama, Kompleks Sukan Nasional Laos, petang semalam.
Ketika segalanya ibarat sudah ternoktah, apabila Thailand menjaringkan gol pendahuluan pada minit ke-53, anak buah K Rajagobal menjelmakan kebangkitan luar biasa dengan dua jaringan dalam tempoh 10 minit terakhir untuk menebus kehampaan dua tahun lalu di Korat.
Kejayaan itu menjamin pertemuan dengan tuan rumah, Laos, Isnin ini, ketika Thailand dipaksa pulang berduka selepas rekod 36 tahun tidak pernah gagal mara ke peringkat empat terakhir itu, akhirnya dileburkan.
"Hari ini, pasukan yang lebih baik menang dan pasukan itu adalah Malaysia. Saya amat gembira untuk pemain saya. Mereka tidak pernah mengalah biarpun ketinggalan. Saya bangga kerana mereka membuktikan punya kemampuan bangkit biar pun dalam situasi sesukar ini," kata Rajagobal sebaik tamat perlawanan.
Sememangnya pada peringkat mula, segalanya menuding ke arah pintu keluar. Malaysia perlukan kemenangan ketika Thailand hanya mencari seri untuk melangkah.
PEMAIN negara meraikan kejayaan luar dugaan mereka selepas mengejutkan juara lapan kali berturut-turut, Thailand 2-1.
Petanda bahaya terjelma seawal minit keenam, apabila Ahmad Sharbinie Allawee berdepan situasi satu lawan satu dengan Sompong Soleb. Rembatan deras dijelmakan lawan, namun Sharbinie kemas mendakapnya.
Dua kesempatan dimiliki skuad negara pada babak pertama kedua-duanya menerusi gerak serang balas pantas. Sayangnya, Safiq Rahim tertampan sipi umpanan silang Norshahrul Idlan Talaha ketika Shahrul kemudian lambat menolak bola umpanan Safiq untuk benteng lawan cepat mengeluarkannya.
Minit ke-53, apa yang dibimbangkan bertukar menjadi nyata. Daripada sepakan percuma sedikit di luar kawasan penalti, Arthit Sunthorphit melencongkan bola cantik terus menerjah jaring tanpa Sharbinie mampu berbuat apa-apa.
Tetapi kemasukan Mohamad Azmi Muslim kemudiannya menyuntik kebangkitan apabila benteng lawan kerap kali dipaksa berundur. Hasil gerak balas pantas pada minit ke-81, lintangan pemain itu yang berlalu di hadapan pintu gol Thailand disambut Nasriq Baharom untuk mengikat kedudukan.
Selepas itu, Malaysia terus mengasak tanpa kenal erti mengalah. Dua minit pada masa kecederaan, usaha itu dibalas gol kemenangan Ahmad Fakri Saarani yang menghulur kaki untuk menyambung umpanan Norshahrul terus ke sasaran.
Kesebelasan Thailand rebah kecewa, diiringi tangisan, ketika seluruh pemain negara melonjak gembira apabila manisnya kejayaan berjaya direalitikan.
SATU ketika dulu, ramai mengatakan memakai tudung itu hanyalah sunat muakad atau tidak wajib. Kalau tidak memakai tudung, hanya berdosa kecil. Kononnya sebaik saja mengambil wuduk untuk bersolat lima waktu, secara automatik dosa kita dibasuh dan terhapus.
Apabila bergaul dengan pelbagai bangsa dan agama, kita banyak mendengar dan membaca bagaimana media barat memomokkan kod pakaian wanita Islam yang dikaitkan dengan maruah dan harga diri.
Di satu sudut lain, ada wanita Islam yang bertudung dan menyangkakan mereka sudah menutup aurat, tetapi masih mengenakan seluar jeans yang ketat, kemeja T menampakkan pakaian dalam atau yang hanya layak dipakai oleh adiknya berumur 10 tahun.
Ada juga yang mengenakan tudung, tetapi memakai kain terbelah sehingga menampakkan peha, pakaian terbelah di dada, kemeja T berlengan pendek dan ada kalanya memakai skirt separas betis. Persoalannya apakah ciri pakaian menutup aurat bagi wanita Islam?
