Rabu, 12 Mei 2010

Hafiz wira Malaysia

Muhammad Hafiz Hashim tenang membalas hantaran pemain Denmark, Joachim Persson sebelum menang 21-12, 21-10 pada perlawanan suku akhir Piala Thomas di Stadium Putra Bukit Jalil, semalam. – UTUSAN/Azrul Edham Mohd. Aminuddin

KUALA LUMPUR – Selepas mengharungi lima jam yang amat mencemaskan, Muhammad Hafiz Hashim akhirnya muncul wira membawa Malaysia melangkah ke separuh akhir Piala Thomas selepas melakar kemenangan dramatik 3-2 ke atas Denmark di Stadium Putra Bukit Jalil, semalam.

Selepas suasana suram menyelubungi skuad badminton negara ekoran kekalahan 2-3 kepada Jepun di peringkat kumpulan kelmarin, Hafiz mengetuai kebangkitan Malaysia dengan menumpaskan Joachim Persson 21-12, 21-10.

Kemenangan ini menghidupkan kembali harapan untuk menamatkan kemarau 18 tahun, biarpun lawan yang bakal ditentang Malaysia adalah juara tujuh kali dan pilihan utama, China, yang hadir dengan misi mempertahankan gelaran buat kali keempat berturut-turut.

Pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei dan beregu, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong terdahulu meletakkan Malaysia selesa mendahului 2-0, namun keadaan bertukar menjadi amat tegang selepas Wong Choong Hann dan beregu serpihan, Zakry Latif-Hoon Thien How membenarkan Denmark menyamakan kedudukan 2-2.

Ketika Hafiz turun ke gelanggang, ribuan penyokong Malaysia di stadium masih dibayangi igauan ngeri ketika bertemu Jepun kelmarin, apabila dia gagal memberi mata kemenangan ketika berdepan Shoji Sato hingga menyebabkan kita tunduk 2-3.

Begitupun, juara All England 2003 itu memastikan kekalahan tersebut tidak mengganggu tumpuannya apabila tenang menjinakkan Persson hanya dalam masa 31 minit

Meskipun China tampak terlalu mantap ketika ini, namun jika semangat 1992 mampu diserap, tidak mustahil negara tembok besar itu mampu ditumbangkan.

Kali terakhir kita menjulang Piala Thomas 18 tahun lalu, jalan ceritanya hampir sama, Malaysia kalah 2-3 kepada Korea Selatan di peringkat kumpulan, tetapi bangkit menumbangkan China 3-2 di separuh akhir, sebelum menumpaskan Indonesia 3-2 dalam perlawanan akhir.

Semalam, Chong Wei memulakan langkah kanan Malaysia dengan menundukkan Peter Hoeg Gade 21-17, 21-17 untuk melebarkan rekod kemenangan ke atas jaguh veteran Denmark itu kepada 9-1.

Kien Keat-Boon Heong mempamer aksi mantap ketika mengutip mata kedua negara dengan menumpaskan naib juara All England, Carsten Mogensen-Mathias Boe 21-17, 21-19.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

UNSUR JUDI JEJAS PEMBANGUNAN SUKAN

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

Usaha membenar pertaruhan untuk apa-apa tujuan dilarang syarak


PIALA Dunia kembali lagi. Di sebalik keghairahan menanti aksi pemain bola sepak ternama dunia serta semangat penyokong fanatik mereka, timbul isu membabitkan kumpulan yang mengambil kesempatan daripada temasya suka gilang-gemilang itu.

Mereka ialah orang yang mempertaruhkan wang bagi tujuan perjudian. Isu judi atau pertaruhan bukan baru kerana sering dikaitkan dengan penganjuran acara besar seperti Piala Dunia. Firman Allah bermaksud: “Wahai orang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala, mengundi nasib dengan batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah al-Maidah: 90)

Judi adalah pertaruhan harta ataupun nilai. Dalam perjudian, yang kalah permainan mesti membayar sejumlah nilai kepada pihak yang menang. Ada banyak jenis permainan yang boleh dianggap sebagai perjudian seperti membeli nombor ekor, menyabung ayam dan judi bola sepak.

