Ahad, 21 Mac 2010

Cemerlang akademik, terbilang akhlak

HABIBAH Hanan Mat Yusoff dari Sekolah Menengah Agama Maahad Muhammadi (P), Kota Bharu dijulang rakan selepas mendapat 15A dalam SPM 2009. Beliau adalah pelajar terbaik sekolah itu selepas Nik Nur Madihah memperoleh 20A pada 2008

Oleh Dr Aminudin Mansor


Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 membuktikan pencapaian yang membanggakan. Seramai 7,987 atau 1.99 peratus calon SPM tahun lalu memperoleh gred cemerlang (A+, A dan A-) bagi semua mata pelajaran diambil, berbanding 6,277 atau 1.6 peratus pada tahun sebelumnya.

Pencapaian keseluruhan tahun ini membanggakan. Pencapaian Gred Purata Nasional SPM juga lebih baik. Seramai 255 mendapat A+ dalam beberapa mata pelajaran iaitu gred cemerlang tertinggi mengikut penggredan baru yang mula diperkenalkan tahun ini. Sebanyak 364,046 calon mendapat sijil SPM kali ini, berbanding 347,433 pada 2008.

Sesungguhnya, tahniah diucapkan kepada guru-guru yang telah bertungkus-lumus mengajar dan mendidik pelajar ke arah kecemerlangan. Tahniah juga kepada pelajar yang telah belajar bersungguh-sungguh hingga mencapai kejayaan cemerlang. Tahniah juga kepada ibu bapa yang turut bersengkang mata dan tidak putus-putus memberi semangat kepada anak-anak sehingga mendapat kejayaan cemerlang.

Walau bagaimanapun, wajar diingat cemerlang dalam bidang akademik, mestilah juga cemerlang dalam akhlak. Tidak sempurna seseorang pelajar yang hanya cemerlang akademik tetapi akhlaknya tidak cemerlang. Kita semua mengharapkan pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik ini, cemerlang juga dalam bidang akhlak.

Pelajar yang keluar sekolah, iaitu lepasan SPM tentunya akan melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Kelulusan SPM pada masa kini tidak menjanjikan apa-apa pekerjaan yang baik dengan gaji yang lumayan sama ada di sektor swasta atau di jabatan kerajaan. Jika tiga puluh tahun lalu sijil SPM Gred 1 sangat hebat kini pelajar yang mendapat 15A setaraf dengan mereka. Nik Nur Madihah memperoleh 20A pada 2008.

Begitulah perubahan masa dan putaran kehidupan. Segala-galanya cepat berubah demi untuk kebaikan dan kecemerlangan hidup. Bagaimanapun, pangkat dan gred tidak dapat diberikan kepada pelajar yang cemerlang akhlaknya. Penilaian akhlak sangat subjektif sifatnya. Sesiapapun tidak boleh menilainya hanya Allah yang dapat menilainya.

Ada pelajar pada peringkat sekolah rendah sangat cemerlang dalam akademik dan akhlaknya, namun apabila meningkat ke sekolah menengah mereka tidak lagi cemerlang dalam akademik dan baik akhlaknya. Begitulah juga ada yang cemerlang dalam SPM dan juga cemerlang dalam akhlaknya. Namun apabila bekerja mereka terjebak dalam rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Falsafah Pendidikan Negara (FPK) jelas ingin melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Begitu juga usaha ini bertujuan melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

Falsafah ini sewajarnya menjadi pegangan hidup kepada setiap pelajar lepasan SPM. Kita mahu pelajar yang cemerlang akademik dan juga cemerlang dalam akhlak, iaitu seimbang dalam kehidupan mereka.

Tokoh Pendidik, Dr Hassan Langgulung, menegaskan bahawa aspek dalam pendidikan Islam yang lebih penting adalah akhlak. Aspek akhlak termasuk dalam domain afektif dan terbukti dalam bentuk tingkah laku. Aspek tingkah laku ini tidak boleh diajar sama separti aspek fakta.

Sebaliknya, aspek tingkah laku ini lebih kepada bentuk menyuruh pelajar memainkan peranan yang tertentu, sama ada melalui pentas atau menerusi pertubuhan dan persatuan di sekolah. Tingkah laku pelajar yang baik dapat dilihat oleh guru-guru sepanjang masa persekolahan tersebut. Tingkah laku dan akhlak ini tidak wajar diberikan gred A atau B dan seterusnya. Ia wajar diberikan sebagai terpuji, terbaik, sederhana dan sebagainya.

Sesungguhnya, ibu bapa dan guru-guru wajar memainkan peranan yang penting ke arah mendidik, membimbing dan membentuk tingkah laku anak dan para pelajar ke arah kebaikan. Tingkah laku yang baik dapat dibentuk melalui kefahaman terhadap al-Quran, akidah dan ibadah selanjutnya memancarkan akhlak yang baik.

