Jumaat, 28 Januari 2011

ISU PERUMAHAN : Memahami ekologi perumahan

Oleh SHAHARUDIN IDRUS

SEJAK kebelakangan ini, isu-isu ketidaklestarian yang menyangkut tentang rumah dan perumahan kembali menghiasi laporan akhbar-akhbar utama di negara ini. Isu yang dilaporkan berkait dengan peningkatan harga rumah yang melampau, kualiti rumah yang begitu rendah, sampah-sarap terbiar serta rumah terbengkalai yang menjadi tempat pembiakan dan sarang nyamuk Aedes yang menyebabkan demam denggi, sehinggalah membawa kepada isu-isu keselamatan warga yang tinggal di kawasan perumahan terutamanya kanak-kanak, wanita dan warga emas di bandar-bandar utama negara ini.

Itu tidak termasuk lagi isu tanah runtuh, banjir kilat dan pencemaran bau busuk yang melanda kawasan perumahan. Kesemuanya menuntut satu penyelesaian konkrit, menyeluruh dan bersepadu. Isu kenaikan harga rumah yang melambung sering kali mendapat perhatian terutamanya kepada bakal pembeli rumah golongan muda yang baru menceburi dunia pekerjaan.

Beralaskan jumlah pendapatan yang tidak seberapa, kemungkinan untuk memiliki sebuah rumah bagi golongan ini adalah agak sukar. Walaupun kini kerajaan menyatakan bahawa deposit 10 peratus daripada harga rumah yang ingin dibeli tidak lagi perlu dibayar kepada pemaju perumahan, namun, harga rumah yang rata-ratanya tinggi jika dibandingkan dengan jumlah pendapatan penduduk dan diiringi pula dengan kenaikan harga barangan keperluan akan membantutkan usaha golongan muda untuk mendapatkan sebuah rumah.

Rumah mewah yang berharga satu juta dan ke atas ditentukan harga pasaran oleh sebilangan individu yang mempunyai modal yang besar dan membuka pasaran kepada orang asing atau luar negara. Oleh kerana kadar tukaran mata wang negara tertakluk kepada kadar tukaran antarabangsa, ini menyebabkan harga rumah mewah yang ditawarkan itu seolah-olah seperti harga sebuah rumah kos sederhana bagi sesetengah pelabur dan pemodal luar.

Justeru, bukanlah menjadi masalah besar bagi warga asing dari negara jiran, malahan terdapat pemilik rumah dari India yang bekerja di Amerika Syarikat membeli rumah di negara ini. Kecanggihan sistem pengangkutan udara dan darat yang terhampar indah merupakan antara faktor utama mereka untuk memiliki rumah di Malaysia.

Namun begitu, spekulasi harga rumah yang berlaku menyebabkan penduduk tempatan terpaksa bersaing dengan warga asing untuk mendapatkan rumah yang diimpikan. Sementara warganegara yang berpendapatan sederhana dan rendah hanya akan termangu dan terpaksa bergelut dengan pasaran terbuka ini semata-mata untuk mendapatkan sebuah rumah yang selesa.

Setelah rumah tersebut diperoleh pula, pelbagai lagi senarai tanggungjawab yang belum selesai terpaksa ditempuh sehinggalah bayaran hutang rumah dilunaskan, malahan mungkin membawa kepada generasi seterusnya dalam kitaran keluarga tersebut.

Isu-isu ketidakpuasan hati yang dibangkitkan oleh penduduk ini telah dan sedang mendapat perhatian daripada pihak yang bertanggungjawab dalam mengendalikan isu-isu berkaitan. Walau bagaimanapun, seringkali pula isu yang dibangkitkan itu tidak mendapat penyelesaian yang tuntas kerana pendekatan yang diambil dalam menyelesaikan isu-isu tersebut dibuat secara terpisah kerana bidang kuasa dan tanggungjawab yang berbeza di antara jabatan yang bertindak.

