Isnin, 11 Januari 2010

Dua murid cipta sejarah masuk sekolah berasrama penuh

NURSHAFRINA Hasimi tidak dapat menahan kesedihan ketika memeluk ibunya, Zalina Abdul Ghani sambil ditemani ayahnya, Hasimi Ali ketika mendaftar sebagai pelajar baru di Sekolah Menengah Sains Sultan Ahmad Shah, Kuantan, semalam.

KUANTAN 11 Jan. - Dua bekas murid Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Tembeling, Jerantut mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh (SBP), Sekolah Menengah Sains Sultan Ahmad Shah (SEMSAS) di sini.

Kedua-dua pelajar berusia 13 tahun itu, Nurshafrina Hasimi dan Mohd. Firdaus Ahmad Khairi merupakan antara 130 pelajar yang terpilih melanjutkan pelajaran ke tingkatan satu di sekolah elit berkenaan.

Mereka melaporkan diri di sekolah berkenaan pagi ini yang turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Abdul Hamid Abu Bakar dan Pengetua SEMSAS, Mokhtar Abdullah.

Nurshafrina ketika ditemui melahirkan rasa gembira dan bersyukur di atas kejayaannya menjadi pelajar pertama dari Kampung Bantal, Jerantut memasuki SEMSAS.

"Belum ada pelajar dari sekolah dan kampung saya yang berjaya melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh. Ini merupakan satu kebanggaan buat diri saya," katanya yang ditemani oleh ibu bapa serta adiknya.

Dia yang merupakan anak sulung kepada pasangan Hasimi Ali, 36, yang hanya bekerja kampung dan Zalina Abdul Ghani, 31, seorang suri rumah, bercita-cita menjadi guru Bahasa Inggeris dan mahu mengubah nasib keluarganya kelak.

Bekas Penolong Ketua Pengawas SK Ulu Tembeling itu yang mendapat 5A pada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) lalu turut menjadikan guru Bahasa Inggerisnya, Mohd. Fauzi Mohd. Noor sebagai idola bagi merealisasikan impiannya itu.

Sementara itu, Mohd. Firdaus pula bercita-cita menjadi doktor gigi bagi mengubah nasib keluarganya yang bergantung hidup kepada bapanya, Ahmad Khairi Timban, 48, sebagai seorang penoreh getah.

Anak kedua daripada lima beradik itu turut menjadikan kehidupan keluarganya yang susah untuk terus mencipta kecemerlangan dalam pelajaran selepas memperoleh 5A dalam UPSR lalu.

"Saya ingin menjadi doktor gigi bagi mengubah hidup keluarga," katanya.

Dalam pada itu Abdul Hamid berkata, seramai 733 pelajar mendaftarkan diri di enam buah sekolah berasrama penuh termasuk tiga sekolah berasrama penuh integrasi di seluruh Pahang tahun ini.

Jelasnya, pelajar terbabit yang akan memasuki tingkatan satu dan empat akan melalui minggu orientasi untuk didedahkan dengan kehidupan di asrama.

Mengulas kejayaan dua bekas murid SK Ulu Tembeling itu Abdul Hamid berkata, ia bukti komitmen kerajaan dalam memberikan pendidikan sama rata antara pelajar bandar dan luar bandar.

"Pada asasnya kemudahan yang disediakan di sekolah bandar dan luar bandar adalah sama. Cuma, terpulang pada pelajar sama ada hendak mengguna dan memanfaat kemudahan tersebut atau sebaliknya," katanya.

Sumber : http://www.utusan.com.my/

Nota hujung:

Sikap dua murid ini wajar jadi ikutan murid-murid lain. Hendak seribu daya tak hendak seribu dalih. Tanpa usaha gigih dan tidak mengenal jemu, tidak mungkin kejayaan manis ini diperoleh. Yang menarik lagi, di sebalik kejayaan itu, di samping sokongan ibu dan ayah, ada watak guru yang menjadi pencetus kejayaan murid-murid ini. Syabas Cikgu Mohamad Fauzi atas kejayaan murid-murid cikgu !

Hikmah di sebalik isu kalimah

LEBIH kurang seminggu yang lalu, tahun 2009 sudahpun melabuhkan tirainya. Kemelut, caca merba, kejutan dan pelbagai hiruk-pikuk mewarnai sepanjang tahun 2009.

Minggu lalu yang menyaksikan minggu pertama tahun baru, kita seakan-akan dibayangkan bahawa pola suasana tahun ini tidak akan begitu banyak berbeza dengan tahun sebelumnya. Awal-awal lagi nampaknya kita telahpun dihidangkan dengan kegemparan isu penggunaan kalimah Allah yang diluluskan penggunaanya untuk majalah Herald-The Catholic Weekly oleh Mahkamah Tinggi.

