Selasa, 18 Januari 2011

ISU BAHASA : Bahasa Melayu bukan penghalang kemajuan

Oleh Teo Kok Siong

Rakyat perlu yakin bahasa kebangsaan mampu sampaikan ilmu


SESI persekolahan 2011 bagi semua pelajar Tahun Satu menandakan berakhirnya Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Mulai tahun ini, yakni setahun lebih awal daripada 2012 yang diumumkan, semua pelajar Tahun Satu akan mempelajari dua mata pelajaran ini dalam bahasa Melayu di sekolah kebangsaan. Di sekolah vernakular, Sains dan Matematik akan diajar kepada pelajar Tahun Satu dalam bahasa etnik masing-masing, iaitu bahasa Mandarin atau Tamil.

Kebalikan ini berlaku selepas PPSMI berlangsung selama tujuh tahun sejak pertama kali diperkenal pada 2003. Walau bagaimanapun, pemansuhan PPSMI yang diumumkan pada Julai 2009, tidak disambut baik sesetengah pihak, khususnya golongan elit yang tidak yakin kemampuan bahasa Melayu untuk memajukan bangsa dan negara Malaysia.

Golongan ini mahu diberi pilihan untuk anak mereka supaya dapat terus mempelajari Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Mereka mahu keistimewaan ini diberikan dan membandingkan penggunaan bahasa Inggeris di beberapa sekolah yang akan dipilih khas, dengan sekolah vernakular yang diberi kebenaran untuk mengendalikan dua mata pelajaran itu dalam bahasa etnik masing-masing.

Penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil dalam konteks ini, hendaklah dilihat sebagai bahasa ibunda kepada sektor bukan Melayu dalam kependudukan Malaysia. Sehubungan ini, sesetengah pihak mempercayai penggunaan bahasa ibunda adalah kaedah terbaik untuk tujuan pendidikan, khususnya pada peringkat awal. Ini antaranya kerana pelajar didapati lebih mudah mengikuti pelajaran dalam bahasa yang mereka ketahui, lebih-lebih lagi yang dituturkan sebagai bahasa ibunda, apabila menjejak kaki ke sekolah. Dalil penggunaan bahasa ibunda ini ikut digunakan oleh orang Melayu yang mahu dua mata pelajaran ini diajar semula dalam bahasa Melayu.

Alasan ini ada rasionalnya walaupun tidak selalunya benar. Ini dapat dilihat pada pelajar bukan Melayu yang belajar di sekolah kebangsaan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama. Sebilangan mereka didapati berjaya mengikuti pelajaran yang disampaikan dalam bahasa Melayu dengan baik sekali. Ramai juga yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang, sedangkan bahasa Melayu bukan pun bahasa ibunda mereka. Tambahan pula, sesetengah mereka ini tidak pernah pun didedahkan kepada bahasa Melayu ketika zaman prasekolah.

Begitu juga halnya dengan pelajar Melayu dan pelajar lain di sekolah vernakular Cina. Sesetengah mereka mampu meraihkan kejayaan luar biasa, sehingga berjaya mengatasi prestasi pelajar Cina yang bertutur dalam bahasa Mandarin, sesetengahnya sejak dari kecil lagi sebagai bahasa ibunda. Dalam kes ini, bahasa Mandarin bukan pun bahasa ibunda pelajar bukan Cina ini, dan rata-ratanya tidak pernah mempelajarinya secara formal sebelum memasuki sekolah.

Sebagai bahasa negara yakni bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, bahasa Melayu adalah bahasa semua rakyat Malaysia. Ia mewakili seluruh negara dan setiap seorang rakyat Malaysia, sama ada yang Melayu mahupun bukan Melayu. Dalam konteks ini, bahasa Melayu adalah simbol negara. Statusnya sebagai bahasa pribumi menambahkan lagi kepentingan peranannya untuk menyatupadukan rakyat Malaysia yang berasal daripada pelbagai kaum.

Berdasarkan hal ini saja, bahasa Melayu bukan saja bahasa yang sah, tetapi adalah pilihan yang tepat lagi bijak untuk dijadikan bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara. Sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu adalah bahasa yang dapat membangkitkan selain memupuk semangat kebangsaan.

Sebagai bahasa yang boleh membawa kejayaan pragmatik kepada rakyat Malaysia, bahasa Melayu mempunyai modal linguistik yang bukan saja mencukupi, malah agam sekali. Ia memiliki korpus yang efisien sekali. Antaranya, sistem ejaan yang kemas, dua sistem tulisan Rumi dan Jawi yang mantap, kosa kata yang senantiasa berkembang, bilangan lebih daripada sejuta istilah ilmiah dan nahu yang dibakukan.

