Khamis, 24 Februari 2011

FAJAR BAHASA

Pancarkan fajar bahasaku yang indah berkilau
menyinari tulus hatimu
buat mengenal jati diri di jendela peribadi

Pancarkan fajar bahasaku yang berilmu
menyinari suci kamarmu
bertamulah cendekia bangsa di anjung sejahtera

Pancarkan fajar bahasaku yang satu
menyinari bersih kasihmu
harapan musim lalu dan perjuangan masa kini
adalah api yang takkan padam
seiring dan abadi

Syaidul Azam Kamarudin
Johor Bahru

Sumber – Dewan Bahasa Mei 2010

Rabu, 23 Februari 2011

Kemerosotan keputusan STPM 2010 akan dikaji

KUALA LUMPUR 22 Feb. - Kementerian Pelajaran akan mengkaji punca kemerosotan peratusan lulus penuh Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2010 di seluruh negara yang diumumkan semalam.

Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kementerian akan menyediakan analisis bagi mengenal pasti punca penurunan peratusan lulus penuh itu sebelum tindakan seterusnya diambil.

Selain itu, kata beliau, tindakan menempatkan guru berpengalaman dan berkualiti di luar bandar tidak semestinya langkah tepat untuk merapatkan jurang prestasi antara calon bandar dan luar bandar.

"Kebanyakan sekolah di luar bandar mahupun di kawasan pedalaman mempunyai guru yang berpengalaman mengajar lebih daripada lima tahun dan bukanlah hanya dipenuhi dengan guru baru lepasan maktab sahaja.

"Masih banyak perkara yang perlu dikaji sebelum mengambil tindakan bagi memastikan ia benar-benar berkesan dan memastikan keputusan lulus penuh dapat ditingkatkan semula," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Seramai 50,576 calon menduduki STPM tahun lalu dan hanya 46,780 atau 92.49 peratus calon lulus penuh bagi sekurang-kurangnya satu mata pelajaran.

Peratusan calon yang mendapat lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran juga menunjukkan penurunan iaitu dari 47.72 peratus atau 25,001 calon yang dicatatkan pada 2009 berbanding 46.41 peratus (23,473 calon) tahun lalu.

Selain itu, 11 lagi mata pelajaran turut menunjukkan penurunan prestasi iaitu Bahasa Malaysia, Pengajian Am, Seni Visual, Perakaunan, Kesusasteraan Melayu, Kesusasteraan Inggeris, Geografi, Biologi, Ekonomi, Matematik S dan Bahasa Arab.

Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hassan berkata, kajian tersebut perlu dilakukan secara menyeluruh meskipun terdapat sesetengah pihak beranggapan ia tidak serius.

Katanya, jika perkara tersebut tidak ditangani segera, dibimbangi pelajar lepasan STPM tidak mampu bersaing dengan penuntut program matrikulasi mahupun diploma.

Tegasnya, lebih serius peratus lulus bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia turut menunjukkan penurunan pada tahun lalu.

"Penurunan tersebut perlu dikaji dengan teliti bagi mengenal pasti sama ada pendekatan memartabatkan bahasa kebangsaan itu masih rendah dan tidak menonjol.

"Kesan pembelajaran dan pengajaran Sains dan Matematik juga perlu dikaji sama ada turut menjadi punca penurunan bagi mata pelajaran tersebut," katanya.

Jelas Mohamad Ali, kementerian perlu mengesan penurunan keputusan STPM 2010 dan mencari langkah terbaik mengatasinya yang juga merangkumi langkah jangka pendek, pertengahan dan panjang.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN :IPT perlu proaktif cungkil idea penyelidikan

Oleh Dr Norhafezah Yusof

PENYELIDIKAN adalah usaha mengenal pasti permasalahan sesuatu fenomena. Selaras dengan kehendak masyarakat, penyelidikan perlu dilihat mampu menghasilkan sesuatu penambahbaikan terhadap pembentukan dasar dari aspek akademik dan permasalahan praktikal. Ia mendasari keperluan pembentukan sesuatu polisi terutama yang berimpak tinggi dalam masyarakat dan negara.

