Rabu, 27 Oktober 2010

MALAYSIA KE-43 MAKMUR DI DUNIA

Oleh Anwar Hussin
anwarhussin@bharian.com.my


Indeks Legatum 2010 letak negara ke-8 termakmur di Asia Pasifik


KUALA LUMPUR: Malaysia berada di tangga ke-43 daripada 110 negara di dunia yang tersenarai dalam Indeks Kemakmuran berdasarkan laporan terkini Legatum Prosperity Index 2010 yang disediakan Legatum Institute
Pada peringkat rantau Asia Pasifik, Malaysia berada di tangga kelapan mengikut kajian sama dilakukan badan bebas berkenaan.

‘The Prosperity Index’ atau Indeks Kemakmuran memberikan penekanan kepada asas ekonomi, kesihatan, kebebasan, sistem pentadbiran, keselamatan, pendidikan, peluang perniagaan dan hubungan sosial boleh mempengaruhi pertumbuhan ekonomi sesebuah negara dan tahap kebahagiaan rakyatnya.

Legatum Institute adalah badan bebas berpangkalan di United Kingdom yang memberi fokus kepada kajian bebas dan sokongan dasar bagi mempromosikan kebebasan individu, politik dan ekonomi di negara seluruh dunia.

Menariknya, corak pemilihan indeks kemakmuran oleh institut ini ialah ahli panel tidak hanya melihat kepada pembangunan ekonomi semata-mata seperti Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), tetapi juga tujuh bidang seperti keusahawanan dan peluang perniagaan, sistem pentadbiran, pendidikan, kesihatan, keselamatan, kebebasan individu dan modal sosial.

Hasil kajian badan itu mengekalkan kedudukan Malaysia seperti tahun lalu, melalui tujuh bidang berkenaan iaitu ekonomi di tangga ke-21; keusahawanan dan peluang perniagaan (34); sistem pentadbiran (34); pendidikan (45); kesihatan (44); keselamatan (52); kebebasan individu (90) dan hubungan sosial (90).

Rumusan kajian ini meletakkan asas ekonomi serta keusahawanan dan peluang perniagaan serta sistem pentadbiran dilihat sangat kukuh tetapi kebanyakan bidang lain berada dalam keadaan sederhana.

Kajian itu meletakkan Norway pada kedudukan pertama, manakala Zimbabwe pula di tangga yang terakhir.

Singapura pula negara Asia Tenggara yang menduduki tempat tertinggi berbanding negara jirannya dengan menduduki tempat ke-17 sama seperti tahun lalu, manakala Thailand pula tangga ke-52 (naik dua anak tangga daripada tangga 54), Filipina turun daripada 61 ke-64 dan Vietnam turun daripada 50 ke-61.

Jepun adalah negara Asia yang menduduki tempat tertinggi tahun ini, iaitu tempat ke-18 susut dua anak tangga berbanding tahun lalu, manakala China di tangga ke-58, manakala India (88).

Namun mengejutkan kedudukan Hong Kong yang merosot kepada kedudukan ke-20, sedangkan dua tahun lalu menduduki antara 10 negara makmur di dunia dengan menduduki tempat kelapan.

Sumber : //www.bharian.com.my/

ISU ANTARABANGSA : BENCANA "BERKEMBAR" MELANDA INDONESIA

GAMBAR dari udara yang dirakamkan semalam menunjukkan sebuah kampung musnah akibat tsunami di Pulau Pagai, Kepulauan Mentawai.
Runtuhan rumah dan kenderaan penduduk yang hancur akibat Letusan Gunung Merapi di Dusun Kinahrejo, Desa Umbulharjo, Cangkringan, Sleman, Di Yogyakarta, Rabu (27/10/2010).


YOGYAKARTA - Angka korban letusan Gunung Merapi meningkat kepada 31 orang selepas gunung berapi itu meletus dan memuntahkan debu serta batuan panas sehingga 1.5 kilometer ke udara di wilayah Sleman, Yogyakarta, kelmarin.

Antara yang terkorban termasuk bayi berusia dua bulan, seorang wartawan portal berita Indonesia, seorang sukarelawan Palang Merah tempatan dan ’penjaga’ gunung, Mbah Maridjan.

Pakar gunung berapi negara itu mengeluarkan amaran awal mengenai letusan Gunung Merapi dan pihak berkuasa telah memindahkan puluhan ribu penduduk di kawasan itu ke pusat perlindungan sementara.

Menurut media Indonesia, mangsa letusan akan dikebumikan di dalam satu liang lahad dan sumbangan sebanyak Rp2.4 juta (RM840) akan diberikan kepada setiap keluarga mangsa.