Tetapi malangnya, bahasa Melayu tidak pernah diyakini sepenuhnya oleh rakyatnya sendiri, sejak dinobatkan sebagai bahasa negara pada 1957. Untuk sekian lama, ia dibelenggu pelbagai persoalan kemasyarakatan yang semuanya ditimbulkan rakyat Malaysia sendiri, sering kali pula oleh orang Melayu sebagai penutur natifnya. Pelbagai komen yang memperlihat sikap negatif daripada orang Melayu sendiri terhadap kemampuan bahasa Melayu, bukan saja amat dikesali tetapi yang lebih mudarat lagi adalah ia boleh memberi implikasi tidak baik kepada orang bukan Melayu untuk terus menghormati bahasa Melayu, apatah lagi menyanjunginya!

Sudah tiba masanya dengan pemansuhan PPSMI pada 2011 ini, rakyat Malaysia menganugerahkan penghormatan linguistik tertinggi yang dapat kita semua kurniakan kepada bahasa Melayu, di tanah watannya sendiri. Kita perlu berhenti daripada selalu menyalahkan bahasa keramat ini yang dicipta Tuhan untuk memajukan, selain menyatupadukan kita semua di tanah yang kita cintai ini.

Sesungguhnya bahasa Melayu tidak pernah menjadi penghalang kepada kemajuan rakyat Malaysia. Dalam konteks ini, bahasa Melayu bukan penyebab utama kepada penguasaan bahasa Inggeris yang lemah dalam kalangan rakyat, faktor penghalang kepada kemajuan rakyat pada era globalisasi ini yang mementingkan bahasa Inggeris, dan faktor penentang kepada hak linguistik rakyat Malaysia untuk mendidik anak bangsa dalam bahasa Inggeris.

Mari kita semua memperlihat keyakinan penuh kepada bahasa Melayu untuk mendidik anak bangsa Malaysia serta generasi mendatang, sama ada untuk memahami asas sains dan juga lunas ilmu lain. Sebenarnya tidak ada sebarang cacat cela pun pada bahasa Melayu yang tidak membolehkannya digunakan dalam menyampaikan ilmu pengetahuan.

Ia adalah sistem linguistik yang sempurna, seperti yang ada pada bahasa besar lain di dunia. Dalam konteks ini, bahasa Melayu mampu menyampaikan ilmu pengetahuan moden, dengan berkesan sekali, seperti yang diperlihatkan oleh bahasa Inggeris dan lain-lain.

Penulis adalah Timbalan Pengarah, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Budaya membaca bina keutuhan daya berfikir

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

ISLAM meletakkan ilmu pada kedudukan tertinggi. Seruan Allah menerusi ayat al-Quran yang pertama diturunkan menyuruh membaca sudah cukup menggambarkan pentingnya umat Islam supaya menuntut ilmu.

Surah al-Alaq yang mana Nabi SAW disuruh membaca memperjelaskan budaya membaca seharusnya mewarnai kehidupan umat Islam yang sentiasa dahagakan ilmu pengetahuan. Malangnya, proses pembelajaran sepatutnya menjadi aktiviti sepanjang hayat tidak dibudayakan.

Kita kini hanya bersemangat belajar dan mengkaji semata-mata untuk lulus peperiksaan sekolah dan pusat pengajian tinggi saja. Itupun hanya berlegar kepada buku berkait rapat dengan pengkhususan diambil.

Budaya menjadikan membaca sebagai rutin hidup gagal dilaksanakan lantaran dihambat unsur lain lebih menarik perhatian.

Imam al-Ghazali pernah mewasiatkan mengenai memperkasakan budaya mencari ilmu pengetahuan: “Mencintai ilmu dan mengamalkan ilmu adalah tanda kecerdasan dan disukai Allah. Barang siapa yang keluar dari rumahnya dengan niat untuk mencari ilmu, nescaya dilindungi Allah sehingga ia kembali.”

Imam asy-Syafie mengatakan bahawa menuntut ilmu itu perbuatan yang lebih baik daripada mengerjakan solat sunat manakala Imam al-Qurthubi menganggap proses menuntut ilmu suatu keutamaan besar dan berada pada tingkatan mulia tidak dapat dibandingkan dengan perbuatan lain.

Begitulah pendapat ulama silam yang peka terhadap budaya ilmu dan dibuktikan bukan hanya melalui ucapan pendapat saja, sebaliknya mereka menunjukkan teladan hebat dalam membudayakan kecintaan terhadap ilmu.

Syeikh al-Janadi al-Saksaki menceritakan riwayat hidup Abu al-Khair bin Manshur al-Syammakhi al-Sa’di dalam kitab al-Suluk fi Tabaqat al-Ulama’ wa al-Muluk, mengatakan: “Sehingga menjelang akhir hayatnya, aku masih belum lagi menemui orang yang sama dengan hebatnya dari segi ilmu dan mencatat maklumat.

Apabila melihat bukunya, ia sungguh bagus dan segala catatan sesuatu ilmu sangat kemas.”

Dikatakan Abu al-Khair bukan saja suka membaca dan mencatat ilmu, tetapi aktif serta produktif menghasilkan buku.

