Isnin, 6 Disember 2010

ISU AGAMA : PRAKTIK LIMA ASAS HIJRAH

Oleh MOHD. ALI MUHAMAD DON

BULAN Muharam merupakan detik permulaan kalendar baru dalam Islam. Justeru, ketibaan tarikh 1 Muharam setiap tahun semestinya menjadi titik tolak kepada permulaan yang baru dalam kehidupan seorang Muslim. Ia juga boleh dijadikan kayu ukur untuk menilai pencapaian peribadi selama setahun yang lalu dalam konteks melaksanakan perintah Allah SWT. Oleh itu, beberapa asas hijrah wajar dipraktikkan bagi memenuhi tuntutan hijrah masa kini yang jauh berbeza dengan hijrah era Mekah dan Madinah pada zaman Nabi Muhammad SAW dan para sahabatnya.

Hijrah sikap dan perbuatan

Segelintir umat Islam masih terbelenggu dengan pelbagai sikap buruk seperti hasad dengki, dendam kesumat dan sikap suka menyalahkan orang lain. Sikap buruk sebegini jika tidak diubati dikhuatiri akan merosakkan individu dan masyarakat Islam keseluruhannya. Ia umpama api dalam sekam yang boleh membakar pada bila-bila masa. Malah jika diteliti sikap buruk seperti ini akan menyebabkan umat Islam semakin ketinggalan dalam arus globalisasi yang membadai dunia dewasa ini. Golongan seperti ini juga jauh daripada rahmat dan perlindungan Allah SWT yang sangat diperlukan bagi mengharung liku-liku hidup di dunia yang beraneka ragam.

Terdapat juga umat Islam yang boleh diibaratkan seperti cakap tak serupa bikin. Perbuatan buruk mereka jauh menyimpang daripada ajaran syariat yang sebenar. Perilaku dosa seperti minum arak, berkhalwat dan berzina, merompak, mencuri dan membunuh termasuk bayi dalam kandungan sendiri seakan menjadi amalan biasa segelintir individu Muslim. Kesemua sikap buruk dan jenayah itu memerlukan kesungguhan dan azam yang tinggi untuk berubah dan kembali ke jalan yang diredai Ilahi.

Hijrah amal dan ketaatan

Bagi membendung perilaku buruk yang tidak bertepi, umat Islam diseru kembali ke pangkal jalan dengan memperbanyak amalan yang mampu mendekatkan diri kepada Tuhan Yang Maha Kuasa. Bagi yang tidak solat mahupun jarang-jarang melakukannya, dinasihat supaya mula berjinak-jinak dan mendampingkan diri kepada-Nya. Umat Islam juga sewajarnya menilai segala perlakuan ibadah setahun yang lalu sambil berazam untuk mempertingkatkan amalan agar lebih sempurna dan berkualiti.

Ketibaan 1 Muharam juga boleh dijadikan landasan untuk menggembleng usaha dan tenaga berbakti kepada Ilahi. Permulaan yang baik seperti membaca doa akhir dan awal tahun secara beramai-ramai sama ada di rumah bersama seisi keluarga, mahupun di masjid dan surau-surau mampu memberi impak yang baik kepada amalan sepanjang tahun. Seterusnya, ia diikuti pula dengan amalan-amalan yang wajib dilakukan oleh setiap individu Muslim seperti berbakti kepada Allah SWT dengan berpuasa, menunaikan zakat dan mengerjakan fardu haji, selain amalan berbentuk jama'iy dan kemasyarakatan seperti berbuat baik kepada jiran, menolong dan membantu sesama manusia terutama golongan miskin dan kurang upaya. Dwi amalan yang diperintahkan ini akan mempertaut hubungan manusia dengan Allah SWT dan dalam masa yang sama mempererat hubungan sesama manusia.

Hijrah ilmu dan pencapaian

Secara umumnya, umat Islam agak ketinggalan dalam aspek ilmu dan kemajuan teknologi jika dibandingkan dengan masyarakat lain. Malah, terdapat negara-negara tertentu yang boleh dicontohi seperti China dan Korea yang begitu drastik bangkit sebagai kuasa baru dunia dalam pelbagai aspek termasuk kemajuan daripada sudut sains dan teknologi.

Sehubungan itu, pelbagai lapisan masyarakat Islam hendaklah menghayati tuntutan mencari ilmu dalam apa saja kegiatan seharian. Ini kerana ilmu boleh diperoleh di mana sahaja sama ada melalui kaedah pendidikan formal seperti di sekolah hingga ke peringkat pengajian tinggi, mahupun ilmu sepanjang hayat yang ada di persekitaran hidup manusia. Malah, pengalaman manis dan pahit yang pernah dilalui oleh seseorang juga merupakan ilmu yang sangat berguna jika dapat dimanfaatkan dengan sempurna.

