Jumaat, 8 April 2011

Kad Pengenalan : Dari kad beras ke kad polikarbonat


Kad pengenalan Tunku Abdul Rahman - Perdana Menteri dari '57 - '70

DARI tahun 2000 sehingga 2010, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah mengeluarkan sebanyak 28.99 juta kad pengenalan MyKad.

Jumlah tersebut meliputi pengeluaran MyKad bagi gantian untuk permohonan disebabkan kes kerosakan dan kehilangan.

JPN adalah sebuah Jabatan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang bertanggungjawab mendaftar peristiwa-peristiwa penting setiap individu seperti maklumat kelahiran, kematian, pengangkatan, perkahwinan dan perceraian.

Kad pengenalan Tun Abdul Razak - Perdana Menteri dari '70 - '76

Ia ditubuhkan selepas Peraturan-peraturan Darurat (Kawasan-kawasan Pendaftaran) 1948 yang dikuatkuasakan sebagai salah satu langkah untuk menentang ancaman keselamatan.

Peraturan itu memerlukan semua penduduk supaya mendaftar dan memperolehi kad pengenalan apabila mencapai umur 12 tahun dan ke atas.

Kad pengenalan kini sudah menjangkau usia 63 tahun yang menyaksikan evolusi dari hanya sekeping kad kertas yang dikenali sebagai kad beras kepada MyKad iaitu kad pintar bercip yang diperbuat daripada bahan polikarbonat.

1948: Kad pengenalan kertas

Kad pengenalan Tun Hussein Onn - Perdana Menteri dari '76 - '81

>Pengenalan: Oleh pemerintah Inggeris di Malaya melalui Emergency [Registration Areas] Regulation 1948, bagi membendung ancaman pengganas komunis. Ia juga dikenali sebagai ‘kad beras’ kerana sewaktu catuan makanan pada zaman darurat bermula pada 1948 itu memerlukan bukti pengenalan diri bagi mendapatkan beras.

>Pelaksanaan: Digunakan di Semenanjung Malaysia dari tahun 1948 sehingga 1960.

>Ciri-ciri: Tujuan untuk keselamatan, tidak bersalut, gambar hitam putih, cap ibu jari kanan sahaja, maklumat asal penduduk, tiada taraf kewarganegaraan.

Kad pengenalan Tun Dr Mahathir Mohamad - Perdana Menteri dari '81 - '03

1960: Kad pengenalan plastik

>Pengenalan: Akta Pendaftaran Negara 1959 (Akta 78) diperkenalkan bagi memperkemaskan lagi sistem pengeluaran kad pengenalan.

>Pelaksanaan: Digunakan di Semenanjung dari 1 Ogos 1960 sehingga 31 Mac. Diperkenalkan di Sarawak pada 30 Mac 1966 dan Sabah pada 1 Jun 1972.

>Ciri-ciri: Keselamatan yang baik, bersalut dan diproses secara teragih, empat warna bagi menentukan taraf warganegara, maklumat terperinci, gambar hitam putih, cap ibu jari kiri dan kanan.

Kad pengenalan Tun Abdullah Ahmad Badawi - Perdana Menteri dari '03 - '09

1990: Kad pengenalan bermutu tinggi

>Pengenalan: Bagi menggantikan kad pengenalan plastik. Juga dikenali sebagai kad pengenalan bunga raya.

>Pelaksanaan: Diperkenalkan pada April 1990.

>Ciri-ciri: Keselamatan yang tinggi, gambar hitam putih (1990) dan gambar warna (1999), cap ibu jari kiri dan kanan, maklumat terperinci dan bersalut.

Kad pengenalan pintar

>Pengenalan: Kad pintar yang dikenali sebagai MyKad.

>Pelaksanaan: Mulai akhir 2000 di Semenanjung dan awal 2002 di Sabah dan Sarawak. Penukaran kad pengenalan bermutu tinggi kepada Mykad adalah secara sukarela dan percuma mulai tahun 2003 sehingga 2005.