Bertepatan dengan idea itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin, dalam Amanat Tahun Baru 2011 baru-baru ini di Putrajaya menekankan perihal pentingnya peranan penyelidikan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) dengan menggariskan beberapa isu berkenaan dengan Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi (HICoE) dan peranan universiti dalam menggembleng tenaga untuk kemajuan penyelidikan.

Masyarakat Malaysia yang peka dengan perkembangan institusi pengajian tinggi mungkin memahami dengan jelas mengenai klasifikasi universiti di negara ini. Perkara yang ingin disentuh di sini ialah mengenai keghairahan universiti dalam mencapai status Universiti Penyelidikan.

Umum mengetahui mengenai perkembangan terkini yang mana Kementerian Pengajian Tinggi telah mengiktiraf beberapa IPTA sebagai Universiti Penyelidikan seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan yang terkini Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Manakala Universiti Sains Malaysia (USM) diiktiraf sebagai Universiti APEX.

Perkara pokok mendasari perkembangan kesemua IPT ini ialah budaya penyelidikan yang menjadi antara tunjang yang perlu diperhebatkan pihak pengurusan tertinggi IPT berkenaan. Justeru, mengapa pembudayaan dan perkembangan penyelidikan dilihat sebagai aspek penting dalam pembangunan sesebuah IPT?

Berteraskan kepada falsafah ‘Pengajian Tinggi ke arah Transformasi Negara’, penyelidikan yang dijadikan agenda keempat dalam Dasar Pengajian Tinggi dianggap mampu menyumbang kepada kesinambungan cabaran global yang mendepani masyarakat tempatan mahupun antarabangsa.

Berbalik kepada persoalan yang dinyatakan sebelum ini apakah impak penyelidikan di IPT terhadap kesejahteraan hidup masyarakat negara ini? Ada tiga pemeringkatan yang dapat ditangani sesuatu penyelidikan untuk konteks penyelidikan di Malaysia. Pertamanya, penyelidikan yang cuba menangani permasalahan yang telah berlaku. Contohnya, seperti isu banjir di Kedah baru-baru ini.

Kedua, permasalahan yang sedang berlaku, contohnya, masalah sosial remaja di Malaysia yang saban hari menjadi isu hangat seperti dipaparkan dalam media perdana. Ketiga, permasalahan yang akan berlaku. Contohnya, isu pembinaan loji nuklear di Malaysia dan bagaimana cara terbaik menangani sisa nuklear itu jika negara perlu mewujudkan pusat nuklear bagi mengatasi krisis keperluan tenaga elektrik untuk jangka masa yang panjang.

Rangkaian penyelidik perlu diperkemas dan diperkasa untuk menyahut cabaran ini. Tidak ketinggalan juga IPT lain yang juga berhasrat menjadi Universiti Penyeli-dikan seperti Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan lain-lain perlu bersama-sama menggembleng tenaga dan melihat penyelidikan sebagai agenda pembangunan masyarakat.

Sehubungan itu, Kementerian Pengajian Tinggi telah mengiktiraf enam HICoE yang diberikan dana lumayan menerajui penyelidikan bercorak kritikal dan kreatif yang bersifat ‘multidisciplinary’ dan mempunyai rangkaian antarabangsa yang kukuh.

Umumnya, pusat kecemerlangan perlu memenuhi tujuh kriteria yang digariskan oleh pihak kementerian iaitu kualiti dan kuantiti penyelidik, kualiti dan kuantiti penyelidikan, kualiti dan kuantiti pasca siswazah, inovasi, khidmat profesional dan hadiah/pemberian, rangkaian dan perhubungan, akhir sekali sistem dan sumber fizikal.

Mari kita meneliti keenam-enam pusat kecemerlangan yang berjaya memperoleh pengiktirafan dari Kementerian Pengajian Tinggi. Berdasarkan keunikan tersendiri, kesemua pusat kecemerlangan menerajui bidang kepakaran yang mempunyai impak tinggi terhadap masyarakat.

Senarai pusat kecemerlangan adalah seperti berikut; UM Centre of Research for Power Electronics, Drives, Automation & Control (UMPEDAC), UKM medical molecular biology institute (UMBI), Institute for Research in Molecular Medicine (INFORMM) USM, Institute of Bioscience (IBS) UPM, Centre for Drug Research (CDR) USM dan Accounting Research Institute (ARI), UiTM.

