Isnin, 21 Februari 2011

MUET Ditawarkan Sebanyak Tiga Kali Setahun Mulai Tahun Depan

KUALA LUMPUR: Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) akan menawarkan ujian Malaysian University English Test (MUET) sebanyak tiga kali setahun mulai tahun depan.

Pengerusi MPM Prof Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak berkata bilangan sesi ujian ini ditambah bagi menampung keperluan dan permintaan pelanggan yang semakin bertambah setiap tahun.

"Peningkatan kepada bilangan pelanggan menunjukkan petanda yang baik terhadap keperluan MUET ini.

"Mulai tahun depan, sesi ujian dijalankan pada Mac, Julai dan November berbanding sebelum ini sebanyak dua sesi pada April dan November sahaja," katanya kepada pemberita ketika pengumuman keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Anugerah Pelajar Cemerlang STPM dan MUET 2010, di sini hari ini.

Seramai 94,117 calon menduduki MUET pada akhir tahun lepas, iaitu peningkatan sebanyak 13.15 peratus berbanding jumlah calon MUET pertengahan tahun iaitu sebanyak 81,743 calon.

Beliau berkata secara keseluruhan, prestasi calon MUET akhir tahun telah meningkat sebanyak 46.02 peratus calon, mendapat Band 3 atau lebih baik berbanding dengan 33.87 peratus pada MUET pertengahan tahun lepas

Pada majlis hari ini, dua pelajar cemerlang MUET pertengahan dan akhir tahun lepas turut diberikan ganjaran iaitu Lim Yi Wen dari Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist (ACS) Ipoh dan Ding Choon Ken dari Universiti Multimedia (B), Cyberjaya. Kedua-dua pelajar ini mendapat keputusan Band 6 dalam peperiksaan MUET 2010. - BERNAMA

ISU ALAM SEKITAR : Penjagaan alam sekitar secara mapan jamin bekalan air dirawat cukup

Oleh Mohd Azrone Sarabatin
Azrone@bharian.com.my

SEORANG rakyat Malaysia secara purata menggunakan bekalan air dirawat pada kadar RM3.20 sebulan, kedua termurah di Asia selepas India berikutan tarif air rendah di negara ini. Namun kadar itu dijangka berubah dalam tempoh dua hingga lima tahun akan datang berikutan kegagalan kita mengurus sumber bekalan air meliputi air bersih dan air buangan, selain pencemaran sungai kesan kepesatan perindustrian, pembinaan serta kemusnahan tadahan air akibat kegiatan perladangan dan pembalakan.

Sumber bekalan berkurangan dengan sendirinya menyebabkan kadar tarif meningkat berikutan kos rawatan air bertambah sehingga mendorong syarikat pembekal melakukan tindakan segera menaikkan kadar bagi mengelak kerugian.

Justeru, pendidikan pemuliharaan dan penjagaan alam sekitar secara mapan perlu diterapkan bagi memastikan bekalan air sentiasa mencukupi dan tidak berlaku bencana alam seperti kemarau panjang, banjir besar luar biasa, hakisan sungai dan tanah runtuh.

Presiden Persatuan Air Malaysia (MWA), Ahmad Zahdi Jamil, berkata selain sungai hampir kering dan tercemar menyukarkan rawatan air, banjir yang merosakkan air sudah dirawat dan memerlukan proses rawatan semula sehingga kos berlipat ganda.

“Kita khuatir keadaan ini menyebabkan syarikat pembekal menaikkan tarif berikutan kos rawatan tinggi dan berulang. Keadaan itu tidak dapat dielak kerana jika syarikat itu menjual air pada tarif sama, mereka rugi,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Cabaran utama bekalan air pada masa depan adalah kos menampung operasi dan pembinaan infrastruktur meliputi loji dan saluran paip mengikut perkembangan penduduk, ekonomi serta pembangunan.

Kajian MWA bersama pakar air di institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara mendapati, kos operasi semakin tinggi berikutan sumber air kian tercemar, akhirnya mengurangkan bekalan air.

