Sabtu, 26 Mac 2011

Strategi Lautan Biru jimat kos

Oleh Norfatimah Ahmad dan Azidan Nahar

bhnews@bharian.com.my

Hasilkan objektif NKRA tahap maksimum untuk manfaat rakyat, negara

KLUANG: Datuk Seri Najib Razak yakin penerapan strategi Lautan Biru dalam enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) mampu mengurangkan kos dan menghasilkan objektif pada tahap maksimum untuk manfaat rakyat dan negara.

Perdana Menteri berkata, ketika ini, corak pemikiran di luar kotak menerusi strategi berkenaan diterapkan menerusi NKRA pertama iaitu ke arah mengurangkan kadar jenayah di seluruh negara.

"Kita sedang fikirkan kaedah bagaimana aplikasi Lautan Biru dalam NKRA lain di mana objektif boleh dicapai dengan kos minimum yang lebih ketara berbanding menggunakan pemikiran konvensional seperti dilaksanakan menerusi perjanjian antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengurangkan kadar jenayah.

“Tentunya dengan penjimatan ini, kita boleh gunakan untuk melaksanakan projek tambahan lain,” katanya pada sidang media selepas melancarkan program pemulihan dan perasmian Pusat Pemulihan Pemasyarakatan yang menempatkan 200 banduan di Kem Mahkota di sini, semalam.

Enam NKRA yang digariskan adalah mengurangkan kadar jenayah, memerangi rasuah, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan, meningkat taraf hidup rakyat berpendapatan rendah, memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman serta menambah baik pengangkutan awam.

Turut hadir Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hasan dan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.

Perdana Menteri berkata, ketika ini, ATM dan PDRM bekerjasama untuk mengawal sempadan dan kawasan 'panas' di bandar, latihan rekrut PDRM diadakan di pusat latihan ATM dan menerapkan anggota tentera pencen sebagai anggota polis.

“Langkah seperti ini sesuatu perubahan baru di negara berbanding dulu apabila kedua-dua pasukan keselamatan ini saling cemburu mencemburui antara satu sama lain dengan masing-masing menjaga rapi serta melaksanakan tugas mereka dengan baik,” katanya.

Mengenai pusat berkenaan, Najib berkata, penubuhannya bagi mengelak banduan jenayah ringan berhubung dengan penjenayah tegar seperti mana yang berlaku di penjara hingga menyebabkan berlakunya kemasukan semula ke penjara.

Beliau berkata, menerusi fasa pertama itu, seramai 1,200 banduan jenayah ringan akan ditempatkan di empat kem lain iaitu Kem Syed Sirajuddin di Gemas, Negeri Sembilan; Kem Tok Jalai di Alor Star, Kedah; Kem Batu 10, 4 Briged Mekanis di Kuantan, Pahang dan Kem Desa Pahlawan di Kok Lanas, Kelantan.

“Jika kita membina penjara baru, kosnya antara RM50 juta hingga RM60 juta, berbanding pembinaan pusat seperti ini dengan kos RM4.5 juta saja.

“Banduan di sini juga akan didedahkan dengan pelbagai kemahiran hidup seperti penyelenggaraan bangunan, potong rumput, penternakan ikan dan penanaman herba sebagai persediaan sebelum dibebaskan,” katanya sambil menambah mereka juga akan diberikan elaun harian.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, projek perintis itu tidak menjejaskan sistem pentadbiran sedia ada antara kedua-dua kementerian yang terbabit dan ia akan diteruskan dalam beberapa projek lain.

Hishammuddin pula menganggap program yang membabitkan banduan muda itu adalah idea Perdana Menteri bagi mengelak banduan jenayah ringan terpengaruh dengan banduan tegar, selain dapat menyesuaikan diri dengan situasi semasa sebelum dibebaskan.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/


NOTA HUJUNG :

Mungkin ramai yang telah selesai membaca buku Blue Ocean Strategy atau Strategi Lautan Biru yang ditulis oleh W. Chan Kim dan Renee Mauborgne. Walaupun buku bergenre pengurusan perniagaan ini telah diterbitkan sejak tahun 2005 yang lalu namun buku tersebut masih lagi dirujuk oleh sebilangan individu untuk mencari idea dan perspektif baru khususnya dalam dunia korporat dan perniagaan.

