Selasa, 9 Februari 2010

15,000 pelajar SPM Belum Mohon IPT

Oleh Khairina Yasin
kayrina@bharian.com.my

Permohonan harus dibuat sebelum 30 Mac untuk elak kesulitan

KEMENTERIAN Pengajian Tinggi mengenal pasti sekurang-kurangnya 15,000 lagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) belum mengemukakan permohonan untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi bagi sesi akademik 2010/2011.

Ketua Pengarah Kementerian Pengajian Tinggi, Prof Ir Dr Datuk Radin Umar Sohadi, berkata anggaran itu berdasarkan 124,000 jumlah pelajar yang sudah mengemukakan permohonan masing-masing menerusi Aplikasi Dalam Talian, fasa pertama, November lalu.

Sebaik fasa kedua permohonan dibuka Selasa lalu, beliau berkata, data sehingga petang semalam mencatatkan seramai 150,000 lepasan SPM sudah mengemukakan permohonan masing-masing. “Ini bermakna masih ada lagi kira-kira 15,000 lepasan SPM masih belum berbuat demikian kerana kementerian menganggarkan sebanyak 165,000 permohonan diterima berdasarkan lebih 400,000 pelajar menduduki SPM tahun lalu.

“Walaupun tarikh tutup permohonan pada 30 Mac ini, pelajar digesa segera berbuat demikian bagi mengelakkan sebarang kesulitan hingga terpaksa tunggu lama berikutan kesesakan talian.

“Masing-masing perlu memasukkan maklumat yang diperlukan dan memilih program pengajian yang dikehendaki,” katanya selepas Majlis Amanat Tahun Baru, Jabatan Pengajian Tinggi di Putrajaya.

Bagi calon yang sudah mengemukakan permohonan menerusi fasa pertama, Radin Umar berkata, mereka hanya perlu mengisi maklumat pilihan program dan mengemas kini data berkenaan pada permohonan baru jika perlu.

Sambil mengingatkan calon supaya memilih program pengajian bersesuaian dengan minat, kebolehan dan kemampuan, beliau menasihatkan pelajar mengambil kesempatan mengunjungi Karnival Jom Masuk U anjuran Bahagian Kemasukan Pelajar, Jabatan Pengajian Tinggi.

Katanya, karnival yang kini berlangsung di beberapa lokasi terpilih seluruh negara memberi peluang lepasan SPM mendapatkan gambaran awal mengenai program yang ditawarkan.

Katanya, program bertujuan membantu lepasan sekolah mendapatkan maklumat dan panduan tambahan, selain memberi panduan mengenai kaedah mengira markah syarat layak kemasukan berdasarkan keputusan peperiksaan.

“Selain memilih kursus bersesuaian, status sesebuah universiti yang dipohon juga menjadi faktor utama dalam menentukan kejayaan permohonan.

“Contohnya, kebarangkalian calon yang mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.9 untuk mengikuti pengajian perubatan di Universiti Malaya adalah lebih sukar, berbanding peluang lebih tinggi jika memilih kursus sama di universiti baru,” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Istikharah jawapan untuk kekeliruan

KESUKARAN membuat keputusan yang baik boleh memberi masalah kepada kita. Dalam Islam, sebelum membuat sebarang keputusan, kita dicadangkan menunaikan solat Istikharah. Solat ini bagi memohon petunjuk dari Allah dalam membuat sesuatu keputusan.

Istikharah bermaksud 'meminta Allah mengilhamkan sesuatu dalam sesuatu urusan' adalah senjata terbaik untuk membuat pilihan yang tepat. Kita bukan sahaja boleh melakukan solat Istikharah yang membabitkan pemilihan bakal pasangan, tetapi memohon petunjuk Allah dalam perkara lain.

Solat Istikharah membantu kita memohon petunjuk mengenai perkara yang menimbulkan keraguan dalam membuat sesuatu penentuan atau pilihan. Apabila kita melakukan solat dan doa Istikharah, ini bererti kita memohon semoga Allah menunjukkan keputusan yang terbaik.