Sementara itu, gempa bumi bawah laut mencetuskan ombak tsunami yang membunuh sekurang-kurangnya 272 orang penduduk di Kepulauan Mentawai, barat Sumatera, Isnin lalu.

Gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter itu menghasilkan ombak setinggi tiga meter yang memusnahkan 10 kampung dan hampir 500 penduduk dilaporkan masih hilang.

Helikopter yang membawa pasukan penyelamat bersama bantuan perubatan dan makanan mula tiba di pulau itu, semalam.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU GEJALA MEROKOK : BILANGAN PEROKOK MUDA MERISAUKAN

Oleh Liow Tiong Lai

SAYA rasa sangat terganggu apabila melihat anak muda belasan tahun menghisap rokok, lebih-lebih lagi apabila orang dewasa menghisap rokok di depan kanak-kanak dan remaja.


Saya naik marah kerana perbuatan mereka yang sudah dewasa itu merosakkan segala usaha dan langkah pihak berkuasa kesihatan serta penganjur gerakan tidak merokok untuk mendidik anak muda tentang bahaya merokok.

Segala mesej kami tentang bahaya yang boleh membawa maut akibat merokok musnah apabila kanak-kanak melihat orang dewasa yang mereka hormati dan kagumi, terutama sekali ibu bapa mereka, saudara mara atau guru menghisap rokok di depan mereka.

Anak-anak itu tentu akan berkata: “Jika mereka boleh hisap, tentu kita pun boleh.”

Bolehkah kita menyalahkan mereka?

Nenek saya mati akibat kanser kerana dia seorang perokok. Tragedi yang berlaku dalam keluarga saya sendiri ini menjadi peringatan kepada saya dan anak-anak bahawa tembakau boleh membunuh. Saya lega, tiada siapa dalam keluarga saya menghisap rokok, membolehkan saya menjadi contoh kepada rakyat Malaysia yang lain.

Tabiat menghisap rokok telah disifatkan sebagai satu ‘wabak tidak perlu buatan manusia’. Betapa tepatnya gambaran ini! Ia satu tabiat yang langsung tidak membawa faedah. Sebaliknya, membawa keburukan kepada diri sendiri, orang di sekeliling anda dan juga negara seluruhnya.

Anda mungkin akan berkata saya sengaja membesar-besarkan hal ini. Mana boleh seorang perokok membawa keburukan kepada satu negara? Tapi fikirkanlah, bersama tiga juta perokok lain di Malaysia, anda sedang menyumbang kepada beban ekonomi yang sangat besar kepada negara.

Kemungkinan anda kerap jatuh sakit adalah lebih besar. Begitu juga kemungkinan anda menderita penyakit kronik yang memerlukan rawatan seumur hidup. Rawatan ini tidak murah. Anda akan sering tidak dapat pergi kerja atau mungkin tidak dapat bekerja bagi tempoh yang panjang.

Banyak duit negara akan habis kerana penyakit yang anda hidapi. Satu kajian mendapati beban kos merawat kanser paru-paru, sakit jantung dan penyakit lain yang berkaitan dengan tabiat merokok ialah RM2,924.8 juta setahun.

Itu belum lagi mengambil kira kerugian yang dialami oleh syarikat apabila pekerja tidak datang bekerja kerana sakit akibat penyakit yang ada kaitan dengan merokok. Bagaimana pula dengan kerugian akibat kebakaran yang berpunca daripada api rokok? Pertubuhan Kesihatan Sedunia menganggarkan, pada tahun 2000 kerugian akibat kebakaran di seluruh dunia mencecah AS$27 bilion (RM102.6 bilion).

Semua kos ini akhirnya datang dari kocek anda juga sama ada anda membayar beribu-ribu ringgit setahun bagi merawat masalah merokok anda atau duit daripada cukai yang anda bayar digunakan bagi membiayai beban yang terpaksa ditanggung oleh sistem kesihatan dan ekonomi negara.

Sesungguhnya, sebelum anda jatuh sakit, anda sudah pun membuang duit dengan tabiat buruk merokok. Dianggarkan, tiga juta perokok dewasa di Malaysia menghisap 33 juta batang rokok sehari. Ia seperti membakar RM8.59 juta sehari.

Golongan muda juga membelanjakan jumlah wang yang sangat banyak untuk merokok iaitu RM270,000 sehari. Sebab itulah kerajaan menaikkan harga rokok kotak 20 batang sebanyak 70 sen. Tujuannya supaya mereka merasai kesan kenaikan itu,

Memandangkan perokok muda mula berjinak dengan rokok ketika berusia 13 tahun, kita perlu menyekat mereka daripada mula lagi. Pertubuhan Kesihatan Sedunia mendapati bahawa kemungkinan perokok muda berhenti merokok atau mengurangkannya apabila harga rokok dinaikkan adalah dua hingga tiga kali ganda lebih daripada perokok dewasa.

