Jumaat, 15 Oktober 2010

Bajet 2011 : Sistem pendidikan dirombak dengan penekanan kepada daya pemikiran, sahsiah diri

KUALA LUMPUR: Sistem pendidikan negara akan dirombak dengan memberi penekanan kepada daya pemikiran, sahsiah diri, kreativiti, inovasi dan daya saing, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau berkata, untuk Kementerian Pelajaran, peruntukan pembangunan sebanyak RM6.4 bilion disediakan bagi membina dan menaik taraf sekolah, asrama, kemudahan dan peralatan serta memartabatkan profesion guru.

Di samping itu, sejumlah RM213 juta diperuntukkan sebagai ganjaran kepada sekolah berprestasi tinggi serta imbuhan kepada pengetua atau guru besar dan guru cemerlang, katanya.

"Bagi memperkasa pendidikan awal, kerajaan akan memperuntukkan RM111 juta untuk program Permata, antaranya bagi pembinaan Fasa II Kompleks Sekolah Permata Pintar, membina 32 Pusat Anak Permata Negara (PAPN) dan membiayai operasi 52 PAPN yang sudah siap serta meneruskan program Permata Pintar, Seni, Insan dan Remaja.

"Kerajaan akan meningkatkan kadar enrolmen prasekolah dengan sasaran 72 peratus menjelang akhir tahun 2011 melalui penambahan 1,700 kelas, pemantapan kurikulum serta pelantikan 800 guru prasekolah lepasan ijazah," katanya ketika membentangkan Bajet 2011 di Dewan Rakyat hari ini.

Bagi memantapkan pendidikan sekolah rendah dan menengah, Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata kerajaan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM250 juta untuk sekolah bantuan modal agama, sekolah bantuan modal jenis kebangsaan Cina, sekolah kebangsaan Tamil, sekolah bantuan modal mubaligh dan sekolah bantuan kerajaan seluruh negara.

"Sebagai mengiktiraf pendidikan Islam, kerajaan bersetuju untuk membiayai bantuan per kapita untuk sekolah-sekolah agama rakyat rendah dan menengah dengan peruntukan sebanyak RM95 juta.

"Bagi menyediakan guru serta tenaga pengajar kompeten dan berkualiti yang dapat membimbing dan mendidik pelajar sekolah dengan sebaiknya, kerajaan menyediakan RM576 juta dalam bentuk biasiswa kepada mereka yang ingin melanjutkan pelajaran.

"Sejumlah RM213 juta pula diperuntukkan bagi mengangkat tinggi penguasaan bahasa Malaysia, mempersadakan bahasa Inggeris dan memperkemaskan Kurikulum Standard Sekolah Rendah.

"Sehubungan ini, kerajaan bersetuju untuk mengambil 375 guru penutur jati, antaranya daripada United Kingdom dan Australia untuk meningkatkan pengajaran bahasa Inggeris," katanya.

Perdana Menteri berkata 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan menyediakan multi-vitamin untuk pelajar sekolah rendah yang diharapkan akan dapat meningkatkan pembangunan mental dan mengukuhkan sistem imunisasi pelajar sekolah. Katanya kerajaan akan menubuhkan Talent Corporation (Perbadanan Bakat) di bawah Jabatan Perdana Menteri pada awal tahun depan yang akan menggubal Rangka Tindakan Bakat Nasional dan membangunkan pangkalan data tenaga kerja berkepakaran serta menjalin kerjasama dengan jaringan bakat di seluruh dunia. -Bernama.

Henti guna bahasa Melayu 'rojak'

BEBERAPA pihak menulis baru-baru ini mengenai pentingnya memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sempena Bulan Bahasa Kebangsaan 2010.


Adalah wajar Bulan Bahasa Kebangsaan dianjurkan setiap tahun sebagai suatu peringatan kepada semua warga Malaysia untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan kita, selain daripada usaha membolehkan kita menguasai bahasa Melayu dengan tepat.


Tidak dapat dinafikan bahawa sejak kemerdekaan sehingga kini, bahasa Melayu sudah memainkan peranannya sebagai bahasa komunikasi antara kaum dan dapat menyumbangkan kepada integrasi kaum.