Ibnu al-Juham mengatakan, “Apabila aku mengantuk sedangkan belum tiba waktu tidur, maka aku terus mengambil buku dan membacanya. Saat membaca, aku merasakan hatiku bergoncang dan seronok kerana mendapatkan apa yang kucari.
Semangat ketika membaca, adalah semangat yang boleh membangunkan tidurku.”

Demikian personaliti hebat insan yang begitu cinta kepada ilmu dan sentiasa membudayakan amalan membaca. Mampukah kita meneladani perwatakan seumpama itu dengan menganggap membaca dan mencari ilmu sebagai suatu amalan menyeronokkan?

Kalaupun ada minat membaca, bahan bacaan itu lebih tertumpu kepada majalah hiburan atau novel cinta yang rata-rata tidak langsung merangsang minda untuk berfikir secara efektif.

Walaupun itu juga budaya membaca, namun gaya seperti itu tidak menjurus kepada cara mempertingkat daya ilmu yang bermanfaat. Ia sekadar hiburan untuk melepaskan tekanan saja.

Kita umat Islam seharusnya membudayakan diri membaca bahan bermutu dalam pelbagai cabang ilmu. Kata al-Hafiz Abu Tahir yang juga seorang pencinta ilmu, “Buku lebih berharga daripada emas, walaupun emas itu seberat buku ini.”

Sesetengah kita mungkin menganggap membaca buku membosankan. Ini bermakna kita sudah jauh daripada budaya ilmu dan tidak akan mampu membina keutuhan daya fikir yang hebat.

Jadi, untuk membina satu tamadun ummah yang tinggi dengan kehidupan sempurna, kita perlu mengubah tabiat lama yang tidak suka membaca kepada mencintainya. Didiklah diri dan ahli keluarga mewarnai kehidupan seharian dengan amalan mulia ini.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Isnin, 17 Januari 2011

ISU PENARIKAN BALIK NOVEL SPM : Saya tulis Interlok demi penyatuan bangsa - Abdullah


“BACA secara keseluruhan, baca kesemuanya, baca sampai habis,” demikian pesan berulang-ulang kali Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain, 91, kepada penulis sepanjang perbualan berhubung kontroversi yang menyelubungi novelnya Interlok di Petaling Jaya baru-baru ini.

Bagi Abdullah, polemik yang tidak berkesudahan mengenai novel Interlok yang dihasilkannya 40 tahun lalu berpunca daripada sikap prejudis segelintir pihak yang tidak cuba memahami intipati sebenar karya itu.

Menurut Abdullah, menerusi Interlok beliau hanya menggambarkan bagaimana wujudnya penyatuan di kalangan penduduk peribumi Tanah Melayu iaitu orang Melayu dengan masyarakat Cina dan India yang dibawa masuk oleh Inggeris sebagai pekerja buruh di lombong bijih timah dan ladang getah.

“Tak rasis, saya cerita tentang penyatuan orang Melayu, Cina dan India.

“Hubungan mereka dan penyatuan pada ketika itu yang membawa kepada wujudnya sebuah negara,” katanya penuh bersemangat berkongsi mengenai niatnya yang disalahertikan.

Secara keseluruhannya menerusi Interlok, Abdullah secara halus memaparkan titik tolak bermulanya hubungan antara kaum di Tanah Melayu iaitu sekitar tahun 1910 sehingga 1940-an.

Sasterawan Negera kelapan itu juga berjaya memecahkan tembok pemisah antara ketiga-tiga kaum ini yang dirancang Inggeris menerusi dasar pecah dan perintah sama ada dari segi hubungan sosial mahupun ekonomi.

Namun setelah puluhan tahun novel berkenaan dihasilkan, ia kini secara tiba-tiba menjadi isu hangat bukan sahaja di kalangan peminat karya sastera, malah menembusi pelbagai lapisan dan golongan masyarakat.

Kontroversi mengenainya tercetus apabila wujudnya desakan pihak tertentu yang cuba menafikan sejarah, mahukan novel itu diharamkan daripada dijadikan teks untuk komponen sastera (Komsas) dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

Malah kira-kira 100 orang kaum India bertindak melampau membakar novel itu dan salinan gambar Abdullah di hadapan Dewan Sentosa, Majlis Perbandaran Klang (MPK) Selangor kerana mendakwa Interlok mengandungi unsur rasis yang menghina kaum itu.

Abdullah Hussain

Rupa bangsa

Sungguhpun berada dalam keuzuran, Abdullah yang kini bergerak menggunakan kerusi roda tetap tegas mempertahankan niat murninya iaitu mengangkat sumbangan ketiga-tiga kaum tersebut.

Jelasnya semangat muhibah masyarakat Melayu, Cina dan India pada ketika itu menjadi penyumbang kepada pembentukan ‘rupa bangsa’ Malaysia pada ketika ini.

“Kalau sudah baca sampai habis, pasti nampak maksud sebenar. Saya gambarkan orang Melayu, Cina dan India ada peranan masing-masing.

“Sebenarnya tiga bangsa yang bersatu inilah yang membentuk rupa kebangsaan kita... bangsa Malaysia,” ujarnya yang masih petah berbicara sungguhpun mengalami masalah pendengaran.