Penulis ialah penyair, mantan pendidik. PhD Persuratan Melayu, UKM, Bangi.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/

Memahami profil pendera kanak-kanak

Bersama Dr Mohamed Fadzil Che Din

Usaha bersama secara terancang, teliti mampu tangani gejala sosial

BELUM sempat kita mencecah 100 hari bagi 2010, dada kita sudah digoncang, fikiran kita sudah dikusut, perasaan kita sudah digelora dan jari-jemari kita sudah terketar dek pelbagai peristiwa yang berlaku dalam sistem nilai dan sosial kehidupan seharian. Kita digemparkan dengan pelbagai kisah kehidupan yang tidak tahu menghayati apakah itu nilai nyawa seorang insan dan kegagalan manusia itu untuk berfungsi secara normal dalam masyarakat manusia itu sendiri.

Di sebalik pendedahan media, peringatan pemimpin masyarakat, nasihat orang tua dan teguran ahli agama berkaitan salah laku sosial dan jenayah seperti pembuangan bayi, penderaan kanak-kanak, pembunuhan insan yang tidak berdosa, mencabul serta merogol, ia memperlihatkan satu amalan ketidakpedulian yang amat ketara oleh si pelaku atau penjenayah ini.

Apakah tabiat memberi peringatan, teguran dan nasihat tidak lagi menjadi kaedah berkesan dalam masyarakat, atau adakah sistem pendidikan keluarga dan komuniti sudah tidak berfungsi, atau adakah kerana kepincangan sosial yang semakin menjerut masyarakat, atau apakah kerana masyarakat itu sendiri memilih untuk belajar menjadi semakin rakus, tamak, penting diri, agresif dan gundah-gulana, lantaran menjana tingkah laku antisosial yang merobek segala keharmonian keluarga dan kesejahteraan masyarakat hari ini. Agak sukar kita membuat kesimpulan untuk menyalah atau mencari punca isu sosial dengan hanya menjuruskan kepada satu faktor sosial seperti individu, keluarga, komuniti, masyarakat, perundangan negara, penguatkuasaan, perlindungan mangsa dan sebagainya. Bagi sesetengah pakar sosial kes berkaitan gejala sosial ini dikatakan masih belum serius atau terkawal. Ia sering dilihat secara meluas dengan mengambil kira jumlah ahli masyarakat yang besar dan semakin bertambah saban tahun.

Namun, bagi sesetengah ahli sosial yang menggunakan kanta (magnifying glass) setiap kes adalah penting dan perlu dikaji secara serius dan mendalam. Perbincangan sama ada kes atau gejala sosial sebegini menjadi semakin serius atau penting untuk diperdebatkan perlu ditangguhkan untuk seketika oleh semua ahli masyarakat.

Adalah lebih utama jika kita menggunakan ruang dan peluang yang ada ini untuk memahami profil asas berkaitan kes gejala sosial ini. Memang banyak jenis jenayah terhadap kanak-kanak, gadis dan wanita dilaporkan setiap tahun, namun untuk perkongsian kali ini kita fokuskan kepada kes penderaan kanak-kanak yang merangkumi jenayah pembuangan bayi, pengabaian kanak-kanak, penderaan fizikal, penderaan seksual, penderaan emosi-psikologikal dan sumbang mahram.

Kebanyakan pakar psiko-sosial percaya dengan memahami profil kes penderaan kanak-kanak, maka usaha untuk membantu mengatasi, membendung dan menanganinya adalah lebih cerah dan berkesan. Apabila kita berjaya mengenali dan memahami profil jenayah seperti jenis kes, rujukan kes, etnik pelaku atau penjenayah, profil pelaku/penjenayah dan punca berlakunya kes penderaan dalam komuniti atau sekitar kita, maka usaha bagi menanganinya boleh dirancang dengan lebih teliti dan bermakna.

Melihat kepada statistik kes penderaan dan keganasan kanak-kanak yang berlaku di Malaysia mengikut Laporan Statistik 2008, Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia, ia berjaya memberi serba sedikit gambaran dan profil berkaitan kes penderaan berkenaan.

Secara umum pada 2008, kes penderaan kanak-kanak meningkat 501 kes atau 21 peratus daripada 2,279 (2007) kepada 2,780 (2008) kes. Paling banyak kes (56 peratus daripada keseluruhan 2,780 kes) berlaku di kawasan padat penduduk iaitu Lembah Klang (949 kes di Selangor dan 595 kes di Wilayah Persekutuan).

Jenis penderaan paling banyak ialah penderaan seksual (863 kes), diikuti kes pengabaian kanak-kanak (833 kes), dan penderaan fizikal (733 kes). Lebih ramai kanak-kanak lelaki yang didera secara fizikal, manakala amat ketara 95 peratus kanak-kanak perempuan adalah mangsa kepada penderaan seksual (698 kes berbanding 35 kes).

Kes pembuangan bayi bagi 2008 pula menurun lima kes kepada 58 berbanding 63 pada 2007. Kadar ini bersamaan 1.2 kes pembuangan bayi setiap minggu atau 4.8 kes bayi dibuang setiap bulan. Lebih 70 peratus daripada kanak-kanak yang didera adalah berketurunan Melayu (1962 kes), diikuti kanak-kanak India (441 kes) dan kanak-kanak (Cina 299 kes). Hampir dua pertiga (64.6 peratus) kanak-kanak yang didera ialah kanak-kanak perempuan (1,795 kes) berbanding kanak-kanak lelaki (985 kes). Kebanyakan kanak-kanak perempuan yang didera ialah dalam lingkungan umur 7 hingga 12 tahun (345 kes) dan bawah 3 tahun (276 kes). Kebanyakan kanak-kanak lelaki yang didera pula ialah sekitar umur 13 hingga 18 tahun (866 kes) dan 7-12 tahun (411 kes).