Secara ringkasnya Strategi Lautan Biru menggunakan pendekatan yang berlawanan dengan Strategi Lautan Merah. Strategi Lautan Merah merujuk kepada suasana dan persaingan perniagaan yang semakin sengit dan sempit sehingga menyebabkan kesesakan manakala strategi Lautan Biru pula menggambarkan betapa luasnya peluang dan ruang yang boleh diterokai.

Idea utama dalam Strategi Lautan Biru adalah bagaimana mencipta ruang pasaran yang tidak ditandingi dan pada masa yang sama menjadikan pesaing tidak relevan. Maksudnya bagaimana kita dapat mencipta sesuatu idea yang tidak ada persaingan yang pastinya memberi kelebihan.

ENAM PRINSIP DALAM STRATEGI LAUTAN BIRU :

1. Membina semula sempadan pasaran (Reconstruct market boundaries)

2. Memberi tumpuan secara menyeluruh dan bukan hanya tertumpu kapada angka sahaja (Focus on the big picture not the number)

3. Melangkaui permintaan yang sedia ada (Reach beyond existing demand)

4. Mendapatkan strategi yang tepat (Get the strategic sequence right)

5. Mengatasi rintangan organisasi (Overcome key organizational hurdles)

6. Membina perancangan di dalam strategi (Build execution into strategy)

ISU ANTARABANGSA : Kewajaran meletakkan diri pada kedudukan orang lain

TIAP kali dialog dituntut setelah berlaku demonstrasi-demonstrasi bantahan di beberapa negara Arab, di Afrika Utara dan Timur Tengah.

Dalam pada itu, Presiden Hosni Mubarak di Mesir digulingkan setelah berkuasa selama 30 tahun dan Presiden Zinal Abidin Ben Ali di Tunisia setelah 21 tahun.

Demonstrasi terus-menerus berlaku di Yemen walaupun Presidennya Ali Abdullah Saleh yang berkuasa selama 32 tahun memecat Kabinetnya. Demikian juga di Bahrain yang majoriti rakyatnya seramai 70 peratus Syiah menentang pemerintah diraja daripada golongan Sunni. Bahrain sebelum ini mengeluarkan 250,000 tong minyak setiap hari.

Kemelut lain berlaku di Jordan, Syria, Algeria, Maghribi. Demonstrasi merebak menjadi peperangan di Libya yang kini menjadi sasaran serangan-serangan udara Amerika, British, Itali dan Perancis pula. Menurut beberapa laporan, Liga Arab membantah tindakan-tindakan itu.

Tidak begitu jelas siapa yang berperanan meneruskan dialog yang dituntut demi mencari penyelesaian yang tidak menumpahkan darah kerana seperti telah diakui dialog yang bertentangan dengan debat boleh membawa hasil. Antara syarat utama dialog ialah yang dalam bahasa Inggeris dipanggil “empathy” iaitu “kebolehan meletakkan diri sendiri pada kedudukan orang lain” (kamus dwibahasa Oxford-Fajar). Perbezaan di antara debat dan dialog ialah seperti dihuraikan pada peringkat universiti:

Debat

  • Menganggap adanya jawapan yang betul dan ada pada diri anda
  • Para peserta cuba buktikan kesalahan pihak lawan
  • Mahu menang
  • Mendengar untuk mencari kecacatan pihak lawan dan berhujah mendedahkannya
  • Mempertahan anggapan diri sendiri sebagai kebenaran
  • Mengkritik pendirian pihak-pihak lawan
  • Mempertahan pendirian diri sendiri terhadap pendirian pihak lawan
  • Mencari pelbagai kecacatan dan kelemahan pihak-pihak lawan
  • Mencari kesimpulan atau undi yang mengesahkan pendirian anda
  • Dialog

  • Menganggap bahawa pihak lain punyai jawapan dan kesemua pihak boleh mencari penyelesaian
  • Para peserta berbicara mencari kata sepakat
  • Mencari penyelesaian yang boleh diterima
  • Mendengar untuk memahami hal yang berbangkit dan cuba mencari persetujuan
  • Menjelaskan segala anggapan untuk dikaji semula
  • Mengulangkaji segala pendirian
  • Mengaku bahawa buah fikiran pihak-pihak lain boleh memperbaiki pendirian diri sendiri
  • Menyelami kekuatan dan nilai-nilai pihak-pihak lain
  • Mencari pilihan-pilihan lain, bukan menutup perbicaraan
  • Pelbagai pendapat pro dan kontra ini antara yang terbit dalam buku berjudul Bridges Not Walls (terbitan McGraw Hill Higher Education hingga 10 edisi dari 1973 hingga 2009). Lalu ditegaskan bahawa syarat pertama dialog ialah “Persamaan dan tiadanya pengaruh-pengaruh paksaan.”