Hijrah dalam konteks ini juga dilihat mampu mengembalikan semula kegemilangan tamadun Islam terdahulu sehingga umat Islam hari ini disegani dan dihormati di mata dunia. Ia sekali gus berupaya menolak pelbagai fitnah dan tohmahan seperti agama ekstrem dan menaja keganasan yang biasa ditujukan kepada umat Islam sedunia.

Hijrah ekonomi dan pemilikan

Umat Islam di Malaysia secara khususnya dan di beberapa negara Islam amnya agak jauh ke belakang daripada aspek ekonomi dan pemilikan harta. Ini berlaku kerana sikap sebahagian umat Islam yang berhati-hati dan berwaspada daripada menjadi hamba duit dan harta sehingga menghalang usaha mendekatkan diri kepada Ilahi. Ia boleh juga terjadi kerana kekeliruan dalam memahami falsafah pemilikan harta yang telah digarap sempurna dalam syariat Islam. Akibatnya, umat Islam terpinggir daripada arus pemodenan dunia yang sangat diperlukan dalam konteks membina semula ketamadunan manusia.

Keadaan ini diburukkan lagi dengan salah faham segelintir umat Islam yang menolak dunia dan melalui kehidupan zuhud tanpa bersandarkan kepada realiti kehidupan masa kini yang berbeza daripada zaman awal Islam terdahulu.

Justeru, penglibatan umat Islam dalam bidang ekonomi dan pemilikan harta juga penting untuk direalisasikan dalam dunia kini. Walau bagaimanapun, ia wajib mematuhi garis panduan memperoleh, memanfaat dan mengagihkan harta menurut perspektif Islam. Penglibatan umat Islam dalam kegiatan ekonomi yang berteraskan riba' demi mencari keuntungan berlipat kali ganda adalah diharamkan. Selanjutnya, amalan buruk penipuan, berbuat zalim dan mengambil hak orang lain tanpa hak adalah tidak sesuai dengan amalan ekonomi Islam. Di samping itu juga, konglomerat Islam perlu memahami ada hak zakat yang diwajibkan dan sedekah sunat daripada harta yang perlu dilunaskan. Ini bagi mengelak kerosakan yang lebih besar kesan daripada kegiatan ekonomi yang tidak berteraskan kehendak Islam sebenar.

Hijrah kepada Islam yang syumul

Akhirnya, para Muslimin diseru menghayati ketibaan 1 Hijrah bukan dalam pengertian sambutan tahun baru yang difahami oleh golongan yang tidak mengerti agama yang syumul. Sambutan tahun baru juga bukanlah perayaan yang hanya diraikan di merata tempat. Lebih daripada itu, tuntutan melestarikan falsafah hijrah Nabi Muhammad SAW dan para sahabatnya yang sanggup bergadai nyawa dan harta demi kepentingan Islam wajib dicontohi.

Untuk tujuan itu, umat Islam hendaklah kembali melaksanakan Islam dalam segala gerak-geri kehidupan. Maknanya, seluruh kehidupan Muslim mesti berteraskan al-Quran dan al-Sunnah sebagai sumber rujukan hukum dalam menanggapi pelbagai persoalan hidup yang kompleks dan penuh cabaran dewasa ini. Syariat yang syumul sememangnya bersesuaian untuk direalisasikan dalam konteks kehidupan bernegara, bermasyarakat dan yang pasti untuk keperluan setiap individu. Persoalannya, adakah umat Islam masa kini berbangga menjadi individu Muslim lalu sanggup melaksanakan segala peraturan agama dalam segala lapangan kehidupan.

PENULIS ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : Dadah, rasuah ancam keselamatan negara

Oleh ANIS YUSAL YUSOFF

KEDAULATAN dan kuasa di sesebuah negara bukan terletak kepada kepala negara tetapi di tangan rakyat jelata. Dalam sebuah negara demokratik seperti Malaysia, perkara ini menjadi bertambah jelas. Sebab itulah, sebarang ancaman yang dapat memporak-perandakan rakyat jelata, boleh dilihat sebagai ancaman kepada kedaulatan negara.

Satu ketika dahulu, kita menjadi risau melihat bagaimana anak-anak muda yang terjebak dalam gejala dadah hilang arah tuju dan ramai juga di antara mereka yang terlibat dengan jenayah disebabkan ketagihan dadah.

Masyarakat diseru untuk membenci segala aspek yang terlibat dengan dadah, termasuklah penagih dan pengedarnya. Seperti komunis pada masa itu, dadah turut menjadi musuh negara yang perlu diperangi oleh semua pihak.

Dadah pada hari ini pun masih lagi menjadi musuh negara dan perlu terus diperangi. Mereka yang didapati bersalah memiliki dadah melebihi kuantiti tertentu boleh dikenakan hukuman mandatori mati di tali gantung.