Pendera atau orang yang bertanggungjawab ke atas jenayah dera ini amat penting untuk diketahui. Maklumat ini amat penting untuk kita mengenal pasti tempat paling sering wujudnya kes penderaan. Merujuk kepada kes penderaan 2008, data memperlihatkan orang yang paling hampir dengan mangsa adalah pendera yang berpotensi. Ibu (772 kes) dan bapa (494 kes) adalah pendera paling ramai iaitu 45.6 peratus berbanding pelaku yang lain. Selain itu, kekasih kanak-kanak juga adalah pendera yang agak signifikan iaitu sebanyak 378 kes.

Dengan memahami profil dan ‘baseline’ kes berkaitan penderaan kanak-kanak ini, sudah pasti pakar perawat sosial akan mampu untuk meneroka senario kes dengan lebih meluas dan mendalam serta mampu mencari perhubungan makna antara pelbagai angkubah individu, keluarga, komuniti dan masyarakat. Atas kefahaman ini, diharapkan strategi menangani isu sosial ini akan menjadi lebih berkesan, bermakna dan berbaloi. Sesungguhnya kita semua mampu untuk membantu pelbagai pihak dalam menangani gejala sosial yang boleh dikawal jika kita dapat melakukannya secara bersama.

Penulis ialah Pengarah Institut Sosial Malaysia, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Sabtu, 20 Mac 2010

GURINDAM 12 RAJA ALI HAJI

Raja Ali Haji

Berikut adalah versi lengkap Gurindam 12 Karya Raja Ali Haji

Gurindam Fasal Pertama

Barangsiapa tiada memegang agama
Segala-gala tiada boleh dibilangkan nama

Barangsiapa mengenal yang empat
Maka yaitulah orang yang ma’rifat

Barangsiapa mengenal Allah
Suruh dan tegaknya tiada ia menyalah

Barangsiapa mengenal diri
Maka telah mengenal Tuhan yang bahri

Barangsiapa mengenal dunia
Tahulah ia barang yang terperdaya

Barangsiapa mengenal akhirat
Tahulah ia dunia mudharat


Gurindam Fasal Kedua

Barangsiapa mengenal yang tersebut
Tahulah ia makna takut

Barangsiapa meninggalkan sembahyang
Seperti rumah tiada bertiang

Barangsiapa meninggalkan puasa
Tidaklah mendapat dua termasa

Barangsiapa meninggalkan zakat
Tidaklah hartanya beroleh berkat

Barangsiapa meninggalkan haji
Tidaklah ia menyempurnakan janji


Gurindam Fasal Ketiga

Apabila terpelihara mata
Sedikitlah cita-cita

Apabila terpelihara kuping
Kabar yang jahat tiadalah damping

Apabila terpelihara lidah
Niscaya dapat daripadanya faedah

Bersungguh-sungguh engkau memeliharakan tangan
Daripada segala berat dan ringan

Apabila perut terlalu penuh
Keluarlah fi’il yang tiada senonoh

Anggota tengah hendaklah ingat
Di situlah banyak orang yang hilang semangat

Hendaklah peliharakan kaki
Daripada berjalan yang membawa rugi


Gurindam Fasal Keempat

Hati itu kerajaan di dalam tubuh
Jikalau zalim segala anggota pun rubuh

Apabila dengki sudah bertanah
Datanglah daripadanya beberapa anak panah

Mengumpat dan memuji hendaklah pikir
Di situlah banyak orang tergelincir

Pekerjaan marah jangan dibela
Nanti hilang akal di kepala

Jika sedikitpun berbuat bohong
Boleh diumpamakan mulutnya itu pekung

Tanda orang yang amat celaka
Aib dirinya tiada ia sangka

Bakhil jangan diberi singgah
Itulah perompak yang amat gagah

Barangsiapa yang sudah besar
Janganlah kelakuannya membuat kasar

Barangsiapa perkataan kotor
Mulutnya itu umpama ketor

Di mana tahu salah diri
Jika tidak orang lain yang berperi

Pekerjaan takbur jangan direpih
Sebelum mati didapat juga sepih


Gurindam Fasal Kelima

Jika hendak mengenal orang berbangsa
Lihatlah kepada budi dan bahasa

Jika hendak mengenal orang yang berbahagia
Sangat memeliharakan yang sia-sia

Jika hendak mengenal orang yang berilmu
Bertanya dan belajar tidaklah jemu

Jika hendak mengenal orang yang berakal
Di dalam dunia mengambil bekal

Jika hendak mengenal orang yang baik perangai
Lihatlah pada ketika bercampur dengan orang ramai


