Ahad, 21 Februari 2010

Ubah tabiat memandu

Oleh ZULKIFLI ABAS

ALASAN segelintir pemandu kenderaan berat 'terpaksa' berhenti di lorong kecemasan untuk berehat atau tidur adalah tidak masuk akal dan membuktikan kebanyakan mereka tidak peka terhadap keselamatan pengguna lebuh raya yang lain terutama penunggang motosikal.

Bukankah lebuh raya sudah dilengkapi dengan hentian rawat dan rehat (R&R) yang banyak? Pemandu kenderaan berat seharusnya mengenal pasti R&R terdekat untuk berhenti rehat. Bukannya berhenti sesuka hati di mana-mana tempat yang mereka inginkan. Sikap 'tak kisah' inilah yang sebenarnya menjadi penyumbang kepada kemalangan yang disebabkan oleh kenderaan berat. Kebanyakan mereka bukannya tidak tahu lorong kecemasan tidak boleh digunakan untuk berhenti rehat atau tidur, tetapi sikap tidak ambil kisah yang menebal di dalam diri kebanyakan pemandu kenderaan berat membuatkan mereka seolah-olah tidak menghormati atau mempedulikan keselamatan orang lain. Buatlah seberapa banyak peraturan sekalipun, jika sikap tidak ambil kisah sudah sebati di dalam diri, pasti ia tidak akan dipatuhi.

Selain itu, sekiranya kenderaan berat terpaksa juga berhenti di lorong kecemasan akibat kerosakan, pemandu terbabit perlu mengambil langkah-langkah keselamatan yang sepatutnya seperti menyalakan lampu isyarat kecemasan serta meletakkan kon berjarak berpuluh-puluh meter di belakang kenderaan yang rosak untuk memberi amaran kepada pemandu lain. Ini adalah perkara asas yang perlu diambil ketika terpaksa berhenti di jalan raya. Selain itu, jawapan biasa seperti 'tunggu mekanik' atau 'tunggu trak tunda' yang diberikan oleh pemandu kenderaan berat yang tidak meletakkan kon dan tidak menyalakan lampu isyarat kecemasan juga tidak boleh diterima sama sekali.

Saya juga ingin menggesa semua pemandu serta operator kenderaan berat supaya memastikan kenderaan diservis dan berada dalam keadaan yang baik sebelum memulakan perjalanan. Penyelenggaraan kenderaan berat tidak boleh diambil mudah. Sekali ia rosak di lebuh raya, ia bukan sahaja boleh mendatangkan kerugian kepada syarikat, tetapi boleh menyebabkan kehilangan nyawa!

Sementara itu, bukan semua kemalangan di lorong kecemasan berpunca daripada kenderaan berat. Para pemandu kenderaan persendirian dan ringan juga boleh dipersalahkan.

Pada pemerhatian saya, kebanyakan kemalangan di lorong kecemasan disebabkan pemandu memasuki atau memandu di lorong kecemasan.

Peraturan sudah jelas menyatakan bahawa laluan kecemasan tidak boleh digunakan, selain berlaku kecemasan. Adakah pulang bercuti, memotong kenderaan lain, berlumba, mahu cepat sampai ke rumah, ke pejabat atau ke pusat membeli-belah diklasifikasikan sebagai situasi kecemasan? Jika kita buat-buat tidak faham atau 'lupa' tentang fungsi lorong kecemasan, siapa lagi? Ingat, jalan raya dan lebuh raya dikongsi bersama pemandu lain, bukan kita sahaja.

Selain itu, terdapat juga kemalangan di lorong kecemasan disebabkan oleh kenderaan terbabas ke lorong itu. Tambah malang, terdapat kenderaan berat berhenti di lorong kecemasan pada ketika itu. Cuba kita kaji mengapa kenderaan tersebut terbabas ke lorong kecemasan. Saya yakin, kebanyakan punca disebabkan pemandu hilang kawalan akibat kenderaan dipandu terlalu laju atau pemandu terlelap atau tertidur.

Kenderaan sukar dikawal dan mudah terbabas jika dipandu terlalu laju, lebih-lebih lagi jika kenderaan tersebut direka untuk pemanduan biasa sahaja. Proton Wira atau Proton Waja tetap bukan Mitsubishi Evolution, Perodua Kancil tetap bukan Honda Civic. Jika dipandu terlalu laju, ia mudah hilang kawalan dan terbabas ke lorong lain.