Begitu serius sekali kita dalam menangani masalah ini sehinggakan kita sanggup dikutuk oleh beberapa buah negara yang menganggap undang-undang itu terlalu draconian kerana ada rakyat mereka yang didapati bersalah memiliki najis dadah telah dijatuhkan hukuman mati mandatori oleh mahkamah di Malaysia.

Namun semua ini tidak mengurangkan ketagih mahupun menakutkan para pengedar dan penggunanya. Golongan penagih ini tidak pula merasa jijik dengan najis yang menjadi kawan baik mereka.

Kerajaan terpaksa mewujudkan pusat-pusat pemulihan untuk mereka yang menagih dadah bagi membantu mereka tidak mengulangi tabiat buruk berkawan dengan najis dadah itu.

Bagaimanapun, laporan dari Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menunjukkan jumlah kes berulang iaitu mereka yang kembali menjadi penagih selepas keluar dari pusat serenti sudah hampir sama banyak dengan jumlah penagih baru.

Ada antara mereka yang kembali ke 'universiti serenti' untuk ijazah kedua dan ramai juga yang menyambung ke peringkat ijazah kedoktoran tetapi bukan doktor falsafah, sebaliknya fasal dadah!

Sama bahayanya dengan dadah adalah rasuah. Rasuah juga adalah musuh negara kerana ia dapat merosakkan harapan dan inspirasi negara seperti yang terkandung dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) untuk menjadi negara berpendapatan tinggi.

Malah, penyakit rasuah ini jika tidak dibendung akan menghancurkan negara. Mana mungkin negara menjadi maju kalau pemimpinnya sanggup dijual beli.

Bagaimana untuk menjadi negara berpendapatan tinggi kalau kaki tangan perkhidmatan awam dan swastanya saling bertukar-tukar paket angpau, ganjaran wang diberikan kepada favour yang dilakukan tanpa merit sebenar untuk mendapat projek tertentu.

Apa akan berlaku kepada negara ini kalau semuanya boleh dibeli dan semua orang ada harganya masing-masing? Seperti penagih dadah yang sanggup mencuri dan membunuh ahli keluarga demi melepaskan gian mereka, negara yang dibelenggu rasuah pasti akan digadai oleh puak-puak yang ketagihkan rasuah.

Perlukah kerajaan mewujudkan pusat pemulihan untuk mereka yang ketagih rasuah ini? Atau mungkinkah undang-undang mandatori seperti dadah untuk perasuah (penerima dan pemberi)?

Mungkinkah itu penyelesaian yang dapat menghentikan kehinaan sikap tidak amanah yang semakin berleluasa ini?

Setiap hari kita dapat melihat pelbagai usaha pencegahan dilakukan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), namun mereka terus menjadi bahan kritikan masyarakat. Pelbagai kempen mereka lakukan melalui media cetak dan media elektronik dan kita hanya dapat berdoa agar usaha-usaha ini akan memberi impak kepada masyarakat secara jangka panjang.

Seperti agensi-agensi penguat kuasa lain, SPRM juga berhadapan dengan pelbagai tohmahan dan kritikan. Adakalanya tohmahan yang dibuat langsung tidak berasas.

Kefahaman masyarakat tentang peranan SPRM juga agak terbatas. Ini selalu dapat kita lihat apabila kes-kes berprofil tinggi yang menghasilkan keputusan tidak berpihak kepada kerajaan, maka masyarakat dengan cepat membuat andaian dan selalunya memandang serong kepada SPRM.

Mungkin juga perlu bagi pihak SPRM mendampingi masyarakat sambil mendidik kepentingan untuk rakyat agar terus memerangi rasuah. Masyarakat juga perlu diberitahu peranan dan ruang lingkup kuasa SPRM. Sekiranya tidak dimaklumkan, mungkin semakin ramai yang akan menuduh SPRM sebagai toothless tiger.

Bertaring ataupun tidak, ia sepatutnya diadili oleh rakyat terbanyak hanya apabila mereka faham ruang lingkup sebenar kuasa yang ada pada SPRM. Sekiranya rakyat tidak faham, mereka tidak boleh disalahkan. Rakyat melalui kuasa yang ada pada mereka juga boleh membantu dalam memberi mandat yang lebih besar kepada SPRM. Syaratnya mereka perlu didekati dan diberi maklumat yang tepat.

Pada waktu ini, rata-rata rakyat tidak dapat melihat magnitud impak rasuah kepada negara. Kos melepas yang sepatutnya menjadi hasil pendapatan kepada negara jika tidak kerana rasuah tidak siapa yang tahu.

Mungkin elok untuk satu kajian dibuat agar rakyat dapat diberitahu mengenai jumlah kerugian negara yang disebabkan oleh perbuatan para perasuah ini.