    Seperti dijelaskan, di luar majlis dialog sendiri mungkin ada perbezaan-perbezaan mengenai pangkat atau taraf, tingkat pelajaran atau pengalaman “tetapi dalam majlis dialog persamaan mestilah diutamakan”.

    Syarat kedua ialah yang disebut empati dan yang ketiga pula ialah “menghuraikan anggapan-anggapan secara terbuka”. Tiap anggapan ialah “Keyakinan atau kepercayaan”.

    Juga ditegaskan bahawa yang penting dalam dialog bukan persetujuan sebulat suara, tetapi hubungan antara manusia, komunikasi, hormat-menghormati dan ketertiban.

    Malangnya, tiada langsung dialog di Yemen. Sebaliknya, 52 orang lagi penunjuk perasaan mati ditembak dan kira-kira 200 orang lagi cedera pada hari Jumaat lalu, berikutan itu, tiga jeneral dan askar-askar mereka berpaling tadah menyebelahi para penunjuk perasaan. Tiga orang duta Yemen membantah dan meletak jawatan. Juga 40 ahli Parlimen.

    Turut mengkritik pembunuhan penunjuk perasaan ialah Ban Kin Moon, Setiausaha Agung Bangsa-Bangsa Bersatu.

    Masakan dengan peristiwa-peristiwa pembunuhan seperti itu boleh berlaku dialog.

    Sumber : http : //www.utusan.com.my/

    Jumaat, 25 Mac 2011

    Kementerian patut hebah kelebihan masuk Tingkatan Enam

    Isu Tingkatan Enam sebenarnya berkaitan dengan komitmen semua pihak, hala tuju pelajar, dana, dan yang terpenting masa depan pendidikan negara.

    Keprihatinan semua pihak dari peringkat akar umbi hingga atasan perlu agar matlamat kerajaan untuk menjadikan pelajar Tingkatan Enam sebagai modal insan kelas pertama, terlaksana dengan jaya.

    Adakah wujud keseragaman tindakan dan dasar Kementerian Pelajaran dengan dasar Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) dalam soal Tingkatan Enam?

    Kita mencari arah tuju yang betul. Kita pada peringkat bawahan, ibu bapa dan pelajar semakin keliru. Seperti orang buta kehilangan tongkat atau orang kehilangan kaki untuk berdiri dan menjadi mandiri, maka berlakulah krisis identiti, mental dan dilema.

    Saranan saya selepas berbincang dengan banyak pihak dan membuat analisis, semua pihak duduk semeja untuk menangani isu berkaitan Tingkatan Enam.

    Kebaikannya, peringkat ini sama tahap dengan 0 Level, kemasukan ke universiti melalui jalan Tingkatan Enam lebih mudah dan terbuka luas, pendidikan di Tingkatan Enam menjadikan modal insan lebih berketerampilan, Tingkatan Enam lebih murah belanjanya, pendidikan tidak menjadikan generasi muda penghutang dalam usia rebung, mereka kurang terjebak gejala sosial kerana masih di bawah perhatian ibu bapa berbanding rakan yang memasuki kolej swasta.

    Pihak kementerian perlu memberikan pendedahan mengenai keistimewaan pendidikan Tingkatan Enam jika benar-benar mahu memartabatkan dan memperkasakannya.

    Jangan berkata sekolah perlu berfikir untuk mempromosikan Tingkatan Enam jika mahu ia wujud atau hadapi kemungkinan sekolah terbabit turun gred.

    INSAN PRIHATIN,
    Ampang, Selangor.

    Sumber : http : //www.bharian.com.my

    ISU NOVEL INTERLOK : Frasa rasis gugur

    Oleh Syuhada Choo Abdullah dan Shaarani Ismail

    KUALA LUMPUR: Kontroversi mengenai novel Interlok selesai apabila frasa sensitif bagi kaum India dalam novel yang dijadikan teks komponen sastera (Komsas) Bahasa Malaysia Tingkatan 5 itu diganti dengan frasa ‘golongan yang sama.’