Terang Abdullah lagi, beliau faham mengapa masyarakat India begitu marah mengenai karya sastera berkenaan.

Namun jelasnya perkataan ‘paria’ yang terdapat dalam novel tersebut bukan bertujuan menghina atau memperkecilkan kaum India.

“Kena faham betul-betul, ‘paria’ memang ada di India, tapi di Malaysia tak ada... itu bezanya antara di India dan Malaysia.

“Lagipun perkataan itu wujud dalam kamus, tapi orang India di sini mula lupakan mengenai pegangan sistem kasta seperti ‘paria’,” jelasnya.

Legasi perjuangan sosial

Bagi Abdullah, sebagai seorang penulis, beliau mempunyai tanggungjawab yang cukup besar dalam membentuk pemikiran masyarakat menerusi nukilan karya-karyanya.

Justeru, novel Interlok yang diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka itu merupakan salah satu sumbangannya dari perspektif pembangunan sosial masyarakat.

Menurut Abdullah sekiranya novel berkenaan tetap diangkat menjadi bahan Komsas pelajar sekolah, legasi perjuangannya akan diteruskan oleh golongan pendidik hari ini.

“Guru boleh mainkan peranan mereka, boleh terangkan kepada pelajar mengenai penyatuan orang Melayu, Cina dan India.

“Soal hubungan penyatuan ini mesti selalu diingatkan supaya kita boleh terus hidup dengan baik,” pesannya.

Bagaimanapun seakan sudah pasrah dengan apa yang berlaku, Abdullah menyerahkan nasib karyanya itu kepada Kabinet untuk membuat kata putus.

“Biarlah Kabinet yang tentukan, tunggu apa keputusan mereka,” katanya ringkas.

Ditanya mengenai perasaannya tatkala karyanya kini menjadi mangsa prasangka, beliau termenung sejenak.

Walaupun tanpa linangan air mata, namun dari mata dan raut wajahnya tersembunyi perasaan sedih dan remuk lebih-lebih lagi dituduh sebagai seorang rasis.

“Saya sedih, saya kecewa sebab orang tak faham (intipati) Interlok.

“Orang salah faham maksud saya, saya tak hina orang India... bacalah Interlok sampai habis, baca betul-betul,” katanya mengakhiri perbualan sambil mengalihkan kerusi rodanya masuk ke dalam bilik.

Karya ilmiah

Siti Soraya Basri

Sepanjang perbualan penulis bersama Abdullah, beliau sentiasa ditemani isterinya, Datin Siti Soraya Basri, 65.

Menurut Siti Soraya, beberapa tahun dahulu Abdullah pernah memberitahunya bahawa sejak dari awal beliau berharap novel Interlok dijadikan bahan rujukan ilmiah.

Katanya, Abdullah menghasilkan novel berkenaan dengan harapan ia dapat dijadikan rujukan untuk pembangunan sosial masyarakat.

“Beliau beritahu saya bahawa Interlok ditulis dengan penuh berhati-hati serta kesungguhan kerana sejak dari awal beliau mahu novel itu dijadikan rujukan masyarakat hari ini dan akan datang.

“Jadi apabila pihak Kementerian Pelajaran putuskan bahawa Interlok akan dijadikan buku teks sekolah, suami saya sangat bersyukur kerana niat yang dipendamnya selama ini menjadi kenyataan,” katanya yang masih aktif menyertai pertubuhan bukan kerajaan.

Menurut Exco Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia itu, beliau bersyukur kerana suaminya diberikan ketabahan oleh Allah untuk mengharungi situasi ini.

Bangga

Jauh di sudut hati, penulis begitu bangga dan kagum dengan semangat Abdullah berdasarkan keadaan kesihatannya ketika ini kerana walaupun hanya boleh membaca soalan-soalan yang ditulis kepadanya, Abdullah tetap bersemangat memberi penjelasan mengenai karyanya itu.

Jika dihayati novel Interlok dengan berlapang dada dan rasional, jelas sekali ia sebenarnya sarat dengan mesej hubungan sosial yang tinggi terutamanya bagi mengingatkan masyarakat hari ini mengenai asas hubungan antara kaum di Malaysia.

Asas kehidupan bertolak ansur dan tolong menolong inilah yang menjadi ramuan penting terhadap keharmonian antara semua masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

Sabtu, 15 Januari 2011

ISU BAHASA : Kejayaan melalui perpaduan bahasa

Oleh ZIN MAHMUD

Perbezaan antara Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia adalah antara lainnya kecenderungan penggunaan perkataan yang asal-usulnya berbeza. Bahasa Indonesia cenderung menggunakan perkataan yang asalnya daripada bahasa Sanskrit. Sementara Bahasa Malaysia dari bahasa Arab.

Umpamanya, ideologi negara Indonesia dinamakan Pancasila, perkataan asal daripada bahasa Sanskrit. Di Malaysia dinamakan Rukun Negara. Rukun asalnya daripada perkataan bahasa Arab.