Aspek itu meliputi pertumbuhan sektor perladangan dan perindustrian serta tabiat manusia gagal memulihara alam sekitar manakala ada jabatan dan agensi kerajaan tidak menjalankan tanggungjawab mengurus sumber alam semula jadi yang menjadi punca utama bekalan air.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Marzuki Khalid, berkata Malaysia memerlukan bekalan air bersih atau air buangan untuk kegunaan industri bagi menjayakan Wawasan 2020.

Sehubungan itu, negara perlu membangunkan bekalan air tinggi untuk mencapai matlamat berkenaan sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi, sosial dan politik.

Paling penting ketika ini kerajaan perlu menyelesaikan permasalahan berkaitan pengurusan air dan air buangan secara mapan bagi memastikan keperluan penduduk dan perindustrian mencukupi.

Dr Marzuki berkata, Kerajaan Malaysia perlu membangunkan bekalan air tinggi untuk mencapai status negara maju pada 2020 kerana tanpa bekalan mencukupi sukar untuk memajukan perindustrian, pelancongan dan memenuhi permintaan penduduk.

“Ketika ini lebih 90 peratus sumber bekalan air negara untuk penduduk bersesuaian dengan polisi dan tadbir urus air negara. Namun penambahbaikan dalam aspek pengurusan bekalan air tinggi dan sektor air terbuang perlu dilaksanakan segera,” katanya.

Pakar Geografi dari Swansea University, United Kingdom, Prof Dr Rory Walsh, berkata fenomena perubahan cuaca turut memberi kesan kepada sumber bekalan air di negara ini terutama bagi merawat dan membekalkan air untuk minuman.

Contoh, fenomena La Nina menyebabkan banjir luar jangka yang lari dari kecenderungannya di kawasan tertentu manakala kawasan lain berlaku kemarau.

Kajian universiti itu di Sabah dan Sarawak mendapati berlaku perubahan cuaca di beberapa kawasan meliputi peningkatan suhu, pengurangan taburan hujan dan kekerapan kemarau. Berlaku kesan hidrologi atau aliran air permukaan, aliran sungai dan bekalan air yang berpunca kesan perubahan cuaca dikesan akibat penerokaan tanah untuk pertanian, hakisan sungai dan proses perbandaran.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU BAHASA : Suruhanjaya Bahasa Negara!

APAKAH Malaysia mempunyai satu Dasar Bahasa Negara? Jawapannya: Ya dan benar! Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan mengkanunkan “Bahasa Kebangsaan ialah Bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang oleh Parlimen” dan Perkara 152 (6) menegaskan “Dalam Perkara ini,

maksud rasmi ertinya apa-apa jua maksud Kerajaan, sama ada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri, dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam.” Fungsi Bahasa Melayu diperkukuh lagi dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, disemak 1971.

Daripada kedua-dua sumber tersebut telah diperluas tafsiran terhadap kedudukan dan fungsi bahasa Melayu dalam beberapa undang-undang yang lain. Undang-undang tertinggi Malaysia itu menetapkan bahawa Bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan bagi negara Malaysia; Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi bagi melaksanakan maksud-maksud Kerajaan Persekutuan, Badan Berkanun, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan dan rakyat Malaysia tidak dilarang menggunakan, belajar atau mengajar bahasa-bahasa lain.

Persoalan semasa sekarang di Malaysia ialah keperlahanan pelbagai sektor, awam dan swasta bagi melaksanakan tanggung jawab dan usaha ke arah mencapai matlamat strategik, memperkukuh fungsi utama bahasa Melayu sebagai bahasa negara. Bahasa Melayu bukan satu bahasa yang kecil, tetapi peranan besarnya itu agak tidak menentu mulai pertengahan dekad 1990-an.

