Sabtu, 6 Mac 2010

Mencari jawapan di sebalik gejala seksual

Oleh NORAINI ABD. RAZAK

SEKS dan manusia sememangnya tidak dapat dipisahkan. Begitu juga seks dan haiwan. Namun seks haiwan tiada garis panduan. Sebab itu seks melampau dikaitkan dengan nafsu kebinatangan. Tetapi dalam dunia moden, sering dipaparkan naluri seks manusia lebih binatang dari haiwan.

Itu realiti dunia siber. Di mana seks sejenis menjadi halal. Itu mungkin tidak berlaku dalam dunia haiwan. Haiwan akur pada tabie, maka kitaran seks haiwan mengikut putaran tabie, tiada yang di luar tabie.

Nafsu haiwan tidak berkembang. Tiada juga halal atau haram. Haiwan tidak belajar daripada manusia tentang kegilaan seks.. Selalunya manusia yang meniru perilaku seks haiwan. Ini kerana perilaku haiwan terbatas dek kekosongan fikiran. Manakala manusia menggunakan kelebihan akal dan fikiran untuk mencuba sesuatu yang di luar jangkauan. Maka terciptalah perilaku songsang yang menyanggah putaran alam.

Itu perbezaan dan persamaan antara naluri seks manusia dengan haiwan.

Mungkin disebabkan naluri seks manusia yang semakin tidak terbimbing maka timbul cadangan supaya pendidikan seks diperkenalkan di sekolah. Maknanya, seks mesti dididik. Jika tidak dididik dikhuatiri seks semulajadi akan menyimpang sehingga menjadi punca runtuhnya masyarakat. Apabila masyarakat runtuh maka akan huru-haralah dunia. Yang haram dihalalkan di sisi undang-undang, manakala yang songsang dijadikan resam.

Tetapi sejauh mana relevannya pendidikan seks di sekolah dengan kawalan kewarasan manusia dalam mendepani kemaruk seks? Mampukah pendidikan berlawan dengan aliran deras dunia tanpa sempadan yang membawa masuk segala porno dan idea gila tentang seks biar pun di ceruk pedalaman sekali pun?

Adakah trend seks bebas, jenayah pembuangan bayi, seks sesama jenis dan seks terlampau dapat dibendung menerusi pendidikan seks secara formal di sekolah?

Atau pendidikan seks mesti dilangsungkan secara tidak rasmi - oleh ibu bapa di rumah atau menerusi bimbingan agama. Kemudian digabung pula dengan peringatan serta pendidikan secara tidak langsung menerusi subjek tertentu seperti pendidikan agama, moral, sains, kesihatan, biologi, sains rumahtangga dan kemahiran hidup.

Terbukti berkesan

Pendekatan konvensional (tanpa slot khas atau matapelajaran khas seks) terbukti berkesan puluhan tahun lalu. Bukan tiada langsung jenayah berkaitan seks berlaku pada zaman nenek moyang kita. Ada, tetapi parasnya amat minimum. Kegilaannya tidak sampai ke tahap menamatkan nyawa tidak berdosa di dalam longkang atau tong sampah. Atau dibakar supaya jejak dan susur galur si pembuat dosa tidak dapat dikesan.

Peringkat pertama pendidikan seks bermula di tangan ibu bapa. Dahulu ibu bapa tegas mengingatkan anak-anak tentang apa yang tidak boleh dan apa yang boleh dilakukan. Sejak kecil anak-anak diingatkan supaya menjaga kehormatan. Jangan dibenar sesiapa menyentuh kehormatan diri hatta keluarga terdekat.

Anak-anak tidak dibenar keluar malam kecuali untuk mengaji, belajar agama atau menghadiri tuisyen. Itu pun dengan penuh kebimbangan. Bukan seperti zaman sekarang, tuisyen menjadi 'senjata' utama untuk melepaskan diri dari pandangan ibu bapa. Manakala pendidikan seks di sekolah diajar secara tidak rasmi kebanyakannya menerusi subjek agama. Ustaz mengajar tentang halal dan haram. Para pelajar diberi tunjuk ajar tentang akil dan baligh yang membawa perubahan fizikal lelaki dan wanita.

