Rabu, 14 Julai 2010

18 universiti diumum cemerlang


PUTRAJAYA - Tujuh institusi pengajian tinggi awam dan 11 dari swasta menerima pengiktirafan cemerlang menerusi Sistem Penarafan Institusi Pengajian Tinggi (Setara) 2009.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika mengumumkan perkara itu berkata, IPT awam yang menerima pengiktirafan itu ialah Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

IPT swasta terpilih pula ialah Universiti Multimedia (UMM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Teknologi Petronas (UTP), Sunway Universiti Kolej, Curtin Universiti Teknologi Kampus Sarawak, Monash Universiti Kampus Sunway, Taylor’s Universiti Kolej, International Medical University, Swinburne Universiti Teknologi Kampus Sarawak, Universiti Nottingham Kampus Malaysia serta Management and Science Universiti. – Bernama

Selasa, 13 Julai 2010

Roh budaya iqra makin hilang dalam diri generasi muda Islam


Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

UMAT Islam kian ketinggalan dalam serba-serbi khususnya aspek ilmu pengetahuan sedangkan umat Islam dulu yang menjadi pelopor dan peneroka menggali pelbagai ilmu sehingga mencetuskan era keemasan dunia Islam.

Seruan iqra sudah longgar daripada penghayatan sanubari Mukmin. Yang tinggal hanya semangat mengejar ilmu ketika di bangku sekolah atau di universiti. Penekanan pula berlegar kepada hendak lulus peperiksaan dan mendapat segulung ijazah.

Jika melihat kembali sejarah tamadun Islam peringkat awal, aktiviti mencari ilmu sama ada melalui pembacaan buku atau penyelidikan menjadi sebati dan satu kemestian.

Masa banyak dijuruskan kepada bagaimana merungkai sesuatu permasalahan hidup sehingga menemui ilmu pengetahuan baru sekali gus menerbitkan semangat mengkaji yang tinggi. Keupayaan daya kreativiti dan amalan budaya inovasi juga adalah senario umat Islam terdahulu.

Kini, minda umat Islam seakan-akan lumpuh. Mereka tidak berupaya bangun menggilap kembali semangat mencari ilmu pengetahuan. Sebagai umat terbaik dan dilingkungi seruan iqra seharusnya kelesuan budaya mencintai ilmu tidak ditenggelamkan begitu saja.

Generasi muda Islam banyak menghabiskan masa dengan aktiviti tidak bermanfaat. Ramai hanyut dengan anasir hiburan melampau, aktiviti merempit sehingga merimaskan masyarakat awam, penyalahgunaan dadah terlarang dan pelbagai gejala buruk lain.

Keadaan ini akan merencatkan pembangunan minda umat Islam. Tidak mustahil kita akan terus-terusan ketinggalan dalam arus pembangunan moden dunia. Kadar pembacaan yang rendah akan membeku tahap pemikiran untuk membina suatu umat perkasa daripada segi kehebatan tamadun.

Nampaknya roh budaya iqra tidak kukuh dalam diri generasi muda umat Islam. Sebaliknya, apa yang membiak subur ialah gejala menghabiskan masa sewenang-wenangnya dan kreatif yang negatif seperti hedonisme serta vandalisme.

Inilah gejala yang mewarnai corak hidup segelintir muda mudi Islam yang terus menghabiskan masa dan tenaga dalam aktiviti tidak bermanfaat. Apakah kebanggaan kita seandainya angka statistik jenayah kebanyakan membabitkan anak muda Islam?

Pada masa sama, bangsa lain terus memperkembangkan minda dan memperkaya ilmu pengetahuan. Begitu mudahnya anasir gejala asing khususnya dari Barat menerobos jiwa serta hati anak muda sehingga mereka tidak mampu mempertahankan maruah bangsa dan agama.