Apabila memasuki abad ke-21 bahasa Melayu menerima cabaran baru, berada di persimpangan jalan persepsi antara zaman globalisasi dan pengaruh liberalisasi. Bahasa Inggeris dianggap satu-satunya bahasa yang menjamin kemajuan, tanpa mengakuri bagaimana Jepun, Korea, Perancis dan Jerman maju. Lebih-lebih lagi kemajuan dikatakan sepenuhnya ditentukan sains dan teknologi yang pula disinonimkan dengan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT).

Kepemimpinan politik, organisasi industri, ekonomi dan dagang bagaikan hilang keyakinan terhadap kemampuan bahasa negara sendiri untuk berada di arus perdana kemajuan itu. Ada semacam kegagalan memahami fungsi lokal dan global, kepentingan jati diri, bahasa sebagai asas pembinaan tamadun bangsa dan bahasa dalam sistem pendidikan atau dalam sistem-sistem lain.

Senario baru menunjukkan penegasan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara semakin malap. Wujud keserongan persepsi yang beredar di fikiran politik.

Kajian Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1996 menunjukkan ‘bahawa bahasa kebangsaan belum dapat digunakan dengan meluas atau tidak memainkan peranan yang utama sebagai bahasa komunikasi bagi urusan komersial dan perdagangan dalam negeri, industri, sains dan teknologi, dan urusan-urusan dalam negeri yang lain.

Tempat bahasa Melayu itu diambil oleh bahasa-bahasa asing terutamanya bahasa Inggeris. Malah, kualiti bahasa Melayu didapati merosot, terutama sekali apabila bahasa Melayu digunakan secara bercampur aduk dengan bahasa Inggeris’.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam perutusan Tahun Baru 2011, menyeru rakyat, “Janganlah kita hanya berpuas hati dan berpeluk tubuh menjadi pengkritik di tepian, tetapi marilah kita corakkan masa depan generasi hari ini.” Apakah natijah yang boleh digarap dan diaplikasikan dari kenyataan seorang ketua kerajaan kepada situasi bahasa di Malaysia?

Maknanya semua orang tidak harus berpuas hati dan berpeluk tubuh menjadi pengkritik di tepian apabila melihat bahasa sebagai asas peradaban bangsa kian terpinggir dan dipinggirkan. Mereka yang berkuasa di peringkat Kerajaan Pusat, negeri, badan berkanun, syarikat rangkaian kerajaan (GLC), pihak berkuasa tempatan dan organisasi swasta semestinya mengembalikan semula keyakinan bahawa bahasa kebangsaan itulah bahasa pembangunan negara dan pembinaan bangsa, bahasa yang menyatupadukan rakyat negara ini.

Apakah tidak ada kemungkinan diwujudkan sebuah Suruhanjaya Bahasa Negara (SBN)? Peranan dan fungsi DBP boleh diserapkan dengan diberikan peranan dan fungsi yang lebih luas. Cadangan ini telah saya sebut semasa Forum Wacana Bahasa Melayu, di Kangar pada 20 Januari 2011 dan terbaharu diulangi pada Hari Pejuang Bahasa 152 di Kuching, Sarawak pada 16 Februari, semasa saya menyampaikan ucap utama.

Sebuah suruhanjaya boleh bertindak melalui ‘kuasa’, ‘kuat kuasa’ dan ‘penguatkuasaan’ undang-undang menyelesaikan masalah pelaksanaan bahasa Melayu yang belum tercapai sepenuhnya sebagai bahasa rasmi.

SBN diberikan kuasa memantau bahasa kebangsaan yang berkualiti tinggi dan bercitra Malaysia atau sebagai bahasa pengantar pendidikan kerana ada masalah di sektor institusi pendidikan swasta.

Badan ini juga boleh menggerakkan perluasan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi, perniagaan, perdagangan dan perkhidmatan kewangan atau meningkatkan prestasi bahasa Melayu sebagai bahasa penyelidikan, penciptaan dan pembangunan sains dan teknologi dan meluaskan penggunaan bahasa Melayu dalam amalan industri (kecuali IKS) dan bidang profesional (perubatan, kejuruteraan, kepeguaman, kewangan dan seumpamanya).