Memanglah lebuh raya agak lengang pada waktu malam dan kadangkala kita sedikit teruja untuk menguji kekuatan enjin kereta dan kehebatan kita. Tetapi, ia bukanlah 'lesen' untuk kita memandu terlalu laju. Pada waktu malam di jalan yang lengang, kita masih pemandu biasa. Kita tidak akan bertukar menjadi Lewis Hamilton dan kenderaan kita tidak akan bertukar menjadi kereta Maclaren pada waktu malam.

Terdapat juga kemalangan di lorong kecemasan disebabkan pemandu mengantuk atau terlelap. Polis juga telah menasihatkan supaya pemandu berhenti rehat setiap satu setengah jam atau dua jam. Jika kita memandu secara berterusan melebihi dua jam, kita tidak akan dapat memberikan sepenuh tumpuan pada keadaan sekeliling atau papan tanda yang diletakkan di sepanjang jalan. Badan yang letih membuatkan mata berasa berat dan mengantuk. Walaupun kita terlelap hanya untuk satu atau dua saat, kita mungkin sudah memasuki lorong lain, melanggar kenderaan di sebelah atau melanggar pembahagi jalan.

Kita bukannya robot. Jika pemandu sudah mengantuk, kenderaan seperti BMW, malah Ferrari sekalipun boleh terbabas. Impaknya juga mungkin lebih dahsyat lagi kerana kenderaan-kenderaan ini lazimnya dipandu dengan kelajuan yang tinggi.

Secara kesimpulannya, kemalangan di lorong kecemasan memang boleh dielakkan jika kita sendiri mengubah tabiat atau etika pemanduan. Kita perlu peka dan bertimbangrasa terhadap keselamatan diri sendiri, keluarga, rakan, penumpang dan pengguna jalan raya dan lebuh raya lain.

Di lebuh raya, sedikit kelalaian boleh mengundang padah. Sikap 'tidak apa' tidak boleh wujud di dalam diri apabila memandu. Justeru, jangan mengambil kesempatan terhadap kemudahan lebuh raya yang disediakan.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Sabtu, 20 Februari 2010

ORA MENTOLO


Ora mentolo aku arek ngapusi
Tak tergamak aku hendak berbohong
Pengiran seng kuoso
kerana Tuhan Yang Maha Kuasa
pastinei nthelokkei.
pasti akan melihat.

Ora mentolo aku arek mangan
Tak tergamak aku hendak makan
nek panganan seng disuguhi
Jika makanan yang dihidangkan
seko sumber seng ora karuan.
dari sumber yang tidak keruan.

Ora mentolo aku arek nthelok
Tak tergamak aku hendak melihat
nek bocah cilik
jika kanak-kanak
seng ora reti opo-opo
yang tidak tahu apa-apa
podo digunakkei ngollek
turut dipergunakan untuk mencari
rejeki seng ora halal.
rezeki yang tidak halal.

Ora mentolo aku arek mampir
Tak tergamak aku hendak singgah
nek enggon seng diampiri
jika tempat yang hendak disinggahi
kebek karo kelakon seng ora penak.
penuh dengan perbuatan yang tidak elok.

Ora mentolo aku arek lungo
Tidak tergamak aku hendak pergi
nek seng ditinggal
jika orang yang ditinggalkan
horong cukup sandang pangannei.
belum cukup keperluan seharian.

Nukilan: Adi Sabariman
Muar.

Sumber :http://www.familiazam.com/

Masalah buang bayi boleh diatasi

Masyarakat perlu diterapkan nilai-nilai murni dalam kehidupan agar pembuangan bayi boleh dibendung.

Sejak akhir-akhir ini, negara digemparkan dengan beberapa berita yang amat memeranjatkan semua pihak iaitu isu pembuangan bayi. Gejala ini amat devian kerana ia merupakan satu tindakan yang tidak berperikemanusiaan dan tidak boleh diterima dalam masyarakat kita. Ada antara bayi yang ditemui yang masih hidup dan ada yang sudah meninggal dunia dan hampir semua yang ditemui berada dalam keadaan yang amat menyedihkan. Seperti tiada kesedaran diri, bayi yang tidak berdosa terus menjadi mangsa keadaan. Tidak kira apa pun status bayi tersebut, isu ini perlu dibendung. Pembuangan bayi adalah satu jenayah walaupun terjadi akibat kehamilan tidak diingini. Ramai remaja yang mengandung luar nikah terpaksa membuang bayi mereka kerana terdesak, malu dan takut akan akibat yang bakal ditanggung.

Menurut Pengarah Pusat Kokurikulum Universiti Putra Malaysia (UPM) dan pakar motivasi, Profesor Madya Dr. Mohammad Shatar Sabran, terdapat pelbagai sebab mengapa dan kenapa berlakunya peningkatan kes pembuangan anak.