Lazimnya, perjudian dianggap sebagai amalan buruk kerana ia satu bentuk pengagihan harta secara tidak adil. Dalam perjudian, pihak yang menang akan mendapat harta tanpa melakukan apa-apa kerja tetapi bergantung kepada nasib.

Perjudian dilarang kerana banyak perkara mudarat timbul daripadanya seperti menyebabkan ketagihan hingga sanggup mengabaikan kerja, keluarga selain memerlukan modal.

Lebih teruk, mereka akan mengaitkan segala yang berlaku sebagai nasib kerana menganggap kehidupan adalah suatu perjudian besar. Selain itu, modal penyelesaian masalah mereka adalah tidak berlandaskan kepada akal logik.

Sesetengah mereka sanggup melakukan perbuatan syirik dengan mencari bantuan ghaib untuk kejayaan. Contohnya, mendapatkan bantuan ‘keramat’ memuja pokok, busut dan pelbagai lagi kerana percaya pemujaan itu akan meningkatkan tuah mereka.

Tanpa disedari, perbuatan itu bukan saja membazir wang dan masa malahan memesongkan akidah kerana pemikiran dipengaruhi unsur ghaib kerana percaya dapat membantu mereka menang dalam pertaruhan.

Selain itu, perjudian mendorong kepada aktiviti meminjam wang daripada ceti haram bagi tujuan mendapatkan modal atau untuk membayar hutang. Kesan teruk ialah apabila hutang kepada ceti haram gagal dibayar hingga berlaku jenayah tidak diingini.

Judi juga menyebabkan peningkatan jenayah seperti rompak, curi dan samun kerana mereka ini berkehendakkan wang untuk tujuan berjudi atau menebus hutang dengan ceti haram.

Justeru, Islam mengharamkan judi kerana kesan amat buruk kepada diri dan masyarakat serta barang siapa yang dapat menjauhkan diri daripadanya adalah tergolong dalam orang yang berjaya di dunia dan akhirat.

Perbuatan judi bertentangan tuntutan agama dan menjadi satu kesalahan mengikut akta atau Enakmen Kesalahan Jenayah Negeri-Negeri di Malaysia.

Seksyen 17 (1) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995 memperuntukkan bahawa mana-mana orang yang berjudi, atau didapati berada di rumah judi, adalah melakukan kesalahan dan jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM3,000, penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Namun demikian, Seksyen 17 (2) memperuntukkan bahawa seseorang itu boleh tidak disabitkan atas kesalahan seperti di atas jika ia dapat memuaskan hati mahkamah bahawa dia tidak tahu dan tidak mungkin tahu bahawa rumah itu ialah rumah judi.

Dalam mentafsirkan apa dimaksudkan dengan rumah judi, peruntukan undang-undang mengikut Seksyen 17 (3) mentafsirkan rumah judi adalah mana-mana premis, termasuk bilik, pejabat atau gerai sama ada terbuka atau tertutup yang digunakan atau disimpan bagi maksud perjalanan apa-apa permainan yang keputusannya bergantung kepada nasib atau campuran nasib dan kemahiran, sama ada dibenarkan oleh undang-undang lain sebaliknya, untuk mendapat wang atau nilai wang.

Jelas, judi adalah perkara terlarang daripada sudut hukum syarak serta undang-undang syariah. Oleh itu, sebarang usaha mana-mana pihak mengeluarkan lesen untuk membenarkan pertaruhan dilakukan semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 adalah tindakan tidak wajar dan perlu dibantah.

Sebarang bentuk pertaruhan adalah judi walau apapun alasannya sama ada bagi mengawal aktiviti perjudian dan hasilnya digunakan untuk pembangunan sukan.

Hakikatnya, matlamat tidak boleh menghalalkan cara. Niat untuk membangunkan sukan adalah suatu niat yang murni tetapi pada masa sama tidak boleh menghalalkan judi yang jelas haram hukumnya dalam Islam.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia(PGSM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Isnin, 10 Mei 2010

GURINDAM TIDAK ENGKAU DAPAT


Tidak engkau dapat apa dicita
Jika malas asyik membuta.

Tidak engkau dapat menjadi kaya
Jika boros suka berfoya.