Inilah akibat apabila pegangan agama tidak kukuh dan amalan budaya bangsa diketepikan. Langkah pembetulan menjadi semakin sangat diperlukan dalam kadar segera supaya situasi merunsingkan itu tidak berpanjangan menimpa anak muda Islam.

Islam mengajak umatnya menggunakan akal berfikir secara rasional dan menolak sikap menerima sesuatu atas dasar ikutan membuta tuli atau secara warisan. Allah menurunkan al-Quran sebagai panduan lengkap umat Islam ke arah kehidupan yang benar.

Islam sangat menekankan budaya iqra atau budaya keilmuan. Firman Allah bermaksud: “Allah akan meninggikan orang yang beriman di antaramu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.” (Surah al-Mujadilah: 11).

Tuntutan mencari ilmu pengetahuan tidak terhenti kepada ilmu agama dan umat Islam diwajibkan menggilap akal mengkaji serta mencari ilmu pengetahuan duniawi yang akan memberi faedah kepada manusia, menjadi elemen pemangkin kepada bangkitnya kemajuan ummah.

Bangsa Jepun dan Korea mampu muncul menjadi bangsa yang kuat dari segi ekonomi sekali gus menjadi negara maju kerana masyarakatnya sangat mencintai budaya keilmuan.

Imam Syafie ada mengatakan: “Tuntutlah ilmu sebanyak mungkin kerana ia akan menjagamu dan membuatmu cemerlang di dunia dan akhirat, di samping ia menjadi amalan nabi, rasul dan orang soleh.”

Umat Islam masih mampu mengungguli tamadun dunia jika generasi muda Islam memaksimumkan penggunaan masa secara efektif dengan budaya membaca dan rajin meneroka ilmu pengetahuan.

Kesungguhan yang tinggi akan menjadi faktor berjaya atau tidaknya kita umat Islam memacu kejayaan. llmu pengetahuan yang tinggi dalam pelbagai cabang akan memartabatkan maruah ummah dan ini akan memercikkan imej positif kepada agama, bangsa dan negara.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Ahad, 11 Julai 2010

Kasih sayang, lebih perhatian mampu atasi gejala lari dari rumah

CERITA kehilangan atau kes lari dari rumah membabitkan 1,293 kanak-kanak dan remaja sejak tahun lalu sehingga April tahun ini, yang mana 654 masih belum ditemui amat membimbangkan serta menagih perhatian serius semua pihak untuk segera menanganinya. Antara alasan yang menjadi punca lari dari rumah, termasuk keinginan hidup bebas, mengikut kekasih, diperdaya ke kancah pelacuran dan ada juga dilarikan ibu bapa. Daripada 1,050 kanak-kanak dan remaja hilang tahun lalu, 839 adalah perempuan, manakala untuk tempoh empat bulan tahun ini, sebahagian besar daripada 215 kes yang dilaporkan membabitkan remaja perempuan. Berdasarkan trend semasa yang menunjukkan perkembangan negatif, sudah sampai masa semua pihak yang membabitkan ibu bapa, guru, sekolah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) duduk semeja untuk mengenal pasti punca masalah ini dan menanganinya secara menyeluruh dan berkesan. Tidak perlu mana-mana pihak mencari kesalahan atau menuding jari kepada pihak lain, sebaliknya tindakan bersepadu perlu dirangka bagi memperbaiki kelemahan yang ada.