Kos melepas inilah antara sumber pendapatan negara untuk membina sekolah, hospital, jalan raya dan semua infrastruktur yang memberi manfaat kepada rakyat jelata. Suka atau tidak, realitinya, rasuah adalah satu ancaman kepada keselamatan dan pembangunan negara.

Seperti dadah dan komunis, rasuah harus diperangi oleh semua lapisan rakyat dalam negara kita. Sokongan rakyat kepada usaha SPRM sangat penting untuk menjayakan hasrat murni kita ini. Janganlah hanya kerana satu dua insiden yang belum pun kita tahu duduk sebenar perkara, kita terus menghukum organisasi seperti SPRM.

Lihatlah isu yang lebih besar dan kesannya kepada negara daripada diungkit perkara mengenai kepentingan peribadi pihak-pihak tertentu sahaja.

Penulis ialah Felo Penyelidik Utama di Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau juga Ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Selasa, 30 November 2010

Bahasa, budaya Melayu perlu dijadikan tonggak pembentukan Malaysia


Oleh Azrul Affandi Sobry dan Ratinawati Rasidi
bhnews@bharian.com.my

Konsep 1Malaysia perlu penjelasan terperinci bagi memastikan pemahaman rakyat pelbagai kaum tak bertentangan Perlembagaan

BAHASA dan budaya Melayu perlu dijadikan tonggak utama dalam cara hidup rakyat berbilang kaum di negara ini. Ia bagi memastikan gagasan 1Malaysia dilaksanakan dalam konteks warisan budaya, namun dalam masa sama tidak mengetepikan kebudayaan bangsa lain.

Jika penerimaan dilakukan secara terbuka, mungkin tidak wujud lagi warga negara yang bertutur pelat dalam Bahasa Melayu. Juga, tidak berlaku perbuatan mengetepikan bahasa kebangsaan dalam urusan rasmi. Sebaliknya, memahami sejarah dapat membantu rakyat faham kenapa Perlembagaan itu dibentuk seperti apa yang termaktub dan dikuatkuasakan sekarang.

Nilai penerimaan dan menghormati Perlembagaan perlu wujud dikalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Golongan muda adalah antara yang tersasar jauh dan tidak memahaminya. Ini kerana wujudnya usaha mengelirukan pemikiran mereka hingga lahir tindakan dan tuntutan yang bercanggah dengan apa yang dipersetujui pemimpin terdahulu.

Sama rata antara kaum adalah sesuatu yang mustahil dapat dipraktikkan di negara ini. Ini semua berpunca kerana wujudnya kelompok politik yang terlalu taksub untuk berkuasa dan konon mahu mentadbir negara. Akhirnya mereka sanggup mencabar kedaulatan undang-undang yang dipersetujui ketika cadangan untuk menerima ‘orang luar’ menjadi sebahagian daripada warga negara ini.

Di pentas Forum Jati Diri Siri Ke-4, di Dewan Bestari, Jabatan Penerangan di ibu negara, tokoh budaya, Datuk Aziz Deraman, menegaskan tidak mungkin wujud sama rata dikalangan masyarakat di negara ini kerana secara nyata wujud perbezaan seperti kepelbagaian kaum, penduduk di bandar dan luar bandar selain bahasa, budaya malah kepercayaan.

“Sama rata kalau kita menubuhkan negara baru seperti Amerika. Kita masuk beramai-ramai dan menubuhkan satu negara baru. Malaysia bukan negara baru (kerana) 2,000 tahun sudah tertulis (sejarah) sebelum itu. Akar itu sudah ada,” katanya ketika mengupas tajuk Warisan Budaya Dalam Konteks 1Malaysia bersama seorang lagi ahli panel iaitu Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Lim Swee Tin. Ia dipengerusikan oleh Ketua II GAPENA, Prof Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar.

Forum anjuran bersama Berita Harian Sdn Bhd (BHSB) dengan kerjasama GAPENA, Persatuan Sarjana Komunikasi dan Media Malaysia (PERSKOM) serta Jabatan Penerangan. Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan, Datuk Abdullah Morad; Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid, serta Pengarang Eksekutif (Rencana), Zainor Said.

Aziz berkata, wujudnya masalah bahasa kerana orang ramai keliru untuk membezakan antara hak negara dengan hak kaum masing-masing. Bahasa sukuan, dialek baik dalam bahasa Cina mahupun India adalah milik peribadi tetapi perlu mengutamakan Bahasa Melayu kerana ia adalah bahasa yang termaktub sebagai bahasa pengantar semua bentuk komunikasi rasmi negara.

Prinsip penerimaan dan penghayatan adalah penting untuk masyarakat memahami kedudukan budaya Melayu sebagai teras budaya nasional.