Menelusuri kronologi isu ini yang bermula dari tahun lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebenarnya telahpun memutuskan untuk memberi kebenaran kepada majalah Herald-The Catholic Weekly (khusus untuk golongan Kristian Katolik) untuk merujuk istilah 'God' dengan kalimah Allah.

Walau bagaimanapun, mengambil kira reaksi umat Islam dan di samping memikirkan kepentingan keharmonian masyarakat, kementerian tersebut telah segera menarik balik keputusan itu. Namun, setelah kes itu dibawa ke mahkamah, mengejutkan sekali kerana kini ia berakhir dengan keputusan kontroversi yang menyebelahi majalah berkenaan.

Ekoran keputusan itu, majoriti umat Islam mula bersuara dan suara-suara protes kedengaran hampir di mana-mana sahaja. Tidak kiralah sama ada penyokong UMNO atau PAS, kesemuanya memberikan reaksi yang lebih kurang sama. Ternyata ramai yang kurang selesa dengan keputusan yang dibuat itu.

Ironinya, parti UMNO yang selalu dituduh sebagai parti rasis Melayu oleh kelompok PAS dilihat menjadi 'juara' dan 'front-end' dalam mendepani isu menyentuh kepentingan Islam, dan bukan PAS. Walhal, PAS yang seringkali menobatkan diri mereka 'pejuang' Islam sebaliknya begitu mengecewakan dalam kenyataan rasmi yang disiar di laman rasmi parti tersebut.

Baur-baur kekecewaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang pada awalnya digambarkan oleh beberapa pemimpin PAS telah ditransformasi kepada suatu kenyataan rasmi Presiden PAS yang lebih lemah, kurang pengisian dan tidak tegas pendirian!

Sudah tentulah pada dasarnya, penggunaan nama Allah dibenar untuk digunakan oleh agama samawi seperti Kristian dan Yahudi. Akan tetapi, mengambil konteks di Malaysia ini, di mana istilah Allah sudah sekian lama difahami sebagai 'Tuhan kepada orang Islam' dan dalam pada itu pula telah sentiasa memastikan kedamaian di kalangan masyarakat, tidak ada salahnya PAS berterus-terang untuk tidak bersetuju dengan keputusan berkenaan.

Apatah lagi mengambil kira istilah 'Islam' yang kononnya menjadi dokongan PAS, terlihat akan pendirian sebenar parti itu yang nyata semakin lewa dan 'hopeless' dalam isu membabitkan kepentingan akidah masyarakat Islam. Dengan masyarakat yang kini berdepan dengan pelbagai kekeliruan dan masalah seperti ancaman murtad, isu Islam liberal dan kekalutan hak penjagaan anak yang ibu bapanya berbeza agama, sikap PAS memang tidak boleh diterima.

Pada saya pula, isu ini tidak sepatutnya hadir sama sekali kerana istilah 'God' boleh diguna pakai oleh ajaran Kristian. Justeru, persoalan sama ada ajaran Kristian sememangnya ada merujuk kepada kalimah Allah tidak sepatutnya timbul. Lebih penting lagi, hak Islam sebagai agama rasmi negara yang meletakkan Allah sebagai tuhan yang Esa, sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan perlulah dihormati. Sensitiviti majoriti masyarakat juga wajib diambil kira demi keharmonian masyarakat yang telah sekian lama terjalin tanpa apa-apa sengketa.

Kejadian letupan di beberapa gereja baru-baru ini adalah bukti bagaimana sesuatu normaliti yang cuba diubah ada harga yang cukup mahal untuk dibayar. Tindakan ganas ini tidak kita sokong. Kerajaan sendiri di atas semangat 1Malaysia dengan segera menghadirkan sumbangan RM500,000 untuk gereja-gereja terlibat. Malahan, kerajaan menyeru agar tindakan sebegini tidak lagi dilakukan.

Namun perlu difahami, daripada lebih 20 juta rakyat Malaysia, tidak semuanya berfikiran sama. Sesetengahnya ekstremis, nekad dan sukar dijangka tindak-tanduknya. Maka demi kesejahteraan dan keamanan, saya rasa tidak ada rugi apa-apa sekiranya kebiasaan yang terdahulu dikekalkan. Justeru saya beranggapan, laporan akhbar semalam yang menyebut terdapat beberapa kumpulan Kristian yang menggambarkan bahawa akhbar Herald perlu 'mengalah' dalam isu ini adalah satu tindakan yang patut, terbaik dan menghormati kumpulan majoriti di Malaysia.