Sejak tahun lalu, Kementerian Kesihatan telah menguatkuasakan peraturan yang mewajibkan semua kotak dan bungkusan rokok membawa amaran kesihatan dalam bentuk gambar. Tujuan gambar ngeri ini serta deskripsi akibat merokok kepada kesihatan adalah untuk menyekat godaan membeli rokok.

Bagaimanapun, kita perlu sentiasa berhati-hati kerana tarikan rokok adalah jauh lebih menggoda daripada apa jua mesej pendidikan yang kita sampaikan. Kanak-kanak dan remaja memuja selebriti yang merokok dan begitu mudah terpikat kepada gaya yang dianggap menarik.

Tapi kami di Kementerian Kesihatan tidak akan berputus asa. Biar apa juga cabaran yang kami hadapi. Kita semua perlu berusaha dengan lebih kuat dan mencari jalan lebih kreatif dalam menangani cabaran itu. Ini kerana taruhannya amat besar, iaitu kesihatan generasi akan datang.

Merokok bukan hanya merosakkan hidup anda, ia turut merosakkan hidup semua orang di keliling anda. Keluarga, anak-anak serta sahabat handai turut terseksa kerana menyedut asap rokok yang anda hembus dan terpaksa menanggung beban penyakit anda.

Jika anda seorang anak muda, janganlah mula merokok. Belum sempat anda sedar, anda sudah pun ketagih. Anda hanya membohongi diri jika anda fikir anda boleh meninggalkannya apabila anda mahu. Terdapat mereka yang telah merokok selama berpuluh-puluh tahun dan masih berkata: “Esok saya akan berhenti.”

Esok mungkin datang membawa kanser paru-paru, serangan jantung atau strok. Mungkin juga esok tidak datang.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Selasa, 26 Oktober 2010

ISU RASUAH : Malaysia Kekal Di Tangga Ke-56 Dalam Indeks Rasuah

KUALA LUMPUR: Malaysia mengekalkan kedudukannya di tempat ke-56 daripada 178 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah Antarabangsa (CPI) 2010, walaupun memungut 0.1 mata lebih rendah berbanding tahun lepas.

Presiden Transparency International Malaysia, Datuk Paul Low Seng Kuan berkata, Malaysia yang menduduki tempat ketiga di kalangan negara Asia Tenggara selepas Singapura dan Brunei, memungut 4.4 mata daripada 10 mata untuk berada di depan Thailand yang mendapat 3.5 mata (tempat ke-78) dan Indonesia dengan 2.8 mata (tempat ke-110).

"Denmark, New Zealand dan Singapura terikat pada kedudukan pertama dengan memungut 9.3 mata.

"Statistik Malaysia tidaklah merosot malah kekal. Negara kini berada di tengah-tengah (antara baik dan tidak baik).

"Ketidakstabilan kerajaan, biasanya berikutan konflik legasi, terus mendominasi kedudukan di tempat tercorot CPI. Afghanistan dan Myanmar berkongsi tempat kedua terakhir dengan pungutan mata 1.4, manakala Somalia di tangga terakhir dengan 1.1 mata," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, walaupun pelbagai langkah positif telah dilakukan, pungutan mata Malaysia dalam CPI mungkin disebabkann masalah pelaksanaan serta ketiadaan penambahbaikan dalam pembinaan keyakinan, sekaligus menunjukkan terdapat kekurangan dalam kemahuan politik bagi menghapuskan rasuah.

Contohnya, kata beliau, terdapat beberapa perkara yang jelas membimbangkan seperti arahan "Tiada Tindakan Lanjut" oleh Peguam Negara terhadap mereka yang dikatakan terbabit dalam pelantikan hakim seperti yang didedahkan melalui skandal "Video Lingam", walaupun perkara itu merupakan hasil penemuan dan saranan Suruhanjaya Diraja.

Selain itu, Low berkata amalan menganugerahkan projek mega serta kontrak tanpa tender terbuka atau bidaan kompetitif yang masih diteruskan, turut menyumbang kepada CPI Malaysia bagi 2010.

"Kami mencadangkan agar kerajaan menjadikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) lebih bebas dan berautonomi, bagi memperkukuhkan undang-undang serta membuat laporan terus kepada jawatankuasa Parlimen, selain ia diberi kuasa melakukan pendakwaan.