Aurat berasal daripada bahasa Arab, 'Aurah' yang bererti kurang. Di dalam fiqh, aurat diertikan sebagai bahagian tubuh seseorang yang wajib ditutupi daripada pandangan orang lain. (Wahbah al-Zuhayli (1989), al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, Damsyik: Dar al-Fikr, halaman 579)
Walaupun ulama berkompromi mengenai had aurat yang perlu ditutup oleh wanita, namun mereka bersepakat mengatakan hukum menutup aurat bagi setiap wanita Muslim yang baligh adalah wajib. Untuk memenuhi syarat menutup aurat, pakaian seseorang wanita mestilah memenuhi syarat berikut:
1. Menutupi had aurat yang sudah ditetapkan.
Jumhur ulama bersepakat mengatakan aurat bagi wanita baligh ialah seluruh tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan. Oleh itu, mereka wajib menutup aurat daripada dilihat oleh lelaki ajnabi (bukan mahram).
Allah berfirman yang bermaksud:"Dan hendaklah mereka (wanita) menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka." (Surah al-Nur, ayat 31)
Firman Allah lagi yang bermaksud: "Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (ketika mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."(Surah al-Ahzab, ayat 59).
Ayat itu Allah memerintahkan supaya Nabi Muhammad SAW menyuruh isteri Baginda mengenakan pakaian yang menutup aurat. Suruhan itu juga ditujukan kepada semua wanita beriman.
2. Pakaian yang longgar.
Tujuan utama wanita diwajibkan menutup aurat ialah untuk mengelakkan daripada lelaki ajnabi melihat tubuh badannya dan mengelakkan daripada berlakunya fitnah. Oleh itu, pakaian yang ketat walaupun tebal sudah pasti akan menampakkan bentuk tubuh badan. Wanita yang memakai pakaian ketat walaupun menutupi seluruh tubuh masih belum memenuhi tuntutan
menutup aurat seperti dikehendaki syarak.
Syarat ini berdasarkan kepada kata Dahiyyah bin Khalifah al-Kalbi yang bermaksud: "RasulullahSAW didatangi dengan beberapa helai kain 'qubtiyyah' (sejenis kain yang nipis buatan Mesir), lalu Baginda berkata: "Bahagikan kain ini kepada dua, satu daripadanya dibuat baju dan bakinya berikan kepada isterimu." Apabila aku berpaling untuk beredar Baginda berkata: "Dan suruhlahisterimu meletakkan kain lain di bawahnya (supaya tidak nampak bentuk tubuhnya)."
Menurut Ibn Rusyd, 'qubtiyyah' ialah pakaian yang tebal tetapi melekat pada badan kerana ianya ketat dan menampakkan bentuk tubuh pemakainya. Oleh itu, Rasulullah SAW menyuruh Dahiyyah menyuruh isterinya melapik pakaian itu dengan kain lain supaya tidak menampakkan bentuk tubuhnya.
3. Pakaian yang tidak jarang.
Syarak menetapkan pakaian wanita mestilah tidak jarang sehingga menampakkan bentuk tubuh atau warna kulitnya. Aisyah meriwayatkan bahawa saudaranya, Asma, pernah masuk ke rumah Rasulullah SAW dengan berpakaian tipis sehingga nampak kulitnya. Rasulullah SAW berpaling dan mengatakan: "Hai Asma, sesungguhnya seorang perempuan bila sudah datang waktu haid, tidak patut diperlihatkan tubuhnya itu, melainkan ini dan ini sambil ia menunjuk muka dan kedua telapak tangannya."
Teguran Rasulullah SAW terhadap Asma jelas menunjukkan bahawa pakaian yang jarang tidak memenuhi syarat menutup aurat bagi wanita baligh.
4. Bukan pakaian yang menarik perhatian (pakaian syuhrah).
Apa yang dimaksudkan pakaian untuk bermegah ialah pakaian yang berlainan daripada pakaian orang lain sama ada dari segi warna, fesyen atau potongan sehinggakan menarik perhatian orang lain serta menimbulkan rasa bongkak pada pemakainya.