Sempena Bulan Bahasa Kebangsaan, saya ingin mengemukakan mengenai isu pencemaran bahasa Melayu yang berleluasa seperti pada dialog filem dan dalam perbualan seharian sama ada dalam program televisyen atau percakapan seharian yang mencerminkan fenomena bahasa rojak.

Saya dan ramai yang lain khuatir dengan aliran pertuturan bahasa rojak iaitu campuran bahasa Melayu dan Inggeris yang mencerminkan tidak yakinnya terhadap bahasa Melayu dan penggunaan bahasa kebangsaan dengan betul.

Bukan saya menentang penggunaan bahasa Inggeris tetapi apa yang saya bangkitkan ialah mengapa kita tidak bertutur bahasa Melayu sepenuhnya jika ingin menggunakan bahasa itu.

Begitu juga jika ingin menggunakan bahasa Inggeris, gunakan sepenuhnya tanpa perlu dicampurkan dengan bahasa Melayu.


Sungguhpun saya bukan pakar linguistik atau pejuang bahasa Melayu, saya berpendapat masa sudah tiba bagi semua pihak untuk memperbetulkan fenomena bahasa rojak ini dan jangan menjadikannya satu budaya atau cara hidup di negara kita.

Mesej yang saya ingin sampaikan ialah kita tidak dapat memartabatkan bahasa Melayu kalau kita cenderung mencampur-adukkan percakapan dalam bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris atau kita tidak dapat memperkukuhkan bahasa Inggeris dengan mencampur-adukkan percakapan bahasa Inggeris dengan bahasa Melayu.


TAN SRI LEE LAM THYE, Kuala Lumpur.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Khamis, 14 Oktober 2010

Memperkasakan pendidikan vokasional


ISU pendidikan sejak kebelakangan ini sering menjadi paparan media dan antara yang terbaru diperkatakan ialah soal transformasi dalam pendidikan vokasional.

Atas hakikat penting mengarusperdanakan pendidikan vokasional, maka kena pada masanyalah satu transformasi jitu mesti diambil bagi mengangkat martabat pendidikan vokasional sebagai aliran pendidikan yang menjadi pilihan pelajar.

Kemajuan pesat dalam sektor industri yang sedang rancak berjalan sekarang sudah pasti akan mengalami gangguan sekiranya tenaga mahir tidak dapat disediakan. Justeru, langkah transformasi itu mesti digerakkan dengan lebih tersusun dan memerlukan perancangan yang rapi.

Soal mengapakah penyertaan pelajar masih rendah dalam bidang vokasional itu dapat diatasi sekiranya segala informasi selengkapnya dapat diberikan lebih awal kepada para pelajar. Selain itu, pihak Kementerian Pelajaran melalui sekolah seharusnya membetulkan persepsi negatif terhadap pelajar bidang vokasional.

Kerana selama ini, umum menganggap para pelajar vokasional itu tergolong dalam kalangan yang lemah. Jika halangan persepsi sebegini dapat di atasi, tidak mustahil, pendidikan vokasional menjadi rebutan pelajar sebagaimana yang telah berjaya dilaksanakan di negara-negara Eropah. Di sana, penyertaan pelajar dalam bidang vokasional sudah mencapai 50 peratus.

Dengan ura-ura untuk menjadikan bidang vokasional sebagai mata pelajaran di sekolah rendah lagi, diharapkan ia akan menjadi faktor pemangkin kepada tumbuhnya minat mendapat generasi muda kepada pendidikan vokasional itu.

Tetapi, satu hal seharusnya difikirkan oleh kerajaan ialah transformasi pendidikan aliran vokasional biarlah dilaksanakan dalam kerangka yang menepati kehendak pasaran kerja di bidang industri. Oleh itu, subbidang mata pelajaran hendaklah menjuruskan kepada keperluan semasa dan anggaran masa depan.

Dalam merencanakan perkara ini, peranan sektor swasta (industri) seharusnya dibawa bersama dalam transformasi tersebut. Contoh peranan yang boleh dimainkan oleh sektor industri dalam merancakkan pendidikan vokasional ialah menjemput tenaga pakar industri sebagai tenaga pengajar jemputan di sekolah-sekolah vokasional. Dengan kaedah seperti itu, pendedahan awal dan maklumat secara langsung dapat disalurkan kepada pelajar.