Penegasan semula pelaksanaan Dasar Bahasa Negara hendaklah dikenakan segera kepada semua jabatan sektor awam, sektor swasta dan organisasi umum.

Apakah senario kemerosotan bahasa Melayu itu disebabkan kelemahan bahasa itu atau kemahuan politik (political will) yang lemah? Apakah disebabkan gelombang bahasa Inggeris terlalu besar sehingga kita ikut berasa cemas dan bimbang. Apakah sesudah melangkahi garis lebih setengah abad kemerdekaan, bangsa Malaysia masih terkapai-kapai dihanyutkan gelombang sikap dan tabiat ‘tidak apa’?

Tabiat negatif terhadap bahasa Melayu ini akan mengakibatkan kesan yang lebih parah lagi dalam tempoh jangka panjang. Apakah kita rela menyaksikan anak cucu kita puluhan tahun akan datang luntur jati diri dan kehilangan keperibadian bangsa Malaysia? Mungkin kehidupan budaya nasional atau tempatan beralih secara ala Amerika (Anglo American atau Anglo Saxon) dengan nilai budaya, rasa dan selera budaya yang asing sama sekali!

Kita tahu dunia satu bahasa (monolingual) sudah tiada lagi. Rakyat Malaysia tahu keperluan menguasai bahasa-bahasa asing utama yang lain itu dengan baik. Cuma yang mana dijunjung, yang mana dikelek. Rasanya kini ‘Penegasan Semula Dasar Bahasa Negara’ memerlukan ‘Gerakan Baru’.

Sentuhan Perdana Menteri dan Jemaah Menteri dinantikan. Kita mahu berpegang kepada matlamat untuk memperkukuh status dan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa negara, bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi supaya dapat menjadi asas bagi pembinaan tamadun negara bangsa Malaysia dalam abad ke-21 ini.

Malaysia memerlukan perancangan strategik bahasa bagi penyelesaian masalah pembangunan, pembinaan dan pengembangan bahasa Melayu sebagai bahasa negara menjelang tahun 2020. Bahasa Melayu itu sudah berada di martabatnya, boleh diperkasakan dengan melihat masalah-masalah utama, mengkaji isu-isunya dan menetapkan dasar penggunaan bahasa kebangsaan untuk semua sektor selaras dengan Program Transformasi Kerajaan (GTP) bermula dalam Rancangan Malaysia (RMK-10) 2011-2015 sekarang ini.

Datuk A Aziz Deraman ialah bekas Ketua Pengarah DBP 1994-2004/bekas Ketua Pengarah Kebudayaan 1981-1989 dan kini Ahli Jawatankuasa Gapena

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

46,780 Calon Lulus Penuh, Hanya Lapan Dapat 5A


KUALA LUMPUR: Seramai 46,780 pelajar atau 92.49 peratus calon lulus penuh bagi sekurang-kurangnya satu mata pelajaran Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun lepas.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia Prof Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak berkata ini merupakan penurunan 0.06 peratus berbanding 48,481 atau 92.55 peratus pada 2009.

Seramai lapan calon mencapai keputusan gred A dalam lima mata pelajaran yang diambil berbanding dengan 15 calon dalam STPM 2009, katanya.

"Daripada jumlah itu, tujuh calon adalah pelajar aliran sains manakala seorang lagi calon dari aliran sastera," katanya ketika mengumumkan keputusan peperiksaan STPM 2010 di sini, Isnin.

Seramai 50,576 calon menduduki STPM dari 23 November hingga 16 Disember tahun lepas di 760 buah pusat peperiksaan di seluruh negara. - BERNAMA

Ahad, 20 Februari 2011

ISU BAHASA : Bahasa kedua lambatkan Alzheimer

WASHINGTON 19 Feb. - Menguasai bahasa kedua akan membantu 'melambatkan' seseorang daripada menghidap penyakit Alzheimer di kemudian hari, kata para saintis semalam.

