Sabtu, 10 April 2010

2,600 pelajar kemahiran dibenar menduduki SPM

Oleh Haspaizi Mohd Zain
haspaizi@bharian.com.my

Pengetua tak berhak sekat murid ambil periksa: Mohd Puad

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran membenarkan kira-kira 2,600 pelajar aliran kemahiran mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini walaupun pihak sekolah sebelum ini tidak mahu mendaftarkan mereka bagi menduduki peperiksaan itu.
Timbalan Menterinya, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata pengetua tidak berhak menyekat pelajar terbabit daripada menduduki peperiksaan itu dan mulai tahun depan pelajar aliran kemahiran dibenarkan mengambil SPM, hanya untuk subjek Bahasa Melayu sebagai syarat melanjutkan pengajian ke peringkat sijil tahap lima.

Beliau berkata, tarikh pendaftaran bagi menduduki peperiksaan SPM untuk tahun ini sudah ditutup pada 31 Mac lalu, tetapi kementerian membuat keputusan membenarkan pendaftaran pelajar terbabit walaupun sedar ia akan memberi kesan kepada peratusan sekolah dan juga negeri terbabit.

"Pelajar aliran kemahiran ini minatnya adalah kemahiran dan kurang berminat terhadap akademik... mereka ini lebih berminat hendak mengambil sijil kemahiran, sekarang ini pada tahap tiga.

“Apa yang menjadi isu ialah jika mereka ingin mengambil sijil tahap lima di sesetengah institusi seperti Kementerian Sumber Manusia yang mensyaratkan mereka mesti lulus Bahasa Melayu.

"Jadi jika hendak ambil SPM, mereka kena ambil enam mata pelajaran sekurang-kurangnya. Tidak boleh ambil Bahasa Melayu saja, sedangkan pelajar ini tidak minat akademik. Jadi mereka akan datang periksa untuk satu kertas itu saja, lima lagi tidak akan datang dan menyebabkan prestasi sekolah menurun," katanya.

Bercakap kepada Berita Minggu, semalam, beliau berkata, situasi itu menyebabkan sesetengah sekolah tidak membenarkan pelajarnya mengambil peperiksaan itu dan mereka yang mahu berbuat demikian dikehendaki mendaftar sebagai calon persendirian yang tidak akan menjejaskan prestasi sekolah itu.

Katanya, tindakan itu menyebabkan segelintir ibu bapa tidak berpuas hati dan meluahkan perkara itu melalui laman sosial peribadinya sebelum menghantar surat membantah tindakan terbabit.

"Kementerian mencadangkan mulai tahun depan dengan persetujuan Lembaga Peperiksaan, kita akan benarkan pelajar aliran kemahiran untuk ambil satu mata pelajaran saja, jadi untuk tahun terakhir ini masih ada bantahan daripada orang ramai kerana ada sekolah tidak mahu mendaftarkan pelajarnya.

"Oleh kerana syarat yang ditetapkan oleh sesetengah institusi untuk mereka melanjutkan pengajian ke peringkat sijil tahap lima perlu lulus Bahasa Melayu, jadi kita melaksanakan perkara ini dengan membenarkan pelajar aliran kemahiran ambil peperiksaan SPM bagi satu mata pelajaran saja", katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Ulama bukan pak turut

Oleh Harussani Zakaria

Kerajaan pada 31 Mac yang lalu memutuskan lokasi sambutan Hari Pahlawan yang sering diadakan di Tugu Negara pada setiap 31 Julai akan dipindahkan ke Putrajaya, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Pemindahan lokasi itu adalah sebagai mematuhi garis panduan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebelum ini yang menyatakan sambutan itu tidak boleh diadakan di kawasan yang mempunyai patung menyerupai manusia.

Saya gembira apabila mendengar keputusan kerajaan itu. Ini merupakan satu kemenangan pihak institusi agama dalam menegakkan kebenaran syarak, walaupun tradisi sambutan Hari Pahlawan di tugu negara seolah-oleh terlalu suci untuk diubah. Namun pengumuman terbaru itu menunjukkan bahawa tradisi boleh diubah jika kita serius dan mahu menjunjung perintah Allah SWT dan Rasulullah melebihi tradisi dan peraturan yang kita adakan sendiri. Sekalung tahniah saya ucapkan kepada Ahmad Zahid Hamidi yang kebetulan dulunya adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama. Begitu juga dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang dulunya orang kuat Angkatan Tentera Malaysia.