>Ciri-ciri: Kad pengenalan mempunyai ciri keselamatan tinggi dan berteknologi cip yang kini diperbuat daripada bahan polikarbonat. Pada masa ini, ia memuatkan aplikasi lapan tambah satu (8+1) dalam satu kad.

Nota Hujung (info tambahan) :

Proses mencetak MyKad amat mementingkan aspek keselamatan. Hanya pegawai berpengalaman sahaja dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan bahagian ini.

Semua akses menggunakan sistem biometrik iaitu pengesanan cap jari. Itu belum termasuk lagi dengan proses tapisan dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Dari sekeping kad yang kosong kebiruan dan diperbuat sepenuhnya daripada bahan polikarbonat itu, ia kemudiannya melalui mesin sistem peribadi berprestasi tinggi.

Mesin yang dipanggil HPPS itu berfungsi untuk memformatkan cip pada MyKad dan mampu memproseskan format kepada 12,000 keping MyKad sehari.

Cip itu bertindak sebagai penyimpan maklumat aplikasi lapan campur satu (8+1) yang meliputi kad pengenalan, prasarana kekunci awam, lesen memandu, kad ATM, asas kesihatan, elektronik tunai (MEPS), pasport, Touch n Go dan ‘frequent traveller card’.

Maklumat pemohon akan disalurkan kepada Sistem Pengurus Kad menerusi Pusat Data sebelum dicetak menggunakan mesin berteknologi tinggi dari Amerika Syarikat.

Bagaikan kilang percetakan surat khabar, satu persatu kad dicetak dengan gambar serta maklumat peribadi pemohon seperti nama penuh, alamat, agama dan jantina.

Sepanjang proses itu, MyKad dicetak dengan paparan imej menggunakan teknologi engrave serta cetakan tandatangan Ketua Pengarah JPN secara digital.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

Khamis, 7 April 2011

ISU BAHASA : Persatuan linguistik bantah syor PAGE

Oleh Adli Shahar
adli@bharian.com.my

Mahu PPSMI dimansuh sepenuhnya

KUALA LUMPUR: Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) menolak saranan Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE) supaya dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dijadikan pilihan di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan.

Timbalan Presiden PLM, Kamal Shukri Abdullah Sani, berkata PLM berpegang kepada janji kerajaan bahawa PPSMI akan dimansuhkan sepenuhnya sehinggalah pada peringkat pengajian tinggi sama seperti sebelum pelaksanaan pada 2003.

“PLM mewakili 48 badan bukan kerajaan (NGO) lain membantah keras sebarang cadangan untuk mengembalikan dasar PPSMI dalam apa juga bentuk sama ada sepenuhnya atau sebahagian saja di mana-mana institusi pendidikan kerajaan dan bantuan kerajaan di negara ini.

“Usaha mewujudkan satu kelas khas untuk PPSMI bagi melayani segelintir pihak hanya tindakan mementingkan diri berbanding aspirasi negara dan kemajuan serta perkembangan bahasa negara sendiri,”katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan Kali Pertama 2011 di Parlimen di sini, semalam.

PLM turut mengemukakan surat terbuka membantah memorandum PAGE dan memohon mengembalikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di Tingkatan Enam, matrikulasi dan universiti (seperti 1983 hingga 2003) kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempengerusikan mesyuarat berkenaan.

Januari lalu, PAGE mengulangi saranan supaya dasar PPSMI dijadikan pilihan di sekolah menerusi memorandum yang diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, sekali gus mahukan resolusi persatuan terbabit dibincangkan semula oleh Kabinet.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU KENEGARAAN : Menilai jenis pemimpin

Oleh Aziz Jamaludin Mhd Tahir

MEMINJAM kerangka analisis kepimpinan yang dirumuskan oleh Dr. Azizan Bahari, seorang pensyarah Universiti Utara Malaysia memberikan kita ilham bagi memilih jenis pemimpin yang bakal memimpin kita.

Dalam bukunya, Menjadi Pemimpin (2008), Dr. Azizan memberikan pengukuhan konsep pemimpin kepada empat jenis utama iaitu pemimpin karismatik, pemimpin transaksi, pemimpin yang sentiasa memikirkan kaedah memenangkan dirinya sendiri dan pemimpin transformasi.

