Rabu, 24 Februari 2010

Golongan lelaki mesti berusaha meningkatkan ilmu

MUNCUL semula isu membabitkan wanita menguasai pelbagai bidang pekerjaan di negara kita. Isu ini sekejap timbul sekejap hilang. Ia muncul semula selepas statistik atau kajian terbaharu dibuat mengenainya.

Semua pihak memahami bahawa dalam sesetengah bidang terutamanya perguruan, jumlah tenaga pengajar wanita lebih ramai, malah melebihi dua pertiga. Masalah disiplin di sekolah dikatakan berpunca daripada ramai tenaga pengajar wanita berbanding lelaki.

Walaupun ada yang menafikan tetapi setidak-tidaknya rasa gerun pelajar terhadap guru wanita lebih rendah berbanding guru lelaki. Apabila pekerja sektor awam dan swasta dikuasai oleh wanita, ada pihak mencadangkan tindakan menambah guru lelaki turut dilakukan.

Soalnya sekarang, minat belajar dan jumlah penuntut di sekolah mahupun institusi pengajian tinggi di seluruh negara dikuasai oleh pelajar wanita. Merekalah yang rajin belajar dan ada kesedaran pentingnya ilmu.

Soalnya juga, ke mana perginya golongan lelaki? Oleh sebab malas membaca, maka ramai pelajar lelaki tidak mahu belajar tinggi terutama jika ia melibatkan soal kena banyak membaca, kena buat tesis dan sebagainya.

Di institusi pendidikan yang berteraskan kemahiran pun, sudah mula terdapat ramai pelajar wanita. Mereka juga sudah belajar tentang komputer sehinggalah cara-cara hendak membaiki komputer, mereka menguasainya.

Kita percaya, lama-kelamaan dalam kursus buat rumah dan bina bangunan pun, akan ada lebih banyak pelajar wanita. Tidak cukup dengan pegawai-pegawai pertanian, golongan wanita juga sudah ada yang mengusahakan kolam ikan, kolam udang dan sebagainya.

Oleh itu, golongan lelaki mesti merebut peluang yang ada di hadapan mereka untuk bersaing dengan wanita. Tidak perlulah mereka membuang banyak masa dengan tidur, melepak, merempit, dadah dan sebagainya yang tidak membawa apa-apa keuntungan.

Jika mereka amalkan perkara itu secara berterusan, kita percaya golongan wanita akan membolot semua jenis pekerjaan termasuk bidang pekerjaan yang memang dikuasai oleh lelaki. Kita tidak boleh menolak golongan wanita jika mereka ada keupayaan, ada ilmu, kemahiran dan layak memegang sesuatu jawatan, apatah lagi jika tidak ada calon lelaki yang sesuai dan layak bagi mengisi kekosongan jawatan yang ditawarkan.

Sekarang, peluang untuk menuntut ilmu cukup luas. Di samping universiti, banyak kolej dibuka dan kursus-kursus yang ditawarkan sesuai dengan pasaran kerja negara.

Tempat-tempat itulah yang perlu diisi oleh lelaki, bukannya memenuhi katil-katil hospital dalam keadaan kaki dan tangan berbalut kerana terlibat dalam kemalangan atau merempit, atau memenuhi pusat-pusat serenti atau penjara kerana pelbagai kesalahan dadah dan jenayah.

Kesedaran sangat penting bagi golongan lelaki untuk menentukan arah dan masa depan mereka. Walaupun kita tidak menafikan hak wanita untuk sama-sama belajar dan bekerja dalam pelbagai bidang, tetapi kita bimbang sistem sosial berubah jika ramai wanita memegang jawatan tinggi dalam sektor-sektor tertentu.

Malah, di dalam kehidupan berumah tangga, akan ada masalah yang bakal timbul iaitu soal rasa rendah diri lelaki terhadap isterinya, apatah lagi jika pendapatan isteri lebih tinggi.

JASNI MAJED

Kapar, Selangor

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Kemelut bahasa Melayu

Oleh Nurul Farina Nazlan

Mampukah kedudukannya dipertahan seperti dalam Perlembagaan Negara

BEBERAPA ilmuwan bukan Melayu mengejutkan khalayak Wacana Hari Pejuang Bahasa 152 ketika memperkatakan ranjau dan duri yang terpaksa dilalui bahasa Melayu apabila mereka tampak lebih Melayu daripada sesetengah bangsa Melayu sendiri dalam hal ini.

Pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Dr Ridhuan Tee Abdullah, sebagai Cina Muslim tampak begitu bersimpati dengan nasib bahasa Melayu di negara ini apabila keluar dengan pandangan bahawa segala yang disaran dan diperdebatkan mengenai isu bahasa Melayu tidak akan bermakna tanpa ada semangat yang kuat.

“Soal bahasa adalah perkara besar kerana ia juga boleh diletakkan sebagai maruah sesuatu bangsa. Soalnya sekarang ialah siapa yang ingin melaksanakan usaha memartabatkan bahasa kebangsaan? Sampai bila isu bahasa mahu dipolitikkan. Kita semua perlu ada sikap bertolak ansur.

Jika jiwa pihak atasan sudah tiada jiwa Melayu, bagaimana caranya mereka ingin mendidik orang yang berada di bawah untuk mencintai bahasa rasmi sendiri,” soalnya dalam nada sebak pada wacana di Balai Budaya Tun Syed Nasir Ismail, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Wacana bersempena Majlis Perasmian Hari Pejuang Bahasa ‘152’ dihadiri lebih 100 peserta menyarankan semua rakyat Malaysia tidak mengira agama, bangsa dan warna kulit, perlu bersatu padu mempertahankan dan mendaulat kembali bahasa Melayu pada kedudukan sewajarnya.

Pensyarah Universiti Terbuka Malaysia (OUM), Dr S Nathesan Sellapan, pula berpandangan bahawa bahasa Melayu bukan saja untuk orang Melayu, tetapi ia adalah bahasa bangsa Malaysia yang perlu diselaraskan dengan konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Perjuangan ini tidak boleh dilakukan oleh bangsa Melayu saja kerana ia perlu dilaksanakan oleh semua masyarakat di Malaysia, malahan kita boleh lihat bahawa pembabitan masyarakat di Sabah dalam mendaulatkan bahasa Melayu adalah sangat kuat,” katanya.

Semangat memartabatkan bahasa Melayu semakin membara apabila Pengarah Institut Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi), Profesor Emeritus Dr Abdullah Hassan, menekankan tidak mudah untuk ‘memandaikan’ rakyat Malaysia seramai 24 juta orang dalam bahasa Melayu.

Ini kerana ia memerlukan ketekunan, dokongan dan kewangan daripada pihak berwajib. Isu penggunaan bahasa Inggeris menggantikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan membawa banyak mudarat kepada pembangunan modal insan untuk negara ini,” katanya yang juga Presiden Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM).

Beliau berharap bahasa Melayu diperkasakan semula ekoran kejayaannya ditenggelamkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada 2003 dan turut membidas segelintir pemimpin yang ‘lebih sudu daripada kuah’ dalam isu bahasa Inggeris, sedangkan bahasa mereka tidak sehebat mana.

Sejak pelaksanaan PPSMI, setiap tahun 300,000 pelajar terkandas dan siapa yang wajar dipertanggungjawabkan atas kegagalan ini. Saya berharap Kementerian Pelajaran dapat memperbaiki kembali kerosakan ini agar pelajar ini tidak kecundang.

“Semua pihak perlu sedar bahawa kita tidak boleh membina peradaban tanpa ilmu yang dikendalikan dalam bahasa kita sendiri. Hanya dengan ilmu di dalam bahasa rasmi negara ini, kita dapat membina peradaban dan memantapkan negara,” katanya

Ledakan kemarahan berhubung perkara ini dapat dikesan pada Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan, Datuk Dr Hassan Ahmad yang nyata kesal dan peliknya kerana bahasa Melayu masih bergelut dengan usaha memartabat, memperkasa dan memperjuangkannya selepas lebih 52 tahun dasar kebangsaan digubal.

Hal ini pelik bagi saya, kerana bahasa yang martabatnya hendak diperjuangkan atau diperkasakan ini bukan bahasa kecil-kecilan atau yang hayatnya hampir pupus tapi, ia adalah bahasa besar yang lebih 1000 tahun menjadi alat pembina tamadun tinggi di seluruh rantau Melayu-Indonesia,” katanya ketika menyampaikan ucap utama Perjuangan Bahasa Melayu Yang Tidak Sudah-Sudah. Mengapa?

