Jumaat, 8 Januari 2010

Kenyataan Rasmi Istana Negara Berhubung Isu Penggunaan Nama Allah

SEBAHAGIAN jamaah berhimpun mengadakan perhimpunan secara aman membantah penggunaan Kalimah Allah di dalam Herald-The Catholic Weekly selepas menunaikan solat Jumaat di perkarangan Masjid Negara, Kuala Lumpur. 8 Januari.
AHLI-AHLI Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia sepakat bagi menyampaikan deklarasi keharmonian hubungan antara agama mengenai isu pengunaan nama Allah selepas solat Jumaat di Masjid Jamek Kg. Baru, Kuala Lumpur, 8 Januari.

Adalah dimaklumkan bahawasanya Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah mengambil perhatian serius terhadap isu penggunaan kalimah Allah dalam majalah Herald-The Catholic Weekly oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Sehubungan itu Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua pihak agar sentiasa menghormati kesucian ajaran dan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan Malaysia.

Bagi menjamin suasana aman dan harmoni di antara penganut yang berlainan agama, maksud dan rujukan kalimah Allah dalam konteks umum hendaklah menepati sifat yang ditetapkan oleh Islam kerana amalan ini sekian lama telah diterima baik oleh semua penganut agama lain di Malaysia.

Baginda amat berharap agar semangat perpaduan dan hormat menghormati antara kaum dan agama yang menjadi tunjang kekuatan negara ini sentiasa dijaga.

Memandangkan pihak kerajaan sedang mengambil langkah-langkah yang perlu berbangkit daripada keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini, maka Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong juga turut menzahirkan harapan baginda agar semua pihak terutama orang Islam agar bertenang.

Baginda juga menitahkan agar semua pihak saling menghormati semua tempat ibadat tanpa mengira agama.

Istana Negara,

Kuala Lumpur

8 Januari 2010

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ANTARA GILA BEKERJA DENGAN GILA KERANA KERJA

Gila bekerja, bukan jadi gila kerana kerja
Oleh : Sri Diah

Agak menggerunkan melihat hampir 400,000 rakyat Malaysia mendapatkan rawatan sakit jiwa!

Sesekali emosi kita pernah juga terganggu. Ada banyak sebab, antaranya kecewa dan stres. Pernah juga rasa seperti ingin memandu kereta sesuka hati, mahu langgar siapa sahaja! Pernah juga rasa seperti mahu tempeleng semua orang. Atau ada juga rasa mahu tulis apa sahaja, lepaskan geram dalam hati.

Namun semua itu tidak kita lakukan. Kita tidak bertindak ikut suka hati. Kita tidak terajang orang. Kita tidak menulis menyakiti hati orang lain. Puncanya kita ada otak. Kita ada fikiran menentukan baik atau buruk.

Minda kita segera berfikir, bahawa berdosa itu hukumnya api neraka. Berdosa mungkin terlepas daripada hukum dunia. Tapi di akhirat tetap akan diadili. Alhamdulillah, dengan akal fikiran yang waras, kita layak dipanggil manusia, bukannya haiwan.

Statistik Kementerian Kesihatan pada 2009 menggerunkan kita apabila sebanyak 379,010 individu mendapat rawatan sebagai pesakit luar psikiatri di hospital kerajaan, berbanding 324,344 pada 2007. Baca sekali lagi... hampir 400,000 orang!

Jika beginilah jumlahnya kita takut hendak keluar rumah! Ini ditambah dengan pesakit-pesakit jiwa akhir-akhir ini yang semakin meningkat disebabkan pelbagai punca yang masuk akal dan yang tidak masuk akal.

Hakikatnya ramai yang sakit jiwa angkara dunia politik yang tidak menentu. Ada juga terganggu fikiran akibat ekonomi yang semakin meningkat. Mungkin juga kerana masalah-masalah rumah tangga yang bercelaru, masalah rebut takhta yang kompleks dan rebut kuasa yang menjadi-jadi,

Selain jumlah pesakit jiwa yang berdaftar di atas ada juga kita tahu pesakit-pesakit mental yang tidak berdaftar. Rasanya jumlah ini lebih ramai daripada yang berdaftar. Mereka ada di sekeliling kita dan tidak mustahil dia jiran kita di rumah mahupun di pejabat.