Kesemua isu ketidaklestarian yang dibangkitkan itu saling berkait antara satu dengan lain yang boleh dirangkaikan dan dilihat dari perspektif dan pemikiran ekologi perumahan bandar. Kedua-dua perumahan di kawasan bandar dan desa pastinya berbeza isu yang dibangkitkan dan cara bertindak yang perlu dilakukan.

Isu perumahan yang ditimbulkan di bandar adalah lebih kompleks, melibatkan banyak pihak berkepentingan, dinamik dan lebih pelbagai sekali gus menuntut satu perspektif yang lebih berkesan untuk merungkai permasalahan yang berlaku. Pemahaman ekologi perumahan ini adalah penting untuk semua pihak yang terlibat tidak berasa terpinggir dan terasing dalam membantu menyelesaikan masalah yang timbul, selain tidak menimbulkan kegusaran yang berpanjangan di kalangan penduduk kawasan perumahan ini.

Peningkatan isu-isu yang bersifat kompleks ini menuntut pemahaman yang lebih tuntas tentang proses yang berlangsung walau di peringkat mana sekalipun isu tersebut berlaku. Isu yang saling berkait di antara satu sama lain ini perlu diteliti, difahami dan dirungkai menurut pelbagai teras disiplin ilmu (multi-disiplin, inter-disiplin dan trans-disiplin) untuk mendapatkan penyelesaian masalah sebenar yang dihadapi penduduk.

Lantaran, untuk memperoleh sebuah kawasan perumahan yang berdayahuni (livable housing), pendekatan kompleksiti iaitu pendekatan yang menyediakan ruang pemikiran untuk memahami perkara yang sebenar-benarnya berlaku berlandaskan skala kawasan perumahan wajar difikir, dilaksana dan diperluaskan.

Isu yang timbul tidak wajar dilihat dari jauh semata-mata tetapi perlu memahami sedalam-dalamnya isu yang diluahkan oleh penduduk tersebut, diletak dan disesuaikan di dalam konteks ekologi perumahan tadi agar penyelesaian yang diambil tidak lagi bersifat ad hoc dan seolah-olah sambil lewa sahaja.

Jika tidak, senarai isu yang sama akan kembali kedengaran dan didendangkan setiap kali kawasan perumahan siap dihuni dan perkara ini akan berterusan tanpa penyelesaian yang benar-benar konkrit dalam jangka masa panjang. Maka setiap kali itu jugalah, pihak pentadbir bandar akan bersuara dan cuba membuat pelbagai perkara untuk menyelesaikan masalah warga di taman perumahan itu. Namun hakikat sebenarnya, penyelesaian yang diharapkan tidak pernah kunjung tiba.

Governans kompleksiti perumahan (complexity governance) perlu difikirkan dengan lebih mendalam agar isu ketidaklestarian perumahan yang berangkaian pula dengan isu-isu sosial lainnya tidak semakin parah natijahnya pada masa mendatang.

Shaharudin Idrus Institut Alam Sekitar dan Pembangunan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU KEMALANGAN JALAN RAYA : Memupuk budaya pemanduan berhemah

Oleh Mahfar Ali
bhnews@bharian.com


Pendekatan lebih menyeluruh perlu bagi ubah sikap pemandu


HARI ini, mungkin sudah ramai mula balik kampung sempena cuti perayaan Tahun Baru Cina. Kebanyakan sekolah pun cuti seminggu mulai Isnin ini. Bila cuti panjang, tentunya isu keselamatan di jalan raya mendapat perhatian banyak pihak. Apa lagi pada tahun lalu, 6,872 kematian membabitkan 6,260 kemalangan maut dicatatkan dan mengikut laporan akhbar, Khamis lalu, rekod itu adalah yang tertinggi dalam sejarah nahas jalan raya di negara ini.