Seorang pemimpin karismatik merupakan pemimpin yang popular dan menjadi pujaan pengikutnya. Pemimpin jenis ini, walaupun adakalanya membuat kesilapan, kesilapan yang dilakukan itu tidak dinilai sebagai satu kesilapan. Malah, setiap kali percubaan untuk mendedahkan keburukannya akan dianggap sebagai satu helah, kemudiannya akan dirumuskan sebagai konspirasi. Penyokong setianya tidak boleh menerima kesalahan tersebut, dan sebarang percubaan menjatuhkan pemimpin itu akan ditentang kerana mereka sanggup "mati dan berjuang" mempertahankannya.

Menjadi lebih keutamaan ialah pemimpin karismatik bukan sahaja mampu menghimpunkan ramai pengikut bahkan orang sanggup mendengar ucapannya dengan tekun tanpa menilainya sebagai sesuatu yang bertentangan. Pemimpin jenis ini amat bijak menggunakan lisan dan bahasa badan sehingga ia dilihat hebat, mampu menyelesaikan masalah masyarakat dan gaya retoriknya mempunyai ritma "mega mendung." Pemimpin jenis ini tahu membangkitkan resah melalui kata-kata dan mampu pula memberikan solusi walaupun secara rasionalnya ia adalah sesuatu yang tidak munasabah.

Pemimpin transaksi tidak mempunyai kehebatan berpidato, tetapi ia merupakan pemimpin yang sanggup bekerja keras untuk memenuhi tanggungjawabnya. Pemimpin jenis ini mempunyai idea yang praktikal dan tidak akan membuat janji seandainya tidak mampu dilaksanakan. Pemimpin transaksi mengamalkan gaya kepimpinan sederhana, tidak meninggi diri dan sentiasa berkorban untuk mensejahterakan orang yang dipimpinnya.

Pemimpin ketiga ialah pemimpin yang sentiasa memikirkan kaedah untuk menang sendiri. Pemimpin ini akan menggunakan apa sahaja kaedah dan cara yang difikirkan sesuai asal sahaja kedudukannya dapat dipertahankan. Sifat ini amat bertepatan dengan apa yang dianjurkan oleh Nicollo Micheavelli dan bagi Dr. Azizan ia dikenali sebagai pemimpin ‘Halsca’ (halal segala cara). Fitnah bukan dilihat sebagai kaedah jijik, malah dianggap sebagai satu strategi politik.

Pemimpin keempat ialah pemimpin transformasi. Pemimpin jenis ini bukan sahaja memberikan ilmu kepada pengikutnya malah turut berusaha membentuk budaya berfikir secara rasional. Ia ikut membudayakan percambahan ilmu dan tidak mudah berjanji untuk menempatkan dirinya sebagai populis.

Pemimpin transformasi adakalanya dilihat mempunyai gaya karismatik, tetapi bukan dengan tujuan untuk menunjukkan kehebatan secara peribadi. Pemimpin transformasi tidak berusaha membentuk kelompok penyokong yang fanatik, tetapi lebih menjurus kepada pembentukan pemikiran penyokongnya secara rasional agar mampu membuat keputusan dengan bijak dan berkesan. Pemimpin jenis ini bercakap dengan menggunakan fakta dan bukannya gemar membuat kesimpulan secara tergesa-gesa.

Seorang pemimpin transformasi sentiasa memberikan fokus selaras dengan tanggungjawabnya sebagai seorang pemimpin. Pemimpin jenis ini meletakkan amanah sebagai pemandu arah dan berusaha sepenuh daya untuk memberikan kesejahteraan kepada orang yang dipimpinnya. Pemimpin transformasi tidak menjadikan kedudukannya sebagai keistimewaan, sebaliknya mengutamakan setiap peluang dan fikirannya untuk memenuhi tuntutan masyarakat.

Perspektif kepimpinan transformasi merupakan sifat kepimpinan yang banyak diberikan penekanan dalam al-Quran. Pemimpin jenis ini akan sentiasa berusaha menunaikan tanggungjawabnya dengan penuh amanah dan bila membuat sesuatu keputusan, ia berdasarkan kepada prinsip keadilan.