Katanya, budaya sekurang-kurangnya mempunyai empat teras. Pertama, falsafah dan pemikiran seperti ilmu pengetahuan, bahasa, mitos dan cerita lisan. Kedua, warisan kebendaan termasuk bangunan seperti Istana Iskandariah dan Bangunan Sultan Abdul Samad selain alat pertanian, kapal, makanan, perabot dan sebagainya. Ketiga kesenian, yang terdiri daripada lakonan, nyanyian, lukisan, tenunan dan anyaman. Keempat adalah nilai dan norma termasuk lapan nilai yang diterapkan dalam gagasan 1Malaysia.

“Banyak nilai yang tercerna dalam nilai budi. Kita punyai ribuan pantun menjelaskan mengenai budi,” katanya sambil menegaskan pendidikan sastera perlu diterapkan seawal mungkin dalam pendidikan.

Aziz berkata, Kementerian Pelajaran wajar melihat lebih mendalam kepentingan memperkenalkan subjek Kesusasteraan Melayu pada peringkat sekolah rendah.

Katanya, langkah itu bukan sekadar untuk memenuhi keperluan akademik semata-mata, malah lebih kepada diskusi mengenai maksud tersirat dalam peradaban budaya Melayu secara keseluruhannya.

“Sebenarnya orang Melayu begitu kaya dengan peribahasa dan pelbagai lagi aspek budaya lain. Sebagai contoh, pantun kita cukup dikagumi masyarakat luar, tetapi kita sendiri mengabaikannya.

“Kekeliruan yang timbul mengenai pemahaman konsep 1Malaysia menjadi isu yang harus ditangani segera dengan cara berhemah dan menggunakan apa saja pendekatan termasuk memperkasakan bahasa serta budaya Melayu supaya dapat diserap masuk secara menyeluruh kepada masyarakat,” katanya.

Pandangan itu diluahkan Swee Tin yang berpendapat, isu mengenai 1Malaysia tidak boleh terus dibicarakan secara tersirat tetapi perlu diluahkan dengan jujur supaya tidak terus menerus timbul keraguan mengenai pemahaman konsepnya.

“Ramai beranggapan 1Malaysia ialah menyamatarakan semua bangsa. Ia amat berbahaya sekiranya kita membiarkan anggapan ini berterusan. Dalam konteks hak sebagai rakyat Malaysia, kita perlu rujuk Perlembagaan yang menyebut bahawa semua rakyat mempunyai hak yang sama.

“Namun, dalam hal tertentu, semua bersetuju dan menerima bahawa orang Melayu mempunyai hak khusus dan tertentu. Ia mengkehendaki semua rakyat perlu menerima bahawa orang Melayu ada hak istimewa tertentu seperti termaktub dalam Perlembagaan,” katanya.

Beliau turut melihat beberapa kesilapan remeh yang berlaku saban hari seperti dalam ucapan ramai pemimpin negara iaitu - “Bagi kita rakyat Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.” Ia adalah satu frasa yang tidak relevan kerana memang sudah termaktub Sabah dan Sarawak adalah Malaysia.

“Ia adalah satu kesilapan kecil tetapi mempunyai impak besar. Saya pernah duduk semeja dengan orang Iban di Miri, Sarawak. Ada ucapan di televisyen yang menyebut, rakyat Malaysia yang terdiri daripada Melayu, Cina dan India. Jadi, orang Iban itu bertanya, aku di mana?” katanya yang melihat ia satu perkara yang perlu diambil kira.

Mengenai isu warisan budaya dalam konteks 1Malaysia, Swee Tin melihat ia sebagai satu ejen penting membentuk satu acuan yang mantap jati dirinya, tambahan pula ketika seluruh dunia sedang berdepan dengan kemajuan teknologi moden yang sedikit sebanyak mengikis nilai budaya masyarakat.

Beliau memberi contoh, kebanyakan orang mengenali rakan di seluruh dunia dan boleh berbicara dalam pelbagai topik menggunakan teknologi maklumat tetapi mereka tidak pernah mengenali nama jiran sebelah rumah.

Justeru, beliau melihat dalam konteks mengembalikan tata susila rakyat negara ini, budaya Melayu perlu dijadikan tonggak supaya semua masyarakat dapat berbahasa dan mengamalkan budaya sama.

“Contoh jelas sudah ada. Kita sekarang dengan mudah dapat melihat orang Cina menundukkan badan dan meminta laluan jika mahu melintas di depan orang. Ia adalah budaya Melayu yang menyerap masuk dalam cara hidup orang Cina. Ia perlu berterusan begitu dan caranya adalah mengekalkan budaya Melayu sebagai tonggak,” katanya.

Isu kelemahan dalam penyampaian bahasa Melayu di sekolah juga menjadi topik yang dipandang serius oleh Swee Tin. Beliau melihat ramai pelajar yang mempelajari bahasa kebangsaan itu sekadar untuk lulus peperiksaan tetapi tidak mempraktikkannya dalam kehidupan.