Baginya masalah yang timbul berkenaan bahasa Melayu bukan disebabkan ia tidak layak menjadi alat kemajuan bangsa dan negara, tetapi kerana dasar yang ada tidak dilaksanakan dengan tegas, benar dan jujur, sering kali diselewengkan pihak tertentu.

Dasar itu selalu dikotak-katik atau menjadi mangsa pendirian, pendapat dan kepercayaan orang berkuasa, lalu diubah sesuka hati tanpa merujuk kepada Perlembagaan Negara, Parlimen, undang-undang bahasa ataupun secara rundingan dan perbincangan dengan pakar dasar bahasa Melayu di negara ini,” tegasnya.

Dr Hassan berpendapat, orang yang tidak pandai menggunakan bahasanya sendiri, tidak pandai berfikir lagi dalam bahasanya, tidak layak menjadi wakil rakyat, menteri dan pegawai kerajaan di negaranya selain berharap NGO Melayu bersatu untuk mempertahankan taraf dan fungsi bahasa Melayu dan tidak membiarkan ia diperalatkan sesiapa juga.

Pada sesi soal jawab, Pensyarah Jabatan Malaysia dan Indonesia, Pusan University of Foreign Studies, Prof Dr Kang Kyoung Seok, berkata penggunaan bahasa utama dunia bukanlah tunjang utama kegemilangan dan kemajuan sesebuah negara.

Korea sendiri tidak mendaulatkan dan mengutamakan bahasa Inggeris dalam aspek pembangunan ekonomi dan pendidikan kerana bagi kami, bahasa Korea sangat indah dan perlu dikekalkan. Saya sendiri berpandangan bahawa bahasa Melayu adalah antara bahasa indah di dunia dan wajar didaulatkan dalam negara dan rumpunnya sendiri,” jelasnya.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Selasa, 23 Februari 2010

Kita mesti bijak urus buruh asing

MENGIKUT pakar ekonomi dunia, lima faktor menjadi teras penjanaan ekonomi iaitu keusahawanan, perbelanjaan kerajaan, tenaga buruh, pelaburan asing dan sumber alam semula jadi. Untuk isu perbelanjaan kerajaan, pihak berkuasa perlu mencari banyak dana bagi memulihkan ekonomi.

Kejayaan mencari dana besar bagi menggiatkan pelbagai projek pembangunan dalam negeri akan merancakkan ekonomi. Sebahagian besar projek pembangunan negara akan mengundang keperluan buruh asing terutama dalam bidang pembinaan.

Usahawan pula adalah tonggak pergerakan ekonomi dalam negara. Ramai usahawan mendapat manfaat dengan kehadiran pendatang asing di Malaysia. Pendatang asing yang tinggal di negara ini tentu mempunyai keperluan seperti makan minum dan pakaian.

Perbelanjaan hasil titik peluh mereka memberi sumbangan kepada ekonomi negara. Tidak dinafikan juga banyak usahawan bergantung kepada tenaga buruh asing. Ramai juga terpaksa tutup kedai jika tiada buruh asing mengusahakan perniagaan mereka.

Kebanyakan pelabur asing melabur di Malaysia suatu ketika dulu kerana kos operasi murah di samping faktor lain seperti kestabilan ekonomi dan insentif kerajaan. Oleh kerana buruh tempatan sekarang sudah mempunyai tahap ekonomi tinggi, mereka tidak berminat dengan kerja sosioekonomi rendah.

Akibatnya peluang ini diambil buruh asing dari Indonesia, Myanmar dan Bangladesh. Kebanyakan industri yang dilaburkan mereka adalah intensif buruh. Jika kos mengguna buruh asing juga tinggi disebabkan kos pengambilan dan levi tinggi, pelabur asing akan berbondong-bondong memindahkan operasi ke negara sumber buruh seperti Vietnam, Indonesia, Thailand dan Myanmar.

Tenaga buruh tidak kira tempatan atau asing menyumbangkan nilai kepada pembangunan ekonomi negara. Tenaga asing tidak semestinya menggantikan fungsi buruh tempatan kerana ia akan menjadi tenaga buruh nilai tinggi.

Kehadiran buruh asing membolehkan tenaga buruh tempatan dinaik taraf kepada peringkat eksekutif atau pengurusan dan keusahawanan. Kehadiran buruh asing menggambarkan ekonomi memerlukan ramai buruh untuk pembangunan industri.