Konsep keadilan tidak dicampuradukkan dengan konsep sama rata. Konsep keadilan ialah meletakkan hak ditempat yang sepatutnya, maka dalam memenuhi tuntutan tersebut, ia tetap bersandarkan kepada peraturan dan etika yang telah melembagakan sesuatu perkara. Bagi perkara-perkara yang belum dilembagakan sebagai satu bentuk peraturan dan etika, akan dicari pula satu rumusan yang boleh diterima secara umum.

Dalam konteks ini, pemimpin transformasi tidak akan meminggirkan kelompok minoriti walaupun dalam konteks demokrasi, majoriti menjadi kuasa penentu. Kepentingan minoriti akan dilihat secara saksama, kerana mereka juga mempunyai hak selagi hak tersebut tidak melanggar hak orang lain.

Dalam konteks kepimpinan Islam, menunaikan tanggungjawab, menjaga amanah dan menegakkan keadilan adalah beban yang disandarkan ke atas bahu seseorang pemimpin. Sebagai pemerintah (ulil amri), setiap pengikut pula diwajibkan mentaatinya selagi setiap tingkah laku dan kaedah pemerintahan tersebut tidak menjurus kepada kebongkakan, menolak keyakinan dan melanggar perintah Allah SWT serta mendusta Rasulullah (Surah al-Nisa' ayat 48).

Kekuasaan yang diperoleh seseorang pemimpin adalah atas keizinan-Nya. Seseorang itu tidak boleh menganggap kuasa yang ada padanya adalah hak mutlaknya, kerana sehebat mana manusia cuba mendapatkannya, melalui apa cara sekalipun, jika tanpa restu Allah SWT ia tidak akan memperolehnya. Sejarah manusia yang lupa mengenai kekuasaan Allah SWT banyak berlaku meskipun seseorang itu dilihat hebat – dari jenis pemimpin karismatik – tapi akhirnya kecundang dan jika sempat menjadi pemimpin, di akhir pemerintahannya diselubungi tragedi.

Kita mungkin boleh mengambil contoh Muammar Gadafi sewaktu permulaannya dilihat sebagai wira. Setelah lebih 40 tahun memimpin Libya, Gadafi menjadi musuh dan rakyatnya sedang berjuang untuk menyingkirkannya secara tidak terhormat. Begitu juga dengan nasib yang diterima oleh Hosni Mubarak, terpaksa hidup dalam buangan dan menjadi umpatan.

Di dalam kitab Musnad (jilid 3 halaman 154), Imam Ahmad bin Hanbal memetik hadis Rasullullah SAW yang bermaksud: Tidak ada iman (yang sempurna) bagi orang yang sama sekali tidak ada kepercayaan (beramanah) baginya. Dan tidak ada agama (yang sempurna) bagi orang yang sama sekali tidak menepati janji baginya. (Riwayat Ahmad dan Baihaqi).

Berdasarkan prinsip tersebut, menjadi pemimpin bukanlah bermakna mendapatkan jawatan yang tertinggi. Kedudukan jawatan itu perlu disusuli dengan usaha memenuhi tanggungjawab dan amanah. Ingatan itu perlu sentiasa menjadi gagasan yang wahid bagi seseorang yang ingin menjadi pemimpin sebagai mana maksud hadis: Tidak ada seorang pemimpin yang menjaga urusan umat Islam sekiranya dia mati sedangkan dia ada mengkhianati mereka melainkan Allah SWT haramkan ke atasnya syurga. (Riwayat Syaikhan).

Berdasarkan kerangka analisis kepimpinan jelaslah bahawa pemimpin transformasi amat diperlukan berbanding lain-lain jenis pemimpin. Rasulullah saw diakui dunia sebagai seorang pemimpin yang jujur. Bila berjanji kepada masyarakat yang dipimpinnya, ia tunaikan janji sesuai dengan tuntutan Allah SWT.