Tidak engkau dapat aman sentosa
Jika fikiran celaru sentiasa.

Tidak engkau dapat tenang bahagia
jika iman tiada di jiwa.

Tidak engkau dapat akan kesenangan
Jika cuma duduk berangan.

Tidak engkau dapat akan kemenangan
Jika sekadar merencana rancangan.

Tidak engkau dapat ke puncak gunung
Jika hanya melepak termenung.

Tidak engkau dapat mencapai angkasa
Jika berusaha culas dan kelesa.

Tidak engkau dapat mutiara yang dalam
Jika laut tak berani diselam.

Tidak engkau dapat hutan diteroka
Jika takut duri dan luka.

-EHSAN JAMILY
Taman Desa Baru, Melaka.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Ahad, 9 Mei 2010

KISAH TRAGIS BAHASA MELAYU

MASIHKAH kita memerlukan bahasa Melayu? Adakah bahasa Melayu di negara ini dihormati oleh seluruh warganegaranya? Barangkali jawapan pedih yang terpaksa kita terima adalah kita tidak memerlukan bahasa Melayu. Malah bahasa Melayu tidak dihormati di negara ini oleh sebahagian besar warganegara. Lebih tragis lagi sesetengah daripada kita tidak pernah merasa malu untuk meletakkan bahasa Melayu di tepi longkang. Tetapi tolong jangan melenting dulu.

Saya pasti terutama kalangan orang politik akan menafikan sekeras-kerasnya perbuatan kita terhadap bahasa Melayu. Tetapi orang yang sama juga tidak pernah berusaha untuk memberi tempat dengan menggunakan bahasa Melayu apabila berinteraksi dengan sesama warganegara. Sebaliknya, mereka bangga apabila ada kalangan bukan Melayu yang mampu berbahasa Melayu dengan baik atau pelancong yang mengucapkan sepatah dua istilah Melayu.

Bahasa Melayu menjadi begitu hina di negara ini kerana sesetengah pihak sangat hipokrit apabila berhujah tentang bahasa Melayu. Sikap hipokrit untuk kepentingan politik inilah yang meletakkan bahasa Melayu di tepi longkang yang akhirnya dipijak sendiri oleh warganegara yang sepatutnya memuliakan bahasa kebangsaan. Jangan kita berpura-pura tidak tahu bahawa ada warganegara yang tidak boleh berbahasa Melayu sekalipun dalam Perlembagaan disebut bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan.

Saya menulis ini kerana teringat jawapan yang diberikan di Parlimen baru-baru ini bahawa individu yang memohon kewarganegaraan negara ini mesti boleh bertutur bahasa Melayu dengan baik. Kononnya, kerajaan tidak berkompromi dengan orang asing yang memohon menjadi warganegara tetapi tidak fasih berbahasa Melayu. Disebutkan juga bahawa permohonan menjadi warganegara tertakluk kepada Perkara 15, 16, 19 dan 30 Perlembagaan Persekutuan yang antaranya mensyaratkan mereka mesti tahu menggunakan bahasa Melayu dengan betul.

Kita pasti gembira kalau semua yang berjaya mendapat taraf warganegara boleh berbahasa Melayu dengan baik. Kalau orang luar yang memohon menjadi warganegara boleh disyaratkan mesti tahu berbahasa Melayu dengan baik, bagaimana pula yang lahir sebagai warganegara tetapi tidak boleh berbahasa Melayu? Pelik bukan? Sebabnya, kita lebih menekankan peri pentingnya bahasa Melayu kepada orang asing tetapi warganegara sendiri melongkangkan bahasa Melayu.

Apakah kerana mereka sudah menjadi warganegara sejak lahir, maka mereka terlepas daripada tanggungjawab memuliakan bahasa kebangsaan dan tugas ini diserahkan pula kepada orang yang baru hendak jadi warganegara? Ia berlaku kerana banyak orang politik yang hipokrit dan kita semua mewajarkan tindakan memijak bahasa Melayu.

Pejuang bahasa sudah banyak melakukan yang termampu untuk memuliakan bahasa Melayu. Apa pula tindakan orang politik memuliakan Perlembagaan dengan memartabatkan bahasa Melayu?

