Isnin, 4 April 2011

Serap 4 elemen Lautan Biru: PM

Oleh Magendran Rajagopal
magendran@bharian.com.my

Penjawat awam disaran cari rumusan kreatif, tak berfikir konvensional atasi masalah

PUTRAJAYA: Penjawat awam disaran menerapkan empat elemen penting Strategi Lautan Biru iaitu, 'kurangkan, hapuskan, wujudkan dan menambah peluang' ketika melaksanakan tugas supaya pencapaian dan keberhasilan sektor pentadbiran awam terus meningka.

Kakitangan awam tidak sepatutnya hanya memerhatikan perancangan strategik negara selaku anggota pentadbiran saja, sebaliknya mesti berpaksikan kepada tafsiran objektif mengenai kehendak dan jangkaan rakyat terhadap kerajaan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Kita anggap prinsip ini sebagai ‘empat suku atau quadrant’. Kalau nak dipercepatkan sistem penyampaian, kita kena masuk suku ‘kurangkan’, seperti dilakukan Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) dan Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Mohd Sidek Hassan).

“Suku ‘hapuskan’ pula diguna pakai apabila ada ketirisan atau kerugian... kita cuba hapuskan. Umpamanya, isu yang gemparkan kita, iaitu tindakan terhadap pegawai kastam, kita nak banteras salah guna kuasa, pembaziran dan rasuah.

“Menambah peluang pula bermakna kita memberi nilai tambah dalam pengurusan dan pentadbiran bagi meneroka peluang baru. Kita guna apa saja pendekatan pengurusan dan pemikiran lebih kreatif supaya pencapaian kita berhasil mencapai matlamat,” katanya berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri, di sini semalam.

Najib menegaskan Strategi Lautan Biru turut menyokong agenda utama kerajaan melalui pelbagai pendekatan baru yang dapat dilihat daripada dua aspek, iaitu mencari rumusan kreatif dan tidak lagi berfikir secara konvensional bagi menyelesaikan masalah.

Katanya, kerja tambahan tidak seharusnya bermakna perlu ada penambahan bajet atau jumlah kakitangan, sebaliknya strategi harus menjadi pedoman bagi mengurangkan tenaga kerja dengan menghapuskan apa yang tidak perlu, sekali gus mewujudkan peluang baru dan menambah bidang baru untuk diceburi.

Beliau juga mengingatkan satu daripada tonggak utama pihak pentadbiran adalah berlandaskan kepada dasar bahawa kerajaan adalah untuk semua rakyat Malaysia dan penjawat awam mesti adil kepada segenap lapisan masyarakat.

Misalnya, kata Perdana Menteri, apabila pelajar Malaysia terkandas di Mesir, kerajaan berusaha membawa mereka pulang ke tanah air serta tindakan untuk menyelesaikan masalah berhubung isu novel Interlok dan kitab Injil yang diterbitkan dalam bahasa Melayu.

Najib juga berkata, penjawat awam perlu mengenal pasti bidang yang diberi keutamaan oleh kerajaan dan menyesuaikannya dengan apa yang hendak dilakukan berdasarkan penilaian objektif terhadap persekitaran ekonomi dalaman, serantau serta global supaya strategi ekonomi negara pada masa depan menepati senario dalam dan luar negara.

Katanya, ia perlu diperhebatkan kerana rakyat semakin menerima langkah kerajaan, malah penilaian oleh mereka dari luar negara seperti Pengasas Bersama Kumpulan Transparency International (TI), Michael Hershman, mengesahkan pencapaian negara adalah hakikat, bukan sengaja diada-adakan.

“Pada penghujung 2009, kita mulakan proses perancangan strategik. Lantaran itu lahirlah Program Transformasi Kerajaan (GTP) dengan enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan disusuli dengan analisis mendalam kedudukan ekonomi negara dalam konteks hala tuju baru.

“Maka tercetuslah Model Baru Ekonomi (MBE) dengan 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) dan 131 mengenai projek permulaan (EPP). Di samping itu, kita sudah kenal pasti apakah kekangan struktur yang boleh menjadi hambatan kepada kita memacu ke hadapan lebih pantas lagi,” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU EKONOMI : Fenomena global kenaikan harga barang

SETELAH beberapa kali menafikan dunia akan kembali terjerumus ke kancah kenaikan harga makanan dan barangan keperluan, Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akhirnya mengakui fenomena itu tidak dapat dielakkan.

Timbalan Ketua Pengarah FAO, He Chang Chui dalam satu kenyataan pada 8 Mac lalu berkata, Indeks Harga Makanan pertubuhan itu pada Februari lalu menunjukkan harga makanan dan barangan keperluan utama di seluruh dunia mengalami kenaikan untuk tempoh lapan bulan berturut-turut.

''Indeks pada bulan berkenaan mencatatkan angka 236 unit dan ia mengatasi paras tertinggi yang dicatatkan ketika krisis makanan dunia pada 2008 iaitu purata sebanyak 200 unit.

''Faktor luar kawalan termasuk cuaca buruk yang melanda negara pengeluar makanan telah menyebabkan peningkatan harga barangan termasuk daging, hasil tenusu, biji-bijian, minyak masak dan lemak serta gula," ujarnya.

Negara pengeluar makanan yang dilanda bencana alam terburuk baru-baru ini adalah Rusia dan Kazakhstan dengan musim kemarau manakala India dan Australia pula mengalami banjir.

Dalam pada itu, krisis makanan global juga berpunca daripada peningkatan penduduk dunia yang lebih tinggi iaitu sebanyak empat peratus setahun berbanding kapasiti pengeluaran makanan yang hanya meningkat sebanyak dua peratus setahun.

Menurut Chang Chui, Indeks Harga Makanan FAO pada Februari lalu jelas menunjukkan senario peningkatan harga makanan dan lain-lain barangan keperluan belum reda dan langkah-langkah segera perlu diambil kerajaan bagi memastikan tidak tercetus protes seperti yang berlaku di sebahagian besar negara di Asia Barat.

''Antara langkah yang boleh dilakukan adalah untuk mengelak daripada mengeluarkan perintah larangan eksport barangan makanan ke negara lain," katanya.

Sebelum ini, Rusia telah melarang eksport gandum dan India menegah eksport bawang merah sehingga menyebabkan harga barangan berkenaan naik secara mendadak di seluruh dunia.

Tambah Chang Chui, kerajaan sesebuah negara juga perlu memastikan rakyat tidak membeli barangan dalam kuantiti banyak kerana panik disebabkan perbuatan itu akan menyebabkan bekalan makanan berkurangan dengan mendadak.

''Kerajaan juga perlu memberikan tumpuan untuk melabur secara besar-besaran dalam sektor pertanian dan memperkenalkan dasar-dasar baru bagi membantu rakyat miskin yang merupakan golongan paling terjejas dengan kenaikan harga barangan tersebut,'' katanya lagi.

Mengulas mengenai fenomena kenaikan harga makanan dan barangan keperluan itu, penganalisis ekonomi dan pensyarah Pengurusan Strategik Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, perkara itu tidak dapat dielakkan kerana ia bersifat global.

''Perkara ini berlaku apabila permintaan pengguna yang melebihi penawaran. Ia akan menyebabkan mereka terpaksa membayar melebihi daripada harga asal.

''Inflasi ini bukan sahaja berlaku disebabkan kenaikan harga makanan dan komoditi, malah ia juga berpunca daripada kenaikan harga minyak," katanya.

Seperti yang disebut oleh Haim Hilman, kenaikan harga minyak dunia yang sekali gus akan menyebabkan peningkatan kos pengangkutan bagi mengangkut makanan dan barang keperluan adalah fenomena yang tidak dapat dielakkan berikutan krisis politik yang sedang berlaku di Asia Barat.

Bagi memastikan kenaikan itu tidak terlalu membebankan rakyat, kerajaan telah memberikan subsidi petrol dan diesel sebanyak RM7.61 bilion setahun.

Bagaimanapun, rakyat harus sedar bahawa kerajaan tidak boleh selama-lamanya memberikan subsidi tersebut kerana wang berkenaan juga amat diperlukan untuk bidang-bidang lain termasuk dalam membangunkan kawasan pertanian baru.

Sementara itu, Pensyarah Ekonomi Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Amir Baharuddin berkata, inflasi kini berlaku di seluruh dunia akibat permintaan barangan yang melebihi penawaran.

''Kenaikan harga barangan akan memberi tekanan kepada rakyat terutama mereka yang berpendapatan rendah tetapi kita tetap tidak boleh lari daripada inflasi.

''Cara terbaik untuk menghadapi fenomena ini adalah dengan menyesuaikan diri dan belajar untuk meningkatkan lagi produktiviti agar permintaan barangan dapat dipenuhi," jelasnya.

Bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan harga itu, katanya, pemantauan dan penguatkuasaan perlu dilakukan dari semasa ke semasa selain menggerakkan kempen bagi meningkatkan kesedaran pengguna untuk berjimat cermat.

Seperti yang disyorkan oleh Amir, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, sejak dahulu lagi telah melaksanakan proses pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan fenomena peningkatan harga barangan global tidak dijadikan alasan oleh peniaga untuk menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya.

Pemantauan dan penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga 1946 adalah bagi memastikan 12 jenis bahan makanan yang dikategorikan sebagai barangan kawalan mencukupi dan dijual pada harga munasabah.

Langkah lain melibatkan kawalan harga pada musim perayaan yang membabitkan 28 jenis barangan termasuk ayam, daging, telur ayam, kubis, tomato dan cili merah.

Segala langkah yang diambil itu telah menyebabkan harga barangan keperluan di negara ini masih lagi yang terendah berbanding negara ASEAN lain.

Misalnya beras kini dijual pada harga antara RM1.65 hingga RM1.80 sekilogram berbanding Indonesia (RM2.59) dan Singapura (RM5.06).

Petrol RON 95 pula dijual pada harga RM1.90 seliter berbanding Thailand (RM4.77), Indonesia (RM3.21) dan Singapura (RM5.06).

Pihak kementerian turut melaksanakan kempen bagi menjelaskan senario kenaikan harga barangan menerusi slot di radio dan televisyen termasuk Selamat Pagi 1Malaysia di TV1.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Pendidikan diiktiraf dunia

BANYAK kejayaan telah dicatatkan dalam sistem pendidikan negara sejak 50 tahun lalu dengan kadar celik huruf di kalangan dewasa kini mencecah 92 peratus.

Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) juga melaporkan antara 2006 hingga 2008, Malaysia berada di tangga keenam dan telah mengatasi Amerika Syarikat dari segi peratusan kemasukan murid prasekolah.

Bagaimanapun, perbandingan dengan Hong Kong, Korea Selatan dan Singapura menunjukkan penurunan hasil pendidikan pelajar Malaysia. Sekitar 20 peratus daripada mereka gagal mencapai garis minimum Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) pada 2007 berbanding hanya lima peratus pada 2003.

Ini menunjukkan masih terdapat ruang untuk penambahbaikan terutama sekali bagi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) hasil pendidikan yang melibatkan masa depan generasi muda dan pewaris negara.

Antara inisiatif yang diambil di bawah NKRA ini adalah menyediakan bantuan yuran berjumlah RM10.3 juta untuk 24,179 murid prasekolah dari keluarga berpendapatan rendah yang berdaftar dengan pangkalan data eKasih.

Bantuan itu untuk yuran di bawah RM150 sebulan di 611 prasekolah swasta sementara kelas prasekolah Kementerian Pelajaran, Kemas (Jabatan Kebajikan Masyarakat) dan Jabatan Perpaduan Negara & Integrasi Nasional (JPNIN) disediakan secara percuma.

Saringan Celik Huruf dan Nombor (LINUS) tiga peringkat turut dijalankan ke atas 450,000 murid darjah satu seluruh negara sementara 15,500 guru LINUS turut dilatih untuk kelas pemulihan kanak-kanak yang ketingglan.

Aplikasi LINUS yang bermula pada 2010 ini disasarkan untuk melonjakkan kadar celik huruf dan nombor murid darjah satu kepada 100 peratus menjelang 2012.

Pemilihan Sekolah Berprestasi Tinggi (HPS) turut dilaksanakan dengan 20 sekolah dipilih untuk 2010 dengan sasaran 100 HPS menjelang 2012 (30 sekolah 2011 dan 50 sekolah 2012).

Inisiatif anugerah Tawaran Baru juga digerakkan untuk dua peratus Pengetua dan Guru Besar sekolah terbaik dengan insentif tunai RM7,500 sementara lima peratus guru terbaik sekolah sama menerima RM1,800 dan bakinya RM900 setiap seorang.

Selain itu, Program Kemajuan Sekolah (SIP) dilaksanakan untuk menjadikan setiap sekolah dalam sistem pendidikan negara sebagai institusi pendidikan cemerlang dengan mencabar, mendorong dan menyokong antara satu sama lain terutamanya untuk sekolah di luar bandar.

Akhir sekali, inisiatif Sekolah Amanah di bawah Yayasan Amir iaitu sebuah badan bukan berasaskan keuntungan di bawah Khazanah Nasional Berhad dilancarkan melalui gabungan usahasama sektor swasta dan awam.

Sekolah Amanah mengekalkan status awamnya dan menerima peruntukan dari kerajaan tetapi pengurusan sekolah akan diletakkan di bawah rakan swasta yang memenuhi kriteria yang telah ditetapkan kementerian.

Maklum balas Jawatankuasa Antarabangsa Penilaian Prestasi (IPR) di dalam Laporan Tahunan Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2010 untuk NKRA ini mengingatkan pihak kementerian agar tidak terikat kepada 'pendidikan mengikut peperiksaan'.

Peringatan itu demi mengelakkan pendidikan di sekolah bertumpu kepada menghafal semata-mata dan mungkin akan menggagalkan sasaran memupuk bakat pelajar berkualiti tinggi yang kreatif dan analitis.

Tokoh pendidikan negara, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim turut menyokong peringatan itu kerana bimbang tumpuan masih kepada peperiksaan dan perangkaan untuk mengukur prestasi dan potensi pelajar.

"Kita tidak mahu pelajar hanya mempunyai keputusan peperiksaan cemerlang tetapi akhirnya gagal menyesuaikan diri dan menyumbang kepada kerjaya, masyarakat dan negara.

"Masalah pekerja kerap melompat tempat kerja kerana mahu kerja senang juga bermula di sekolah. Oleh itu, sistem pendidikan sedia ada belum cukup memuaskan selagi tidak membantu murid menjadi manusia sempurna selepas dewasa kelak," katanya.

Beliau turut mencadangkan beberapa ciri positif sistem pendidikan lama sekitar 1960-an wajar dinilai semula untuk diserap kembali ke dalam sistem pendidikan terkini.

Selain itu, NKRA ini turut menerima pujian ahli jawatankuasa tersebut yang juga pengasas Transparency International, Michael Hershman yang percaya usaha dan inisiatif yang diambil wajar menerima pengiktirafan antarabangsa.

Beliau turut mencadangkan pertubuhan pendidikan antarabangsa dijemput ke negara ini untuk menilai dan membuat ulasan perkembangan semasa NKRA ini.

"Walaupun banyak amalan terbaik yang boleh saya kongsikan, saya lebih suka melihat Malaysia meneruskan pendekatan di luar kelaziman ini. Jika berjaya, maka pihak lain pasti akan mengikut jejak anda," jelasya.

Sumber : //www.utusan.com.my/

Ahad, 3 April 2011

ISU SOSIAL : Negara perlu Akta Vandalisme

Tindakan merosakkan harta awam sewenang-wenangnya ini adalah peringatan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan lebih efektif bagi membendung masalah vandalisme ini.

PBT membelanjakan berjuta-juta ringgit setahun untuk membaiki kemudahan dan harta awam yang dirosakkan. Vandalisme tidak berlaku hanya di Kuala Lumpurs saja, namun di bandar lain seluruh negara.

Pelaku vandalisme membakar pondok telefon atau merosakkan pondok telefon awam hingga menyusahkan orang awam untuk menggunakannya ketika kecemasan.

Pelaku vandalisme turut merosakkan telefon awam, tong sampah, lif, meter tempat meletak kereta, perhentian bas, papan tanda awam dan tandas awam.

VANDALISME boleh menjadi ancaman utama terhadap struktur sosial dan kesejahteraan masyarakat setempat. Hampir setiap minggu media melaporkan pelbagai kejadian vandalisme yang dilakukan bagi merosakkan pondok telefon awam, lampu jalan, papan tanda jalan, taman awam, lif rumah pangsa dan kemudahan awam lain.

Situasi ini berlaku di kebanyakan kawasan di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti penutup lubang di jalan raya dan papan tanda aluminium dirosakkan.

Walaupun vandalisme di Malaysia tidak separah di kebanyakan negara Barat, kadar kerosakannya mencerminkan masalah itu yang sudah sampai ke tahap serius dan perlu dibendung secara efektif.
Adalah dikenal pasti bahawa vandalisme perlu ditangani melalui pendidikan dan dengan cara memupuk nilai murni, tanggungjawab sosial dan kesedaran sivik.

Namun, pendidikan saja tidak memadai, ia perlu disokong oleh perundangan yang ketat dan penguatkuasaan kukuh. Undang-undang kecil yang kini dilaksanakan oleh pelbagai pihak berkuasa tempatan juga tidak memadai untuk menghapuskan masalah vandalisme.

Adalah perlu bagi kerajaan memperkenalkan perundangan persekutuan baru bagi mengatasi masalah ini dengan mengenakan hukuman khidmat masyarakat secara wajib. Sudah tiba masa satu Akta Vandalisme diperkenalkan untuk membenarkan hukuman lebih berat dan mewajibkan khidmat masyarakat.

Oleh kerana agak sukar bagi pihak berkuasa menangkap pesalah ketika vandalisme dilakukan, orang awam boleh membuat penangkapan sendiri dan menyerahkan pesalah kepada pihak berkuasa.

TAN SRI LEE LAM THYE,
Kuala Lumpur.

ISU PENDIDIKAN : 200,000 kekosongan di IPTA/IPTS

Oleh Rohaniza Idris
roha@bharian.com.my

SERI KEMBANGAN: Sebanyak 200,000 tempat disediakan di institusi awam dan swasta (IPTA/IPTS) tempatan bagi pelajar mengikuti pengajian di peringkat ijazah pertama, sarjana dan doktor falsafah bagi sesi 2011/2012.

Selain itu, sejumlah 11,500 tempat turut disediakan bagi pelajar yang berminat mengikuti kursus bidang teknikal, latihan vokasional dan kemahiran di 27 politeknik dan 323 Institut Latihan Kemahiran Awam (ILA) di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, berkata angka itu membuktikan pelajar kini memiliki lebih banyak pilihan mengikuti kursus yang diimpikan.

“Apa yang pelajar perlu ketahui adalah maklumat terperinci mengenai kursus yang ditawarkan, syarat kelayakan dan peluang kerjaya tersedia kepada graduan yang berjaya menamatkan pengajian dalam bidang yang ditawarkan,” katanya berucap menutup Karnival Pengajian Tinggi Negara 2011 – ‘Jom Masuk U’ ke-7 di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mines (MIECC) di sini, semalam.

Karnival itu dijayakan 20 IPTA/IPTS terpilih, agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran, yayasan negeri dan agensi pembiayaan pendidikan. Tahun ini, seramai 300,000 pengunjung dicatatkan di 10 lokasi karnival di seluruh negara berbanding 220,000 orang, tahun lalu.

Muhyiddin berkata, karnival ‘Jom Masuk U’ anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Pelajaran adalah tempat yang sesuai untuk lepasan sekolah dan kolej untuk mendapatkan maklumat mengenai kemasukan ke universiti dan institusi pengajian tinggi yang lain.

“Saya percaya karnival ini memberikan panduan berguna kepada pelajar memilih kursus ditawarkan di IPTA/IPTS. Buatlah keputusan yang tepat dan bijak supaya bidang pengajian yang dipilih sesuai dengan kelayakan serta cita-cita kerjaya yang ingin diceburi,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini lebih 580,000 orang mahasiswa sedang mengikuti pengajian pada peringkat ijazah pertama, sarjana dan doktor falsafah di institusi pengajian tinggi awam dan swasta dalam negara.

IPTA tempatan, juga, kata Muhyiddin, berjaya menarik minat tenaga akademik luar negara untuk berkhidmat di Malaysia dengan 7.5 peratus petugas akademik IPTA ketika ini adalah kalangan petugas akademik antarabangsa yang disifatkannya bukti pendidikan tinggi tempatan adalah bertaraf dunia.

Malah, ketika ini seramai 86,919 orang pelajar asing dari lebih 150 negara sedang mengikuti pengajian di IPT tempatan sehingga Disember 2010 yang disifatkannya pengukur kejayaan Malaysia sebagai hab kecemerlangan pendidikan serantau dan antarabangsa.

Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebanyak 140,000 tempat disediakan untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan setaraf dengannya.

Bagi pengajian diploma di IPTA dan politeknik, jumlahnya ditambah kepada 74,000 tempat, iaitu diploma meningkat 5.44 peratus menjadi 22,927 tempat berbanding 21,744 tahun lalu manakala politeknik jumlah pengambilan meningkat kepada 51,000 tempat dengan peningkatan 23 peratus berbanding 41,382 tempat saja pada 2010.

Selain pertambahan pelajar, KPT juga memperkenalkan lebih banyak program dan kursus baru seperti seperti hortikultur, landskap, bioteknologi dan bidang bahan boleh diperbaharui.

Program dwi diploma juga diperkenalkan mulai tahun depan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan beberapa universiti lain, manakala sesetengah program diploma dipendekkan tempoh pengajian daripada tiga tahun kepada dua setengah tahun.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Sabtu, 2 April 2011

Tan Sri Mokhtar Al -Bukhary & Prinsip Kejayaannya

1. Jangan pentingkan diri sendiri

“Saya ada emotional attachment kepada agama, bangsa & ummah. Saya bukan individualistik. Diri saya tidak penting. Pangkat & gelaran itu kepada saya tidak mustahak.”


2. Kerja kuat untuk berjaya

“Saya malu kerana orang Cina kaya beratus-ratus kali ganda di bumi kita Malaysia. Ini kan Tanah Melayu. Tapi saya tahu orang Melayu kalau hendak berjaya, kena kerja kuat tidak kira siang & malam. Kita ada kekuatan yang Allah beri melebihi daripada bangsa lain. Tetapi untuk maju kita perlu berusaha.”


3. Jangan malu untuk berjaya

“Saya asalnya tidak tahu apa-apa. Setiap orang yang mahu berjaya & telah berjaya pada asalnya bermula daripada sifar (reset to zero). Apa yang saya tidak tahu, minta tolong daripada orang lain. Saya tidak malu. Saya bukannya mencuri. Saya usaha sendiri. Sikap pemalas & pemalu ini yang orang Melayu kena atasi. Kita kena berani kerana benar. Apabila kita mendapat keuntungan & rezeki lebih, bolehlah kita menolong orang.”


4. Anggaplah kekayaan itu hanya sementara

“Kaya itu bukanlah kepada diri sendiri. Kaya itu adalah kepada kumpulan perniagaan, kepada bangsa & kepada orang ramai. Jika kita kaya, kita hanya memegangnya hanya untuk sementara sahaja.”


5. Lakukan amal yang baik

“Jika kita kaya, usahlah kita hanya menyimpan kekayaan itu untuk anak & isteri sahaja. Duit itu tidak akan kekal. Saya percaya hanya perkara yang baik yang kita lakukan akan kekal. Bukan duit yang akan melindungi kita nanti, tetapi apa yang kita lakukan sekarang.”


6. Bijak mencari peluang

“Saya perlu terus mencari peluang supaya saya terus dapat membantu orang lain mengembangkan diri masing-masing. Saya bukan buat semua ini untuk diri saya semata-mata.”


7. Yakinlah & jangan takut dengan diri sendiri

“Banyak orang percaya bahawa dia mesti ada RM10 juta atau RM20 juta dalam tangan baru hidup bolah selamat. Ini yang memyebabkan mereka hanyut daripada menolong orang lain. Mereka lebih takutkan diri sendiri. Mereka lupa bahawa kekayaan tidak boleh membantu selama-lamanya.”


8. Pergantungan kepada Allah SWT

“Jika kita mahu sesuatu, minta terus kepada Allah. Allah beri manusia akal & fikiran. Kalau hendak pakai baju & seluar, biarlah padan dengan badan sendiri.”


9. Bertanggungjawab atas apa yang kita lakukan

“Jika kita senang, kesenangan yang kita perolehi ini datang dengan tanggungjawab. Kita perlulah lakukan amal jariah. Walaupun sedikit, biarlah yang sedikit itu ada berkatnya.”


10. Berkongsilah kejayaan dengan orang ramai

“Saya suka kalau nikmat sedikit yang saya dapat itu dapat dikongsi bersama.”

11. Jangan mudah lupa diri

“Jangan mudah lupa diri kerana kejayaan atau kesenangan yang kita perolehi adalah milik Allah untuk kita gunakan ke jalan yang baik.”


12. Ambil masa untuk bertapak & mengekalkan kejayaan

Saya tertarik dengan kata-kata peninju terhebat, Muhammad Ali, katanya,
“The man who views the world at 50, same as he did at 20. He has wasted 30 years of his life.” Renung-renungkan.


13. Jangan mudah putus asa

“Kita jangan cepat putus asa. Putus asa boleh, tapi kena cepat-cepat kuatkan semula semangat untuk bangkit semula. Jangan jadikan agama hanya satu tempat untuk kita bergantung apabila kita susah. Tanggungjawab ibadah adalah tugas seharian.”


14. Tiada yang mustahil (Nothing is impossible)

“Tiada sebab kenapa Melayu tidak boleh maju. Kita kena berani berperang dengan musuh diri kita sendiri iaitu nafsu. Nafsu akan sentiasa mendorong kepada perkara-perkara yang negatif. Tukarkan ia menjadi positif. Maka, anda telah berjaya melawan nafsu anda. Kalau saudara & saudari jadi wartawan, saudara saudari kena tanam semangat suatu hari nanti mahu ambil alih akhbar itu. Tidak ada sebab kenapa ia tidak boleh belaku.”


15. Gigih, tekun dan tidak mudah berputus asa

“Kejayaan & kelemahan orang Melayu bukan disebabkan oleh bangsa kita dan agama kita. Ia berkait dengan sikap dan cara kita berfikir. Gigih, tekun & tidak mudah putus asa adalah kunci kejayaan. Tapi perkara ini kurang wujud dalam cara orang Melayu berfikir.”


16. Percayalah! Allah sentiasa memberi peluang kepada orang yang berusaha

“Allah memberi peluang kepada sesiapa sahaja yang bekerja kuat. Apa yang ada pada kita hanya usaha. Kita boleh melakukannya, tiada yang mustahil untuk dilakukan selagi kita tidak mengatakan TIDAK.”


17. Jangan rosakkan diri kita dengan kemewahan

“Kita tidak usahlah selalu mengulang-ulang perkara yang boleh memberikan kesan psikologi negatif kepada orang Melayu. Kita kena kurangkan bercakap tentang kereta & rumah besar. Sesiapa pun mahu pakai kereta mewah tapi itu bukan matlamatnya.”


18. Merendah diri

“Sikap merendah diri perlu sentiasa ada dalam diri seseorang walau setinggi mana pun kejayan dicapai.”


19. Bersyukur atas nikmat yang Allah berikan

“Saya terima apa sahaja nikmat yang diberikan oleh Allah. Tidak ada segelas air, ada setengah gelas pun saya bersyukur. Apa yang penting, kita perlulah berusaha.”

Sumber : http : //www.kacangajaib.blogspot.com/

ISU PENDIDIKAN : Inovasi berkesan tingkat perkhidmatan

Dr Kamal Jit Singh

Kita tak boleh terlalu bergantung alasan logik semata-mata ketika buat keputusan

AHLI pemikir purba seperti Socrates, Plato dan Aristotle mungkin akan terkejut apabila mendapati konsep pemikiran mereka yang dibangunkan kira-kira 2,500 tahun lalu kini membentuk dasar bahasa pengaturcaraan komputer moden.

Mereka adalah pengasas pemikiran kritikal dan mempopularkan pengertian logik iaitu enjin yang menggerakkan rangkaian ekonomi digital hari ini.

Berfikir secara kritikal adalah penting dalam mendapatkan kebenaran dan membolehkan kita untuk membuat keputusan berdasarkan fakta. Logik dan alasan pula adalah penggerak utama pemikiran kritikal, manakala faktor lain seperti perasaan, emosi dan naluri dikatakan tidak mempunyai tempat dalam pemikiran kritikal.

Sekolah tidak mengajar kita berfikir secara kritikal tetapi mengharapkan kita untuk belajar berfikir melalui subjek Matematik dan Sains. Kedua-dua mata pelajaran ini didasarkan pada model, input dan output yang boleh diramal berdasarkan pada logik dan alasan.

Semua input bergantung kepada spesifikasi khusus yang boleh diproses berdasarkan logik dan alasan, manakala setiap output dapat diramal, boleh dipercayai dan tepat. Namun, benarkah begitu? Jika ditanya kepada mana-mana pengguna komputer, pasti mereka akan ketawa.

Contohnya, pernahkah anda mendengar seorang wanita tua yang sudah meninggal dunia masih menerima notis supaya memperbaharui lesen memandunya? Cucunya sudah berputus asa untuk meminta pihak berkuasa menghentikan notis itu. Mereka tidak mahu lagi mayat nenek mereka diganggu dan berharap ia dibiarkan bersemadi dengan aman.

Bagaimana pula dengan borang yang meminta nombor kad pengenalan anda dan pada masa sama turut meminta tarikh lahir anda? Tidakkah tarikh lahir sememangnya termasuk di dalam nombor kad pengenalan? Bahkan, anda boleh memberitahu negeri mana seseorang itu lahir. Dapatkah anda melihat logik atau alasan dalam salah satu situasi ini?

Kita perlu meletakkan pendekatan berfikir secara kritikal dalam konteks logik dan alasan yang signifikan. Ia boleh dilakukan apabila faktor tidak kritikal lain turut diperiksa dan dipersoalkan.

Contohnya, dalam industri perhotelan, logik menyatakan bahawa waktu daftar masuk adalah pada jam 12 tengah hari dan tetamu hanya dibenarkan melakukan daftar masuk sekitar jam 2 petang, iaitu hanya selepas bilik dibersih dan dikemaskan.

Cuba anda jelaskan keadaan ini, mengenai seorang seorang ahli perniagaan yang menaiki penerbangan selama 14 jam dan tiba di hotel berkenaan pada jam 8 pagi tetapi tidak boleh mendaftar masuk kerana belum jam 12 tengah hari, sedangkan dia amat memerlukan masa rehat, mandi serta membersihkan diri. Keadaan itu akan membuatkan anda berfikir secara logik mengenai apa yang anda boleh lakukan bagi mengatasinya.

Sejauh mana berfikir secara kritikal boleh berlangsung dengan baik dalam perkara berkaitan teknikal dan bersifat pengiraan. Ia hanya akan berfungsi apabila anda mempunyai maklumat mencukupi dan semua orang berkelakuan seperti dikehendaki berdasarkan kepada standard yang ditetapkan.

Dalam masyarakat zaman Socrates yang secara relatifnya stabil, dengan mempunyai idea yang kreatif dan membina, pemikiran kritikal digunakan untuk memisahkan antara idea yang dilihat mampu berfungsi dengan yang tidak.

Namun, dalam dunia yang dinamik kini, dengan tidak ada sesuatu standard yang tetap kita tidak dapat menerima pemikiran kritikal sebagai satu nilai nominal.

Justeru, jika berdasarkan kebenaran itu, konsep logik dan alasan tidak mendapat tempat dalam kehidupan seharian kita. Jika ia berlaku sudah pasti tidak akan ada peperangan, keganasan atau birokrasi. Tidak akan ada pasaran untuk produk berprestij serta kehebatan jenama tidak akan lagi relevan. Tidak akan ada perniagaan yang gagal atau rakan kongsi perniagaan yang bermasam muka.

Jelaslah, dunia yang kita diami ini tidak hanya berdasarkan kepada pendekatan pemikiran kritikal, sebaliknya ia turut membabitkan pelbagai faktor lain yang akan memberi kesan kepada keputusan dan penilaian kita.

Logik dan alasan diperlukan, tetapi setiap keputusan perlu juga mengambil kira faktor lain seperti persepsi, andaian, perasaan dan emosi.

Di Barat yang sudah biasa dalam pemikiran kritikal, kini sedar bahawa logik dan alasan saja tidak mencukupi. Kini wujud kesedaran untuk membawa faktor lembut dalam produk inovatif dan perkhidmatan yang direka cipta untuk memberi keselesaan atau lebih mesra pengguna.

Kembali kepada kisah perkhidmatan hotel tadi, adalah lebih baik seseorang itu dibenarkan mendaftar masuk pada bila-bila masa pada hari berkenaan. Dengan bilik sentiasa dikemas dan dibersihkan mengikut permintaan. Sama seperti pihak restoran membersihkan meja makan setiap kali pelanggan selesai menjamu selera. Ia adalah mudah, namun satu inovasi berkesan.

Inilah paradoksnya, namun ia hanya boleh dilaksanakan selepas kita menggunakan logik dan alasan untuk menilai situasi. Ironinya, masalah yang kita hadapi di Malaysia adalah bertentangan. Isu lain menjadi faktor penentu, manakala faktor logik dan alasan yang baik tidak hadir atau tertinggal di belakang.

Kita tidak perlu pergi jauh untuk melihat contoh situasi seharian di mana tidak berlaku pemikiran kritikal.

Misalnya, pihak pasar raya enggan memulangkan wang anda dengan segera walaupun sudah menyerahkan barang rosak yang anda beli bersama resit asal, begitu juga syarikat kad kredit yang mengenakan caj atas pembelian itu, sebaliknya mengambil masa 30 hari untuk membatalkan transaksi kredit. Saya percaya anda juga mempunyai pelbagai pengalaman hampir sama berkaitan keadaan ini dengan senarai yang panjang.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/