Ibn Umar meriwayatkan daripada Nabi SAW bahawa Baginda bersabda yang bermaksud: "Barang siapa yang memakai pakaian bermegah-megah maka Allah Taala akan memakaikannyadengan pakaian yang serupa pada hari kiamat kelak kemudian ia akan dijilat api neraka."
5. Tidak menyerupai pakaian lelaki atau pakaian orang kafir.
Pakaian yang menutup tubuh badan tidak dikira sebagai memenuhi ciri pakaian Islam jika menyerupai pakaian orang kafir. Ia berdasarkan hadis Rasulullah SAW seperti diriwayatkan Ibn Abbas: "Rasulullah melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki."
Larangan menyerupai pakaian orang bukan Islam ini atas alasan ia boleh menjatuhkan martabat Islam dan penganutnya.
6. Tidak bertabarruj.
Tabarruj dalam bahasa mudah boleh diertikan sebagai bersolek. Ada juga yang mengatakan tabarruj ialah melepaskan tudung kepalanya tetapi tidak mengikat/mengetatka nnya, lalu terlihatlah rantai leher, anting-anting dan lehernya. Kesimpulannya tabarruj ialah memperlihatkan keelokan, kecantikannya yang sepatutnya wajib ditutup.
Larangan ini berdasarkan kepada firman Allah yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku (tabarruj) seperti orang jahiliah dulu (pertama)." (Surah al-Ahzab, ayat 33)
Ayat itu petunjuk kepada isteri Nabi SAW supaya tetap di rumah dan tidak bertabarruj seperti orang jahiliah dulu. Konsep tabarruj jika dilihat dalam kerangka lebih luas meliputi perbuatan
wanita mendedahkan aurat, memakai wangian apabila keluar rumah, cara berjalan atau tingkah laku yang menarik perhatian lelaki ajnabi.
Pakaian wanita menutup aurat mestilah memenuhi ciri disebutkan walau di mana mereka berada. Berdasarkan syarat itu juga dapat kita ukur sejauh mana wanita Muslimah sudah menutup aurat atau hanya bertudung saja seperti fenomena di Malaysia apabila ramai bertudung tetapi memakai pakaian tidak menepati syariat. Ia adalah fenomena pemakaian tudung kerana fesyen, ikut-ikutan, paksaan ataupun berdasarkan kejahilan dan bukannya
ilmu Islam sebenar.
Penulis ialah Pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan boleh dihubungi di emel wanitajim0@yahoo. com
i Bahasa itu jiwa bangsa mendorong minda menyuruh jiwa berbahasa meneraju diri terhebat di persada kita memang pandai berbahasa gah digelar adaptor tatabahasa ada kala kita membahasakan sesekali kita dibahasakan menguntai dalam ragam kebahasaan.
ii Dalam bahasa ada jiwa dalam jiwa bersemi bahasa mendukung bangsa generasi berwibawa afiliasi seni tidak ternilai harganya.
iii Berbicara dalam bahasa harus diiring dengan santunnya agar kesinambungan terus membudaya pegangan nusa turun-temurun selamanya.
iv Kita kata, kita sayang bahasa kita ujar, kita cinta bahasa kita uar-uar, kita kasih bahasa mana buktinya? Apa dalil pengesah yang dikata? Takut nanti, tiada yang terkota.
v Mengadaptasi bicara memang mudah berbahasa sebenarnya yang agak susah hingga yang murni semakin kehilangan indah apakah itu tanda kita tewas rela membiar bahasa kita menuju tumpas sedangkan berdekad abad bahasa ini masyhur antara yang teratas.
vi Mana bangsaku yang hebat bermadah mana generasiku yang gah berhujah mana semua impian yang satu yang sering diungkap penuh petah mari bersatu kukuhkan ukhuwah menyatu dalam satu bahasa berpadu menuju satu jiwa menjiwai kehidupan yang bukan sekadar legenda tetapi harapan yang penuh aspirasi bertaraf dunia.
vii Lindungi bahasa kita naungi bahasa yang dibangga martabatkan bahasa titipan ibunda biar ia terus diperkasa bukan ditinggal hilang serinya biar terus diguna melata bukan dieksploitasi perosak tamadun manusia kerana jiwa kita jiwa berbahasa kerana bangsa kita bangsa pendukung bahasa.