Perangkaan ini sewajarnya membimbangkan kita dan menimbulkan banyak persoalan. Apakah pelbagai kempen yang dilaksanakan selama ini tidak berkesan dalam meningkatkan kesedaran orang ramai? Sejauh mana pula Ops Sikap yang sudah 23 kali diadakan, dapat mengubah sikap orang ramai? Mungkinkah juga rangkaian lebuh raya dan jalan raya di negara ini tidak selamat? Apakah sistem dan peraturan yang diperkenalkan masih tidak mencukupi untuk mengurangkan kemalangan?

Banyak lagi persoalan boleh kita tanya, tetapi pokoknya ialah sikap pemandu itu sendiri. Kita boleh memperhebatkan kempen dan sediakan kopi percuma sebanyak mana pun, namun ia tidak akan bermakna kalau orang ramai tidak mengikuti nasihat serta panduan yang diberi.

Meningkatkan operasi penguatkuasaan dan mengenakan saman maksimum juga tidak mungkin dapat mengubah sikap orang ramai kerana banyak juga pemandu yang tidak serik sekalipun disaman berpuluh kali. Lebuh raya dan jalan raya kita pula boleh dianggap antara yang terbaik di rantau ini, tetapi kes kemalangan masih tinggi kerana pemandu tidak menggunakannya secara berhemah. Banyak juga peraturan dan sistem sudah diperkenalkan kerajaan, seperti Kejara, tetapi sikap pemandu masih tidak banyak berubah.

Baru-baru ini pun kerajaan mengumumkan akan memperkenalkan Program Penilaian Kenderaan Malaysia (MyVAP) sebagai penanda aras standard dan kualiti keselamatan kereta keluaran tempatan. Menerusi sistem itu yang dibangunkan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), semua kenderaan baru akan diberi penarafan satu hingga lima bintang berdasarkan spesifikasi keselamatannya termasuk dilengkapi beg udara atau sistem brek ABS bagi membolehkan orang ramai menilai ciri-ciri keselamatan model kenderaan yang dipasarkan.

Langkah itu memang baik, tetapi sama ada ia dapat mengurangkan kemalangan masih juga bergantung kepada sikap pemandu. Sekarang ini pun ramai pemandu suka mengubah suai kenderaan dengan memasang pelbagai aksesori - ekzos besar hingga bunyi macam guruh, but dipasang ‘spoiler’ sesetengahnya sampai menghalang pemandangan dan ‘skirting’ pula hingga hampir mencecah jalan.
Pengubahsuaian kenderaan secara keterlaluan tentunya membahayakan apa lagi kalau aksesori itu tidak menepati piawaian dan spesifikasi keselamatan serta dilakukan di bengkel yang tidak mempunyai kepakaran memasangnya. Bila sudah ubah suai kenderaan, pemandunya juga pasti teruja untuk memandu laju. Takkanlah hendak memandu perlahan, nanti apa orang kata, gaya aje lebih tapi kereta tak selaju manapun.

Itu ragam pemandu yang suka ubah suai kenderaan. Pemandu yang tidak ambil berat soal penjagaan dan keselamatan kenderaan pun ramai. Tayar sudah ‘botak’ pun tidak diganti, manakala kenderaan jarang dihantar untuk servis. Sekarang ini pula sudah ada minyak pelincir sintetik yang boleh bertahan sehingga lebih 10,000 kilometer atau enam bulan, berbanding minyak pelincir biasa yang perlu ditukar setiap 5,000 kilometer atau tiga bulan.

Jadi bila gunakan minyak pelincir sintetik, maka makin jarang lagilah kenderaan dihantar untuk servis. Servis ini bukan saja hendak ganti minyak hitam atau pelincir, tetapi macam-macam diperiksa termasuklah sistem brek, angin tayar serta skru atau nat yang mungkin longgar dan perlu diperketatkan. Sebab itu penting kenderaan dihantar untuk servis sekerap mungkin yang boleh bagi mengelak sebarang risiko ketika memandu.

Apatah lagi bilangan kenderaan sekarang ini pula semakin banyak dan ini meningkatkan lagi risiko kemalangan. Sehingga Ogos tahun lalu, bilangan kenderaan di negara ini dikatakan berjumlah 19,820,442 dan yang berusia lebih sepuluh tahun pula berjumlah 5,110,326 atau 25.78 peratus. Tahun lalu juga, 496,000 rakyat mendapat lesen memandu sekali gus menambahkan lagi bilangan kenderaan di jalan raya.

Angka ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana sekarang ini bukan susah hendak membeli kereta. Banyak institusi kewangan menyediakan pinjaman pada kadar faedah yang rendah. Malah, ramai juga ibu bapa kini mampu membelikan kereta untuk anak-anak yang masih belajar sehinggakan di sesebuah rumah itu ada lebih dua tiga kenderaan.

Dengan semakin ramai orang kini mampu memiliki kenderaan, maka pihak berkaitan mungkin perlulah juga mengkaji semula dan memikirkan pendekatan yang lebih menyeluruh termasuk memberi penekanan terhadap soal penjagaan dan keselamatan kenderaan untuk memupuk budaya pemanduan berhemah.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Khamis, 27 Januari 2011

ISU PENARIKAN BALIK NOVEL SPM : Interlok diteruskan dengan pindaan

KUALA LUMPUR: Novel Interlok akan diteruskan sebagai teks komponen sastera (KOMSAS) bagi pelajar tingkatan lima tetapi dengan pindaan di bahagian yang dianggap sensitif oleh masyarakat India.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata satu panel bebas akan diwujudkan untuk mengkaji bentuk pindaan yang sesuai dan mengemukakan perakuan kepada kerajaan.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, panel itu akan dianggotai oleh pakar bahasa, ahli akademik, sasterawan dan wakil Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta wakil masyarakat India.

"Saya menjangkakan pindaan ini akan dapat dibuat dalam masa yang terdekat," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sebelum ini, Presiden MIC, Datuk G Palanivel dipetik berkata, isu perkataan pariah digugur dalam Interlok perlu ditutup.

Memandangkan ia bukan isu politik, ia bagaimanapun, suatu yang sensitif kepada kaum India di negara ini, Palavivel berkata, parti itu tidak akan berganjak supaya perkataan itu digugurkan daripada novel itu.

Muhyiddin berkata, beliau sudah mengadakan perbincangan dengan Palanivel dan Timbalannya, Datuk Dr S Subramaniam semalam mengenai isu novel berkenaan.

"Pagi ini, saya, Palanivel dan Subramaniam sudah mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri untuk mencapai kata sepakat bagi menyelesaikan isu ini.

"Dalam semangat muafakat Barisan Nasional (BN), kita sudah bersetuju bahawa novel Interlok akan terus digunakan sebagai teks KOMSAS bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia untuk murid tingkatan lima di Zon 2 iaitu di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sementara pindaan itu disiapkan, Kementerian Pelajaran akan mengarahkan guru-guru untuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia dengan menggunakan silibus yang sedia ada untuk tidak menjejaskan pembelajaran murid.

Katanya, novel Interlok hanya akan digunakan selepas pindaan disiapkan dan diedar ke sekolah-sekolah.

"Saya percaya kita mempunyai masa yang cukup untuk membuat pindaan secara teliti supaya tidak timbul lagi sebarang pertikaian mengenai novel Interlok selepas ini.

"Saya ingin menegaskan bahawa keputusan ini diambil dengan mengambilkira pandangan semua pihak bahawa novel Interlok adalah sebuah karya yang amat baik demi memupuk dan memperkukuhkan perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum dan agama di Malaysia.

"Oleh itu, keputusan mengekalkan novel ini dengan membuat pindaan supaya tidak menyinggung perasaan kaum India adalah jalan penyelesaian yang terbaik.

"Pada masa yang sama, kita akan memastikan sebarang pindaan yang dibuat pada novel ini tidak akan menjejaskan jalan cerita dan juga mesej murni yang ingin disampaikan oleh Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain melalui karyanya," katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Nota hujung:
Dalam hal berkaitan, keluarga Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussin, meminta sebarang pindaan terhadap novel Interlok yang bakal diperakukan oleh panel bebas diserahkan kepada Abdullah untuk dipersetujui terlebih dulu.

Isteri Abdullah, Datin Siti Saroja Basri, berkata langkah menubuhkan panel bebas untuk mengkaji bentuk pindaan yang sesuai dan mengemukakan perakuan kepada kerajaan itu boleh disifatkan sebagai menarik rambut dalam tepung.

Siti Saroja berkata, beliau mewakili suaminya kerana kesihatan Abdullah tidak baik dan keluarga mereka tidak mahu isu itu memberikan tekanan kepada sasterawan terbabit.

Rabu, 26 Januari 2011

ISU KEMALANGAN JALAN RAYA : 6,872 korban nahas jalan raya tahun lalu

Oleh Hardi Effendi Yaacob

Kematian tahun lalu rekod tertinggi; Polis perkenal penguatkuasaan kreatif

PETALING JAYA: Sebanyak 6,872 kematian membabitkan 6,260 kes kemalangan maut dicatat tahun lalu – rekod tertinggi dalam sejarah negara, sekali gus menimbulkan kebimbangan dan memaksa pihak berkuasa melaksanakan strategi baru bagi mengurangkan nahas jalan raya, terutama pada musim perayaan.

Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata mulai tahun ini polis akan memperkenalkan konsep ‘creative enforcement’ atau penguatkuasaan kreatif melalui Ops Sikap Ke-23 selama 15 hari bermula Tahun Baru Cina, minggu depan.

Katanya, melalui pendekatan baru itu, penekanan akan diberi kepada penguatkuasaan lebih tegas bagi membendung enam kesalahan utama yang sering dilakukan pengguna jalan raya, termasuk memandu melebihi had laju, melanggar lampu isyarat, memotong di garisan berkembar dan menggunakan lorong kecemasan secara sewenang-wenang.
Antara langkah yang diambil ialah:

  • Mengaktifkan semua 19 menara peninjau di lebuh raya dan laluan Persekutuan untuk meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan, selain memastikan kelancaran trafik.
  • Menempatkan lebih ramai pegawai dan anggota serta memperbanyakkan operasi rondaan dan sekatan jalan raya di beberapa lokasi strategik sepanjang musim perayaan kali ini bagi mewujudkan perasaan takut dan memastikan pengguna sentiasa menghormati undang-undang, dan
  • Menghapuskan diskaun bagi kesalahan trafik yang dilakukan sepanjang Ops Sikap, sebaliknya pesalah perlu membayar saman maksimum.
Khalid berkata, tahun ini pihaknya mensasarkan penurunan kes kemalangan di seluruh negara, terutama kemalangan maut, sebanyak lima peratus.

“Biarpun sasaran ini kecil, kita percaya ia mampu membawa perubahan besar kepada usaha mengurangkan indeks kemalangan di negara ini, khususnya jumlah kematian.

“Namun, tiada gunanya indeks kemalangan menurun jika jumlah kematian terus meningkat. Kita berharap pengguna jalan raya sama-sama membantu kita mencapai sasaran. Yang pasti, semua usaha yang dirancangkan ini tidak akan berjaya jika orang ramai masih mementingkan diri sendiri dan tidak tahu menghormati peraturan,” katanya selepas melancarkan Ops Sikap Ke-23 di Menara Persada PLUS di sini, semalam.

Hadir sama Pengerusi PLUS Expressways, Tan Sri Mohd Sheriff Kassim; Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Sollah Md Hassan; Timbalan Pengarah (Kepolisan dan Pencegahan Jenayah) KDNKA Bukit Aman, Datuk Wira Muhammad Sabtu Othman dan Ketua Trafik Pasukan, Datuk Abdul Aziz Yusof.

Khalid turut meminta orang ramai merancang perjalanan bagi mengelak terperangkap dalam kesesakan berikutan pertambahan jumlah kenderaan di semua lebuh raya dan laluan utama sempena Tahun Baru Cina, khususnya menjelang waktu puncak hujung minggu ini.

Sementara itu, Mohd Sheriff berkata, PLUS Expressways akan menempatkan sekurang-kurangnya 3,000 petugas di semua plaza tol di seluruh negara bagi memastikan kelancaran trafik pada musim perayaan.

Beliau berkata, ia sebahagian daripada pelan tindakan pihaknya dalam mengurangkan kesesakan di lebuh raya setiap kali menjelang musim perayaan, yang dikenal pasti turut berpunca dari kesesakan di plaza tol.

“Inisiatif lain yang diambil termasuk menutup sementara lorong tambah nilai (PLUSmiles dan Touch & Go) bagi menjadikannya lorong tambahan untuk mengatasi kesesakan di plaza tol. Sebagai alternatif, orang ramai boleh menggunakan kaunter disediakan di kawasan rehat dan rawat terpilih untuk menambah nilai kad masing-masing,” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Isnin, 24 Januari 2011

MEMERDEKAKAN KEMERDEKAAN

Oleh : LIM SWEE TIN

Bersediakah kita memerdekakan kemerdekaan
Dari minda terbelenggu
Dari gersang wawasan
Dari kerdil jiwa anak jajahan.

Bersediakah kita memerdekakan kemerdekaan
Dengan himbau ufuk baru luas saujana
Dengan geledah tafsir baru bernas berani
Dengan gerak minda baru jelas merentas.

Lupakan parut silam
lupakan juga kesumat dendam
Rintis fikir berlapis teroka langkah dinamis
Lupakan nostalgia longlai
lupakan juga mimpi yang berkecai
Tinjau dimensi yang lebih berdimensi
jengoklah esok yang lebih esok.

Kita masih boleh jika ingin pulang
ke negeri kemerdekaan
Negeri kemerdekaan kita tidak jauh
dari batas sempadan
Batas sempadannya hanyalah
sekepal luluh rasa
Luluh rasa inilah yang menghimpit
menjerat rawat yang terlambat.

Bersediakah kita memerdekakan kemerdekaan
Kemerdekaan yang membawa kita pergi
memercukan gemilang
Kemerdekaan yang memaruahkan kita
sebagai satu bangsa terbilang
Kemerdekaan yang mengangkat martabat
meningkatkan darjat di tanah berdaulat!

Sumber : (Lim Swee Tin, Pemikiran Kesusasteraan : Wajah dan Wadah Kebudayaan Kebangsaan, JKKN Malaysia, 2009)

ISU PENARIKAN BALIK NOVEL SPM : Muhyiddin ada formula selesai kontroversi Interlok

LABIS: Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan beliau sudah mempunyai formula bagi menyelesaikan kontroversi berhubung novel Interlok dan menjangka isu berkenaan dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau sudah berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengenai formula penyelesaian isu itu dan akan mengadakan perbincangan secara mendalam dengan pemimpin MIC sehari dua lagi.

Muhyiddin berkata, beliau akan berbincang dengan Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam atas kapasiti sebagai anggota Kabinet sebelum mengadakan pertemuan dengan Presiden MIC, Datuk G Palanivel.

Kontroversi Interlok karya Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussein, timbul berikutan keputusan Kementerian Pelajaran memilih novel itu sebagai teks sastera Tingkatan Lima tahun ini yang didakwa mengandungi perkataan yang tidak disenangi kaum India.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Jalinan Mesra Bersama Rakyat di Restoran Mustafah Nasi Ayam Gemas di sini, semalam, Muhyiddin berkata, kerajaan mahu isu itu diselesaikan dengan semangat kerjasama dalam BN dan mengambil kira semua perkara berbangkit.