    Kata sepakat itu dicapai oleh Panel Bebas Mengkaji Pindaan Novel Interlok dan cadangan menyunting frasa berkenaan dari novel itu dipersetujui oleh penulisnya, Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain, selaku pemegang hak cipta.

    Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata keputusan itu menyelesaikan isu pokok berhubung penggunaan perkataan yang merujuk kasta kaum India yang didakwa bersifat rasis dan menyinggung perasaan mereka sehingga menimbulkan bantahan beberapa kumpulan sejak itu dibangkitkan pada Disember tahun lalu.

    Katanya, dalam mesyuaratnya kelmarin, panel berkenaan juga mengenal pasti hanya 19 perkara daripada 106 cadangan pindaan dianggap menyentuh sensitiviti masyarakat India di negara ini.

    Beliau juga berkata, semua cadangan pindaan yang dikemukakan kepada kerajaan oleh wakil masyarakat India dalam panel berkenaan tiada kaitan dengan isu pokok tetapi meliputi perkara mengenai fakta, bahasa dan tatabahasa, termasuk koma, noktah dan tanda soal.

    "Ini bermakna 87 perkara lagi tidak berkaitan dengan isu pokok. Ini termasuk cadangan supaya nama penulis dipaparkan pada kulit hadapan novel, ejaan `tali' dipinda kepada `taali', `papa' ditukarkan `appa', dan `cawat' diganti `dhoti'.

    "Justeru, semua ahli panel, termasuk wakil masyarakat India, bersetuju untuk menyerahkan perkara ini kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai penerbit membuat suntingan wajar kepada novel itu dalam cetakan akan datang," katanya ketika menjawab soalan Datuk Abd Rahman Bakri (BN-Sabak Bernam) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, semalam.

    Muhyiddin berkata, panel bebas yang dipengerusikan Pengarah Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin, sudah bersidang empat kali dan mengadakan dua pertemuan dengan beliau.

    Mengenai 19 perkara dalam Interlok yang boleh dianggap sensitif, beliau berkata, tiga daripadanya adalah berkaitan penggunaan perkataan kasta yang kini selesai selepas penulis bersetuju menggugurkannya.

    Tiga perkara lagi berkaitan fakta lembu sebagai binatang suci Hindu, keselamatan isteri Maniam di India dan upacara perkahwinan yang digambarkan sebagai meletihkan juga selesai selepas panel dengan persetujuan wakil masyarakat India, memutuskan ia tidak menyentuh sensitiviti kaum itu.

    "Daripada 13 perkara berbaki, tujuh sudah dapat diselesaikan apabila panel bebas mencapai kata sepakat untuk memasukkan errata (senarai kesalahan dan pembetulan) dalam novel itu bagi membuat pembetulan dan pengguguran terhadap beberapa frasa yang dianggap sensitif dalam amalan kebudayaan serta keagamaan masyarakat India.

    "Enam perkara lain juga dapat diselesaikan kerana penulis bersetuju meminda perkataan `tuhan' kepada `dewa' dan menggugurkan frasa `orang berkulit hitam'," katanya.

    Selain itu, Muhyiddin berkata, Kementerian Pelajaran akan menyediakan satu glosari untuk memperjelas beberapa frasa serta konsep dalam Interlok bagi memudahkan pelajar memahami teks dan konteks novel berkenaan.

    Katanya, penyelesaian secara baik isu Interlok, terutama kesediaan penulisnya membuat pindaan menunjukkan tiada isu yang tidak boleh diselesaikan melalui meja rundingan dengan semangat musyawarah, muafakat serta kesediaan untuk mendengar dan menerima.

    Berikutan itu, beliau mengingatkan pihak yang ada kepentingan politik sempit jangan sesekali cuba menangguk di air yang keruh atau mengeksploitasi isu itu untuk mengapi-apikan sentimen perkauman dan mencetuskan porak-peranda di negara ini.

    "Ini adalah perbuatan sia-sia yang pasti akan ditolak oleh rakyat. Saya yakin majoriti rakyat adalah rasional dan akan menerima keputusan yang adil dan munasabah," katanya sambil menyifatkan keputusan penulis membantu kerajaan menyelesaikan kontroversi Interlok adalah sumbangan amat besar kepada negara.