Gurindam Fasal Keenam

Cahari olehmu akan sahabat
Yang boleh dijadikan obat

Cahari olehmu akan guru
Yang boleh tahukan tiap seteru

Cahari olehmu akan istri
Yang boleh menyerahkan diri

Cahari olehmu akan kawan
Pilih segala orang yang setiawan

Cahari olehmu akan ‘abdi
Yang ada baik sedikit budi


Gurindam Fasal Ketujuh

Apabila banyak berkata-kata
Di situlah jalan masuk dusta

Apabila banyak berlebih-lebihan suka
Itulah tanda hampirkan duka

Apabila kita kurang siasat
Itulah tanda pekerjaan hendak sesat

Apabila anak tidak dilatih
Jika besar bapanya letih

Apabila banyak mencela orang
Itulah tanda dirinya kurang

Apabila orang yang banyak tidur
Sia-sia sahajalah umur

Apabila mendengar akan khabar
Menerimanya itu hendaklah sabar

Apabila mendengar akan aduan
Membicarakannya itu hendaklah cemburuan

Apabila perkataan yang lemah lembut
Lekaslah segala orang mengikut

Apabila perkataan yang amat kasar
Lekaslah orang sekalian gusar

Apabila pekerjaan yang amat benar
Tidak boleh orang berbuat onar


Gurindam Fasal Kelapan

Barangsiapa khianat akan dirinya
Apalagi kepada lainnya

Kepada dirinya ia aniaya
Orang itu jangan engkau percaya

Lidah suka membenarkan dirinya
Daripada yang lain dapat kesalahannya

Daripada memuji diri hendaklah sabar
Biar daripada orang datangnya khabar

Orang yang suka menampakkan jasa
Setengah daripada syirik mengaku kuasa

Kejahatan diri sembunyikan
Kebaikan diri diamkan

Ke’aiban orang jangan dibuka
Ke’aiban diri hendaklah sangka


Gurindam Fasal Kesembilan

Tahu pekerjaan tak baik tetapi dikerjakan
Bukannya manusia yaitulah syaitan

Kejahatan seorang perempuan tua
Itulah iblis punya penggawa

Kepada segala hamba-hamba raja
Di situlah syaitan tempat bergoda

Perkumpulan laki-laki dengan perempuan
Di situlah syaitan punya jamuan

Adapun orang tua(h) yang hemat
Syaitan tak suka membuat sahabat

Jika orang muda kuat berguru
Dengan syaitan kuat berseteru


Gurindam Fasal Kesepuluh

Dengan bapa jangan durhaka
Supaya Allah tidak murka

Dengan ibu hendaklah hormat
Supaya badan dapat selamat

Dengan anak janganlah lalai
Supaya boleh naik di tengah balai

Dengan kawan hendaklah adil
Supaya tangannya jadi kapil


Gurindam Fasal Kesebelas

Hendaklah berjasa
Kepada yang sebangsa

Hendak jadi kepala
Buang perangai yang cela

Hendak memegang amanat
Buanglah khianat

Hendak marah
Dahulukan hujjah

Hendak dimalui
Jangan memalui

Hendak ramai
Murahkan perangai


Gurindam Fasal Kedua belas

Raja mufakat dengan menteri
Seperti kebun berpagar duri

Betul hati kepada raja
Tanda jadi sebarang kerja

Hukum adil atas rakyat
Tanda raja beroleh ‘inayat

Kasihkan orang yang berilmu
Tanda rahmat atas dirimu

Hormat akan orang yang pandai
Tanda mengenal kasa dan cindai

Ingatkan dirinya mati
Itulah asal berbuat bakti

Akhirat itu terlalu nyata
Kepada hati yang tidak buta

Jumaat, 19 Mac 2010

Sikap tak peduli kita dorong kes dera kanak-kanak berleluasa

Oleh Noor Mohamad Shakil Hameed

BELUM lagi reda isu penderaan dan kematian adik Syafiah Humairah Sahari yang berusia 3 tahun dan K Haresyarren berusia 18 bulan, kita dikejutkan pula dengan berita perkahwinan membabitkan kanak-kanak.

Siti Nur Zubaidah Hussin yang baru saja berusia 11 tahun dipaksa berkahwin dengan seorang lelaki dewasa dan lebih malang lagi perkahwinan ini diwalikan oleh bapa kandungnya sendiri. Sebagai manusia yang waras, kita boleh bayangkan apalah nasib masa depan kanak-kanak ini dan pada usia yang begitu muda, sejauh manakah dia mengerti makna sebuah perkahwinan.

Kita juga pasti budak ini masih mentah dan belum bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri. Apa yang jelas perkahwinan ini menyalahi undang-undang syariah negara kita kerana pernikahan itu dilakukan tanpa kebenaran secara bertulis mahkamah syariah dan lebih jelas lagi, mengikut Seksyen 8, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Kelantan 2002, pasangan wanita berumur bawah 16 tahun perlu mendapat kebenaran bertulis daripada mahkamah syariah. Walaupun aspek undang-undangnya sangat jelas, kita masih hairan kenapa perkara sebegini masih terus membelenggu dan menghantui masyarakat kita? Kenapa kita begitu mudah taksub dan terpedaya dengan individu yang sering kali menyalahgunakan pegangan agama atau imej warak?

Belum cukupkah dengan pelbagai pendedahan mengenai ajaran sesat dan salah laku yang dibuat oleh individu mahupun kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai nabi. Isu begini juga terus mencemarkan institusi agama serta nama baik ulama di negara kita.