Negara maju juga menggunakan buruh asing untuk kerja sosioekonomi rendah. Mereka tidak menggunakan tenaga buruh tempatan untuk kerja berat, kotor dan bahaya. Tenaga buruh mereka dinaik taraf kepada bidang berinovasi dan kreatif.

Malaysia mempunyai banyak kelebihan dengan sumber alam semula jadi. Mengeluarkan hasil seperti kelapa sawit dan makanan memerlukan sumber tenaga buruh intensif. Rakyat Malaysia sebagai pemilik tanah berupaya menjadi usahawan tani yang berjaya jika sumber buruh asing mudah diperoleh.

Tanah terbiar mudah diusahakan untuk mendatangkan hasil lumayan daripada permintaan dalam dan luar negara.

Sementara itu, usahawan yang kreatif akan meneroka industri hiliran untuk menghasilkan pelbagai produk hasil tani bagi pasaran tempatan dan eksport.

Kesimpulannya, kehadiran pendatang asing suatu manfaat jika diuruskan dengan baik. Pengurusan secara birokratik dan korup merugikan negara. Kita perlu mencontohi negara maju seperti Amerika, Korea dan Singapura menguruskan sumber tenaga asing.

ANAK WAWASAN,
Kuala Lumpur.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Isnin, 22 Februari 2010

Bahasa Melayu tidak sukar

BUKU Petunjuk Bahasa antara bahan bacaan membantu meningkatkan penguasaan bahasa Melayu mereka.

Kita selalu mendengar senario bahawa ada di kalangan rakyat negara ini yang dilahir dan dibesarkan di Malaysia sehingga berbelas-belas tahun tetapi masih tidak fasih berbahasa Melayu.

Bahkan, lebih menyedihkan ada yang langsung tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu dan melihat bahasa itu sekadar bahasa cukup syarat memasuki institusi pengajian tinggi.

Bertemu dengan beberapa pelajar dari luar negara yang menjadikan Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai tempat pengajian mereka membuatkan hati penulis berbunga.

Melihat mereka menghargai bahasa Melayu bahkan mampu menguasainya dalam masa yang sangat singkat sangat menyeronokkan.

Kata mereka bahasa Melayu sangat mudah.

Percaya atau tidak dengan hanya dua bulan di Malaysia dan empat bulan di Indonesia, seorang anak muda Jerman, Moritz Ivo Will, 26, sudah boleh bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik.

Walaupun pelajar jurusan Ijazah Mikrobiologi Pertanian itu merendah diri mengatakan dia masih bertatih berbahasa Melayu, namun bagi penulis keupayaan itu cukup untuk membuatkan kita terpegun.

Pertemuan yang diatur oleh Pegawai Perhubungan Awam, UPM di Pusat Bahasa dan Komunikasi universiti itu telah mempertemukan penulis dengan empat warga luar tersebut.

Sepanjang sesi temu bual GenK dengan Moritz, Zainab Thamer Ahmed, 24, dari Iraq dan dua orang pensyarah bahasa Perancis, Cecile Gabarre dan Serge Gabarre, penulis kerap ketawa sendirian kerana teruja dengan perkataan yang mereka gunakan dalam pertuturan.

Sesekali bersoal jawab dalam bahasa Inggeris dengan mereka, akui Serge itulah antara kelemahan masyarakat Malaysia kerana tidak gemar menggunakan bahasa Melayu.

"Inilah masalahnya, apabila kami bercakap bahasa Melayu orang akan bercakap bahasa Inggeris dengan kami," kata Serge yang melihat ia menyukarkan untuk orang luar tertarik dengan bahasa Melayu.

Serge dan Cecile yang merupakan sepasang suami isteri dari Perancis telah menetap di Malaysia selama 12 tahun dan mengajar di UPM dalam kursus Bahasa Antarabangsa Perancis.

Zainab pula adalah pelajar jurusan Ijazah Linguistik Gunaan dan telah menetap selama empat tahun di Malaysia. Bapanya juga merupakan salah seorang pensyarah kejuruteraan di UPM.

Keempat-empat mereka mempunyai cerita tersendiri mengenai pengalaman dan kebolehan mereka dalam menguasai bahasa Melayu.