Selain itu, para lepasan pendidikan vokasional juga hendaklah diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Dengan cadangan menaikkan taraf politeknik sebagai universiti baru-baru ini, maka dirasakan ruang boleh disediakan untuk pelajar aliran vokasional itu menyambung pendidikan mereka.

Jadi, kita berharap kesungguhan kerajaan dalam menyemarakkan pendidikan vokasional akan memberi ruang dan peluang yang lebih besar kepada para pelajar.

Rancangan penstrukturan semula sistem pendidikan vokasional pasti ditunggu-tunggu oleh semua pihak kerana semua ingin melihat bidang ini menjadi teras utama dalam sistem pendidikan negara.

Kita juga berharap kerajaan melalui Bajet 2011 akan menyalurkan peruntukan yang lebih besar agar segala perancangan dan agenda mengarusperdanakan pendidikan vokasional tidak terbantut.

Penulis ialah Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Mukah, Sarawak.

Sumber : http ; //www.utusan.com.my/

Selasa, 12 Oktober 2010

Ramai pemimpin tidak bangga berbahasa Melayu

Datuk Aziz Deraman

KUALA TERENGGANU: Masih ramai pegawai tinggi kerajaan dan swasta serta pemimpin politik tidak menggunakan bahasa Melayu, sedangkan ia tuntutan Perlembagaan yang wajib dalam konteksnya memartabatkan bahasa kebangsaan.

Bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Aziz Deraman, berkata biarpun penggunaan bahasa lain seperti Inggeris, Mandarin, Tamil dan Arab dibenarkan, penggunaan bahasa Melayu tidak harus dicampuradukkan, bagi memelihara martabatnya sebagai bahasa rasmi.

"Di Malaysia kadangkala orang keliru, termasuk ahli politik yang cuba melihat perbezaan perspektif dan persepsi. Apabila kita kata bahasa Melayu bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, maknanya faktor bahasa itu sebagai tuntutan perlembagaan harus berada dalam konteksnya sebenar sebagai bahasa rasmi.

"Pada mesyuarat jabatan kerajaan, kementerian, harus meletakkan kembali kedudukan bahasa Melayu ke tempat sepatutnya. Kadangkala pimpinan mesyuarat tanpa segan silu menggunakan bahasa Inggeris.

“Pada taklimat pun, semua yang hadir mungkin ahli politik, pegawai tinggi kerajaan, tetapi penyampaiannya dalam bahasa Inggeris.

“Sikap megah dan bangga terhadap bahasa ibunda itu tidak ada. Apabila kita bercakap mengenai kesatuan, satu negara, agama, bangsa, ketua, dasar dan rukun negara, bahasa juga harus satu iaitu bahasa Melayu.

“Kalau orang faham itu, nescaya kita tidak menimbulkan kekeliruan dan pada masa sama bahasa etnik, daerah dan sukuan masih boleh dipakai,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Bulan Bahasa Kebangsaan 2010 Peringkat Negeri Terengganu di sini, semalam. Perasmian disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia negeri.

Beliau berkata, peneguhan sikap terhadap bahasa Melayu termasuk cara menyebut dan menggunakannya dengan betul serta lengkap sopan dan santunnya membolehkan transformasi negara seperti digariskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilaksanakan dalam semua aspek dan bukan fizikal semata-mata.

“Kalau ini dapat dilakukan semula (memartabatkan bahasa Melayu), maknanya transformasi yang diminta Perdana Menteri akan berlaku dalam semua bidang, bukan saja dalam institusi, tetapi kehidupan,” katanya.

Sementara itu, katanya, semua pihak terutama pihak berkuasa tempatan harus memberi perhatian serius terhadap papan tanda dan mengenakan tindakan kepada yang ingkar.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

BAHASA MELAYU TANGGUNGJAWAB PEMERINTAH

Oleh : Teo Kok Seong

Guna pengaruh secara bijak bentuk jiwa nasionalisme rakyat menerusi satu medium


BAHASA dalam sesebuah negara itu sebenarnya adalah akibat atau kesan daripada tindakan pemerintah. Ini tidak sekali-kali bermakna pemerintah yang mencipta sesuatu bahasa itu. Yang dimaksudkan dengan kenyataan ini ialah cara pemerintah bertindak dalam pelbagai cara, terhadap realiti kewujudan sesuatu bahasa itu, banyak mempengaruhi kelangsungan bahasa berkenaan.