Perihal orang luar hendak menjadi warganegara sebenarnya tidak perlu ditekankan sangat. Ini kerana yang menjadi pendukung kemuliaan bahasa Melayu adalah warganegara yang melafazkan sumpah setia kepada negara ini.

Kalau syarat permohonan warganegara itu dilaksanakan kepada warganegara, berapa banyak yang terbatal taraf warganegaranya? Fikirlah sendiri kita ini hipokrit atau tidak.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Sabtu, 8 Mei 2010

GANJARAN PENGORBANAN ISTERI & IBU


i. PAHALA WANITA MENGANDUNG

Apabila seseorang perempuan mengandung janin dalam rahimnya, maka beristighfarlah malaikat untuknya. Allah s.w.t. mencatatkan baginya setiap hari dengan 1,000 kebajikan dan menghapuskan daripadanya 1,000 kejahatan.

ii. PAHALA WANITA BERSALIN

Apabila seseorang perempuan mula sakit hendak bersalin, maka Allah s.w.t. mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah s.w.t.

iii. KELEBIHAN MELAHIRKAN ANAK

Apabila seseorang perempuan melahirkan anak, keluarlah dia dari dosa-dosa seperti keadaan ibunya melahirkannya.

iv. KELEBIHAN MEYUSUKAN ANAK

Apabila telah lahir anak lalu disusui, maka bagi ibu itu setiap satu tegukan daripada susunya diberi satu kebajikan.

v. PAHALA MEMELIHARA ANAK

Apabila semalaman ibu tidak tidur dan memelihara anaknya yang sakit, maka Allah s.w.t. memberikannya pahala seperti memerdekakan 70 hamba dengan ikhlas untuk membela agama Allah s.w.t.

vi. GANJARAN MENOLONG SUAMI

Tiap perempuan yang menolong suaminya dalam urusan agama, maka Allah s.w.t. memasukkan dia ke dalam syurga lebih dahulu daripada suaminya.

vii. GANJARAN WANITA SOLEHAH

Perempuan apabila sembahyang lima waktu, puasa bulan ramadhan, memelihara kehormatannya serta taat akan suaminya, masuklah dia dari pintu syurga mana sahaja yang dikehendaki.

viii. GANJARAN MENTAATI SUAMI

Wanita yang taat berkhidmat kepada suaminya akan tertutup pintu-pintu neraka dan terbuka pintu-pintu syurga. Masuklah dari mana-mana pintu yang di kehendaki dengan tidak berhisab.

ix. KELEBIHAN SEORANG IBU

Syurga itu di bawah telapak kaki ibu.

NOTA HUJUNG:

Allahu Akbar! Demikianlah ganjaran yang dijanjikan oleh Allah s.w.t. bagi mereka yang ikhlas melaksanakan amanah dan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu dengan hati yang terbuka. Sekiranya, seseorang isteri dan ibu itu tahu betapa besarnya ganjaran pahala yang akan diterima kelak, sudah pasti tidak akan ada perbuatan membuang bayi, membunuh bayi dan sebagainya. Anak merupakan amanah Allah dan saham kita di alam akhirat kelak.


Kepada para suami dan anak-anak, sedar dan fahamilah pengorbanan seorang isteri dan ibu dalam menjalani kehidupan seharian, justeru, sebagai suami dan anak-anak marilah sama-sama kita bertekad untuk meringankan tangan untuk membantu mereka tanpa diminta. Berilah penghargaan dalam bentuk material atau hadiah kepada mereka atau paling tidak, luahkan penghargaan dalam bentuk kata-kata, sikap dan belaian mesra.

Mereka ini tidak menuntut bayaran sesen pun daripada suami mahupun anak-anak bagi kerja-kerja yang dibuat oleh mereka, namun balasan Allah s.w.t. adalah ganjaran yang paling berharga.

Jumaat, 7 Mei 2010

ISU SOSIAL : Pendekatan berkesan tangani salah laku remaja

Oleh M K Fuad


Ibu bapa patut faham tanggungjawab sosial, akhlak terhadap anak diamanahkan Allah


PELBAGAI persoalan menerjah minda kita yang waras ini apabila terbaca pelbagai berita mengenai salah laku di kalangan pelajar atau remaja di negara ini. 