Rakyat Malaysia semakin matang menilai pemimpin. Rakyat sentiasa memerhatikan setiap tindak tanduk pemimpin kerana rakyat Malaysia semakin sedar, berilmu dan dapat membaca tingkah laku seseorang pemimpin. Rakyat semakin bijak, tetapi dalam kecerdikan itu jangan tersalah pilih, terlalu banyak musang berbulu ayam yang hanya mencari peluang dengan berlakon dan bersandiwara. Hakikatnya, ayam sereban habis, reban bersepah dengan bulu-bulu ayam, musang hilang setelah kekenyangan.

DATUK AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR

ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah

Islamiyah Malaysia (Yadim).

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU KENEGARAAN : Pentingnya agenda memperkasa umat Melayu

KONSEP umat Melayu dalam maksud umat teras dalam politik dan pemerintahan di Malaysia mempunyai asas sejarah dan budaya yang kuat.

Meskipun zaman berubah dan banyak faktor teras terjejas sama, memperkasa umat Melayu dalam pemahaman dan penghayatan agama, penguasaan ekonomi yang seimbang, pembangunan modal insan cemerlang dan berkualiti, menampilkan kualiti kepimpinan dan kepengikutan yang terpancar daya keadilan dan amanah yang tinggi menjadi suatu tuntutan yang tidak dapat dielakkan.

Tidak salah kita mengambil manfaat berbanding dari sumber ilmu, budaya dan tamadun orang lain tetapi maksud umat Melayu merujuk kepada tamadun Islam yang harus mampu membangunkan jiwa reflektif di kalangan penganutnya. Umat Melayu sama ada kepimpinan mahupun pengikutnya harus bersedia memperkasa diri dengan penghayatan Islam.

Atas sifat suatu bangsa semata-mata ia tidak memiliki keteguhan sifat nilai yang mampu mencernakan amanah, keadilan, kejujuran dan keikhlasan. Bersifat sebagai suatu bangsa semata-mata tidak memandu untuk memberikan pedoman terbangunnya sebuah umat dalam erti kata yang luas.

Apabila konsep umat dalam hubungan ummatan wasata dan khaira ummah, ia memberikan landasan kepada bangsa Melayu untuk menjadi umat terbaik. Tidak salah Islam dimanifestasikan dalam sistem pembangunan di Malaysia kerana risalah yang dibawanya adalah untuk kesejahteraan umat manusia.

Mungkin ada kritik menyatakan memperkasakan Islam ke dalam sistem di Malaysia boleh meminggirkan orang lain dan menyebabkan asas perkauman bertambah segar. Kritik ini tidak melihat pemajuan ‘hub halal,” pemajuan sistem bank dan kewangan Islam di Malaysia tidak meminggirkan kegiatan perdagangan yang umumnya dimiliki oleh orang bukan Islam tetapi mengamalkan sistem berlandaskan syariah.

Yang diperlukan ialah konsep ummatik itu berjalan seperti yang dituntut oleh Islam. Islam tidak saja menghasilkan suatu sistem kepercayaan yang teguh dan utuh tetapi ia juga adalah ‘cara hidup’ yang memberikan asas kepada terbangunnya sistem. Asas inilah sewajarnya menjadi teras supaya ia terpedoman dengan nilai-nilai baik tidak saja untuk umat Melayu tetapi juga orang bukan Melayu.

Sebarang perbincangan di kalangan orang Melayu tentang keunggulan umat teras ia perlu dikaitkan dengan Islam sebagai agama pendukung tamadun. Kalau tidak, sifat sesuatu bangsa itu akan menjadi kosong dan hampa kerana kandungan ilmu dan rohaniahnya kontang. Hanya bangsa yang mempunyai upaya litaarrafu atau kekenalan yang tinggi saja mampu melahirkan kecemerlangan pada jiwa dan jati diri bangsanya.

Oleh itu baik kongres mahupun simposium yang menjuruskan perbincangan mengenai kepentingan umat Melayu sebagai teras harus jelas dengan sifat nilai yang ingin dikembangkan. Sekiranya sifat nilai bangsa terpancar secara kaumiyyah ia tidak banyak membantu bagi meletakkan kedudukan bangsa yang penuh dengan cabaran persaingan. Asas ini sangat penting difahami kerana landskap politik, ekonomi, persepsi generasi muda, sains dan teknologi, perkembangan kebudayaan sedang menghadapi perubahan yang amat drastik.