Lebih mengecewakan, katanya, ramai pula orang Melayu yang memandang rendah penjagaan tata bahasa bahasa Melayu apabila mereka menggunakan loghat Cina ketika bercakap Melayu.

“Kesilapan sebegitu akan mengurangkan penggunaan dan akan menipiskan kecintaan. Kurangnya kecintaan, maka akan leburlah segala-gala yang diterima selama ini.

“Sama juga, ada guru yang malu bersyair depan muridnya. Sama juga dengan kefahaman guru terhadap maksud peribahasa Melayu. Siapa tahu bahawa melepaskan batok di tangga adalah mencampakkan gayung di tepi tangga selepas membasuh kaki. Batok itu gayung dan perbuatan mencampak gayung itu adalah satu sikap sambil lewa,” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Sabtu, 27 November 2010

PELUDAH BAHASA

Ketika lahir jeritnya amat mesra––hening suara bayi pertama.
Neneknya pengagum hikayat Tuah membisik iktibar ke telinganya.
Datuknya pencinta Siti Zubaidah bersyair merdu ke qalbunya pula.
Doa dan janji di sanubari inilah cucunya kebanggaan desa––
insan harapan kerdip permata yang bakal bersinar sebagai pendakwah.


Ketika bertatih di sisi buaian gelincirnya cepat disantunkan.
Ayah dan ibunya cekal berazam anak termanis di hemah Ramadan.
Diasuh ia menjadi wira dan tidakpun dikira ke bidang mana.
Pada hembusan angin di bukit amat merdu terdengar ia menjerit:
Penyegar budi pilihan pertama, penyemai bakti di qalbu desanya.

Ranum di dalam dan di luar negara menjalar akar benih ilmunya;
pergaulannya alam tak berbatas bertingkat cepat dirinya ke atas.
Pada kempen “bersih-cekap-amanah” terhantar ia ke tampuk kuasa;
masih diingat pesan nenek tentang Tuah; saran datuk tentang Zubaidah.
Sebaik menyingsing Satu Malaysia mula terbelah percik mimpinya.

Tapi, kuasa tersangat nikmatnya––darjat dan harta sebuah buana.
Lalu, dalam lagu gema ternyaring giginya berubah menjadi taring.
Leluhurnya kini damai di kubur, dan sayang, dirinya meruncing takbur.
Terakhir, dengar kisah lupanya––semua dangkal kecuali dirinya.
Terakhir, merebaklah bongkaknya sebagai peludah bahasa Ibunda.

Tak lagi dirinya budayawan desa, pembela bahasa tidak juga.
Kini dia niagawan haloba pemburu kuasa paling selesa.
Memang bukan lagi cucu desawan; segebu dirinya kuasawan.
Dilupa Syair Siti Zubaidah dan tidak dikenal Hikayat Hang Tuah.
Sangatlah selesa dan bangga––dirinya tulen peludah bahasa.

A.SAMAD SAID

Khamis, 25 November 2010

ISU BAHASA : Bahasa Melayu diperkasa elak terus berkecamuk

Oleh Azman Zakaria dan S Anand Kumar

Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan ditubuh

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menubuhkan Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan ke arah mencari kaedah terbaik bagi memantau dan memperkasakan penggunaan bahasa Melayu meliputi pelbagai skop serta menjamin kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata, serentak dengan penubuhannya, jawatankuasa itu akan mengadakan mesyuarat pertamanya 30 November ini, dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Dengan adanya mekanisme (jawatankuasa) ini, apa juga masalah dari segi penggunaan bahasa akan dapat dirumus dan dicari formula (penyelesaian)... kita memang bertungkus lumus untuk membetulkan apa yang tidak betul, katanya menjawab soalan tambahan Datuk Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) di Dewan Rakyat semalam.

Beliau berkata, penubuhan jawatankuasa itu adalah satu daripada komitmen kerajaan untuk membetulkan masalah penyalahgunaan bahasa Melayu, termasuk penggunaan bahasa rojak oleh penyampai radio, iklan di radio dan televisyen serta di papan tanda.

“Penggunaan bahasa Melayu sebelum ini memang berkecamuk... seperti istilah infotainment, tetapi sudah diganti dengan inforia,” katanya.

Wee berkata, kerajaan juga sedang menimbang untuk meminda Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 yang akan memberi kuasa penguatkuasaan kepada badan itu dalam memartabatkan penggunaan bahasa Melayu serta menangani masalah bahasa rojak.

Katanya, pindaan itu sudah disyorkan tetapi belum dimuktamadkan Kabinet. Beliau juga berkata, ada desakan supaya tindakan diambil terhadap pihak yang tidak menggunakan bahasa Melayu dengan baik tetapi kerajaan berpendapat adalah lebih elok mereka ini dibimbing terutama yang membabitkan pemegang kepentingan dalam institusi kewangan dan bank.

