Rabu, 30 Mac 2011

Lebih Ramai Lelaki Kemalangan Berbanding Wanita - MIROS


KUALA LUMPUR: Kajian yang dijalankan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) mendapati bilangan pemandu lelaki yang terlibat dalam nahas jalan raya adalah 2.4 kali lebih tinggi berbanding wanita.

Ketua Pengarah MIROS, Profesor Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah dalam satu kenyataana hari ini berkata, kajian itu turut disokong statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menunjukkan sejumlah 244,336 kemalangan membabitkan pemandu lelaki berbanding 103,153 bagi wanita, pada 2009.

Mengambil kira bilangan penduduk, beliau berkata lelaki mempunyai purata kadar nahas jalan raya sebanyak 1,351.74 untuk setiap 100,000 penduduk berbanding 537.97 bagi wanita, dan ini membuktikan lelaki 2.5 kali lebih berisiko berbanding wanita.

Bagaimanapun, katanya, Miros mendapati wanita menunjukkan peningkatan kemalangan yang kurang sihat pada 2009 berbanding 2006.

"Jumlah pemandu wanita yang terlibat dalam kemalangan bertambah daripada 26.4 peratus pada 2006 (berbanding lelaki 73.6 peratus) dan telah meningkat kepada 29.7 peratus pada 2009," katanya ketika mengulas kenyataan Anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin bahawa wanita memandu sambil lewa di jalan raya.

Kenyataan Bung Moktar pada persidangan Dewan Rakyat Isnin lalu telah mencetuskan perdebatan hangat dan membangkitkan kemarahan kaum wanita ke atas kenyataannya itu.

Dalam hubungan ini, Ahmad Farhan berkata, kajian itu juga menunjukkan lelaki dan wanita mempunyai ciri berbeza yang mempengaruhi pemanduan mereka seperti persepsi keselamatan dan keselesaan dalam kereta sendiri.

"Semasa memandu, seorang wanita akan memikirkan beberapa perkara, tetapi memandangkan pemanduan memerlukan gandingan aksi dan reaksi, ada kalanya, sesetengah wanita akan melakukan kesilapan," katanya.

Beliau berkata, dari sudut pemanduan, lelaki pula dikenal pasti memiliki kemahiran lebih tinggi berbanding wanita, dan ini menjadikan mereka lebih berkeyakinan dan seringkali juga "terlebih yakin" sehingga memandu di luar kawalan serta secara berbahaya.

Bagaimanapun, katanya, kes kemalangan jalan raya kini sering berlaku tanpa mengira jantina.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

ISU BAHASA : Imperialisme bahasa Inggeris menghakis jati diri nasional

Prof Dr Teo Kok Seong

BI sepatutnya jadi sumber ilmu dianggap lambang prestij

TOHMAHAN terhadap pencinta bahasa Melayu, sama ada mahasiswa, pensyarah mahupun sesiapa saja yang memiliki rasa bangga, sayang dan setia terhadapnya, sebagai golongan fanatik, bukan saja tidak tepat, malah tuduhan melulu itu tidak sensitif langsung kepada sentimen nasionalisme Melayu, yang menjadi asas kepada nasionalisme Malaysia. Memburukkan lagi keadaan, prasangka begini datang dari kaum Melayu sendiri, di kalangan pemimpin pula, untuk menyelar pencinta bahasa Melayu yang ingin melindungi warisan Melayu ini, yakni bahasa leluhur mereka daripada dikuasai bahasa Inggeris yang lebih berprestij.

Sehubungan itu, pencinta bahasa Melayu bukan fanatik yang terlalu taksub sehingga tidak berpijak di bumi nyata dalam hal penguasaan dan penggunaan bahasa Inggeris di negara ini. Mereka tidak sekali-kali menolak kepentingan bahasa Inggeris sebagai lingua franca dunia dan bahasa ibunda zaman globalisasi.

Malah, mereka ikut menyarankan keperluan menguasai bahasa ini dengan sebaik mungkin oleh rakyat. Ini dilakukan agar rakyat tidak ketinggalan dalam tuntutan kepenggunaan tempatan dan pasaran antarabangsa yang diidentifikasikan dengan bahasa Inggeris.