Bidang penyelidikan yang diterajui semua Pusat Kecemerlangan ini adalah bersifat cross-disciplinary yang mana pemberatan falsafah ilmu sains dan sains sosial adalah saling bergantungan. Contohnya, untuk mengkaji mengenai permasalahan krisis tenaga, antara perkara pokok yang perlu diambil kira penyelidik ialah impak harga tenaga elektrik terhadap cara hidup masyarakat kini.

Semua pusat kecemerlangan ini dituntut memperhebatkan kajian dan penghasilan produk/modul untuk melestarikan pembangunan masyarakat dalam mendepani masa depan yang mencabar. Bertepatan dengan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi memperkasakan penyelidikan dan mentransformasikan pengajian tinggi, pihak pengurusan IPT disaran lebih proaktif dalam mencungkil idea penyelidikan kreatif setanding dengan penyelidikan antarabangsa.

Bagaimanapun penyelidik juga perlu peka kepada etika penyelidikan kerana kita tidak mahu menghasilkan penyelidikan yang hebat tetapi impaknya terhadap masyarakat kurang bermakna seperti penghasilan bom atom atau virus komputer.

Kini adalah masa untuk bekerjasama dan bukan melihat siapa jaguh dalam arena penyelidikan kerana impak yang dihasilkan akan dikongsi bersama demi masyarakat.

Penulis ialah Karyawan Tamu Kementerian Pengajian Tinggi

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SOSIAL : Bunuh diri dan gangguan mental

GEJALA bunuh diri yang berlaku dalam masyarakat negara ini semakin berleluasa pada masa ini. Ia seperti satu fenomena yang sudah biasa berlaku, sama seperti kejadian bunuh diri yang berlaku di negara-negara luar, di mana masyarakatnya sudah biasa, lali atau masak dengan kejadian seperti itu.

Umpamanya, di negara China yang merupakan sebuah negara di mana rakyatnya paling ramai membunuh diri. Dianggarkan setiap tahun, lebih daripada 300,000 penduduk China membunuh diri, lebih 10 kali ganda dari jumlah bunuh diri tahunan di Amerika Syarikat. Negara-negara lain yang mencatat kejadian bunuh diri yang tinggi termasuklah Jepun dan Venezuela.

Gejala yang sama turut menunjukkan trend yang mengejutkan di negara ini. Data dari Pusat Daftar Bunuh Diri Kebangsaan (NSRM-National Suicide Registry Malaysia) mendapati sekurang-kurangnya dua orang membunuh diri setiap hari dengan kadar purata 60 orang dalam sebulan. Ia satu trend yang didapati menyamai trend bunuh diri di negara Amerika. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati setiap tahun, satu juta orang akan meninggal dunia kerana membunuh diri, dengan anggaran purata sebanyak 3,000 kejadian setiap hari.

Peningkatan gejala bunuh diri yang berlaku di negara ini menimbulkan banyak persoalan yang memerlukan kajian mendalam dan agresif dilakukan, di samping merangka pelan pencegahan dan pemulihan yang komprehensif. Berdasarkan trend yang ada, ia seperti menggambarkan wujudnya satu penularan dalam kejadian seperti ini. Gejala yang berlaku di negara-negara luar didapati sudah merebak dan menjangkiti pemikiran dan tingkahlaku rakyat negara ini untuk melakukan perbuatan yang sama. Ini bukan sesuatu yang menghairankan. Memang gejala ini berjangkit dalam masyarakat, tidak kira di mana mereka berada, terutamanya dari segi kaedah dan cara bunuh diri itu dilakukan. Malah gejala bunuh diri lebih mudah berjangkit atau berlaku di kalangan mereka yang tidak stabil tahap kesihatan mentalnya, berbanding dengan individu yang sihat dan mempunyai tahap pemikiran yang waras.