Faktor kes ini boleh dibahagikan kepada tiga komponen utama iaitu sosial, spiritual atau rohani dan era globilasasi dan pembangunan teknologi.

"Faktor sosial merupakan salah satu daripada penyumbang utama berlakunya kes buang anak ini. Antaranya, pergaulan bebas tanpa had terutamanya di antara lelaki dan wanita. Selain itu, terikut dengan budaya barat yang yang mengamalkan seks itu adalah sebahagian daripada proses percintaan. Golongan ini juga percaya alat-alat terkini seperti kondom dan pil boleh mengelakkan daripada mengandung jika melakukan hubungan seks," katanya.

Di samping itu, ibu bapa tidak mengambil berat tentang anak-anak mereka hingga menyebabkan mereka bebas berbuat apa sahaja tanpa sebarang pemantauan.

Dr. Mohammad Shatar menambah, didikan agama yang kukuh adalah dinding terbaik untuk mengelakkan diri remaja daripada sebarang kes jenayah dan salah laku. Namun, ilmu agama amatlah tipis dalam kalangan remaja pada hari ini hingga menyebabkan kes pembuangan anak tidak menjadi kesalahan kepada mereka.

Ilmu agama

Justeru itu, kurang ilmu agama menjadi faktor golongan ini tidak dapat menilai halal dan haram.

"Era globalisasi dan pembangunan teknologi (ICT) pada hari ini secara langsung atau tidak telah menyumbang kepada kes pembuangan anak. Jika kita kaji, kemudahan telefon bimbit telah menyebabkan remaja boleh berinteraksi dengan sesiapa sahaja pada bila-bila masa untuk sebagai titik permulaan kepada kes yang tidak bermoral ini. Kesukaran membuat pemantauan oleh ibubapa terhadap penggunaan internet juga menyumbang kepada gejala kes ini," jelasnya.

Secara tidak langsung, kes pembuangan bayi ini mempengaruhi kesihatan sosial pada hari ini.

Dari sudut perubatan, kadar kematian bayi yang lebih tinggi akan menyebabkan penjagaan perubatan yang tidak sempurna. Ini disebabkan kesihatan ibu yang terjejas akibat kehilangan darah, jangkitan kuman dan kecederaan sewaktu bersalin.

Selain itu, kes ini turut memberi kesan kepada psikologi dan sosial wanita yang melahirkan bayi tersebut iaitu murung, hilang keyakinan diri, rasa bersalah, resah atau gelisah. Bukan itu sahaja, ia akan mewujudkan masalah emosi dan hubungan interpersonal dengan terputusnya hubungan kekeluargaan dan rakan-rakan.

"Terlalu banyak kesan psikologi dan sosial kepada masyarakat. Antaranya, kemajuan dan kemakmuran masyarakat di masa hadapan akan terjejas. Pesan Iman Al-Ghazali, jika kamu mahu melihat senario masa depan masyarakat dan negara kamu, lihatkan senario remaja masa kini. Jika mereka hebat maka akan hebatlah masyarakat dan negara kamu di masa hadapan, tetapi jika remaja kini rosak akhlaknya dan lemah mindanya. Maka akan rosaklah masyarakat dan negara kamu di masa hadapan," jelasnya.

Dr. Mohammad Shatar menambah, psikologi remaja yang terlibat dengan kes tersebut tidak akan tenang dan tenteram.

Perasaan bersalah yang datang di kemudian hari akan memberikan tekanan psikologi dan sosial yang berat serta tumpuan kepada kerjaya akan terjelas.

Secara umum, remaja pada hari ini tidak faham dan mengerti secara mendalam erti kasih sayang yang sebenarnya. Justeru itu, jika mereka berkahwin, perkahwinan itu jarang yang kekal lama kerana mereka tidak faham apakah yang dimaksudkan dengan kasih sayang itu.

"Maksud kasih sayang sesama manusia ialah menyayangi manusia lain sama seperti kita menyayangi diri sendiri. Selain itu, meletakkan diri kita dalam diri mereka, jika kita jadi bayi tersebut apakah perasaan kita. Dari segi psikologi, cinta remaja tidak diikuti dengan tanggungjawab," jelasnya.

Beliau menjelaskan, teori sosial mengenai cinta di bawah umur 13 tahun, percintaan yang berlaku hanyalah berdasarkan kepada kecantikan. Manakala, umur 13 hingga 25 tahun, percintaan yang berlaku ketika ini adalah berdasarkan trend iaitu orang lain bercinta kita nak bercinta dan jemu dengan pasangan masing-masing, akan dicuba pasangan lain.