Ketika menjawab soalan tambahan Saifuddin Nasution Ismail (PKR-Machang) mengenai penggunaan bahasa rojak oleh pengulas sukan, Wee berkata, perkataan digunakan seperti 'drop shot' adalah jargon atau istilah yang biasa digunakan dan sudah diterima serta difahami pendengar serta peminat sukan.

Sebelum itu ketika menjawab soalan asal Ismail, beliau berkata, kerajaan sentiasa mengambil langkah menggalakkan penggunaan bahasa Melayu dengan baik dan betul melalui perundangan sedia ada dan menerbitkan buku pedoman dan panduan bahasa, memberikan kursus penataran bahasa, melakukan pemantauan serta teguran.

Katanya, kerajaan berharap dapat memberikan pendidikan secukupnya agar rakyat dapat menggunakan bahasa Melayu yang baik dan betul dalam semua urusan harian.

“Secara tidak langsung, langkah ini akan dapat mengawal penyalahgunaan bahasa Melayu seperti penggunaan bahasa rojak oleh penyampai radio, iklan di radio atau televisyen atau papan tanda,” katanya.

Katanya, peruntukan mengenai penggunaan bahasa ada dalam undang-undang serta pelbagai peraturan khusus dalam bidang dan sektor, selain Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 iaitu undang-undang induk.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Rabu, 24 November 2010

ISU BAHASA : Sikap tidak peduli akan Bahasa Kebangsaan kian ketara

Oleh ROHANI IBRAHIM

DALAM mendaulatkan Bahasa Kebangsaan, semua pihak tidak kira pemimpin masyarakat, ahli korporat, para peniaga, pihak media, ahli sukan, orang ramai dan golongan pelajar perlu memainkan peranan proaktif demi merealisasikan matlamat berkenaan.

Namun, kebelakangan ini sikap tidak mempedulikan penggunaan Bahasa Kebangsaan dilihat semakin ketara dan ini dikhuatiri akan menjejaskan usaha mendaulatkan bahasa tersebut.

Bekas Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Hussein Ahmad yang ditemui di ibu pejabat Utusan Melayu di Kuala Lumpur semalam melahirkan rasa kesal dengan kurangnya inisiatif untuk memartabatkan bahasa Melayu oleh pelbagai golongan sejak akhir-akhir ini.

Bagi beliau, ini menggambarkan sikap pandang ringan dan tidak endah golongan terbabit terhadap Bahasa Kebangsaan.

''Stesen televisyen Radio Televisyen Malaysia (RTM) selaku penyiar nasional juga perlu memastikan hanya visual dan audio pemimpin masyarakat yang menggunakan bahasa Melayu sahaja disiarkan dalam saluran mereka.

''Jika individu yang ditemu ramah tidak boleh langsung berbahasa Melayu maka perlulah disiarkan sarikata atau terjemahan dalam bahasa Melayu sahaja. Ini tidak, visual kenyataan menteri-menteri dalam bahasa Inggeris sering disiarkan dalam saluran nasional," katanya sambil menambah langkah ini menyukarkan usaha mendaulatkan bahasa Melayu.

Hussein berkata, beliau turut kesal apabila ada warga Malaysia bukan Melayu berusia lebih 60 tahun yang mendakwa mereka tidak boleh berbahasa Melayu.

''Macam mana jadi warganegara kalau cakap Bahasa Kebangsaan pun tidak tahu. Begitu juga dengan murid-murid yang mendapat 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini. Apabila berikan reaksi kepada pihak media cakap bahasa Inggeris. Mereka mampu dapat 5A, cakap bahasa Melayu sajalah," jelasnya.

Hussein turut mempersoalkan kurangnya penggunaan bahasa Melayu di kalangan atlet Malaysia yang ditemu ramah pihak media di Sukan Asia yang sedang berlangsung di Guangzhou, China pada masa ini.

''Tidak bolehkah atlet-atlet berkenaan cakap Bahasa Kebangsaan? Orang Malaysia mestilah gunakan Bahasa Kebangsaan kerana ia merupakan bahasa perpaduan.

''Ratu Squasy Negara, Datuk Nicol Ann David tidak pernah langsung bercakap dalam bahasa Melayu. Bila ditemu bual media biarlah bunyi Melayu sedikit supaya semua boleh rasa lebih bangga," jelasnya.

Tambah beliau, penggunaan Bahasa Kebangsaan perlu diterapkan dalam semua sudut tidak kiralah majlis rasmi dan tidak rasmi, temu bual bersama pihak media dan urusan surat-menyurat.

''Namun apa yang menyedihkan ialah saya sendiri pernah menerima surat dari agensi kerajaan dalam bahasa Inggeris," katanya.

Sementara itu, bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr. Firdaus Abdullah yang turut ditemui bersama Hussein berkata, beliau sedih dengan sikap orang ramai yang jelas meminggirkan dan mengabaikan Bahasa Kebangsaan.