Kata Jabir bin Abdullah:
"Rasulullah s.a.w. mengajar kami beristikharah dalam semua pekerjaan seperti baginda mengajar kami satu surah dari Al-Quran, sabdanya: 'Apabila seseorang kamu mempunyai rancangan untuk melakukan sesuatu hendaklah dia melakukan solat sunat dua rakaat, kemudian bacalah doa ini.

'Maksudnya: "Ya Allah, aku memohon petunjuk daripada-Mu dengan ilmu-Mu dan aku memohon ketentuan daripada-Mu dengan kekuasaan-Mu dan aku memohon daripada-Mu akan limpah kurniaan-Mu yang besar. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa dan Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan Engkaulah Yang Maha Mengetahui segala perkara yang ghaib. Ya Allah, seandainya Engkau mengetahui bahawasanya urusan ini (sebutkan...) adalah bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, takdirkanlah ia bagiku dan permudahkanlah serta berkatlah bagiku padanya dan seandainya Engkau mengetahui bahawa urusan ini mendatangkan keburukan bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, maka jauhkanlah aku daripadanya dan takdirkanlah kebaikan untukku dalam sebarang keadaan sekalipun kemudian redhailah aku dengannya." (sebutkan urusan yang dimaksudkan di tempat yang bertitik).'"

Melakukan solat istikharah memberi faedah besar kerana Allah berfirman: "...dan berbincanglah dengan mereka (sahabat) dalam urusan itu (peperangan, ekonomi, politik dan lain-lain). Apabila kamu sudah membulatkan tekad, bertawakallah kepada Allah..." (AQ Ali Imran 3:159) (HR Bukhari 7/162)

Mengikut beberapa buah kitab seperti Kitab Minyatul Musolli, Sabilal Muhtadin dan Sairus Salikin, secara ringkasnya cara melakukan solat Istikharah adalah seperti berikut;

1. Pertama, waktu yang terbaik ialah pada 2/3 malam (iaitu sekitar jam 2 pagi). Bagaimanapun, ia boleh dilakukan pada bila-bila masa dalam waktu yang diharuskan solat contohnya selepas Maghrib.

2. Niatnya 'Sahaja aku sembahyang sunat istikharah dua rakaat kerana Allah ta'ala.'

3. Dalam rakaat pertama selepas surah Al-Fatihah baca surah Al-Kafirun atau apa-apa sahaja surah lain yang terbaik kita boleh baca.

4. Dalam rakaat kedua selepas surah Al-Fatihah baca surah Al-Ikhlas atau apa-apa sahaja surah lain yang terbaik kita boleh baca.

5. Selepas memberi salam baca doa tersebut di atas(mulakan dengan basmalah dan selawat dahulu).

Semoga sedikit penerangan mengenai solat Istikharah ini dapat membantu kita menjawab persoalan diri serta membantu kita dalam membuat keputusan yang baik, Insya-Allah.

Sumber : http://www.hmetro.com.my/

Isnin, 8 Februari 2010

Bebas bersuara secara sihat

Mahasiswa universiti kini tidak perlu lagi menulis surat layang atau bersuara melalui blog untuk menyatakan pendapat. Sudut Pidato yang diperkenalkan kembali di semua universiti memberi peluang pelajar bebas bersuara.




SETELAH menyepi selama 40 tahun, Sudut Pidato kini kembali memberi peluang kepada mahasiswa seluruh negara menyuarakan pendapat dan juga menyampaikan mesej kepada penghuni kampus.

Sebelum Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) digubal sekitar tahun 70-an, pelajar universiti bebas bersuara menyatakan pendapat mengenai pelbagai isu berhubung perlembagaan dan juga politik.

Namun, berikutan pindaan AUKU pada 1975 kebebasan itu ditarik balik sehinggalah ia diwartakan semula pada Februari tahun lepas.

Satu sudut disediakan bagi pelajar berpidato secara bebas dan menyampaikan apa sahaja yang mereka ingin luahkan tanpa gangguan.

Kini, setelah pindaan AUKU dilakukan pada tahun 2008 pelajar kembali mendapat apa yang mereka pernah perjuangkan sebelum ini.