Peningkatan kes remaja dan kanak-kanak lari dari rumah dari setahun ke setahun memperlihatkan seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena dengan sistem kekeluargaan di negara ini. Di mana silapnya program ‘Rumahku Syurgaku’ sehingga menyebabkan generasi muda tidak betah duduk di rumah, sebaliknya lebih suka menghabiskan masa di luar rumah bersama rakan sebaya atau melepak di kompleks beli-belah. Pendedahan hasil kajian Persatuan Ibu Bapa dan Guru Kebangsaan (PIBGN) bersama beberapa NGO mengenai punca gejala sosial di negara ini yang menjurus kepada kelemahan ketua keluarga seperti mahu memperakui wujudnya kepincangan ketara dalam sistem kekeluargaan masyarakat kita. Menurut laporan itu, hampir 70 peratus ketua keluarga yang terdiri daripada ibu bapa di negara ini tidak berfungsi sebagai pemimpin untuk membimbing dan mencorak anak mereka ke arah kebaikan, sekali gus menjadi punca utama kes lari dari rumah meningkat. Alasan standard digunakan iaitu kesibukan di tempat kerja menyebabkan mereka tiada masa untuk bersama dengan anak, sebaliknya menyerahkan tugas itu kepada pembantu rumah atau isteri yang tidak bekerja. Selain itu, kurang komunikasi antara ibu bapa dengan anak iaitu paling lama 30 minit sehari menyebabkan jurang antara anak dan ibu bapa terlalu luas. Ini menyebabkan anak lebih selesa mencari rakan di luar untuk meluahkan masalah terpendam.

Kita yakin kasih sayang dan perhatian mencukupi diperoleh di rumah mampu membendung gejala lari dari rumah kerana kasih sayang antara ibu bapa dan anak dapat mengikat satu sama lain. Sewajarnya kita sebagai ibu bapa melapangkan masa untuk bersama anak dan mengambil tahu masalah dihadapi mereka. Anak yang terabai atau tidak mendapat perhatian keluarga secara psikologinya cepat memberontak dan tidak suka duduk di rumah. Kebiasaannya, mereka inilah yang mudah dipengaruhi melakukan pelbagai perkara negatif, daripada ponteng sekolah, menghisap rokok sehingga peringkat melakukan jenayah juvana. Kemantapan sistem kekeluargaan tonggak utama membendung pelbagai gejala membabitkan remaja dan kanak-kanak kerana pendidikan bermula dari rumah, manakala sekolah hanya membantu menyempurnakannya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Jumaat, 9 Julai 2010

Transformasi cara berfikir lahirkan siswa berwawasan

Oleh Abu Qassim Nor Azmi

PENDAFTARAN kira-kira 105,377 pelajar ke institut pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara bagi sesi 2010/2011 membuktikan keprihatinan kerajaan dalam usaha memastikan peluang pendidikan lebih baik kepada seluruh rakyat Malaysia dapat direalisasikan.

Meskipun dilingkari pelbagai isu terkini antaranya kebimbangan terhadap komposisi pelajar lelaki yang semakin mengecil, dasar baru pengagihan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan cadangan pinjaman boleh ubah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada graduan cemerlang antara yang menghangatkan sesi pendaftaran pada kali ini.

Bagaimanapun, hasrat dan Bidang Keberhasilan Utama (KRA) Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang menyasarkan sekurang-kurangnya dua universiti tempatan tersenarai dalam kalangan 50 universiti terbaik dunia sebelum 2020, selain peningkatan jumlah universiti berstatus universiti penyelidikan tidak harus dikesampingkan dan tanggungjawab ini patut digalas bukan saja tenaga pengajar, staf pengurusan malah pelajar, mahasiswa dan mahasiswi.

Justeru, timbul persoalan, sejauh manakah kemampuan pihak universiti khususnya bidang akademik mampu merealisasikan hasrat murni ini? Sudah tersemaikah budaya intelektual di kalangan mahasiswa?

Kehidupan bagaimanakah yang harus dilalui pelajar bagi memastikan impian ini tidak sekadar angan-angan kosong?

Maka transformasi terhadap cara berfikir, gaya hidup dan latar budaya universiti harus digerakkan. Dalam keterbatasan waktu, pihak pentadbiran, tenaga pengajar malah pelajar harus sedia berkorban dan iltizam dalam membuat perubahan tersebut.

Ledakan informasi seperti diungkapkan Alan Bloom dan cabaran gelombang baru yang disifatkan Alvin Toffler dalam bukunya Third Wave sebagai cabaran gelombang maklumat terus menghimpit ruang selesa mahasiswa.