Kedua-dua Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia adalah bahasa Melayu. Cumanya bahasa Melayu di Indonesia dipengaruhi kuat oleh bahasa Sanskrit kerana kedudukan tamadun Jawa yang dipengaruhi Hindu-Buddha berasaskan bahasa Sanskrit amat kuat.

Sementara bahasa Melayu di Malaysia berpaksikan Kesultanan Melayu di Melaka telah dipengaruhi oleh Islam hingga bahasa Arab menggantikan bahasa Sanskrit sebagai bahasa ilmu.

Itu asasnya. Apabila penjajah Inggeris dan Belanda membahagikan wilayah Melayu menjadi dua iaitu Indonesia dan Malaysia, maka bahasa di kedua-dua negara juga berkembang secara berpisah. Maka banyaklah perkataan Inggeris masuk ke dalam Bahasa Malaysia, dan istilah Belanda masuk ke Bahasa Indonesia.

Maka istilah kantor, kamar dan koran yang asalnya Belanda menjadi perkataan dalam Bahasa Indonesia. Sedangkan di Malaysia, ia menggunakan istilah pejabat, bilik dan akhbar.

Katakanlah dulu proses Islamisasi tidak berlaku di Indonesia, maka bahasa Melayu antara kedua-dua negara akan menjauh. Bahasa Indonesia akan penuh dengan perkataan Sanskrit dan Bahasa Malaysia penuh dengan bahasa Arab.

Maka Bahasa Indonesia dan Bahasa Malaysia jadi seperti Hindi dan Urdu. Ia asalnya merupakan satu bahasa. Jadi apabila kerajaan Moghul memerintah India, maka banyaklah istilah Parsi yang masuk ke bahasa itu. Muncullah bahasa Urdu.

Kini bahasa rasmi Pakistan ialah Urdu, yang penuh dengan istilah Parsi. Sementara Hindi menjadi bahasa rasmi India, penuh dengan perkataan Sanskrit.

Selama ini penutur Urdu dan Hindi boleh memahami satu sama lain tetapi akhirnya akan berpisah jauh dan satu hari mungkin tidak akan lagi memahami di antara satu sama lain. Lebih-lebih lagi tulisan kedua-duanya berbeza. Urdu menggunakan tulisan jawi Parsi sementara Hindi menggunakan tulisan Devanagari.

Begitu juga dengan Bahasa Indonesia dan Bahasa Malaysia akan berpisah jauh kerana perbezaan istilah yang akhirnya membuat penuturnya tidak memahami di antara satu sama lain.

Lebih-lebih lagi jika bahasa Belanda mempengaruhi kuat ke atas Bahasa Indonesia dan bahasa Inggeris ke atas Bahasa Malaysia. Tambahan pula dengan perbezaan tulisan. Ketika Indonesia mencapai kemerdekaan pada tahun 1945, tulisan Bahasa Indonesia adalah rumi sedangkan bahasa Melayu di Malaya menggunakan tulisan Jawi.

Hanya setelah negara ini mencapai kemerdekaan barulah usaha dibuat supaya bahasa Melayu menggunakan tulisan rumi. Tetapi ejaan rumi Melayu di Malaya berbeza dengan Bahasa Indonesia.

Secara rasminya bahasa Melayu di Hindi Belanda menjadi Bahasa Indonesia ialah pada tahun 28 Oktober 1928 melalui Sumpah Pemuda.

Berpisah

Sementara bahasa Melayu di Malaya menjadi Bahasa Malaysia pada 16 September 1963. Dengan ejaan berbeza, ia semakin berpisah jauh. Maka apa yang disebut sebagai bahasa Melayu adalah bahasa Melayu di Thailand dan Brunei yang menggunakan tulisan jawi.

Oleh kerana Singapura pada mulanya negeri dalam Malaysia, maka ia juga menggunakan Bahasa Malaysia. Hanya apabila ia berpisah daripada Malaysia pada tahun 1965, bahasa di sana dikenali semula sebagai bahasa Melayu. Tetapi tulisannya menggunakan kaedah rumi Bahasa Malaysia.

Selepas Konfrontasi dan semasa pemerintahan Presiden Suharto dan Perdana Menteri Tun Razak, terdapat perasaan jelas bahawa kedua-dua bahasa, Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia tidak wajar dibiarkan hanyut semakin berpisah jauh.

Maka pada 16 Ogos 1972, ejaan kedua bahasa diseragamkan. Komitmen penyeragaman ejaan ini menunjukkan bahawa kedua bahasa mahu disatukan. Maka ejaan rumi diseragamkan ini turut diikut serta oleh bahasa Melayu di Thailand, Singapura dan Brunei yang melihat Kuala Lumpur sebagai paksi bahasanya.

Kepentingan bahasa Belanda yang semakin berkurangan di Indonesia dan digantikan dengan bahasa Inggeris menyebabkan Bahasa Indonesia mengikut jejak Bahasa Malaysia dalam mengambil istilah-istilah yang asalnya dari bahasa Inggeris. Dominasi Amerika Syarikat ke atas Indonesia dan kemunculan teknologi maklumat akhirnya akan merapatkan lagi bahasa Malaysia dan Indonesia.