Ketika kajian tersebut menumpukan kepada penguasaan dwibahasa dalam tempoh jangka panjang, para saintis berkata, orang ramai yang lewat belajar bahasa kedua juga boleh mendapat faedah yang sama.

"Apabila anda menjadi lebih mahir, kesannya akan lebih baik," kata profesor psikologi di Universiti York, Toronto, Ellen Bialystok.

Kebanyakan kajian penguasaan dwibahasa melibatkan bayi kerana para saintis hairan mengapa golongan itu mampu menguasai dua bahasa dengan hanya mendengar percakapan, dalam masa yang sama mereka perlu mempelajari hanya satu bahasa.

"Otak bayi lebih fleksibel dan mampu menjalankan pelbagai tugas. Apabila mereka membesar, otak mereka menunjukkan kawalan eksekutif, satu sistem utama untuk berfungsi lebih baik,'' kata Bialystok.

Bialystok meneliti keadaan 450 pesakit Alzheimer yang kesemuanya menunjukkan tahap kerosakan sama ketika diperiksa.

Separuh daripada pesakit berkenaan telah menguasai dua bahasa dan mereka menggunakan bahasa berkenaan sepanjang hidup mereka.

Pesakit Alzheimer yang menguasai dua bahasa menunjukkan simptom antara empat dan lima tahun lebih lewat berbanding mereka yang hanya menguasai satu bahasa, katanya dalam pertemuan tahunan Persatuan Sains Lanjutan Amerika.

Bialystok berkata, menguasai dua bahasa tidak menghalang seseorang menghidap Alzheimer tetapi apabila ia mula menyerang, kawalan eksekutif itu membantu memperlahankan simptom.

Kajian beliau menyokong satu kajian awal oleh penyelidik lain yang turut menemui perlindungan terhadap kesan penyakit itu. -Agensi.

Nota Hujung:

Alzheimer atau sebutannya alz-zhai-me, merupakan sejenis penyakit penurunan fungsi saraf otak yang kompleks dan progresif. Penyakit Alzheimer bukannya sejenis penyakit berjangkit. Penyakit Alzheimer adalah keadaan di mana daya ingatan seseorang merosot dengan teruknya sehinggakan pengidapnya tidak mampu mengurus diri sendiri. Penyakit Alzheimer bukannya `nyanyuk' yang sekadar satu proses penuaan. Sebaliknya, ia adalah sejenis masalah kesihatan yang amat menyeksakan dan perlu diberikan perhatian.Alzheimer digolongkan ke dalam salah satu daripada jenis nyanyuk (dementia) yang dicirikan dengan melemahkan pertuturan, kewarasan, ingatan, pertimbangan, perubahan personaliti dan tingkah laku yang tidak terkawal. Keadaan ini amat membebankan bukan saja kepada si penghidapnya, malah ahli keluarga yang menjaga. Penyakit Alzheimer yang menurunkan fungsi memori ini juga menjejaskan fungsi intelektual dan sosial penghidapnya. (Sumber : http://ms.wikipedia.org/)

Sabtu, 19 Februari 2011

ISU KESIHATAN : Hikmah tersirat sebalik amalan hidup sederhana

Oleh Irfan Mohamad

Islam larang ummah merokok, zina, minum arak kerana memudaratkan kesihatan


TANGGAL 4 Februari adalah sambutan Hari Kanser Sedunia. Walaupun terciptanya pelbagai bentuk kaedah rawatan baru yang menjanjikan sinar harapan kepada pesakit kanser untuk pulih, bilangan kes penyakit kanser menunjukkan peningkatan saban tahun.

Statistik menaik ini bukan saja berlaku di Malaysia bahkan aliran sama dilakarkan di seluruh dunia. Sejumlah 12.7 juta kes kanser baru dicatatkan dan hampir 7.6 juta orang mati kerananya setiap kali kalendar tahunan bertukar.