Tindakan ini boleh bersifat positif dan berbentuk memartabatkan bahasa berkenaan, melegitimasikannya dan membantu untuk mengembangkannya, manakala tindakan negatif antaranya boleh mengambil bentuk tidak mengendah-kan sesuatu bahasa itu, mengkritik untuk merendahkan tarafnya serta tidak membantu dalam apa-apa jua cara untuk mengembangkannya.

Sehubungan kenyataan ini, segala bahasa bersama-sama dengan penuturnya, sama ada ia bahasa negara, bahasa etnik mahupun bahasa asing dalam sesebuah negara itu, adalah tanggungjawab pemerintah negara berkenaan. Hal ini menjadi lebih nyata apabila kita berbicara mengenai bahasa negara, yang rata-ratanya digunakan bagi menggembleng rakyat negara berkenaan untuk pelbagai tujuan kenegaraan.

Antaranya termasuklah untuk menyatupadukan rakyat, memupuk semangat kebangsaan, selain menjadi wahana kemajuan negara.


Dalam kes begini, bahasa Melayu selaku bahasa negara, yang mendukung peranan penting sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, adalah hasil, kesan dan akibat daripada tindakan pemerintah, lebih-lebih lagi pemimpinnya.


Tindakan pemerintah ini turut merangkumi pelbagai institusi kerajaan, misalnya sistem pendidikan dan bidang perundangan. Dengan kata lain, kemajuan bahasa Melayu terletak sepenuhnya pada pemerintah, melalui tindakan yang diambil, misalnya memastikan kuantiti dan kualiti penggunaannya dalam bidang penyiaran senantiasa tinggi.


Identiti nasional, yakni keperibadian rakyat sesebuah negara itu, selalunya dikaitkan dengan bahasa negara, lebih-lebih lagi kalau bahasa negara itu adalah simbol etnonasionalisme kebangsaan.

Sebagai contoh bahasa Melayu sebagai citra Malaysia dari segi salasilahnya adalah negara Melayu pada mulanya dan sebagai negara teras Melayu pula apabila kemudiannya menjadi majmuk. Dalam konteks simbolisme begini, sudah tentu bahasa Melayu adalah bahasa yang bukan saja lebih sesuai, tetapi tetap relevan digunakan untuk mengungkapkan etnonasionalisme Malaysia sepanjang zaman.


Nasionaliti, iaitu hak untuk dianggap sebagai rakyat sesebuah negara itu, juga selalunya dikaitkan dengan bahasa negara. Justeru, adalah ganjil kalau rakyat sesebuah negara itu mengungkapkan nasionaliti mereka dalam bukan bahasa negara. Dalam konteks ini, bukan saja asing sifatnya, tetapi sama sekali tidak kena pada tempatnya, sekiranya ada rakyat Malaysia yang tidak mengetahui bahasa Melayu dan nasionaliti Malaysia itu diungkapkan oleh mereka dalam bahasa lain, sama ada bahasa etnik mereka ataupun salah satu bahasa antarabangsa, seperti bahasa Inggeris.


Sebenarnya terdapat hubungan menyaling antara pemerintah dengan bahasa dalam sesebuah negara itu. Dalam kebanyakan kes, bahasa yang diangkat menjadi bahasa negara, sebenarnya didapati sudah lama wujud dalam negara tersebut, sebelum ia digunakan untuk tujuan mobilisasi politik, yang antaranya untuk membentuk negara moden yang berdaulat.


Hal begini ikut berlaku pada bahasa Melayu, yang menjadi lingua franca di rantau ini untuk beberapa abad lamanya, selain menjadi bahasa negara untuk tujuan pemerintahan oleh Kerajaan Melayu sebelum kedatangan penjajah. Ia ikut digunakan bukan saja untuk menyatupadukan kaum Melayu, tetapi juga bagi memperteguhkan semangat kebangsaan mereka, untuk menentang pihak penjajah, bagi membebaskan negara daripada cengkaman Inggeris.


Dalam kes bahasa Melayu, apabila dan setelah mencapai kemerdekaan, pemerintah perlu memanipulasikannya secara positif, yakni menggunakan pengaruhnya dengan cara yang bijak, supaya ia dapat dengan berkesan, membentuk rakyat daripada semua sektor dan lapisan agar betul-betul berjiwa nasional. Ini dilakukan antaranya dengan menyalurkan nilai nasional dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dengan meng-gunakan bahasa Melayu.