Bahasa Malaysia juga banyak mengambil istilah Bahasa Indonesia yang asal-usulnya dari Sanskrit seperti wisma, siswa dan pustaka. Nama tempat di Malaysia juga ada yang asalnya Sanskrit seperti Titiwangsa, Mahameru, Suria dan Damansara. Istilah Sanskrit dan Arab amat dekat dengan lidah bahasa Melayu.

Bahasa Malaysia juga tidak keberatan mengambil perkataan Indonesia yang asalnya dari Belanda seperti organisasi dan prestasi.

Masa depan cerah bagi Bahasa Malaysia terletak pada penyatuan semua bahasa Melayu. Baik dengan Bahasa Indonesia mahupun dengan bahasa Melayu di Thailand, Singapura dan Brunei.

Seperti kata cogan jata kedua negara: Bersekutu Bertambah Mutu dan Bhineka Tunggal Ika, dalam bahasa Sanskrit bermaksud Perpaduan dalam Kepelbagaian.

Sememangnya terdapat banyak perbezaan di antara kedua bahasa. Tetapi dengan sentiasa mencari jalan supaya kedua bahasa semakin mendekat, maka itulah masa depan bahasa kita.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENARIKAN BALIK NOVEL SPM : Mengunci novel Interlok

Oleh : Mior Kamarul Shahid

Pemahaman persoalan sosiologi, psikologi bantu pembaca fiksyen sejarah

SIAPAKAH yang sudah membaca keseluruhan buku Interlok karya agung Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain yang dijadikan buku teks komponen sastera dalam pengajaran Bahasa Melayu untuk Tingkatan Lima? Kandungan buku ini menjadi panas selepas buku Shit, tulisan Shahnon Ahmad yang pernah menjadi medan perdebatan. Barangkali, berikutan bahang perdebatan mengenai kandungan buku ini, ramai yang mula mencari, membeli dan membacanya.

Kandungan buku itu kini dalam penilaian sebuah jawatankuasa yang akan menentukan sama ada buku itu akan ditarik balik atau menggunakan pendekatan kompromi dengan menyunting atau mengubahsuaikan bahagian tertentu yang kononnya dianggap sensitif. Hari ini, banyak perkara, kata-kata atau perbuatan dianggap begitu sensitif dalam konteks masyarakat pelbagai kaum.

Berlaku perbalahan pendapat mengenai kandungan buku ini. Ada mengatakan buku itu sebagai sempurna dan tidak setuju sebarang perubahan dilakukan ke atas kandungannya hanya disebabkan sekelumit perkataan yang dianggap menghina.

Ada pula berpendapat kandungan buku ini tidak sesuai untuk masyarakat Malaysia disebabkan ada dua tiga perkataan dan kepercayaan yang kononnya menyinggung perasaan kaum tertentu. Ia sebenarnya terlalu umum untuk diperincikan kerana lain orang, lain penilaiannya. Ia boleh selesai jika isu ini tidak dilihat daripada konteks perbalahan etnik.

Biasanya, sesebuah novel ditulis berpandukan kepada latar belakang dan persekitaran sesuatu peristiwa. Disebabkan buku itu ditulis bagi memaparkan persekitaran 1900 sehingga Tanah Melayu merdeka daripada Britain pada 1957, ia tidak boleh lari daripada memaparkan suasana dan persekitaran ketika itu.

Interlok menceritakan mengenai tiga keturunan generasi awal: ibu bapa Halimah (Mak Limah), ibu bapa Pak Musa, Kim Lock dan Perumal. Generasi kedua, Mak Limah, Pak Musa, Cing Huat, Maniam dan Malini. Generasi ketiga; Seman, Gayah, Yew Seng, Poh Eng dan Inspektor Ramakrisna. Watak ini diolah untuk menggambarkan suasana dan realiti ketika itu. Interlok adalah buku mengenai zaman kebangkitan rakyat pelbagai kaum Malaysia. Mereka ini adalah watak yang dibentuk mewakili realiti kehidupan pada zaman itu.

Itulah sebabnya Interlok dianggap sebagai sebuah novel sejarah yang menceritakan keadaan sebenar ketika itu. Sekiranya kandungannya diubah, ia akan mencacatkan ‘ketulenan dan keharmonian novel itu. Novel itu ditulis dalam peraduan menulis novel 10 tahun kemerdekaan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 1967.

Perdebatan mengenai buku ini kian panas. Jika ada elemen kebaikannya sekali pun ia hanyalah kerana dapat menyemarakkan perbincangan dalam konteks kesusasteraan Melayu.

Kononnya, salahnya Interlok ialah kerana beberapa perkataan yang digunakan penulis sedangkan perkataan itu adalah realiti yang berlaku sejak dulu hingga hari ini. Disebabkan ia adalah novel fiksyen sejarah, Abdullah tidak boleh menyembunyikan fakta. Jika ada disebut Melayu bodoh, ia adalah hakikat ketika itu.