Kejadian yang menimpa kanak-kanak di negara kita dewasa ini sangat merisaukan semua pihak. Kita khuatir jika insiden sebegini tidak dibendung segera, suatu hari nanti bilangan kanak-kanak di negara kita akan semakin pupus.

Sikap tidak peduli dan tidak endah dengan apa yang berlaku di sekeliling kita dilihat sebagai antara punca utama kejadian sebegini terus berleluasa. Kita masih dengan budaya selagi tidak kena batang hidung sendiri maka tiada apa dan tidak peduli dengan apa yang berlaku.

Budaya tidak peduli, lepas tangan dan tidak mengapa ini jelas mula menular menjadi wabak yang serius dalam masyarakat kita. Virus ini jika tidak diubati atau dibendung segera, kita khuatir pelbagai lagi insiden lebih dahsyat dan menggerunkan boleh berlaku dalam masyarakat kita.

Kita perlu mengubah pemikiran dan gaya hidup supaya menjadi masyarakat yang lebih prihatin dan responsif dengan apa yang berlaku di sekitar kita. Tidak salahnya dalam hal begini kita menyibuk dan mengambil tahu tepi kain orang lain asalkan ia demi kesejahteraan bersama.

Hukuman berat dari segi undang-undang ternyata masih belum mampu membendung kes sebegini daripada terus berulang. Maka alternatif yang kita ada hanyalah perubahan sikap dan tingkah laku masyarakat kita yang perlu dilaksanakan segera.

Justeru, di samping kita begitu asyik dalam menegakkan undang-undang yang ada, kita juga wajar memberi perhatian kepada usaha untuk mendidik masyarakat kita menjadi masyarakat penyayang dan lebih responsif kepada masalah sosial yang melanda negara kita.

Pihak yang bertanggungjawab dalam hal ini perlu melihat perubahan sikap sebagai suatu aspek penting dan langkah untuk memupuk budaya masyarakat penyayang perlu dilipatgandakan.

Masyarakat kita perlu disedarkan segera kesan yang bakal menimpa generasi masa depan jika masalah sosial ini tidak dibendung secepat mungkin. Semoga beberapa insiden yang berlaku ini dapat menyedarkan kita seterusnya mengubah kita menjadi masyarakat yang lebih bertanggungjawab.

Penulis ialah Penolong Pendaftar Kanan Pusat Kesihatan Universiti di UPM
Sumber : http://www.bharian.com.my/

Khamis, 18 Mac 2010

Inisiatif Bantu Pelajar Gagal SPM 2009

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin beramah mesra dengan pelajar istimewa cemerlang, Tan Bing-Xuan (berkerusi roda) dari Sekolah Menengah Kebangsaan AVE Maria Convent, Ipoh Perak sambil diperhatikan pelajar-pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada majlis Anugerah Kecemerlangan SPM 2009 di Kementerian Pelajaran di sini hari ini.

PUTRAJAYA
, 19 Mac (Bernama) -- Kementerian Pelajaran dan Kementerian Sumber Manusia akan berbincang bagi menyediakan kaedah terbaik membantu para pelajar yang kurang berjaya dan gagal dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran berkata pihaknya serta agensi berkaitan akan memikirkan inisiatif bagi membantu pelajar terbabit menguasai kemahiran sesuai supaya mampu meningkatkan bidang pelajaran dan kerjaya mereka.

"Kementerian Pelajaran juga tidak akan meminggirkan sekolah yang memperoleh pencapaian yang rendah.

"Kita akan terus berusaha merapatkan jurang pencapaian gred purata sekolah terutamanya antara sekolah luar bandar dan sekolah bandar," katanya ketika berucap pada majlis Anugerah Kecemerlangan SPM 2009 di sini Jumaat.

Pada majlis itu, Muhyiddin menyampaikan sijil penghargaan kepada 10 buah sekolah pencapaian cemerlang SPM 2009, 10 pelajar cemerlang serta empat pelajar istimewa dan dua pelajar sekolah sukan cemerlang.

Mengenai pemilihan 10 sekolah cemerlang tersebut, Muhyiddin berkata ia dibuat berdasarkan kepada gred purata mata pelajaran yang diambil di sekolah berkenaan.

Pada tahun ini, beliau berkata pencapaian sesebuah sekolah dikategorikan kepada cemerlang, baik, memuaskan dan berpotensi berdasarkan kepada gred purata sekolah masing-masing.

"Tujuannya supaya pengetua dapat mengetahui kedudukan sekolah dan sentiasa berusaha meningkatkan gred purata sekolah masing-masing," katanya.

Timbalan Perdana Menteri juga memuji pencapaian pelajar istimewa yang gigih berusaha untuk memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan itu walaupun kekurangan daripada segi fizikal.

"Begitu juga dengan pelajar sekolah sukan...walaupun mereka menghabiskan sebahagian besar masa (bersukan), namun pelajar-pelajar ini masih mendapat keputusan terbaik," katanya.

"Ini membuktikan bahawa penglibatan dalam bidang sukan bukan halangan bagi pelajar mencapai kecemerlangan akademik," katanya.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut mengumumkan kerajaan bersetuju menyalurkan bantuan modal khas sebanyak RM100,000 bagi membaik pulih Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) San Yuk di Rawang, Selangor yang terbakar selepas diceroboh enam penjenayah, bulan lepas.