Apakah bunuh diri? Secara umumnya, bunuh diri merupakan satu perbuatan yang dilakukan oleh seseorang dengan sengaja dan secara sedar dengan tujuan memusnahkan diri sendiri atau bagi mengakhiri kehidupan sendiri sehingga menemui kematian. Dalam kebanyakan kes bunuh diri, ia berlaku akibat ketidakmampuan seseorang individu itu menghadapi tekanan dalam kehidupan yang dialami. Mereka berasa bahawa langkah untuk meneruskan kehidupan bukan satu idea yang baik, sebaliknya lebih menambah kesengsaraan.

Terdapat juga mereka yang terlibat itu merasakan diri mereka disisihkan, berasa sunyi dan tidak dipedulikan, serta berasa kecewa dan dihantui masalah kemurungan. Gejala bunuh diri juga sering berlaku dalam kalangan pesakit mental kronik seperti skizofrenia, kecelaruan personaliti, dan mereka yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan alkohol. Individu yang pernah mengalami trauma sebagai mangsa buli dan keganasan juga didapati berisiko tinggi untuk membunuh diri akibat tidak mahu berterusan dibuli atau dipermainkan serta dikasari.

Walaupun gejala bunuh diri sering dikaitkan dengan penyakit mental kronik seperti kemurungan dan ketagihan dadah, namun trend seperti ini mula dipertikaikan. Pendekatan teori psikiatri Barat mendapati kemurungan merupakan punca utama gejala bunuh diri, walaupun ia juga boleh berlaku akibat daripada faktor ketagihan dadah dan gangguan mental yang lain. Di Amerika, kadar bunuh diri yang tinggi berpunca daripada kesan penyakit kemurungan dan ketagihan dadah serta alkohol yang sememangnya tinggi. Namun dalam konteks negara China, perkara ini tidak sedemikian.

Fakta yang wujud apabila mengambil kira terhadap situasi yang berlaku di negara China ialah apabila kajian mendapati peningkatan kes bunuh diri yang berlaku secara luar biasa, menandingi kadar di negara Amerika khususnya, sedangkan kadar penyakit kemurungan kronik dan ketagihan dadah adalah lebih rendah daripada kadar yang berlaku di Amerika. Ini menunjukkan ada perkara atau faktor lain di sebalik penyakit-penyakit mental tersebut yang dikatakan berperanan terhadap kejadian bunuh diri yang tinggi di China.

Ada kemungkinan ia terjadi akibat daripada kesan kadar pengangguran yang tinggi, tahap sistem sokongan sosial dalam masyarakat yang rendah dan bersikap individualistik, kurang kepintaran dalam menyelesaikan masalah atau tekanan budaya dari luar. Pokoknya, ia tidak lari dari faktor sosio-psikologikal dalam menyumbang kepada kes bunuh diri.

Berdasarkan penelitian terhadap fenomena ini, suatu perkara yang jelas ialah kes bunuh diri sememangnya tidak dapat dipisahkan daripada tekanan atau stres dan juga kestabilan pemikiran individu dalam menjalani kehidupan yang banyak cabaran. Dari segi fakta, tiada mana-mana individu yang sihat dan berasa seronok menjalani kehidupan mereka sanggup membunuh diri sendiri, melainkan apabila keadaan menjadi sebaliknya, atau sistem sokongan dalam masyarakat bagi mencegahnya tidak wujud atau lemah fungsinya.

Namun apabila situasi menjadi lebih buruk, membunuh diri dilihat sebagai satu-satunya cara yang ada bagi menyelamatkan keadaan, ia menggambarkan sesuatu yang tidak kena pada diri individu terbabit, khususnya berkaitan dengan cara mereka berfikir atau menyelesaikan masalah yang ada. Secara tidak langsung, ia berkaitan dengan cara pemikiran mereka yang terjejas, mungkin akibat daripada sindrom kegagalan fungsi otak psikogenik. Pemikiran yang terjejas pula merupakan ciri-ciri kesihatan mental individu yang tidak stabil yang akhirnya membawa kepada pelbagai gejala gangguan mental dan tingkahlaku, termasuklah bunuh diri.

Selain gejala bunuh diri, terdapat satu lagi kategori yang berkaitan iaitu cubaan membunuh diri. Cubaan bunuh diri difahami sebagai satu tindakan bagi membunuh diri, atau cubaan untuk mendatangkan kematian bagi diri sendiri tetapi tidak semestinya berjaya. Dalam peringkat ini, individu terbabit berkemungkinan akan terus berusaha mencapai hasratnya sehinggalah kematian itu diperoleh, atau mereka akan berpatah balik untuk menjalani kehidupan seterusnya secara normal. Bagi keadaan ini, rawatan awal dan tindakan pencegahan mesti diberikan. Walau apapun keadaan dan alasan, bunuh diri tetap satu perbuatan yang dilarang keras dalam Islam dan merupakan satu dosa yang amat besar.

PENULIS ialah Fellow IKIM

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Selasa, 22 Februari 2011

ISU KEMALANGAN JALAN RAYA : Ops Sikap mula hilang taring

Oleh Adha Ghazali
adha@bharian.com.my

Operasi perlu penjenamaan semula pastikan pengguna jalan raya terus patuhi undang-undang

OPERASI Sikap (Ops Sikap) diperkenalkan pada 2001 bertujuan mengurangkan kadar kemalangan serta kematian pengguna jalan raya sepanjang tempoh empat perayaan utama iaitu Aidilfitri, Deepavali, Krismas dan Tahun Baru Cina.

Namun selepas 10 tahun, Ops Sikap yang turut membabitkan Ops Bersepadu sempena perayaan terbabit yang kini mencecah siri ke-23 penganjurannya, dilihat seolah-olah mula kehilangan ‘taring’. Kesannya semakin hambar dalam menepati motif pelaksanaannya mendidik pengguna supaya lebih berhemah ketika memandu..

Justeru, timbul saranan ia diberi suntikan baru termasuk dijenamakan semula bagi mengembalikan keberkesanan terutama dalam mewujudkan ‘kegerunan’ pengguna jalan raya terhadap Ops Sikap seperti pernah dilalui ketika tempoh awal pelaksanaannya dulu.

Ops Sikap diperkenalkan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak sebagai peneraju dan dibantu beberapa agensi termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Bagi memastikan peranan meningkatkan tahap pematuhan pengguna jalan raya terhadap undang-undang tercapai, jumlah kehadiran pihak berkuasa terutama polis di jalan raya dipertingkatkan sepanjang tempoh dua minggu Ops Sikap, dengan harapan pemandu lebih berhati-hati kerana menganggap diri mereka sentiasa diperhatikan.

Apa pun, kegerunan itu dilihat semakin pudar menyebabkan pihak berkuasa kini tidak boleh lagi bergantung kepada tindakan penguatkuasaan semata-mata terutama saman, bagi memastikan pengguna patuh kepada undang-undang.

Ada kalangan pengguna terbukti tidak gentar dengan saman termasuk ketika tempoh Ops Sikap, sehingga sewenang-wenangnya memandu sesuka hati.

Contoh, ketika cuti Tahun Baru Cina baru-baru ini, beberapa laluan utama sesak secara mendadak apabila jumlah kenderaan dilapor bergerak secara serentak ke destinasi masing-masing.

Ketika ratusan ribu kereta bergerak perlahan di laluan terbabit, ada segelintir pemandu ‘hantu’ yang tidak sabar mula membuka laluan sendiri di lorong kecemasan untuk mengelak kesesakan, seolah-olah tidak gentar dengan penguatkuasaan Ops Sikap ke-23 yang sedang berjalan.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri, ketika diajukan persoalan itu mengakui anggapan sedemikian ada benarnya. Malah, saranan supaya Ops Sikap diberikan nafas baru turut diakui keperluannya.

Beliau melihat Ops Sikap sudah habis bisa. Namun, sejak dilaksanakan pada 2001 lalu sehingga mencecah siri ke-23 kini, hasil yang diperoleh amat memberangsangkan.

“Ini terbukti apabila purata kematian pengguna jalan raya yang direkodkan sepanjang tempoh Ops Sikap dapat diturunkan kepada 13 orang sehari, berbanding 18 pada hari biasa.