Apalagi faktor bangsa yang didekati dengan faham sekular dan liberal, bangsa Melayu tidak lebih sebagai penciplak dan pengguna setia terhadap tamadun kebendaan Barat dan ia tidak juga memperkasa umat Melayu secara jangka panjang. Ia tidak bermakna umat Melayu harus menentang Barat kerana ia Barat. Di Barat banyak faedah berbanding yang boleh diambil dan dikembangkan di Malaysia khususnya dalam bidang sains dan teknologi. Cuma sebagai umat Melayu yang ada maruah, tentunya kita amat waspada dengan faktor globalisasi yang menjadi agenda Barat yang ingin menukarkan cara dan gaya kehidupan orang Islam menjadi seperti mereka.

Hari ini kemelut yang ditanggung oleh umat Melayu ialah hilangnya rasa percaya terhadap sistem kepimpinan yang menyebabkan orang Melayu mencari alternatif.

Kebangkitan generasi cerdik pandai Melayu yang lahir sekitar 1980-an dan 1990-an dalam bidang dakwah dan Islam sedang menempatkan diri dalam pemerintahan mahupun bidang profesional.

Sekiranya dasar-dasar negara yang berjalan yang didukung oleh kepimpinan Melayu tidak peka tentang keperluan mengukuhkan kualiti ilmu dan penghayatan yang Islami, ia boleh menyebabkan jurang pemikiran antara kelompok ini dengan kelompok penggubal dan pelaksana dasar menghadapi konflik.

Konflik ini akan memberi kesan kepada ketirisan wibawa umat Melayu sebagai umat teras. Perlu diwujudkan suatu sinergi bagaimana potensi ilmuwan dan profesional umpamanya diberi ruang yang luas dalam pewujudan sistem yang berasaskan orientasi Islami supaya tenaga yang ada dapat menyumbang ke arah pengukuhan dan pemajuan masyarakat Malaysia yang majmuk.

Memperkasa umat Melayu sebagai umat teras menuntut kebijaksanaan yang tinggi. Dalam bidang ilmu dan pendidikan harus berlangsung suatu tajdid. Tajdid ilmu dan pendidikan harus mampu melepaskan diri ilmuwan Islam daripada belenggu kebekuan dan bersikap simplistik terhadap perubahan. Tradisi unggul pada masa lalu harus dijadikan mata rantai untuk memimpin perubahan supaya ia senafas dengan zaman dan cabaran lingkungan.

Memperkasa umat Melayu harus bermula dengan perubahan mentaliti dan sikap. Sikap zaman yang dinamik berubah tidak harus meletakkan umat Melayu berada dalam kerangka pemikiran lama kerana sifat perubahan yang terbuka dan tanpa batasan memerlukan mentaliti baru yang lebih proaktif supaya tidak berlaku proses peminggiran dalam upaya intelektual umat hingga menyebabkan kehadiran umat Melayu dan kelangsungan perubahan berlaku dalam keadaan tidak relevan.

Oleh itu memperkasa umat Melayu memerlukan pengenalpastian tiga perkara. Pertama kenal pasti elemen-elemen menyumbang dalam diri umat Melayu sendiri. Kedua, integrasikan dengan elemen-elemen ketamadunan dalam pembangunan umat. Ketiga wujudkan sinergi antara faedah berbanding dalam tamadun lain supaya ia mampu menghasilkan binaan pemikiran berasaskan acuan kita sendiri.

PROF. DATUK DR. SIDEK BABA

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU BAHASA : 'Cukup-cukuplah, PPSMI sudah berkubur'

Oleh Salbiah Ani

MUTAKHIR ini nampak pihak tertentu dengan sokongan akhbar berbahasa Inggeris sengaja membangkitkan semula isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), meskipun keputusan muktamad mengenainya sudah diumumkan sejak dua tahun lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran, ketika mengumumkan perkara terbabit pada 8 Julai 2009 dengan memansuhkannya berkuat kuasa 2012, sudah pun memberi amaran bahawa beliau tidak akan melayan sebarang tuntutan untuk meneruskan PPSMI.