Menurut Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifudin Abdullah, setelah pindaan tersebut dibuat banyak institusi pengajian tinggi (IPT) telah menghidupkan semula Sudut Pidato masing-masing.


MENTERI Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (kiri) ketika merasmikan Sudut Pidato di UKM sambil diperhatikan naib canselor universiti itu, Tan Sri Datuk Dr. Sharifah Hapsah baru-baru ini.


Ia bertujuan memberi kembali kebebasan bersuara tanpa had kepada para mahasiswa yang telah disekat sebelum ini.

"Banyak IPT telah menghidupkan semula sudut pidato mengikut cara mereka sendiri. Terpulang kepada IPT bagaimana mereka ingin mengimplementasi sudut ini.

"Ia memberi peluang kepada pelajar melontarkan pandangan sama ada berbentuk cadangan, pandangan mahu pun kritikan terhadap perundangan atau politik negara," katanya.

Walaupun kini ramai yang lebih suka menggunakan medium Internet seperti blog, Facebook, Twitter atau sebagainya, masih ada golongan yang suka kepada pidato. Menulis tidak sama dengan lontaran suara yang lebih jelas dari segi pengisian topik dan juga penekanan intonasinya.

Kata Saifuddin, mungkin ramai yang tidak gemar memasuki pertandingan pidato yang terlalu formal atau pun mereka tidak berpeluang menyertainya. Di sudut inilah tempat terbaik mereka menyuarakan pendapat dan mengasah bakat.


SEBELUM ini blog menjadi platform mahasiswa melontarkan idea.


Secara tidak langsung, negara mampu menghasilkan graduan yang cemerlang dari segi pendidikan dan mempunyai kemahiran dalam pengucapan awam.

"Jangan letakkan terlalu banyak peraturan sehingga menyebabkan pelajar tidak berminat untuk berpidato. IPT perlu memberi kelonggaran dan kebebasan kepada mereka untuk berpidato di sudut ini. Cukuplah sekadar memantau bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku," katanya.

Banyak universiti telah melaksanakan sudut pidato mereka dan antaranya ialah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Malaya (UM).

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UM, Prof. Madya Datuk Dr. Azarae Idris, dahulu sudut pidato merupakan sebahagian daripada aktiviti dan hiburan para pelajar.

"Dulu tak ada hiburan selain berpidato secara terbuka di bawah pokok. Mana ada Internet dan pusat beli-belah. Ini adalah apa yang mereka suka lakukan.

"Orang dulu semua benda buat bawah pokok. Belajar bawah pokok, lepak bawah pokok dan macam-macam lagi," katanya merujuk kepada Sudut Pidato UM yang terletak di Dataran Kompleks Perdanasiswa.

Prof. Azarae memberitahu, pihak universiti masih lagi meneliti syarat dan peraturan pelaksanaannya namun apa yang penting ia akan memberi kebebasan kepada pelajar untuk berpidato tanpa sekatan.

Namun, UM tetap akan meletakkan syarat iaitu tidak membuat pengucapan yang menyentuh pelbagai sensitiviti seperti agama, kaum, dan dakwah keagamaan.

Sudut pidato itu juga tidak mempunyai kekebalan Parlimen dan mereka yang berpidato bertanggungjawab terhadap setiap apa yang diucapkan.

UM akan menyediakan peralatan seperti pembesar suara dan juga kawasan untuk berpidato. Kemudian terpulang kepada pelajar bagaimana mereka ingin menggunakannya.

Pemidato sulung


SUDUT pidato mendidik mahasiswa menyatakan pandangan mereka melalui pengucapan umum.


Bagi pelajar tahun dua Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan Pengajian Islam, Mohd. Asri Zulkifli, 22, peluang menjadi pelajar pertama menaiki pentas Sudut Pidato UM adalah amat berharga baginya.

"Apabila Timbalan Menteri membuka peluang kepada sesiapa yang ingin berpidato, tanpa berfikir panjang saya menawarkan diri kerana ia adalah peluang yang datang hanya sekali.

"Pihak UM telah menyediakan borang untuk sesiapa yang ingin berpidato tetapi saya sangat bertuah kerana menjadi orang yang pertama kerana dipanggil secara spontan," katanya.