Ia tergolong daripada mereka yang terlibat dengan penderaan pembantu rumah, berpekik dalam Parlimen atau Dewan Rakyat. Mereka yang bersidang di tempat tidak sepatutnya. Mereka yang berketayap, lebai, berserban dan berjanggut ala tok imam tapi menentang Islam.

Kejadian penggal kepala, tikam menikam, rogol, bunuh dan bakar mayat mangsa hanya dilakukan oleh mereka yang tidak waras dan berjaya digoda syaitan laknatullah. Kita sedekahkan al-Fatihah untuk yang telah pergi. Termasuk arwah datuk saya yang menjadi mangsa pembunuhan kejam. Dan sah memang orang itu gila ketika melakukan perbuatan itu!

Saya tidak salahkan si gila yang menikam datuk saya itu. Orang kelilinglah yang patut membantu si gila supaya tidak menjadi lebih gila. Bantu dia supaya bertenang. Bantu dia supaya dia boleh keluar daripada masalahnya.

Sekarang ini ramai orang yang nampaknya lebih suka membantu orang gila menambahkan kadar gilanya. Ramai orang tidak mahu menolong memulihkan orang gila, takut kita jadi lebih gila daripada si gila itu.

Memang perkataan ‘gila’ adalah satu ungkapan hodoh. Ungkapan itu tidak sesuai digunakan untuk pesakit-pesakit jiwa dan memberi gambaran seorang yang ganas dan berbahaya. Sebabnya ada orang gila yang boleh pulih dan sembuh seperti sediakala.

Sindrom kegelisahan (neurosis), penyakit kepiluan (depression) dan psikosis biasanya akan melepaskan si tertuduh daripada dikenakan tindakan. Namun semua itu sudah terlambat setelah ada orang yang telah menjadi mangsa. Ini bermakna telah berlakunya penganiayaan dan pembunuhan.

Sebaliknya pula kita seronok melihat ramai orang yang gila dan terus gila dengan pencapaiannya. Mereka muncul dengan idea gila-gila yang memang relevan dengan kehendak semasa. Mereka terus maju meneroka pelbagai bidang yang belum ramai orang kita menjadi heronya.

Memanglah idea gila sungguh apabila dua tokoh korporat tempatan Datuk Seri Tony Fernandes dan Datuk Kamaruddin Meranum kini secara peribadi dalam proses akhir untuk membeli kelab bola sepak Liga Perdana England, West Ham. Bravo Datuk!

Dan satu lagi idea gila anak muda, SM Faisal SM Nasimudin dan syarikatnya apabila berunding dengan pengeluar kenderaan mewah dari Jerman, Brabus GmbH (Brabus) untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat pengedaran Brabus di Asia.

Nah, kalau nak betul-betul gila, berniaga dan bekerjalah bersungguh-sungguh seperti mereka!

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/

Khamis, 7 Januari 2010

Kekeliruan remaja sambut tahun baru

TIRAI 2010 baru beberapa hari membuka lembaran baru untuk kita mencoretkan warna-warni kehidupan dengan pelbagai rencah kehidupan. Namun ramai yang terlepas pandang apa yang terjadi di sebalik percikan bunga api yang menyinari malam, ramai remaja kita terus terjerumus dengan isu keruntuhan moral dan akhlak.

Seolah-olah menjadi satu trend saban tahun sambutan tahun baru yang berpaksikan ‘gaya hidup’ moden Barat dijadikan peluang bagi remaja untuk meraikan sambutan tahun baru dengan kawan-kawan. ‘Sudah lewat malam’ dan tidak sempat untuk pulang ke rumah dijadikan alasan untuk bermalam dengan kawan atau teman lelaki.

Apa sudah jadi dengan remaja kita? Pastinya keluhan sahaja tidak memadai kerana persoalan ini melibatkan isu moral dan akhlak.

Dengan angka populasi yang menunjukkan jumlah keseluruhan generasi muda yang berumur antara 15 hingga 40 tahun meliputi seramai 11.2 juta orang atau kira-kira 41 peratus daripada 27.2 juta penduduk Malaysia, pastinya sumbangan generasi muda dalam menjayakan 1Malaysia dan NKRA yang diumumkan baru-baru ini amat dituntut.