Menurut Moritz, dia belajar selama satu semester atau empat bulan semasa di Bandung, Indonesia.

"Di tempat saya tinggal, penduduknya tidak tahu menggunakan bahasa Inggeris oleh itu untuk berkomunikasi saya terpaksa mempelajari bahasa mereka.

"Kamus merupakan teman baik saya. Apabila saya datang ke Malaysia pembelajaran bahasa Melayu itu berterusan kerana bahasa Indonesia adalah hampir sama dengan Malaysia," katanya.

Bagi Zainab pula, bahasa Melayu sangat mudah untuk dipelajari kerana tatabahasanya mudah dan banyak perkataan dalam bahasa Melayu menyamai bahasa Arab.

Di UPM dia mengambil subjek Bahasa Melayu 1, Bahasa Melayu 2, Bahasa Melayu 3 dan Bahasa Melayu Tinggi. Disebabkan itu dia tahu menggunakan kosa kata dengan betul untuk percakapan dan penulisan.

"Dalam keluarga hanya saya dan seorang adik saya sahaja yang fasih menggunakan bahasa Melayu. Perkara yang saya paling suka adalah melihat reaksi orang ramai ketika saya bertutur dalam bahasa Melayu sehinggakan orang akan kata, 'Oh tuhan'.

"Adik saya juga pernah mendapat potongan harga ketika membeli barang di kedai semata-mata kerana dia pandai bertutur dalam bahasa Melayu," katanya.

Zainab Thamer Ahmed

Kata mereka, bahasa Melayu sangat mudah dipelajari dan ia menyerupai bahasa Inggeris. Bahasa Melayu berpotensi untuk menjadi lingua franca kerana masyarakat dunia menggemari bahasa yang mudah.

Bagi pasangan Cecile dan Serge, mereka menuntut selama empat tahun di Universiti Bahasa Antarabangsa di Perancis.

Selama tiga tahun mereka belajar bahasa Indonesia manakala setahun lagi mempelajari bahasa Malaysia. Antara karya-karya yang sering menjadi rujukan mereka adalah karya Osman Awang, Siti Zubaidah dan banyak lagi.

"Memang sukar belajar bahasa asing di Perancis kerana segalanya adalah dalam bahasa Perancis termasuk filem wayang antarabangsa. Ia akan diubah suara.

"Tapi seronok bila boleh berbahasa Melayu kerana ia menjadi motivasi terbaik dalam pengajaran bahasa Perancis di UPM. Pelajar akan merasa tercabar kerana pensyarah mereka tahu menggunakan bahasa ibunda Malaysia oleh itu pelajar akan lebih tekun mempelajari bahasa Perancis.

"Secara tidak langsung ia dapat meningkatkan usaha pelajar dalam mendapat gred yang lebih baik," kata Serge.

Tambahnya, Malaysia sangat berlainan daripada negaranya dan juga beberapa negara maju lain. Malaysia sangat terbuka dalam isu bahasa antarabangsa kerana di Malaysia sendiri terdiri daripada berbilang kaum dan mempunyai bahasa Cina, Tamil dan bahasa Inggeris.

Filem wayang juga tidak akan dialih suara dan cuma menyediakan intisari kata.

Dalam pada itu Cecile memberitahu, pelajar-pelajar UPM menjadikan kebolehan mereka itu sebagai satu medium untuk bergurau dalam pembelajaran seperti menggabungkan bahasa Melayu dengan bahasa Perancis.

"Kadang-kadang apabila pelajar tidak tahu suku kata Perancis yang ingin digunakan mereka akan menyebut dalam bahasa Melayu dengan intonasi bahasa Perancis.

"Ia menjadikan suasana pembelajaran menjadi lucu dan gamat dengan gelak ketawa. Ia menjadikan pembelajaran kelas menjadi lebih menarik," katanya. - JULIA ISMAIL

Sumber : http://www.kosmo.com.my/

Bahasa Melayu istilah tepat

Oleh Nazmi Yaakub
nazmi@bharian.com.my

Sejarah membuktikannya dan tidak perlu diubah hanya kerana takut

PENGGUNAAN istilah bahasa Melayu lebih tepat berbanding bahasa Malaysia berdasarkan bukti sejarah, pandangan akademik dan hakikat ilmu, sekali gus menjadikan usul Mesyuarat Agung Persatuan Penulis Kuala Lumpur (Kalam) Ke-15, pada bulan lalu, wajar diambil perhatian oleh kerajaan.