Sebenarnya fatwa ini bukannya baharu, tapi telah diputuskan oleh AJK Fatwa Kebangsaan pada 6 Oktober 1987 dalam Muzakarah Kali Ke-19 yang telah menetapkan bahawa :

(a) Amalan-amalan seperti tiupan Last Post bertafakur dengan menundukkan kepala selama 20 saat, meletakkan kalungan bunga, bacaan sajak, nyanyian dan tiupan Rouse yang dilakukan di hadapan Tugu Negara dalam upacara menyambut Hari Kenangan Rakan Seperjuangan olah Angkatan Tentera Malaysia bercanggah dengan Islam dan boleh membawa kepada syirik.

(b) Bacaan sajak yang boleh menimbulkan semangat kepahlawanan adalah diharuskan dengan syarat tidak dilakukan di hadapan tugu atau di tempat-tempat atau dalam suasana yang dilarang oleh syarak.

Kemudian pada 21 September 1995, Muzakarah Kali Ke-39 pula memutuskan bahawa :

'' Meletakkan kalungan bunga di Tugu Peringatan Negara sempena sambutan Hari Pahlawan adalah sama dengan keputusan yang telah diambil dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang bersidang pada 7 Oktober 1987 iaitu bercanggah dengan Islam dan boleh membawa kepada syirik."

Apa yang saya ingin nyatakan di sini bagaimana pendekatan dakwah pada hari ini perlu diteruskan bersama dengan kekuatan kekuasaan. Fatwa berkaitan dengan Hari Pahlawan bukannya baru, malah sudah 13 tahun diputuskan, namun hanya pada 31 Mac 2010 fatwa itu diterima untuk dipatuhi.

AJK Fatwa Kebangsaan dan para mufti seluruh negeri umumnya bertindak sebagai penasihat dalam hukum syarak. Namun sejauh mana nasihat ini boleh diterima dan dipatuhi, semuanya bergantung kepada pemegang kuasa, pemerintah atau Umara. Saya melihat inilah cabaran utama para ulama hari ini.

Pengalaman

Golongan ulama banyak bertugas sebagai penasihat, ada yang menjadi Mufti, ada yang menjadi Panel Syariah di perbankan atau di syarikat-syarikat. Sedikit pengalaman saya sebagai Kadi Besar dan hari ini sebagai Mufti menunjukkan bagaimana para ulama perlu bijak mendekati para Umara. Di tangan merekalah kuasa untuk merubah polisi dan undang-undang.

Bukan saya kata mendekati di sini dengan maksud membodek atau sanggup menjadi pak turut, seperti tuan penasihat Sadiq Segaraga dalam cerita tiga Abdul. Asal saja dapat 25 peratus semuanya boleh. Maksud saya bagaimana hari ini kita berperanan menunjukkan 'permata' itu adalah permata dan bukan dipandang orang ia 'kaca'. Cuma mungkin gaya pendekatan, penghujahan dan metod dakwah yang perlu kita titik berat hari ini. Dengan itulah nanti setiap nasihat ulama akan berupaya membentuk dan dijadikan panduan oleh para umara dan masyarakat. Ulama perlu tegas namun berhikmah dalam menyampaikan dakwah mereka.

Perkembangan terbaru ini sudah nampak baiknya. Namun saya akan terus berjuang moga segala fatwa dan nasihat yang telah diputuskan akan terus dipatuhi oleh pemerintah dan masyarakat. Masih banyak keputusan atau fatwa tinggal terlipat dalam fail-fail muzakarah.

Saya juga mengharapkan institusi fatwa nanti akan kebal daripada tekanan politik serta mempunyai kekuatan untuk ditaati oleh semua pihak sama ada rakyat mahupun pemerintah. Keimanan kita terhadap Islam yang tinggi (Islamuya'lu wala yu'la alaih) dan sokongan Perlembagaan Persekutuan dalam perkara 3 perlu diterjemahkan dalam realiti negara pada hari ini, jika kita terus mahu melihat Islam dihormati. Saya mengharapkan ia menjadi realiti sebelum saya dipanggil Allah SWT satu hari nanti.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Jumaat, 9 April 2010

BAHASA JUNJUNGAN

Telah pun bertaut
bibir pantai-pantai Nusantara
di peta laut bahasa
gah di wadah sejarah
rimbun di perkebunan tamadun.

Telah pun bersambung
tangkai tahun ke gagang kurun
dengan akar bahasa
menyimpul hormat di umbi bangsa
mengikat pekerti di pohon budaya.