Mereka membimbing tentang perlunya mandi hadas, apabila didatangi haid atau mengalami mimpi. Istilah-istilah seperti persetubuhan disentuh sejak usia tujuh tahun. Paling penting semua nilai yang boleh menjadi benteng pertahanan diri daripada terjebak dalam 'jenayah' seks atau jenayah-jenayah lain ditekankan secara tidak lansung di rumah dan di sekolah. Ingatan tentang dosa dan pahala memagari keterujaan untuk mengetahui lebih banyak tentang seks..

Selepas nikah

Biar pun tidak diajar mengenai seks selamat atau penggunaan alat pencegah kehamilan, namun sering ditekankan, seks hanya boleh berlangsung selepas nikah. Terbukti ajaran dan pendekatan yang berlangsung sejak turun temurun itu sedang galak digunapakai di Barat. Anak-anak muda diingatkan tentang seks selamat. Salah satu elemen dalam seks selamat adalah seks selepas berkahwin. Kepercayaan itu semakin mendapat tempat lantaran menyedari bahawa pendidikan seks di sekolah bukan jawapan kepada pelbagai masalah akibat seks yang semakin membimbangkan dunia.

Sebab itu dalam dunia moden, kesedaran mengenai akibat seks tidak terkawal seperti dijangkiti penyakit kelamin, AIDS dan krisis moral bukan menuntut satu jawapan. Kesemua gejala itu tidak boleh ditangani hanya dengan memperkenalkan pendidikan seks di sekolah.

Tanggungjawabnya besar. Ibu bapa, guru- guru, masyarakat dan individu itu sendiri. Jika ibu bapa memainkan peranan tetapi guru-guru memandang lewa, maka kesedaran tidak akan mampu dipupuk. Jika ibu bapa dan guru-guru melaksanakan fungsi masing-masing tetapi masyarakat tidak peduli, tidak ada gunanya. Manakala jika ketiga-tiga pihak berjaya dalam peranan masing-masing tetapi pengaruh dunia tanpa sempadan gagal dibentengi oleh individu, maknanya kita kena kembali kepada asas kehidupan - menjadikan agama sebagai panduan. Lantaran di situ jawapan yang sebenar.

Menjauhi seks terlarang yang membawa kepada pelbagai penyakit masyarakat dalam dunia serba canggih sememangnya tidak mudah. Ia tidak semudah anak kecil penulis menghafal perkara yang membatalkan air sembahyang antaranya 'keluar sesuatu dari qubul dan dubur'. Apabila ditanya maksud dua perkataan, lancar dia menjelaskan - jalan belakang dan depan.

Lantaran pada usia itu dia tidak tahu mana satu jalan yang halal dan haram. Tanggungjawab ibu bapa dan guru memberi kefahaman lanjut. Selebihnya terpulang kepada bentuk masyarakat tempat dia membesar kelak. Manakala pendidikan seks di sekolah bukan jalan penyelesaian.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Profesor Dr. Awang Sariyan Sokong Wajibkan Kursus Bahasa Melayu Kepada Pelajar Asing

Prof. Dr. Awang Sariyan

SAYA menyokong sepenuh-penuhnya ketetapan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia untuk mewajibkan kursus bahasa Melayu kepada 65,000 orang pelajar asing di institusi pengajian tinggi di negara ini, sebagaimana yang dinyatakan oleh YB Dato’ Seri Mohd. Khaled Nordin, Menteri Pengajian Tinggi Malaysia.

Ketetapan itu sebenarnya merupakan pengisian dasar yang telah diputuskan oleh Kerajaan Malaysia sendiri sebagai susulan Akta Pendidikan 1996 yang menetapkan tiga subjek wajib untuk diikuti oleh pelajar asing, iaitu bahasa Melayu, pengajian Malaysia dan pendidikan moral.