"Cadangan lain ialah membentuk semula kewangan politik dan peraturan parti politik serta pilihan raya, pengisytiharan aset ahli politik, mempromosi kebebasan maklumat, penguatkuasaan undang-undang dan polisi sedia ada secara efektif serta bersungguh-sungguh, termasuk penggubahan dan pindahan wang haram oleh suspek dalam kes rasuah berprofil tinggi," katanya.

Low berkata memandangkan aspirasi Malaysia ialah menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020, komitmen untuk memerangi rasuah perlu jelas dan tegas, kerana keputusan CPI secara konsisten telah menunjukkan terdapat hubungan langsung antara tahap rasuah dengan pembangunan ekonomi di sesebuah negara.

Beliau berkata, kerajaan Malaysia telah mengambil beberapa langkah seperti melaksanakan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) pada April lepas, namun hasilnya tidak boleh dilihat serta-merta kerana persepsi mengambil masa untuk berubah.

"Persepsi awam mungkin mengambil masa untuk berubah, dan kadangkala ia tidak berubah langsung. Persepsi awam boleh berubah jika mereka melihat peratusan yang tinggi dalam pendakwaan," katanya.

Low berkata, melalui inisiatif yang diambil oleh kerajaan pada masa ini, kedudukan Malaysia akan meningkat dalam masa dua tahun.

Dua negara yang berkongsi kedudukan dengan Malaysia ialah Turki dan Namibia. - BERNAMA

HORMATI HAK BAHASA MELAYU

Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim
rashiqah@bharian.com.my

Sikap masyarakat, sesetengah pemimpin sebabkan pelaburan berjuta ringgit tersasar

SEMUA pemimpin dan dan ahli politik negara ini diperingatkan agar mengangkat bahasa Melayu pada tahap tertinggi dengan mengadakan usaha jitu agar tidak diibaratkan seperti menyangkul air sungai.

Perkara terbabit disuarakan Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Karyawan, Datuk Dr Hassan Ahmad, pada majlis Bicara Bahasa sempena Bulan Bahasa Kebangsaan di Arkib Negara Malaysia, Jalan Duta, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

"Kucar-kacir terhadap Dasar Bahasa Kebangsaan berpunca daripada sikap masyarakat yang memandang ringan, manakala sesetengah pemimpin Melayu pula, sudah tidak lagi berfikir dalam bahasa Melayu.

“Mereka seperti tidak memahami perkara asas ini kerana terlalu taksub dengan kehebatan bahasa Inggeris sehingga tidak hairanlah usaha mengangkat bahasa Melayu masih tidak berhasil, meskipun jutaan ringgit sudah dilaburkan.

“Mereka sepatutnya tahu bahawa bahasa kebangsaan tidak boleh dipisahkan dengan pemilik bahasanya kerana ia simbol kepada perpaduan bangsa. Kedudukan bahasa Melayu sudah diambil alih bahasa Inggeris seperti dapat dilihat dalam iklan dan nama jalan sehingga kita seolah-olah kembali ke zaman sebelum merdeka,” katanya yang juga mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Dr Hassan turut mengingatkan dasar bahasa tidak boleh dipisahkan daripada proses pembinaan negara kerana negara yang memiliki pelbagai bangsa dan bahasa perlu menjadikannya sebagai agenda penting sosiopolitik dan sosiobudaya.

“Dasar bahasa boleh digunakan sebagai alat penting dalam pembentukan integrasi politik dan tamadun tinggi, tetapi mungkin menjadi punca krisis politik dan budaya yang boleh mengancam kemajuan bangsa apalagi bahasa sekiranya tidak diuruskan dengan bijak,” katanya.

Beliau turut menyarankan masyarakat untuk memahami konsep 1Malaysia dengan pemahaman yang benar iaitu keseimbangan, keadilan dan kesaksamaan berdasarkan prinsip Perlembagaan Persekutuan tanpa mengira kaum, sekali gus mengangkat bahasa Melayu sebagai teras utama dalam pembangunan negara.

Pandangan Dr Hassan turut diperakukan mantan Ketua Pengarah DBP, Datuk A Aziz Deraman yang menegaskan pemimpin atasan perlu memainkan peranan penting dalam penegasan semula pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan.

“Perkara utama yang perlu diberikan perhatian dalam penegasan semula pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan ialah perancangan strategik bagi penyelesaian masalah untuk pembangunan, pengembangan dan kemajuan bahasa Melayu menuju 2020.

“Justeru, usaha memperkasakan bahasa Melayu perlu menjurus kepada penyelesaian masalah dalam menetapkan dasar penggunaan bahasa kebangsaan untuk sektor swasta dan korporat, selain melaksanakan penguatkuasaan dan kawalan penggunaan bahasa kebangsaan secara bersepadu,” katanya.

Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap perjuangan memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi yang unggul kerana dihambat sikap serta tabiat bangsa Melayu yang kurang yakin kemampuan bahasanya, manakala rakyat bukan Melayu tidak melihatnya sebagai milik bersama.

“Situasi negara ini berbeza dengan Indonesia apabila bahasa Melayu dimartabatkan sebagai bahasa nasional yang menjurus kepada penggunaan dan pemakaian secara meluas dalam kehidupan serta sistem pendidikan, seolah-olah sedar kepentingannya sebagai wahana pemersatu bangsa berdaulat lagi merdeka.

“Ini berbeza dengan negara kita, ditambah adanya pemimpin dan majikan yang mengutamakan bahasa Inggeris sehingga pengaruhnya menjalar ke kampung. Ibu generasi muda gemar mendendangkan anak dengan Twinkle Twinkle Little Star dan Ba Ba Black Sheep.

“Sikap yang sedemikian mengikis kedudukan bahasa Melayu menurutnya haknya seperti diperakukan dalam Perlembagaan Persekutuan, sekali gus kita kehilangan Tepuk Amai Amai, Chan Malichan dan Anak Rusa Nani sedangkan ia pantun kanak-kanak yang indah,” ujarnya.

A Aziz turut mengingatkan kemasukan program berorientasikan bahasa Inggeris melalui media elektronik secara meluas boleh meranapkan persepsi masyarakat terhadap bahasa dan budaya kerana kebanyakan daripadanya mendorong nilai budaya negatif.

“Bagi mengatasi permasalahan ini, pemerkasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi menuntut kemuafakatan, kesepakatan dan gerakan kerjasama yang bersepadu semua pihak serta didukung keazaman politik yang sebenar.

“Dengan cara ini tidak syak lagi bahasa Melayu akan menjadi asas pembentukan tamadun negara bangsa Malaysia moden dan digunakan dengan meluas dalam setiap bidang kehidupan di Malaysia serta menjadi salah satu bahasa komunikasi antarabangsa selewat-lewatnya pertengahan abad ke-21 ini,” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Isnin, 25 Oktober 2010

Isu Rasuah : Sistem pusingan kerja langkah terbaik tangani gejala rasuah

Oleh Faridzwan Abdul Ghafar

GEJALA kakitangan penguatkuasa undang-undang menerima suapan menuntut kerajaan mengambil pendekatan berkesan bagi menangani jenayah rasuah dalam sektor awam.

Antara pendekatan itu ialah menilai semula dan memantapkan sistem pusingan kerja di kalangan kakitangan yang terdedah kepada rasuah (hot job rotation) supaya gejala itu dapat dibendung sekali gus mengembalikan kepercayaan rakyat kepada sektor berkenaan.

Sistem pusingan kerja ialah kaedah pembangunan pengurusan yang dipraktikkan dalam sebuah organisasi dengan individu dipindahkan melalui jadual tugasan kerja supaya menjadi lebih cekap.

Kajian perunding strategik antarabangsa bagi pencegahan rasuah, mendakwa sistem pusingan kerja juga kaedah terbaik menangani rasuah terutama apabila ia membabitkan agensi penguatkuasaan undang-undang.

Ahli akademik dari Vietnam, Do Ngoc Huynh yang melakukan kajian di Jepun mendedahkan, sistem pusingan kerja di agensi pentadbiran cukai Negara Matahari Terbit itu dilakukan dua kali setahun berjaya mengurangkan rasuah serta meningkatkan jumlah pendapatan cukai.

Secara umum, penempatan kakitangan penguatkuasa yang terlalu lama di sesuatu tempat kerja berisiko boleh menyebabkan berlaku jenayah rasuah ketika kerja penguatkuasaan.

Penempatan kakitangan penguatkuasa yang terlalu lama juga membolehkan kakitangan mengetahui kelemahan undang-undang penguatkuasaan dan berpeluang mengambil kesempatan daripada keadaan itu.

Selain itu, kakitangan agensi penguatkuasaan berpeluang membina hubungan peribadi secara rapat dengan ejen atau pelanggan di tempat kerja terbabit sekali gus sindiket rasuah terbentuk akibat perhubungan rapat itu.

Laporan makmal Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Rasuah mendapati, masyarakat negara ini mempunyai tanggapan ba-hawa agensi penguatkuasaan undang-undang di Malaysia terbabit dalam jenayah rasuah pada kadar yang lebih tinggi berbanding agensi awam lain.