Pengerusi Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Rahim Aman, berkata penggunaan istilah bahasa Malaysia lebih berbentuk politik dan tidak merujuk kepada ilmu bahasa, sedangkan istilah yang tepat ialah bahasa Melayu dengan mengambil kira sejarah, akademik dan hakikat ilmu.

Kerajaan mungkin melihat integrasi nasional sehingga mengharapkan semua etnik di negara ini menerimanya sebagai bahasa nasional. Bagaimanapun, ia tidak benar jika kita melihat berdasarkan konsep akademik kerana sejarah kita lebih kepada penggunaan istilah bahasa Melayu dan sudah pun diterima oleh semua etnik di negara ini,” katanya kepada Sastera di pejabatnya di Bangi, baru-baru ini.

Dr Rahim berkata, penggunaan istilah bahasa Melayu sudah wujud sebelum Kesultanan Melayu Melaka diasaskan seperti yang digunakan oleh Kerajaan Melayu Funan, manakala pembukaan Melaka memperkukuhkan lagi kedudukan bahasa terbabit.

Kerajaan Johor-Riau selepas jatuhnya Melaka, juga berkembang sebagai pusat pentadbiran, ilmu, ekonomi dan persuratan Melayu sehingga bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa penyatu kepada etnik yang ada.

“Kalau kita lihat bahasa Inggeris pun sebenarnya berasal daripada dialek yang asalnya berkembang di wilayah England yang masih kecil ketika itu, tetapi diangkat menjadi bahasa kebangsaan mereka selaras dengan perkembangan kota London sebagai pusat ekonomi dan kecemerlangan tamadun,” katanya.

Apatah lagi istilah bahasa Melayu, masih digunakan dalam konteks akademik sehingga pusat dan program pengajian masih mengekalkan bahasa Melayu kerana universiti dibina atas asas akademik, berdasarkan sejarah bahasa Melayu yang lama itu.

Beliau turut mempersoalkan kewajaran perubahan itu kerana bahasa Melayu sudah pun kukuh dan berupaya menjadi bahasa penyatu sehingga generasi terdahulu sejak ratusan tahun dulu dapat menerimanya.

Kita jangan berasa takut pada perkataan Melayu kerana sifat takut itu sendiri sebenarnya menggalakkan perkauman, sebaliknya penggunaan Melayu, boleh mencairkan perkauman kerana semua etnik di negara ini menerimanya.

“Bahasa Cina dan bahasa Tamil masih ada tetapi mengapa kita korbankan bahasa Melayu sedangkan saya yakin orang Cina sendiri menerima istilah itu kerana tidak ada demonstrasi atau bantahan daripada etnik lagi,” katanya.

Mengenai istilah bangsa Melayu, Dr Rahim mengambil pendekatan untuk menerima penggunaannya kerana bangsa merujuk kepada bangsa yang membina sesebuah negara, manakala etnik atau kaum pula digunakan untuk Melayu, Cina, India serta etnik di Sabah dan Sarawak.

“Semua etnik itu menjadi warga negara, iaitu bangsa Malaysia seperti bangsa Amerika yang diwakili pelbagai etnik, sekali gus penggunaan bangsa Malaysia wajar dikekalkan untuk menimbulkan kebanggaan kerana tanah ini menjadi tempat kita hidup, membina kehidupan dan mati,” katanya.

Pandangan Dr Rahim senada dengan Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Adi Yasran Abdul Aziz, dalam soal penggunaan bahasa Melayu, tetapi berbeza dalam konteks penggunaan bangsa Melayu.

Istilah bahasa Melayu sudah digunakan pada Batu Bersurat Terengganu pada 1303 Masihi dan terus digunakan sehingga 1970 tanpa ada sebarang isu berbangkit sehingga ketika mencapai kemerdekaan, bangsa lain tidak membantah apabila ia dimaktubkan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu,” jelasnya.

Justeru, ada keperluan untuk menilai kembali perubahan istilah kepada bahasa Malaysia kerana ia berkaitan dengan jati diri orang Melayu sedangkan bahasa dan bangsa adalah fitrah kejadian, lalu perubahan mesti dibuat ke arah kebaikan dan sekiranya tiada manfaat besar kepada orang Melayu, perubahan tidak perlu.