Mungkin ramai menganggap kanser ialah penyakit nasib malang terjadi kepada sesiapa yang terkena, ada juga menganggap ia penyakit keturunan semata-mata.

Tidak kurang juga kepercayaan ditanam bahawa ia hukuman mati mandatori bagi sesiapa menerima berita menghidapinya.

Tidak ramai mengetahui kanser sebenarnya penyakit yang boleh dicegah, walaupun tidak semua, namun peratusannya boleh mencapai 30 hingga 40 peratus.

Sebagai agama yang syumul, ajaran Islam mengandungi hikmah yang kebanyakan kita menganggap sebagai ritual semata-mata sedangkan ia ajaran menghiasi cara hidup lebih sejahtera untuk kehidupan akhirat dan mempunyai pelbagai manfaat dunia termasuk pencegahan penyakit kanser.

Pengambilan alkohol dan merokok antara faktor risiko mendedahkan seseorang mendapat kanser. Pengambilan alkohol berkait rapat dengan kanser di bahagian mulut, tekak, saluran makanan (esofagus) selain hati.

Pengharaman alkohol atau arak adalah jelas seperti firman Allah yang bermaksud: “‘Hai orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, berhala dan undian adalah kotor daripada perbuatan syaitan. Oleh itu jauhilah dia supaya kamu bahagia.

Syaitan hanya bermaksud untuk mendatangkan permusuhan dan kebencian antara kamu disebabkan arak dan judi serta menghalangi kamu ingat kepada Allah dan solat. Apakah kamu tidak mahu berhenti?” (Surah Al-Maidah, ayat 90-91)

Rokok pula diketahui mengakibatkan kanser paru-paru, saluran pernafasan atas dan buah pinggang. Selain kanser, tabiat merokok juga mudah membawa kerosakan pada organ jantung, perut, meningkatkan risiko angin ahmar dan komplikasi lain akibat rosaknya salur darah dalam badan.

Yang lebih menyedihkan, kesan asap rokok turut memudaratkan orang yang berada di sekitar perokok atau perokok pasif. Bayangkan betapa hebatnya kesan akan ditanggung ahli keluarga bagi seorang bapa yang merokok.

Oleh sebab itu Islam dengan jelas melarang sebarang perkara yang boleh memudaratkan diri serta orang sekeliling. Firman Allah yang bermaksud: “Dan janganlah kamu campakkan dirimu ke dalam kebinasaan.” (Surah Al-Baqarah, ayat 195)

Bagi seseorang yang mengambil alkohol dan merokok, risiko mendapat kanser bukan lagi berkadar secara langsung, bahkan peningkatannya berkali ganda banyaknya berbanding mengambil alkohol atau merokok secara berasingan.

Pengambilan makanan juga banyak diberi penekanan dalam Islam baik dari segi kuantiti, kualiti kebersihan serta perlu dipastikan sumbernya halal lagi baik.

Ketika makan, Rasulullah SAW menunjukkan contoh supaya tidak berlebih-lebihan bagi megelak penyakit metabolik seperti kencing manis dan darah tinggi, malah turut dikaitkan dengan mendapat risiko kanser lebih tinggi.

Justeru, Islam mengajar supaya makan berpada-pada dan memilih kumpulan makanan mengikut keperluan tubuh badan bagi mencegah kemudaratan. Contohnya, mengelak makanan terlalu manis, masin, berlemak, mengurangkan pengambilan daging merah dan pada masa sama mempelbagaikan juadah dengan mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran.

Selain faktor makanan seimbang dan berpada-pada, kita juga disarankan menjaga kesihatan dengan melakukan aktiviti fizikal secara istiqamah. Keperluan bersenam dan mengeluarkan peluh dibuktikan secara saintifik bukan saja penting untuk kesihatan jantung, juga kegemukan.

Berat badan berlebihan boleh menyumbang 20 hingga 30 peratus berlakunya beberapa jenis kanser seperti kanser kolon (usus besar) dan bahagian lain dalam saluran reproduktif (pembiakan).