Timbalan Perdana Menteri berkata peruntukan tersebut akan disalurkan kepada sekolah berkenaan dengan seberapa segera.

"Kita jangan lupa pada SJKC San Yuk yang hilang harta benda akibat kejadian pecah sekolah. Kementerian Pelajaran amat bersimpati dengan nasib yang dialami oleh seluruh warga sekolah khususnya murid-murid," katanya.

Dalam kejadian itu, SJKC San Yuk diceroboh sekumpulan penjenayah yang bertindak mencederakan dua pengawal keselamatan sekolah dan membakar bilik guru serta kabin mencetak kertas soalan peperiksaan.

Sumber : http://www.bernama.com/

Pendidikan seks ikut Islam tangani kemelut sosial

Oleh Prof Madya Dr Ungku Ahmad Zaki Engku Alwi

Ibu bapa perlu didik anak mengenai aurat, hubungan berlainan jantina elak terjebak maksiat


ISLAM agama yang indah, lengkap dan memenuhi aspek kehidupan sejagat. Tiada satu persoalan pun dalam kehidupan di dunia ini melainkan Islam menyediakan garis panduan, peraturan dan penyelesaiannya supaya manusia menjalani kehidupan dengan sejahtera. Antaranya ialah persoalan seks.

Apabila berbicara mengenai seks, Islam menganjurkan umatnya bertanya segala masalah itu kepada orang yang lebih alim. Saidatina Aisyah memuji sifat wanita Ansar yang berani bertanya Rasulullah dalam masalah agama yang mereka tidak ketahui. Tambahan pula persoalan seks amat berkait rapat dengan soal maruah yang menjadi satu daripada enam perkara asasi dan tonggak kesejahteraan serta keamanan sejagat selain agama, harta, nyawa, akal dan keturunan. Pengabaian persoalan seks dikatakan antara faktor menyumbang kepada kemelut sosial yang semakin meruncing di kalangan masyarakat kini. Justeru, pendidikan seks perlu diberi perhatian yang serius oleh ibu bapa secara khususnya ketika mendidik anak supaya mereka menjadi insan yang bertakwa kepada Allah.

Seks memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia. Menurut kamus, seks ialah keinginan nafsu syahwat yang disalurkan pada tempat sebenarnya. Dengan nafsu syahwat inilah keturunan manusia dilanjutkan. Sehubungan itu, Islam tidak ketinggalan menyediakan garis panduan kepada manusia supaya mendidik nafsu syahwat selaras nilai Islam sehingga berubah menjadi nafsu yang dirahmati dan diredai Allah. Dari sini, baru terbina sebuah mahligai rumah tangga yang bahagia dihiasi haruman sakinah , mawaddah dan rahmah. Dari institusi kekeluargaan inilah, lahir generasi manusia yang akan menyambung keturunan untuk terus mentaati perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya.

Menurut perspektif Islam, pendidikan seks sebahagian daripada pendidikan akhlak yang didasari asas iman. Contoh, seorang Muslim yang beriman tidak akan menyalurkan naluri keinginan seks untuk berzina atau melakukan seks bebas, berkhalwat dan sebagainya. Pendek kata, iman bertindak sebagai perisai utuh menghalang seorang Muslim melakukan larangan Allah. Sebaliknya iman tohor menyebabkan mereka bertuhankan hawa nafsunya dan sanggup melakukan apa saja asalkan dapat memuaskan kehendak hawa nafsunya.

Konsep awal pendidikan seks dalam Islam dimulai dengan pengertian aurat iaitu bahagian tubuh yang wajib ditutup, tidak boleh diperlihatkan dan kita pun tidak boleh melihat aurat orang lain. Bagi lelaki, auratnya antara pusat hingga ke paras lutut. Aurat wanita pula seluruh tubuhnya kecuali muka dan dua tapak tangan. Dalam hal ini, tiada kelonggaran atau keuzuran bagi seseorang mendedahkan aurat kepada orang lain kecuali untuk tujuan perubatan dan sebab yang dibenarkan syarak. Malah aurat adalah bahagian tubuh yang boleh membangkitkan nafsu syahwat. Sebab itu, Islam memerintahkan umatnya menutup aurat supaya tidak terdedah kepada gejala terlarang.

Seterusnya, Islam memerintahkan ibu bapa memisahkan tempat tidur anak mereka apabila sampai masa dengan menyediakan bilik khusus untuk anak lelaki dan anak perempuan. Ini berdasarkan hadis Rasulullah bermaksud: “Suruhlah anak kamu menunaikan solat apabila berusia tujuh tahun dan pukul mereka apabila berusia sepuluh tahun (jika masih belum menunaikan solat) serta asingkan tempat tidur mereka. (HR Tirmizi dan Abu Daud).