“Bayangkan tanpa Ops Sikap. Mampukah angka sedemikian dicapai terutama ketika pertambahan kenderaan mendadak. Cuma yang pasti, usaha meningkatkan kesedaran pengguna terhadap pentingnya mengamalkan sikap pemanduan berhemah di jalan raya perlu dipertingkatkan,” katanya.

Berdasarkan statistik Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR), indeks kematian bagi setiap 100,000 populasi di negara ini bagi tempoh sebelum Ops Sikap dilancarkan berada pada kadar 25.5 setahun. Bagaimanapun, selepas Ops Sikap dilancarkan pada 2001, kadar itu menurun 23.1 bagi setiap 100,000 populasi, yang dianggap membanggakan.

Namun, persoalan kini ialah Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Ops Sikap. Benar pengurangan kemalangan dan kadar kematian adalah sasaran utama, namun bagaimana pula sikap pengguna yang bukan mudah diukur. Mungkinkah sikap pengguna tidak begitu penting, asalkan kadar kematian dan kemalangan dapat dikurangkan?

Sudah pasti matlamat sebenar Ops Sikap bukan sekadar menurunkan jumlah kemalangan termasuk kes maut malah membentuk sikap pemandu supaya lebih berdisiplin dan bertolak ansur di jalan raya, baik ketika kehadiran polis atau JPJ atau sebaliknya.

Kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) berhubung keberkesanan Ops Sikap XIII sempena Aidilfitri antara 7 hingga 21 Oktober 2007, melaporkan sikap pengguna di jalan raya bergantung kepada persepsi masing-masing dalam soal kebarangkalian untuk dikenakan tindakan.

Berdasarkan laporan itu, persepsi untuk ditangkap (dikenakan tindakan) di kalangan pengguna meningkat 4.03 peratus beberapa hari selepas Ops Sikap dilancarkan dan ia terus meningkat kepada 67.81 peratus sehingga tempoh berakhirnya operasi itu.

Malah, majoriti responden mengakui kehadiran penguatkuasa di lokasi memainkan peranan dalam menentukan persepsi masing-masing untuk dikenakan tindakan, sama ada ketika Ops Sikap dijalankan atau di luar tempoh operasi.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Isnin, 21 Februari 2011

MUET Ditawarkan Sebanyak Tiga Kali Setahun Mulai Tahun Depan

KUALA LUMPUR: Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) akan menawarkan ujian Malaysian University English Test (MUET) sebanyak tiga kali setahun mulai tahun depan.

Pengerusi MPM Prof Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak berkata bilangan sesi ujian ini ditambah bagi menampung keperluan dan permintaan pelanggan yang semakin bertambah setiap tahun.

"Peningkatan kepada bilangan pelanggan menunjukkan petanda yang baik terhadap keperluan MUET ini.

"Mulai tahun depan, sesi ujian dijalankan pada Mac, Julai dan November berbanding sebelum ini sebanyak dua sesi pada April dan November sahaja," katanya kepada pemberita ketika pengumuman keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Anugerah Pelajar Cemerlang STPM dan MUET 2010, di sini hari ini.

Seramai 94,117 calon menduduki MUET pada akhir tahun lepas, iaitu peningkatan sebanyak 13.15 peratus berbanding jumlah calon MUET pertengahan tahun iaitu sebanyak 81,743 calon.

Beliau berkata secara keseluruhan, prestasi calon MUET akhir tahun telah meningkat sebanyak 46.02 peratus calon, mendapat Band 3 atau lebih baik berbanding dengan 33.87 peratus pada MUET pertengahan tahun lepas

Pada majlis hari ini, dua pelajar cemerlang MUET pertengahan dan akhir tahun lepas turut diberikan ganjaran iaitu Lim Yi Wen dari Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist (ACS) Ipoh dan Ding Choon Ken dari Universiti Multimedia (B), Cyberjaya. Kedua-dua pelajar ini mendapat keputusan Band 6 dalam peperiksaan MUET 2010. - BERNAMA

ISU ALAM SEKITAR : Penjagaan alam sekitar secara mapan jamin bekalan air dirawat cukup

Oleh Mohd Azrone Sarabatin
Azrone@bharian.com.my

SEORANG rakyat Malaysia secara purata menggunakan bekalan air dirawat pada kadar RM3.20 sebulan, kedua termurah di Asia selepas India berikutan tarif air rendah di negara ini. Namun kadar itu dijangka berubah dalam tempoh dua hingga lima tahun akan datang berikutan kegagalan kita mengurus sumber bekalan air meliputi air bersih dan air buangan, selain pencemaran sungai kesan kepesatan perindustrian, pembinaan serta kemusnahan tadahan air akibat kegiatan perladangan dan pembalakan.