Dalam masa sama, siri letupan gereja adalah suatu petanda tidak semua orang Islam faham dengan ajaran Islam yang menganjurkan kedamaian. Timbulnya isu ini juga adalah gara-gara umat Islam lemah dan tidak bersatu hati. Tidak hairanlah hak Islam dan Melayu dalam pelbagai isu yang sepatutnya sensitif, kini begitu mudah diperkotak-katik dan dipersoalkan. Barangkali kita terlalu leka berpolitik daripada mencari persamaan sesama saudara!

Mungkinkah inilah sebenarnya peringatan berhikmah dari Allah untuk kita seawal tahun baru 2010 dan 1431 Hijrah ini. Bahawa kini sudah sampai masa dan ketikanya untuk masyarakat kembali kepada ajaran Islam yang sebenar, bersatu, saling bermaafan dan bermuafakat?

Kelmarin di dada-dada akhbar terdapat beberapa golongan Kristian yang bersetuju agar tuntutan penggunaan kalimah Allah tidak diteruskan lagi. Ini membuktikan bahawa tuntutan tersebut adalah bukan tuntutan daripada golongan majoriti masyarakat Kristian Malaysia. Sekiranya, golongan masyarakat Kristian dapat memikirkan isu ini dari perspektif keharmonian dan perpaduan negara, sudah sampai masanya masyarakat Islam seluruh Malaysia termasuk UMNO, Pas, PKR dan lain-lain mencapai tahap kematangan yang sama.

Tepuk dada, insaflah dan tanya kepada iman. Semoga 2010 akan mekar dengan perpaduan dan ukhuwah fillah di kalangan ummah. Sama-samalah kita berdoa dan usahakan, insya-Allah!

Sumber : http://www.utusan.com.my/

30:100,000 rakyat bunuh diri setiap tahun

KEBELAKANGAN ini terdapat pelbagai kejadian yang berlaku di negara kita khususnya dan di seluruh dunia amnya yang menunjukkan bahawa tekanan mental semakin berleluasa dan telah mencapai tahap yang membimbangkan.

Kejadian seperti membunuh diri, mengamuk, hilang kawalan emosi, kemarahan yang melampau, penyalahgunaan dadah, arak dan sebagainya merupakan sebahagian daripada bukti yang jelas di mata kita. Begitu juga ramifikasi dan komplikasi yang timbul seperti meningkatnya kes jenayah termasuk ragut, rogol atau membunuh yang rata-ratanya dikaitkan dengan permasalahan yang sama.

Dunia telah mengakui bahawa penyakit mental bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan. Penyakit mental dan kecelaruan tingkah laku wujud dalam semua masyarakat di mana sahaja mereka berada. Menurut anggaran yang dibuat oleh Persatuan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2002, 154 juta orang di seluruh dunia mengidap masalah kemurungan, 25 juta mengidap penyakit skizofrenia dan 15 juta terlibat dengan penyalahgunaan dadah. Sebanyak 877,000 orang pula mati kerana membunuh diri.

Di Malaysia, kita juga mengalami keadaan yang sama. Penemuan terbaru hasil Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2006 menunjukkan prevalens masalah kesihatan mental melibatkan 11.2 peratus orang dewasa 20.3 peratus dalam kalangan kanak-kanak dan remaja. Sesungguhnya ia menunjukkan peningkatan berbanding dengan kajian pada tahun 1996 yang hanya menunjukkan kadar 10.7 peratus di kalangan orang dewasa dan 13 peratus di kalangan kanak-kanak dan remaja. Lebih membimbangkan lagi ialah fakta yang menganggarkan kira 20 hingga 30 orang membunuh diri setiap tahun bagi setiap 100,000 rakyat di negara ini.

Anehnya walaupun kita semua sedar bahawa penyakit mental dan kesihatan mental itu penting dan boleh mengakibatkan pelbagai kesan buruk kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat, namun ramai dalam kalangan kita yang masih tidak mahu mengakuinya. Malu merupakan antara punca utama. Stigma dan penghinaan terhadap mereka yang mengalami masalah jiwa menyebabkan individu yang terbabit sering menafikannya. Begitu juga ahli keluarga mereka.

Masyarakat kita sebenarnya lebih mudah menerima alasan bahawa gangguan jiwa dan tingkah laku yang dialami oleh seseorang itu merupakan hasil daripada buatan orang daripada mengakui bahawa ia disebabkan oleh penyakit mental atau kecelaruan emosi. Ekoran daripada itu, bomoh dan pengamal perubatan tradisional menjadi tumpuan. Lebih menyedihkan ialah bila terdapat dalam kalangan doktor dan pengamal perubatan moden sendiri yang tidak peka, tidak sedar atau tidak tahu bahawa pesakit yang berjumpa mereka itu sebenarnya mengalami gangguan jiwa dan bukannya gangguan jin mahupun syaitan.