Gelombang baru ini mengehendakkan bukan saja ketepatan dan kejituan malah kepantasan. Segalanya menjadi begitu pantas. Hal ini memerlukan daya tahan tinggi dan fokus berterusan di kalangan mahasiswa. Sedetik kelekaan bakal membawa kepada kekecewaan.

Survival di kampus juga tidak terhad kepada indeks prestasi kecemerlangan akademik semata-mata. Tatacara kehidupan, nilai moral dan adab sopan turut memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya.

Statistik menunjukkan faktor utama menyumbang kepada kegagalan pelajar di universiti disebabkan pembabitan dengan aktiviti super sosial yang menjangkaui batas moral, agama dan budaya ketimuran.

Titah Raja Muda Perak satu ketika dulu harus diambil iktibar agar penumpuan melampau terhadap kecemerlangan akademik diperbetulkan kepada penilaian yang lebih berobjektif dan menyeluruh.

Oleh itu, cabaran pendidikan tidak harus terlalu disulitkan kepada indeks skor A tetapi yang perlu dipertimbangkan secara serius adalah sejauh mana input yang diperoleh di dalam mahupun di luar dewan kuliah dapat difahami, dijiwai dan seterusnya diamalkan dalam kehidupan seharian. Menerusi amalan budaya ilmu yang sebenar mampu melahirkan insan seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

Inilah cita-cita dan harapan sebenar kerajaan terhadap seluruh warga pelajar seperti termaktub dalam Falsafah Pendidikan Negara, Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

Matlamat akhirnya ialah melahirkan rakyat berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.

Prof Muhamad Abu Bakar dalam bukunya, Mahasiswa Menggugat menyatakan bahawa mahasiswa terikat dengan collective responsibility iaitu tanggungjawab terhadap kecemerlangan akademik dan kepakaran dalam sesuatu bidang yang akhirnya mampu menggerakkan usaha mensejahterakan kehidupan masyarakat umum.

Mahasiswa harus sedar bahawa tugas dan tanggungjawab mensejahterakan masyarakat dan memakmurkan negara ini bukan tugas mudah, tetapi tidak mustahil untuk dilaksanakan. Oleh itu, mahasiswa perlu bersatu hati, berpadu tenaga untuk merealisasikannya.

John C Maxwell menegaskan bahawa sesuatu tugasan yang dilaksanakan secara berkumpulan mampu melahirkan sumber kekuatan tambahan seterusnya menghasilkan impak yang maksimum.

Oleh hal yang demikian, mahasiswa digalak menceburkan diri dalam persatuan yang berdaftar di universiti selain pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyokong aspirasi berbudi dan berbakti kepada masyarakat seperti disarankan Datuk Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi.

Kesatuan dan kesepaduan dalam kalangan mahasiswa perlu didokong oleh gagasan idea besar bagi memastikan tidak berlaku kelesuan di pertengahan jalan seperti yang sering dikaitkan dengan gerakan mahasiswa hari ini.

Kepentingan gagasan idea ini turut ditekankan Malek Ben Nabi sebagai the guiding idea atau idea penggerak.

Kelesuan mahasiswa menggagas idea besar terjadi jika mereka masih terkongkong dalam lingkaran kehidupan tiga K iaitu kuliah, kafe dan kolej kediaman semata-mata yang akhirnya menjerat mereka terhadap budaya mati rasa, jiwa santai.

Justeru, mahasiswa perlu keluar menjangkaui tembok universiti untuk menikmati dan merasai kehidupan sebenar masyarakat.

Ingatlah, pemimpin yang sejati tidak hanya lahir di dewan kuliah, tetapi juga daripada kancah permasalahan rakyat. Selepas memahami dengan jelas keadaan realiti masyarakat seharusnya mahasiswa terus cekal serta lebih bersungguh dalam menempa kejayaan demi kejayaan.