Telah pun sempurna
indah mekar wacana sastera
bangsa dijulang di watan terbilang
dicoretkan kemilau warna bahasa
merumpun prosa rakaman kehidupan.

Telah kejap ungkapan persefahaman
disangkar perpaduan
mempertaut perselisihan
bahasa merdeka membentang ruang
bersama melaungkan slogan pembangunan
meletak watan di persada cemerlang
mengapa petualang masih berkeliaran?

Telah pun jitu
keyakinan dan keimanan erat tersirat
lewat bahasa di lidah hikmah
tawakal pun bermusim di kalbu syahdu
terluah di bibir ukhwah tertugu
di hamparan taqwa ummah bermusyawarah.

Telah kujunjung keilmuan sains
telah kauusung canggih teknologi
dikulum basah di lidah bestari
di atas rel globalisasi
meluncur ke depan
mendukung wawasan.

Bahasaku kau bahasa junjungan
menjahit cedera sejarah
dengan jarum tabah
mencantum cebisan-cebisan maruah
dengan benang-benang kesedaran
walau sekurun mendung seabad kelam
walau selaut ranjau karang menghalang
ayuh!
majulah bahasaku bahasa junjungan.

ADNAN AM
Rumah Rakyat Padang Lebar, Batu Kikir,
N.Sembilan.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

HARAPAN TANPA SUARA

Di dalam kandungan ibuku tersayang
Amannya kurasakan
Degupan jantungmu, jantungku
Irama penuh syahdu

Kuingin rasai kehangatan pelukan
Belaian kasih sayang
Kujagai kau di hari tuamu
Andai panjang usiaku

Chorus

Namun hanya harapan tanpa suara
Di dunia cuma seketika
Jasad kaku dibaluti kertas usang
Terbiar bagai sampah terbuang

Di manakah ibu di manakah ayah
Bonekakah atau manusia
Anak tidak berdosa menjadi mangsa
Oleh hawa nafsu yang serakah.

Lagu : S. Atan Lirik : Habsah Hassan

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Khamis, 8 April 2010

Mekanisme sekat tabiat merokok mesti dipertingkat

WANITA sanggup melakukan banyak perkara untuk kelihatan cantik, langsing dan menawan. Terbaru, Kementerian Kesihatan mendedahkan peningkatan tabiat merokok di kalangan wanita di negara ini antara lain berpunca daripada kepercayaan bahawa merokok mampu menurunkan berat badan. Sesungguhnya, ini satu kepercayaan songsang yang mendedahkan wanita kepada satu lagi set atau pakej implikasi kesihatan, terutama risiko menghidap barah paru-paru, kerongkong, strok dan penyakit pada sistem pernafasan.

Semua sudah tahu dengan fakta perubatan bahawa wanita hamil yang merokok boleh menjejaskan perkembangan janin dan mendedahkan risiko bayi kepada kecacatan. Kesan merokok turut kelihatan pada fizikal seperti bibir, muka dan kulit selain nafas berbau. Maknanya, merokok turut menjejaskan ketrampilan seseorang individu dan pergaulan seharian. Pada masa sama, psikologi dan persepsi masyarakat pada perokok wanita juga masih negatif, walaupun ada pihak bersikap terbuka. Kini semakin ramai wanita, termasuk dalam golongan terpelajar dan mengisi jawatan penting dalam semua sektor.

Mereka tahu bahaya dan kesan merokok khususnya ancaman menghidap penyakit kronik. Namun agak mengejutkan apabila mereka mudah dikuasai kepercayaan bahawa merokok akan menurunkan berat badan. Di mana kefahaman mereka mengenai kepentingan menjaga pemakanan dan kandungan diet untuk mengawal berat badan? Sebenarnya, peningkatan perokok wanita adalah satu trend antara lain gara-gara tanggapan bahawa merokok melambangkan ketinggian status hidup dan sosial bagi golongan elit serta eksklusif. Kemampuan meraih pendapatan tinggi turut merubah pemikiran sesetengah wanita untuk hidup bergaya dan merokok kononnya bagi melengkapkan penampilan di khalayak ramai.

Jelas, trend wanita menjadi perokok perlu disekat. Rokok menjadi punca dan melambangkan pelbagai gejala. Agensi Dadah Kebangsaan difahamkan memperoleh fakta bahawa merokok menjadi punca utama penagihan dadah di negara ini. Jika semakin ramai wanita merokok, maka mereka turut terdedah kepada risiko berkenaan. Selepas ramai lelaki menjadi penagih dadah, kita tidak mahu wanita ditimpa gejala sama. Tabiat merokok di kalangan wanita juga berkait rapat dengan budaya berseronok (hedonisme) seperti meminum arak dan pergaulan bebas. Justeru, langkah menyekat tabiat merokok mesti dipertingkatkan kerana ini akan menyelamatkan sebahagian lagi struktur masyarakat yang sangat penting.

