Rabu, 20 Januari 2010

Program pembangunan profesional tingkat martabat, baiki kualiti guru

Oleh Norsayyidatina Che Rozubi
rencanabh@bharian.com.my

PENGUMUMAN Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kerajaan sedar wujud keperluan mendesak untuk meningkatkan kualiti guru dengan pesat menerusi program pembangunan profesional yang berterusan adalah berita gembira dan ditunggu-tunggu oleh seluruh warga pendidik di Malaysia. Kenyataan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran itu meniupkan semangat baru untuk warga pendidik memajukan diri mereka.

Antara strategi dirangka untuk memartabatkan profesion perguruan ialah meningkatkan kualiti guru dengan menaikkan taraf semua maktab perguruan kepada institut pendidikan guru yang menawarkan program pada peringkat ijazah. Di samping itu, kementerian akan memperketat syarat pemilihan guru pelatih, menambah baik persekitaran pengajaran, menaikkan imej, menanam harga diri dan semangat tinggi di kalangan guru serta memberi sokongan berterusan kepada profesion perguruan.

Strategi ini juga bertujuan memberi galakan kepada individu yang berkebolehan dan berbakat menyertai profesion perguruan dan melihat bidang ini mempunyai prospek kerjaya menarik. Segala strategi ini dijangka mampu memberi motivasi dan galakan kepada guru untuk lebih bekerja keras dalam menjalankan amanah mendidik anak bangsa yang menjadi pewaris masa depan negara.

Selain itu, Kementerian Pelajaran akan menyediakan banyak peluang peningkatan kerjaya, termasuk peluang kenaikan pangkat kepada guru dan pengetua cemerlang sebagai insentif untuk terus meningkatkan pencapaian, sekali gus membolehkan pengajaran dan pembelajaran lebih baik. Ini seharusnya dilihat sebagai usaha dan perkembangan positif dalam memartabatkan profesion perguruan kerana program pembangunan profesional yang berterusan mensasarkan kepada matlamat mempertingkatkan kompetensi, ilmu pengetahuan serta kebolehan guru.

Profesion perguruan sentiasa dilabelkan sebagai satu kerjaya mudah, tidak mencabar, masa bertugas yang pendek, banyak cuti dan sebagainya. Kenapa kita sering mendengar persatuan perguruan meminta pelbagai tuntutan daripada kerajaan, mengapa kita sering membaca luahan guru yang tidak berpuas hati dengan beban tugas yang pelbagai. Jawapannya cukup mudah kerana guru adalah satu profesion yang dipertanggungjawabkan dengan beban tugas pelbagai. Pengalaman dan pemerhatian mendapati guru bukan saja memainkan peranan untuk mengajar dan mendidik, malah lebih daripada itu.

Guru memainkan peranan yang pelbagai selain penekanan bidang akademik pelajar, guru juga perlu memastikan kokurikulum pelajar juga seiring dengan pencapaian akademik. Itu tidak lagi termasuk tugas pengurusan dan pentadbiran contohnya mesyuarat tidak kira masa termasuk pada hari minggu, mengiringi pelajar untuk projek sekolah ke peringkat daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

Individu yang terbabit dalam bidang perguruan antara warga Malaysia yang berkebolehan, cemerlang akademik, berkelulusan tinggi, berbakat dan berjaya dalam pelbagai aspek. Namun, mengapa individu yang cemerlang dan menjadi aset berguna ini memilih profesion perguruan berbanding profesion lain yang lebih hebat seperti perubatan, kejuruteraan, perakaunan, perundangan dan sebagainya. Individu ini berjiwa besar dan mencintai anak bangsa dan melihat bidang perguruan sebagai wadah untuk mereka mendidik anak bangsa dengan ilmu dan pengetahuan yang dimiliki.

Walaupun ganjaran dan pendapatan diperoleh tidak memadai dengan tanggungjawab dipikul dan ilmu dimiliki, golongan guru tetap menjalankan amanah diberikan sebaik mungkin. Kenapa tidak kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran yang menjadi payung kepada seluruh guru di Malaysia mempertimbangkan sedikit ganjaran atau insentif khas kepada guru untuk menghargai pengorbanan mereka selama ini mendidik dan meluangkan masa tanpa berkira mendidik anak kita sehingga berjaya menjadi manusia berguna.

Guru tidak pernah mengharapkan sebarang ganjaran apabila melihat kejayaan anak kita, cukuplah sekadar sumbangan guru dihargai dan diingati. Namun, masyarakat sering tidak meletakkan guru pada tempat sepatutnya dengan segala penat lelah yang mereka sumbangkan.

Sekiranya profesion perguruan tidak dimartabatkan pada tempat sepatutnya pada hari ini, kesannya pada masa akan datang bidang perguruan tidak lagi dipandang tinggi dan kurang penyertaan golongan profesional kerana ganjaran tidak setimpal dengan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan, kemahiran dan ilmu dimiliki mereka.

Ganjaran bukanlah isu utama kepada guru, namun tanggungjawab mereka juga bertambah seiring dengan kemajuan negara dalam membentuk modal insan berkualiti. Oleh itu, kerajaan mungkin boleh mempertimbangkan cadangan untuk memastikan profesion guru di Malaysia mencapai standard kualiti yang diingini, menjadi prospek kerjaya yang menarik, memberi motivasi kepada guru untuk terus menjalankan amanah dan memartabatkan profesion guru di mata masyarakat Malaysia.