Bagi mereka yang begitu bernasib baik untuk dirujuk berjumpa pakar jiwa, stigma sekali lagi menjadi isu. Itulah yang menyebabkan ramai individu lebih rela berdiam diri dan menanggung derita daripada dilihat berjumpa dengan pakar jiwa. Hakikatnya di Malaysia ini, jika telah dilabel sebagai pesakit jiwa, anda bukan sahaja mendapat malu, malah berisiko tinggi untuk dibuang kerja dan disisihkan lagi daripada masyarakat. Segala hak dan keistimewaan sebagai seorang insan mungkin tidak lagi menjadi milik anda.

Begitu juga individu yang cuba mendapatkan rawatan di hospital atau klinik swasta dengan menggunakan insurans atau kad kesihatan. Anda sebenarnya tidak akan dibiayai untuk apa juga bentuk rawatan yang berkaitan jika doktor yang merawat mengesahkan bahawa simptom yang anda alami adalah akibat daripada stres, tekanan atau sebarang bentuk masalah jiwa.

Hakikatnya negara kita merupakan antara sebilangan kecil negara di dunia yang tidak menganggap dan mewajibkan penyakit jiwa sebagai salah satu penyakit kritikal atau penyakit yang perlu dilindungi oleh mana-mana insurans. Anda sebenarnya boleh mendapat rawatan yang cukup hebat dan terkini di mana-mana hospital swasta di Malaysia untuk penyakit jantung, angin ahmar, kanser dan sebagainya.

Namun jika anda mengalami masalah jiwa atau gangguan mental, tempat anda hanyalah di klinik dan wad psikiatri di hospital kerajaan. Kad insurans atau perubatan anda tidak akan boleh membantu anda mendapatkan rawatan untuk penyakit jiwa di tempat lain.

Walaupun telah lama dan telah banyak desakan dan rayuan dibuat kepada kerajaan serta menteri yang bertanggungjawab oleh pelbagai persatuan dan badan bukan kerajaan yang berkaitan, malangnya seperti biasa jawapan yang diperoleh ialah ia masih lagi dalam perhatian.

Mungkin bila lebih ramai lagi jiwa yang telah terkorban, barulah mereka akan mengambil tindakan. Ketika itu nanti ramailah pemimpin politik dan pegawai atasan berebut-rebut memberikan alasan, ulasan dan cadangan. Tidak ada yang aneh sebenarnya. Sikap reaktif dan bukan proaktif sebegini sememangnya menjadi ‘trademark’ dan budaya kita.

Pakar Perunding Perubatan
Neuro-Behavior, Kedah Medical Centre, Alor Setar

Sumber : http://www.utusan.com.my

Ahad, 10 Januari 2010

SETIAP LANGKAH BERMULA

Setiap langkah bermula
kumulai dengan kalimah
Bismillah
harap-haraplah Dia
menemaniku
dengan rahmat dan
reda-Nya
biar sinar kegemilangan
mengiringi mengekori
setiap lelahku
mengejar mencari
kebahagiaan hakiki.

Setiap langkah bermula
kumulai dengan kalimah
Bismillah
harap-haraplah kakiku
takkan lagi
tergelincir di jalan noda
dan dosa
lalu tersungkur ke jurang
jahanam.

Setiap langkah bermula
kumulai dengan kalimah
Bismillah
mengharap pepohon
keikhlasan
menyubur desa hati
biar bisa aku mendekati Dia
agar bisa aku mengenali Dia
agar bisa aku mencintai Dia
semoga tercalon menjadi
penghuni syurga.

NORIEZZSMA A GAIB
Sabah Parks


Sumber : http://www.bharian.com.my/

Sabtu, 9 Januari 2010

Pesakit mental bertambah

Gangguan fikiran yang kronik boleh mendorong seseorang melakukan tindakan di luar kebiasaan.

Oleh ROHANA MAN
rohana.man@utusan.com.my

Laporan akhbar harian Kosmo! bertarikh 27 November 2008 menyebut bahawa Negeri Sembilan mencatatkan jumlah pesakit mental, diabetes dan obesiti di kalangan orang dewasa paling tinggi di negara ini. Kes terbaru yang berlaku di negeri itu adalah di Kampung Batang Rokan, Gemencheh.