Ada gerakan antibahasa kebangsaan dalam menggagalkannya wibawanya
DALAM usaha Malaysia mencapai sasaran untuk tampil sebagai negara maju, semakin banyak serangan ke atas bahasa Melayu dilakukan oleh pihak tertentu sedangkan fungsi bahasa kebangsaan bertujuan melambangkan jati diri sesebuah negara.
Melalui beberapa perkembangan terkini, dapat dilihat secara jelas serangan terhadap bahasa Melayu berlaku dalam pelbagai penjuru sedangkan tembok yang digunakan untuk menghalang serangan itu tidak sekukuh Tembok Besar Negeri Cina.
Kemerosotan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar negara ini pernah dikatakan berpunca daripada langkah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah kerajaan seperti dibangkitkan akhbar The Star bertarikh 23 Jun dalam ruangan Other News and Views yang memetik laporan dalam Nanyang Siang Pau.
Felo Penyelidik Utama, Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Teo Kok Seong, pada 19 Julai lalu menyifatkan kenyataan itu sebagai tidak munasabah kerana faktor penguasaan bahasa banyak bergantung kepada pelajar dan yakin ada gerakan mahu menafikan keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Ketua Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Arba’ie Sujud, berkata antara faktor yang menyebabkan pertikaian terhadap bahasa Melayu adalah kerana adanya persepsi di kalangan masyarakat bahawa ia tidak mampu digunakan sebagai bahasa ilmu.
“Persepsi ini lebih ketara terutama dalam kalangan generasi muda yang beranggapan bahasa Melayu tidak penting pada era teknologi maklumat yang memartabatkan sains dan teknologi sehingga terpancar pada perubahan dasar kerajaan yang menggunakan bahasa Inggeris dalam kedua-dua subjek itu,” katanya ketika ditemui Sastera di Serdang, baru-baru ini.
Keadaan itu diburukkan lagi apabila bahasa Melayu tidak lagi dilihat sebagai lingua franca seperti pernah dinikmatinya pada zaman Kesultanan Melayu Melaka ketika negeri terbabit menjadi pusat dagangan dunia sehingga dicemburui kuasa luar, lalu ia turut mempengaruhi pandangan generasi muda hari ini kepadanya.
Baginya tanggapan serong terhadap bahasa Melayu ini sukar diubah dan semakin hari, bilangan individu bertanggapan sedemikian terus meningkat sehingga memudaratkan ekoran negara berada dalam zon selesa sehingga bertanggapan bahasa Melayu tetap selamat dan tidak diganggu gugat kerana sudah dijamin dalam Perlembagaan Negara.
Dr Arba’ie yakin bahawagerakan antibahasa Melayu yang berlaku pada masa ini bertujuan mengikis kekuatan ikatan dalam kalangan rakyat Malaysia yang menjadi teras perpaduan dan semangat setia kawan masyarakat pelbagai bangsa di negara ini.
“Kita juga kena melihat ada hikmahnya jika anggapan bahawa ada gerakan antibahasa Melayu kerana setidak-tidaknya akan menyedarkan banyak pihak pada peringkat atasan hingga bawahan bahawa kita perlu mendukung dan menjaga bahasa kebangsaan kerana ia lambang tamadun sesuatu bangsa itu,” ujarnya.
Pensyarah, Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (PPBKKM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Maslida Yusof, menyifatkan penerimaan positif dan negatif masyarakat terhadap sesuatu dasar yang dilontarkan kerajaan adalah suatu perkara biasa.
Gerakan antibahasa Melayu itu dikatakan berkemungkinan disebabkan golongan berkenaan mempunyai asas kukuh untuk tidak menyokong perubahan dasar kerajaan terutama ketika kerajaan bakal mengumumkan dasar ‘Memartabatkan bahasa Melayu, Memperkukuhkan bahasa Inggeris’.