Selain itu, anak sewajarnya dijelaskan adab sopan dalam rumah dan luar rumah. Ibu bapa perlu mendidik mereka sejak kecil mengenai adab meminta izin dalam rumah tangga iaitu meminta izin untuk masuk ke bilik ibu bapanya. Dalam hal ini, Allah berfirman maksudnya: “Dan apabila kanak-kanak dari kalangan kamu telah baligh, maka hendaklah mereka meminta izin sama seperti cara orang-orang (yang telah cukup umurnya) yang tersebut dahulu meminta izin.” (Surah al-Nur: 59)

Pendidikan seks juga bererti mendidik diri anak dan orang dewasa sentiasa menjaga pandangan mata. Ini bermakna seorang Muslim dilarang memandang benda haram seperti menonton filem lucah, membaca bahan lucah, melihat gambar seks dan sebagainya. Malah, lelaki wajib menundukkan pandangannya apabila melihat perempuan seperti dinyatakan Allah dalam (Surah al-Nur: 30) yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan.”

Perintah menundukkan pandangan mata bukan hanya kepada lelaki malah perempuan yang turut dituntut memelihara aurat dan kehormatan mereka. Dalam hal ini, Allah berfirman maksudnya: “Dan katakanlah kepada perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mata mereka (daripada memandang yang haram), memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.” (Surah al-Nur: 31)

Anak juga hendaklah diajar jangan bergaul bebas antara lelaki dan perempuan dan tidak berdua-duaan dengan yang bukan mahram. Bergaul bebas antara mukadimah zina yang dilarang Islam selain perangkap yang dipasang syaitan untuk menjeremuskan umat manusia ke lembah perzinaan.

Huraian Al-Quran dan juga penjelasan hadis Rasulullah berkaitan dengan proses kejadian manusia bermula dari setitik air mani hingga kepada proses kelahiran bayi, hendaklah disampaikan dan dijelaskan kepada anak dengan sebaik-baiknya untuk maksud membuktikan kekuasaan Allah.

Akhirnya, apabila anak mencapai umur kematangan yang melayakkan mereka membawa haluan hidup masing-masing maka ibu bapa perlu menerangkan etika hidup bersuami isteri dan berkeluarga mengikut cara Islam. Mudah-mudahan mereka dapat membina sebuah mahligai rumah tangga bahagia yang berada di bawah keredaan Ilahi. Sejarah membuktikan, pengetahuan manusia semata-mata tidak mampu membendung dan mendidik seks tanpa petunjuk Allah.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Rabu, 17 Mac 2010

Kandungan, pendekatan pendidikan seks perlu bertunjangkan nilai, moraliti

Oleh Dr Haslinda Abdullah
lynn@putra.upm.edu.my

ISU pendidikan seks di sekolah bukanlah baru dan sudah mula diperkatakan seawal 1980-an dan kini kembali diperdebatkan.

Namun, isu pendidikan seks yang dicadangkan di sekolah masih kabur. Apa yang hendak diajarkan? Aspek mana hendak diberi penekanan? Bagaimana hendak disampaikan? Siapa hendak menyampaikan? Apakah asas sistem nilai yang melandasi kurikulumnya? Apa objektif pengajarannya? Apakah aras taksonomi atau domain kognitif yang hendak dicapai dalam pengajarannya?

Walaupun statistik mutakhir menunjukkan peningkatan dalam kes membabitkan seksualiti, pencarian atau cadangan penyelesaian kepada masalah ini tidak boleh dilakukan tergesa-gesa. Usaha menanganinya perlu membabitkan semua pihak khususnya pelajar, ibu bapa, tenaga pengajar, pihak berkuasa dan masyarakat. Tujuan utama pendidikan seks digubal dan diperkenal sebagai sebahagian kurikulum pendidikan adalah ekoran gejala sosial yang semakin berleluasa.

Mengikut kaji selidik global Durex 2005, tandas pusat hiburan dan bilik tidur ibu bapa adalah pilihan belia Malaysia mengadakan hubungan seksual bersama pasangan. Kajian juga mendapati umur minimum rakyat Malaysia mengadakan hubungan seks untuk kali pertama, adalah yang terendah berbanding negara Asia lain seperti Indonesia, Vietnam dan India.

Sementara itu, hasil penyelidikan pada 2006 yang dijalankan pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mazlin Mohamad Mokhtar menunjukkan 50 peratus daripada 727 pelajar institusi pengajian tinggi yang dijadikan sampel kajian pernah terbabit dalam kegiatan seks. Daripada jumlah itu, 80 peratus tidak menggunakan sebarang kaedah perancang keluarga. Sampel pelajar terdiri daripada pelajar dua institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dan dua institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Apakah punca semuanya?

Pertama,
ibu bapa tidak lagi berperanan sewajarnya. Kebanyakan tanggungjawab sosial anak tidak diambil endah dan anak diberi kebebasan tanpa batasan.

Kedua,
pendidikan moral dan agama yang diajar di sekolah tidak memberi impak diharapkan.

Ketiga,
pendedahan aktiviti lucah melampau di kaca TV dan media semakin tidak terkawal.

Seperti dilaporkan Kaiser Family Foundation, 3,800 siaran yang berunsurkan seksual terdapat di lebih 1,100 rancangan TV dan ini adalah peningkatan 1,900 siaran berbanding 1998. Laporan ini menunjukkan secara purata lima siaran seks dalam masa sejam ditayangkan.