Dalam realiti hari ini, pastinya negara memerlukan angkatan belia yang berwibawa, berwawasan, berpendidikan, bersahsiah dan mempunyai jiwa 1Malaysia. Hakikatnya, apa yang dapat diharapkan jika remaja kita terus hanyut dan terjerumus dalam kancah maksiat? Satu persoalan yang amat menuntut perhatian semua pihak.

Justeru amat penting golongan anak muda menjaga keterampilan diri dan moral kerana mereka bukan sahaja generasi pewaris keluarga, malah juga pewaris bangsa dan negara. Kemuliaan peribadi golongan belia melambangkan identiti sesebuah bangsa, jika baik peribadinya maka baiklah identiti sesuatu bangsa, jika sebaliknya maka buruklah pandangan masyarakat terhadap bangsa tersebut.

Madah pujangga Arab ada mengatakan “Jika kamu ingin melihat keagungan sesuatu bangsa maka lihatlah peribadi kaum belianya”. Jelas sekali keperibadian yang tinggi di kalangan belia mencerminkan kemuliaan sesuatu bangsa.

Remaja hari ini ternyata keliru tentang sambutan tahun baru. Mereka tidak dibimbing ‘sewajarnya’ erti sambutan tahun baru yang sepatutnya memberi keutamaan dan memanfaatkan kedatangan Maal Hijrah.

Kita menyedari cakap sememangnya senang, namun untuk melaksanakannya tidak semudah yang diungkap. Namun jika kita tidak bertindak, siapa lagi yang kita harapkan? Apa yang perlu kita sedari bahawa usaha ini merupakan satu tanggungjawab dan amanah untuk kita semua laksanakan.

Menyedari betapa kuatnya pengaruh golongan ini terhadap usaha kerajaan untuk mengurangkan kadar jenayah, adalah menjadi satu keperluan agar setiap individu belia disuntik dengan didikan dan asuhan agama yang secukupnya agar mereka tidak mudah terpedaya dan terjerumus.

Dalam memperkatakan soal ini, kita tidak boleh lari daripada membicarakan peranan ibu bapa, ibarat cubit paha kiri paha kanan terasa sakitnya. Tidak cukup sekadar menyediakan makan, minum, bantuan kewangan dan tempat tinggal tetapi peranan ibu bapa melangkaui aspek tersebut. Ibu bapa perlu mengawal perlakuan, pergaulan dan penampilan anak-anak kita kerana kemuliaan diri seseorang mencakupi jasmani dan rohani.

Oleh itu adalah penting dan menjadi tanggungjawab semua untuk menjaga hati para remaja supaya tidak dicemari dan menjadi rosak kerana jika rosak golongan pelapis ini maka hancurlah sesuatu bangsa dalam sesebuah negara. Gagasan 1Malaysia, NKRA dan apa jua yang direncanakan tidak akan berjaya sepenuhnya jika golongan ini tidak bersama membantu kerajaan.

Negara amat memerlukan kudrat dan dinamisme golongan belia untuk memacu negara ke arah 1Malaysia yang bebas daripada jenayah dan ancaman sosial tetapi apakah yang dapat dijanjikan oleh golongan anak muda yang lemah, menghisap dadah, meminum arak, berpeleseran, berkhalwat dan sebagainya?

Apakah yang dapat disumbangkan oleh anak-anak muda yang hanya mementingkan hiburan dan keseronokan semata-mata? Anak-anak muda jelas lebih berminat program hiburan dan ‘realiti’ daripada menghadapi realiti sebenar yang berlaku dalam masyarakat.

Generasi muda perlu bangkit dan bermuhasabah kerana usia remaja hanya datang sekali sahaja seumur hidup. Kesempatan yang ada perlu digunakan sebaik mungkin untuk membangunkan diri, menjaga nama baik ibu bapa dan memberi sumbangan kepada bangsa dan negara. Jika aspek sosial juga menjarakkan kita dengan bangsa lain, apa lagi yang tinggal untuk kita?

Fakulti Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi Mara Perlis

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Strategi baru martabat bahasa

Oleh Nurul Farina Nazlan
nfarina@bharian.com.my Syarahan agung Sasterawan negara dan Seniman negara 2009 anjuran Kalam di Dewan Seminar, DBP, Kuala Lumpur.

Dua Sasterawan Negara kemuka cadangan kepada DBP


DEWAN Bahasa dan Pustaka (DBP) diminta mencari idea dan nafas baru dalam memartabatkan bahasa Melayu dengan memanfaatkan kreativiti serta imaginasi kakitangannya daripada kalangan generasi muda.

Cadangan terbabit dikemukakan pada Syarahan Agung Sasterawan Negara dan Seniman Negara 2009 anjuran Persatuan Penulis Kuala Lumpur (Kalam) di Dewan Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ia dikemukakan ekoran kebimbangan pihak tertentu dengan gejala peminggiran bahasa Melayu dan penghakisan budaya tempatan oleh kelompok yang ingin dilihat moden kerana takut dianggap mundur sekiranya berbangga dengan bahasa serta budaya sendiri.

Sasterawan Negara (SN), Prof Dr Muhammad Salleh, berkata serangan terhadap bahasa Melayu sangat hebat apabila ramai golongan atasan dan industri tertentu tidak mempercayai kemampuannya dalam urusan rasmi.

“Pelan 20 tahun bahasa kebangsaan yang digembar-gemburkan sebelum ini tidak diketahui kedudukannya dan DBP perlu menarik minat masyarakat untuk membaca karya indah dalam bahasa Melayu dengan judul buku yang perlu dipelbagai dan diberi nafas baru.

DBP tidak boleh terus berada pada tahap lama lagi dengan penerbitan yang berbentuk teks saja kerana zaman itu sudah berlalu, sebaliknya badan kerajaan itu memerlukan idea dan pandangan baru untuk menerbitkan naskhah yang mampu menarik minat pembaca,” katanya ketika melapah Pada Zaman Pasca-Kolonial - Apakah Malaysia Masih Dijajah Bahasa Dan Budayanya?

Beliau meminta DBP mengambil kira dan memanfaatkan kreativiti serta imaginasi kakitangan muda mereka dalam memilih judul dengan memberi kepercayaan kepada pegawai muda yang mewakili suara generasi kini.

Kita perlu mencontohi orang Jepun yang melantik dan menempatkan individu untuk sesuatu jawatan atas sifat profesional dan bukan kerana kawan atau agenda peribadi. Perlu diingat dalam tempoh lima tahun akan datang akan ada yang mampu mengatasi DBP sekiranya mereka tidak bertindak segera,” katanya pada program yang mendapat kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan DBP.

SN, Datuk Dr Anwar Ridhwan pula menyarankan DBP untuk bekerjasama dengan penerbit dan pihak luar dalam penerbitan karya ilmiah bermutu tinggi, sekali gus dapat mengatasi kelemahan dalam aspek dokumentasi.

DBP perlu duduk semeja dengan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), pusat penyelidikan dan pengembangan bidang tertentu serta penerbit universiti dan swasta untuk menentukan strategi jangka pendek dan panjang dalam penerbitan jurnal dan buku yang membicarakan isu atau penemuan baru dalam pelbagai bidang ilmu.

Hal ini penting bagi mengurangkan kebergantungan kepada penerbitan dalam bahasa Inggeris dan membuktikan bahasa Melayu layak menjadi bahasa ilmu moden dan mutakhir, sekali gus memperlihatkan kemampuan bahasa itu kepada masyarakat,” katanya ketika melapah Memperkasa Kepustakaan Melayu: Langkah Reformasi Atau Gerak Revolusi?.

Beliau berkata, bahasa Melayu memerlukan gerakan revolusi dalam aspek dana dan perancangan besar yang bercita-cita tinggi tetapi realistik, selain pengisian dalam semua bidang ilmu moden lagi mutakhir bagi semua peringkat pembaca.

“Hanya dengan citra sedemikian, bahasa Melayu akan bermakna sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu yang bertepatan dengan kedudukannya sebagai bahasa penting dunia kerana sejarah pernah membuktikan kehebatan bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi dan perantaraan,” katanya.