Pada tempoh Januari 2005 hingga 2009, sebanyak 13,559 kes aduan jenayah rasuah membabitkan agensi penguatkuasaan undang-undang diterima oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Daripada jumlah itu, 8,500 maklumat membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Pengarah Pemantauan dan Penyelarasan NKRA Rasuah, Datuk Hisham Nordin, berkata sistem pusingan kerja tidak cekap di tempat kerja berisiko rasuah menjadi satu faktor utama rasuah ketika kerja penguatkuasaan dilaksanakan.

“Ketua agensi penguatkuasaan harus berperanan proaktif melaksanakan sistem pusingan kerja yang berisiko rasuah dengan menekankan matlamat pencegahan jenayah rasuah dalam agensinya,” katanya.

Pada masa sekarang, agensi penguatkuasaan di Malaysia memiliki sistem pusingan kerja kakitangan yang dirangka berdasarkan keperluan bidang kuasa dan kepentingan agensi masing-masing.

Sistem pusingan kerja diamalkan agensi penguatkuasaan dapat dibahagikan kepada dua bentuk iaitu sistem pusingan kecil membabitkan pertukaran kakitangan penguatkuasa daripada satu bahagian ke bahagian lain dalam agensi sama. Sistem pusingan besar pula ialah pertukaran kakitangan penguatkuasa dari satu bahagian di negeri ke bahagian negeri lain.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Bahagian Pencegahan SPRM, Datuk Sutinah Sutan, berkata apabila seorang penguatkuasa itu didapati terbabit rasuah, dia perlu ditukarkan ke tempat kerja yang mempunyai potensi kurangnya berlaku rasuah.

“Amalan sistem pusingan kerja oleh agensi penguatkuasaan sukar diseragamkan kerana budaya dan ruang kerja untuk penguatkuasaan yang sudah diperuntukkan kepada setiap agensi adalah berlainan,” katanya.

Berdasarkan sistem pusingan kerja diamalkan agensi penguatkuasaan sekarang, beberapa isu dan jurang yang perlu diatasi bagi mencegah jenayah rasuah sudah dikenal pasti pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Antaranya, setiap agensi menetapkan tempoh minimum dan maksimum penempatan penguatkuasa kerana misi, objektif serta aktiviti penguatkuasaan berbeza.

Isu mengenai takrifan ‘bidang pekerjaan berisiko rasuah’ di tempat kerja juga tidak dinyatakan dalam definisi ‘Kepentingan Jabatan’ atau ‘Jawatan Sensitif’. Ia juga tidak dikenal pasti secara khusus oleh agensi yang terbabit dalam penguatkuasaan.

Hanya PDRM mempunyai syarat khas menetapkan ciri kehidupan dan keperibadian pegawai untuk menjalankan tugas berisiko berlakunya rasuah. Agensi penguatkuasaan lain bagaimanapun tidak mempunyai ketetapan mengenai syarat khas itu.

Selain itu, pertukaran pegawai yang dilakukan setiap Pengarah Negeri atau Ibu Pejabat tidak dikawal oleh sebuah unit khas menyebabkan tiada kepastian sama ada arahan pertukaran oleh agensi penguatkuasaan terbabit sudah dipatuhi atau tidak.

Sistem pusingan kerja yang mantap dan berkesan amat perlu untuk memastikan gejala rasuah dibendung. Ia diakui kaedah berkesan meningkatkan integriti agensi penguatkuasaan.

Sistem itu harus dimantapkan dan diperluas ke bahagian perkhidmatan awam lain seperti badan kehakiman dan bahagian perolehan supaya gejala suapan serta penyelewengan dapat dicegah.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Ahad, 24 Oktober 2010

MEMPERKASA PENGGUNAAN BAHASA MELAYU

Zainal Abidin Borhan

GAPENA menyokong penuh kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan sektor korporat memperkasakan penggunaan bahasa Melayu yang lebih meluas di tempat awam. Kenyataan tersebut bertepatan dengan perkara 152 yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara.

Di samping Perlembagaan, ia juga bertepatan dengan keseluruhan semangat dan jiwa Akta Bahasa Kebangsaan serta dasar yang berhubung dengannya. Seandainya PBT tidak menjalankan tugas-tugas tersebut dengan alasan tidak adanya peruntukan di dalam Akta PBT maka, tanggapan sedemikian adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan Akta Bahasa Kebangsaan.

Tindakan memperkasa bahasa Melayu di sektor awam dan swasta adalah tindakan yang konstitutional. Maka jika kedua-dua pihak tidak melakukannya bererti tidak menghormati Perlembagaan Negara.