Dalam kejadian penuh tragis itu, empat nyawa melayang dipercayai angkara perbuatan kejam seorang lelaki yang merupakan anggota keluarga mangsa. Lelaki yang disyaki terlibat dalam pembunuhan tersebut, Rashidi Ismail, 34, akhirnya ditahan polis di Kuala Lumpur pada kira-kira pukul 4.05 petang, 6 Januari lalu.

Kesemua mereka yang dibunuh itu adalah bapa, adik perempuan, datuk dan nenek kepada Rashidi. Lebih menggerikan apabila kepala salah seorang mangsa dibawa ke Shah Alam untuk ditanam di tanah tinggi berdekatan sebatang parit di hujung Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam.

Meneliti kes itu, mungkinkah ia satu kebetulan atau satu kenyataan yang mengiyakan bahawa Negeri Sembilan memiliki sejumlah pesakit mental paling ramai di negara ini? Sehingga hari ini, kita masih belum tahu sama ada Rashidi mengalami masalah gangguan mental, berada di bawah pengaruh dadah atau sebab-sebab lain. Namun daripada apa yang diceritakan oleh adiknya, Siti Mariam bahawa abangnya pernah putus tunang sebanyak dua kali dan tidak bekerja boleh menjadi sebab Rashidi diserang kemurungan sehingga mendorongnya bertindak kejam terhadap keluarga sendiri.

Menurut laporan Kajian Kesihatan Kebangsaan dan Morbiditi Ketiga pada 2006, antara punca gangguan mental adalah kemurungan. Ia dijangka menjadi punca utama penyakit mental menjelang tahun 2020.

Kemurungan adalah sejenis penyakit mental yang banyak berlaku tetapi kurang didiagnosis sehinggalah pesakit menjadi teruk dan memerlukan rawatan rapi. Hampir kesemua pesakit yang murung mengalami episod mood yang rendah dan hilang minat untuk melakukan aktiviti yang digemarinya sebelum ini.

Pesakit yang dilanda kemurungan juga sering mengalami kesedihan, rasa cemas atau mudah marah, rasa rendah diri yang ketara, rasa bersalah tidak bertempat, rasa tidak berupaya, gelisah serta kesukaran menumpukan perhatian dan mungkin juga menyisihkan diri daripada masyarakat, keluarga dan rakan serta cubaan membunuh diri. Kesemua faktor itu juga boleh menjurus kepada satu perlakuan yang ganas termasuk membunuh.

Pakar psikiatri dari Kedah Medical Centre (KMC), Dr. Wan Mohd Rushdi Wan Mahmud berkata, seseorang yang berada dalam keadaan di luar sedar mampu melakukan perbuatan yang pelik, luar biasa, kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Menurutnya, mereka yang betul-betul buat (perbuatan kejam) adalah mereka yang telah lama mengalami gangguan jiwa. Biasanya, individu terbabit sudah sampai ke peringkat teruk atau psikotik sehingga kerap mengalami halusinasi.

Katanya, apabila seseorang mengalami halusinasi, mereka seolah-olah mendengar suara-suara tertentu yang sebenarnya tidak wujud.

Beliau berkata, suara-suara itu pula biasanya menyuruh mereka melakukan sesuatu yang kadangkala tidak masuk akal.

"Ada suara yang menyuruh individu terbabit membunuh diri atau mencederakan atau membunuh individu tertentu yang dianggap mengancam keselamatan mereka.

"Dalam hal ini, individu terdekat seperti ahli keluarga sama ada ibu, bapa, adik-beradik, sepupu, datuk, nenek atau saudara mara kerap menjadi mangsa," ujarnya.

Beliau menjelaskan, suara-suara 'ghaib' itu muncul daripada kepercayaan-kepercayaan salah terhadap sesuatu perkara. Misalnya, pelaku mempercayai ada orang mahu membunuhnya dan kepercayaan itu mendorongnya membunuh individu tersebut sebelum dirinya menjadi mangsa.

"Pelaku merasakan lebih baik bunuh orang itu dahulu, sebelum orang tersebut membunuh dirinya. Inilah bisikan yang sering kedengaran di telinga mereka," katanya.

Selain itu, katanya, mereka yang mengalami gangguan mental kerap merawat diri sendiri dengan mengambil dadah-dadah tertentu dan ia menjadikan gangguan yang dialami bertambah teruk.

"Penggunaan dadah seperti ice, syabu, heroin dan morfin akan menyebabkan mereka kerap membayangkan benda-benda pelik dan keadaan itu lebih mendorong mereka bertindak di luar kebiasaan,"tambahnya.