Untuk mencapai tujuan dan memperoleh hasil ini, pemerintah perlu senantiasa mengurus bahasa negara itu dengan baik supaya dapat mendokong fungsi kemasyarakatan ini, mengabsahkannya agar selalu relevan dengan peredaran masa, selain mempertingkatkan wajanya sekiranya fungsi yang sepatutnya didukungnya itu didapati tidak terlaksana dengan sempurna.


Penulis ialah Felo Penyelidik Utama, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Sabtu, 9 Oktober 2010

Format Baru PMR Dan UPSR Mulai 2016 - Muhyiddin

SYDNEY: Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan menggunakan format baru mulai 2016, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata peperiksaan bagi pelajar Tingkatan Tiga akan dibuat melalui penilaian berasaskan sekolah manakala peperiksaan UPSR bagi murid Tahun 6 akan mempunyai bentuk dan format yang agak berbeza.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata kementerian perlu mengambil masa untuk melaksanakan sistem penilaian yang baru itu kerana pelajar yang ada dalam sistem sekarang tidak boleh dibebani dengan format baru.

"Kalau kita nak mulakan penambahbaikan UPSR dan PMR itu, ia mungkin akan bermula seawal-awalnya pada tahun 2016.

"Pelajar yang telah ada dalam sistem sekarang ini tidak perlu kita hadapkan dengan ujian baru kerana mereka telah berada dalam sistem ini...tapi kohort yang baru masuk mungkin pada 2011, maka ujian yang pertama ialah pada 2016," katanya kepada wartawan Malaysia di sini, Sabtu.

Beliau berkata rundingan ketiga dan terakhir meja bulat mengenai penambahbaikan sistem peperiksaan itu telah selesai dan mereka menerima baik pandangan dan cadangan penambahbaikan yang dikemukakan kementerian. "Secara kasarnya saya boleh sebutkan, umumnya ramai bersetuju bahawa UPSR itu perlu dikekalkan tetapi mesti ada penambahbaikan manakala bagi PMR pula umum bersetuju ia diganti dengan penilaian berasaskan sekolah.

"Yang penting di sini ialah setiap peringkat kemajuan murid dan pelajar sekolah itu perlu dinilai," katanya.

Muhyiddin berkata antara penambahbaikan yang mungkin dilakukan untuk UPSR ialah 60 peratus penilaian murid akan berasaskan bidang-bidang akademik yang terpilih manakala 40 peratus lagi berdasarkan kokurikulum atau sivik.

Beliau berkata perkara itu akan dibawa ke Kabinet dan maklumat terperinci mengenai penambahbaikan itu akan diumum apabila ia diputuskan secara muktamad.

Mengenai penilaian berasaskan sekolah bagi PMR pula, Muhyiddin berkata Lembaga Peperiksaan akan memainkan peranan penting untuk menyelaras bentuk ujian yang akan dilakukan di peringkat sekolah itu.

"Mungkin dalam masa seminggu lagi kita akan maklumkan secara muktamad," katanya.

Muhyiddin berkata penambahbaikan itu akan memperkukuhkan lagi sistem dan kualiti pendidikan negara, dan tidak dilihat sebagai berasaskan peperiksaan semata-mata.

Beliau berkata program perintis penilaian berasaskan sekolah itu telah dilaksanakan sejak 2008 dan sehingga kini ia melibatkan 550 sekolah.

Penambahbaikan sistem peperiksaan UPSR dan PMR itu akan melibatkan perubahan dari segi kurikulum, buku dan latihan untuk guru, katanya. - BERNAMA

Jumaat, 8 Oktober 2010

BAHASA IDENTITI NEGARA

KUALA LUMPUR: Sekumpulan pakar, pencinta dan aktivis bahasa yang mewakili agensi kerajaan dan swasta, persatuan dan individu pada perbincangan "Meja Bulat Memartabatkan Bahasa Melayu" April lalu mencadangkan supaya Jawatankuasa Khas Kabinet ditubuhkan khusus untuk memperjuang hal berkaitan Bahasa Melayu.