Sementara itu, bagi golongan berumur 25 tahun ke atas, percintaan sering diikuti dengan tanggungjawab.

Dalam membantu masyarakat pada hari ini untuk membendung kes pembuangan bayi, mereka perlu menerapkan nilai-nilai murni dalam kehidupan agar kepincangan dalam institusi sosial tidak berlarutan. "Golongan dewasa juga perlu menunjukkan teladan yang baik kepada golongan remaja kerana golongan inilah yang banyak terlibat dengan isu pembuangan bayi. Langkah ini adalah bertujuan untuk mengelakkan golongan ini terpengaruh dengan keadaan sekeliling. Selain itu, kerjasama masyarakat dengan kerajaan turut memainkan peranan dalam usaha mencapai masalah sosial 'sifar'. Walaupun ia mungkin sukar dicapai tetapi melalui kerjasama antara masyarakat dan pihak berkuasa mampu menyelesaikan masalah buang anak ini," ujarnya.

Kesedaran

Dr. Mohammad Shatar menyarankan masyarakat memberi kesedaran untuk membendung gejala tidak sihat ini. Misalnya, kerajaan boleh melaksana undang-undang terhadap remaja yang berdua-duaan di tempat yang kondusif untuk seks bebas. Selain itu, masyarakat perlu membantu kerajaan dalam melaksanakan agenda ini. Aktiviti yang mencurigakan perlu dibuat laporan kepada pihak yang bertanggungjawab untuk membanteras mereka yang terlibat.

" Ibu bapa juga perlu peka dan mengambil berat terhadap perkembangan dan apa yang dilakukan oleh remaja mereka. Selain itu, guru perlu memantau kehadiran pelajar dalam kelas. Laporkan kepada ibu bapa jika anak mereka tidak hadir kelas. Ini kerana anak-anak sering melencong ke tempat lain walaupun berpakaian sekolah dari rumah," katanya.

Jika ada remaja yang pernah terlibat dengan masalah ini, kita perlu memberi ruang penambahbaikan untuk kembali ke pangkal jalan.

"Golongan ini perlu bertaubat dan menyesal dengan sepenuhnya. Mereka yang pernah terbabit boleh memberi kesedaran kepada remaja lain mengenai implikasi yang dihadapi. Ingatlah, kesilapan hari ini bukanlah kesilapan yang berkekalan. Mohon ampun dan maaf kepada Allah dan ibu bapa," ujarnya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Jumaat, 19 Februari 2010

RAHSIA BAHASA PERTIWI

Aku membeli
kebijaksanaan ilmu
menikmati lazat pemikiran
dalam bahasa falsafah ini.

Aku menjual kesantunan budi
memperaga anggun warisan
dalam bahasa sopan ini.

Aku membaca luka sukma
merawat sengsara perasaan
dalam bahasa kemanusiaan ini.

Aku menghirup damai abadi
menikmati tenang emosi
dalam bahasa toleransi ini.

Dakaplah bahasa pertiwi dengan berahi
berbantalkan keyakinan
atas ranjang permodenan.

RAJA RAJESWARI SEETHA RAMAN
Kuala Lumpur

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Khamis, 18 Februari 2010

Keputusan STPM 2009 Khamis depan

KUALA LUMPUR: Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2009 akan diumumkan pada 25 Februari ini.

Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), dalam satu kenyataan di sini hari ini, berkata calon boleh mendapatkan keputusan mereka di sekolah masing-masing mulai jam 12 tengah hari, manakala calon persendirian akan memperolehinya melalui pos.

Calon juga boleh menyemak keputusan mereka melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip STPM dan hantar ke 36363, atau menaip STPM Result dan hantar ke 15888.

Keputusan juga boleh diperolehi dengan melayari laman web MPM di http://www.mpm.edu.my mulai 12 tengah hari pada tarikh itu.

Satu sidang media mengenai analisis keputusan peperiksaan akan diadakan jam 11.30 pagi pada tarikh sama di pejabat MPM, Persiaran 1, Bandar Baru Selayang, Batu Caves, Selangor.

Tahun lalu, 52,348 calon menduduki peperiksaan STPM. Daripada jumlah itu, 47,260 orang atau 90.28 peratus adalah calon sekolah kerajaan, 1,747 (3.34 peratus) calon sekolah swasta dan 3,241 (6.38 peratus) calon persendirian. - Bernama

Selesai segera isu PATI

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
rencana@utusan.com.my

MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein barangkali agak terlambat untuk berasa terkejut dengan fenomena lambakan warga asing yang membanjiri ibu kota.