Contohnya, kerajaan perlu mewartakan lebih banyak kawasan larangan merokok; meningkatkan penerangan bahaya merokok; dan mempergiatkan kempen antimerokok di kalangan generasi muda. Harus diingat, hasrat atau tekad mahu menurunkan berat badan mesti bermula dengan membuat rujukan kepada doktor klinik atau hospital bagi memperoleh khidmat nasihat mereka. Kaunseling mereka lebih tepat dan tidak memudaratkan jika dipatuhi dengan tertib.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Ada jalan atasi kebuntuan

Oleh ROHANI IBRAHIM

KEMPEN Kami Prihatin yang dilancarkan semalam merupakan satu usaha untuk meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat supaya lebih menghargai dan menyayangi bayi dan kanak-kanak.

Dalam membendung gejala buang bayi, masyarakat tidak harus menyisihkan mana-mana gadis yang mengandung tanpa ikatan perkahwinan.

Ini adalah penting supaya gadis itu tidak mengambil jalan singkat dengan membuang apatah lagi membunuh bayi sendiri.

Sementara bagi melindungi golongan kanak-kanak pula, masyarakat perlu lebih peka dengan keadaan kanak-kanak yang ada di persekitaran mereka dan tidak berdiam diri jika terhidu sebarang jenayah penderaan yang berlaku ke atas kanak-kanak tersebut.

Dengan cara ini, masalah buang bayi dan penderaan kanak-kanak sehingga mati yang dilihat semakin meningkat kebelakangan ini dapat dibendung bagi memastikan nilai kemanusiaan di kalangan masyarakat tidak luntur dalam tempoh jangka panjang.

Timbalan Yang Dipertua, Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO), Faridah Khalid berkata, sebahagian besar daripada gadis yang membuang bayi mereka adalah kerana ingin menutup malu.

''Mereka malu setelah mendapati diri mereka hamil dan mereka juga malu untuk meminta pertolongan dari mana-mana pihak kerana masyarakat kita terutamanya ibu bapa tidak boleh menerima gadis yang mengandung tanpa suami. Saya percaya sebahagian daripada wanita yang terlibat seboleh-bolehnya tidak mahu membunuh bayi yang sudah mereka kandungkan.

''Namun dalam keadaan terdesak jalan paling mudah yang boleh mereka ambil ialah melahirkan bayi mereka secara bersendirian seperti di dalam tandas umpamanya dan selepas itu mengepam bayi berkenaan dalam lubang tandas," katanya.

Faridah berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran kempen Kami Prihatin oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil di KL Sentral, Kuala Lumpur semalam.

Kempen yang dilancarkan akhbar Utusan Malaysia itu mendapat kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, stesen penyiaran Astro dan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan).

Tambah Faridah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu memainkan peranan dalam menyebarkan mesej kepada masyarakat bahawa gadis-gadis yang bermasalah boleh meminta nasihat dan bantuan daripada NGO seandainya mereka tidak ada tempat lagi untuk mengadu.

''Sekurang-kurangnya NGO boleh memberikan nasihat dan bimbingan supaya gadis berkenaan boleh melahirkan bayi dalam keadaan selamat dan sempurna sebelum membuat keputusan untuk menjaga bayi tersebut atau mencari keluarga angkat.

''NCWO yang mempunyai lebih 120 NGO wanita di bawahnya akan meminta kesemua NGO berkenaan supaya mengedarkan nombor telefon yang boleh dihubungi seandainya seseorang wanita itu menghadapi masalah terutamanya hamil tanpa suami," jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Institut Pengupayaan Wanita Bagi Anggota Pergerakan Negara-negaraBerkecuali (NIEW), Datuk Rafiah Salim yang turut ditemui pada majlis yang sama berkata, pelancaran kempen Kami Prihatin ini memang tepat pada masanya kerana inisiatif seumpama ini amat diperlukan dalam masyarakat.

''Pada pandangan saya, masalah buang bayi menjadi semakin serius kerana ia berhubung kait dengan fenomena penghijrahan dari luar bandar ke bandar yang begitu banyak pada masa ini.