“Sebenarnya, mereka ini bukanlah menolak secara jelas bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, tetapi faktor ini sedikit sebanyak berpunca daripada kegagalan mereka untuk menerima kenyataan dasar kerajaan yang cuba memartabatkan bahasa itu sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan,” katanya.
Beliau berharap golongan yang termasuk dalam gerakan antibahasa Melayu dan rakyat Malaysia seluruhnya menerima hakikat bahawa kerajaan bukan saja mahu melahirkan bangsa Malaysia, tetapi juga merealisasikan impian adanya satu bahasa dan budaya Malaysia.
Dunia ini pinjaman; sudahlah pinjaman, sementara pula sifatnya. Tiada yang kekal; tiada yang maksum. Apa yang pasti hanya satu, perubahan pasti berlaku. Walaupun sudah berdentam-dentum dihebohkan dalam media moden dan tradisional perihal iklim dunia yang dikatakan semakin panas, rata-rata kita masih menganggap bahawa itu bukan masalah interim kita. Peduli apa?
HARAPAN HIJAU MATI DENGAN SIKAP TAK ACUH MANUSIA
Hatta, segelintir kita masih menggunakan beg plastik dan kertas secara liberal, suka hati membuang sampah-sarap dari tingkap kereta, menebang pokok dan balak atas nama komersil atau mencemari sumber air semula jadi dengan aktiviti kemanusiaan.
Kus rasa semangat apabila membaca dan melihat imej Sungai Citarum di laman portal berita Indonesia, The Jakarta Post. Sungai tersebut, walaupun rupanya lebih mirip tempat pelupusan sampah, namun berjasa membekalkan sumber air kepada 80 peratus penduduk Jakarta.
Kos untuk membaik pulih? Kerajaan Indonesia telah meminjam 500 juta dolar daripada Asian Development Bank untuk membiayai kerja-kerja merawat air sungai itu. Mahalnya harga kejahilan manusia. Apa kurangnya sungai dan punca air di Lembah Klang? Walaupun tidak seburuk Sungai Citarum, tetap hambar kualiti dan berbau busuk apabila hujan.
Statistik sains alam sekitar melaporkan, suhu harian kita sekarang lebih panas berbanding dengan 12 tahun lalu; kemarau di benua Afrika semakin buruk dan panjang; paras air lautan dunia meningkat; bongkah-bongkah ais di kutub Antartik dan Artik cair dan menipis pada tahap yang membimbangkan. Semua ini berlaku kerana suhu dunia sekarang lebih panas.
Berpaksikan isu iklim semasa dunia, di ibu kota Denmark, Copenhagen, ketika ini sedang duduk semeja 15,000 delegasi dan 100 pemimpin dunia dari 192 negara peserta untuk menghadiri Persidangan Iklim (Climate Conference) anjuran Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB).
Seperti yang dilaporkan Associated Press, persidangan berlangsung dari 7 hingga 18 Disember tersebut, antara lainnya, akan cuba untuk mencapai kata sepakat dalam memantau pengeluaran gas karbon berlebihan, menjadi petualang utama terhadap kepanasan iklim global. Sistem pengangkutan sahaja telah menyumbang sebanyak 27 peratus pengeluaran gas karbon di seluruh dunia.
HARAPAN HIJAU HIDUP, CONTOHI INISIATIF LONDON DAN BRUSSEL
Lebih mengagumkan apabila di kota London, lebih kurang 50,000 orang berarak untuk mendesak Persidangan Iklim mengambil langkah tegas dengan menandatangani perjanjian rasmi untuk mengurangkan pengeluaran gas karbon beracun. Berbaju biru dengan cat di muka, mereka berarak menuju ke pekarangan Houses of Parliament untuk berjumpa dengan Perdana Menteri, Gordon Brown, yang akan menghadiri persidangan tersebut.
Pada malam Sabtu lalu juga, sebuah keretapi yang dicat dengan jalur hijau berlepas merentasi Brussel ke Copenhagen. Gerabak hijau yang membawa 450 perwakilan PBB tersebut membawa mesej tersendiri kepada dunia: pilihlah pengangkutan awam untuk mengurangkan pengeluaran gas karbon.