Pemandangan yang dilihat beliau dalam kesempatan meninjau suasana di ibu kota sempena sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini, adalah pemandangan biasa yang disaksikan warga kota. Malah, mereka sebenarnya sudah lama terpaksa berkongsi kehidupan dengan warga asing yang pelbagai rupa, warna dan agama dalam hampir kebanyakan aspek kehidupan seharian.

Pengalaman bersesak-sesak dengan warga asing bagi warga kota lebih terasa ketika menggunakan pengangkutan awam terutamanya bas. Di kawasan tumpuan ramai terutamanya di pusat membeli-belah sekitar ibu kota, kumpulan warga asing itu juga bermaharajalela. Sudah banyak sebenarnya yang diperkatakan mengenai isu lambakan warga asing di negara ini.

Daripada aspek ancaman keselamatan, sosial dan kesihatan sehinggalah pelbagai sudut lain termasuk kelemahan pemantauan di peringkat kerajaan. Namun sehingga kini, tiada jalan penyelesaian konkrit yang diambil dalam membendung masalah yang semakin meresahkan warga tempatan. Acap kali apabila isu lambakan warga asing ditimbulkan, kita sering diberitahu bahawa mereka adalah pekerja sah dan dibawa masuk bagi memenuhi sektor pekerjaan yang tidak diminati oleh pekerja tempatan. Kemasukan warga asing itu juga kononnya mengikut permintaan semasa yang dalam masa sama masih memberikan keutamaan kepada pekerja tempatan.

Kerajaan sebaliknya meluluskan 50,000 permit pekerjaan kepada warga Bangladesh pada 2009 ketika negara berdepan dengan krisis kegawatan ekonomi dan ramai pekerja tempatan dibuang kerja. Ini menimbulkan rasa tidak puas hati orang ramai kerana berlakunya ketidakselarasan dasar kerajaan dalam konteks pekerjaan.

Begitu juga apabila warga asing ini boleh dilihat di mana-mana waima di ceruk-ceruk kampung, ramai yang tertanya-tanya sektor pekerjaan apa yang diisi mereka di sana? Melihat senario ini, kita harus mengakui bahawa jumlah warga asing itu sebenarnya jauh lebih tinggi daripada sekitar dua juta orang seperti yang sering dirujuk sebelum ini. Jika dulu, kita sangat sinonim dengan warga asing dari negara-negara seperti Indonesia, Bangladesh, Nepal dan Pakistan, tetapi kini senarionya sudah berubah. Warga asing dari negara-negara Afrika dan Arab kini boleh dilihat di mana-mana.

Dengan jumlah komuniti yang terlalu besar itu, kita berhak berasa bimbang dengan pelbagai impak negatif yang boleh berlaku. Isu keselamatan dan kesejahteraan rakyat tempatan misalnya, bukanlah sesuatu yang boleh dikompromi. Apabila ada rakyat tempatan berasa terancam dan tidak selamat dengan kehadiran warga asing itu, maka kerajaan perlu bertindak segera.

Apatah lagi pelbagai isu jenayah daripada kes merompak dan samun sehinggalah kepada pengedaran dadah sering dikaitkan dengan warga asing. Kerana itu, ramai yang berharap kerajaan tidak menunggu lama dalam melaksanakan strategi menangani lambakan warga asing seperti yang disebut oleh Hishammuddin. Cadangan itu antara lain akan menumpukan kepada empat fokus penambahbaikan iaitu kajian undang-undang dan semakan prosedur kemasukan. Fokus lain termasuk penambahbaikan mekanisme pemantauan dan sistem maklumat serta pemantapan strategi penguatkuasaan.

Cadangan itu juga akan membabitkan kerjasama dengan 13 buah kementerian yang berkaitan. Bagi pemerhati sosial, Mohd. Na'eim Ajis, cadangan kerjasama antara kementerian itu boleh dipertingkatkan dengan melaksanakan sistem kawalan pengagihan (distribute control). Sistem itu jelas pensyarah di Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) itu, bukan sahaja dapat mengawal lambakan pendatang tidak kira sebagai pelajar, pekerja atau pelancong.

Tetapi ia dapat mengawal tingkah laku pendatang selama mereka tinggal di Malaysia. Idea mengetengahkan sistem itu ujar beliau, cuba mengagihkan tanggungjawab terutama untuk mengawal pendatang asing kepada pihak lain sama ada kementerian, majikan, agen dan sebagainya.