Mengulas sebab-sebab yang mendorong seseorang melakukan perbuatan di luar kebiasaan, beliau berkata, semua jenis tekanan sama ada di tempat kerja atau di rumah boleh mendorong mereka bertindak ganas.

"Lebih memburukkan keadaan jika sejarah keluarga menunjukkan ada di kalangan mereka pernah mengalami gangguan mental," katanya.

Memandangkan kes gangguan mental dilaporkan semakin meningkat, beliau mencadangkan agar rawatan terhadap gangguan mental dimasukkan ke dalam polisi insurans.

"Di negara kita, tiada perlindungan insurans untuk rawatan gangguan mental. Ini menyebabkan tidak ramai yang mahu merujuk kes mereka kepada pakar psikiatri. Saya yakin jika pihak insurans memasukkan rawatan gangguan mental di dalam polisi mereka, lebih banyak orang akan tampil mendapatkan rawatan," tambahnya.

Perunding Psikologi, Khairul Anuar Masuan berkata, terdapat dua faktor yang menyebabkan stres iaitu dalaman dan luaran.

"Faktor dalaman menyaksikan emosi seseorang tidak kuat, misalnya takut melihat darah. Jika jiwa dia kuat, melihat darah bukanlah satu masalah kepadanya.

"Faktor luaran pula melibatkan seseorang kerap memikirkan perkara yang sama berulang kali. Sehinggakan bangun tidur pada waktu pagi pun dia boleh teringatkan perkara itu. Malah, ada yang terbawa-bawa di dalam mimpi.

"Keadaan itu, jika tidak dirawat boleh membawa kepada kemurungan dan kesan daripada itu, mereka boleh berhalunisasi sehingga bertindak di luar kebiasaan," ujarnya.

Beliau mengakui jumlah pesakit yang mengalami gangguan mental semakin meningkat. Justeru, pelbagai pihak perlu bekerjasama menanganinya.

"Saya nasihatkan cuti hujung minggu digunakan dengan bijak agar segala tekanan yang bersarang di dalam diri sepanjang minggu itu dapat dilepaskan.

"Riadah bersama keluarga atau melakukan aktiviti luar yang digemari boleh membantu mengurangkan tekanan," ujarnya.

Apapun persepsi orang ramai terhadap kes terbaru yang menggemparkan itu, ia bukanlah lebih menjurus kepada siapa dan negeri mana paling banyak terlibat dalam permasalahan berkaitan kesihatan mental. Apa yang perlu dilakukan adalah masalah kesihatan terutama yang bersangkutan dengan mental hendaklah ditangani segera supaya sebarang bentuk tekanan, kemarahan, keganasan, kemurungan dan bunuh diri dapat dielakkan.

Langkah yang lebih proaktif dalam menangani masalah itu juga wajar dilakukan dari sekarang memandangkan laporan daripada Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2006 mendapati kes gangguan mental meningkat hampir enam peratus berbanding kajian yang sama dilakukan kira-kira 10 tahun lalu.

Statistik daripada kajian itu juga mendapati kira-kira tiga juta daripada 26 juta penduduk negara kita mengalami gangguan mental.

Di peringkat antarabangsa pula, kira-kira 450 juta orang di seluruh dunia dikesan mengalami gangguan mental tertentu seperti kemurungan, skizofrenia dan gangguan bipolar. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), daripada jumlah itu, kurang daripada separuh pesakit menerima rawatan yang diperlukan. WHO juga menganggarkan menjelang tahun 2020, penyakit mental dijangka mewakili 15 peratus daripada penyakit global.

Ia kini menjadi penyakit lazim dan statistik tahun 2008 menunjukkan kira-kira 400,227 pesakit mental di Malaysia mendapatkan bantuan psikiatri di hospital-hospital kerajaan. Angka itu menunjukkan peningkatan sebanyak 15.6 peratus berbanding 346,196 pesakit pada 2007.

Memandangkan masalah kesihatan mental kini menjadi sebahagian daripada cabaran era moden yang berlaku dalam masyarakat hari ini, maka pelbagai pihak perlu bersatu tenaga membantu menangani penyakit tersebut. Antara pihak yang boleh bekerjasama dalam perkara itu adalah Kementerian Kesihatan, majikan, pihak pengurusan universiti dan sekolah serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Kempen mencegah penyakit mental boleh dilakukan sepanjang tahun bukan sahaja di peringkat sekolah dan universiti, malah ia perlu melibatkan masyarakat yang tinggal di pedalaman, kampung, pinggir bandar mahupun bandar raya besar.