Pesanan Ungku Aziz, belajar sambil mencabar harus tertanam dalam jiwa mahasiswa. Jiwa adventures yang menggilai cabaran adalah realiti kehidupan anak muda.

Berbekalkan sebab kukuh yang lahir daripada pemahaman terhadap kehidupan masyarakat dan ilmu yang mampu menundukkan hati agar kusyuk serta kemampuan akal agar lebih rasional dan berhikmah, maka lahirlah pemimpin unggul yang berwawasan serta berdaya saing selaras dengan hasrat dan impian negara.

Penulis ialah Naib Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Rabu, 7 Julai 2010

Wujudkan konsep 'Masyarakat Selamat'

KEHILANGAN seorang budak perempuan berusia 2 tahun, Nisha Chandramohan di Mentakab, Pahang baru-baru ini adalah peringatan sebenar bahawa jenayah tidak mengenal kaum, sempadan atau agama. Jadi, ibu bapa tidak sepatutnya mengambil mudah tentang keselamatan anak-anak mereka.

Dengan peningkatan jenayah kejam ke atas kanak-kanak seperti penculikan, serangan, penderaan, liwat, rogol dan bunuh, kita harus melakukan lebih usaha untuk melindungi kanak-kanak daripada pelbagai ancaman tersebut.

Melindungi anak-anak daripada perbuatan jenayah keji adalah tanggungjawab semua. Ia bukan sahaja tugas pihak berkuasa yang melindungi kanak-kanak tetapi masyarakat keseluruhannya harus turut memainkan peranan.

Perlindungan kanak-kanak harus dimulakan oleh ibu bapa di rumah. Ibu bapa perlu tahu di mana anak mereka berada sepanjang masa dan mendidik anak-anak bagaimana untuk respons kepada sebarang situasi yang berbahaya.

Ibu bapa juga harus menasihatkan anak-anak supaya berhati-hati terhadap orang yang tidak dikenali, mendidik mereka tentang keselamatan dan apa yang perlu mereka lakukan apabila sesuatu insiden berlaku.

Kanak-kanak juga perlu dididik untuk berasa sangsi atau was-was terhadap orang yang mereka tidak kenali pada setiap masa dan tidak mudah percaya dengan godaan mereka.

Sekolah boleh memainkan peranan yang penting di dalam hal ini. Saya mencadangkan pendidikan keselamatan kanak-kanak diperhebatkan di sekolah rendah kerana mereka mudah terdedah kepada pelbagai risiko terutama apabila tidak dibekalkan dengan pendidikan tentang keselamatan.

Pihak polis dan pihak berkuasa yang lain juga boleh melaksanakan pelbagai langkah bagi memastikan perlindungan yang lebih baik untuk kanak-kanak.

Langkah seperti rondaan kaki dan bermotor di kawasan berisiko tinggi harus diperhebatkan; kerap mengadakan sesi dialog dengan penduduk dan pertubuhan perniagaan bagi membolehkan kedua-dua belah pihak menyuarakan kebimbangan terhadap isu keselamatan serta mengadakan lebih banyak kempen pencegahan jenayah.

Pihak berkuasa tempatan perlu mengenal pasti lebih banyak kawasan untuk dipasang Kamera Litar Tertutup (CCTV) dan memberi lebih banyak perhatian terhadap pencahayaan yang baik di lorong-lorong dan simpang-simpang jalan yang gelap dan sunyi.

Memandangkan kadar jenayah masih serius dan kekerapan kebimbangan orang awam terhadap isu keselamatan, saya ingin menegaskan keperluan untuk mewujudkan konsep 'Masyarakat Selamat.' Definisi konsep itu adalah tempat di mana orang ramai tinggal, bekerja dan berekreasi dengan selamat dan sihat.