''Sebagai contoh di kawasan Bangsar terdapat premis yang dinamakan Bangsar Shopping Complex, Bangsar Village Satu dan Dua, pusat membeli-belah Midvalley dengan bahagian yang dinamakan Gardens. Kini terdapat kawasan pembangunan baru dengan nama Bangsar South tidak jauh dari kawasan kediaman yang dinamakan Pantai Hillpark.

''Semua kawasan kediaman dan pusat membeli-belah ini mengabaikan Bahasa Kebangsaan. Saya juga hairan bagaimana pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh meluluskan pembangunan yang menggunakan nama-nama seperti itu. Ini tidak langsung menghargai bahasa Melayu," jelasnya.

Firdaus menambah, kalau hendak menamakan sesebuah projek dalam Bahasa Inggeris sekalipun perlulah ada imbangan dengan bahasa Melayu.

''Adakah mereka yang bertanggungjawab sengaja khianat atau ada perkara lain yang berlaku? Semua ini perlu diselidik. Sebagai orang lama saya turut sedih dengan sikap biadap dalam penggunaan Bahasa Kebangsaan.

''Ada orang muda yang memanggil orang lebih tua darinya dengan panggilan kamu. Ini adalah kegagalan pengajaran, penyebaran dan pemasyarakatan Bahasa Kebangsaan. Kamu merupakan panggilan yang patut digunakan oleh seorang yang lebih tua kepada mereka yang lebih muda," katanya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Selasa, 23 November 2010

'Perlu tegas pertahan bahasa Melayu'

Oleh Azrul Affandi Sobry

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta lebih tegas dalam memastikan Bahasa Melayu digunakan secara meluas dan tidak dicemari secara sewenang-wenangnya dengan memberi kuasa kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Dewan Bahasa Pustaka (DBP) melaksanakan akta khusus melalui penubuhan Jawatankuasa Kabinet Pelaksanaan Bahasa Melayu.

Ia dilihat sebagai satu elemen penting dalam memartabatkan bahasa kebangsaan itu, sekali gus meningkatkan jati diri rakyat Malaysia ke arah merealisasikan gagasan 1Malaysia melalui bahasa dan budaya.

Cadangan itu adalah rumusan daripada Forum Jati Diri kali keempat anjuran bersama Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), Persatuan Sarjana Komunikasi dan Media Malaysia (PERSKOM) serta Jabatan Penerangan di Dewan Bestari, Jabatan Penerangan, di sini semalam.

Forum itu menampilkan dua tokoh bahasa iaitu bekas Ketua Pengarah DBP, Datuk Aziz Deraman serta pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Lim Swee Tin.

Forum yang dipengerusikan Pengerusi Gapena, Datuk Dr Abdul Latif Abu Bakar, turut memfokuskan dua isu lain ke arah menjadikan bahasa sebagai agen penting 1Malaysia.

Aziz berkata, Kementerian Pelajaran wajar melihat secara mendalam kepentingan memperkenalkan subjek Kesusasteraan Melayu di peringkat sekolah rendah.

Katanya, langkah itu bukan sekadar untuk memenuhi keperluan akademik semata-mata, tetapi lebih kepada diskusi mengenai maksud tersirat dalam peradaban budaya Melayu.

Sebenarnya orang Melayu begitu kaya dengan peribahasa dan pelbagai lagi aspek budaya lain. Sebagai contoh, pantun kita cukup dikagumi masyarakat luar, tetapi kita sendiri mengabaikannya, katanya.

Pendapatnya dipersetujui Swee Tin yang melihat kurangnya pendedahan kepada budaya dan bahasa Melayu pada peringkat sekolah melahirkan masyarakat Malaysia yang semakin hilang nilai jati diri, selain semakin tipis rasa hormat dengan orang sekeliling.

Gelombang kemajuan dan perubahan teknologi begitu pantas. Anak kita boleh berbicara pelbagai topik dengan rakan di Tokyo dan pada masa sama boleh bersahabat dengan orang di Moscow serta Australia tetapi tidak kenal jiran sebelah rumah.

Dalam konteks 1Malaysia, kita perlu menjadikan budaya Melayu sebagai tonggak untuk semua kaum. Mereka bebas mengamalkan budaya sendiri tetapi perlu diberi penekanan terhadap bahasa dan budaya Melayu supaya semua kaum di negara ini lebih mudah disatukan, katanya.

Forum itu turut bersetuju supaya kerajaan memperkenal Anugerah Khas 1Malaysia bagi mengangkat individu yang mampu dijadikan model konsep sebenar gagasan itu untuk rujukan semua kaum di negara ini.

Hadir sama pada forum itu ialah Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid dan Pengarang Eksekutif Rencana, Zainor Said.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/