Penulis ialah pelajar sarjana Bimbingan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan UKM

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Segerabak Membaca pecah tradisi

AINON (kiri) dan Izwan (dua dari kiri) di samping sebahagian daripada 100 peserta yang berhubung melalui Facebook bagi menjayakan program Baca@LRT.

Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim
rashiqah@bharian.com.my

Baca@LRT cetus pembaharuan dan hubungkan peminat dan pembaca tegar

KEMPEN Baca@LRT: Segerabak Membaca di Terminal Putra, Kuala Lumpur, Sabtu lalu, menyaksikan penyertaan lebih 100 peminat buku dan pembaca tegar, sekali gus mencapai sasaran penganjur yang mensasarkan kehadiran 70 peserta selain membuktikan kepentingan internet dalam menghubungkan pelbagai kumpulan sosial pada satu masa.

Ketua Operasinya, Izwan Wahab, berkata penyertaan orang ramai khususnya golongan muda yang membabitkan pelajar universiti, membuktikan semangat memupuk budaya membaca dan celik minda di kalangan masyarakat masih membara, apatah lagi melalui kempen yang dilaksanakan secara santai dan menepati cita rasa orang muda.

“Justeru, kami akan menjadikan program ini sebagai acara bulanan demi memastikan matlamat utama untuk menyemai sikap membaca di tempat awam khususnya di kalangan pengguna tren akan terus kekal. Seperti biasa program ini hanya mengambil masa yang singkat, tetapi pengisiannya sampai kepada masyarakat,” katanya kepada Sastera.

Beliau mendapati kempen yang bermula tepat jam 10 pagi di Terminal Putra Transit Aliran Ringan (LRT) Gombak dan mengambil masa 45 minit sebelum berkumpul di Terminal Putra LRT Kelana Jaya menyaksikan orang ramai yang tidak mengetahui mengenai kempen itu berasa kurang selesa apabila memasuki LRT tanpa bahan bacaan di tangan.

“Jika sebelum ini tabiat membaca buku dalam tren dianggap janggal, saya pasti senario ini pasti berubah. Buktinya, saya diberitahu ada pelajar sekolah yang memohon maaf kerana tidak membawa buku dan rasa bersalah apabila semua orang membaca, manakala ada yang terus menerus memandang SMS seolah-olah membaca sehingga tiba ke destinasi dituju.

“Kita ingin melihat minat membaca di kalangan rakyat subur sehingga menjadikannya sebagai tabiat ketika menaiki LRT, bas dan kereta api seperti yang berlaku di negara maju sejak lama dulu. Pada masa sama, perpustakaan awam perlu diperkasakan agar dapat menarik minat ramai terutama pelajar,” ujarnya.

Pengerusi Kumpulan PTS, Ainon Mohd yang juga penasihat kempen, menganggap kejayaan kempen berkenaan sebagai manifestasi ekonomi baru iaitu kebijaksanaan tiga anak muda menjayakan kempen dengan hanya menggunakan Facebook.

“Kempen ini tidak sekadar menyemai semangat membaca di kalangan masyarakat, malahan mendekatkan pembaca pelbagai latar belakang secara tidak langsung. Kebanyakan yang terbabit dalam kempen ini tidak segan dan kekok ketika berkumpul, bahkan mereka teruja melihat rakan baru yang selama ini bersifat virtual di Facebook,” katanya.

Ainon yakin pembacaan akan membawa masyarakat selangkah ke hadapan, menghubungkan kumpulan sosial, mewujudkan semangat setiakawan dan celik minda, selain meningkatkan kemahiran dalam menghadapi saingan pada peringkat global.

Penulis e-buku, Harlym Yeo, pula menganggap langkah mengadakan kempen Baca@LRT sebagai satu cara untuk menarik generasi muda menjadikan pembacaan sebagai tabiat harian sama ada di rumah atau di tempat awam, bukan sekadar mengisi masa lapang.

“Pendidik dan pustakawan gelisah kerana perpustakaan semakin kurang dijejaki pelajar dan generasi muda. Ini bukan bermakna mereka tidak mencari bahan atau membuat rujukan, tetapi kerana tiada tarikan baru. Mereka lebih cenderung melayari pustaka maya menerusi internet,” katanya.

Harlym melihat program sulung itu berjaya hasil penggunaan Facebook sebagai bahantara utama dalam mendokong gerakan terbabit berbanding sesetengah kempen membaca yang dilaksanakan secara formal dan sukar mendekati generasi muda yang sentiasa inginkan pembaharuan.

Eksekutif Komunikasi Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), Norhasydah Ayub, berkata fungsi Facebook sebagai wahana sosial yang menjalinkan peminat buku sesuai dengan perkembangan semasa yang menuntut perubahan dalam pelaksanaan kempen membaca.