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Allah lebih menyayangi orang Mukmin yang kuat daripada orang Mukmin yang lemah.” (Hadis riwayat Muslim)

Apabila badan tidak cergas, fikiran juga lembab dan lambat bertindak bak kata pepatah Arab, ‘akal yang sihat adalah dari badan yang sihat’.

Sungguhpun penyakit kanser bukan penyakit berjangkit, ada beberapa jenis kanser berpunca daripada jangkitan virus. Memang benar tidak semuanya dapat dielakkan, namun kita perlu berikhtiar supaya jangkitan virus membawa kepada kanser dapat dikurangkan.

Virus seperti hepatitis B dan C yang dikaitkan dengan kanser hati serta virus human papiloma (HPV) pula dikaitkan risiko kanser serviks mudah dipindahkan virusnya dengan amalan seks bebas. Pencegahan mengikut panduan agama boleh mengurangkan risiko mendapat virus berbahaya ini.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan janganlah kamu dekati zina. Sesungguhnya zina itu suatu perbuatan keji dan jalan yang buruk.” (Surah Al-Isra’, ayat 32)

Sesungguhnya banyak perkara tersurat dan tersirat dalam ajaran Islam yang membawa kepada sinar kesejahteraan hidup manusia. Hanya mata yang ingin melihat kebesaran Allah dan keagungan Islam boleh menghadirkan apresiasi keindahan di sebalik bait ayat al-Quran dan hadis Rasulullah SAW.

Kembali kepada ajaran Islam sebenar nescaya kita akan dapati ia agama sejahtera dan mensejahterakan umatnya, bukan saja dalam perkara ibadat, mualamat atau munakahat, juga pencegahan kanser.

Penulis ialah Pensyarah Perubatan/Pakar Otorinolaringologi-Surgeri Kepala dan Leher Pusat Pengajian Sains Perubatan Universiti Sains Malaysia Kota Bharu, Kelantan

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Inovasi umpama mata wang baru

Dr Kamal Jit Singh

Kaedah ajar masyarakat berfikir bertentangan daripada kebiasaan untuk cipta kehebatan

INOVASI bermula daripada minda. Ia berkaitan dengan cara kita berfikir sama ada dapat membantu menyelesaikan masalah secara unik atau mencipta sesuatu produk, model perniagaan, pemprosesan atau menambah pengalaman sosial.

Tahap pemikiran yang tinggi adalah sistem pertahanan terbaik, terutama ketika kita berada dalam era perdagangan berasaskan komoditi.

Seperti inovasi, pemikiran satu lagi perkataan yang sering disalahertikan. Daripada pengalaman menunjukkan bahawa sistem pendidikan kita menggantikan aspek pemikiran kepada menghafal fakta dan mendapat maklumat semata-mata.

Sekolah hanya tempat bagi kita belajar mendapatkan maklumat, tetapi tidak mengajar kita bagaimana menggunakan maklumat itu untuk mencipta dan menjadikan masyarakat serta dunia ini satu tempat lebih baik untuk kita semua.

Sekolah mengajar kita untuk bertindak balas. Namun, pelajar hanya bertindak balas terhadap apa yang terletak depan mereka. Berikutan itu, seseorang pelajar tidak perlu mencipta atau menjadi individu yang kreatif. Malangnya, keadaan ini, menyebabkan kita tidak mampu lagi berfikir.

Pernahkah anda berhadapan dengan kerenah birokrasi, terutama terhadap peraturan dan ketetapan yang tidak sepatutnya, sehingga menimbulkan rasa lucu? Sesuatu proses itu ada kalanya dilaksanakan secara tidak masuk akal dan kakitangan terbabit hanya mengikut seperti digariskan.

Malah kita juga tidak dibenarkan berfikir apabila ada ahli politik memberitahu supaya kita tidak mempersoalkan apa juga keputusan dan hukuman yang sudah diputuskan?

Dari perangkaan jelas menunjukkan keadaan itu. Sebagai contoh permohonan mendapatkan paten sesuatu produk yang dihasilkan serta buku yang ditulis oleh rakyat kita masih rendah.