    Sumber : http : //www.bharian.com.my/

    ISU PENDIDIKAN : Cabaran pembinaan sahsiah remaja

    DEWASA ini, pelbagai laporan berita sering menumpukan kepada perilaku remaja. Tumpuan ini khususnya kepada remaja yang berada di sekolah menengah, tidak kira sekolah asrama penuh ataupun sekolah harian. Kes yang sering dilaporkan adalah berkaitan dengan kes buli, pergaduhan, samseng, merokok dan penagihan dadah. Pelbagai kes ini kebanyakannya berpunca daripada masalah di rumah. Pendidikan di rumah dan di sekolah mesti selari dan seimbang dilakukan ibu bapa dan diteruskan guru.

    Bagi melahirkan remaja berakhlak dan bermoral, pendidikan nilai murni dan keagamaan adalah menjadi asas di rumah. Isu remaja bermoral dan tidak bermoral atau remaja berakhlak mulia dan berakhlak rendah mempunyai faktor dalaman.

    Faktor dalaman ini pula berkait rapat dengan didikan yang diterima seorang remaja daripada kecil hingga ke belasan tahun atau sampai baligh. Apa saja yang dialami kanak-kanak sejak lahir, semuanya akan memberikan kesan kepada minda dan emosi kanak-kanak berkenaan.

    Sementara faktor luaran adalah persekitaran yang baik. Masyarakat di mana remaja tinggal menyumbang ke arah kebaikan iaitu masyarakat yang hidup dalam suasana harmoni, bekerjasama, saling membantu dan mengelakkan sebarang gejala sosial yang tidak baik.

    Daripada perspektif psikologi pakar dari Barat telah mengemukakan pendapat yang hampir sama iaitu punca keruntuhan moral atau akhlak adalah disebabkan kurang daya penyesuaian remaja dalam menangani cabaran dan dugaan yang melanda mereka. Kelemahan menyesuaikan diri ini dikaitkan dengan pengalaman remaja sejak dari zaman kanak-kanak lagi.

    Menurut Alfred Denning, kebanyakan remaja yang terbabit dengan pelbagai gejala sosial berasal daripada puing-puing keluarga yang berpecah-belah. Keluarga yang berpecah adalah keluarga yang berpunca daripada suami isteri yang bercerai.

    Anak yang kecil itu seperti sehelai kain putih yang mencorakkannya adalah ibu bapanya. Alasan inilah yang menuntut ibu bapa memberikan didikan sempurna kepada anak-anaknya. Sewaktu anak itu masih kecil, didik dan ajar mereka tentang akidah, ibadah dan akhlak yang baik. Pendidikan ilmu dan amal yang baik akan dapat membentuk nilai kemanusiaan dalam jiwa anak.

    Setiap anak mempunyai hak bagi mendapatkan dua perkara iaitu, makanan baik dan pendidikan yang baik. Makanan yang baik adalah makanan berkhasiat, sementara pendidikan baik ialah pendidikan seimbang iaitu ilmu dunia dan akhirat.

    Apabila ibu bapa tidak mampu mendidik dan menjaga anaknya, negara akan menghadapi kesulitan menjaga anak itu di jalanan. Jelaslah pelbagai gejala sosial yang dilakukan remaja di luar rumah adalah berpunca daripada kegagalan ibu bapa mendidik di rumah.

    Asas pendidikan di rumah mesti menekankan pendidikan akidah, ibadah dan akhlak. Pendidikan akidah ialah teras penting untuk menanamkan keyakinan kepada manusia terhadap keesaan Allah dengan mengabdikan diri kepada-Nya, menjadi insan soleh yang mendekatkan diri kepada Allah dan merealisasikan segala tujuan hidup manusia di dunia ini.

    Sementara pendidikan ibadah melibatkan perkara berkaitan dengan fardu ain dan fardu kifayah bertujuan menjelmakan segala amalan agama dalam bentuk praktikal dan menjadikan segala anggota dan pancaindera manusia mengabdikan diri kepada Allah. Pendidikan ibadah juga merupakan satu tuntutan penting bagi manusia merealisasikan peranan sebagai khalifah Allah.

    Pendidikan akhlak di rumah oleh ibu bapa merupakan perkara yang sangat dititikberatkan dalam Islam. Menanam akhlak yang baik dalam hati dan jiwa anak dapat menangkis akhlak tercela dan buruk ke arah membentuk Muslim yang terbaik.