Ini kerana keputusan menolak PPSMI sudah mengambil kira pandangan semua pihak termasuk pakar bidang kedua-dua subjek berkenaan dan ahli bahasa menerusi beberapa rundingan meja bulat sebelum dibentangkan di Kabinet untuk mencapai kata persetujuan.

Lalu jalan keluar yang diambil untuk menyelamatkan segala ‘pelaburan’ PPSMI yang berkuat kuasa 2003 ialah dengan memperkenalkan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) dan serentak itu bahasa Melayu diletakkan menurut haknya seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957.

Keputusan menang-menang baik untuk bahasa Melayu mahupun Inggeris nampaknya tetap tidak disenangi kelompok yang mengagungkan bahasa penjajah itu dan terus melakukan serangan terancang, meskipun Kementerian Pelajaran sudah mengatur program dan melakukan pelaburan demi menjayakan MBMMBI.

Di sebalik amaran yang sudah dikeluarkan Muhyiddin, masih ada kelompok yang cuba menghidupkan perjuangan memartabatkan PPSMI dengan menyerahkan memorandum ke pejabat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada 19 Januari lalu, manakala pihak tertentu menggunakan akhbar bahasa Inggeris untuk memperlekehkan bahasa Melayu.

Nampak sangat kelompok yang mahu mengagungkan PPSMI sengaja mahu mengheret dan menjebak Perdana Menteri serta meletakkannya pada kedudukan berseteru dengan timbalannya, di samping ‘menghina’ apa yang sudah diputuskan dalam Kabinet.

Senario Malaysia dewasa ini menyaksikan kecenderungan membangkang keputusan Kabinet turut terpancar dalam kes Interlok sehingga ada yang sanggup membuat tuntutan agar ia digugurkan daripada menjadi teks Komponan Sastera dalam Pengajaran Bahasa Melayu (KOMSAS) Tingkatan Lima kononnya demi perpaduan bangsa!

Segala macam peristiwa mutakhir ini hakikatnya bukan saja mendedahkan sikap sesetengah rakyat Malaysia, malahan wajah sebenar sesetengah pemimpin bersikap talam dua muka, tanpa mengira bangsa dan tentunya kecenderungan sedemikian membimbangkan rakyat yang bergantung harap kepada mereka demi masa depan bangsa mahupun negara!

Apakah wajar membiarkan senario sedemikian membudaya terus dalam masyarakat Malaysia yang kononnya pelbagai kaum dan masing-masing mengakui 1Malaysia, tetapi yang perlu berkorban dan sentiasa dimangsakan ialah bahasa dan bangsa Melayu?

Mengapa kelompok ini enggan mematuhi apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 yang menjadi asas kepada pembentukan Malaysia hari ini sehingga terbina negara dengan bahasa Melayu menjadi bahasa pemersatu rakyat Malaysia sejak sekian lama.

Pendokong setia PPSMI tidak perlu mengganggu-gugat sistem pendidikan sekolah kebangsaan kerana hakikatnya negara ini menyediakan banyak saluran sekiranya mereka tetap mahu Sains dan Matematik diajarkan dalam bahasa Inggeris iaitu hantarlah anak masing-masing ke sekolah antarabangsa di negara ini atau hantar saja ke luar negara.

Tidakkah kelompok ini nampak bahawa hakikatnya MBMMBI sebenarnya lebih memihak kepada bahasa Inggeris dengan segala macam usaha dilakukan bagi memperkukuhkan bahasa Inggeris dalam usaha memerangi masalah kelemahan penguasaan bahasa Inggeris pelajar negara ini?

Sesungguhnya kedua-dua subjek berkenaan bukanlah mata pelajaran yang dapat membantu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar kerana ia hakikatnya hanyalah membabitkan keupayaan menghafal dan menggunakan formula bagi menyelesaikan masalah yang dibentangkan!