“Menariknya, program santai ini sehingga bukan saja tidak membataskan genre bahan bacaan yang hendak dibaca, malahan memberi peluang kepada orang ramai dan penerbit buku berkongsi pengalaman dan memperkenalkan bahan bacaan ilmiah kepada mereka,” katanya

Sumber : http: //www.bharian.com.my/

1,473 calon berjaya sertai KPLI sesi 2010

Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my

60,000 permohonan diterima kementerian

KUALA LUMPUR: Hanya 1,473 calon daripada kira-kira 60,000 permohonan graduan di seluruh negara, terpilih untuk memasuki Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI) Ambilan Januari 2010.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan), Datuk Asariah Mior Shaharuddin, berkata semua calon ditawarkan mengikuti 17 bidang pengajian di 27 Institut Pendidikan Guru (IPG).

Beliau berkata, jumlah kemasukan menurun tetapi mengikut unjuran keperluan sekolah di bawah Kementerian Pelajaran.

Selain itu katanya, syarat pengambilan turut diperketat dengan menetapkan calon mesti memiliki kelulusan ijazah pengajian yang sesuai dengan kursus.

"Berbanding dulu kementerian tidak menekankan bidang pengkhususan, tetapi sekarang calon yang hendak mengajar Matematik mesti memiliki ijazah dalam bidang itu.

"KPLI menekankan aspek pedagogi, justeru kita berharap calon sudah mendapat ilmu dalam bidang mata pelajaran yang mereka dikehendaki mengajar ketika mengikuti pengajian ijazah sarjana muda.

"Selain itu, kementerian juga membuat penambahbaikan dengan mengambil kira tempat asal calon yang memohon. Sebagai contoh jika kementerian ada keperluan guru untuk Sabah dan Sarawak, kita akan beri keutamaan kepada calon tempatan," katanya.

Katanya selepas mewakili Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom merasmikan Minggu Pengurusan Pelajar Baru KPLI Ambilan Januari 2010 di IPG Kampus Ilmu Khas di sini, semalam.

Katanya, kementerian sedang berusaha meningkatkan jumlah pengambilan calon lelaki bagi menyertai profesion keguruan.

Ketika mengulas dakwaan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) bahawa ada segelintir guru besar menyalahgunakan kuasa untuk memindahkan guru yang 'tidak sebulu' Asariah berkata, beliau belum mendapat sebarang laporan rasmi tetapi guru terbabit boleh merujuk kepada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) masing-masing.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Selasa, 19 Januari 2010

Sudut Pidato segarkan idealisme, kepemimpinan mahasiswa

Barrack Obama, antara pemimpin dunia yang petah berpidato.

NEGARA yang hebat dan maju pasti menyiapkan pelapis yang memiliki kekuatan diperlukan untuk melayakkan mereka menggantikan pentadbiran negara suatu hari nanti.

Perkara yang dapat menjamin kepada pembentukan generasi seperti ini pasti melalui keampuhan sistem pendidikan yang senantiasa diperbaiki berdasarkan kesesuaian keadaan semasa di samping penekanan terhadap pembangunan intelek, fizikal, rohani dan psikologi.

Kekuatan yang perlu dimiliki mereka tidak hanya terbatas kepada ilmu yang dimiliki ketika menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) bahkan turut disokong dengan penyertaan dalam aktiviti kemasyarakatan.

Hal ini bukti mereka mampu memimpin rakyat kerana bukan saja memiliki ilmu bahkan mudah bergaul dengan masyarakat iaitu nilai tambah yang wajar ada dalam generasi pelapis.

Mereka tidak lagi hanya pintar mengungkap teori atau falsafah bahkan mahir menterjemahkan kepakaran dengan menyalurkan ilmu kepada masyarakat.

Generasi kini juga perlu diasuh untuk memiliki kematangan berfikir serta mampu mengungkap idea baru dan segar bagi membantu kerajaan serta masyarakat memperbaiki polisi dan sosiopolitik negara.

Hal ini perlu dititikberatkan, justeru mahasiswa sebagai generasi muda dan penuh idealisme ketika melalui proses kematangan, membuat keputusan dan berfikir. Mereka memerlukan platform untuk bersama teman seperjuangan menilai idea bagi memperhalusinya lagi. Keadaan ini membantu mengembangkan idealisme mereka kepada bidang lebih luas dan pelbagai. Idea yang terkumpul selepas perbincangan perlu dipasarkan dalam akhbar dan majalah supaya dinilai dan dikritik selain dijadikan panduan masyarakat.

Evolusi ini andai kerap dilakukan mampu membentuk paradigma berfikir yang segar dan matang dalam persekitaran masyarakat Malaysia. Universiti perlu segera menyedari potensi siswa dengan menyediakan infrastruktur bersesuaian agar perbincangan dapat dilakukan dalam keadaan kondusif dan bermotivasi.

Perbincangan lebih bermakna jika dihadiri pensyarah untuk memperbaiki kekurangan idea. Siswa juga terlalu meminjam kata pemikir terkemuka, sebaliknya mengguna akal bagi mengungkapkan idea yang asli dalam perbincangan.

Kemampuan membentuk idea dan gaya pemikiran tersendiri membolehkan mereka mengasah potensi untuk menjadi pemikir unggul dan bertaraf global hasil keluaran IPT tempatan.

Sudut Pidato mampu menyegarkan idealisme mahasiswa, sekali gus membangkitkan jati diri dan kematangan akal budi untuk membuktikan kesungguhan membantu kerajaan menjayakan pembangunan.