Persoalan berkisar psikologi remaja, peranan ibu bapa, sistem pendidikan, fungsi kejiranan, tanggungjawab guru, peranan institusi agama, faktor teknologi dan bermacam-macam lagi. Sebenarnya persoalan ini berhubung kait antara satu sama lain. Dalam erti kata lain, merungkai satu persoalan saja tanpa menyelesaikan persoalan lain tetap tidak akan menyelesaikan masalah pokok.

Remaja mudah terjebak dengan aktiviti tidak sihat. Ia bukan perkara pelik atau perlu dihairankan. Sejak dulu, kajian dalam bidang psikologi menunjukkan pada peringkat remaja, mereka berada dalam keadaan ‘keliru dan tercari-cari’ dalam membentuk identiti sebenar.

Menurut teori perkembangan psikososial ahli psikologi Eric Ericson (1902-1994), pada peringkat ini ia dipanggil ‘stage of learning identity versus identity diffusion (Fidelity)’. Ini proses fitrah dalam mencapai kematangan.

Yang perlu kita hairan ialah apa yang dilakukan golongan dewasa yang kononnya matang, seperti ibu bapa, guru, keluarga, jiran, imam dan pemimpin masyarakat dalam membimbing golongan mentah ini mengharungi dengan selamat fasa kehidupan remaja yang penuh kekeliruan.

Jika golongan dewasa memainkan peranan dengan betul dan sempurna, mengapa masih berlaku kes salah laku remaja hari ini?

Mengambil contoh kes zina dan bunuh yang dilakukan remaja. Bunyinya seperti terlalu dahsyat kerana selama ini perspektif kita juga sudah diprogramkan untuk melihat jenayah ini ‘lebih lembut’ dengan penggunaan istilah seks bebas atau seks luar nikah dan buang bayi.

Kita ambil contoh kes yang kononnya untuk ‘membersihkan’ maruah diri, teman lelaki dan keluarganya; seorang remaja perempuan (penulis tukar namanya kepada XX) berusia 14 tahun membunuh anak yang dilahirkan dengan membuangnya dalam tong sampah. Mari kita buat analisis ringkas untuk melihat siapa yang ‘terbabit’ dalam kes ini.

XX tidak akan membunuh jika dia tidak melahirkan anak haram dan tidak mengandung anak haram jika tidak berzina dengan teman lelakinya (XY). XX dan XY tidak akan berzina jika mereka tidak berpacaran dan mereka tidak berpacaran jika mereka dibimbing dengan betul untuk menjawab kekeliruan mengenai cinta, perhubungan dan seks.

Perspektif XX dan XY mengenai perkara ini menjadi lebih kukuh dan diyakini jika guru membimbing dan mewujudkan budaya bebas cinta dan bukannya cinta bebas di sekolah melalui pelbagai program pembudayaan yang konsisten. Subjek Pendidikan Islam dan Moral sepatutnya diajar melangkaui skop akademik semata-mata.

Ia mesti dan sepatutnya menjadi sistem hidup pelajar. Prestasi subjek ini bukan disandarkan kepada jumlah A atau E dalam peperiksaan tetapi nilai akhlak, amalan dan jati diri pelajar. Dalam kelas, mereka diajar arak dan zina itu adalah dosa besar tetapi sekelip mata di luar kelas mereka melakukannya. Pelik!

Dalam iklim moral yang agak gawat ini, seharusnya setiap seorang guru tidak kira apa subjek yang diajar, mengambil tanggungjawab sosial setiap hari meluangkan masa tidak lebih lima minit pada awal masa mengajar untuk membina perspektif anak didik mengenai hakikat kehidupan.

Cuba kita kira, 5 minit X 6 waktu X 5 hari X 4 minggu bersamaan 10 jam sebulan. Penulis rasa itu adalah tempoh masa yang lebih daripada mencukupi untuk mendidik anak mengenai erti kehidupan. Kita tidak perlu buat silibus baru, tambah waktu persekolahan atau guru dan sebagainya. Cukup sekadar kesedaran, kemahuan dan komitmen setiap guru.