Nilai pragmatik bahasa Inggeris di Malaysia dan juga di merata tempat di dunia, adalah sentiasa tinggi. Dengan ini, pelbagai usaha diperkenal untuk memajukannya. Bagaimanapun, dalam keghairahan mempertingkat penguasaan dan penggunaan bahasa Inggeris, kaedah pembelajaran didapati mempunyai impak bukan saja atas jati diri linguistik rakyat, tetapi juga terhadap jati diri nasional.

Justeru, kaedah yang tidak sesuai didapati boleh mencabar kejayaan bahasa negara di sesebuah tempat itu, sama ada untuk tujuan penyatuan mahupun kemajuan.

Sesungguhnya julat kaedah pembelajaran ini adalah luas. Pada satu penghujung, mereka yang mempelajarinya didapati tidak pun teruja walaupun ia bahasa yang hebat. Dalam kes begini, masyarakat Jepun secara umumnya didapati tidak memperlihat rangsangan berlebihan ketika mempelajari bahasa Inggeris.

Dalam hal ini, pelajar Jepun menguasai sistem bahasa Inggeris sebaik mungkin, sama saja seperti yang berlaku ketika mereka mempelajari mata pelajaran lain. Dengan kata lain, bahasa Inggeris tidak dipelajari dengan minat dan semangat yang berkobar-kobar sehingga boleh mempengaruhi pemikiran dan sikap mereka sebagai orang Jepun.

Hal sebaliknya berlaku pada satu penghujung lain. Golongan elit di sesetengah negara didapati mempelajari bahasa Inggeris dengan penuh teruja. Mereka didapati hanya boleh berbicara dengan baik apabila menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya.

Disebabkan mereka tidak fasih ketika menggunakan bahasa negara sendiri, mereka bukan saja dianggap sebagai orang asing di bumi sendiri oleh rakyat jelata. Tetapi lebih mengecewakan ialah mereka tiada jati diri etnik dan nasional pada diri mereka.

Di antara dua penghujung ini, wujud keadaan yang memperlihat pelbagai cara bahasa Inggeris menceroboh lalu mengubah jati diri etnik sesetengah kaum dan juga jati diri nasional di beberapa negara. Impak begini berlaku di Singapura yang mana sebilangan besar belia Cina dilaporkan menyesal dilahirkan sebagai orang Cina. Mereka ini yang dari segi budayanya bukan lagi Cina, merungut bahawa mereka sepatutnya dilahirkan sebagai orang Barat.

Jati diri sedemikian sudah tentu tidak unggul untuk jati diri etnik Cina. Ia juga tidak ulung untuk mewakili jati diri nasional republik itu yang ingin menonjol sistem nilai Asia dalam bentuk kepelbagaian budaya Cina-Melayu-India.

Sebetulnya kaedah pembelajaran bahasa Inggeris itu amat penting dalam usaha warga dunia menguasai bahasa dunia yang penting ini. Perkara inilah yang menjadi kebimbangan pencinta bahasa Melayu agar penguasaan dan penggunaan bahasa Inggeris di negara ini berlaku atas landasan yang tidak boleh sekali-kali menyebabkan bahasa Melayu terpinggir di tanah air sendiri.

Landasan itu adalah kepentingan bahasa Inggeris dalam bidang pendidikan dan arena antarabangsa. Berlandaskan kepercayaan dan kefahaman begini, kaedah pembelajaran bahasa Inggeris perlu dihadkan, pertamanya kepada peri pentingnya sebagai bahasa sumber ilmu. Dalam konteks ini, bahasa Inggeris perlu dipelajari sebaik mungkin untuk memahami kandungan ilmu yang rata-rata ditulis dalam bahasa Inggeris.

Pemahaman dalam bahasa Inggeris sebagai bahasa sumber ilmu ini kemudian diungkapkan semula dalam bahasa Melayu selaku bahasa ilmu. Ini bukan saja cara yang amat nasionalistik sifatnya untuk kita membina peradaban dan tamadun di Malaysia. Tetapi ia juga seiringan dengan Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu-Memperkukuh Bahasa Inggeris.

Dasar ini adalah dasar sosial penting untuk pembentukan dan pengekalan jati diri nasional di Malaysia, selain menangani persaingan antara bahasa negara ini dengan bahasa antarabangsa yang penting itu, secara bestari.

Seterusnya bahasa Inggeris dipelajari kerana ia adalah bahasa antarabangsa paling penting. Dengan penguasaannya rakyat Malaysia apabila perlu berinteraksi dengan masyarakat antarabangsa, sudah tentu dapat menggunakan bahasa pengantar ini dengan berkesan sebagai medium komunikasi. Ini dapat dilakukan ketika mengendalikan hubungan antarabangsa, selain terbabit dalam perdagangan dan perjalanan antarabangsa.

Inilah kaedah pembelajaran terbaik untuk melindungi bahasa Melayu daripada dikuasai oleh bahasa Inggeris. Sehubungan itu, kita perlu memastikan bahasa Inggeris di Malaysia tidak dipelajari atas landasan kekuasaan bahasa Inggeris. Ini bermakna kita tidak boleh mempelajarinya kerana kuasa dan prestijnya dalam pelbagai bentuk imperialisme. Antaranya adalah imperialisme budaya yang meliputi media, pendidikan, sains dan teknologi.

Apabila bahasa Inggeris dipelajari atas landasan ini, minda dan kehidupan rakyat Malaysia, akhirnya ditakluki. Penaklukan ini antaranya mewujudkan keadaan yang memperlihat rakyat benar-benar taksub bahawa bahasa Inggeris saja yang mampu memajukan negara, selain menyatupadukan rakyat berbilang kaum. Oleh itu ia perlu digunakan untuk mengendalikan hal yang menyangkut semua aspek kehidupan yang maju sifatnya. Antaranya pendidikan, urus tadbir negara, perundangan dan kegiatan budaya tinggi lain.

Penulis ialah Timbalan Pengarah Institut Alam dan Ketamadunan Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Sumber : http ://www.bharian.com.my/

Selasa, 29 Mac 2011

ISU BAHASA : Kontroversi Interlok bukan penghalang karya sastera bermutu

KUALA LUMPUR: Kontroversi membabitkan novel Interlok tidak harus menjadi penghalang kepada golongan karyawan untuk terus menghasilkan karya sastera yang bermutu, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

"Apa yang berlaku di luar bidang kawalan penulis. Jadi kita nak beritahu penulis jangan takut walaupun Interlok sudah ''dikunci'' begitu. Teruskan menulis dan lahirkan pemikiran yang tajam dan tinggi tamadunnya," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Sastera Pelbagai Kaum: Karya dan Aktiviti Sastera Sebagai Wahana Integrasi Nasional di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) di sini hari ini, Rais berkata, apa yang berlaku kepada karya Interlok tidak semestinya akan berlaku pada masa hadapan.

Walaupun Interlok sudah dibuat sedemikian, tidak semestinya ia terus menerus begitu. Yang saya hasratkan ialah buat masa depan, apabila sesuatu buku sastera itu sudah diterima, tidak wajar bagi kita untuk mengubahnya sekiranya buku itu sudah diterima sebagai buku sastera negara.

"Ini mesti saya katakan demi menjaga maruah kesusasteraan tanah air," katanya.

Novel Interlok karya Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain, menjadi kontroversi setelah diperkenalkan sebagai teks komponen sastera bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia untuk murid Tingkatan Lima di Zon 2 iaitu di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan, kerana mengandungi beberapa perkataan yang tidak disenangai masyarakat India.

Kerajaan bagaimanapun bersetuju untuk membuat pindaan pada bahagian yang dianggap sensitif itu.

Rais berkata, penulis perlu diberi kebebasan dalam berkarya.

"Ini satu pendekatan yang saya sendiri perlu memberi takrif yang jelas. Saya masih tergolong dalam pihak yang memberi kebebasan kepada penulis melahirkan buah fikirannya," katanya.

Rais berkata, peranan bahasa Melayu dalam membina masyarakat pelbagai kaum di negara ini tidak boleh diambil ringan.

Katanya, seminar yang dianjurkan Aswara, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia (Perspektif) hari ini adalah langkah awal dalam melahirkan penulisan yang bernilai antara penulis Melayu dan bukan Melayu.

Beliau berkata, kementerian akan bekerjasama dengan DBP dan Aswara dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu demi menyatukan masyarakat pelbagai kaum, selaras dengan konsep Gagasan 1Malaysia.

Pada seminar itu, satu memorandum persefahaman ditandatangani antara Rektor Aswara, Datuk Dr Mohamed Najib Ahmad Dawa, Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz dan Presiden Perspektif, Goh Hin San untuk bekerjasama dalam usaha memberi bimbingan kepada penulis menghasilkan karya bermutu. - BERNAMA

ISU BAHASA : Suka duka bahasa Melayu

Oleh Adli Shahar
adli@bharian.com.my

Gagal mengangkatnya kerana sikap penutur

HATI siapa yang tidak sebak apabila kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di pusat pengajian tinggi dipersoalkan dan bertambah melukakan apabila kenyataan sedemikian diluahkan pemimpin tertinggi sebuah universiti.

Isu Naib Canselor, Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Ghauth Jasmon, memperlekehkan bahasa Melayu dan pelajar Akademi Pengajian Melayu (APM) pada 14 Februari lalu, masih menjadi sebutan pada Dialog Orang Muda (DOM) - Bahasa Melayu di IPT: Melukut di Tepi Gantang.

Hinanya bahasa Melayu dan APM di mata Prof Ghauth sehingga didakwa menjadi punca kegagalan UM untuk termasuk dalam senarai antara 100 universiti terbaik sehingga menyebabkan pelajar akademi terbabit mengemukakan memorandum bantahan.

Memorandum bantahan pelajar APM sudah diserahkan kepada Naib Canselor pada 24 Februari lalu dan sudah pun dijawab beliau dengan pendirian bahawa beliau tidak akan memohon maaf dan tetap mempertahankan tindakannya.

Panel forum sependapat tanggapan negatif terhadap bahasa Melayu adalah berkait rapat dengan sikap tidak yakin kepada penggunaan Bahasa Melayu, selain perkembangan situasi semasa yang banyak menekankan penggunaan bahasa Inggeris dalam pelbagai aspek kehidupan.

Calon Sarjana Bahasa Melayu Linguistik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Mohd Tarmizi Hasrah berkata, masalah itu berpunca daripada sikap penutur bahasa Melayu dan perlu diatasi, selain penggubal dasar perlu mewujudkan situasi menggalakkan penggunaan bahasa Melayu di IPT.

“Pelajar sekarang diarah menguasai bahasa Inggeris dengan alasan mereka mendapat peluang besar memperoleh pekerjaan apabila tamat pengajian. Ramai juga menganggap bahasa Melayu tidak mantap untuk digunakan dalam bidang sains, teknologi dan ekonomi. Bagaimanapun tiada kajian mengenainya,” katanya pada forum di Rumah PENA, Jalan Dewan Bahasa, baru-baru ini.

Editor Penyelidikan Al-Ameen Serve Holdings, Muhammad Syukri Roslim pula, yakin penekanan berlebihan kepada bahasa Inggeris oleh IPT menyebabkan pelajar mempelajarinya setakat untuk memenuhi keperluan dan bukan kerana menguasai ilmu.

“Perkara ini boleh diatasi sekiranya penutur bahasa Melayu membuang tanggapan bahasa Inggeris yang akan memberi kemajuan kepada negara. Kita perlu sedar sudah banyak kemajuan dalam penghasilan istilah bahasa Melayu,” katanya pada dialog yang dipengerusikan Ahli Jawatankuasa Biro Penulis Muda PENA, Muhammad Lutfi Ishak.

Kurangnya penterjemahan hasil kajian ilmiah bahasa lain ke bahasa Melayu dilihat Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz, turut menjadi salah satu punca bahasa terbabit tidak lagi dilihat sebagai bahasa ilmu.

Perkara terbabit didakwa berlaku kerana kurangnya insentif yang diberikan kepada penterjemah yang dapat mendorong mereka untuk menterjemahkan jurnal terbaru pengkaji luar dalam tempoh segera.

“Kita boleh melihat perkara ini berlaku apabila tulisan seperti makalah diberi bayaran lebih tinggi berbanding kerja penterjemahan,” katanya pada dialog bulanan DOM anjuran Biro Penulis Muda, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dengan kerjasama Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM).

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Isnin, 28 Mac 2011

Pasca SPM: Pilih kursus secara bijak, ikut minat

Ketika ini, ibu bapa dan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sibuk membuat 'kerja rumah' untuk memilih kursus dan institusi pengajian tinggi (IPT) yang menepati impian masing-masing sama ada di dalam atau di luar negara. Sama ada IPT awam atau swasta bergantung kepada keputusan SPM, kesesuaian kursus dan kemampuan kewangan.

Bagi 9,239 calon yang mendapat keputusan gred cemerlang (A+, A, A-) dalam semua mata pelajaran, tentunya tidak berdepan masalah untuk memilih kursus idaman di universiti pilihan hati masing-masing. Mereka ada keistimewaan dan kebebasan kerana menepati syarat kelayakan yang ditetapkan tetapi jangan rambang mata. Buat pilihan mengikut minat dan cita-cita. Jangan ikut kawan takut merana badan.

Luaskan skop dan buat kajian teliti. Usah bataskan pilihan kepada kerjaya 'popular' seperti doktor, jurutera dan peguam sahaja. Pertimbangkan juga opsyen untuk menceburi bidang yang nichetetapi berpotensi serta menjanjikan pulangan lumayan seperti industri maritim, aeroangkasa danaviation. Kursus ini ditawarkan oleh IPT tempatan.

Paling utama, pastikan kursus yang ingin dipohon khususnya yang ditawarkan oleh IPT swasta diiktiraf Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan menerima akreditasi oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Sila rujuk laman sesawang rasmi untuk rujukan lanjut atau layariwww.mohe.gov.my.

Perlu diingat bahawa bagi kursus kedoktoran dan kejuruteraan, ia perlu diiktiraf oleh pertubuhan profesional yang berkaitan. Begitu juga untuk kursus yang ditawarkan oleh universiti luar negara.

Kepada yang berhasrat ingin belajar di luar negara, sila pertimbangkan faktor keselamatan kerana ketika ini banyak negara yang sedang dilanda krisis. Negara-negara di Asia Barat seperti Mesir, Bahrain dan Yaman sedang berlaku pergolakan politik.

Manakala Jepun pula berdepan ancaman radiasi nuklear yang berada pada paras bahaya dan mencemari air serta makanan akibat bencana tsunami.

Sila ikuti perkembangan terkini dan dapatkan maklumat yang sahih daripada Kementerian Pengajian Tinggi di talian 03-88835000.

Dalam pada itu, peluang masih ada untuk yang kurang cemerlang dalam SPM. Sertai bidang kemahiran sama ada di politeknik atau di institusi latihan kemahiran.

Contohnya , Institut Latihan Perindustrian (ILP) di bawah kelolaan Kementerian Sumber Manusia, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan Institut Kemahiran Mara (IKM).

Pelajar yang tamat latihan akan menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap 1, 2, 3, 4 dan 5. Mereka yang mendapat sijil berkenaan biasanya bekerja di sektor industri dan menerima gaji setanding dengan graduan lepasan universiti.

Pada masa sama, semak tawaran biasiswa dan pembiayaan pendidikan di akhbar untuk membantu mengurangkan tanggungan kewangan ibu bapa.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU ALAM SEKITAR : Teknologi satelit mengurus bencana

Pegawai Jabatan Meteorologi Malaysia memantau perkembangan gempa bumi.

Oleh NURFARHANA MOHD NOR, NOOR AZAWANI ABD. WAHAB dan OOI WEI HAN

BENCANA alam sering mencetuskan perdebatan di arena antarabangsa. Apabila ia berlaku terutama yang membabitkan angka korban dan kemusnahan yang besar.

Kebiasaannya, ia akan menimbulkan masalah tuduh menuduh antara pihak terbabit berhubung punca-puncanya.

Ironinya, semua itu tidak membawa kepada kesudahan atau penyelesaian.

Adakah wajar semua pihak mengambil keputusan untuk tunggu dan lihat? Jika ia, maka kita sedang melakukan suatu kesilapan besar dan bakal mengundang bahaya kepada seluruh manusia di muka bumi.

Perkara utama ialah setiap rakyat perlu diberi kesedaran tentang bencana ini. Mereka perlu tahu apa yang menjadi punca siapa yang bertanggungjawab dan bagaimana mengatasinya.

Malah mereka juga perlu disedarkan bahawa sikap tidak peduli dan acuh tidak acuh mereka terhadap alam sekitar turut menyumbang kepada fenomena alam yang sukar diduga itu.

Isu pemanasan global yang sering diperkatakan pada masa kini misalnya berpunca daripada sikap orang ramai terhadap kepentingan penjagaan alam sekitar.

Keadaan semakin meruncing apabila isu itu menyumbang kepada perubahan suhu yang tidak stabil, sekali gus menyebabkan berlakunya bencana alam.

Fenomena alam itu boleh berlaku dalam pelbagai bentuk seperti gempa bumi, tanah runtuh, banjir kilat, kebakaran hutan, tsunami, kemarau dan lain-lain lagi.

Malaysia sendiri tidak ketinggalan daripada dilanda bencana.

Sejak 20 tahun kebelakangan ini bencana yang paling kerap direkodkan di negara ini adalah tragedi banjir besar dan kejadian tanah runtuh.

Tragedi Highland Tower (1993), Pos Dipang (1996), Ribut Greg di Sabah (1996) dan kejadian tanah runtuh di Gombak (2004) adalah antara bencana alam yang berlaku serta mendapat liputan meluas media di negara ini.

Terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada berlakunya malapetaka yang membawa kepada kemusnahan dan kehilangan nyawa itu.

Namun, ia tidak bermakna tidak ada usaha untuk menanganinya.

Kerajaan melalui agensi-agensi berkaitan telah mengambil pelbagai inisiatif dengan menyediakan infrastruktur-infrastruktur amaran awal sebagai persediaan menghadapi bencana.

Sebagai contoh, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah membangunkan sistem ramalan dan amaran awal banjir di mana maklumat-maklumat disalurkan kepada agensi tindak balas dan juga orang awam.

Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) pula bertindak sebagai pemantau, pengkaji dan peramal cuaca sekali gus bertanggungjawab dalam menyebarkan maklumat berkaitan cuaca atau kejadian tsunami kepada orang ramai.

Jabatan Kerja Raya (JKR) pula berperanan dalam melaksanakan penyelenggaraan serta pemantauan sebelum dan selepas bencana.

Pada zaman serba maju dan moden ini, penggunaan serta adaptasi teknologi dilihat banyak membantu serta memudah cara bagi sesuatu aplikasi.

Ini terbukti serta telah dilaksanakan di kebanyakan negara maju membabitkan teknologi satelit begitu berperanan serta memberikan impak dalam menangani serta menghadapi isu bencana.

Di Malaysia, Agensi Angkasa Negara (Angkasa) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi telah dipertanggungjawabkan untuk menjadi agensi penggerak utama di dalam pembangunan teknologi satelit serta menggalakkan penggunaan aplikasinya di semua sektor.

Diharapkan dengan inisiatif tersebut secara tidak langsung dapat membantu dalam aspek pengurusan bencana sekali gus dapat mengurangkan kematian dan kerosakan harta benda sewaktu bencana.

Sumber : //www.utusan.com.my/

ISU AGAMA : Umat Islam perlu berjiwa besar bina tamadun sempurna

Oleh Nik Mustapha Nik Hassan

SUASANA mutakhir di Barat sepatutnya membuka hati umat Islam kepada keyakinan mutlak perlunya membina kekuatan dalam semua aspek untuk membangun tamadun menepati tuntutan Ilahi.