Bahkan dasar mewajibkan penguasaan bahasa kebangsaan negara tuan rumah seumpama itu telah menjadi amalan sejagat di negara-negara lain yang menerima pelajar dari luar negara sejak lama dahulu.

Kejayaan dasar itu di negara ini telah dilaksanakan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia sejak lebih 20 tahun sehingga memungkinkan pelajar dari luar negara di universiti itu dapat berinteraksi dan berkomunikasi dengan baik dengan masyarakat setempat, serta dapat menghayati budaya di negara ini.

Sukatan pelajaran bahasa Melayu untuk pelajar asing sebenarnya telah pun disiapkan, pada waktu itu oleh Pusat Perkembangan Kurikulum dengan bantuan pakar-pakar bahasa, semasa hal ehwal pengajian tinggi masih di bawah Kementerian Pendidikan.

Pihak pengurusan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia diharapkan dapat membuat langkah susulan dengan segera untuk melaksanakan ketetapan yang dinyatakan oleh Menteri Pengajian Tinggi itu.

Ini merupakan salah satu langkah yang praktis dan mulia untuk memperdanakan bahasa Melayu dalam kalangan warga dunia, kerana pelajar yang pulang ke negara masing-masing pasti dapat menjadi sumber pengembangan bahasa Melayu di negara masing-masing.

Dengan terdapatnya 130 buah institusi pengajian tinggi di 45 buah negara sedunia yang mengajarkan pengajian Melayu, langkah kerajaan Malaysia memperkenalkan bahasa Melayu kepada pelajar dari luar negara yang belajar di negara ini pasti dapat meningkatkan martabat bahasa Melayu dengan lebih cepat dan meluas.

Prof. Dr. Awang Sariyan Penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu Malaysia-China Universiti Pengajian Asing Beijing

Sumber : http://mstar.com.my/

GERHANA BAHASAKU

Gerhana bahasaku lindungkan seri pelangi
tumpahkan kelam bayang
menutupi desa, perahu nelayan, gubuk, tadika dan

sekolah-sekolah warisan ibunda.

Kanak-kanak di titian lama

tak lagi berlari dan ketawa memperaga ceria
hitam masih bayang gerhana bahasa
menghalang pandangan tutur dan seni kata
di bilik darjah tiada riang tulisan
seakan petanda ia akan ditinggalkan.

Entah apa terjadi
pada kitab-kitab tua penuh kias dan ujana

segala guru dan pendeta
terkunci agaknya dalam gelap tak bernama.


Seketika seakan berakhir gerhana itu

mengamankan buanaku bahasaku.


MALIM GHOZALI PK
Kota Damansara

http : //www.bharian.com.my/

Jumaat, 5 Mac 2010

Pidato Piala PM Usaha Untuk Ketengahkan Bahasa Melayu

Johan Kategori Nusantara, Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri, Syazwan Shuhaimi dari Malaysia (dua dari kiri), tersenyum riang selepas menerima hadiah daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Kategori Antarabangsa dimenangi Zhang Song (dua dari kanan) dari China.

PUTRAJAYA, 6 Mac (Bernama) - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata usaha kerajaan menganjurkan pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri ialah bagi mengetengahkan bahasa Melayu sebagai unsur kebudayaan dan tamadun kepada masyarakat dunia.

Perdana Menteri berkata usaha itu merupakan satu bentuk globalisasi budaya dan tamadun yang murni jika Malaysia mahu memastikan fenomena globalisasi tidak semestinya bersifat sehala, yakni dari barat ke timur sahaja namun boleh juga sebaliknya.


"Daya usaha dan kejayaan menganjurkan kegiatan (pidato) sedemikian ini amat besar maknanya dalam upaya kerajaan untuk ikut serta dalam arus globalisasi semasa yang sedang direntasi.

"Penyertaan kita dalam arus globalisasi yang saya maksudkan itu bukan bererti kita harus tenggelam dalam segala bentuk pengaruh asing, baik dalam pemikiran, ideologi, budaya mahu pun teknologi.