Tetapi malangnya di Malaysia, kita tidak mementingkan isu hijau. Fakta ini jelas terbukti apabila tinjauan yang dijalankan oleh HSBC Bank Malaysia Berhad – The HSBC Climate Confidence Monitor 2009, menunjukkan bahawa rakyat Malaysia lebih risau terhadap penyakit merebak seperti selesema babi, kestabilan ekonomi dunia, isu pengganas (terrorism) dan jenayah picisan harian.
Hakikatnya, kasih-sayang dan sikap prihatin terhadap alam sekitar adalah tanggungjawab sejagat setiap insan bertamadun. Pemuliharaan alam sekitar amat getir untuk menjamin kehidupan berkualiti anak cucu kita, juga untuk spesies orang utan di Sepilok, gajah di Chiang Mai, ikan salmon di Kamchatka, harimau bintang di Afrika dan beruang kutub di Artik. Paling utama, air yang kita minum dan udara disedut harus bebas daripada rencam ‘racun’ buatan manusia.
KITA HARUS BERUBAH DEMI HARAPAN HIJAU DI MALAYSIA
Walaupun persidangan di Copenhagen ini tidak layak menjana berita utama di muka hadapan akhbar-akhbar tempatan, kita harus sedar bahawa beban untuk mengekalkan kehijauan dunia tidak sepatutnya dipikul oleh negara-negara peserta United Nations Framework Convention on Climate Change dan Kyoto Protocol sahaja.
Biarpun pesanan ini berbentuk retorik dan klise, jangan sekali-kali kita lupa bahawa kita tidak pernah mewarisi alam ini daripada nenek moyang kita, sebaliknya kita meminjamnya daripada generasi akan datang. Jadilah insan yang celik isu alam sekitar.
Semoga kita dapat membezakan yang mana hak, yang mana batil. Salam hijau.
Elviza juga seorang peguam. Sumber : http://www.sinarharian.com.my/
Kepesatan pembangunan tanpa perancangan strategik penyebab pencemaran, jejas kualiti hidup
DALAM usaha mengejar kemajuan dan meningkatkan taraf hidup penduduk, kegiatan ekonomi dan projek pembangunan sesebuah negara, tidak dapat dielakkan. Namun, timbul pula kesan negatif kepada alam sekitar daripada proses pembangunan dan pemodenan disebabkan manusia sering mengabaikan masalah alam sekitar yang timbul daripada proses pembangunan itu.
Semua kesan negatif ini semakin menggugat kesihatan manusia, sumber ekonomi dan kemandirian bumi. Untuk mengurangkan kesan negatif pembangunan ke atas alam sekitar, setiap aktiviti ekonomi dan pembangunan mesti diseimbangkan dengan usaha pengurusan dan pemeliharaan alam.
Pencemaran boleh ditakrifkan sebagai 'pembuangan benda atau bahan hasil daripada aktiviti manusia ke alam persekitaran yang akan menyebabkan terganggunya keselesaan atau kemandirian kehidupan'.
Takrifan pencemaran berdasar Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 ialah 'pencemaran adalah sebarang perubahan sama ada secara langsung atau tidak langsung kepada sifat fizik, kimia, biologi atau aras radiasi mana-mana bahagian alam sekeliling dengan melepas, mengeluar atau meletakkan buangan hingga menjejaskan kegunaan berfaedah, yang menimbulkan sesuatu keadaan berbahaya atau mungkin berbahaya kepada kesihatan, keselamatan atau kebajikan awam atau organisma lain, tumbuhan dan haiwan."
Konsep pencemaran amat bergantung atau bersandar kepada sesuatu nilai atau pengukuran ditetapkan ke atas sesuatu faktor yang menimbulkan pencemaran itu sendiri. Tanpa nilai ini, konsep pencemaran menjadi kabur.
Misalnya, sungai menjadi tercemar hanya apabila didapati daripada pengukuran bahawa kandungan sesuatu bahan kimia di dalam sungai terbabit melepasi paras bahaya. Pencemaran dapat dikategorikan kepada pencemaran air, udara, bunyi dan tanah.