Jawatankuasa itu diharap akan membolehkan sebarang perkara berhubung bahasa kebangsaan mendapat perhatian kerajaan dan diselaraskan antara kementerian dan agensi yang berkaitan, khususnya Kementerian Pelajaran, Kementerian Pengajian Tinggi dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Pada pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 5 Oktober lepas, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menggesa PBT memainkan peranan dalam membantu kerajaan memperkasa penggunaan bahasa kebangsaan di tempat awam.

Mereka boleh menguatkuasakan Undang-undang Kecil Iklan dan Garis Panduan Papan Iklan bagai memastikan tiada lagi paparan iklan dan penamaan bangunan serta premis yang tidak menggunakan bahasa kebangsaan.

Dalam urusan seharian, beliau mahu semua pemimpin korporat supaya tidak meminggirkan bahasa kebangsaan.

“Penggunaan bahasa kebangsaan dalam kalangan syarikat berkaitan kerajaan, institusi perbankan, kewangan dan insurans seperti penggunaan dokumen rasmi, papan tanda dan borang yang digunakan, perlulah diberi penegasan,” katanya.

Selepas 53 tahun Malaysia merdeka dan sematang usianya, gesaan Timbalan Perdana Menteri itu bukan remeh tetapi penting untuk memastikan bahasa kebangsaan kekal relevan dalam dunia perniagaan dan perdagangan hari ini.

Penegasan semula penggunaan Bahasa Melayu ini dalam urusan rasmi seperti mesyuarat dan urusan kerajaan turut diungkap oleh persidangaan meja bulat itu dalam memorandum yang dicadang dihantar kepada Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran.

Kata mereka, penggunaan ayat/istilah /perkataan dalam bahasa lain hanya patut dibenarkan dengan izin seperti yang dipraktis di Parlimen.

PENEKANAN BAHASA DI SEKOLAH

Kebanyakan mereka memberi penekanan kepada usaha ini di peringkat sekolah – “melentur buluh biarlan dari rebungnya”,. Kebetulan penganjur ialah Kementerian Pelajaran dengan kerjasama Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM).

Yang ditekankan ialah usaha memberikan nilai dan kepentingan bahasa kebangsaan. Antaranya syarat lulus Bahasa Melayu dalam pensijilan terbuka, hendaklah ditingkatkan daripada lulus (Gred E) kepada kepujian gred C.

Pelajar tingkatan enam sepatutnya diwajibkan mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu dan syarat kelulusan Bahasa Melayu untuk kemasukan ke tingkatan enam, IPTA dan IPTS perlu ditingkatkan.

Dengan meluasnya pendedahan anak muda kepada bahasa SMS, berbual di Internet, twitter dan facebook misalnya, dibimbangi tahap pengungkapan Bahasa Melayu mereka semakin merosot.

Seorang aktivis mencadangkan supaya ujian lisan diwajibkan di sekolah-sekolah dan dijadikan syarat kelayakan menyambung pengajian di universiti.

Antara usaha menggalakkan penuturan Bahasa Melayu yang betul juga ialah dengan menganjurkan aktiviti untuk pelajar. Umpamanya jika sekolah-sekolah sering mengadakan aktivti sehari berbahasa Inggeris, sepatutnya aktiviti yang sama boleh dibuat untuk Bahasa Melayu.

Kenapa harus malu atau dianggap tidak sepatutnya Bahasa Melayu direndahkan martabat melalui penghidupan aktiviti sebegini kerana hari istimewa itu boleh diisi dengan program bertutur dalam Bahasa Melayu yang betul melalui perbualan, pembacaan puisi, peraduan dan kuiz, pementasan drama dan sebagainya.

SYARAT WAJIB

Ketua Dua Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena), Prof Datuk Dr Abdul Latif berkata kurikulum Bahasa Melayu bukan sahaja perlu mengutamakan ujian lisan dengan keputusannya diambil kira dalam peperiksaan, bahkan mata pelajaran itu mesti dijadikan syarat wajib lulus dengan kepujian untuk mendapat sijil.

Keputusan Bahasa Melayu juga perlu diambil kira dalam syarat masuk ke IPT dan sebagai syarat mendapatkan pekerjaan dalam sektor kerajaan mahupun swasta, katanya.