''Apabila seseorang gadis itu tinggal berjauhan daripada keluarga mereka tidak mempunyai sistem sokongan mahupun pihak yang memantau perbuatan dan tindakan mereka. Jadi apabila timbul sesuatu masalah seperti hamil luar nikah dan sebagainya, gadis tersebut mengambil tindakan tanpa berfikir panjang," katanya.

Oleh itu, tambah Rafiah, masyarakat pada hari ini perlu peka dengan keadaan sekeliling dan mengambil tahu keadaan muda-mudi yang tinggal di persekitaran mereka. Sementara ibu bapa perlu mengambil tahu perkembangan anak-anak muda yang tinggal berjauhan dan bersendirian.

''Dalam menangani masalah buang bayi ini sistem sokongan amatlah penting supaya mereka yang terlibat mampu berfikir secara rasional. Jika tidak mahukan bayi berkenaan pun letakkanlah bayi itu di rumah kebajikan atau di tempat yang selamat. Janganlah membiarkan bayi itu di tempat yang merbahaya sehingga mati," katanya.

Jelas beliau, mereka yang mendera kanak-kanak sehingga mati pula disifatkan sebagai sakit mental dan gagal menguruskan stres sehingga menganggap seseorang kanak-kanak sebagai objek untuk melepaskan geram.

Pengarah Eksekutif Pertubuhan Bantuan Wanita (WAO) Ivy Josiah ketika dihubungi berkata, kempen Kami Prihatin perlu meningkatkan kesedaran di kalangan golongan lelaki supaya bertanggungjawab dan tidak mengambil sikap lepas tangan dalam hubungan dengan teman wanita.

''Ada wanita yang membuang bayi kerana tidak tahu berbuat apa-apa setelah teman lelaki mereka menghilangkan diri apabila mengetahui wanita itu mengandung.

''Sementara golongan gadis juga perlu dididik bahawa hubungan seks luar nikah bukanlah cara untuk membuktikan cinta mereka kepada teman lelaki," katanya sambil menambah ada juga wanita yang hamil kerana dirogol dan kemudiannya membuang bayi yang dilahirkan.

Jelas Ivy, masalah buang bayi yang semakin meningkat di kalangan masyarakat juga memberikan mesej bahawa kesedaran mengenai langkah-langkah pencegahan kehamilan sangat rendah di kalangan mereka yang terlibat dalam gejala ini.

Justeru, jelasnya, usaha yang menyeluruh diperlukan untuk membendung gejala ini seperti penganjuran kempen kesedaran Kami Prihatin, pendidikan kepada golongan lelaki supaya tidak memperlakukan golongan wanita sewenang-wenangnya dan kemudian lepas tangan serta pendidikan seks terutamanya pengetahuan mengenai pencegahan kehamilan.

Kempen Kami Prihatin yang dilancarkan ini diharapkan dapat membela nasib bayi-bayi yang tidak berdosa daripada dibuang dan dibunuh ekoran masyarakat kita yang terlalu gemar menghukum.

Sementara kanak-kanak pula perlu diselamatkan daripada menjadi mangsa dera golongan dewasa yang sakit mental atau gagal menguruskan tekanan hidup.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Rabu, 7 April 2010

APABILA LUNAK MENJADI MUAK

OLEH ABD JALIL ALI

Kita sudah terbiasa sangat dengan kenyataan-kenyataan stereotaip setiap kali kerajaan hendak menaikkan harga satu-satu barangan atau perkhidmatan. Kata-kata yang dikeluarkan selalunya amat lunak, manis lagi mesra pengguna. Soal betul atau tidak kata-kata itu, belakang kira.

Sekiranya contoh-contoh sebelum ini hendak dijadikan KPI – sekarang siang malam orang bercakap mengenai KPI! – ternyata sekali yang lunak-lunak itu akhirnya menimbulkan rasa muak; yang manis bertukar menjadi masam lagi pahit.

Tentu semua masih ingat bahawa apabila harga bahan penting atau perkhidmatan utama hendak dinaikkan, ada sekurang-kurangnya tiga perkara yang menjadi alasan kerajaan untuk menjustifikasikan tindakan tersebut:


No.1, harga bahan berkenaan sudah lama tidak naik. Oleh sebab kos pengilangan semakin tinggi dan harga bahan mentah meningkat di pasaran dunia, kita tidak ada pilihan kecuali menaikkan harga.

No.2, harga bahan tersebut di tempat kita adalah jauh lebih rendah berbanding dengan negara-negara lain (biasanya yang akan disebut ialah negara di mana harga lebih tinggi, negara yang harga lebih rendah dari kita tidak disebut!).