"Tetapi soalnya adalah bagaimana kita dapat menjadi pelaku aktif dan positif kepada sebahagian proses globalisasi," katanya ketika merasmikan pertandingan akhir pidato itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, Jumaat malam.

Seramai 56 peserta dari 51 negara menyertai pertandingan pidato edisi keempat itu, tahun ini. Bermula dengan Piala Timbalan Perdana Menteri, selepas tiga tahun, kini diangkat menjadi Piala Perdana Menteri.

Najib berkata beliau melihat pertandingan pidato itu begitu bitara atau unik bukan kerana ia merupakan satu-satunya pertandingan peringkat antarabangsa dalam bahasa Melayu tetapi kelebihan yang dapat ditonjolkan ialah melalui aspek praktikal penggunaan bahasa itu sendiri.

"Saya difahamkan semua urusan berkaitan penganjuran pertandingan ini dilakukan dalam bahasa Melayu. Khabarnya lagi, segala urusan surat-menyurat dan komunikasinya juga dilaksanakan dalam bahasa Melayu," katanya.

Beliau juga melahirkan rasa syukur kerana selepas memasuki edisi keempat tahun ini, penyertaannya meningkat dua kali ganda kepada lebih 50 buah negara dari enam benua, berbanding pada edisi pertama pada 2007 iaitu sebanyak 23 buah negara.

Justeru, beliau berharap agar usaha menganjurkan pidato itu tidak terhenti setakat ini sahaja tetapi haruslah menjadi kerja berterusan supaya suatu hari nanti dapat menarik penyertaan lebih ramai peserta dari segenap pelosok dunia.

"Misalnya, jika selama ini, Malaysia menjadi pelopor Tilawah al-Quran peringkat antarabangsa dan sentiasa menerima penyertaan menggalakkan hingga berupaya mengangkat nama Malaysia harum ke pentas dunia.

"Begitulah, saya yakin dan percaya bahawa apa telah kita mulakan dengan pertandingan pidato dalam bahasa Melayu ini juga satu kala kelak akan berkembang dan berjaya seperti mana Musabaqah al-Quran tersebut," katanya.

Sementara itu, peserta Malaysia, Mohd Syazwan Shuhaimi dinobatkan juara bagi kategori Nusantara manakala peserta dari China, Zhang Song bagi kategori antarabangsa.

Kedua-dua johan pertandingan peringkat akhir itu membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah US$5,000, piala pusingan serta piala iringan.

Naib johan kategori nusantara pula milik peserta Kemboja, Chai Lany Sles manakala tempat ketiga dimenangi oleh Leonora Lydia Gebby Wentuk dari Indonesia.

Naib johan kategori antarabangsa pula dimenangi oleh Natalya Budanova dari Russia manakala tempat ketiga, Josee Hunnekes dari Jerman.

Masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai US$3,000 dan US$2,000 dengan piala iringan. Sebanyak lapan peserta layak ke peringkat akhir.

Sumber : http://www.bernama.com/

Pidato Antarabangsa : Lapan Peserta Ke Akhir

LAPAN peserta yang akan bertanding pada peringkat akhir Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu bagi merebut Piala Perdana Menteri.

Oleh Norliza Abdullah
lizz@bharian.com.my

LAPAN peserta mara ke pertandingan akhir Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2010 (PABM 2010), di Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya (PICC), malam ini, membabitkan tiga peserta kategori nusantara dan lima peserta kategori antarabangsa.

Kategori nusantara diwakili oleh Syazwan Shuhaimi dari Malaysia, Chai Lani Sles dari Kemboja dan Leo Nora Lydia Gebby Wentuk dari Indonesia. Bagi kategori antarabangsa pula masing-masing ialah Ponomar Karina dari Armenia, Zhang Song (China), Natalia Budanova (Rusia), Zara Maxwell Smith (Australia) dan Josee Hunnekes dari Jerman.