Selain memperbaiki kehidupan individu, masyarakat selamat dapat mewujudkan banyak manfaat bersama seperti jaminan keselamatan untuk orang ramai, mengurangkan jenayah, meningkatkan produktiviti dan persaingan, mengurangkan kos penjagaan kesihatan dan mengurangkan lain-lain perbelanjaan sosial.

TAN SRI LEE LAM THYE ialah Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Isnin, 5 Julai 2010

Meja bulat bincang kewajaran mansuh UPSR, PMR

KUALA LUMPUR 5 Julai - Kementerian Pelajaran akan mengadakan perbincangan meja bulat bagi mengumpulkan pandangan pelbagai pihak terhadap cadangan kerajaan memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada 19 dan 27 Julai ini.

"Rumusan perbincangan akan dikemukakan kepada Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin pada awal Ogos ini,” kata Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, perbincangan meja bulat yang pertama pada 19 Julai ini dikhususkan untuk wakil pendidik termasuk pegawai kanan kementerian, pengarah Jabatan Pelajaran negeri, kesatuan dan persatuan guru, pengetua, guru besar serta kaunselor sekolah.

"Perbincangan kedua pada 27 Julai pula dikhususkan untuk mereka di luar kementerian seperti tokoh pendidikan, ahli akademik Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS), ahli politik, wakil agensi kerajaan, wakil badan-badan bukan kerajaan dan pihak lain yang berminat dan berkepentingan dalam isu ini,” katanya.

Katanya, beliau berharap pandangan menyeluruh berkaitan dengan pemansuhan UPSR dan PMR dari setiap lapisan masyarakat akan dapat dihasilkan melalui perbincangan meja bulat itu.

"Pemantauan terhadap pandangan orang ramai melalui media cetak dan elektronik akan terus dilakukan oleh pihak kementerian dan buat masa ini banyak pandangan serta pendapat sudah dikumpulkan dan ini akan diambil kira semasa perbincangan meja bulat,” katanya.

Orang ramai yang berminat masih boleh mengemukakan pandangan melalui khidmat pelanggan Kementerian Pelajaran di alamat kpkpm@moe.gov.my atau alimuddin.dom@moe.gov.my. - Bernama

Persediaan komprehensif sebelum hapus UPSR, PMR

Oleh Ibrahim Saad

DARIPADA beberapa kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, akhir-akhir ini ramai percaya Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Sekolah Rendah (PMR) akan dimansuhkan. Ia disokong dengan kenyataan terakhir beliau bahawa kerajaan akan mengumumkan keputusan sama ada UPSR dan PMR dimansuh atau tidak pada tahun ini juga.

Ini sekali gus memendekkan tempoh perbincangan mengenai isu itu secara formal atau tidak. Bagaimanapun jaminan beliau terdahulu, kerajaan akan meneliti secara mendalam mengenai cadangan itu sebelum dilaksana sangat dialu-alukan. Ia memberi ruang pelbagai pihak menyatakan pandangan. Diharap kesempatan ini diambil mereka yang berminat dan berkepentingan untuk menyalurkan pendapat kepada Kementerian Pelajaran yang tentu akan menubuhkan urus setia khas mengumpul semua syor yang dikemukakan. Pandangan sebernas mana pun jika hanya dibincang sesama sendiri tidak memberi sebarang faedah. Apabila UPSR dan PMR dimansuh, akan berlaku dua transformasi besar kepada sekolah dan ibu bapa. Sekolah merangkumi pihak pengurusan yang diterajui pengetua dan guru besar serta guru tidak lagi tertekan setiap kali keputusan UPSR atau PMR diumumkan. Peningkatan pencapaian keputusan bermakna sekolah mendapat pujian, manakala kemerosotan akan menerima kecaman disusuli pelbagai penjelasan terpaksa diberi sama ada kepada pengurusan pelajaran di atas, ibu bapa dan organisasi serta orang ramai yang berkaitan dengan sekolah.