Felo Penyeldidik Utama di Institut Alam dan Tamadun Melayau (Atma) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Teo Kok Seong berkata tindakan menjadikan mata pelajaran Bahasa Melayu lulus sahaja dalam peperiksaan ialah satu kerugian kerana untuk syarat lulus sahaja menyebabkan pelajar, khususnya bukan Melayu sudah mencuba menguasai bahasa itu sebaik-baiknya.

Justeru jika syarat lulus itu diubah kepada kredit, sudah tentu keupayaan dan kebolehan berbahasa kebangsaan dengan betul dan tepat akan menjadi keutamaan mereka, katanya.

Bagi menjadikan usaha ini selari dengan gagasan 1Malaysia, nama sekolah jenis kebangsaan dicadang ditukar kepada sekolah kebangsaan dan menjadikan Bahasa Melayu bahasa pengantar di sekolah dan universiti.

Pelajar antarabangsa di IPT juga hendaklah diwajibkan mengikuti kursus Bahasa Melayu seperti amalan lazim bagi pelajar antarabangsa di universiti luar negara.

Turut dicadangkan ialah komponen kesusasteraan Melayu dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dikeluarkan dan dijadikan mata pelajaran teras, menggunakan karya bermutu untuk kajian dan apresiasi pelajar.

KELAYAKAN GURU

Dalam memberikan penekanan terhadap pelajar, turut diberi perhatian ialah cadangan untuk memastikan guru-guru menguasai Bahasa Melayu dengan baik supaya ilmu yang diperturun betul.

Maka itu dicadangkan syarat pencapaian yang baik ini juga harus diwajibkan sebagai syarat dalam mengikuti kursus perguruan.

Guru mata pelajaran Bahasa Melayu mestilah berpengkhususan Bahasa Melayu, harus mempunyai keterampilan Bahasa Melayu yang tinggi serta menguasai nilai estetik dan budaya Melayu yang mencirikannya. Dalam hal ini mereka harus diberi keistimewaan sama seperti guru yang mengajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris sebelum ini.

Tahap penguasaan ilmu Bahasa Melayu guru-guru ini perlu ditingkatkan melalui program latihan yang lebih berkesan sementara guru mata pelajaran lain juga dimestikan menggunakan bahasa kebangsaan yang baik serta mengambil kira aspek bahasa dalam memberi markah kertas peperiksaan pelajar.

DEFINISI MARTABATKAN BAHASA MELAYU

ITNM dalam kenyataannya mengenai perbincangan meja bulat itu menjelaskan bahawa umumnya frasa “memartabatkan Bahasa Melayu” didefinisikan sebagai memberi kedudukan tinggi lagi bermaruah serta berprestij kepada Bahasa Melayu dalam kalangan penutur aslinya dan masyarakat lain pada peringkat nasional, serantau dan global.

Bahasa Melayu yang bermartabat ialah bahasa yang mempunyai kedudukan ekonomi yang tinggi sebagaimana dibuktikan oleh bahasa utama dunia khsusnya bahasa Inggeris, Perancis dan Jepun.

Bagi memartabatkan Bahasa Melayu, ia tentu sekali perlu menjadi bahasa yang mendukung pelbagai disiplin ilmu dan digunakan sepenuhnya dalam pentadbiran negara, penggubalan dan perumusan undang-undang, perbicaraan kes di mahkamah dan sektor kehakiman, sektor perdagangan, ekonomi korporat, pasaran saham, kedoktoran, kejuruteraan, teknologi maklumat dan pelbagai bidang penting serta utama yang menunjangi kemajuan bangsa serta negara di pentas global.

Bulan Bahasa Kebangsaan tahun ini yang bertemakam 1Bahasa 1Bangsa 1Negara mempunyai matlamat yang sama iaitu penggunaannya harus diteguhkan dengan sikap masyarakat sendiri dalam mengamalkannya.

Muhyiddin menegaskan bahawa penguatkuasaan undang-undang tanpa ada kerelaan diri untuk menghormati bahasa kebangsaan tidak akan mampu menjayakan matlamat yang dihasratkan.

Penguasaan Bahasa Melayu juga berupaya menjadi komponen penting dalam menzahirkan perasaan cintakan negara, sekali gus memperkukuh perpaduan melalui satu bahasa yang menyerlahkan identiti masyarakat dan negara. - BERNAMA