Peserta akhir, Ponomar Karina, 21, berkata pertandingan yang dianjurkan cukup menguji kecekapan berkomunikasi dalam bahasa Melayu dengan berkesan.

Beliau yang akan membawa tajuk `Dinamika Budaya - Malaysia Destinasi Dunia, berkata, dia terpaksa berhadapan dengan peserta lain yang lebih fasih berbahasa Melayu, namun saya layak untuk ke peringkat akhir.

“Untuk pertandingan ini, saya membuat pelbagai rujukan termasuk mengenai konsep 1Malaysia. Saya dapati konsep itu bukan saja sesuai di Malaysia tetapi juga di negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum,” katanya yang belajar di Kyib International University, di Ukraine. tahun.

Sementara itu peserta yang terkandas ke pertandingan akhir, Luca Guadagnuold, 23, dari Universita Degli, Itali berkata, pertandingan ini dapat mengumpulkan generasi muda yang fasih berbahasa Melayu dari seluruh dunia.

“Usaha murni Malaysia ini, dapat menyatupadukan masyarakat sejagat menerusi penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan utama.

“Saya belajar sejarah Nusantara dan berminat untuk belajar bahasa Melayu, dengan menyertai pertandingan ini pengetahuan saya mengenai alam Melayu lebih baik,” katanya ketika ditemui di Putrajaya, semalam.

PABM 2010 ialah program keempat yang sebelum ini dianjurkan bagi merebut Piala Timbalan Perdana Menteri yang dinaikkan taraf kepada Piala Perdana Menteri mulai tahun ini.

Pertandingan anjuran Kementerian Pengajian Tinggi; Kementerian Pelajaran; Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan serta Kementerian Pelancongan itu disertai 56 peserta mewakili 51 negara.

Johan pertandingan akan menerima wang tunai USD5,000 (RM17,500) serta hadiah sampingan, naib johan USD3000 (RM10,500) serta hadiah iringan, manakala tempat ketiga akan membawa pulang USD2,000 (RM7,000) dan sijil penyertaan.

Sebagai menghargai sumbangan peserta, penganjur menyediakan cenderamata berupa plak, sagu hati bernilai RM1,000 dan sijil penyertaan kepada semua peserta.

PABM 2010 bertujuan memartabatkan bahasa Melayu ke peringkat antarabangsa selain memupuk cintakan bahasa kebangsaan di kalangan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) tempatan dan pelajar antarabangsa yang mengikuti program berkenaan di universiti masing-masing.

Setakat ini terdapat 130 IPT di 45 negara seluruh dunia menawarkan program pengajian bahasa Melayu.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Khamis, 4 Mac 2010

Keputusan SPM/STAM diumum Khamis depan

KUALA LUMPUR: Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2009 akan diumumkan 11 Mac ini (Khamis).

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dalam kenyataan hari ini berkata, calon peperiksaan boleh mendapatkan keputusan di sekolah masing-masing mulai jam 10 pagi.

Katanya, calon persendirian pula akan mendapat keputusan mereka melalui pos, yang akan dihantar oleh Jabatan Pelajaran Negeri.

Jumlah keseluruhan calon yang menduduki peperiksaan SPM 2009 ialah 465,853 manakala STAM 6,920 calon.

Sumber : http://www.bharian.com.my/

Rabu, 3 Mac 2010

Pengorbanan guru ke pedalaman buka ruang lebih berjaya

TIMBALAN Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pelajaran di Putrajaya, semalam. Turut kelihatan timbalannya Dr. Mohd Puad Zarkashi (duduk dua dari kanan) serta Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom (duduk kanan)