Keadaan sama dialami guru mata pelajaran pada peringkat sekolah. Keadaan ini menyebabkan sesetengah guru jika diberi pilihan menolak untuk mengajar kelas peperiksaan. Bagi ibu bapa, ramai berasa seperkara yang sangat besar dihadapi apabila anak menduduki peperiksaan awam pada tahun berkenaan. Mereka berusaha memastikan anak diberi persediaan maksimum untuk menghadapi UPSR, PMR malah SPM. Sehingga ada menyatakan seolah-olah diri mereka yang mengambil ujian itu.

Keadaan ini berlaku kerana semua pihak terlalu memberi fokus kepada peperiksaan. Pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan terlalu berorientasikan peperiksaan disebabkan penilaian kecemerlangan sekolah atau pelajar berdasarkan keputusan peperiksaan. Pengukuran ini juga diamalkan semua struktur dalam Kementerian Pelajaran dan diguna pelbagai pihak lain apabila membuat penilaian prestasi pelajar dan sekolah.

Oleh kerana menyedari keadaan ini di samping menerima banyak pandangan supaya dikurangkan orientasi kepada peperiksaan, Kementerian Pelajaran sudah merangka kaedah taksiran terhadap pencapaian pelajar secara holistik iaitu dengan menggabungkan markah antara peperiksaan awam dengan sistem pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) pada nisbah lebih berpihak kepada PBS seperti 30:70 yang dijadualkan pelaksanaan secara berperingkat.

Bagaimanapun sebelum dilaksanakan, timbul cadangan lebih drastik iaitu menghapuskan UPSR dan PMR. Pelajar hanya menduduki peperiksaan awam sekali iaitu SPM selepas mengalami sistem persekolahan selama 11 tahun. Ini bermakna pentaksiran pelajar mungkin semata-mata berasaskan PBS. Tetapi seperti jaminan Muhyiddin, cadangan itu akan dilaksanakan selepas mendapat maklum balas terperinci semua pihak berkaitan.

Dari segi pelaksanaan, langkah menghapuskan peperiksaan lebih mudah daripada pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) disebabkan tidak membabitkan pelbagai persediaan prasarana dan guru di samping dijangka tidak membabitkan kos berbanding permulaan melaksanakan PPSMI. Namun, ternyata usaha yang dilaksanakan secara terburu-buru itu membazir begitu saja apabila ia dimansuhkan.

Dengan menjadikan pelaksanaan PPSMI sebagai iktibar, diharap kajian dan persediaan yang komprehensif perlu dilaksanakan sebelum keputusan menghapuskan UPSR dan PMR dilaksanakan.

Sistem pendidikan kita akan dipersoal kredibiliti dan integriti jika selepas dihapuskan beberapa tahun, kedua-dua ujian itu terpaksa diadakan semula walaupun diberi jenama baru apabila didapati penaksiran serta penarafan baru lebih lemah daripada diamalkan sebelumnya.

Cadangan Muhyiddin supaya perbincangan meja bulat diadakan sangat dialu-alukan. Bagaimanapun persidangan itu mesti dirancang teliti terutama kewibawaan penyertaan.

Pertama, hendaklah dipastikan setiap pihak berkaitan dibabitkan. Selain komponen dan jaringan Kementerian Pelajaran, penyertaan perlu membabitkan beberapa organisasi seperti kesatuan guru, majlis pengetua dan guru besar. Organisasi mewakili ibu bapa, pertubuhan bukan kerajaan, ahli akademik, profesional, media massa dan politik juga perlu dibabitkan termasuk mereka yang menyuarakan penentangan. Begitu juga dengan mereka yang berkaitan dengan SRK Cina dan Tamil.

Kedua, perbincangan itu wajar diadakan dalam tempoh beberapa hari dan beberapa siri, bukan setengah hari seperti perbincangan Memartabatkan Bahasa Melayu anjuran Kementerian Pelajaran di Putrajaya tidak lama dulu bagi membolehkan lebih banyak pihak hadir menyampaikan pendapat.