Kata Mohd. Asri, walaupun ia mungkin tidak menjadi sehebat dulu, sudut tersebut akan menjadi platform kepada dirinya dan juga mahasiswa lain menyuarakan pendapat mengenai pelbagai isu yang sebelum ini tidak didengari oleh pelbagai pihak.

Ia pasti akan digunakan setiap kali terdapat isu-isu hangat negara yang memerlukan pendapat dari golongan muda selain daripada isu-isu dalaman kampus.

Menurut Ridzuan Mohammad, 24, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam sudut tersebut bukanlah gimik semata-mata tetapi harus dijadikan budaya yang berterusan.

Beliau yang sememangnya seorang pemidato dan bekas Yang Dipertua, Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) berharap semangat untuk berpidato di kalangan pelajar harus kekal dan jangan hangat pada permulaan sahaja.

"Ia akan menjadi medan bersuara di kalangan pelajar dan ia patut dibudayakan. Jangan hanya rancak ketika pelancaran.

"Suara-suara mahasiswa boleh dijadikan sebagai teguran dan cadangan yang membina," katanya.

Walaupun tidak ada kawalan daripada pihak pentadbiran, Ridzuan berkata pelajar harus dididik dengan tanggungjawab integriti terhadap setiap pengucapan mereka.

Orang lama


SEKUMPULAN pelajar memberikan pelbagai reaksi sewaktu melihat rakan mereka berucap di Sudut Pidato.


Pelancaran semula Sudut Pidato UM dilakukan dengan penuh unik apabila Dr. Ahmat Adam iaitu salah seorang pelopor aktiviti Sudut Pidato UM pada sekitar tahun 1970-an dijemput untuk kembali ke pentas pidato terbuka itu.

Ahmat masih berkhidmat di UM sebagai Felo Penyelidik Kanan, Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial.

UM memperuntukkan beberapa slot waktu yang dikhaskan untuk para pelajar mempamerkan kemahiran berhujah masing-masing iaitu dua sesi pada setiap hari Isnin hingga Khamis (1 tengah hari hingga 2 petang dan 4.30 petang hingga 6.30 petang). Satu sesi pada hari Jumaat pula diadakan pada pukul 3 petang hingga 6 petang.

Sudut Pidato UM turut dibuka sepanjang tempoh berkempen Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar UM yang berlangsung baru-baru ini.

Sumber : http://www.kosmo.com.my/

Murid Melayu tiada masalah belajar Tamil

Wan Nisrina Wan Nasri menunjukkan kebolehan menulis tulisan Tamil sambil diperhatikan Muniswari Subramaniam dan rakan-rakannya di SK Padang Garong 1, Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini.

KOTA BHARU 7 Feb.- "Aye Munis" (Cikgu Munis) sangat teruja selepas tiga minggu mengajar murid-muridnya bahasa Tamil, mereka mampu mengucapkan "vanakkam" (salam sejahtera) setiap hari apabila berjumpa dengannya.

Beliau seringkali cuba menyembunyikan tawa apabila ada di antara murid-murid itu memohon izin untuk ke tandas menyebut "Aye, nan kaliparaikke, sella vendum" terutama dalam loghat Kelantan.

Kini guru itu berpuas hati selepas tiga tahun mengajar kira-kira 20 murid berkenaan, mereka boleh menyebut dan memahami bahasa berkenaan bagi digunakan dalam pertuturan harian.

Seorang daripadanya, Ummi Hani M. Rozlin 9, terpilih sebagai satu-satunya murid Melayu mewakili Kelantan ke Karnival Bahasa peringkat Kebangsaan di Universiti Malaya tahun lalu.

Ummi Hani yang menyertai pertandingan bercerita, "Sugam Elli (Singa dan Tikus)" memberi cabaran sengit kepada murid India pada karnival berkenaan.

Justeru Guru Bahasa Tamil Sekolah Padang Garong 1, Muniswari Subramaniam yang lebih dikenali oleh muridnya sebagai Aye Munis menyatakan gembira dengan komitmen dan prestasi muridnya.