MOHD ARIF JUHANI ABDUL RAHMAN,
Universiti Utara Malaysia.

Sumber : http: //www.bharian.com.my/

Hadiah Sastera Perdana Malaysia bernafas kembali

"Mungkin panel melihat buku itu mengandung catatan penderitaan saya dan rakan yang menerima seksaan mental serta fizikal, sekali gus menjadikannya sebagai karya yang ditulis daripada pengalaman, hati dan perasaan saya," Said Zahari, Tokoh wartawan.

Oleh Nazmi Yaakub
nazmi@bharian.com.my

Pemenang gabungan penulis veteran dan muda selain ada kejutan

HADIAH Sastera Perdana Malaysia (HSPM) Ke-18 di Kuala Lumpur, semalam, memberi 'kejutan' kepada khalayak sastera kerana bukan saja menggabungkan HSPM 2004/2005 dan HSPM 2006/2007, bahkan memperlihatkan penguasaan pengarang baru terutama Kategori Buku.

Malah, ada pengarang yang menganggapnya sebagai kejutan apabila karya mereka diiktiraf dalam HSPM selepas buku sebelumnya tidak berjaya memenangi hadiah sastera paling berprestij di negara ini.


“Adalah aneh sekiranya buku Indonesia berada di pasaran kita, tetapi buku kita sukar untuk menembusi negara jiran dan sekiranya ada halangan bersifat kenegaraan, kita perlu berusaha merentas jalan untuk memasarkannya ke sana,” katanya yang pernah memenangi Anugerah Bakat Muda Seni Teater pada Anugerah Seni Negara 2006.

Kejutan sama turut diterima tokoh wartawan, Said Zahari, apabila autobiografi keduanya, Dalam Ribuan Mimpi Gelisah: Memoir Said Zahari, mendapat pengiktirafan, meskipun siri pertama triloginya, Meniti Laut Gelora, yang disifatkannya lebih menyeluruh gagal meraih hadiah berkenaan.

“Penghargaan itu menjadi antara dorongan untuk saya menyiapkan siri terakhir dalam trilogi ini dan insya-Allah akan diterbitkan awal tahun depan,” katanya yang kini dilantik sebagai Karyawan Tamu, Universiti Kebangsaan Malaysia

Dua novel Faisal Tehrani dinobatkan panel HSPM Ke-18 untuk mengungguli Kategori Buku Genre Novel melalui Bedar Sukma Bisu yang melayakkannya membawa pulang wang tunai RM10,000 dan Kategori Buku Genre Novel Remaja lewat Manikam Kalbu (RM5,000).

Kepengarangan Faisal turut diiktiraf dalam genre esei, kritikan dan kajian sastera apabila karya ecerannya, Pengabaian Ilmu dalam Karya Sastera, turut dipilih untuk memenangi genre berkenaan, sekali gus melayakkannya menerima wang tunai RM1,000.

HSPM Ke-18 turut memberi kejutan apabila penulis yang secara relatifnya masih muda, Mohd Izuddin Mahamad Nazir atau lebih dikenali sebagai Ilham Hamdani, meraih HSPM 2006/2007 lewat kumpulan cerpen, Mekar Sakura di Mimbar Cinta.

Kemenangan Ilham Hamdani itu sudah tentu mengingatkan khalayak sastera kepada Azman Husin apabila kumpulan cerpennya, Dongeng Pasca Merdeka memenangi HSPM 1998/99 dalam kategori dan genre yang sama.

Genre Kumpulan Drama turut dikuasai pengarang muda apabila Siti Jasmina Ibrahim meraihnya lewat Hikayat Qaziq yang sebelum ini pernah memenangi hadiah pertama Sayembara Mengarang Sempena Perayaan Jubli Emas DBP Kategori Skrip Drama Pentas pada 2007.

Wartawan Berita Harian, Hassan Omar, pula meneruskan penguasaan pengarang muda apabila novel kanak-kanaknya, Azrul Wira anak Laut memenangi HSPM 2006/2007 Kategori Buku Kanak-kanak Genre Novel dan melayakkannya membawa pulang RM5,000.

Bagaimanapun, pengarang mapan dan sarjana, tetap membuktikan keutuhan karya mereka apabila Prof Dr Abdul Rahman Napiah (Mana Sikana) memenangi Kategori Kumpulan Esei dan Kritikan Sastera HSPM 2006/2007 melalui Drama Melayu Tradisional Moden dan Pascamoden.

Siti Zaleha Hashim pula memenangi Kategori Kumpulan Puisi, Kristal di Laut Bulan, manakala autobiografi tokoh wartawan, Said Zahari, Dalam Ribuan Mimpi Gelisah: Memoir Said Zahari diperakukan panel untuk mengungguli kategori berkenaan dan mereka membawa pulang RM10,000.

Tiga cerpen dalam Berita Minggu mencuri tumpuan panel untuk diangkat sebagai Pemenang HSPM 2006/2007 untuk Kategori Eceran Genre Cerpen, iaitu Jerebu dalam Blog Mak Andeh karya Fudzail; Che Soleh Rial (A Rahman CM) dan Lintah (SN Datuk Dr Anwar Ridhwan), masing-masing menerima RM1,000.