    Menurut Imam al-Ghazali, manusia itu ibarat sepohon pokok dengan akarnya ialah akidah, batangnya ialah kefarduan, daun-daun ialah amalan sunat, maka buah atau bunganya itulah yang dikatakan akhlak. Sebab itulah manusia yang berakhlak dalam Islam dianggap orang yang menyempurnakan agama Islam kerana akhlak melambangkan keindahan Islam itu sendiri.

    Justeru Nabi s.a.w. berpesan: Sesungguhnya, orang yang paling baik daripada kalangan kamu ialah orang yang paling baik akhlaknya. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

    Melahirkan dan mewujudkan remaja bermoral mesti dilakukan sejak anak itu masih kecil. Peribahasa ada mengatakan melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Pendidikan yang bermula daripada kecil lebih mudah dan ia merupakan lambang kejayaan pendidikan akidah dan ibadah setelah dewasa.

    Ibu bapa dan guru yang berjaya dalam menanamkan nilai akhlak ini kepada anak dan pelajarnya merupakan ibu bapa dan guru yang cemerlang. Pendidikan akhlak adalah menjurus kepada pendidikan pembangunan insan boleh mencapai kejayaan yang baik jika mempunyai model terhadap aspek yang dihuraikan. Model yang terbaik ialah Rasulullah s.a.w. dan para sahabat adalah model ikutan yang utama.

    Memang terlalu sukar untuk membentuk diri anak menjadi insan soleh dalam kehidupan hari ini. Tetapi dengan kesabaran, kegigihan dalam membentuk insan soleh, ibu bapa akan dapat membentuk anak-anak mengikut acuan yang baik.

    Membina jati diri anak hingga remaja memerlukan usaha yang gigih dan berterusan. Akhlak dan kesopanan adalah perkara paling penting dididik dalam hati dan jiwa anak. Fenomena dan perkembangan ini adalah cabaran kepada ibu bapa dalam merealisasikan akhlak yang baik.

    Zaman yang dilalui anak-anak pada hari ini jauh berbeza daripada zaman yang telah ibu bapa hadapi. Cabaran dan gaya hidup anak telah mengalami perubahan sehingga menjadi semakin sukar dan kompleks seiring kemajuan sains dan teknologi. Anak-anak zaman ini lebih matang dan lebih berani untuk bersuara.

    Ironinya, dalam usaha mendidik anak sehingga dewasa memerlukan komitmen semua pihak. Ibu bapa, guru, keluarga dan masyarakat mesti memainkan peranan positif ke arah membentuk hati dan jiwa anak-anak menjadi remaja yang cemerlang di dunia dan akhirat.

    Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

    Khamis, 24 Mac 2011

    Muhyiddin : Isu Interlok selesai dengan baik

    Ahli Panel Bebas Mengkaji Pindaan Interlok

    KUALA LUMPUR 24 Mac - Isu novel Interlok sudah selesai apabila kerajaan bersetuju dengan dapatan Panel Bebas Mengkaji Pindaan Novel Interlok (Panel Bebas) yang mendapati hanya 19 perkara daripada 106 bentuk cadangan pindaan boleh dianggap menyentuh sensitiviti masyarakat India.

    Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, daripada 19 perkara itu, tiga daripadanya adalah berkaitan dengan penggunaan perkataan kasta yang telah dianggap selesai kerana penulis bersetuju untuk menggugurkan perkataan itu (Paria) dalam novelnya dan digantikan dengan perkataan 'golongan yang sama'.

    Menurutnya, tiga perkara lagi iaitu berkaitan dengan fakta lembu sebagai binatang suci orang Hindu, keselamatan isteri Maniam di India dan upacara perkahwinan yang digambarkan sebagai meletihkan juga telah selesai.

    Katanya, daripada 13 lagi perkara yang berbaki, tujuh perkara turut diselesaikan apabila Panel Bebas mencapai kata sepakat untuk memasukkan 'errata' di dalam novel itu bagi membuat pembetulan dan pengguguran.

    Jelasnya, enam perkara lain juga selesai kerana penulis turut bersetuju untuk meminda perkataan 'tuhan' kepada 'dewa' dan menggugurkan frasa 'orang berkulit hitam'.

    "Panel Bebas itu berpendapat baki 87 perkara lagi adalah tidak berkaitan dengan isu pokok termasuk cadangan supaya nama penulis dipaparkan pada kulit hadapan novel dan ejaan 'tali' dipinda kepada 'taali.