Sistem ini dilihat akan mewujudkan satu tanggungjawab bersama terhadap pengawalan kemasukan pendatang asing ke Malaysia. ''Contohnya, jika ada pelajar-pelajar asing yang melakukan kesalahan seperti terlibat dengan jenayah, tinggal lebih masa atau mengancam ketenteraman warga tempatan, maka pihak institusi pengajian tinggi tersebut boleh dipersoalkan," katanya.

Di samping itu tambah Mohd. Na'eim, jika ada majikan yang menggaji pekerja asing yang tamat tempoh, mereka perlu dikenakan hukuman dahulu secara automatik tanpa melihat hubungan yang wujud. Begitu juga dalam sektor pelancongan, setiap pelancong asing perlu mendaftar di kaunter Kementerian Pelancongan di setiap pintu masuk negara. Mereka juga perlu meninggalkan pasport dan satu pengenalan diri sementara akan diberikan.

''Mungkin sebahagian langkah ini akan merumitkan sesetengah pihak terutama pelancong asing, tetapi ia dilakukan untuk pengawalan," kata beliau. Langkah itu dengan sendirinya tidak memerlukan kerajaan mengambil tindakan drastik seperti menghentikan terus pengambilan pekerja asing atau menamatkan visa ketibaan (VOA) atau mengurangkan pengambilan pelajar asing.

Ini kerana tindakan itu seolah-olah menipu diri sendiri kerana kerajaan juga sebenarnya mendapat manfaat daripada kehadiran warga asing. Sebaliknya, apa yang perlu dilakukan kerajaan adalah memperkemas jentera sedia ada. Ia termasuk dalam konteks pembuatan dasar, pengurusan, kawalan sempadan, perundangan dan penguatkuasaan.

''Apa yang lebih penting di sini adalah kerajaan perlu mengenal pasti punca masalah dan sektor mana yang menjadi penyumbang kepada isu ini atau ia disebabkan masalah warga asing. Dengan mengetahui punca sebenar, ia akan dapat membantu kerajaan menangani isu lambakan pendatang asing secara realistik dan holistik," jelas Mohd. Na'eim.

Beliau juga ditanya mengenai cadangan supaya tawaran kerja kepada kira-kira 90,000 pelarian di bawah Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) ditangguhkan buat sementara waktu. Bagi beliau, pada asasnya, pengambilan pelarian itu sebagai pekerja adalah sesuatu yang rasional. Ini kerana selain dapat memenuhi permintaan pekerjaan, ia juga dapat menyelesaikan isu pelarian dan aktiviti mereka di negara penerima seperti Malaysia.

Namun tambah beliau, untuk melaksanakannya pada masa ini adalah tidak relevan kerana negara sedang bangkit untuk pulih daripada kegawatan ekonomi. ''Biar kita selesaikan isu pengangguran pekerja tempatan dan PATI terlebih dahulu kerana ia ditakuti akan menjadi konflik dalaman negara terutama ketidakpuasan hati di kalangan penduduk tempatan," katanya. Ini menjelaskan bahawa selagi kita tidak dapat mengawal isu pendatang asing, selagi itulah negara akan sentiasa dihimpit dengan pelbagai masalah yang berkaitan dengan isu migrasi.

Akhirnya ia akan merugikan negara dalam jangka masa panjang.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Rabu, 17 Februari 2010

Bahasa oh bahasa!

Islam menggalakkan umatnya menggunakan bahasa yang indah dan baik-baik apabila bertutur. -Gambar hiasan

BAHASA merupakan suatu elemen yang penting dalam kehidupan. Manusia menggunakan bahasa sebagai medium untuk berkomunikasi, sama ada secara langsung atau bertulis.

Percakapan atau tulisan yang menggunakan bahasa yang baik dan teratur akan memberi makna mendalam dan juga mampu menyentuh perasaan.

Justeru, Islam menggalakkan umatnya menggunakan bahasa yang indah dan baik-baik apabila bertutur.

Rasulullah SAW sendiri berdakwah menggunakan bahasa yang paling baik dan halus dan tidak pernah menggunakan bahasa yang kesat dan kasar dalam pengucapan baginda.

Sifat ini seharusnya dicontohi terutama sekali para remaja supaya dapat menggunakan bahasa yang baik dan teratur dalam percakapan seharian.

Luqman Al-Hakim juga berpesan kepada anaknya, menggunakan istilah 'wahai anakku' yang menggambarkan kelembutan seorang ayah dalam menasihati anaknya sehingga termaktub dalam al-Quran (Luqman:12-19).

Penulis buku motivasi terkenal, La Tahzan (Jangan Bersedih), Dr. Aidh Abdullah al-Qarni juga ada berkata dalam suatu temuramah, "Islamlah yang mengajak orang untuk memiliki kebebasan berekspresi. Tapi ada dua syarat dalam hal ini. Jangan sampai menghina suatu agama dan, kedua, jangan sampai merosak dan memfitnah orang lain."