Sumber bekalan berkurangan dengan sendirinya menyebabkan kadar tarif meningkat berikutan kos rawatan air bertambah sehingga mendorong syarikat pembekal melakukan tindakan segera menaikkan kadar bagi mengelak kerugian.

Justeru, pendidikan pemuliharaan dan penjagaan alam sekitar secara mapan perlu diterapkan bagi memastikan bekalan air sentiasa mencukupi dan tidak berlaku bencana alam seperti kemarau panjang, banjir besar luar biasa, hakisan sungai dan tanah runtuh.

Presiden Persatuan Air Malaysia (MWA), Ahmad Zahdi Jamil, berkata selain sungai hampir kering dan tercemar menyukarkan rawatan air, banjir yang merosakkan air sudah dirawat dan memerlukan proses rawatan semula sehingga kos berlipat ganda.

“Kita khuatir keadaan ini menyebabkan syarikat pembekal menaikkan tarif berikutan kos rawatan tinggi dan berulang. Keadaan itu tidak dapat dielak kerana jika syarikat itu menjual air pada tarif sama, mereka rugi,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Cabaran utama bekalan air pada masa depan adalah kos menampung operasi dan pembinaan infrastruktur meliputi loji dan saluran paip mengikut perkembangan penduduk, ekonomi serta pembangunan.

Kajian MWA bersama pakar air di institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara mendapati, kos operasi semakin tinggi berikutan sumber air kian tercemar, akhirnya mengurangkan bekalan air.

Aspek itu meliputi pertumbuhan sektor perladangan dan perindustrian serta tabiat manusia gagal memulihara alam sekitar manakala ada jabatan dan agensi kerajaan tidak menjalankan tanggungjawab mengurus sumber alam semula jadi yang menjadi punca utama bekalan air.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Marzuki Khalid, berkata Malaysia memerlukan bekalan air bersih atau air buangan untuk kegunaan industri bagi menjayakan Wawasan 2020.

Sehubungan itu, negara perlu membangunkan bekalan air tinggi untuk mencapai matlamat berkenaan sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi, sosial dan politik.

Paling penting ketika ini kerajaan perlu menyelesaikan permasalahan berkaitan pengurusan air dan air buangan secara mapan bagi memastikan keperluan penduduk dan perindustrian mencukupi.

Dr Marzuki berkata, Kerajaan Malaysia perlu membangunkan bekalan air tinggi untuk mencapai status negara maju pada 2020 kerana tanpa bekalan mencukupi sukar untuk memajukan perindustrian, pelancongan dan memenuhi permintaan penduduk.

“Ketika ini lebih 90 peratus sumber bekalan air negara untuk penduduk bersesuaian dengan polisi dan tadbir urus air negara. Namun penambahbaikan dalam aspek pengurusan bekalan air tinggi dan sektor air terbuang perlu dilaksanakan segera,” katanya.

Pakar Geografi dari Swansea University, United Kingdom, Prof Dr Rory Walsh, berkata fenomena perubahan cuaca turut memberi kesan kepada sumber bekalan air di negara ini terutama bagi merawat dan membekalkan air untuk minuman.

Contoh, fenomena La Nina menyebabkan banjir luar jangka yang lari dari kecenderungannya di kawasan tertentu manakala kawasan lain berlaku kemarau.

Kajian universiti itu di Sabah dan Sarawak mendapati berlaku perubahan cuaca di beberapa kawasan meliputi peningkatan suhu, pengurangan taburan hujan dan kekerapan kemarau. Berlaku kesan hidrologi atau aliran air permukaan, aliran sungai dan bekalan air yang berpunca kesan perubahan cuaca dikesan akibat penerokaan tanah untuk pertanian, hakisan sungai dan proses perbandaran.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/