Sumber : http: //www.bharian.com.my/

Rabu, 6 Januari 2010

Rasa cinta mampu jayakan matlamat perkasa bahasa Melayu

BAHASA JIWA BANGSA, demikian ungkapan yang acap kali kedengaran setiap kali kita membincangkan perihal bahasa. Sudah terlalu banyak langkah dan usaha diambil, namun entah di mana silapnya, hasrat memartabatkan bahasa Melayu dan meletakkan kedudukannya di persada sepatutnya belum kesampaian. Daripada acara penggalakkan sehinggalah penguatkuasaan peraturan, semuanya sudah dilakukan, tetapi taraf bahasa Melayu seolah-olah kian terpinggir di bumi sendiri. Kepesatan ledakan teknologi dan himpitan pensejagatan dijadikan alasan mengapa ia semakin lesu. Pelbagai macam hujah diberikan untuk menghalalkan kita mengetepikannya. Dakwaan kononnya ia ketinggalan, miskin perbendaharaan kata, tandus irama, malah kuno dilemparkan untuk membolehkan ia diperkotak-katikkan tanpa sekelumit pun rasa bersalah. Paling menyedihkan, semakin ramai kini menganggap bahasa Melayu tidak canggih. Alangkah sedihnya jika satu hari nanti ada antara kita yang malu menuturkannya. Kita sendiri tidak pasti dari mana munculnya tanggapan sebegitu kerana sebenarnya, bahasa Melayu berada pada kedudukan keenam paling luas digunakan di dunia selepas bahasa Cina, Inggeris, Perancis, Rusia dan India. Hakikat itu, sekali gus menyangkal apa saja dakwaan yang cuba memperlekehkan bahasa Melayu. Ia sebaliknya, memberi gambaran jelas bahawa ia mesti terus diperkasa demi memastikannya dapat terus tersebar luas.

Dalam menjayakan matlamat membela, memulihara dan memperkasa bahasa Melayu, perkara paling penting yang harus dihayati ialah rasa kecintaan terhadapnya. Kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan saja tidak cukup untuk menjamin ia didaulatkan. Bahasa ialah perantara perhubungan dalam ketamadunan, maka sudah tentulah kelangsungan hidupnya bergantung kepada penggunaan. Jika terbit keinsafan dalam sanubari kita untuk mendalami keindahan dan kelebihan bahasa Melayu serta menggunakannya dalam urusan seharian, separuh daripada perjuangan ke arah itu sudah pun tercapai. Sebenarnya, tiada cacat celanya bahasa Melayu, sebaliknya yang bermasalah ialah diri kita sendiri yang sering memandang rendah terhadapnya. Janganlah sampai dalam perkara membabitkan bahasa Melayu pun kita terpaksa menunggu orang asing menyanjungnya terlebih dulu baru kita mahu berbuat yang sama. Budaya ikut-ikutan dalam mengiktiraf kelebihan kita seperti ini harus dikikis. Natijah budaya ikut-ikutan itulah yang menyebabkan kita hari ini tidak segan silu memperkecilkan bahasa Melayu dan mengaitkannya dengan bermacam-macam tanggapan buruk. Memang dasar, perundangan dan penguatkuasaan membantu usaha mendaulatkan bahasa Melayu, tetapi ia hanya penyebab sampingan saja. Jaminan sebenarnya perlu datang dalam diri setiap daripada kita yang mempunyai jiwa sebagai bangsa yang mencintai bahasanya.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Selasa, 5 Januari 2010

KEMBAR tiga seronok ke sekolah


Murid Tahun Satu yang juga kembar tiga (dari kiri) Muhammad Taj Najmie Mohd Tajeri, Muhammad Taj Imran dan Muhammad Taj Daniel tekun ketika sesi pembelajaran pada hari pertama persekolahan di Sekolah Kebangsaan Senawang, Seremban, semalam. Seramai 397 murid Tahun Satu memulakan sesi persekolahan di sekolah itu.