Tetapi, jika ada pihak mahu membakar buku itu kerana penulis menyatakan kebenaran, ia adalah tindakan emosional.

Sebenarnya penyebutan jenis kasta yang digunakan Abdullah adalah perkara biasa kerana sudah pun banyak buku ditulis mengenainya, malah ada yang menjadikannya sebagai tajuk buku dan novel. Disebabkan buku itu ditulis dalam bahasa Inggeris seperti Untouchable oleh Mulk Raj Anand, selain Coolies dan The Road.

Kehidupan kasta juga ditulis dalam buku Nectar In A Seive (Kamala Markandaya, 1955), Kanthapura (Raja Rao), He Who Rides a Tiger (Bhabani Bhattacharya, 1954) dan The Wound of Spring (S Menon Marathi, 1960) ia kurang sensitivitinya berbanding Interlok dalam bahasa Melayu.

Mengikuti dialog novel Interlok di Rumah PENA di Kuala Lumpur semalam, isu kasta dan kebodohan Melayu selain kepercayaan agama yang dibangkitkan, cuba dirungkai secara intelektual dan tidak emosional.

Bekas wartawan dan pensyarah, Dr Ilias Zaidi menganggap Interlok mempunyai rentetan sejarah yang jelas, khasnya melihat kepada apa yang berlaku dan dasar ‘pecah dan perintah’ kerajaan Inggeris ketika itu – Melayu jadi nelayan, Cina jadi pelombong bijih dan orang India bekerja estet dan buruh buat jalan.

Ia menggambarkan bagaimana ketiga-tiga bangsa itu mengharungi kehidupan pada zaman Jepun, menentang Malayan Union dan mengarak kemerdekaan. Tidak ada sebab untuk sensitif jika ia adalah satu realiti masyarakat Malaysia. Sebagai contoh, orang Melayu tidak boleh sensitif jika ada teguran mengatakan orang Melayu terlalu percaya kepada bomoh kerana ia adalah realiti sejak dulu hingga sekarang.

Tidak siapa boleh menafikan pertembungan antara generasi muda dan golongan tua atau golongan ortodok. Untuk tidak terlalu sensitif, membaca novel ini perlulah mempunyai pemahaman terhadap persoalan sosiologi, psikologi selain pemahaman sejarah, politik, hubungan kaum, semangat kebangsaan, kesedaran kebudayaan dan sistem pembelajaran.

Pensyarah dan novelis, Dr Fatimah Busu hairan Interlok menjadi novel kontroversi sedangkan fakta dalam buku itu sebenarnya adalah sampingan faktor sejarah yang boleh dijadikan idea kepada guru sewaktu mengajar.

Beliau tidak nampak alasan soal kasta dijadikan isu kerana ia adalah realiti kerana sudah banyak pun buku dan rencana ditulis mengenainya tanpa ada sebarang bantahan pun.

Jika tidak wujud kasta, siapakah yang boleh mempertikaikan perjuangan Mahatma Ghani untuk menghapuskan kasta di India. Perjuangan menghapuskan kasta adalah perjuangan yang besar kerana ia adalah perjuangan rakyat.

Masalah kasta dibukukan, didokumenkan, malah difilemkan. Siapa yang boleh menafikannya? Baginya, Interlok memenuhi lima ciri karya fiksyen yang utama – imaginasi, realiti, kreativiti, intelektualiti dan nilai estetik. Interlok bukan karya picisan.

Dr Fatimah menjelaskan penerapan unsur sejarah dengan kedatangan pekerja dan buruh dari China dan India pada kurun ke-20, sistem perladangan getah dan sawit milik Inggeris, sistem pembelajaran khasnya kepada orang Melayu dan meletusnya Peperangan Dunia Kedua dan pendudukan Jepun di Semenanjung Tanah Melayu.

Ini diikuti kemunculan fahaman komunis dan Force 136 di kalangan orang Cina yang pada awalnya mahu menentang tentera Jepun, pergerakan komunis di kalangan orang Cina, penubuhan Maktab Perguruan Sultan Idris Tanjung Malim, penubuhan Malayan Union dan kesedaran kebangsaan di kalangan anak negeri yang berjaya mencapai kemerdekaan.

Penulis SM Zakir membuat rumusan bahawa Interlok adalah sebuah sejarah yang difiksyenkan, melihat bagaimana perjalanan sejarah Malaysia, permulaan masyarakat pelbagai kaum terbina dan sekarang berada dalam sebuah negara.

Ia adalah satu proses perjalanan sehala masyarakat Malaysia. Baginya Interlok menceritakan proses tiga kaum utama di negara ini ‘dikunci’ bagi mewujudkan sebuah masyarakat Malaysia yang harmoni. Baginya Interlok adalah sebuah novel agung yang tidak boleh dilihat daripada kacamata perkauman.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

BUDAYA BETUL


Bacalah dengan betul

Sebutlah juga dengan betul

Tulis pastilah diwajibkan betul

Huruf dan ejaannya disemak betul-betul

Imarahkan budaya betul agar tidak penat diperbetul.