Ketiga, pihak yang hadir barangkali perlu menyediakan memorandum atau kertas kerja menyatakan pandangan organisasi yang diwakili sebagai teras perbincangan dan diserahkan kepada urus setia jika tidak sempat disampaikan semuanya pada perbincangan meja bulat.

Selain itu, Kementerian Pelajaran perlu menentukan beberapa kaedah mendapat pandangan berhubung isu ini seperti tinjauan pendapat dan pengumpulan maklumat melalui media massa.

Dalam melaksanakan tinjauan dan kajian, kementerian tidak boleh mengehadkan kepada apa yang dilakukan tetapi membabitkan pihak lain seperti dilakukan pihak universiti dan melantik pihak perunding bebas. Hasil daripada pelbagai pihak lebih menyeluruh dan lebih diperakui.

Kementerian Pelajaran juga tentu akan membuat tinjauan lebih terperinci mengenai sistem penilaian atau peperiksaan yang dilaksanakan di beberapa negara untuk dijadikan perbandingan. Ini termasuklah negara seperti Britain yang kita masih mempunyai hubungan peperiksaan seperti SPM dan STPM. Tinjauan juga harus dilakukan di negara seperti Korea dan Jepun di samping beberapa negara Asean.

Fokus kedua, persediaan mengenai sistem pentaksiran yang dilaksanakan sekolah (PBS) mengganti peperiksaan awam dimansuhkan. Jika PBS menjadi pengganti, kaedah dan pelaksanaannya perlu dimaklumkan kepada umum. Justeru, tidak timbul tanda tanya orang ramai khususnya ibu bapa mengenai pelaksanaannya. Malah mereka boleh memberi cadangan bagi memantapkan sistem baru itu.

Perkara yang sangat penting dalam memastikan keseragaman penilaian berasaskan sekolah ialah keupayaan guru menggubal soalan yang standard, terutama berbentuk objektif. Tinjauan rambang mendapati bukan semua guru pakar membina soalan, malah banyak soalan peperiksaan dalaman di sekolah tidak mematuhi standard pembinaan soalan yang sempurna.

Oleh itu, setiap guru sepatutnya mendapat latihan dan kemahiran membina soalan yang standard. Selagi perkara ini tidak dilakukan, pelaksanaan PBS akan pincang. Guru mesti diberi latihan cukup di samping logistik pelaksanaan yang teratur. Oleh kerana pentaksiran untuk sesuatu tahun dilakukan sepanjang tahun, kesediaan guru hendaklah pada tahun sebelumnya bukan pada tahun pentaksiran dilakukan. Oleh itu, setiap laporan pencapaian pelajar yang disediakan guru diuji secara adil, mencabar mencapai matlamat menggilap potensi pelajar sepenuhnya.

Apapun perkara dasar yang perlu diperhatikan ialah jangan sampai sistem baru PBS itu pula mengganti UPSR dan PMR. Iaitu pengajaran dan pembelajaran tetap memfokus kepada peperiksaan, cuma yang berbeza UPSR/PMR diurus Lembaga Peperiksaan Malaysia, manakala melalui PBS peranan lembaga itu diambil alih institusi peperiksaan baru iaitu Lembaga Peperiksaan Sekolah masing-masing.

Matlamat pemansuhan UPSR dan PMR juga akan tersasar jika dibenarkan bentuk peperiksaan berpusat lain seperti ujian pemilihan pelajar ke sekolah berasrama penuh, MRSM, Sekolah Menengah Teknik dan sekolah jurusan agama sama ada dikelolakan kementerian atau penganjur lain. Demikian juga dengan menentukan aliran di Tingkatan Empat. Kaedah lebih baik daripada PMR mesti diadakan tetapi bukan dalam bentuk peperiksaan atau yang menyamainya.

Sumber : http: //www.bharian.com.my/