Di peringkat majikan sama ada sektor awam atau swasta, usaha mengesan kakitangan yang mempunyai masalah kesihatan mental, tekanan dan kemurungan perlu dilakukan dari semasa ke semasa. Janganlah sekadar kita menunggu sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia yang jatuh pada bulan Oktober setiap tahun barulah kempen dan aktiviti kesihatan mental diadakan.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye dalam satu laporan Utusan Malaysia bertarikh 23 November 2009 menekankan betapa kakitangan yang mempunyai masalah kesihatan mental, tekanan dan kemurungan di tempat kerja perlu diberi rawatan segera oleh majikan.

Menurutnya, ia perlu dilakukan segera bagi menangani produktiviti golongan pekerja di negara ini, selain mengenal pasti pekerja yang mempunyai masalah berkenaan supaya rawatan dan kaunseling dapat diberikan segera.

Beliau mencadangkan majikan agar memperkenalkan Program Bantuan Untuk Pekerja yang berfungsi mengambil langkah-langkah pencegahan serta membantu pekerja yang menghadapi masalah berkaitan kesihatan mental, tekanan dan kemurungan.

Selain itu, seorang pakar psikiatri dari Toronto, Kanada, Dr. Ted Lo berkata, kurangnya pendidikan mengenai aspek gangguan mental menjadikan mereka yang menderita gangguan tersebut enggan mengakuinya.

Keengganan seseorang untuk dikaitkan dengan penyakit mental berpunca daripada stigma sosial dalam komuniti terhadap masalah berkenaan.

"Faktor persekitaran dan perspektif budaya yang negatif terhadap gangguan mental telah menghalang ramai pesakit mendapatkan bantuan yang sewajarnya," katanya.

Justeru, stigma dan prejudis masyarakat terhadap penyakit mental perlu dihapuskan bagi menggalakkan lebih ramai pesakit menemui pakar untuk mendapatkan rawatan.

Kesimpulannya, tragedi hitam yang berlaku melibatkan kehilangan nyawa, amukan dan perbuatan membunuh diri adalah peringatan pahit dalam kehidupan kita akibat daripada penyakit yang hakikatnya boleh dirawat. Langkah-langkah menanganinya sepatutnya tidak diabaikan dalam usaha kita mencapai tahap negara maju menjelang 2020.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Jumaat, 8 Januari 2010

Kenyataan Rasmi Istana Negara Berhubung Isu Penggunaan Nama Allah

SEBAHAGIAN jamaah berhimpun mengadakan perhimpunan secara aman membantah penggunaan Kalimah Allah di dalam Herald-The Catholic Weekly selepas menunaikan solat Jumaat di perkarangan Masjid Negara, Kuala Lumpur. 8 Januari.
AHLI-AHLI Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia sepakat bagi menyampaikan deklarasi keharmonian hubungan antara agama mengenai isu pengunaan nama Allah selepas solat Jumaat di Masjid Jamek Kg. Baru, Kuala Lumpur, 8 Januari.

Adalah dimaklumkan bahawasanya Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah mengambil perhatian serius terhadap isu penggunaan kalimah Allah dalam majalah Herald-The Catholic Weekly oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Sehubungan itu Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua pihak agar sentiasa menghormati kesucian ajaran dan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan Malaysia.

Bagi menjamin suasana aman dan harmoni di antara penganut yang berlainan agama, maksud dan rujukan kalimah Allah dalam konteks umum hendaklah menepati sifat yang ditetapkan oleh Islam kerana amalan ini sekian lama telah diterima baik oleh semua penganut agama lain di Malaysia.

Baginda amat berharap agar semangat perpaduan dan hormat menghormati antara kaum dan agama yang menjadi tunjang kekuatan negara ini sentiasa dijaga.

Memandangkan pihak kerajaan sedang mengambil langkah-langkah yang perlu berbangkit daripada keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini, maka Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong juga turut menzahirkan harapan baginda agar semua pihak terutama orang Islam agar bertenang.

Baginda juga menitahkan agar semua pihak saling menghormati semua tempat ibadat tanpa mengira agama.

Istana Negara,

Kuala Lumpur

8 Januari 2010

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ANTARA GILA BEKERJA DENGAN GILA KERANA KERJA

Gila bekerja, bukan jadi gila kerana kerja
Oleh : Sri Diah

Agak menggerunkan melihat hampir 400,000 rakyat Malaysia mendapatkan rawatan sakit jiwa!

Sesekali emosi kita pernah juga terganggu. Ada banyak sebab, antaranya kecewa dan stres. Pernah juga rasa seperti ingin memandu kereta sesuka hati, mahu langgar siapa sahaja! Pernah juga rasa seperti mahu tempeleng semua orang. Atau ada juga rasa mahu tulis apa sahaja, lepaskan geram dalam hati.