Beliau diberi tanggungjawab mengendalikan tiga kelas bahasa Tamil di sekolah itu yang melibatkan kira-kira 30 orang murid.

Muniswari ditemui semasa lawatan Pengarah Pelajaran Negeri Kelantan, Ghazali Abdul Rahman melawat Kelas Bahasa Tamil di Sekolah Kebangsaan Padang Garong 1, di Kota Bharu, baru-baru ini.

SK Padang Garong 1 memulakan kelas berkenaan pada 2008, manakala dua buah sekolah iaitu SK Tanah Merah 1 dan SK Sultan Yahya Petra 1,Kuala Krai pada tahun 2008, melibatkan seramai 204 murid.

Pemilihan itu juga merupakan satu penghormatan kerana di Kelantan hanya terdapat sebuah sahaja sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Tamil) iaitu SRJK (T) Ladang Pasir Gajah, Kuala Krai.

Muniswari yang berasal dari Kedah berkata, beliau berminat untuk menjadi guru bahasa dan pemilihannya sebagai guru bahasa Tamil itu amat menggembirakannya.

Ini merupakan peluang kepadanya untuk mengajar bahasa Tamil kepada murid Melayu namun jumlah penyertaan murid masih lagi kecil.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Ahad, 7 Februari 2010

Silibus kelas ekspres

Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my


Alimuddin

Murid lompat Tahun Tiga tak cicir subjek Tahun Dua

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran memperkenalkan silibus mampat bagi membolehkan murid pintar Tahun Satu di Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) terus melompat ke Tahun Tiga tanpa ketinggalan dalam pembelajaran sukatan Tahun Dua.

Menerusi silibus itu, murid Tahun Satu yang lulus ujian khas berdasarkan sukatan Tahun Dua pada pertengahan Ogos ini akan mempelajari 50 peratus sukatan pelajaran awal Tahun Dua dalam tempoh tiga bulan terakhir pada Tahun Satu

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata pada tahun depan murid terbabit akan terus ditempatkan di Tahun Tiga, tetapi akan mengikuti 50 peratus lagi sukatan pelajaran Tahun Dua dalam tempoh tiga bulan pertama.

"Mereka akan mengikuti pelajaran Tahun Tiga pada April setelah lulus ujian penilaian kedua bagi sukatan Tahun Dua pada akhir Mac.

"Oleh itu, murid pintar ini dapat mengurangkan tempoh pembelajaran pada peringkat sekolah rendah setahun lebih awal, iaitu daripada enam tahun kepada lima tahun," katanya kepada Berita Harian.

Bulan lalu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan pemilihan kumpulan pertama 20 SBT termasuk enam sekolah rendah yang menyaksikan pengetua dan guru besar diberi autonomi tambahan dalam pengurusan kurikulum, kewangan serta kakitangan.

Autonomi berkenaan antara lain memberi kelonggaran memanjangkan waktu persekolahan, menamatkan tempoh persekolahan pelajar cemerlang setahun lebih awal, mengagihkan kewangan mengikut keperluan serta mengambil kakitangan berdasarkan pencapaian dan bukan kekananan.

Alimuddin berkata, pelaksanaan ini silibus mampat itu adalah antara cadangan yang dibincangkan secara terperinci dalam makmal bidang keberhasilan utama negara (NKRA) selaras langkah kerajaan memperkenalkan SBT.

Mengenai pemberian autonomi untuk memanjangkan waktu persekolahan, beliau berkata, SBT masih tertakluk kepada jumlah waktu pengajaran dan pembelajaran harian yang ditetapkan kementerian.

Bagaimanapun, beliau berkata, garis panduan mengenai perkara itu sedang disediakan untuk pelaksanaan SBT di mana pengetua dan guru besar diberi kuasa untuk menjalankan dan menyusun jadual anjal atau jadual waktu yang fleksibel.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Sabtu, 6 Februari 2010

Subkhiddin tersenarai pengadil utama Piala Dunia

KUALA LUMPUR - Subkhiddin Mohd. Salleh (gambar) berpeluang cerah untuk mencipta sejarah sebagai pengadil bola sepak pertama dari negara ini yang diberi penghormatan menjadi pengadil utama pada kejohanan Piala Dunia Jun ini.