Ini menunjukkan bahawa bersuara tidak mengehadkan batas pemikiran manusia, tetapi harus dilakukan dengan batas lingkungan yang benar dan beretika.

Namun dapat diperhatikan senario pada hari ini, ialah penggunaan bahasa yang semakin kasar dan kadangkala juga boleh menggugat keimanan.

Ia terserlah dalam penggunaan bahasa di kalangan muda-mudi termasuk remaja, dalam blog penulisan, bait lagu dan puisi, serta dalam rancangan di televisyen atau radio.

Penggunaan bahasa pasar dan bahasa kasar sememangnya kurang enak didengar, namun itulah realiti yang terpaksa ditelan hari ini.

Persoalannya, adakah rancangan-rancangan tidak akan laku sekiranya tidak menggunakan bahasa yang indah dan teratur?

Adakah setiap program memerlukan jenaka yang kadangkala berlebihan dan kurang sedap didengar untuk menarik perhatian penonton?

Adakah bahasa yang digunakan dalam lagu misalnya tidak melambangkan sikap dan jiwa sebenar seseorang itu?

Oleh itu, remaja perlu berfikir secara mendalam akan penggunaan bahasa agar ia tidak menyinggung perasaan orang lain sekalipun untuk menyatakan kebenaran.

Antara gurauan dan igauan

Dalam menggunakan bahasa, perkara-perkara seperti sebutan, ejaan, kosa kata, tanda baca dan sebagainya dipanggil tatabahasa dan ia merujuk kepada struktur dan binaan ayat.

Manakala peraturan-peraturan bagi memilih bentuk sapaan, ganti nama, bentuk hormat, dan perbuatan menyentuh orang, mengiktiraf taraf sosial, taraf pendidikan, usia orang dan lain-lain pula boleh dipanggil sebagai budi bahasa.

Budi bahasa adalah sesuatu yang penting apabila bertutur dan berkomunikasi, walaupun sedang berjenaka dan bergurau.

Yang menjadi masalahnya ialah apabila ramai antara kita yang cuba bergurau tetapi menggunakan bahasa yang kurang enak didengar dan kadangkala mengaibkan orang lain.

Islam tidak melarang berjenaka dan bergurau, tetapi tidak harus berlebih-lebihan. Menghiburkan diri dengan jenaka atau kata-kata gurauan boleh menghilangkan kerisauan hati tetapi dalam masa yang sama ia kadangkala mengundang sensitiviti kepada orang yang terlibat dan mendengar.

Oleh itu, remaja harus sentiasa berhati-hati agar tidak menyinggung perasaan sesiapa dan pastinya kita mengharapkan perbuatan yang serupa daripada orang lain juga.

Allah mencipta manusia dengan akal dan hati, yang saling berbeza tabiat dalam memberikan reaksi kepada perkataan. Akal memproses logik dan hati memproses emosi.

Apabila seseorang memberi tindak balas yang positif, secara automatik emosi akan berasa ceria dan bersemangat dan begitulah sebaliknya.

Apatah lagi sekiranya berjenaka tentang agama yang bermaksud untuk memperlekehkan agama.

Ia mungkin berlaku tanpa disedari, sebagai misalnya berlawak mengenai hukum-hakam yang sudah sedia maklum wajib dilakukan seperti bersolat, berpuasa, dan asas-asas rukun Islam dan rukun Iman yang lain.

Ada juga yang tanpa sedar berjenaka mengenai tuntutan yang wajib dilakukan seperti menutup aurat, menjaga kewajipan dengan jiran dan guru, poligami dan sebagainya.

Paling tidak pun, bergurau dengan memendekkan istilah-istilah yang baik seperti astaga, La'ilah, dan sebagainya dengan tujuan menimbulkan rasa geli hati kepada pendengar. Semua ini akan menjejaskan keimanan walaupun dilakukan tanpa sedar dan niat.

Adalah menjadi suatu kebiasaan pula di masa kini untuk menyelitkan lawak jenaka dalam majlis-majlis ilmu.

Sesetengah orang berpendapat bahawa tanpa jenaka sesebuah ceramah akan menjadi bosan dan tidak menarik.

Mungkin ada benar. Dan mungkin juga ia kurang tepat. Bagaimana ilmu boleh disampaikan secara berkesan sekiranya disampaikan dengan lawak dan terlalu santai? Apakah matlamat sebenar apabila berceramah? Memastikan matlamat seminar tercapai atau membuat orang ketawa?