Tujuh lagi cerpen yang turut disenaraikan ialah Cinta Puncak Sagarmatha oleh Rozais al-Anamy; Pusaka Cendana (Nisah Haron); Hadiah untuk Cikgu (Jais Sahok); Syair Asahab Mel (Siti Zaleha); Namaku Madam Sara (Muhd Mansur Abdullah); Bila Bulan Muncul (Asmidar Alias) dan Nilai Cinta Kami (Azizi Abdullah).

Kemenangan dalam Genre Puisi turut membabitkan dua puisi yang tersiar dalam Berita Minggu apabila Sumpah Setia Tanjung Piai karya Nisah Haron dan Terlalu (Shapiai Mohd Ramly) memenanginya untuk membawa pulang RM1,000.

Puisi lain yang tersenarai ialah Diamnya Malam karya (Nahmar Jamil); Catatan Panjang tentang Suami Skizo, Isteri Skizofrenia, Wanita Skizofrenik (Zaiton Ajamain); Hujung dan Pangkal (Abizai); Malam Rosiah (SN Datuk (Dr) A Samad Said); Mereka yang Mendaki Maqam Percintaan (Suhaimi Muhammad); Pohon Bahasa Perkasa (Raja Rajeswary Seetha Raman); Sang Pelakon (Nimoiz TY) dan Wanita dan Laut (Mahaya Mohd Yassin).

Selain Faisal Tehrani yang memenangi Genre Esei/Kritikan/Kajian Sastera, hadiah itu dimenangi oleh nama besar dalam dunia akademik dan kritikan sastera, A Wahab Hamzah, Prof Dr Jelani Harun, Prof Madya Dr Siti Hajar Che Man dan Mohamad Saleeh Rahamad.

Secara keseluruhan taburan pemenang dalam HSPM 2005/2006 lebih seimbang dan menyeluruh apabila ada juga karya dalam media massa lain turut dipilih sebagai pemenang, berbanding HSPM 2004/2005 yang dimonopoli majalah terbitan DBP.

Pada masa sama, DBP perlu mengambil tindakan proaktif untuk memastikan ketiadaan pemenang bagi beberapa genre khususnya buku remaja dan kanak-kanak tidak berulang seperti menganjurkan bengkel penulisan atau menyediakan dana penerbitan buku genre berkenaan.

Faisal ketika ditanya mengenai kejayaannya itu, menyifatkan penghargaan itu dapat membangkitkan moral dan memberi motivasi serta dorongan kepadanya untuk berkarya terutama sejak akhir-akhir ini, beliau berasa tersisih dengan kontroversi yang melanda karyanya.

“Alhamdulillah dengan kemenangan dua novel saya itu yang sebelum ini memenangi Sayembara Mengarang Sempena Perayaan Jubli Emas DBP selepas beberapa buku saya seperti 1515 tidak dinilai dengan mendalam sebelum ini,” katanya kepada Sastera.

Beliau berharap buku yang memenangi HSPM 2006/2007 bukan saja terus diterbit dan dipasarkan dengan lebih meluas, bahkan ia turut dibicarakan pada program sastera.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Ahad, 17 Januari 2010

Nasib malang buku bahasa Melayu

oleh : RAMLI ABDUL HALIM

INDUSTRI penerbitan dalam bahasa Melayu mampu bersaing dengan penerbitan dalam bahasa Inggeris bagi merebut peluang dagang jika 300 juta penutur bahasa Melayu mampu dieksploitasi.

Berdasarkan fakta terkini, bahasa Melayu menduduki tangga keempat selepas bahasa Mandarin, Inggeris dan Urdu/Hindi dari segi jumlah penutur. Maknanya jumlah penutur Melayu mengatasi jumlah penutur banyak bahasa lain.

Dengan jumlah penutur bahasa Melayu yang begitu besar jumlahnya, sepatutnya pemain dalam industri penerbitan bercetak atau elektronik mempunyai peluang yang sangat menjanjikan untuk jadi jutawan dengan mudah.

Seandainya satu peratus daripada 300 juta penutur bahasa Melayu menjadi pelanggan sesebuah akhbar harian, akhbar mingguan, majalah bulanan atau buku yang diterbitkan dalam bahasa Melayu, maknanya jumlah jualan untuk setiap bahan akan berjumlah tiga juta sehari, seminggu atau sebulan.

Sekiranya keuntungan yang diperoleh dari tiga juta jualan bagi setiap bahan penerbitan, keuntungan bersihnya diperoleh sebanyak 20 sen sahaja, maka jumlah perolehan untuk setiap bahan adalah sebanyak RM600,000, satu jumlah perolehan yang sangat lumayan bagi pemain industri penerbitan, terutama dari kalangan penulis di negara ini.

Hakikatnya di Malaysia, penulis yang berjaya menghasilkan 10 buah buku pun belum tentu hasilnya boleh mencecah RM600,000, malah untuk dapatkan RM60,000 atau RM16,000 pun belum tentu. Ini kerana ada penulis yang bukunya telah diterbitkan bertahun lamanya belum terima sesen pun bayaran.