Berdasarkan laman web Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC), Subkhiddin bersama pembantunya, Yuxin Mu (China) dan Jeffrey Goh Gek Pheng (Singapura) merupakan antara kumpulan empat pengadil dari Asia yang terpilih ke Afrika Selatan.

Namun, keputusan sama ada Subkhiddin terpilih sebagai pengadil utama dari kumpulannya, bakal diketahui Mei ini.

Penilaian akhir untuk menentukan siapa yang akan layak menjadi pengadil utama atau sekadar pembantu, dibuat sebelum bermula kejohanan Piala Dunia 2010 Afrika Selatan.

Subkhiddin dan lain-lain pengadil yang terpilih, akan mengetahui nasib mereka pada seminar dan penilaian lain yang perlu mereka jalani.

Difahamkan, Subkhiddin akan ke Zurich, Switzerland pada 26 Februari ini sehingga 8 Mac , kemudiannya ke Sepanyol pada 9 hingga 12 Mac, bagi menjalani kursus akhir pengadil Piala Dunia FIFA.

Pengadil berusia 44 tahun itu berasal dari Pulau Pinang dan kini bertugas sebagai guru.

Beliau mula bertugas sebagai pengadil di bawah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 1996, sebelum dilantik pengadil FIFA pada 2000.

Sebelum ini, dua pengadil Malaysia pernah diberi kepercayaan oleh FIFA untuk mengendalikan perlawanan Piala Dunia.

Mereka ialah Allahyarham Kapten Halim Abdul Hamid, pada Piala Dunia 1998 di Perancis , diikuti Mat Lazim Awang Hamat pada Piala Dunia 2002 di Jepun dan Korea Selatan, tetapi hanya sebagai pembantu pengadil.

Subkhiddin ketika dihubungi, enggan memberi pengesahan pemilihannya, cuma mengharapkan rakyat Malaysia mendoakan yang terbaik untuknya.

"Saya tidak boleh buat apa-apa kenyataan sekarang kerana terikat dengan beberapa perkara yang tidak dapat saya dedahkan.

''Harapan saya agar rakyat Malaysia dapat mendoakan kecemerlangan karier saya demi menaikkan nama negara," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad menyatakan rasa bangga terhadap pemilihan Subkhiddin itu.

"Saya mengucapkan setinggi tahniah kepadanya. Kebanggaan ini bukan saja untuk dia, malah untuk negara.

"Doa saya semoga beliau dapat melakukan yang terbaik di Afrika Selatan nanti, sekali gus mengharumkan nama negara," katanya ketika dihubungi.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Nota Hujung:

Tahniah kepada CIKGU SUBKHIDDIN atas kejayaan cemerlang ini. Sebagai warga GURU, saya tumpang gembira dan mendoakan agar cikgu akan dapat melaksanakan tugas sebagai pengadil dengan baik di Afrika Selatan nanti.

Inovasi mendominasi dunia

Md Nayan Salleh, antara tokoh inovasi tempatan yang menyerlah dengan
ciptaannya
Sistem Perlimbahan Air Kerian (SPAK)

Oleh MOHD FAIZAL AZIZ

KITA telah memasuki tahun baru 2010 selepas 2009 melabuhkan tirai. Kedatangan tahun baru kebiasaannya memberi semangat dan azam baru kepada manusia untuk berubah dan melakukan anjakan dalam kehidupan.

Selain itu, ada yang berpendapat bahawa diri mereka sendiri perlu melakukan inovasi dalam segenap aspek kehidupan untuk mencapai cita-cita yang diimipikan. Istilah inovasi berkait rapat dengan perkataan seperti ciptaan, kreativiti dan imaginasi.

Inovasi bermaksud sesuatu yang baru diperkenalkan atau dimulakan. Dengan kata lain ia bermaksud menghasilkan sesuatu ciptaan yang berbeza daripada kebiasaan dengan idea baru yang mencorakkan perubahan.