Bahasa Melayu sudah diterima berabad-abad lama. Bahasa dan bangsa ialah fitrah kejadian. Apabila seseorang dibesarkan dalam keluarga Melayu yang menggunakan bahasa ibundanya, individu berkenaan akan turut berbahasa Melayu, iaitu peringkat pemerolehan bahasa,” katanya.

Beliau meminta pihak yang mahu mencipta istilah, terlebih dulu merujuk Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang bertanggungjawab dalam perkara terbabit kerana ia perlu mematuhi prosedur tertentu sebelum istilah berkenaan diterima pakai.

Berbincang dulu dengan ahli bahasa sebelum menukarkannya. Sekiranya ada kepentingan politik dan perpaduan, ahli bahasa terbuka dalam menilai. Apatah lagi dari segi undang-undang, ia tidak tercatat sebagai bahasa kebangsaan ialah bahasa Malaysia. Sebaliknya Perkara 152 menegaskan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu,” tegasnya.

Mengenai istilah bangsa Malaysia, Dr Adi Yasran menganggap istilah itu sebagai idaman yang belum berlaku, sebaliknya penggunaan masyarakat Malaysia lebih tepat berdasarkan realiti rakyat di negara ini yang berada di bawah pentadbiran dan pemerintahan Malaysia.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Pendaftaran SPM, SPMU, STAM 2010 Dibuka Mulai 1 Hingga 31 Mac Ini

PUTRAJAYA: Pendaftaran bagi menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2010 akan dibuka mulai 1 Mac sehingga 31 Mac ini.

Kementerian Pelajaran Malaysia dalam kenyataan di sini hari ini berkata borang pendaftaran bagi calon sekolah boleh didapati di sekolah masing-masing, manakala bagi calon persendirian boleh diperolehi di Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) yang terdekat.

Pendaftaran lewat tidak akan dilayan, kata kenyataan itu.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut, mereka yang berkenaan boleh layari laman web Lembaga Peperiksaan Malaysia di www.moe.gov.my/lpm. - BERNAMA

Ahad, 21 Februari 2010

Ubah tabiat memandu

Oleh ZULKIFLI ABAS

ALASAN segelintir pemandu kenderaan berat 'terpaksa' berhenti di lorong kecemasan untuk berehat atau tidur adalah tidak masuk akal dan membuktikan kebanyakan mereka tidak peka terhadap keselamatan pengguna lebuh raya yang lain terutama penunggang motosikal.

Bukankah lebuh raya sudah dilengkapi dengan hentian rawat dan rehat (R&R) yang banyak? Pemandu kenderaan berat seharusnya mengenal pasti R&R terdekat untuk berhenti rehat. Bukannya berhenti sesuka hati di mana-mana tempat yang mereka inginkan. Sikap 'tak kisah' inilah yang sebenarnya menjadi penyumbang kepada kemalangan yang disebabkan oleh kenderaan berat. Kebanyakan mereka bukannya tidak tahu lorong kecemasan tidak boleh digunakan untuk berhenti rehat atau tidur, tetapi sikap tidak ambil kisah yang menebal di dalam diri kebanyakan pemandu kenderaan berat membuatkan mereka seolah-olah tidak menghormati atau mempedulikan keselamatan orang lain. Buatlah seberapa banyak peraturan sekalipun, jika sikap tidak ambil kisah sudah sebati di dalam diri, pasti ia tidak akan dipatuhi.

Selain itu, sekiranya kenderaan berat terpaksa juga berhenti di lorong kecemasan akibat kerosakan, pemandu terbabit perlu mengambil langkah-langkah keselamatan yang sepatutnya seperti menyalakan lampu isyarat kecemasan serta meletakkan kon berjarak berpuluh-puluh meter di belakang kenderaan yang rosak untuk memberi amaran kepada pemandu lain. Ini adalah perkara asas yang perlu diambil ketika terpaksa berhenti di jalan raya. Selain itu, jawapan biasa seperti 'tunggu mekanik' atau 'tunggu trak tunda' yang diberikan oleh pemandu kenderaan berat yang tidak meletakkan kon dan tidak menyalakan lampu isyarat kecemasan juga tidak boleh diterima sama sekali.