Kalau bukan penulisnya Shariff Putera dari Terengganu, yang beritahu kepada Ketua Pengarah Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP), Datuk Termuzi Abdul Aziz barangkali jika tujuh kali mati dan tujuh kali hidup pun seseorang tidak akan ada yang percaya dengan apa yang diluahkan oleh penulis Terengganu itu.

Shariff Putera - seorang pendidik dan penulis mapan mendakwa bukunya yang diterbitkan sebanyak 5,000 naskah oleh DBP hanya terjual senaskah sahaja setelah bukunya itu beredar di pasaran.

Malang

Untuk negara yang rakyatnya berjumlah sekitar 28 juta, dengan jumlah jualan akhbar-akhbar hariannya tidak sampai pun sejuta naskah adalah sesuatu yang sangat malang, walhal kalau diambil kira senaskah akhbar dibaca oleh lima orang, seandainya sebanyak sejuta naskah surat khabar harian terjual, maknanya jumlah pembaca baru pada angka lima juta daripada 28 juta rakyat.

Saya juga menemukan fakta rambang bahawa bahasa Melayu adalah sejenis bahasa Melayu-Polynesia di bawah keluarga bahasa Austronesia yang telah digunakan di wilayah Malaysia-Indonesia dan kawasan persekitarannya lebih 1,000 tahun lalu. Ia telah mengalami perkembangan tamadun sesuai dengan pembinaan tamadun oleh penuturnya.

Bagaimanapun kecenderungan terhadap pembacaan bahan bercetak yang diterbitkan dalam bahasa Melayu masih rendah, menjadikan industri penerbitan bahan-bahan bercetak dalam bahasa Melayu dan pelaburan dalam industri berkenaan paling berisiko, Penutur bahasa Melayu kelas berilmu di Malaysia lebih memilih bahan bacaan dalam bahasa Inggeris.

Tebal

Semakin ilmiah buku yang diterbitkan dengan jumlah halaman yang lebih tebal, maka semakin sukarlah sesebuah buku yang diterbitkan dalam bahasa Melayu dipasarkan. Kalau pun ada peminat sedikit sebanyak, hanyalah bagi buku yang bersifat bacaan ringan yang diselitkan dengan unsur-unsur lucah dan tahyul.

Kerana itu buku-buku atau majalah ringan serta tahyul yang diterbitkan oleh syarikat penerbitan tertentu lebih laris jualannya berbanding dengan buku dan majalah terbitan DBP.

Tidak hairanlah kalau industri penerbitan bahan bercetak mahu pun elektronik jauh lebih ke depan di Indonesia berbanding dengan di Malaysia. Bagaimanapun jika mahu dibandingkan dengan bahan-bahan bercetak yang diterbitkan dalam bahasa Inggeris, jumlah bahan terbitan bercetak dalam bahasa Melayu Indonesia jauh di belakang.

Bahasa Melayu pada waktu ini adalah bahasa rasmi bagi negara Malaysia, Indonesia dan Brunei serta satu daripada bahasa rasmi Singapura.

Di Indonesia bahasa Melayu kini dipanggil Bahasa Indonesia dan di Malaysia, ia dipanggil Bahasa Malaysia. Ia sedang diancam oleh keyakinan di kalangan pemimpin Melayu terhadap keupayaannya untuk menjadi bahasa ilmu.

Selain daripada keempat-empat negara yang disebutkan, bahasa Melayu juga dituturkan oleh penduduk-penduduk Melayu di Selatan Thai, Selatan Filipina, Kemboja, Vietnam, Sri Lanka, Burma dan Afrika Selatan. Di Sri Lanka sahaja 70,000 orang mampu bertutur dalam bahasa Melayu manakala di China terdapat siaran radio dalam Bahasa Melayu, membuktikan bilangan yang agak besar penduduknya yang faham berbahasa Melayu.

Bahasa Melayu juga diajar di University of Ohio di Amerika Syarikat, Leiden University di Belanda, Beijing Foreign Studies di China, Victoria University of Well New Zealand dan di Hankuk University, Korea. Penduduk rantau Balkan juga ada yang boleh berbahasa Melayu.

Anak Melayu juga sudah berjaya ke angkasa lepas di samping melalui Petronas, anak-anak Melayu berjaya memberikan saingan hebat dalam industri petroleum dunia. Bagaimanapun dalam bidang penyebaran ilmu dan maklumat, khususnya dalam dalam bidang penerbitan bercetak, Melayu melalui penggunaan bahasa Melayu masih gagal jadi hebat.

Ini adalah kerana tidak ada usaha dan langkah proaktif dilakukan bagi memastikan 300 juta atau setidak-tidak sebilangan besar daripada penutur bahasa Melayu menjadi pelanggan dan pembaca akhbar harian, akhbar mingguan, majalah dan buku-buku yang ditulis dan diterbitkan dalam bahasa Melayu.

Sumber : http: //www.utusan.com.my/

Sabtu, 16 Januari 2010

Pelajar rindu pujian guru

Oleh ANUAR AHMAD

Penulis pernah ditanya oleh pelajar di dalam dewan kuliah, apakah asas penting di dalam membina hubungan guru dan pelajar di dalam sekolah atau bilik darjah dan bagaimanakah bentuk hubungan guru-pelajar yang seharusnya wujud di persekitaran sekolah dan bilik darjah.