Inovasi sebenarnya memerlukan kita berfikir bertentangan daripada kebiasaan. Ia suatu kemampuan untuk kita mencipta sesuatu yang hebat daripada bahan yang ada. Ia membabitkan kemampuan melihat sesuatu dengan cara berbeza. Keupayaan menggabung dan menyusun semula maklumat sehingga mewujudkan pilihan.

Inovasi memerlukan kita memahami bahawa menerima maklumat berulang kali adalah tidak sama seperti proses berfikir.

Inovasi kini umpama mata wang baru dan bukan lagi maklumat. Maklumat saja tidak mencukupi, jika benar, semua pustakawan pastinya sudah kaya raya. Dalam dunia dan persekitaran hari ini yang pantas bergerak, maklumat sebagai komoditi pantas juga ketinggalan zaman. Malah, kelayakan akademik hanya mampu bertahan dalam tempoh tujuh tahun apabila maklumat baru menggantikan yang lama.

Ketika ini tidak wujud kesepadanan antara graduan tempatan yang dihasilkan dengan keperluan dan kehendak industri.

Bertanyalah kepada sesiapa saja yang menggaji pekerja berpengetahuan dan anda akan mendengar graduan tempatan dikatakan tidak memiliki kemahiran menyelesaikan masalah, tidak mampu berkomunikasi dengan baik walaupun mereka berpelajaran tinggi, tidak memiliki kemahiran memujuk dan tidak mempunyai pendekatan inovatif.

Ia sesuatu yang memeranjatkan? Graduan hanya menerima sebarang maklumat yang ‘disuap’ kepa-da mereka dan adakah ini sebagai satu keadaan semula jadi dalam sistem pendidikan kita - bermula dari tadika hingga ke universiti?

Apa yang majikan mahu daripada pekerja berpengetahuan supaya mereka melihat sesuatu daripada gambaran yang lebih meluas. Memiliki keupayaan untuk mencipta dan mereka cipta sesuatu yang baru dan hebat bagi menangani masalah yang wujud, membentuk konsep dan seterusnya membina perniagaan. Dalam erti kata lain kemampuan untuk berinovasi.

Justeru, bolehkah inovasi diajar atau ia hanya satu proses mistik atau kepintaran yang terhasil pada masa dan tempat yang betul?

Namun, pada masa sama, kejayaan kebanyakan syarikat multinasional (MNC) adalah jelas bahawa inovasi adalah satu proses dan kemahirannya boleh diajar dan dipelajari.

Memang ada kebenarannya, individu yang memiliki kreativiti hebat dan selalu mengimpikan untuk menghasilkan produk yang terbaik menjadi landasan kepada kejayaan. Kita tidak boleh mudah mengalah kepada jalan yang mungkin kita tidak menjangka akan menjadi laluan kejayaan.

Inovasi adalah sesuatu yang dirancang secara sistematik dan bukan suatu kebetulan. Kejayaan sesuatu inovasi akan membentuk satu laluan dan kita perlu mengi-kutnya sehingga kita mampu menjadikan ia satu tabiat atau amalan. Kita seterusnya akan mula mengukir laluan kita sendiri bagi perjalanan yang panjang ini.

Ada tiga bentuk pemikiran bagi mencapai sesuatu kejayaan dalam inovasi. Pertama, pemikiran inovatif. Terlebih dulu, ia memerlukan kita memecahkan tembok halangan yang kita sendiri bina dan mula berfikir dari perspektif yang berbeza.

Pemikiran inovatif adalah penting untuk kita menjana idea baru, penyelesaian masalah, mengubah hala tuju dan memikirkan semula sesuatu isu yang mungkin kita mengambil mudah sebelum ini.

Penulis ialah Ketua Pegawai Eksekutif Unit Inovasi Khas (UNIK) Pejabat Perdana Menteri

Sumber : http : //www.bharian.com.my/