
Isnin, 24 Januari 2011
MEMERDEKAKAN KEMERDEKAAN

ISU PENARIKAN BALIK NOVEL SPM : Muhyiddin ada formula selesai kontroversi Interlok
Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau sudah berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengenai formula penyelesaian isu itu dan akan mengadakan perbincangan secara mendalam dengan pemimpin MIC sehari dua lagi.
Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Jalinan Mesra Bersama Rakyat di Restoran Mustafah Nasi Ayam Gemas di sini, semalam, Muhyiddin berkata, kerajaan mahu isu itu diselesaikan dengan semangat kerjasama dalam BN dan mengambil kira semua perkara berbangkit.
“Ada pihak yang memutar belit dan mahu menimbulkan soal kemarahan dengan pelbagai tuduhan, jangan politik soal begitu (tetapi) ramai yang tidak membacanya.
“Saya nak jelaskan, kita sudah ada formula untuk menyelesaikannya dan saya sudah berbincang dengan Perdana Menteri. Pertemuan dengan pihak MIC untuk berbincang secara mendalam sehari dua lagi dan berharap bila diputuskan nanti perkara itu tidak ditimbulkan lagi,” katanya.
Mengenai kemungkinan pihaknya akan membuang perkataan yang menjadi kontroversi dalam novel Interlok, beliau berkata, cadangan itu juga akan diambil kira.
“Kita akan mengambil pendekatan terbaik untuk menyelesaikan itu, saya percaya tiada benda terlalu rumit sehingga boleh menjadi besar kerana satu perkataan dalam novel itu saja.
“Ada caranya dan saya sudah mendapat formula untuk kemukakan dengan pemimpin MIC dan percaya mereka akan ada kata sepakat,” katanya.
Beliau berkata, jika isu itu dibincang atas semangat setia kawan, tidak timbul dakwaan ia boleh mencetus perkara tidak baik.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zakarshi, ketika ditemui selepas melawat Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Labis, berkata novel itu tidak boleh ditarik balik tanpa penjelasan secukupnya mengenai isu itu.
Pelajar diserang histeria cuba terjun bangunan sekolah

Anggota-anggota bomba menyelamatkan seorang pelajar Sekolah Menengah Abu Bakar yang cuba terjun dari tingkat tiga sekolah berkenaan di Temerloh, semalam.
TEMERLOH 24 Jan. – Lebih 1,000 warga Sekolah Menengah Kebangsaan Abu Bakar dekat sini, gempar apabila seorang pelajar tingkatan tiga yang diserang histeria mengancam untuk terjun dari tingkat dua bangunan di sekolah itu hari ini.
Kejadian pukul 8.30 pagi tersebut berlaku ketika semua pelajar berada dalam kelas masing-masing sebelum tiba-tiba dikejutkan dengan jeritan pelajar perempuan terbabit.
Pelajar itu kemudian melompat keluar dari tingkap kelasnya ke bahagian koridor sebelum berlari-lari sepanjang bangunan sambil mendepakan tangannya.
Keadaan berlarutan selama sejam itu bertambah cemas apabila pelajar terbabit menarik cermin kaca tingkap lalu membaling ke bawah bangunan.
Suasana kecoh di pekarangan sekolah itu turut menarik perhatian kakitangan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Temerloh yang terletak bersebelahan dengan sekolah berkenaan.
Pegawai Pelajaran Daerah, Mohd. Nadzri Ab. Wahab yang turut bergegas ke tempat kejadian berkata, beliau melihat pelajar itu menjilat darah pada tangannya setelah luka terkena serpihan kaca.
“Dia semakin agresif apabila membuka tudung lalu membaling ke bawah. Paling mencemaskan apabila dia berdiri di hujung koridor dengan kedua-dua kakinya hanya sedikit memijak lantai,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Katanya, pihak sekolah kemudian menghubungi bomba, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan polis bagi menyelamatkan pelajar terbabit.
Menurutnya, pengurusan sekolah turut bertindak menyediakan tilam yang diletakkan di aras bawah bangunan itu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
“Saya difahamkan pelajar itu tidak tinggal di asrama tetapi bertindak demikian akibat serangan histeria.
“Keluarga pelajar terbabit turut hadir memujuknya namun tidak berhasil. Tindakan pantas pasukan penyelamat akhirnya dapat menyelamatkan pelajar itu,” jelasnya.