APABILA Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, guru sedia ada dan guru baru akan diwajibkan bertugas di luar bandar serta pedalaman maka ketetapan itu bertujuan menjayakan sebahagian lagi proses Program Transformasi Kerajaan (GTP) bagi menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat tanpa dibatasi garis sempadan. Langkah mewajibkan guru berkhidmat antara tiga hingga lima tahun adalah antara usaha mengatasi kekurangan tenaga pengajar di kawasan berkenaan. Sistem pendidikan terbaik adalah yang memastikan setiap kanak-kanak berjaya dan ejen kepada kejayaan ini ialah guru. Ada seramai 369,931 guru berkhidmat di seluruh negara (perangkaan 2008). Mereka adalah ejen pembangunan sosial paling penting dalam merubah dan membentuk seorang individu sekali gus menjadi warga negara yang menyumbang kepada pembangunan keluarga, masyarakat, bangsa, agama dan negaranya. Syarat wajib ini jangan dilihat sebagai beban, igauan dan fobia kepada guru sedia ada mahu pun calon guru. Berkhidmat di luar bandar dan pedalaman mesti disambut secara positif. Kepayahan di sana akan melahirkan ketabahan dan tekad kental individu yang melalui. Keterpencilan melahirkan keinsafan sekali gus meningkat usaha seseorang untuk membuktikan kemampuan. Proses ini boleh dikategorikan sebagai hijrah yang terbukti di seluruh dunia sentiasa menjanjikan seseorang untuk menggapai kecemerlangan. Keputusan Nabi Muhammad SAW berhijrah dari Makkah ke Madinah adalah bukti paling jelas bahawa perpindahan membuka ruang seluas-luasnya kepada seseorang untuk lebih berjaya, tabah dan lebih berperancangan.

Apabila ayat pertama al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah berbunyi 'iqra' (baca) maka dengan jelas dan tepat menunjukkan keupayaan membaca bakal menentukan kehidupan seseorang dan hanya guru yang sanggup berkorban akan memastikan anak bangsa di luar bandar serta pedalaman menguasai kemahiran membaca seterusnya berupaya meneruskan kehidupan pada tahap terbaik selepas tamat persekolahan. Apabila kehidupan ini berkait sangat rapat dengan membaca (ilmu dan kemahiran) maka guru adalah kelompok yang sangat penting dalam sesuatu komuniti. Tanpa menafikan peranan ibu bapa dan persekitaran dalam proses kedewasaan seseorang, guru adalah individu paling hampir dengan setiap individu di dunia ini. Murid di bandar dan pinggir bandar menikmati proses pendidikan mantap serta sempurna dan ini mesti disamaratakan dengan murid di luar bandar serta pedalaman. Dengan purata 30 hingga 40 peratus murid adalah warga luar bandar serta pedalaman, angka ini memerlukan pengorbanan besar guru sedia ada mahupun guru muda untuk berkhidmat menjadi lilin tanpa alasan untuk menolak arahan. Melalui makmal pendidikan GTP yang mengumpulkan pelbagai maklumat kerjaya perguruan dan sistem pendidikan terbaik dunia, maka sektor itu mampu menghasilkan inisiatif melahirkan guru terbaik yang menguasai pedagogi pendidikan untuk membangunkan potensi murid luar bandar serta pedalaman.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Nota hujung :

Berikut ialah insentif tambahan yang bakal diperoleh guru yang bersedia untuk menyahut cabaran berkhidmat di luar bandar:

"Pengalaman berkhidmat di sekolah luar bandar dan pedalaman akan diambil kira dalam pertimbangan untuk kenaikan pangkat dan pemberian insentif lain, termasuk tawaran biasiswa untuk melanjutkan pengajian pada peringkat lebih tinggi"

"Satu kertas kerja yang mencakupi segala aspek menyeluruh mengenai perkhidmatan guru di luar bandar dan pedalaman, termasuk dari segi pemilihan, penempatan, bentuk galakan serta ganjaran sedang pada peringkat akhir penyediaan oleh Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pelajaran Malaysia "

"Usaha ini dimulakan sejak akhir tahun lalu di mana pihak KPM mengambil kira, mempertimbang dan membincangkan secara teliti semua isu berkaitan serta masalah daripada keseluruhan aspek yang dijangka timbul berhubung perkara berkenaan"

(Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia)