Sabtu, 19 Februari 2011

ISU KESIHATAN : Hikmah tersirat sebalik amalan hidup sederhana

Oleh Irfan Mohamad

Islam larang ummah merokok, zina, minum arak kerana memudaratkan kesihatan


TANGGAL 4 Februari adalah sambutan Hari Kanser Sedunia. Walaupun terciptanya pelbagai bentuk kaedah rawatan baru yang menjanjikan sinar harapan kepada pesakit kanser untuk pulih, bilangan kes penyakit kanser menunjukkan peningkatan saban tahun.

Statistik menaik ini bukan saja berlaku di Malaysia bahkan aliran sama dilakarkan di seluruh dunia. Sejumlah 12.7 juta kes kanser baru dicatatkan dan hampir 7.6 juta orang mati kerananya setiap kali kalendar tahunan bertukar.

Mungkin ramai menganggap kanser ialah penyakit nasib malang terjadi kepada sesiapa yang terkena, ada juga menganggap ia penyakit keturunan semata-mata.

Tidak kurang juga kepercayaan ditanam bahawa ia hukuman mati mandatori bagi sesiapa menerima berita menghidapinya.

Tidak ramai mengetahui kanser sebenarnya penyakit yang boleh dicegah, walaupun tidak semua, namun peratusannya boleh mencapai 30 hingga 40 peratus.

Sebagai agama yang syumul, ajaran Islam mengandungi hikmah yang kebanyakan kita menganggap sebagai ritual semata-mata sedangkan ia ajaran menghiasi cara hidup lebih sejahtera untuk kehidupan akhirat dan mempunyai pelbagai manfaat dunia termasuk pencegahan penyakit kanser.

Pengambilan alkohol dan merokok antara faktor risiko mendedahkan seseorang mendapat kanser. Pengambilan alkohol berkait rapat dengan kanser di bahagian mulut, tekak, saluran makanan (esofagus) selain hati.

Pengharaman alkohol atau arak adalah jelas seperti firman Allah yang bermaksud: “‘Hai orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, berhala dan undian adalah kotor daripada perbuatan syaitan. Oleh itu jauhilah dia supaya kamu bahagia.

Syaitan hanya bermaksud untuk mendatangkan permusuhan dan kebencian antara kamu disebabkan arak dan judi serta menghalangi kamu ingat kepada Allah dan solat. Apakah kamu tidak mahu berhenti?” (Surah Al-Maidah, ayat 90-91)

Rokok pula diketahui mengakibatkan kanser paru-paru, saluran pernafasan atas dan buah pinggang. Selain kanser, tabiat merokok juga mudah membawa kerosakan pada organ jantung, perut, meningkatkan risiko angin ahmar dan komplikasi lain akibat rosaknya salur darah dalam badan.

Yang lebih menyedihkan, kesan asap rokok turut memudaratkan orang yang berada di sekitar perokok atau perokok pasif. Bayangkan betapa hebatnya kesan akan ditanggung ahli keluarga bagi seorang bapa yang merokok.

Oleh sebab itu Islam dengan jelas melarang sebarang perkara yang boleh memudaratkan diri serta orang sekeliling. Firman Allah yang bermaksud: “Dan janganlah kamu campakkan dirimu ke dalam kebinasaan.” (Surah Al-Baqarah, ayat 195)

Bagi seseorang yang mengambil alkohol dan merokok, risiko mendapat kanser bukan lagi berkadar secara langsung, bahkan peningkatannya berkali ganda banyaknya berbanding mengambil alkohol atau merokok secara berasingan.

Pengambilan makanan juga banyak diberi penekanan dalam Islam baik dari segi kuantiti, kualiti kebersihan serta perlu dipastikan sumbernya halal lagi baik.

Ketika makan, Rasulullah SAW menunjukkan contoh supaya tidak berlebih-lebihan bagi megelak penyakit metabolik seperti kencing manis dan darah tinggi, malah turut dikaitkan dengan mendapat risiko kanser lebih tinggi.

Justeru, Islam mengajar supaya makan berpada-pada dan memilih kumpulan makanan mengikut keperluan tubuh badan bagi mencegah kemudaratan. Contohnya, mengelak makanan terlalu manis, masin, berlemak, mengurangkan pengambilan daging merah dan pada masa sama mempelbagaikan juadah dengan mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran.

Selain faktor makanan seimbang dan berpada-pada, kita juga disarankan menjaga kesihatan dengan melakukan aktiviti fizikal secara istiqamah. Keperluan bersenam dan mengeluarkan peluh dibuktikan secara saintifik bukan saja penting untuk kesihatan jantung, juga kegemukan.

Berat badan berlebihan boleh menyumbang 20 hingga 30 peratus berlakunya beberapa jenis kanser seperti kanser kolon (usus besar) dan bahagian lain dalam saluran reproduktif (pembiakan).

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Allah lebih menyayangi orang Mukmin yang kuat daripada orang Mukmin yang lemah.” (Hadis riwayat Muslim)

Apabila badan tidak cergas, fikiran juga lembab dan lambat bertindak bak kata pepatah Arab, ‘akal yang sihat adalah dari badan yang sihat’.

Sungguhpun penyakit kanser bukan penyakit berjangkit, ada beberapa jenis kanser berpunca daripada jangkitan virus. Memang benar tidak semuanya dapat dielakkan, namun kita perlu berikhtiar supaya jangkitan virus membawa kepada kanser dapat dikurangkan.

Virus seperti hepatitis B dan C yang dikaitkan dengan kanser hati serta virus human papiloma (HPV) pula dikaitkan risiko kanser serviks mudah dipindahkan virusnya dengan amalan seks bebas. Pencegahan mengikut panduan agama boleh mengurangkan risiko mendapat virus berbahaya ini.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan janganlah kamu dekati zina. Sesungguhnya zina itu suatu perbuatan keji dan jalan yang buruk.” (Surah Al-Isra’, ayat 32)

Sesungguhnya banyak perkara tersurat dan tersirat dalam ajaran Islam yang membawa kepada sinar kesejahteraan hidup manusia. Hanya mata yang ingin melihat kebesaran Allah dan keagungan Islam boleh menghadirkan apresiasi keindahan di sebalik bait ayat al-Quran dan hadis Rasulullah SAW.

Kembali kepada ajaran Islam sebenar nescaya kita akan dapati ia agama sejahtera dan mensejahterakan umatnya, bukan saja dalam perkara ibadat, mualamat atau munakahat, juga pencegahan kanser.

Penulis ialah Pensyarah Perubatan/Pakar Otorinolaringologi-Surgeri Kepala dan Leher Pusat Pengajian Sains Perubatan Universiti Sains Malaysia Kota Bharu, Kelantan

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Inovasi umpama mata wang baru

Dr Kamal Jit Singh

Kaedah ajar masyarakat berfikir bertentangan daripada kebiasaan untuk cipta kehebatan

INOVASI bermula daripada minda. Ia berkaitan dengan cara kita berfikir sama ada dapat membantu menyelesaikan masalah secara unik atau mencipta sesuatu produk, model perniagaan, pemprosesan atau menambah pengalaman sosial.

Tahap pemikiran yang tinggi adalah sistem pertahanan terbaik, terutama ketika kita berada dalam era perdagangan berasaskan komoditi.

Seperti inovasi, pemikiran satu lagi perkataan yang sering disalahertikan. Daripada pengalaman menunjukkan bahawa sistem pendidikan kita menggantikan aspek pemikiran kepada menghafal fakta dan mendapat maklumat semata-mata.

Sekolah hanya tempat bagi kita belajar mendapatkan maklumat, tetapi tidak mengajar kita bagaimana menggunakan maklumat itu untuk mencipta dan menjadikan masyarakat serta dunia ini satu tempat lebih baik untuk kita semua.

Sekolah mengajar kita untuk bertindak balas. Namun, pelajar hanya bertindak balas terhadap apa yang terletak depan mereka. Berikutan itu, seseorang pelajar tidak perlu mencipta atau menjadi individu yang kreatif. Malangnya, keadaan ini, menyebabkan kita tidak mampu lagi berfikir.

Pernahkah anda berhadapan dengan kerenah birokrasi, terutama terhadap peraturan dan ketetapan yang tidak sepatutnya, sehingga menimbulkan rasa lucu? Sesuatu proses itu ada kalanya dilaksanakan secara tidak masuk akal dan kakitangan terbabit hanya mengikut seperti digariskan.

Malah kita juga tidak dibenarkan berfikir apabila ada ahli politik memberitahu supaya kita tidak mempersoalkan apa juga keputusan dan hukuman yang sudah diputuskan?

Dari perangkaan jelas menunjukkan keadaan itu. Sebagai contoh permohonan mendapatkan paten sesuatu produk yang dihasilkan serta buku yang ditulis oleh rakyat kita masih rendah.

Inovasi sebenarnya memerlukan kita berfikir bertentangan daripada kebiasaan. Ia suatu kemampuan untuk kita mencipta sesuatu yang hebat daripada bahan yang ada. Ia membabitkan kemampuan melihat sesuatu dengan cara berbeza. Keupayaan menggabung dan menyusun semula maklumat sehingga mewujudkan pilihan.

Inovasi memerlukan kita memahami bahawa menerima maklumat berulang kali adalah tidak sama seperti proses berfikir.

Inovasi kini umpama mata wang baru dan bukan lagi maklumat. Maklumat saja tidak mencukupi, jika benar, semua pustakawan pastinya sudah kaya raya. Dalam dunia dan persekitaran hari ini yang pantas bergerak, maklumat sebagai komoditi pantas juga ketinggalan zaman. Malah, kelayakan akademik hanya mampu bertahan dalam tempoh tujuh tahun apabila maklumat baru menggantikan yang lama.

Ketika ini tidak wujud kesepadanan antara graduan tempatan yang dihasilkan dengan keperluan dan kehendak industri.

Bertanyalah kepada sesiapa saja yang menggaji pekerja berpengetahuan dan anda akan mendengar graduan tempatan dikatakan tidak memiliki kemahiran menyelesaikan masalah, tidak mampu berkomunikasi dengan baik walaupun mereka berpelajaran tinggi, tidak memiliki kemahiran memujuk dan tidak mempunyai pendekatan inovatif.

Ia sesuatu yang memeranjatkan? Graduan hanya menerima sebarang maklumat yang ‘disuap’ kepa-da mereka dan adakah ini sebagai satu keadaan semula jadi dalam sistem pendidikan kita - bermula dari tadika hingga ke universiti?

Apa yang majikan mahu daripada pekerja berpengetahuan supaya mereka melihat sesuatu daripada gambaran yang lebih meluas. Memiliki keupayaan untuk mencipta dan mereka cipta sesuatu yang baru dan hebat bagi menangani masalah yang wujud, membentuk konsep dan seterusnya membina perniagaan. Dalam erti kata lain kemampuan untuk berinovasi.

Justeru, bolehkah inovasi diajar atau ia hanya satu proses mistik atau kepintaran yang terhasil pada masa dan tempat yang betul?

Namun, pada masa sama, kejayaan kebanyakan syarikat multinasional (MNC) adalah jelas bahawa inovasi adalah satu proses dan kemahirannya boleh diajar dan dipelajari.

Memang ada kebenarannya, individu yang memiliki kreativiti hebat dan selalu mengimpikan untuk menghasilkan produk yang terbaik menjadi landasan kepada kejayaan. Kita tidak boleh mudah mengalah kepada jalan yang mungkin kita tidak menjangka akan menjadi laluan kejayaan.

Inovasi adalah sesuatu yang dirancang secara sistematik dan bukan suatu kebetulan. Kejayaan sesuatu inovasi akan membentuk satu laluan dan kita perlu mengi-kutnya sehingga kita mampu menjadikan ia satu tabiat atau amalan. Kita seterusnya akan mula mengukir laluan kita sendiri bagi perjalanan yang panjang ini.

Ada tiga bentuk pemikiran bagi mencapai sesuatu kejayaan dalam inovasi. Pertama, pemikiran inovatif. Terlebih dulu, ia memerlukan kita memecahkan tembok halangan yang kita sendiri bina dan mula berfikir dari perspektif yang berbeza.

Pemikiran inovatif adalah penting untuk kita menjana idea baru, penyelesaian masalah, mengubah hala tuju dan memikirkan semula sesuatu isu yang mungkin kita mengambil mudah sebelum ini.

Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif Unit Inovasi Khas (UNIK) Pejabat Perdana Menteri

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Jumaat, 18 Februari 2011

Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2010

Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2010 akan diumumkan pada hari Isnin, 21 Februari 2011.

Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur pada Jumaat berkata calon-calon boleh mendapatkan keputusan mereka di sekolah masing-masing mulai pukul 12 tengah hari, manakala calon persendirian akan memperolehinya melalui pos.

Calon-calon juga boleh menyemak keputusan mereka melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip STPM dan hantar ke 36363, atau menaip STPM Result dan hantar ke 15888.

Menurut MPM, keputusan juga boleh diperolehi dengan melayari laman web MPM di http://www.mpm.edu.my

Khamis, 17 Februari 2011

SEKOLAH BERPRESTASI TINGGI


Berikut ialah senarai 23 buah Sekolah Berprestasi Tinggi Kohort 2, 2011, sebagaimana diumumkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia di SK Ulu Lubai, Sarawak semalam.

1. Sekolah Menengah Imtiaz, Terengganu
2. Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Empat, Selangor
3. Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Perak;
4. Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak, Selangor;
5. Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kubang Pasu, Kedah
6. Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Pekan, Pahang;
7. Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Kuala Lumpur
8. Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra, Kelantan
9. Sekolah Menengah Sains Miri, Sarawak
10. Sekolah Menengah Sains Seri Puteri, Kuala Lumpur
11. Sekolah Menengah Sains Selangor, Kuala Lumpur
12. Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah, Pahang
13. Sekolah Menengah Sains Muar, Johor
14. Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Lubai, Sarawak
15. SK Convent Muar, Johor
16. SK Seri Biram, Pahang
17. SK Sultan Ahmad Tajuddin, Kedah;
18. SK Setiawangsa, Kuala Lumpur
19. SK (Perempuan) Methodist Kuantan, Pahang
20. SK Sultan Ismail, Terengganu
21. SK Jalan Tiga, Selangor
22. SJK(C) Perempuan China, Pulau Pinang
23. SJK(C) Lick Hung, Selangor.


NOTA HUJUNG:

Sebagai imbasan, berikut disenaraikan 20 SBT kumpulan pertama(2010) dan penjelasan tentang konsep Sekolah Berprestasi Tinggi :

Sekolah Berasrama Penuh:
Sekolah Tun Fatimah (Johor Bahru)
Sekolah Dato’ Abdul Razak (Seremban)
Kolej Melayu Kuala Kangsar
Sekolah Seri Puteri (Cyberjaya)
Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim (Jitra)
Kolej Tunku Kurshiah (Seremban)
Kolej Islam Sultan Alam Shah (Klang)
Sekolah Menengah Sains (SMS) Tuanku Syed Putra (Perlis)
Sekolah Sultan Alam Shah (Putrajaya)
SMS Muzaffar Syah (Melaka)

Sekolah Menengah Harian:
Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (P) Sri Aman (Petaling Jaya)
SMK Aminuddin Baki (Kuala Lumpur)
SMK Sultanah Asma (Alor Setar)
SMK (P) St George (Pulau Pinang)

Sekolah Rendah:
Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bintang Utara (KL)
SK Taman Tun Dr Ismail 1 (Kuala Lumpur)
SK Bukit Damansara (KL)
SK Zainab (2) (Kota Bharu)
SK Convent Kota (Taiping)
SK Bandar Baru Uda 2 (Johor Bahru)


Sekolah diberi autonomi:
- Fleksibel dalam pengajaran dan pembelajaran serta silibus bagi subjek wajib dan elektif
- Boleh menggunakan bahasa pengantar bahasa kebangsaan atau pelbagai bahasa lain.
- Kelonggaran menetapkan waktu pengajaran minimum sesuatu mata pelajaran.
- Memanjangkan waktu persekolahan.
- Membenarkan tempoh persekolahan bagi pelajar cemerlang ditamatkan setahun lebih awal (seperti kelas lompat).
- Fleksibiliti untuk mengagihkan kewangan mengikut keperluan.
- Pengecualian daripada perolehan secara berpusat.
- Bajet tambahan antara RM500,000 hingga RM1 juta setahun.
- Mengambil staf berdasarkan prestasi pencapaian dan bukan kekananan.
- Boleh menyediakan bayaran kerja lebih masa dan ganjaran berdasarkan prestasi kepada semua staf.
- Boleh memindahkan staf jika prestasi kurang memuaskan.
- Pengagihan fungsi berdasarkan akademik dan bukan akademik.


Kriteria pemilihan SBT :
- Pencapaian akademik yang cemerlang.
- Melahirkan personaliti unggul.
- Merangkul anugerah kebangsaan dan antarabangsa.
- Mewujudkan jalinan dengan institusi pengajian tinggi.
- Mempunyai permuafakatan jitu dengan masyarakat serta jaringan kukuh dengan sekolah tempatan dan antarabangsa.
- Menjadi penanda aras kepada sekolah dalam dan luar negara.

ISU PENDIDIKAN : Cabaran baru kepimpinan sekolah melalui Bai'ah

KUALITI pengetua dan guru besar adalah penentu kepada program Tawaran Baru atau Bai'ah yang diumumkan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yasin ketika berucap pada Majlis Perutusan Khas 2011 di Putrajaya baru-baru ini. Dalam ucapan itu, beliau telah memberikan cabaran baru kepada pengetua dan guru besar untuk meningkatkan prestasi sekolah ke tahap yang cemerlang.

Konsep Bai'ah ini amat mudah. Sekiranya prestasi sekolah melepasi tahap kecemerlangan yang ditetapkan, mereka akan diberikan ganjaran dalam bentuk kewangan. Jumlahnya amat menarik iaitu mereka layak menerima RM7,500 seorang. Sementara itu, lima peratus guru paling cemerlang akan menerima RM1,800 seorang dan guru lain diberikan RM900 seorang. Nama pengetua dan guru besar yang layak akan diumumkan pada pertengahan tahun ini.

Inisiatif ini ada kaitan dengan Program Transformasi Kerajaan di bawah Bidang Utama Keberhasilan Negara (NKRA). Apa yang jelas, tawaran ini akan membuka satu lembaran baru kepada tanggungjawab pemimpin dalam pengurusan dan pentadbiran sekolah. Pengetua dan guru besar bukan setakat menduduki kerusi teratas dalam hierarki organisasi sekolah, tetapi kualiti mereka akan menentukan sama ada sekolah yang mereka terajui berada di tahap cemerlang.

Mereka tidak lagi dianggap sebagai pentadbir sekolah semata-mata tetapi juga sebagai pemimpin yang mampu membangunkan sumber manusia. Guru dan pelajar menjadi aset utama yang perlu dibangunkan keupayaan dan kebolehan mereka ke tahap maksimum supaya dapat berkongsi membangunkan sekolah ke arah kecemerlangan.

Pengetua dan guru besar yang berkesan akan menjadikan diri mereka sebagai pemimpin instruksional dan pemimpin komuniti yang cekap. Faktor kejayaan sekolah bukan sahaja diukur melalui pencapaian akademik dan kokurikulum tetapi dinilai dari segi kejayaan sekolah membentuk pelajar yang holistik, serba boleh dan memiliki sahsiah terpuji. Keupayaan mereka untuk mempengaruhi ibu bapa supaya turut terlibat dalam aktiviti sekolah merupakan satu bonus dan kualiti pemimpin yang diperlukan.

Bai'ah ini mula diumumkan oleh Menteri Pelajaran semasa sambutan Hari Guru pada 16 Mei tahun lalu di Kuantan, Pahang. Selepas itu, ia menjadi topik utama perbincangan para pengetua dan guru besar dan ramai daripada mereka telah mengambil langkah awal bagi menyahut cabaran tersebut. Ini terbukti apabila penilaian dilakukan, didapati sebanyak 12.1 peratus sekolah berjaya melepasi sasaran prestasi yang telah ditetapkan walaupun sasaran awalnya hanya dua peratus.

Pencapaian yang membanggakan itu menunjukkan bahawa tiada sempadan atau halangan untuk meraih kejayaan. Sesiapa sahaja boleh menjadikan sekolah mereka cemerlang sekiranya ada kemahuan dan diusahakan bersungguh-sungguh. Atau dengan kata lain, jika ada kemahuan di situ ada kejayaan. Apa yang penting ialah pendekatan dan strategi dirancang dengan teliti dan dapatkan sokongan daripada semua warga sekolah untuk berkongsi matlamat yang telah ditetapkan.

Apakah bentuk pengukuran untuk mendapatkan ganjaran tersebut? Setiap sekolah di seluruh negara akan dinilai melalui skor komposit iaitu 70 peratus melalui keputusan peperiksaan awam. Sementara 30 peratus lagi dinilai terhadap pengurusan dan pentadbiran sekolah, termasuk mengendali urusan kewangan. Selain itu, pencapaian pelajar turut dinilai melalui anugerah akademik dan pencapaian dalam kokurikulum. Ini termasuk 'outcome' yang mengambil kira dari segi kejayaan bekas pelajar sekolah dalam kedua-dua bidang tersebut. Penilaian ini dibuat secara terperinci melalui kaedah Standard Kualiti Pendidikan yang dikendalikan oleh Jemaah Nazir Sekolah.

Apa yang menariknya, Bai'ah ini memberi peluang kepada semua jenis dan lokasi sekolah untuk menyertainya. Pencapaian yang disasarkan bukan khusus untuk sekolah yang sedia terkenal tetapi boleh disertai sekolah luar bandar dan pedalaman. Bagi sekolah-sekolah ini, penilaian akan mengambil kira tahap lonjakan peningkatan pencapaian dan kejayaan pelajar dalam bidang akademik dan kokurikulum.

Disarankan bagi menjayakan program ini, pengetua dan guru besar mestilah berfikiran positif. Anggaplah Bai'ah ini sebagai usaha pihak kementerian untuk mengangkat kualiti dan kecemerlangan sekolah. Sesungguhnya, semua sekolah di negara ini telah disediakan dengan keperluan asas yang mencukupi seperti kemudahan infrastruktur, bilangan guru terlatih, staf sokongan, keperluan kewangan dan peralatan sekolah untuk kegunaan pengajaran.

Oleh itu, menjadi tanggungjawab pemimpin sekolah supaya apa yang telah disediakan itu digembleng secara berkesan hingga ke tahap maksimum. Sekolah adalah sama seperti organisasi lain yang perlu diurus dengan baik dan teratur. Dengan itu, pengetua dan guru besar hendaklah melengkapkan diri mereka dari aspek strategi pengurusan dan pentadbiran terkini. Ini boleh dilakukan dengan menghadiri kursus, latihan, lawatan sambil belajar, membanyakkan pembacaan dan perbincangan dengan mereka yang berpengalaman.

Membangunkan sumber manusia merupakan satu lagi cabaran kepada pihak pengurusan sekolah. Sebenarnya, guru-guru yang terlatih dan berpengalaman merupakan aset penting yang perlu digembleng sepenuhnya. Mereka boleh memberi sokongan kuat kepada visi dan misi sekolah sekiranya diberi peluang dan tenaga mereka diurus dengan baik.

Pada masa ini, pendekatan pengurusan yang terlalu keras dan rigid sudah tidak sesuai lagi. Oleh itu, pendekatan yang mesra, terbuka, telus dan saling hormat menghormati di antara ketua dan pengikut perlu diamalkan dalam urusan seharian.

Satu lagi faktor penting untuk mencapai kejayaan ialah usaha meningkatkan kualiti guru. Peningkatan kualiti ini boleh dilaksanakan dengan menjadikan budaya pemantauan dan pencerapan guru di dalam bilik darjah sebagai amalan harian. Dengan ini memudahkan bimbingan dan tunjuk ajar diberikan terutama kepada guru-guru baru. Bagi memantapkan kualiti guru, program berbentuk kursus dan latihan dalaman hendaklah sentiasa dianjurkan terutama untuk memperkenalkan kaedah pengajaran baru hasil ledakan maklumat dan kecanggihan ICT.

Matlamat untuk mewujudkan sekolah cemerlang tidak akan tercapai jika tidak mendapat kerjasama pelajar. Justeru, visi dan misi sekolah perlu dikongsi bersama supaya semua pelajar dapat memahami dan mengamalkannya. Mereka hendaklah diberitahu bahawa usaha untuk menjadikan sekolah mereka cemerlang sebenarnya adalah untuk kepentingan mereka juga.

Peranan ibu bapa juga tidak kurang pentingnya. Kemahiran dan latar belakang yang ada pada mereka boleh digunakan bagi membantu pihak sekolah melaksanakan pelbagai aktiviti.

Sumbangan kewangan daripada ibu bapa merupakan sesuatu yang signifikan dan bermakna kepada sekolah. Sebenarnya, banyak aktiviti boleh dilaksanakan jika sekolah mempunyai sumber kewangan yang besar. Semua ini dapat dilaksanakan sekiranya pengetua dan guru besar mempunyai kemahiran untuk mempengaruhi ibu bapa.

Kesimpulannya, ganjaran dalam bentuk kewangan kepada pemimpin sekolah dan guru-guru melalui Bai'ah menunjukkan kesungguhan Kementerian Pelajaran melihat ada persaingan dalam kalangan pengetua dan guru besar untuk memajukan sekolah masing-masing.

TAN SRI ALIMUDDIN MOHD. DOM ialah Bekas Ketua Pengarah Pelajaran

Sumber : http : //www.utusan.com.my

ISU EKONOMI : Inisiatif majukan bumiputera

Oleh ROHAMI SHAFIE

MATLAMAT utama Model Baru Ekonomi (MBE) diperkenalkan adalah untuk meningkatkan kualiti kehidupan rakyat pada tahap terbaik. Ia melibatkan keterangkuman (inklusif) semua rakyat tidak kira bangsa, mapan dan juga berpendapatan tinggi. Apabila disebut keterangkuman, kita tidak boleh lari membincangkan mengenai penduduk majoriti rakyat Malaysia iaitu bumiputera yang masih ketinggalan dalam aspek ekonomi.

Ini kerana, tanpa meningkatkan kualiti kehidupan kaum bumiputera, matlamat-matlamat yang diuar-uarkan dalam MBE tidak akan tercapai.

Secara umumnya, pencapaian kaum bumiputera masih di tahap yang rendah. Meskipun Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah melahirkan ramai cerdik pandai daripada kalangan bumiputera, namun dari segi ekonomi, kaum bumiputera masih ketinggalan berbanding dengan kaum Cina dan India.

Pendapatan per kapita bumiputera masih tercorot berbanding dengan kedua-dua kaum utama tersebut. Itu belum termasuk, dari segi pemilikan harta benda dan kekayaan yang lain. Tiada gunanya negara mencapai taraf negara maju pada 2020, jika penduduk majoritinya masih ketinggalan jauh. Pemilikan harta dan kekayaan bagi segelintir pihak sahaja akan melahirkan ketidakseimbangan ekonomi negara. Perkara ini seharusnya ditangani kerana ia boleh memberi implikasi yang kurang selesa terhadap kemakmuran negara.

Justeru, pelbagai inisiatif baru seharusnya dirangka bagi memastikan keseimbangan ekonomi untuk semua rakyat Malaysia. Inilah prinsip keadilan yang sebenarnya. Apabila perkara ini dilaksanakan dengan cemerlang, tidak timbul lagi suasana yang boleh mengeruhkan keadaan di kalangan rakyat Malaysia.

Apabila Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) dilancarkan pada minggu lalu, maka idea-idea baru seharusnya diketengahkan bagi menjayakan agenda ekonomi bumiputera. Teraju berperanan untuk menjayakan lima bidang.

Pertama, keusahawanan dan penciptaan kekayaan. Sebenarnya, kalau dilihat dari segi potensi, kaum bumiputera mempunyai kekuatan dari segi keusahawanan, melibatkan daya kreativiti dan inovasi.Lihatlah semakin ramai peniaga-peniaga bumiputera di sana sini, namun kebanyakan mereka sekadar berniaga untuk menjual produk kepada pengguna akhir. Kaum bumiputera tidak seharusnya sekadar menjadi peniaga barangan untuk pengguna akhir sahaja, tetapi juga sebagai pemborong dan pembekal. Dalam kebanyakan kes, pemborong dan pembekal yang mengaut keuntungan yang lebih besar berbanding peniaga kepada pengguna akhir.

Bahkan, tidak keterlaluan, peniaga yang dikenali sebagai 'orang tengah' berkuasa penuh menentukan bagaimana sesuatu sektor perniagaan tersebut dijalankan. Mereka mengawal peniagaan, seterusnya mencipta kekayaan bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga untuk orang lain.

Pengumuman lima lagi syarikat bumiputera di bawah Skim Jejak Jaya Bumiputera (SJJB) untuk disenaraikan di Bursa Malaysia adalah satu iltizam yang amat baik bagi memperkasakan ekonomi bumiputera. SJJB yang diperkenalkan pada tahun 2007 boleh menjadi satu lagi inisiatif untuk menggandakan ekonomi bumiputera. Perancangan terperinci seharusnya dibuat agar pegangan saham syarikat-syarikat ini kekal milik di bawah milik bumiputera dalam jangka masa panjang.

Kedua, dari sudut pembiayaan. Pembiayaan di sini merupakan tunjang kekuatan sesuatu perniagaan. Teraju boleh berperanan untuk memastikan pembiayaan diperoleh usahawan-usahawan bumiputera dengan mengurangkan permasalahan birokrasi. Teraju boleh mendapatkan maklum balas daripada usahawan-usahawan bumiputera mengenai perkara ini dengan pendekatan seperti turun ke bawah bertemu dengan mereka.

Ketiga, pendidikan dan penggajian. Usaha-usaha berterusan untuk meningkatkan kualiti pendidikan kaum bumiputera seharusnya diteruskan. Pendidikan ini termasuklah melibatkan ilmu-ilmu yang berpotensi tinggi pada masa hadapan berlandaskan ekonomi negara. Apabila ini dapat direalisasikan, maka lebih banyak produk yang kreatif dan inovasi dapat dihasilkan, seterusnya dapat meningkatkan pendapatan kaum bumiputera.

Keempat, penilaian institusi dan instrumen polisi. Melihat bidang ini, ia serba sedikit memperlihatkan institusi-institusi yang menggerakkan ekonomi bumiputera. Teraju boleh berperanan meningkatkan kualiti institusi-institusi tersebut dengan menilai sejauh manakah kekuatan yang boleh diketengahkan. Pada masa yang sama, memperbaiki sebarang kelemahan dalam institusi-institusi bumiputera. Ini termasuklah, menilai instrumen polisi yang mungkin sudah lapuk untuk dilaksanakan dengan membuat penambahbaikan mahupun merombak semula polisi tersebut. Sebaliknya, polisi yang baik seharusnya dikekalkan.

Bidang yang terakhir ialah pengurusan stakeholder. Teraju perlu melibatkan semua pihak yang mempunyai kepentingan dalam ekonomi bumiputera. Antaranya yang tidak boleh diketepikan ialah dewan perniagaan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO). Mereka inilah yang menjadi pendokong dalam menjayakan agenda ekonomi bumiputera. Penglibatan mereka akan mempercepatkan lagi usaha untuk memperkasakan ekonomi bumiputera.

Melihat kelima-lima bidang di bawah Teraju, ia merupakan tanggungjawab dan amanah yang berat untuk dipikul. Namun, ia akan menjadi mudah jika semua pihak tidak kira pengurusan tertinggi Teraju, dewan perniagaan, NGO, kerajaan, pihak swasta dan orang perseorangan bekerja bersama-sama memajukan ekonomi bumiputera. Dengan kata lain, semuanya bergantung pada eko-sistem bumiputera itu sendiri.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENGEKALAN TEKS KOMSAS SPM : Panel tiada prasangka terhadap Abdullah

PUTRAJAYA 16 Feb. - Panel bebas mengkaji pindaan novel Interlok yang bersidang hari ini sebulat suara bersetuju bahawa tidak timbul sebarang buruk sangka terhadap penulis novel, Datuk Abdullah Hussain.

Pengerusi panel, Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin berkata, anggota panel turut bersetuju bahawa penulis novel yang juga Sasterawan Negara itu perlu dihormati dan integritinya dipertahankan.

"Kesemua anggota panel seramai lapan orang yang terdiri daripada pakar bahasa, ahli akademik, sasterawan, wakil Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta wakil masyarakat India berbincang dalam semangat muhibbah.

"Perbincangan berjalan dengan baik untuk mencari penyelesaian dan menjernihkan keadaan ekoran kontroversi terhadap isu novel ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pertama panel bebas itu di Kementerian Pelajaran di sini hari ini.

Menurut Dr. Shamsul Amri, panel tersebut dijangka mengemukakan perakuan kepada kerajaan mengenai bentuk pindaan terhadap novel itu dalam tempoh sebulan dari sekarang.

Kata beliau, satu atau dua lagi mesyuarat akan diadakan sebelum sebarang persetujuan dicapai mengenai cadangan untuk meminda novel tersebut.

"Anggota panel tidak meletakkan tempoh tertentu tetapi kita mahu cepat kerana perkara ini tidak boleh lama sangat," katanya.

Pada 27 Januari lepas, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa novel Interlok akan terus digunakan sebagai teks komponen sastera (Komsas) bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia untuk pelajar Tingkatan Lima di Zon 2 iaitu di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan.

Kerajaan bagaimanapun bersetuju untuk membuat beberapa pindaan pada bahagian-bahagian yang dianggap sensitif oleh masyarakat India dalam novel itu.

Selain Dr. Shamsul Amri yang juga Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), anggota panel bebas itu turut dianggotai isteri penulis novel berkenaan, Datin Siti Saroja Basri.

Anggota lain ialah Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz; Pengarah Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, Prof. Datuk Zainal Abidin Borhan; Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin dari Jabatan Bahasa Melayu Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM).

Turut tersenarai Pengarah Pusat Pendidikan Global Aminuddin Baki Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof. Dr. NS Rajendran dan bekas pegawai Kementerian Pelajaran, G.Krishnabahawan dan penulis, Uthaya Sankar.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/