Mohd Nadzri berkata, kejadian histeria beberapa kali berlaku di sekolah terbabit namun kejadian hari ini paling mencemaskan.
Pelajar itu dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) manakala terdapat beberapa pelajar lain juga terkena histeria namun keadaan terkawal.
Ahad, 23 Januari 2011
ISU ALAM SEKITAR : Kenapa kempen pembuangan sampah terus gagal?

MASALAH pembuangan sampah yang semakin tinggi oleh rakyat Malaysia nampaknya masih tidak ada jalan penyelesaian. Program kesedaran yang dilancarkan dan yang digerakkan oleh agensi kerajaan yang diamanahkan masih gagal menyedarkan rakyat. Sikap keprihatinan rakyat terhadap masalah sampah yang semakin meruncing, nampaknya tidak wujud di hati rakyat.
Tong-tong sampah kitar semula yang diletakkan di beberapa tempat, juga tidak mendapat sambutan rakyat. Di manakah silapnya? Adakah ketamadunan rakyat Malaysia terhadap kebersihan sudah terhakis atau kempen-kempen kesedaran yang dilancarkan tidak sebaik seperti kempen 'Tak Nak' yang dilancarkan oleh Kementerian Kesihatan.
Saya sebagai rakyat yang prihatin terhadap masalah sampah, amat kecewa dengan sikap segelintir rakyat Malaysia yang suka membuang sampah di merata-rata. Mereka tidak memikirkan akibat di kemudian hari, jika sampah-sampah yang dibuang akan tersangkut di dalam longkang dan ia boleh menyebabkan longkang-longkang tersebut tersumbat.
Jika hujan lebat berterusan, ia akan mengakibatkan masalah banjir jika masalah longkang tersumbat tidak diatasi segera. Kemudian, rakyat yang menghadapi masalah banjir akan memarahi dan menuduh kerajaan gagal menjalankan tugas sehingga mengakibatkan banjir, sedangkan sebahagian punca banjir adalah kerana aliran longkang dan sungai tidak teratur akibat banyaknya sampah yang tersangkut di dasar sungai dan longkang.
Walaupun kerajaan telah berbelanja ribuan dan jutaan ringgit bagi menangani masalah banjir, namun kerana ada segelintir rakyat yang tidak prihatin ini (suka membuang sampah di merata-rata tempat), ia telah mengakibatkan sebahagian besar rakyat merana kerana masalah banjir yang berpunca daripada aliran air yang tersangkut dari longkang-longkang yang sepatutnya mengalirkan air terus ke sungai dan kawasan tadahan.
Namun, saya tidak hanya ingin menyalahkan 'segelintir rakyat yang tidak prihatin' ini, tetapi kesalahan juga harus dipikul dan ditanggung bersama oleh agensi kerajaan yang telah diamanahkan oleh kerajaan persekutuan untuk menangani masalah sampah ini.
Kempen kesedaran pembuangan sampah yang kosnya berharga ratusan dan jutaan ringgit telah dihabiskan oleh agensi tersebut, namun impaknya masih gagal dan tidak berjaya menukar minda rakyat mengenai masalah pembuangan sampah yang betul. Malah saya difahamkan masalah ketidakmampuan mengurus sampah di beberapa tempat pengumpulan sampah juga semakin meruncing. Ini menunjukkan sikap rakyat dalam pembuangan sampah masih kekal sama dan gagal diperbetulkan.
Soalnya, tidakkah pegawai-pegawai di agensi sisa pepejal negara tidak melihat perkara ini sebagai kegagalan dari agensi tersebut? Atau mereka ini tahu bahawa kerajaan akan sentiasa memberikan dana untuk mereka habiskan dengan membina beberapa lagi cadangan kempen kesedaran tanpa ingin mengetahui sejauh mana kempen tersebut berjaya.
Inilah hakikatnya yang perlu kerajaan tahu iaitu sikap segelintir pegawai-pegawai kerajaan yang tidak mementingkan kepuasan dan kepentingan rakyat. Yang mereka tahu dan lakukan setiap hari ialah membuat kerja bagi mencukupkan masa kerja harian sahaja dan menuntut bayaran lebih masa jika disambung kerja pada waktu petang tanpa melihat keberhasilan kerja yang dilaksanakan, 'adakah ia dapat menyelesaikan masalah kerajaan dan rakyat'?.