Sumber : http: //www.bharian.com.my/

Bahasa Melayu ke-6 dunia

KUALA LUMPUR - "Pandangan bahawa menggunakan Bahasa Melayu itu kononnya kurang sofistikated harus dikikis kerana ia berada di tahap keenam paling luas digunakan di dunia selepas bahasa Cina, Inggeris, Perancis, Rusia dan India", kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Kita harus kikis pandangan dan amalan bahawa menggunakan Bahasa Melayu itu kononnya kurang sofistikated kerana sebenarnya bukan begitu.

Ia seharusnya menjadi bahasa pengantar, bahasa perpaduan, bahasa tamadun dan bahasa pentadbiran,” katanya pada sidang akhbar selepas menjadi tetamu dalam wacana eksklusif bersama Radio Klasik Nasional di Angkasapuri semalam.

Rais berkata, Radio Televisyen Malaysia (RTM) perlu menjadi saluran utama mempopularkan penggunaan Bahasa Melayu manakala media swasta harus mempertingkatkan penggunaannya.

“Kementerian sangat berharap agar penggunaan dan populariti Bahasa Melayu dapat ditingkatkan dan RTM perlu menjadi saluran utama untuk memajukan dasar ini,” katanya.

Rais berkata, penggunaan Bahasa Melayu oleh RTM agak membanggakan tetapi penggunaannya belum menyeluruh terutamanya oleh stesen televisyen dan radio swasta.

“Saya harus tegur sedikit pencapaian oleh pihak swasta, yakni stesen-stesen radio dan TV, kadangkala bak kata orang tua, terlangsung nak wangi lalu hangit.

Mereka menyebut sesuatu perkataan secara terlalu bersandiwara, tidak seperti seharusnya didengar. Misalnya perkataan ‘dan’. Ramai juruhebah yang menyebutnya dengan bunyi yang berbeza seperti tidak menggambarkan orang Melayu yang menuturkannya,” katanya.

Rais berkata, kementerian akan terus memantau perkara-perkara seperti ini tetapi apa yang penting juruhebah swasta perlu cintakan bahasa dan yakin bahasa Melayu merupakan bahasa komunikasi yang terbaik dan banyak digunakan di nusantara.

Beliau juga mengingatkan kakitangan kerajaan dan swasta tidak menggunakan perkataan ‘next’ dalam pembentangan sebaliknya digantikan dengan perkataan ‘seterusnya’.

Katanya, setiap kakitangan juga seharusnya tidak menggunakan bahasa asing sekiranya istilah itu terdapat dalam perbendaharaan kata bahasa Melayu.

Ditanya apakah kementerian mempunyai pendekatan daripada segi penguatkuasaan undang-undang terhadap kesalahan penggunaan bahasa Rais berkata: “Sebenarnya tidak perlu penguatkuasaan dalam soal bahasa, kita tak perlu pegang satu rotan dalam soal Bahasa Melayu. Ia mesti timbul dari dalam.”

Bagi kesalahan bahasa dalam bidang pengiklanan, Rais berkata, kementerian boleh menggunakan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka, iaitu jika mereka menggunakan istilah yang salah perlu diperbetulkan sahaja bukannya mengenakan denda.

Penggunaannya bukanlah satu kesalahan tetapi ia menjurus kepada sesuatu yang lebih baik. Jika masih nak gunakan bahasa Inggeris, itu terserah. Tetapi jika lebih ramai masyarakat mengamalkan prinsip-prinsip pembahasaan yang baik bagi bahasa Melayu, maka ia akan menjadi lebih indah, sebaliknya jika terlampau banyak bahasa Inggeris di dalamnya, lama kelamaan bahasa Melayu dan identiti kemelayuan akan hilang,” katanya.

Rais berkata, beliau yakin penggunaan blog sebagai media untuk menjatuhkan orang lain akan luput dan ditolak tidak lama lagi.

Beliau mengumpamakan blog sedemikian seumpama bunga yang sedang berkembang dan harumnya akan hanya dihidu seketika di mana selepas layu ianya akan ditolak.

“Saya yakin berblog secara yang ada hari ini (menjatuhkan orang lain) ia akan luput. Lama kelamaan orang tak akan baca lagi. Ini semacam satu bunga yang kembang yang hiduan baunya yang semerbak yang dihidu sementara, lepas busuk orang tidak akan meminatinya lagi sebab sudah letih dengan bauan itu hari-hari,” katanya. - Bernama