Pencemaran air bermaksud perubahan yang berlaku dari segi kandungan, keadaan dan warna sehingga tidak sesuai dan akan memberikan kesan terhadap manusia apabila digunakan. Pencemaran ini berlaku sama ada dari segi biologi dan kimia. Bahan pencemar pula boleh didapati dalam pelbagai bentuk iaitu gas, cecair dan pepejal.
Pencemaran air boleh berlaku di mana-mana saja tempat berair seperti sungai, laut, tasik dan kolam. Oleh itu, pencemaran air adalah pencemaran yang begitu meluas kerana sebahagian besar bumi diliputi air.
Pembuangan bahan buangan seperti sampah, minyak dan najis oleh sesetengah pihak atau individu adalah penyumbang kepada pencemaran air. Selain itu, penerokaan kawasan untuk tujuan pembangunan dan pembinaan juga menjadi punca pencemaran air.
Penerokaan dijalankan akan menyebabkan hakisan tanah berlaku dan seterusnya hakisan tanah ini akan memasuki sungai.
Mendapan akan terbentuk di mana mendakan ini akan menyebabkan paras sungai semakin cetek dan ia boleh meningkatkan risiko berlakunya pula banjir. Punca pencemaran air yang lain ialah daripada sisa bahan buangan industri seperti sisa toksik yang dibuang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Pemilik industri membuang sisa industri mereka ke dalam sungai kerana ini adalah jalan mudah dan cepat kerana tidak memerlukan kos pelupusan untuk sisa terbabit. Sikap tidak bertanggungjawab dan mementingkan keuntungan semata-mata, membutakan hati dan perasaan manusia terhadap alam sekitar.
Pengusaha industri umpamanya berusaha menjimatkan kos dengan mengambil jalan mudah membuang sisa industri ke dalam sungai walaupun menyedari kesannya terhadap sungai. Selain itu, kekurangan pengetahuan menyebabkan pemilik industri tidak mengambil berat serta cuba mengelak piawaian keselamatan ditetapkan sama ada berhubung dengan keselamatan manusia atau kestabilan alam sekitar.
Pembangunan tidak boleh dipersalahkan sebagai punca kemusnahan alam sekitar kerana pembangunan diperlukan untuk sesebuah ketamadunan yang maju. Sebaliknya, masalah dan kesan negatif yang timbul daripada pengurusan alam sekitar yang tidak efisien dan tidak berkesan perlu dipandang berat kerana sungai adalah sumber air paling utama.
Kepesatan pembangunan industri, perumahan dan pembukaan tanah baru menyebabkan banyak sungai yang hilang keupayaan untuk memainkan peranan semula jadinya. Sekiranya fenomena ini berterusan, tidak mustahil rangkaian sungai di seluruh negara akan tercemar.
Pencemaran udara pula berlaku apabila wujud bendasing dalam kepekatan udara yang mengganggu atau membahayakan manusia, tumbuh-tumbuhan, haiwan dan harta benda. Bendasing ini dalam bentuk habuk, asap, kabus, wap dan pelbagai jenis gas (antaranya karbon monoksida, nitrogen oksida, hidrokarbon dan sulfur oksida) atau sebarang campuran bahan ini.
Antara punca pencemaran udara adalah asap kenderaan diikuti stesen jana kuasa, pembakaran bahan api industri, pemprosesan industri dan pembakaran terbuka. Perokok yang menghembuskan asap rokok dan pembakaran sisa buangan di kawasan perumahan secara tidak terkawal juga memberi kesan kepada pencemaran udara.
Pembangunan tanpa perancangan yang strategik boleh membawa kesan buruk yang akan mengancam kualiti alam sekitar. Jumlah kenderaan di seluruh negara didapati meningkat hampir dua kali ganda sejak 1980. Keadaan ini berbahaya kepada alam sekitar kerana gas karbon monoksida daripada asap kenderaan boleh menjejaskan kesihatan manusia dan juga menipiskan lapisan ozon. Pencemaran alam sekitar melalui pencemaran udara ini ditimbulkan oleh sikap manusia itu sendiri.