Justeru, penggunaan bahasa dalam bergurau dan jenaka mesti digunakan sebaik-baiknya kerana dibimbangi boleh membawa interpretasi yang salah yang menyinggung manusia dan hukum-hukum Allah.

Sekiranya ia dilafazkan untuk meredakan ketegangan minda dan sekadar menaikkan suasana ceria, bolehlah dilakukan sekadarnya.

Apa yang penting, gurauan dan jenaka bukanlah jalan untuk mengalih dan menutup pintu kebenaran. Kerana apabila manusia sudah terlalu gembira, kadangkala mereka terlupa akan isu pangkal dan fokus sebenar.

Syirik tanpa sedar

Selain itu kita juga sering disajikan dengan lagu-lagu, sajak, drama atau filem yang menggunakan bahasa-bahasa yang menggambarkan cinta manusia lebih unggul daripada cinta kepada Allah SWT.

Lambakan lagu yang menggunakan istilah seperti 'tidak boleh hidup tanpamu', 'hidup matiku hanya untukmu' dan sebagainya menggambarkan bahawa manusia seolah-olah telah menjadi hamba kepada cinta dan manusia bergantung kepada manusia yang lain sedangkan Allah telah menjadikan manusia dengan kemampuan dan kelebihan yang tersendiri.

Terdapat juga lagu-lagu yang tanpa kita sedari menyalahkan takdir atas musibah yang berlaku, sedangkan dalam Islam kita harus percaya kepada ketentuan qadar dan qada yang Allah tentukan. Lagu digambarkan seolah-olah hidup akan hancur selepas kehilangan sesuatu atau seseorang, ataupun sedangkan kita dituntut untuk bersabar, percaya dan bertawakal kepada Allah.

Begitu juga dengan nyanyian, iaitu pada dasarnya ia tidak sepatutnya melekakan apatah lagi memuja-muja sesuatu selain Nya yang boleh membawa ke arah syirik.

Menggunakan perkataan seperti dewa, dewi, idola dan lain-lain sebagai manifestasi kepada orang yang dicintai adalah sesuatu yang salah.

Sungguhpun ia digunakan untuk menggambarkan betapa agungnya kecintaan terhadap seseorang, ia menyalahi konsep bahawa yang perlu diagungkan adalah Tuhan yang kekal abadi, dan bukan manusia dan dunia yang fana ini.

Harus diingat bahawa pengucapan kepada manusia tidak boleh melebihi tingginya kuasa Allah. Malang sekali apabila radio dan stesen TV juga menyiarkan lagu ini sewenangnya tanpa berfikir akan implikasinya apabila ia menjadi siulan ramai.

Memang tidak salah para remaja menjadi orang-orang yang dinamik dalam menggunakan istilah dan konsep. Tetapi setiap istilah terkandung makna dan makna dalam istilah agama berkait rapat dengan al-Quran dan hadis.

Seperti juga orang-orang Barat mengemukakan istilah-istilah tertentu untuk dipopularkan, tetapi ia terkandung maksud yang bercanggah atau tidak serasi dengan tradisi dan budaya orang Islam.

Orang Barat mengguna pakai sesuatu istilah, kadang-kadang berkait rapat dengan tradisi, budaya dan pancaran daripada sistem kepercayaan atau agamanya.

Para remaja yang hidup dalam negara merdeka amat mustahak menjaga kepentingan jati diri. Memelihara jati diri tidak semestinya menyebabkan para remaja menjadi tertutup terhadap pengaruh baik daripada budaya dan tradisi orang lain.

Budi bahasa yang baik sememangnya menyenangkan hati semua orang dan lebih baik disertakan dengan perbuatan yang yang baik. Bak kata pepatah Melayu, 'Orang berbudi kita berbahasa, Orang memberi kita merasa'.

Kesimpulan

Penggunaan bahasa dalam komunikasi seharian bukan kecil fungsinya. Penggunaan bahasa yang tepat dan benar memberikan makna mendalam dan struktur yang kukuh dalam menyampaikan sesuatu maksud.

Untuk bercakap mengenai kebenaran, tidak semestinya dalam nada yang keras dan kasar. Ia boleh disampaikan dengan nada yang lembut, tetapi tegas dan berprinsip.

Untuk berbeza pendapat juga tidak semestinya meninggi suara atau melukakan, tetapi harus dibalas dengan ilmu, fakta dan berbudi bahasa. Oleh itu, remaja harus berupaya membezakan antara yang baik dan buruk, serta tidak hanya terikut-ikut sesuatu perkataan atau perbuatan hanya dikatakan untuk mengikut peredaran zaman.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/