Sikap tidak profesional segelintir ketua-ketua jabatan dan ketua pegawai eksekutif (syarikat berkaitan kerajaan, GLC) juga telah merencatkan perjalanan kerajaan dalam memastikan 'rakyat didahulukan' dan 'pencapaian diutamakan'. Kegagalan dan ketidakcekapan pegawai tertinggi ini juga telah menyebabkan rakyat 'menunjukkan' kemarahan kepada kerajaan, sedangkan 'mereka' ini yang sepatutnya dipersalahkan.
Di sini saya tidak menyalahkan menteri atau timbalannya di kementerian tersebut kerana gagal menyedarkan rakyat kerana mereka ini silih berganti. Yang harus dipersalahkan ialah Ketua Setiausaha Kementerian tersebut dan Ketua Pengarah Jabatan yang seharusnya memikul tanggungjawab itu sepenuhnya.
Pegawai tertinggi kerajaan ini haruslah meletakkan jawatan atau mengambil tindakan drastik terhadap jabatan yang diamanahkan dengan menukar pengurusan agensi tersebut kepada pegawai yang lebih berdedikasi.
Masalah pemborosan perbelanjaan pejabat, memberikan tender-tender berimpak tinggi kepada syarikat-syarikat kroni serta memberikan syarikat yang tidak berkelayakan dalam menjalankan urusan kempen haruslah dihentikan segera.
Saya juga menyarankan pihak SPRM untuk melihat lebih mendalam terutamanya penglibatan agensi ini dalam pengurusan syarikat kerana kegagalan melaksanakan tugas yang diberi serta 'ada'nya pemberian tender yang tidak telus sehingga mengakibatkan kerajaan kerugian ratusan juta.
Apa yang diluahkan ini, tidak ada sekelumit pun irihati terhadap mana-mana pegawai di dalam kerajaan tetapi kerana kehabisan duit kerajaan yang keterlaluan tanpa ada banyak membantu rakyat, yang membuatkan kekecewaan terhadap kakitangan kerajaan yang diamanahkan oleh rakyat terhadap kerajaan yang memerintah.
Siti Nur Nadhirah Hazirah
Melaka
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
ISU JENAYAH : Pemerdagangan orang landskap jenayah baru

Oleh IWAN SHU-ASWAD SHUAIB
AKTIVITI pemerdagangan orang merupakan landskap jenayah yang masih dianggap baru kerana pemahaman terhadapnya masih belum meluas di negara ini.
Apatah lagi pindaan Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 yang dipinda baru saja berkuat kuasa pada 15 November tahun lalu yang bertujuan untuk meningkatkan kadar penalti bagi kesalahan pemerdagangan orang.
Demikian pandangan Pengerusi Majlis Anti Pemerdagangan Orang (MAPO), Datuk Seri Mahmood Adam yang juga Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri.
Mahmood berkata, masyarakat bukan sahaja tidak faham tentang pemerdagangan orang bahkan sebelum ini ia berlaku dalam kalangan penguatkuasa.
“Selepas diberikan penerangan dan kefahaman menerusi pelbagai pendedahan dan kursus mengenainya barulah terdapat perkembangan dalam kes pemerdagangan orang,” katanya kepada Mingguan mStar, baru-baru ini.
Sebanyak lima agensi yang menjalankan penguatkuasaan iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) dan terbaru, Jabatan Tenaga Kerja.
Berdasarkan Laporan Pemerdagangan Manusia (TIP) 2010, Malaysia diletakkan pada Tahap Dua dalam menangani jenayah pemerdagangan manusia.
Laporan TIP merupakan senarai kedudukan negara-negara dunia berdasarkan tahap pematuhan standard minimum dalam memerangi pemerdagangan manusia.
Perbaiki kelemahan
Mahmood berkata, terdapat perkembangan positif berikutan kedudukan negara sebelum ini merosot dari Tahap Dua pada 2008 ke Tahap Tiga pada 2009.
“Dengan memperkukuh gerakan menguatkuasakan anti pemerdagangan orang, kita bermatlamat untuk menaikkan penarafan itu ke Tahap Satu pada tahun ini.
“Justeru, dua aspek yang perlu diperbaiki iaitu kehakiman dengan mempercepatkan proses undang-undang pembelaan dan hukuman dijatuhkan,” katanya.
Pencapaian TIP berdasarkan kepatuhan negara menerusi Akta Perlindungan Pemerdagangan dan Keganasan (TVPA) Amerika SyarikatMenurut klasifikasi antarabangsa, Tahap Satu merujuk kepada negara yang melakukan pematuhan sepenuhnya dan Tahap Dua bagi usaha signifikan untuk mematuhi TVPA.