Makanlah makanan yang betul

Minumlahlah juga minuman yang betul

Pastikan logo halalnya yang disahkan betul

Lafazkan Bismillah berserta doa makan yang betul

Berhenti sebelum kenyang barulah adab makannya betul.


Apabila belajar mulakan niat yang betul

Mudah-mudahan pembelajaran jadi faham betul

Jika sesuai teknik yang digunakan tentu berkesan betul

Sehingga akhirnya dapat melahirkan insan yang bijak betul.


Sewaktu bergaul pilihlah kawan yang betul

Seberapa boleh dekati kawan yang bijak betul

Agar semua yang dlakukan dikatakan sentiasa betul

Tidaklah masa terbuang untuk membuat semula sehingga betul

Janganlah sampai badan dan hati jadi sakit kerana berasa penat betul.


Menulis atau berkarya gunakanlah bahasa yang betul

Perkataan yang dipilih perlu tepat dengan semua ejaannya betul

Kandungan teks dan rajah serta tanda baca perlu disemak betul-betul

Supaya buku yang terbit di pasaran memenuhi piawai dan dikagumi betul.


Menjelang persaraan buatlah perancangan yang betul

Perancangan yang rapi menjadikan kehidupan kita bahagia betul

Selain kewangan, kesihatan dan kerohanian pastikan di landasan yang betul

Insya-Allah kehidupan kita berbarakah selepas bersara lalu hati kita puas betul.


Yang bekerja sama ada atasan atau bawahan, bekerjalah dengan betul

Kelak orang tidak penat menegur dan mengkritik demi memupuk budaya betul

Menyediakan dokumen semak dan sunting sebelum dicetak di kertas yang betul

Kelak wang negara dapat dijimatkan sebagai natijah mengurus kerja dengan betul.


- Mohamad Musip

13 Januari 2011


Sumber : facebook Munsyi Mohamad Musip

Jumaat, 14 Januari 2011

ISU PENDIDIKAN : 469,500 Tempat Untuk Pelajar Lepasan SPM Lanjut Pengajian


KUALA TERENGGANU: Sebanyak 469,500 tempat disediakan untuk pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan yang setaraf melanjutkan pengajian mereka ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negara.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata selain daripada IPT Awam, pelajar juga berpeluang melanjutkan pelajaran di Institut Pengajian Tinggi Swasta, Tingkatan Enam, Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Kementerian Pelajaran Malaysia dan program persediaan ke luar negara secara tajaan.

Katanya bagi mereka yang tidak mencapai keputusan yang baik dalam SPM, mereka sewajarnya memilih untuk menyambung pengajian bagi mendapatkan sijil di institusi-institusi kemahiran sama ada awam, swasta mahupun di Kolej Komuniti.

"Apabila Kementerian Pengajian Tinggi melalui Unit Pusat Universiti diberikan tanggungjawab untuk mengkordinasi dalam soal permohonan kemasukan pelajar termasuk ke institusi latihan, kita boleh melihat dan membuat perancangan bagi mereka yang tidak mendapat keputusan baik dalam SPM, kita boleh tampung melalui penyediaan mereka untuk mendapatkan sijil kemahiran.

"Dengan demikian kita dapat mengatasi masalah yang dihadapi negara di mana ramai pelajar masuk pasaran kerja hanya berbekalkan SPM. Tetapi sekarang kita mahu buat perancangan supaya pelajar ini dibekalkan dengan sijil kemahiran," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian 'Karnival Jom Masuk U' oleh Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata kementerian sedang merancang untuk mengarusperdanakan program pengajian diploma di IPTA sebagai usaha untuk memperkasakan program diploma sebagai satu pilihan pelajaran lulusan SPM atau yang setaraf untuk melanjutkan pelajaran mereka.

Beliau berkata kementerian akan menyediakan pembekal bagi melahirkan graduan berkemahiran teknikal dari universiti-universiti teknikal selain memartabatkan program diploma dengan mendapatkan pengiktirafan daripada badan profesional dalam dan luar negara.

Selain itu, katanya beberapa cadangan pelaksanaan sedang dikaji antaranya memperkenalkan program-program baru di IPTA dan Politeknik.

"Saya berharap dengan adanya program-program baru yang mesra pasaran ini, minat pelajar semakin bertambah untuk memilih pengajian diploma," katanya.

Kira-kira 40,000 pengunjung terutama pelajar dijangka menghadiri karnival selama dua hari itu yang melibatkan 20 buah IPTA dan beberapa institusi swasta.

Selain Terengganu, karnival seumpamanya akan diadakan di 10 lokasi lain mengikut zon yang dikenal pasti di seluruh negara sehingga 3 April depan, denganupacara penutup disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di The Mines International Exhibition Centre, Sri Kembangan, Selangor. - BERNAMA