No. 3, kenaikan harga ini tidak akan sekali-sekali membebankan rakyat, terutama yang berpendapatan rendah, sebab “kerajaan akan bertindak tegas ke atas mana-mana peniaga yang mengambil kesempatan atas kenaikan ini!”

Sementara alasan No.1 dan No.2 sukar untuk dinilai kebenarannya oleh rakyat terbanyak, No.3 boleh dirasakan kesannya oleh kita dalam masa sehari dua – ada ketikanya dalam masa hanya sejam dua! – setelah kenaikan harga baru dikuatkuasakan.

Kita ambil contoh tepung gandum. Kerajaan kata kenaikan harga bahan tersebut tidak akan membebankan rakyat. Tetapi dalam masa hanya tiga hari, rakyat biasa sudah merasa beban. Kebanyakan restoran dan gerai menaikkan harga roti canai. Setiap keping naik antara 10 sen hingga 20 sen, malah ada juga yang 30 sen.
Sesetengah penjual, konon atas semangat cintakan pengguna, mengekalkan harga lama. Memang harga tidak berubah tetapi saiz berubah – roti canai menjadi lebih kecil, semakin nipis seperti sapu tangan. Tidak boleh lagi kata sekeping, tetapi patut kata sehelai roti canai.

Samalah juga halnya apabila harga gula dinaikkan belum lama dulu. Kenyataan stereotaip dikeluarkan, dan rakyat juga yang menerima akibatnya. Kerajaan menegaskan akan mengambil tindakan ke atas mana-mana peniaga yang menaikkan harga barangan lain sesuka hati.
Kesan segera kenaikan harga gula ialah kenaikan teh tarik. Gula naik 25 sen sekilo, teh tarik naik 20 sen segelas. Malah ada sesetengah restoran yang menaikkan teh tarik sebanyak 50 sen. Bukan sahaja teh tarik yang menjadi minuman separuh wajib sebahagian besar rakyat, makanan bergula yang lain pun turut naik. Kerajaan tidak berupaya untuk mengawal kenaikan harga, jauh sekali untuk mengambil tindakan tegas ke atas peniaga. Apa yang termampu dibuat oleh kerajaan ialah menasihatkan orang ramai supaya memulaukan peniaga yang menaikkan harga teh tarik. Pengguna juga yang kena!

Apabila petrol naik harga, semua orang terkesan dan terbeban sebab semua barang dan khidmat turut naik. Sehinggakan mamak penjual cendol pun menaikkan harga atas alasan: “Itu petrol harga sudah naik, jadi cendol mesti naik juga!” Pada hal dia tidak menggunakan motosikal, sebaliknya hanya berbasikal untuk menjual cendol. Mana ada basikal guna petrol!

Sebab itu jangan cepat berasa lega apabila kerajaan kata “tidak membebankan rakyat” jika ada barang naik. Sebaliknya, kita hendaklah bersedia dan mencari langkah selamat apabila ada barang atau perkhidmatan hendak dinaikkan harga. Terimalah hakikat bahawa kenaikan walau sesen pasti akan membebankan kita.

Sengaja saya timbulkan ini sebab mulai 1 Julai harga perkhidmatan pos akan dinaikkan. Alasan kerajaan sama seperti No.1 hingga No.3 di atas. Cuma tambah satu lagi, bahawa kenaikan ini akan meningkatkan lagi mutu perkhidmatan pos. Ini pun cakap biasa. Sebelum ini tarif air naik, tarif elektrik naik, tarif telefon naik, perkhidmatan macam biasa juga.
Kerajaan kata kenaikan setem tidak akan membebankan rakyat. Setem pos biasa kini 30 sen, mulai awal Julai akan menjadi 60 sen, iaitu kenaikan 100 peratus. Macam mana kenaikan setinggi itu dikatakan tidak membebankan? Walaupun ada disediakan apa yang dipanggil ‘surat rakyat’ pada harga sama, kenaikan sekali ganda setem itu tetap terkena pada rakyat.

Sebenarnya kenyataan-kenyataan stereotaip itu tidak perlu. Adalah lebih baik kerajaan berterus terang bahawa kenaikan setiap harga barangan dan perkhidmatan pasti akan menjejaskan kehidupan rakyat. Dan, rakyat kena menghadapi hakikat itu. Biarlah kenyataan itu pahit, mudah-mudahan ia menjadi ubat. Tidak guna kata-kata lunak, sebab akhirnya rakyat muak.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/