Jawapan penulis ialah tahap hubungan kasih sayang. Elemen ini adalah asas dan nyawa kepada hubungan guru-murid terutama di dalam pendidikan sekolah rendah. Di peringkat sekolah menengah dan pendidikan tinggi, selain kasih sayang antara guru dan pelajar, tumpuan adalah pembinaan tanggungjawab merupakan elemen penting sebagai asas hubungan antara guru dan pelajar.

Jadi bagaimana kasih sayang ini dilaksanakan? Jawapannya dengan sentiasa memberikan pujian-pujian yang ikhlas dan tepat kepada para pelajar. Tentu sahaja guru juga boleh menerima pujian daripada pelajarnya.

Maka ucapan 'terima kasih', 'tahniah', 'bagus', 'saya bangga' dan pujian seumpamanya patut diamalkan secara ikhlas dan berterusan di sekolah. Kajian pendidikan membuktikan bahawa pujian merupakan kaedah utama dan berkesan untuk membina hubungan kasih sayang di sekolah.

Bagaimana jika pelajar melakukan kesalahan atau kesilapan. Maka mereka seharusnya diberikan nasihat yang tepat dan jelas oleh para guru. Apa yang pasti, memukul sesuka hati bukanlah amalan pendidikan yang sesuai untuk pendidikan di peringkat sekolah rendah.

Sedih rasanya melihat bagaimana ada guru yang sanggup menyakiti tubuh anak-anak kecil yang kononnya dikatakan nakal, tidak mematuhi arahan atau membuat bising di dalam bilik darjah.

Sebenarnya, atas apa jua alasan guru tersebut, hukuman tidak sekali-kali boleh dilaksanakan sehingga membawa kesakitan kepada pelajar. Amalan 'memukul' dengan tujuan menyakiti tubuh anak-anak kecil terutama di bahagian badan yang sensitif dan lemah tidak pernah dianjurkan oleh mana-mana agama dan kepercayaan.

Menyakiti pelajar seperti deraan adalah sesuatu yang keji dan tidak berperi-kemanusiaan. Biarlah apa pun kesalahan anak-anak di peringkat sekolah rendah, hukumannya sama sekali tidaklah boleh sampai kepada memukul, menumbuk atau menampar muka dan badan pelajar.

Saintis terkenal, Albert Einstein pernah berkata bahawa makna kepada pendidikan ialah sesuatu yang masih diingati oleh seseorang apabila beliau sudah terlupa tentang semuanya tentang zaman persekolahannya dahulu.

Maka apa yang masih terus diamalkan atau digunakan sebagai panduan hidup itulah ilmu hasil didikan daripada bekas guru-gurunya. Selama belasan tahun di sekolah, biasanya lebih banyak yang dilupakan oleh seseorang dan sangat sedikit sahaja yang diingati.

Penulis sendiri sudah tidak dapat mengingati banyak peristiwa semasa bersekolah dahulu secara jelas, tetapi masih dapat mengingati beberapa perkara baik semasa di sekolah dahulu.

Antara perkara yang tidak pernah dilupakan ialah pujian yang diberikan oleh beberapa orang guru kepada penulis. Pujian mereka bukan sahaja menyebabkan jasa dan nama mereka terus menjadi kenangan abadi penulis tetapi juga pujian ini banyak membina semangat dan keinginan penulis untuk cemerlang dalam pelajaran.

Sebab itu penulis sangat tidak percaya bahawa pujian boleh merosakkan pelajar. Mitos ini masih wujud di kalangan ramai guru-guru yang mengajar. Pada mereka, pujian akan menyebabkan seseorang atau sekumpulan pelajar menjadi bongkak, lupa diri dan akhirnya akan merosakkan pembelajaran mereka.

Maka tindakan seperti ugutan, memarahi serta memberikan amaran dikatakan lebih berkesan untuk memastikan pelajar belajar serta berjaya di dalam pelajaran mereka.

Mereka mungkin lupa bahawa pujian secara psikologinya jika dilakukan dengan cara dan gaya yang betul akan menjadi kaedah yang paling berkesan untuk mempengaruhi tindakan, pemikiran serta sikap pelajar.

Ramuan yang betul dalam memberikan pujian seperti pemilihan bahasa yang tepat, kesesuaian masanya dan dizahirkan dengan ikhlas dari hati guru akan membuatkan tingkah laku seseorang pelajar dapat ditingkatkan atau diperbaiki ke arah yang lebih positif.

Kadang kala pujian juga boleh menjadi tidak berkesan walaupun dilakukan berulang kali oleh guru. Sebagai contoh, memuji pelajar selepas beberapa lama perbuatan positif dilakukan tidak akan mengembangkan tingkah laku positif pelajar.

Misalnya adalah sangat berkesan jika guru memberikan pujian selepas seseorang pelajar berjaya menjawab dengan betul berbanding memberikan pujian beberapa lama selepas pelajar memberikan jawapannya.

Di luar kelas, adalah sangat berkesan guru memberikan pujian sebaik sahaja pelajar melakukan perkara yang baik misalnya membuang sampah ke dalam tong sampah atau pelajar berbaris semasa membeli makanan di kantin sekolah berbanding memberikan pujian secara umum semasa perhimpunan lama selepas tingkah lalu tersebut di lakukan.