Pihak PBT seperti yang diperuntukkan di dalam akta bukan sahaja mengambil tindakan meningkatkan perkhidmatan pungutan sampah, pengangkutan awam, jalan raya dan sebagainya daripada pendapatan yang diperoleh dari cukai taksiran premis perniagaan, perumahan, perindustrian dan perdagangan, malah sepatutnya lebih daripada itu. PBT perlu memainkan peranan sebagai agensi yang melaksanakan paksi kenegaraan dan dasar-dasar nasional (kebangsaan).

Bulan Bahasa Kebangsaan pernah dilaksanakan pada tahun 1960-an. Parti Buruh dan Parti Rakyat (Barisan Sosialis), Parti Progresif Rakyat (PPP) Malayan Democratic Party yang menguasai PBT turut aktif dalam menjayakan Bulan Bahasa Kebangsaan pada masa itu. Barisan Sosialis yang dipimpin oleh Hasnol Hadi yang menguasai Majlis Bandaran Melaka pada masa itu telah menubuhkan Badan Bertindak Bahasa bersama Perikatan turut bersama menukar nama jalan-jalan daripada nama warisan penjajah kepada bahasa kebangsaan.

Sebagai contoh Newcome Road ditukar kepada Jalan Munshi Abdullah, Heren Street ditukar kepada Jalan Tun Tan Cheng Lock dan sebagainya. Fenomena ini berlaku di seluruh negara pada waktu itu. Tun Mustapha semasa menjadi Ketua Menteri Sabah dengan berani membawanya ke Dewan Undangan Sabah untuk melaksanakan Dasar Bahasa Kebangsaan.

Justeru, disyorkan kepada kerajaan untuk memperkukuhkan Akta Bahasa dengan memperuntukkan bidang penguatkuasaan. Setiap kesalahan bahasa pada papan tanda, papan iklan, nama jalan, nama taman perumahan, segala surat siaran dan brosur yang melibatkan kepentingan awam hendaklah disaman dan didenda, selain dinasihati untuk membetulkan kesilapan berkenaan.

GAPENA juga menyokong cadangan Pemuda UMNO dan Wira Perkasa supaya ditubuhkan Suruhanjaya Bahasa Kebangsaan. Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan Persekutuan Malaysia bukan sekadar bahasa rasmi yang digunakan dalam upacara rasmi termasuk pentadbiran dan pemerintahan, tetapi ia adalah salah satu perkara pokok dalam proses pembinaan negara-bangsa dan kenegaraan.

Sebagai warganegara, setiap orang wajib berbahasa Melayu. Bahasa Melayu bukan sekadar alat komunikasi antara rakyat tetapi juga alat perpaduan. Oleh itu, di semua peringkat pelajaran dan pendidikan, bahasa Melayu adalah bahasa pengantar di sekolah dan institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta.

Perlu disedari bahawa Perkara 152 tidak pula menghalang bahasa-bahasa kaum atau keturunan lain digunakan. Malaysia adalah di antara contoh perpaduan, keterbukaan dan demokrasi yang terbaik di dunia. Pada 1938 hingga 1942, kemudian selepas Perang Dunia Kedua, Perdana Menteri Phibun Songkram di Thailand telah merangka Perlembagaan bahawa setiap warganegara Thailand wajib bernama Thai, berbahasa Thai, bersekolah Thai dan beragama Buddha.

Sesiapa yang menolaknya tidak layak menjadi warganegara Thailand. Sehingga sekarang di Thailand, bahasa pengantar di sekolah-sekolah adalah bahasa Thai, hatta bahasa Melayu yang diajar di beberapa universiti di Thailand sekarang seperti di Universiti Chulalongkorn, Universiti Thammasat, Universiti Prince Songkla, Universiti Thaksin dan lain- lain diajar dalam bahasa Thai.

Di Indonesia pula di zaman pemerintahan Suharto, warganegara bukan pribumi iaitu orang Cina Indonesia diwajibkan menggunakan nama Indonesia, berbahasa Indonesia dan bersekolah Indonesia untuk menyempurnakan proses satu bahasa, satu bangsa dan satu negara - Indonesia.

Di Malaysia tidak terdapat tindakan yang diambil seperti itu oleh pemimpin Malaysia kerana para pemimpin Malaysia mengamalkan sikap toleransi, kesederhanaan, demokratik dan menghargai kehadiran dan kewujudan kaum- kaum lain di negara ini. Malah di sebuah negara jiran, sekolah Cina tidak dibenarkan lantaran dikhuatiri berkembang ideologi lain daripada ideologi negara berkenaan.