“Ada pihak yang memutar belit dan mahu menimbulkan soal kemarahan dengan pelbagai tuduhan, jangan politik soal begitu (tetapi) ramai yang tidak membacanya.

“Saya nak jelaskan, kita sudah ada formula untuk menyelesaikannya dan saya sudah berbincang dengan Perdana Menteri. Pertemuan dengan pihak MIC untuk berbincang secara mendalam sehari dua lagi dan berharap bila diputuskan nanti perkara itu tidak ditimbulkan lagi,” katanya.
Mengenai kemungkinan pihaknya akan membuang perkataan yang menjadi kontroversi dalam novel Interlok, beliau berkata, cadangan itu juga akan diambil kira.

“Kita akan mengambil pendekatan terbaik untuk menyelesaikan itu, saya percaya tiada benda terlalu rumit sehingga boleh menjadi besar kerana satu perkataan dalam novel itu saja.

“Ada caranya dan saya sudah mendapat formula untuk kemukakan dengan pemimpin MIC dan percaya mereka akan ada kata sepakat,” katanya.

Beliau berkata, jika isu itu dibincang atas semangat setia kawan, tidak timbul dakwaan ia boleh mencetus perkara tidak baik.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zakarshi, ketika ditemui selepas melawat Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Labis, berkata novel itu tidak boleh ditarik balik tanpa penjelasan secukupnya mengenai isu itu.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Pelajar diserang histeria cuba terjun bangunan sekolah

Anggota-anggota bomba menyelamatkan seorang pelajar Sekolah Menengah Abu Bakar yang cuba terjun dari tingkat tiga sekolah berkenaan di Temerloh, semalam.

TEMERLOH 24 Jan. – Lebih 1,000 warga Sekolah Menengah Kebangsaan Abu Bakar dekat sini, gempar apabila seorang pelajar tingkatan tiga yang diserang histeria mengancam untuk terjun dari tingkat dua bangunan di sekolah itu hari ini.

Kejadian pukul 8.30 pagi tersebut berlaku ketika semua pelajar berada dalam kelas masing-masing sebelum tiba-tiba dikejutkan dengan jeritan pelajar perempuan terbabit.

Pelajar itu kemudian melompat keluar dari tingkap kelasnya ke bahagian koridor sebelum berlari-lari sepanjang bangunan sambil mendepakan tangannya.

Keadaan berlarutan selama sejam itu bertambah cemas apabila pelajar terbabit menarik cermin kaca tingkap lalu membaling ke bawah bangunan.

Suasana kecoh di pekarangan sekolah itu turut menarik perhatian kakitangan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Temerloh yang terletak bersebelahan dengan sekolah berkenaan.

Pegawai Pelajaran Daerah, Mohd. Nadzri Ab. Wahab yang turut bergegas ke tempat kejadian berkata, beliau melihat pelajar itu menjilat darah pada tangannya setelah luka terkena serpihan kaca.

“Dia semakin agresif apabila membuka tudung lalu membaling ke bawah. Paling mencemaskan apabila dia berdiri di hujung koridor dengan kedua-dua kakinya hanya sedikit memijak lantai,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Katanya, pihak sekolah kemudian menghubungi bomba, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan polis bagi menyelamatkan pelajar terbabit.

Menurutnya, pengurusan sekolah turut bertindak menyediakan tilam yang diletakkan di aras bawah bangunan itu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Saya difahamkan pelajar itu tidak tinggal di asrama tetapi bertindak demikian akibat serangan histeria.

“Keluarga pelajar terbabit turut hadir memujuknya namun tidak berhasil. Tindakan pantas pasukan penyelamat akhirnya dapat menyelamatkan pelajar itu,” jelasnya.

Mohd Nadzri berkata, kejadian histeria beberapa kali berlaku di sekolah terbabit namun kejadian hari ini paling mencemaskan.

Pelajar itu dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) manakala terdapat beberapa pelajar lain juga terkena histeria namun keadaan terkawal.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/