Pujian yang tidak berkesan juga boleh berlaku apabila guru memberikan pujian yang berbentuk umum atau generalisasi sahaja kepada pelajar. Pujian seperti 'awak baik', 'awak pandai' atau 'awak bersih', sebenarnya kurang memberikan kesan kepada pelajar. Pujian seharusnya berbentuk khusus atau spesifik. Misalnya "Cikgu bangga dengan pencapaian markah kamu dalam ujian kali ini".

Ada juga pujian yang boleh dilakukan dengan menulis sesuatu di dalam buku atau kertas jawapan pelajar yang dapat dibaca atau difahami oleh pelajar tersebut sebagai satu pujian yang khususnya ditujukan kepada kebolehan atau pencapaiannya sama ada yang bersifat akademik, atau kerana tingkah laku atau sikap yang baik.

Malah lebih buruk lagi jika ramuannya tidak betul, pujian bukan sahaja boleh menjadi tidak berkesan tetapi boleh menyebabkan tingkah laku seseorang pelajar menjadi lebih buruk dari sebelumnya.

Misalnya apabila seseorang pelajar melakukan perkara yang baik dan diberikan pujian oleh guru tetapi dalam bentuk sindiran maka pujian seperti ini akan menyedihkan pelajar.

Sebagai contoh apabila seorang guru berkata kepada pelajarnya "awak ini bukanlah pandai sangat tetapi mungkin nasib anda baik mendapat markah yang tinggi dalam ujian ini kali ini, tahniahlah untuk awak".

Pujian seperti sindiran juga boleh berlaku dalam bentuk perbandingan, Misalnya, "tahniah kerana awak berjaya mendapat markah yang baik tetapi nampaknya markah awak masih rendah berbanding kawan awak si X". Usaha lagi nanti". Atau ada juga pujian seperti," Markah anda dalam ujian kali ini baik. Jadi jangan lagi seperti ujian-ujian yang lalu. Saya mahu setiap kali ujian markah anda akan baik daripada hari ini".

Perkara ketiga ialah pujian yang melibatkan soal kuantiti dan juga kualiti. Pujian merupakan kuasa positif yang jika selalu digunakan secara berkesan akan meningkatkan pembangunan positif pelajar.

Oleh itu lebih banyak pujian sebenarnya adalah lebih baik. Bagaimanapun kuantiti pujian seharusnya dilengkapi dengan pujian yang berkualiti. Jadi di sekolah rendah kualiti pujian yang baik seharusnya diikuti dengan pelukan guru kepada pelajar (tentunya guru perempuan sahaja yang sesuai melakukannya, pada guru lelaki bolehlah melakukan dengan memberikan senyuman menunjukkan rasa bangga).

Pujian yang baik ialah yang dilengkapi dengan sentuhan atau tingkah laku senyuman yang menunjukkan rasa kasih dan sayang seorang guru pada pelajarnya.

Sebenarnya ada kajian yang menunjukkan kebanyakan guru kurang atau tidak suka memberikan pujian kepada para pelajar. Malah di kalangan guru yang mengakui mereka telah memberikan banyak pujian kepada pelajar, sebenarnya pujian yang mereka berikan masih kurang daripada apa yang diharapkan atau di rindu oleh pelajar.

Percayalah, pujian boleh mengubah pelajar. Jika guru dapat melakukan secara berterusan dengan penuh hikmah dan sabar maka akan lebih ramai pelajar yang akan mengubah sikap dan tingkah laku menjadi lebih positif.

Amalan pujian bukan sahaja paling berkesan mengubah tingkah laku pelajar tetapi sebenarnya berkeupayaan untuk membina persekitaran bilik darjah yang penuh motivasi, kasih sayang dan harmoni.

Disebabkan oleh persekitaran, minda pelajar sebenarnya lebih cenderung untuk memberikan super-respons kepada perkara negatif yang diasak keadaan mereka berbanding perkara positif. Misalnya pelajar akan lebih cepat sedih bila dimarahi oleh guru berbanding gembira apabila mereka dipuji.

Mereka juga biasanya akan lebih cepat merasa malu apabila disindir berbanding merasa bangga apabila berjaya mencapai sesuatu. Oleh itu untuk membolehkan tingkah laku positif berkekalan dicapai, maka pujian secara berterusan, berkualiti serta ikhlas perlulah dilakukan oleh para guru.

Malah secara tidak sedar juga, kebanyakan guru juga lebih cenderung untuk cepat memberikan respons kepada tingkah laku negatif pelajar berbanding tingkah laku perbuatan positif pelajar lebih lagi bila guru berada di dalam tekanan kerja atau keadaan fizikal yang lemah atau letih.

Oleh itu jika para guru dapat memulakan pujian kepada pelajar secara berterusan maka satu hari nanti pelajarnya pula akan menjadi seorang dewasa yang akan pula sentiasa memberikan pujian kepada para rakan sekerja di tempat kerajaan atau anak-anak mereka di rumah. Semoga pelajar tidak akan lagi merindui pujian daripada guru-guru mereka.

Penulis ialah Pensyarah Sosiologi Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia

Sumber : http://www.utusan.com.my/