    "Alhamdulillah, dengan persetujuan yang dicapai oleh Panel Bebas dan perakuan yang dikemukakan kepada kerajaan, isu ini telah dapat diselesaikan dengan baik.

    "Dengan semangat musyawarah dan muafakat serta kesediaan untuk mendengar dan menerima, kita telah buktikan bahawa serumit manapun kemelut yang kita hadapi, kita dapat mengharunginya dengan tabah dan sabar. Dengan persetujuan yang telah dicapai, kementerian menganggap bahawa isu ini telah selesai," tegasnya.

    Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Abd. Rahman Bakri (BN-Sabak Bernam)serta empat lagi pertanyaan ahli Parlimen lain berhubung kedudukan Interlok sebagai teks Komponen Sastera (Komsas) dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu pelajar tingkatan lima pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

    Kata Muhyiddin, kementerian akan menyediakan glosari bagi memperjelaskan beberapa frasa dan konsep dalam novel itu untuk memudahkan pelajar memahami konteks novel yang memaparkan kehidupan harmoni masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

    Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, penelitian yang dicapai oleh Panel Bebas membuktikan bahawa pengguguran frasa yang menyebabkan kemelut pada novel Interlok adalah satu testimoni nyata bahawa tiada satu isu yang tidak boleh diselesaikan melalui meja rundingan.

    Jelasnya, semua ahli panel termasuk wakil masyarakat India bersetuju untuk menyerahkan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai penerbit membuat suntingan yang wajar terhadap novel itu dalam cetakan akan datang.

    Tambah beliau, episod Interlok menjadi bukti kepada rakyat negara ini betapa semangat perpaduan, penerimaan dan hormat-menghormati antara kaum selaras dengan gagasan 1Malaysia terus subur.

    Beliau seterusnya merakamkan penghargaan kepada ahli Panel Bebas iaitu Pengerusi, Prof. Datuk Shamsul Amri Baharuddin; isteri penulis Interlok yang mewakilinya, Datin Siti Saroja Basri; Prof. Datuk Zainal Abidin Borhan; Datuk Termuzi Abdul Aziz; Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin; Prof. Dr. NS Rajendran; G. Krishnabahawan dan penulis bebas, Uthaya Sankar.

    Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pimpinan MIC yang telah berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan beliau sendiri selaku Menteri Pelajaran untuk mengambil keputusan bersama bagi menyelesaikan isu itu.

    Sumber : http : //www.utusan.com.my/

    ISU PENDIDIKAN : Guru bermasalah ? Usah cepat buat andaian.

    Oleh Ruhaiza Rusmin
    ruhaizarusmin@hmetro.com.my

    BARANGKALI, imej sistem pendidikan negara kian tercalar apabila pelbagai insiden memalukan dan memualkan sering terpampang di media massa.

    Dulu salah laku pelajar menjadi tajuk berita, kini guru pula seolah-olah mengambil tempat dengan kesalahan dan perlakuan tidak masuk akal. Lebih memalukan apabila golongan dihormati dan disanjung itu terbabit pula dengan perbuatan mencemarkan maruah.

    Pastinya senario itu mengundang kemusykilan masyarakat, apakah yang sedang melanda institusi pendidikan negara hari ini hingga golongan guru hilang pertimbangan?

    Adakah perlakuan itu disebabkan tekanan kerja yang semakin bertambah hingga mereka 'terlanjur' perbuatan? Apakah mereka sememangnya 'gatal' dan mengambil kesempatan atau masyarakat hanya memperbesar-besarkan hal kecil yang boleh ditangani tanpa pembabitan orang luar?

    Kaunselor pakar, perunding dan pakar motivasi, Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Haslee Sharil Abdullah, berkata jangan terburu-buru membuat andaian kepada guru bermasalah tanpa menimbangkan kemungkinan dan faktor hingga tercetusnya insiden.

    Menurutnya, sikap masyarakat yang mudah mengambil tindakan dan melemparkan pandangan negatif hanya memburukkan keadaan selain menimbulkan ketegangan hingga menjejaskan maruah atau masa depan guru terbabit.

    "Belum tentu mereka bersalah biarpun tindakan sudah diambil. Inilah sikap buruk masyarakat kita yang mudah sangat meletakkan kesalahan tanpa usul periksa sekali gus mencalarkan nama baik sekolah, pelajar serta peribadi individu.