Namun semua itu tidak kita lakukan. Kita tidak bertindak ikut suka hati. Kita tidak terajang orang. Kita tidak menulis menyakiti hati orang lain. Puncanya kita ada otak. Kita ada fikiran menentukan baik atau buruk.

Minda kita segera berfikir, bahawa berdosa itu hukumnya api neraka. Berdosa mungkin terlepas daripada hukum dunia. Tapi di akhirat tetap akan diadili. Alhamdulillah, dengan akal fikiran yang waras, kita layak dipanggil manusia, bukannya haiwan.

Statistik Kementerian Kesihatan pada 2009 menggerunkan kita apabila sebanyak 379,010 individu mendapat rawatan sebagai pesakit luar psikiatri di hospital kerajaan, berbanding 324,344 pada 2007. Baca sekali lagi... hampir 400,000 orang!

Jika beginilah jumlahnya kita takut hendak keluar rumah! Ini ditambah dengan pesakit-pesakit jiwa akhir-akhir ini yang semakin meningkat disebabkan pelbagai punca yang masuk akal dan yang tidak masuk akal.

Hakikatnya ramai yang sakit jiwa angkara dunia politik yang tidak menentu. Ada juga terganggu fikiran akibat ekonomi yang semakin meningkat. Mungkin juga kerana masalah-masalah rumah tangga yang bercelaru, masalah rebut takhta yang kompleks dan rebut kuasa yang menjadi-jadi,

Selain jumlah pesakit jiwa yang berdaftar di atas ada juga kita tahu pesakit-pesakit mental yang tidak berdaftar. Rasanya jumlah ini lebih ramai daripada yang berdaftar. Mereka ada di sekeliling kita dan tidak mustahil dia jiran kita di rumah mahupun di pejabat.

Ia tergolong daripada mereka yang terlibat dengan penderaan pembantu rumah, berpekik dalam Parlimen atau Dewan Rakyat. Mereka yang bersidang di tempat tidak sepatutnya. Mereka yang berketayap, lebai, berserban dan berjanggut ala tok imam tapi menentang Islam.

Kejadian penggal kepala, tikam menikam, rogol, bunuh dan bakar mayat mangsa hanya dilakukan oleh mereka yang tidak waras dan berjaya digoda syaitan laknatullah. Kita sedekahkan al-Fatihah untuk yang telah pergi. Termasuk arwah datuk saya yang menjadi mangsa pembunuhan kejam. Dan sah memang orang itu gila ketika melakukan perbuatan itu!

Saya tidak salahkan si gila yang menikam datuk saya itu. Orang kelilinglah yang patut membantu si gila supaya tidak menjadi lebih gila. Bantu dia supaya bertenang. Bantu dia supaya dia boleh keluar daripada masalahnya.

Sekarang ini ramai orang yang nampaknya lebih suka membantu orang gila menambahkan kadar gilanya. Ramai orang tidak mahu menolong memulihkan orang gila, takut kita jadi lebih gila daripada si gila itu.

Memang perkataan ‘gila’ adalah satu ungkapan hodoh. Ungkapan itu tidak sesuai digunakan untuk pesakit-pesakit jiwa dan memberi gambaran seorang yang ganas dan berbahaya. Sebabnya ada orang gila yang boleh pulih dan sembuh seperti sediakala.

Sindrom kegelisahan (neurosis), penyakit kepiluan (depression) dan psikosis biasanya akan melepaskan si tertuduh daripada dikenakan tindakan. Namun semua itu sudah terlambat setelah ada orang yang telah menjadi mangsa. Ini bermakna telah berlakunya penganiayaan dan pembunuhan.

Sebaliknya pula kita seronok melihat ramai orang yang gila dan terus gila dengan pencapaiannya. Mereka muncul dengan idea gila-gila yang memang relevan dengan kehendak semasa. Mereka terus maju meneroka pelbagai bidang yang belum ramai orang kita menjadi heronya.

Memanglah idea gila sungguh apabila dua tokoh korporat tempatan Datuk Seri Tony Fernandes dan Datuk Kamaruddin Meranum kini secara peribadi dalam proses akhir untuk membeli kelab bola sepak Liga Perdana England, West Ham. Bravo Datuk!

Dan satu lagi idea gila anak muda, SM Faisal SM Nasimudin dan syarikatnya apabila berunding dengan pengeluar kenderaan mewah dari Jerman, Brabus GmbH (Brabus) untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat pengedaran Brabus di Asia.

Nah, kalau nak betul-betul gila, berniaga dan bekerjalah bersungguh-sungguh seperti mereka!

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/