Di zaman ini inovasi menentukan siapa yang berjaya atau pun tidak. Produk dan barangan yang inovatif yang terhasil dari proses inovasi akan mendahului yang lain. Kelebihan sesuatu produk yang inovatif boleh mengubah sesebuah industri. Idea yang kadang kala kecil dan dipandang ringan namun setelah melalui inovasi yang betul menjadikkannya hebat dan berkesan.

Hari ini inovasi bukan sahaja menjadi kunci dan rahsia kejayaan bagi sesebuah syarikat, malah ia juga berperanan melonjakkan negara-negara yang dahulunya kecil dan mundur menjadi negara maju.

Lihat sahaja negara-negara seperti Singapura, Finland, Denmark dan Ireland yang suatu masa dahulu merupakan negara-negara kecil namun meningkat maju dengan mendadak dan menduduki carta negara maju dengan keupayaan inovasi dan pembaharuan yang dilakukan oleh mereka.

Bagi negara membangun, cabaran utama untuk kekal bersaing menjadi negara maju ialah melalui inovasi. Ia perlu dipastikan supaya berada ditahap yang terbaik. Falsafah inovasi bagi sesebuah negara membangun perlu menjadi tulang belakang yang dapat mengubah sistem pentadbiran, hala tuju sains dan teknologi serta keupayaan saintis dan penyelidik di dalam negara tersebut.

Malaysia juga tidak terkecuali. Dunia pada masa akan datang amat bergantung kepada keupayaan untuk melakukan inovasi dalam setiap aspek bagi mengekalkannya di tahap terbaik. Kita telah memasuki tahun baru 2010. Sepuluh tahun yang lalu, Internet baru sahaja mula berkembang di Malaysia.

Pada waktu itu, masih belum ramai individu yang memiliki talian Internet melainkan di pejabat-pejabat kerajaan atau sektor industri. Teknologi Internet merupakan satu contoh inovasi yang mengubah dunia pada hari ini.

Internet boleh dianggap sebagai sungai besar yang mengalirkan sebarang ilmu dan maklumat berguna atau pun sekadar sampah sarap di dalamnya.

Sebelum teknologi Internet dapat dinikmati oleh seluruh penduduk di dunia, ia merupakan teknologi yang digunakan oleh pihak ketenteraan Amerika sekitar tahun 1940-an sewaktu Perang Dunia Kedua untuk menghubungkan jaringan sistem pertahanan mereka.

Selepas perkembangan pesat Internet bermula lewat tahun 1990-an, banyak produk-produk berasaskan web dimajukan dan dijadikan alat untuk menghubungkan masyarakat di seluruh dunia.

Bayangkan dunia pada hari ini tanpa kemudahan Internet seperti 15 tahun yang lampau, tentunya kehidupan sangat berbeza dengan apa yang kita alami kini. Internet memenuhi segala-galanya dalam dunia moden hari ini yang merangkumi aspek penyebaran maklumat, kemudahan emel, hiburan, tayangan video, audio dan perniagaan.

Lihat sahaja bagaimana enjin carian Internet terkenal Google mendominasi dunia. Google yang mula menemui pengguna pada tahun 1998 memperkenalkan kaedah pencarian maklumat di Internet dengan cara yang begitu unik melalui inovasi dan kreativiti dua anak muda dari Stanford University, California Amerika Syarikat (AS) iaitu Sergei Brin dan Larry Pages.

Kedua-dua mereka ini menjadi jutawan ketika usia belum mencapai 30 tahun. Sehingga kini, Google terus berkembang pesat dan terus melakukan inovasi dengan memperkenalkan produk-produk terbaru mereka.

Majalah Forbes melaporkan bahawa Google merupakan sebuah syarikat teknologi berasaskan Internet yang paling pesat berkembang dan paling berpengalaman dalam sejarah dunia. Ketika diwawancara dalam sebuah program temu bual Internet, pemilik Google, Sergei Brin dan Larry Pages menyatakan bahawa mereka tidak mencipta sesuatu yang baru, tetapi melakukan inovasi terhadap produk yang sedia ada. Sebelum kemunculan Google, enjin carian Internet yang paling terkenal ialah Yahoo!, Excite dan Altavista.