Bagi Tahap Tiga pula bermaksud sebagai negara yang tiada usaha untuk mematuhi standard minimum TVPA.
Akta Antipemerdagangan Orang 2007 dipinda bagi memasukkan kesalahan berhubung penyeludupan migran menjadi akta baru itu dikenali sebagai Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.
Sehubungan itu Mahmood berkata, aspek penyeludupan migran sama ada secara sukarela atau dipaksa melintasi sempadan perlu diberikan perhatian.
“Ia adalah jenayah merentasi benua dan pindaan akta tersebut memperluaskan skop anti pemerdagangan orang serta memerangi penyeludupan migran,” katanya.
Sentiasa berubah
Menurut Mahmood, kelemahan membanteras kegiatan berkenaan sebelum ini adalah dalam soal peruntukan undang-undang namun tahun ini penguatkuasaan diperkukuhkan sehingga ke proses keputusan mahkamah.
“Tumpuan akan dilakukan terhadap pendakwaan dan penyelesaian kes perburuhan serta memantapkan Pelan Tindakan Kebangsaan berkaitan pemerdagangan orang.
“Dengan kerjasama badan antarabangsa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat, kes-kes berkenaan dapat diselesaikan dengan segera dan mudah,” katanya.
MAPO menjalankan kerjasama dengan pihak luar seperti Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM) dan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR).
Kerjasama dengan NGO pula melibatkan Majlis Kanak-kanak Malaysia (MKKM) dan Majlis Pertubuhan Wanita Kebangsaan (NCWO).“Ini termasuk menjalinkan kerjasama dengan kedutaan negara luar seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia dan Kanada,” kata beliau.
Dalam pada itu katanya, penguatkuasaan perlu seiring dengan landskap dan cara jenayah itu dilakukan yang sentiasa berubah-ubah.
“Sebelum ini, kebanyakan mangsa adalah wanita dan kanak-kanak bagi eksploitasi seks dan pekerjaan namun kini semakin beralih kepada golongan lelaki,” katanya.
Jika Malaysia mahu mencapai kedudukan Tahap Satu berdasarkan TIP 2011 maka peranan MAPO perlu dipertingkatkan termasuk kerjasama dengan lima agensi penguat kuasa.
Sumber : http : //www.mstar.com.my/
Jumaat, 21 Januari 2011
ISU PENARIKAN BALIK NOVEL SPM : Sediakan glosari, nota kaki kepada guru
LABIS 21 Jan. - Kementerian Pelajaran mencadangkan beberapa usul untuk memudahkan tugas guru yang mengajar novel Interlok di sekolah-sekolah termasuk menyediakan glosari dan nota kaki untuk menjelaskan maksud perkataan-perkataan tertentu.Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya juga mencadangkan supaya guru yang mengajar novel berkenaan disediakan panduan yang jelas bagi mengelakkan timbul masalah pada kemudian hari.
"Kita ada beberapa perkara sudah kita usulkan dan Kabinet minta kita teruskan perbincangan dengan MIC supaya lebih jelas bagaimana hendak atasi perkara ini termasuk menyediakan glosari, nota kaki dan panduan yang jelas disediakan kepada guru yang mengajar novel ini," katanya mengulas perkembangan terbaru mengenai isu novel berkenaan.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian selepas merasmikan majlis pecah tanah tapak bangunan tambahan Sekolah Agama Labis, di sini hari ini.
Beliau berkata, perbincangan mengenai novel tersebut akan diteruskan dengan pemimpin MIC sebelum keputusan muktamad diambil Kabinet sama ada meneruskan penggunaan novel tersebut dalam Sastera tingkatan lima atau sebaliknya.
"Saya akan umumkan keputusannya nanti. Keputusan mengenainya tidak berapa lama lagi," tegasnya.
Timbalan Perdana Menteri memberitahu, beliau telah menjelaskan mengenai hasil perbincangan antara panel terdiri daripada wakil Kementerian Pelajaran dan pemimpin MIC sebelum ini kepada Jemaah Menteri pada mesyuarat minggu ini.
Berdasarkan makluman, perbincangan itu berlangsung dalam suasana yang baik, intelektual, profesional dan semua ahli panel mendengar hujah dan pandangan dalam suasana mesra, katanya.