    "Tindakan terburu-buru tidak profesional dalam menangani masalah malah menjadikannya sebagai tindakan pasif bagi individu lain. Justeru sebelum mengambil keputusan, penilaian menyeluruh perlu dilakukan supaya pihak lain tidak teraniaya," katanya.

    Sejak akhir-akhir ini, media massa melaporkan masalah perlakuan guru yang dianggap bermasalah dan tidak sesuai dengan norma masyarakat hingga mencetuskan kebimbangan semua pihak.

    Antaranya perlakuan guru yang suka menyentuh fizikal pelajar berlainan gender dengan menggunakan 'hukuman' sebagai alasan menghalalkan perbuatan. Ada juga menyentuh dengan alasan kasih sayang biarpun tidak perlu.

    Beliau berkata bagi mengelakkan kekeliruan, sama ada pelajar atau guru perlu tahu menggunakan hak masing-masing bukan menyalahgunakannya bagi tujuan tertentu.

    Selalunya insiden berlaku kerana pelajar berasakan hak peribadi dicabuli sementara guru beranggapan itu hak mereka untuk mendisiplinkan pelajar. Bila wujud kekeliruan, sudah tentu tercetusnya masalah.

    "Sewajarnya kedua-dua pihak tahu batas-batas boleh digunakan bagi mengelakkan kontroversi. Sudah termaktub hanya atas sebab tertentu saja seseorang itu boleh disentuh, contohnya atas tujuan perubatan atau rawatan oleh mereka yang bertauliah seperti doktor.

    "Jika semua pihak jelas mengenainya, sudah pasti tidak timbul isu begini. Sangat malang apabila guru dan pelajar terpaksa bertelingkah atau 'berperang' hanya kerana perkara boleh dielakkan," katanya.

    Beliau bagaimanapun tidak menafikan ada guru suka mengambil kesempatan namun menganggapnya ia hanya kes terpencil.

    Guru terbabit katanya perlu mendapatkan rawatan psikologi bagi mengesan masalah supaya tidak bertambah kronik.

    "Tidak dinafikan, ada guru suka menyentuh pelajar dan ini memang salah. Guru ini sebenarnya mungkin mengalami masalah emosi namun tidak mampu dikesan dengan mata kasar dan tekanan itu diterjemahkan dengan perlakuan.

    "Guru berkenaan tidak rasa bersalah namun pelajar pula menjadi mangsa. Jika ini berlaku, pihak sekolah perlu mengambil tindakan tertentu supaya keadaan tidak bertambah melarat.

    "Namun sebaiknya, biarlah hanya mereka yang terbabit saja mengetahui perkara ini supaya tidak memalukan mana - mana pihak. Yang dikesali apabila guru bermasalah, ia seperti diheboh-hebohkan hingga menjadi isu nasional sekali gus menyukarkan usaha sekolah menanganinya," katanya.

    Ditanya mengenai kaedah terbaik, beliau berkata sama ada guru, pelajar mahupun sekolah perlu menjadi erat dan saling menyayangi selain semua pihak perlu merendahkan ego masing -masing.

    Menurutnya, pertikaian yang berlaku hari ini disebabkan tiadanya elemen positif seperti kasih sayang, menghormati dan menghargai di kalangan warga sekolah hingga mencetuskan situasi 'hanya kau-aku'.

    "Apabila elemen positif tidak dimasukkan dalam perhubungan, sudah tentu mereka semakin renggang. Guru hanya menjalankan tanggungjawabnya mengajar, pelajar pula menerima sementara sekolah asyik berkira mengenai pencapaian kecemerlangan hingga terlupa keperluan kasih sayang.

    "Ini menjadikan setiap golongan hanya tertumpu pada komuniti tertentu saja sedangkan sekolah boleh diibaratkan sebagai keluarga besar yang boleh berkongsi susah senang. Jalinan kemesraan dan kasih sayang perlu disemai mengikut batas ditetapkan," katanya.

    "Pelajar juga perlu tahu status dan pandai menjaga diri. Jika betul guru bersalah dan perlu diambil tindakan, lakukanlah mengikut pertimbangan akal bukan emosi semata-mata. Semua pihak ada hak yang perlu dipertahankan," katanya.

    Sumber : http : //www.hmetro.com.my/