Selain Google, pengguna Internet terus dihidangkan dengan aplikasi laman interaksi sosial yang begitu fenomena pada hari ini iaitu Facebook. Ia dicipta oleh seorang remaja iaitu Mark Zuckerberg ketika masih bergelar penuntut di University Harvard.

Bermula pada tahun ia dilancarkan iaitu pada tahun 2004 sehingga kini, ia mencatatkan bilangan pengguna aktif yang berjumlah 350 juta orang. Zuckerberg kini menjadi jutawan muda hasil daripada pelancaran laman Facebook tersebut.

Ketika ditanya tentang idea ciptaaannya, beliau menegaskan bahawa ia terhasil daripada keinginan untuk melakukan inovasi terhadap laman-laman web Internet sosial yang sedia ada seperti Friendster, Orkut, MySpace dan sebagainya.

Salah satu lokasi yang paling terkenal dan subur melahirkan syarikat-syarikat gergasi dunia yang kreatif dan inovatif dalam bidang teknologi, komunikasi dan teknologi maklumat ialah Silicon Valley di California.

Di sanalah tempat berkembangnya syarikat gergasi dunia seperti Oracle, Sun Microsystem, Intel, AMD, Yahoo!, Cisco, Apple, eBay, YouTube,, Twitter, Google, Facebook dan sebagainya.

Kejayaan Silicon Valley yang muncul sejak lebih 50 tahun yang lampau menjadi contoh dan teladan kepada negara-negara lain yang ingin membangunkan ekonomi mereka berasaskan inovasi dan kreativiti.

Google dan Facebook adalah antara dua contoh di antara puluhan produk-produk yang tercipta hasil dari kreativiti dan inovasi di dalam dunia Internet. Dalam bidang-bidang lain seperti sistem pengangkutan, perniagaan, penyelidikan dan penyampaian maklumat manusia terus melakukan inovasi bagi memperbaiki kualiti dan produk yang sedia ada..

Malaysia berada di landasan yang tepat apabila mengisytiharkan 2010 sebagai Tahun Inovasi Negara. Jelas bahawa masa hadapan negara terletak kepada sejauh mana budaya inovasi diamalkan dalam setiap aspek kehidupan daripada pentadbiran negara sehinggalah kepada pengurusan diri.

Fakta-fakta ringkas

i. Inovasi bermaksud menghasilkan sesuatu ciptaan yang berbeza daripada kebiasaan dengan idea baru yang mencorakkan perubahan.

ii. Apple Inc. merupakan sebuah syarikat pengeluar komputer dan gajet elektronik yang banyak melakukan inovasi terhadap produk mereka.

iii. Syarikat pengeluar perabot dan peralatan rumah terkenal IKEA merupakan sebuah syarikat yang kreatif melakukan inovasi.

iv. Silicon Valley yang terletak di California merupakan sebuah kawasan yang paling terkenal dengan syarikat-syarikat gergasi di dunia yang banyak melakukan inovasi untuk produk mereka seperti Intel, Google, Yahoo!, Facebook,YouTube, eBay dan Twitter.

v. Istilah silikon merujuk kepada kawasan di mana banyak pereka cipta dan pengeluar cip silikon yang kemudian membentuk jaringan perniagaan berteknologi tinggi.

vi. ARPANET yang pada mulanya digunakan dalam sistem pertahanan ketenteraan di Amerika dalam Perang Dunia ke-2 telah melahirkan INTERNET pada hari ini setelah inovasi dilakukan ke atas sistem rangkaian tersebut selama lebih 30 tahun.

vii. Google merupakan laman web yang paling ramai dikunjungi oleh pengguna Internet di abad ini.

viii. Pengguna aktif Facebook sehingga Disember 2009 direkodkan berjumlah 350 juta orang dan dijangka akan terus meningkat dengan mendadak di masa akan datang.

Penulis ialah Pegawai Sains di Institut Kejuruteraan Mikro dan Nanoelektronik (IMEN), Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sumber : http://cyberita.asia1.com.sg/