Muhyiddin berkata, sekiranya diteliti secara mendalam, (kandungan novel) tidak ada apa yang harus dibimbangkan.
"Pada peringkat akhirnya, saya dimaklumkan semua ahli panel akhirnya bersetuju bahawa novel Interlok adalah sebuah novel yang baik. Novel Interlok menyeru kepada soal perpaduan kaum. Ia selaras dengan gagasan 1Malaysia.
"Cuma ada kebimbangan MIC atau pun beberapa pihak dalam kelompok masyarakat India terhadap beberapa perkataan yang digunakan. Penulis ini (Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain) apabila dibaca secara keseluruhannya tidak ada niat untuk menghina atau memperkecilkan mana-mana kaum dalam novel itu," katanya.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
ISU PELAJAR STRES : Guru Kaunselor Perlu Kreatif
Oleh IWAN SHU-ASWAD SHUAIBPETALING JAYA: Semua guru kaunselor di negara ini perlu menyediakan pelan preventif dalam usaha mengatasi masalah stres di kalangan pelajar.
Presiden Lembaga Kaunselor Malaysia, Datuk Dr Ismail Alias berkata, guru kaunselor tidak seharusnya mengehadkan peranan mereka dengan mengadakan sesi kaunseling untuk pelajar yang mempunyai masalah semata-mata.
"Nisbah setiap guru kaunselor adalah untuk 500 pelajar dan difahamkan kira-kira 7,000 guru kaunselor di seluruh negara.
“Jumlah ini amat besar, memperlihatkan peranan mereka begitu penting di sekolah bagi mengenal pasti pelajar yang berhadapan dengan stres dan kemurungan.
“Mereka juga perlu melakukan program preventif dan pembangunan terhadap golongan ini dari masa ke semasa,” katanya kepada mStar Online, Jumaat.
Beliau yang juga Naib Presiden Persatuan Kaunseling Malaysia (Perkama) mengulas mengenai rancangan Kementerian Kesihatan yang memperkenalkan modul kesihatan mental di sekolah menengah untuk menangani masalah stres.
Pengenalan oleh kementerian itu berikutan kebimbangan terhadap masalah kesihatan mental di Malaysia meningkat seramai 400,227 pesakit menjalani rawatan di hospital kerajaan iaitu 15.6 peratus pada tahun 2010 berbanding 2009.
Peningkatan angka itu dilihat selari dengan ramalan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa beban masalah kesihatan mental dijangka akan terus meningkat pada kadar 15 peratus menjelang 2020.
Sebagai permulaan, program tersebut akan diperkenalkan di empat sekolah perintis selama enam bulan sebelum dikembangkan ke seluruh negara menjelang akhir tahun ini.
Program menangani kesihatan mental seawal usia remaja itu antaranya bertujuan memberi pendedahan kepada guru untuk mengenal pasti pelajar yang mengalami stres bagi memastikan golongan itu menerima rawatan dan bimbingan seawal mungkin.
Empat sekolah perintis yang dipilih adalah Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Haji Abdullah Ahmad Badawi, Sekolah Menengah St Michael, Sekolah Menengah Sains Teluk Intan dan Sekolah Menengah Simpang Bekoh.
Ismail berkata, rancangan Kementerian Kesihatan itu disifatkan baik dan guru kaunselor perlu melihat perkara tersebut secara serius.
“Modul itu akan dilaksanakan secara perintis di empat sekolah dan sekiranya ia berjaya, saya mencadangkan ia akan diguna pakai oleh semua kaunselor di negara ini.
“Perkama dan Lembaga Kaunselor Malaysia turut bersedia untuk membantu dalam menambah baik program atau modul berkenaan sekiranya diperlukan,” katanya.
Sehubungan itu Ismail berkata, mereka seharusnya merancang pelbagai program tambahan serta memperluaskan sasarannya untuk guru-guru lain dan ibu bapa.
Katanya, harus diingatkan, guru juga boleh menjadi stres dan tekanan yang dihadapi oleh pelajar turut berpunca daripada ibu bapa, rakan-rakan dan persekitaran.
“Mengalami stres adalah sesuatu yang normal dalam kehidupan manusia namun kita perlu belajar untuk menguruskannya dengan baik.
“Stres merupakan masalah awal sebelum ia menjadi kronik kepada kecelaruan fikiran iaitu penyakit mental dan pelajar berpotensi mengalaminya,” kata Ismail.
Sumber : http://mstar.com.my