Kejahilan dan perpecahan menyebabkan ummah sentiasa dipermain Barat. Teriakan berbentuk retorik agama untuk membangunkan ummah patut menjadi perkara lampau. Islam dan umatnya hanya boleh dibangunkan dengan asas ilmu yang mantap dan pengikut yang faham serta yakin hanya dengan pendekatan Islam.

Pendekatan sekular yang menumpu kepada pembangunan ekonomi untuk membina peradaban manusia sudah menghasilkan kegagalan ketara kepada kebajikan manusia termasuk keunggulan ekonomi negara terbabit.

Kemiskinan yang melarat, pengagihan kekayaan tidak seimbang, keruntuhan institusi keluarga, akhlak, alam sekitar dan pelbagai masalah kemanusiaan patut membuka hati agar pendekatan alternatif untuk membina peradaban manusia perlu diusaha segera.

Pendekatan membina kemajuan masyarakat dan negara melalui pencapaian pertumbuhan ekonomi jelas mempamerkan, walaupun pertumbuhan ekonomi tercapai masalah lain seperti kemiskinan, pengangguran dan hutang turut mencatat angka membimbangkan.

Contohnya, hutang ekonomi negara maju kini semakin meruncing. Beban hutang sektor awam Amerika Syarikat pada 2010 melebihi AS$14 trilion, meningkat 72 peratus daripada lima tahun lalu. Jumlah ini tidak termasuk hutang sektor swasta yang lebih besar lagi.

Jepun turut mencatat hutang dua kali ganda ekonominya iaitu AS$5 trillion. Mengikut John Lipsky dari Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), nisbah purata hutang negara maju akan melebihi 100 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar tahun ini sejak peperangan dunia lalu.

Keadaan ini akan menempah krisis fiskal yang ketara pada masa depan. Jika dasar fiskal sukar untuk berperanan dengan baik dalam menyusun ekonomi negara, cuba bayangkan apa akan jadi kepada ekonomi negara itu. Persoalan perlu umat Islam ambil iktibar ialah pendekatan Barat yang kita sanjungi tidak boleh lagi dijadikan panduan. Di samping itu, pendekatan dikatakan menurut kehendak syariah juga perlu kepada pengkajian semula.

Pelaksanaannya yang bersifat ‘literal’ tidak menghasilkan natijah berkesan ke arah pencapaian matlamat syariah. Matlamat pelaksanaan mengikut kehendak syariah ialah untuk membina peradaban manusia bukan hanya membicara hal serpihan. Justeru, pendekatan yang bagaimana mampu membawa kebajikan dan kesejahteraan menyeluruh kepada kehidupan manusia keseluruhannya.

Untuk membina peradaban ummah yang kuat bersesuaian suasana semasa, panduan agama yang tepat, sempurna dan menyeluruh berpandukan semangat al-Quran dan al-Sunnah wajib diketengahkan secara terperinci serta realistik keadaan dan tempat.

Ini memerlukan ilmuwan Muslim menguasai ilmu al-Quran dan hadis serta memahami perjalanan sistem hidup semasa untuk membimbing kemajuan ummah.

Keadilan sosial bernegara mengikut Islam dapat difahami sebagai suasana apabila sektor awam dalam negara pada asasnya dapat menyedia keperluan hidup asasi rakyat dengan pembinaan keimanan individu Muslim melalui sistem pendidikan.

Menaikkan taraf daya kemahiran hidup untuk semua lapisan masyarakat, memberi kebebasan dan jaminan perundangan, memberi jaminan untuk menentu atau berusaha bersama dalam kegiatan ekonomi dan berusaha membina tamadun utuh untuk generasi masa depan.

Dengan kata lain pendekatan kepada amalan perniagaan adalah untuk memberi kesejahteraan dan kebajikan kepada seluruh masyarakat. Pendekatan ini memerlukan amalan ikhlas dan kecekapan dalam urusan perniagaan. Abad ke-21 ini adalah era pertembungan tamadun. Justeru, untuk umat Islam menonjol dan menjadi ikutan, perlu berjiwa besar dan jujur membentuk kemajuan ke arah membina sebuah tamadun sempurna dan mulia.

Penulis ialah Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Sumber : http : //www.bharian.com.my/