Dulu, guru juga yang ajar kita bahawa ‘sikit-sikit, lama-lama jadi bukit’ dan ‘ringan sama dijinjing, berat sama dipikul’. Soalnya adakah guru sekarang memahami apa yang diajar guru dulu?

Faktor guru sering bertukar sekolah juga ada kala menjadi punca usaha pembudayaan positif yang dilakukan terbantut sekerat jalan.

Selain itu, imam masjid perlu mengambil tanggungjawab penuh mengingat dan memberi pedoman praktikal kepada bapa khususnya melalui khutbah Jumaat supaya mereka tidak terlepas pandang membimbing dan memantau tumbesaran jiwa anak remaja mereka. Sehari pun kita tidak sanggup membiarkan perut anak kosong tetapi kenapa sanggup membiarkan mereka kosong minda, jiwa dan rohani sehingga dewasa?

Selain itu, ibu bapa tidak keterlaluan jika dikatakan seolah-olah buta hati apabila boleh mempercayai bulat-bulat yang anak mereka hanya menggunakan gajet tertentu untuk tujuan baik seperti belajar, cari maklumat tugasan sekolah, menghubungi kawan untuk perbincangan kerja sekolah dan hubungi ibu bapa apabila ada kecemasan. Sekarang dengan tersedia prasarana teknologi maya tanpa wayar berkelajuan tinggi, hanya satu klik mereka terdedah dengan pelbagai maklumat yang merosakkan.

Sebagai ibu bapa, seharusnya bijak menerangkan kepada anak mengenai keperluan memiliki gajet itu. Kita jangan mudah termakan dengan rengek anak hanya kerana kita sayangkan mereka.

Sayangkan anak bukan bermakna mesti berikan mereka segala-galanya. Sudah sampai masanya, sayangkan anak ada perkara yang tidak patut kita berikan. Bak kata pepatah ‘sayangkan anak tangan-tangankan’ yang bukan sekadar bermaksud denda atau rotan tapi mungkin juga bermaksud tidak boleh, tidak perlu atau jangan!

Kesimpulannya, jika semua pihak benar-benar sedar dan prihatin untuk tangani isu salah laku sosial di kalangan remaja maka langkah pertama yang boleh dan wajar dilakukan ialah menilai kembali apa fungsi terbaik yang boleh kita lakukan sebagai diri kita sendiri sekarang. Semua perlu bergandingan dan berhenti menuding jari. 


Penulis adalah Pakar Perunding Motivasi

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Hargai pengorbanan ibu

GEMBIRA... Jeanne Abdullah bersama dua orang anak perempuannya, Nadiah (kiri) dan Nadene. - Bernama

PENGHORMATAN yang tinggi kepada ibu menjadikan setiap tahun satu hari dikhususkan untuk meraikan dan menghargai golongan tersebut.

Masyarakat di 46 buah negara termasuk Malaysia memilih hari Ahad kedua dalam bulan Mei sebagai Hari Ibu.

Tahun ini, Hari Ibu jatuh pada 9 Mei. Antara negara lain yang turut memilih hari Ahad kedua bulan Mei sebagai Hari Ibu ialah Amerika Syarikat (AS), Australia, Kanada dan Singapura.

Terdapat negara yang memilih tarikh lain bagi menyambut Hari Ibu, misalnya Sweden menyambut Hari Ibu pada Ahad terakhir dalam bulan Mei, Norway pada Ahad kedua pada Februari dan Poland memilih sambutan Hari Ibu pada tarikh 26 Mei.

Hari Ibu yang pertama disambut di AS pada 1914. Tradisi menyambut Hari Ibu kemudiannya tersebar di beberapa negara.

Bagaimanapun, budaya sambutan Hari Ibu di setiap negara adalah berbeza berdasarkan amalan sesebuah masyarakat.

Biar bagaimanapun cara Hari Ibu disambut di serata dunia, ideanya adalah sama iaitu menyatakan rasa cinta, hormat dan terima kasih di atas kasih sayang yang dicurahkan dan pengorbanan ibu.

Detik menjadi seorang ibu merupakan antara detik dan pengalaman paling indah dalam hidup wanita.