Saya juga ingin menggesa semua pemandu serta operator kenderaan berat supaya memastikan kenderaan diservis dan berada dalam keadaan yang baik sebelum memulakan perjalanan. Penyelenggaraan kenderaan berat tidak boleh diambil mudah. Sekali ia rosak di lebuh raya, ia bukan sahaja boleh mendatangkan kerugian kepada syarikat, tetapi boleh menyebabkan kehilangan nyawa!

Sementara itu, bukan semua kemalangan di lorong kecemasan berpunca daripada kenderaan berat. Para pemandu kenderaan persendirian dan ringan juga boleh dipersalahkan.

Pada pemerhatian saya, kebanyakan kemalangan di lorong kecemasan disebabkan pemandu memasuki atau memandu di lorong kecemasan.

Peraturan sudah jelas menyatakan bahawa laluan kecemasan tidak boleh digunakan, selain berlaku kecemasan. Adakah pulang bercuti, memotong kenderaan lain, berlumba, mahu cepat sampai ke rumah, ke pejabat atau ke pusat membeli-belah diklasifikasikan sebagai situasi kecemasan? Jika kita buat-buat tidak faham atau 'lupa' tentang fungsi lorong kecemasan, siapa lagi? Ingat, jalan raya dan lebuh raya dikongsi bersama pemandu lain, bukan kita sahaja.

Selain itu, terdapat juga kemalangan di lorong kecemasan disebabkan oleh kenderaan terbabas ke lorong itu. Tambah malang, terdapat kenderaan berat berhenti di lorong kecemasan pada ketika itu. Cuba kita kaji mengapa kenderaan tersebut terbabas ke lorong kecemasan. Saya yakin, kebanyakan punca disebabkan pemandu hilang kawalan akibat kenderaan dipandu terlalu laju atau pemandu terlelap atau tertidur.

Kenderaan sukar dikawal dan mudah terbabas jika dipandu terlalu laju, lebih-lebih lagi jika kenderaan tersebut direka untuk pemanduan biasa sahaja. Proton Wira atau Proton Waja tetap bukan Mitsubishi Evolution, Perodua Kancil tetap bukan Honda Civic. Jika dipandu terlalu laju, ia mudah hilang kawalan dan terbabas ke lorong lain.

Memanglah lebuh raya agak lengang pada waktu malam dan kadangkala kita sedikit teruja untuk menguji kekuatan enjin kereta dan kehebatan kita. Tetapi, ia bukanlah 'lesen' untuk kita memandu terlalu laju. Pada waktu malam di jalan yang lengang, kita masih pemandu biasa. Kita tidak akan bertukar menjadi Lewis Hamilton dan kenderaan kita tidak akan bertukar menjadi kereta Maclaren pada waktu malam.

Terdapat juga kemalangan di lorong kecemasan disebabkan pemandu mengantuk atau terlelap. Polis juga telah menasihatkan supaya pemandu berhenti rehat setiap satu setengah jam atau dua jam. Jika kita memandu secara berterusan melebihi dua jam, kita tidak akan dapat memberikan sepenuh tumpuan pada keadaan sekeliling atau papan tanda yang diletakkan di sepanjang jalan. Badan yang letih membuatkan mata berasa berat dan mengantuk. Walaupun kita terlelap hanya untuk satu atau dua saat, kita mungkin sudah memasuki lorong lain, melanggar kenderaan di sebelah atau melanggar pembahagi jalan.

Kita bukannya robot. Jika pemandu sudah mengantuk, kenderaan seperti BMW, malah Ferrari sekalipun boleh terbabas. Impaknya juga mungkin lebih dahsyat lagi kerana kenderaan-kenderaan ini lazimnya dipandu dengan kelajuan yang tinggi.

Secara kesimpulannya, kemalangan di lorong kecemasan memang boleh dielakkan jika kita sendiri mengubah tabiat atau etika pemanduan. Kita perlu peka dan bertimbangrasa terhadap keselamatan diri sendiri, keluarga, rakan, penumpang dan pengguna jalan raya dan lebuh raya lain.

Di lebuh raya, sedikit kelalaian boleh mengundang padah. Sikap 'tidak apa' tidak boleh wujud di dalam diri apabila memandu. Justeru, jangan mengambil kesempatan terhadap kemudahan lebuh raya yang disediakan.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/