Bulan Bahasa Kebangsaan yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri di Ipoh, Perak baru-baru ini adalah usaha untuk menegaskan proses kenegaraan. Rukunegara, Perlembagaan, perundangan, kedaulatan raja berperlembagaan, demokrasi berparlimen, seluruh dasar-dasar kebangsaan dalam pemerintahan, perpaduan, toleransi, berkongsi kuasa, sejarah negara dan proses negara-bangsa adalah di antara unsur-unsur kenegaraan Malaysia.

Melalui unsur-unsur ini, rakyat dapat hidup bersatu-padu, saling hormat menghormati dan menerima setiap orang sebagai warganegara walaupun terdapat kebudayaan warganegara yang bukan berasal dari wilayah kebudayaan Melayu.

Di Malaysia, terdapat kepelbagaian bahasa dan dialek; bangsa, kaum, suku dan puak; budaya dan adat, serta agama dan kepercayaan. Kepelbagaian bahasa dan dialek disatukan melalui bahasa kebangsaan. Idea kepelbagaian atau hetrogeniti di Malaysia berlawanan dengan idea pluralisme. Pluralisme adalah suatu ideologi sedangkan plurality adalah satu diskripsi mengenai kepelbagaian atau hetrogeniti. Begitu juga dengan multi-linguality, multi- raciality dan plurality agama.

Idealogi pluralisme bukanlah ideologi Malaysia; namun ada pihak mahu ideologi seperti ini dilaksanakan seperti menamakan nama jalan dalam pelbagai bahasa dan menolak nama jalan di dalam bahasa kebangsaan. Di dalam rangka kepelbagaian atau hetroginiti, maka seluruh jiwanya sudah sedia termaktub di dalam Perlembagaan Negara dan dasar-dasar serta tindakan- tindakan pemerintah.

Ideologi pluralisme ini dibawa dan dijaja oleh sesetengah warganegara yang menolak semua sifat dan bentuk serta dasar-dasar yang berteraskan kebangsaan. Ketaksuban kepada ideologi pluralisme menyebabkan pihak-pihak ini melabelkan sesiapa juga yang mempertahankan dasar-dasar kebangsaan sebagai rasis. Sebenarnya pihak yang menolak dasar-dasar kebangsaan itulah yang rasis.

Ideologi pluralisme, multi-racialisme, multi- lingualisme, multi-culturalisme dan pluralisme agama sudah lama dikumandangkan sejak Malaysian-Malaysia diperkenalkan pada 1963 oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP) sewaktu Singapura di dalam Persekutuan Malaysia. Malang sekali, kini terdapat pula parti politik di dalam parti pemerintah (Barisan Nasional) mendendangkan lagu yang hampir serupa untuk membuktikan kerelevanan mereka dalam memperjuangkan tuntutan para penyokong mereka.

Pluralisme di dalam konteksnya pula dikatakan sejajar dengan hak asasi manusia. Di atas nama pluralisme, demokrasi dan hak asasi manusia, terdapat pihak yang cuba meruntuhkan seluruh paksi, ideologi dan dasar-dasar kebangsaan yang konstitutional yang selama ini telah mewujudkan keadilan, perpaduan, keharmonian, kesejahteraan dan keamanan.

Daripada data-data sejarah yang sudah declassified yang terhimpun di luar negara, terdapat pihak-pihak tertentu yang lari semasa Perang Dunia Kedua ke India, telah berunding dengan Parti Komunis Malaya untuk menubuhkan Republik Malaya atas alasan yang diherotkan (distorted) bahawa Melayu menyokong Jepun. Terdapat juga tulisan dalam akhbar Cina di Negeri-Negeri Selat pada tahun 1930-an yang mempersoalkan hak orang Melayu di Tanah Melayu pada masa itu. Malah ada yang berpendapat ini, bukan negeri Melayu.

Munculnya Penyata Fen -Wu dan Thuraisingam pada 1950-an semasa sebelum merdeka adalah reaksi balas kepada Penyata Pendidikan Razak dan Rahman Talib. Ideologi Malaysian-Malaysia sudah lama diperkatakan sebelum PAP muncul. Maka penegasan dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa pengantar di dalam sistem pendidikan akan terus mendapat tentangan.

Penentangan dan pembangkangan terhadap ideologi, sistem dan dasar-dasar nasional akan dilihat terlalu terkebelakang di dalam rangka globalisasi dan mesra pasar yang berteraskan neo-liberalisme dan neo-capitalisme. Maka ketegasan dan iltizam politik dan perpaduan Melayu sahaja yang dapat memberikan jawapan balas.

Zainal Abidin Borhan ialah Setiausaha Satu GAPENA

Sumber : http : //www.utusan.com.my/