Kanak-kanak yang mendapat pendedahan kepada siaran sebegini akan terbabit secara aktif dengan aktiviti seksual pada usia muda. Walaupun angka ini adalah kajian di Barat, pada jangkaan penulis tiada bezanya dengan Malaysia.

Siaran satelit diperoleh dengan mudah dan murah menyebabkan rancangan sama boleh ditonton di mana-mana saja. Bagi kita di Malaysia, ledakan globalisasi khususnya dalam konteks penyebaran maklumat ini harus ditangani secara teratur dan terancang. Ini juga menjadi cabaran besar dalam memperkenalkan pendidikan seks di sekolah.

Kajian mengenai salah laku seks menunjukkan pendidikan seks di sekolah boleh membantu meningkatkan pengetahuan mengenai perkembangan seks, tetapi tidak merubah tingkah laku seks mereka. Dapatan ini jelas menunjukkan kawalan mutu serta maklumat mengenai pendidikan seks yang hendak disampaikan di sekolah perlu dilakukan dengan berhemah bagi menjamin kesan yang positif. Maklumat tidak jelas, bercelaru serta tidak mempunyai paksi yang kukuh hanya akan mengeruhkan persekitaran pembelajaran.

Mengikut laporan Durex, 52 peratus responden mencadangkan kerajaan memperkenalkan pendidikan seks seawal usia 12 tahun. Bagaimanapun, usia bukan persoalan kerana jika usia menjadi asasnya, Kerajaan Britain lebih dulu mengajar pendidikan seks di sekolah rendah seawal usia 7 dan 8 tahun. Namun kesannya masih mengecewakan. Paling penting ialah kandungan dan pendekatannya.

Matlamat pendidikan seks harus jelas. Jika hanya untuk memberikan panduan seks selamat dan mengelakkan penyebaran penyakit berjangkit seperti HIV, sifilis dan penyakit berkaitan seks rambang, maka kita akan melahirkan generasi yang hanya tahu mengelak dijangkiti penyakit.

Bagaimana pula dari segi moralitinya? Acuan kita tidak sama dengan Barat. Pendidikan seks dalam konteks masyarakat kita, khususnya umat Islam wajib bertunjangkan sistem nilai, moraliti dan akhlak Islam. Ini meliputi kandungan, kaedah pengajaran dan matlamat pendidikan bagi melahirkan insan salih dan seimbang.

Dalam Islam segala hal berkaitan dengan seks terangkum dalam perbahasan yang lebih luas mengenai peraturan dan hukum hakam serta perkara berkaitan dengan hubungan lelaki dan wanita yang semuanya terangkum dalam perbincangan ‘munakahat’ .

Kerajaan Johor memperkenalkan ilmu munakahat kepada murid Tahun Empat sekolah agama. Antara silibusnya selain mengenai hubungan seksual suami isteri ialah kebersihan (toharah) dan kesihatan. Maklumat kesihatan dan kebersihan ini sebenarnya amat berkait rapat dengan masalah sosial yang berkaitan seks rambang seperti jangkitan HIV dan Aids.

Bagi tujuan pendidikan seks, lebih baik jika pendidikan munakahat itu di perkemas dengan memasukkan elemen baru yang berkait dengan masalah hari ini. Kajian mendalam serta menyeluruh mengenai munakahat untuk disesuaikan dalam pendidikan seks di sekolah mungkin dapat membantu merangka strategi dan hala tuju lebih jelas dalam membentuk pendidikan seks bermutu.

Selain itu pendidikan seks juga mesti berteraskan konsep moraliti dan akhlak serta sistem nilai kerana tanpa landasan ini tidak mungkin masalah lebih besar itu dapat ditangani. Usaha itu juga perlu disokong beberapa faktor, antaranya iklim persekolahan yang positif serta pendidik yang benar-benar berteraskan konsep 'mendidik'. Iklim persekolahan yang negatif harus dipantau supaya murid dapat menerima pembelajaran mengenai pendidikan seks dengan perspektif yang betul dan positif.

Amalan berpasang-pasangan yang semakin berleluasa di sekolah menengah dan menular ke sekolah rendah adalah persekitaran yang mengganggu pembentukan disiplin pelajar. Suasana ini hanya akan memberi ruang dan peluang kepada pelajar untuk melihat pendidikan seks sebagai ilmu untuk memenuhi tuntutan nafsu semata-mata.

Pendidik yang benar-benar 'mendidik' juga adalah faktor mendorong kepada keharmonian konsep pendidikan seks. Keikhlasan pendidik dapat diterjemahkan dalam pembelajaran dan dihayati oleh pelajar keseluruhannya.

Kesimpulannya, pendidikan seks di sekolah harus di santuni dengan penuh hikmah dan tujuan serta matlamat yang jelas. Kesilapan membuat dasar serta menentukan matlamat yang hendak dicapai akan mengganggu usaha mencapai matlamat itu. Bagi memastikan ia berjaya, pembabitan semua pihak amat diperlukan. Hala tuju dan falsafah yang melandasinya juga perlu jelas.

Penulis adalah Ketua Laboratori Pendidikan Komuniti dan Pengajian Belia, Institut Pengajian Sains Sosial, UPM

Sumber : http : //www.bharian.com.my/