Pencemaran bunyi ialah bunyi bising yang keterlaluan sehingga menyakitkan telinga. Antara puncanya ialah bunyi kenderaan bermotor. Pada kebiasaannya, setiap model kenderaan bermotor dicipta mengikut piawaian di bawah paras bahaya pencemaran bunyi. Namun, ada segelintir masyarakat yang gemar mengubah tahap bunyi kenderaan mereka sehingga menimbulkan ketidakselesaan orang awam.
Selain itu, industri juga adalah penyumbang ke arah pencemaran bunyi di mana bunyi ini datangnya daripada penggunaan jentera dan kenderaan. Industri yang berdekatan dengan kawasan perumahan dan tidak memenuhi syarat ditetapkan, akan menyebabkan pencemaran bunyi kepada penduduk terbabit. Aktiviti kuari juga menyumbang kepada pencemaran bunyi menerusi bunyi pemecahan batu, penggerudian dan pemunggahan batu ke lori.
Pencemaran tanah bermaksud perbuatan yang berlaku kepada sesuatu kawasan sehingga terjadinya perubahan warna, kesuburan dan hakisan. Pencemaran ini disebabkan bahan buangan sama ada dalam bentuk cecair atau pepejal. Bahan pencemar pula terdiri daripada pencemar organik dan kimia.
Antara punca pencemaran tanah ialah pembuangan bahan buangan daripada industri seperti minyak, sisa toksik dan sisa industri, pembuangan sampah merata-rata serta penggunaan racun serangga secara berlebihan.
Tidak dinafikan, ada manusia yang jarang menghargai nilai semula jadi flora dan fauna yang sangat menarik dan indah. Penebangan pokok dan industri pembalakan di kawasan terbabit, kononnya untuk menggerakkan industri hiliran bagi membangunkan ekonomi negara, memberi kesan negatif terhadap alam sekitar. Kesan penebangan mengubah sama sekali rupa bentuk di kawasan berkenaan.
Pencemaran tanah juga memberi kesan ke atas aktiviti manusia. Jika hampir kesemua tempat dicemari, manusia sudah tidak berpeluang lagi untuk melihat keindahan alam ini. Tanah yang dicemari tidak sesuai lagi untuk dijalankan aktiviti pertanian kerana bahan pencemar kimia akan membunuh dan mengganggu tumbesaran tumbuhan yang ditanam.
Penukaran tanah daripada hutan kepada pertanian menyebabkan berlakunya penebangan hutan secara meluas. Selain mengurangkan jumlah hutan asal dan biodiversiti hutan dan hidupan liar, penebangan hutan ini juga turut menyumbang kepada hakisan tanah, pemendapan, kerosakan cerun dan tanah runtuh di Malaysia.
Penebangan hutan yang berterusan dan kemusnahan hutan di kawasan tadahan air akan menjejaskan bekalan air dan kualiti sumber air, menjejaskan kemampuan pengambilan air bawah tanah dan akan menyebabkan lebih banyak berlakunya banjir di kawasan tanah rendah.
Pembangunan yang tidak dirancang dengan berkesan seperti pembalakan dan pembukaan tanah secara berleluasa, akan memberi kesan buruk terhadap alam sekitar contohnya berlaku hakisan tanah, perubahan iklim, kesan kepada rumah hijau dan banjir.
Kesimpulannya, Malaysia sememangnya sebuah negara yang berkembang pesat serta maju dalam pelbagai bidang. Namun, dalam kepesatan pertumbuhannya itu, ramai yang tidak menyedari ia juga membawa kesan sampingan terhadap alam sekitar.
Sebenarnya, punca utama kemusnahan alam sekitar adalah hasil perbuatan manusia sendiri yang tidak mempunyai nilai peka terhadap isu alam sekitar. Sayang pada alam sekitar, patuh kepada undang-undang dan bertanggungjawab boleh membantu meminimumkan pencemaran alam sekitar. Manusialah yang perlu rasional menangani keadaan ini.
Penulis ialah Pegawai Kawalan Alam Sekitar, Lembaga Urus Air Selangor