Namun, pada hari ini, mungkin masih ada wanita yang tidak bersedia atau tidak menghargai pengalaman menjadi seorang ibu.

Golongan itu tidak bersedia untuk menjadi ibu mungkin kerana sebab-sebab tertentu. Seperti laporan yang kita baca sebelum ini, ada yang tergamak mendera anak sendiri, membuang atau membunuh bayi yang baru dilahirkan.

Terdapat juga kes ibu tunggal yang membiarkan anak perempuan mereka bersama teman lelaki sehingga kanak-kanak itu didera sampai mati.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sebelum ini pernah mengingatkan golongan wanita terutamanya ibu tunggal yang bekerja supaya tidak cuai dalam menjaga anak mereka dan meninggalkan kanak-kanak itu sewenang-wenangnya.

Peningkatan kes membuang bayi dan penderaan kanak-kanak kebelakangan ini menyebabkan akhbar Utusan Malaysia melancarkan kempen Kami Prihatin pada bulan lalu. Kempen berkenaan mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk golongan artis dan pemimpin masyarakat.

Bekas Wanita Pertama Malaysia, Tun Jeanne Abdullah berkata, mereka yang tergamak membuang bayi dan mendera kanak-kanak berkemungkinan tidak mendapat kasih sayang dan perhatian yang secukupnya terutama daripada ibu sejak kecil.

''Kurangnya nilai kasih sayang dalam diri menjadikan golongan berkenaan tidak mempunyai perasaan terhadap mereka yang tidak tahu apa-apa seperti bayi dan kanak-kanak.

''Selain memberikan sepenuh kasih sayang dan perhatian kepada anak-anak, seorang ibu juga bertanggungjawab mendidik mengenai perkara-perkara yang boleh dilakukan dan perlu dijauhi.

"Ini akan membantu anak tersebut menjadi seorang yang lebih bertanggungjawab dan dapat berfikir dengan matang apabila meningkat remaja dan dewasa," katanya.

Beliau ditemui pada majlis minum petang Forum Malaysia Hijau 2010 di Kelab Tasik Putrajaya baru-baru ini.

Tambah Jeanne, dalam zaman serba moden yang mempunyai banyak cabaran, wanita muda perlu bertanya kepada diri sendiri sama ada mereka mampu memberikan sepenuh kasih sayang dan melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang ibu sebelum memiliki anak.

''Jika mereka merasakan tidak mampu untuk memberikan kasih sayang dan perhatian yang secukupnya kepada seorang anak, ini bermakna mereka belum bersedia untuk menjadi seorang ibu. Menjadi seorang ibu memerlukan pengorbanan," jelasnya.

Menurut Jeanne, sebagai seorang yang berpengalaman menjadi ibu bekerja ketika membesarkan dua orang anak perempuannya yang kini berusia 32 dan 30 tahun, beliau sedar tidak mudah untuk melaksanakan tanggungjawab berkenaan.

''Ibu bekerja perlu melakukan pengorbanan yang besar dalam mengimbangi kerjaya dan anak-anak. Selain membataskan aktiviti sosial dan lain-lain. Aspek-aspek yang penting seperti membantu kerja sekolah anak-anak, mendidik dan menerapkan nilai-nilai murni perlu menjadi keutamaan. Ini kerana aset terbaik seorang ibu adalah anak-anaknya," tambah beliau.

Jelasnya, hubungan yang erat di antara ibu dan anak adalah sangat penting supaya anak-anak boleh berterus-terang dan berkongsi sebarang masalah dengan ibunya.

''Jika anak-anak tidak berani atau tidak selesa menceritakan masalah kepada ibunya, mereka akan mendapatkan nasihat daripada kawan-kawan. Dan jika rakan-rakan berkenaan memberikan nasihat yang salah, mereka akan terjebak dalam pelbagai masalah seperti yang dapat kita lihat pada hari ini.

''Oleh itu, setiap ibu perlu memastikan mereka memberikan sepenuh kasih sayang, menjadi pendengar yang baik dan rakan yang memahami kepada setiap anak-anak mereka. Langkah ini mampu mengeratkan hubungan di antara ibu dan anak sekali gus menyuburkan nilai kasih sayang dalam masyarakat," katanya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/