Sayang kelompok yang mendabik dada betapa pentingnya negara ini maju dengan mengutamakan bahasa Inggeris lupa akan tanggungjawab mereka sebagai bangsa Malaysia yang sepatutnya menghormati apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957.

Lebih menyedihkan apabila orang Melayu termasuk dalam kelompok ini dan bertindak lebih Inggeris daripada Inggeris sendiri, seolah-olah fizikal bebas merdeka tetapi akal budi terkongkong dengan bayang-bayang keagungan bangsa yang pernah memperkotak-katikkan leluhur mereka!

Pendekatan memantapkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar menerusi subjek Bahasa Inggeris dan pengenalan Program Sastera Kontemporari Kanak-Kanak Bahasa Inggeris, tentunya jauh lebih tepat dalam menangani keupayaan pelajar berbahasa Inggeris, berbanding menerusi Sains dan Matematik.

Ia membuka peluang kepada semua pelajar di sekolah kerajaan, baik daripada kelompok marhaen di kawasan bandar mahupun luar bandar; meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris sejak dari sekolah rendah, selain bergerak seiring dengan keupayaan pelajar daripada keluarga menengah atas.

Secara tidak langsung, pendekatan baru ini juga memungkinkan semua pelajar mencatat pencapaian lebih cemerlang dalam mata pelajaran Sains dan Matematik, antara subjek teras untuk kemasukan ke kursus lebih bernilai ekonomi di universiti, berbanding ketika PPSMI.

Tidak timbul masalah mereka tidak dapat menggali ilmu dalam bidang sains dan matematik kerana hakikatnya mereka sudah pun didedahkan kepada asas bahasa Inggeris dan kini terserah kepada pelajar untuk lebih beriltizam serta bersungguh dalam merealisasikan impian kerjaya masa depan.

Pendekatan baru ini juga akan membolehkan dua lagi prasarana bahasa Melayu yang dibentuk oleh pemimpin terdahulu, iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), terus berfungsi pada alaf ketiga ini.

Malah langkah terbabit dapat mengelakkan pembaziran dalam pelaburan bahasa Melayu sebelum ini dan turut menyelamatkan usaha menyebarluaskan bahasa ini ke negara luar, menerusi Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) dan Majlis Bahasa Brunei Darussalam Indonesia Malaysia (MABBIM).

Tidak terbazir juga segala usaha dan pelaburan penerbit universiti dan semangat memartabatkan bahasa Melayu seawal 1970-an menerusi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dulu dan segala Kursi Pengajian Melayu di universiti luar negara akan lebih bermakna!

Kementerian Pelajaran perlu tegas bahawa keputusan memansuhkan PPSMI adalah muktamad dan tidak perlu menimbang permintaan yang mahukan PPSMI diteruskan kerana perlu ada satu dasar untuk semua pelajar selain hakikat bahawa ia senjata perpaduan dan bertepatan dengan semangat 1Malaysia!

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Rabu, 6 April 2011

MUET ukur kemampuan pelajar sebelum ke universiti

SAYA merujuk kepada surat 'Pengendali MUET, Kuala Lumpur' bertajuk 'Ujian bahasa Inggeris universiti di Malaysia tidak sesuai diadakan di sekolah' yang disiarkan 2 April lalu dan surat 'Pelajar MUET, Shah Alam' bertajuk 'Ujian MUET wajar diadakan tiga kali setahun' yang disiarkan 4 April lalu.

Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) ingin memaklumkan bahawa Malaysian University English Test (MUET) adalah ujian untuk mengukur penguasaan berbahasa Inggeris yang diwajibkan kepada semua calon peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), pelajar matrikulasi, diploma dan prauniversiti yang melanjutkan pelajaran ke ijazah pertama di institusi pengajian tinggi (IPT).

Jadi, tujuan MUET diadakan sebelum kemasukan ke IPT untuk membolehkan pelajar mahir berbahasa Inggeris pada tahap tertentu sebagai persediaan mengikuti pengajian kerana sebahagian besar bahan rujukan dalam bahasa Inggeris.
Pelaksanaan MUET sebelum mengikuti program ijazah pertama juga atas permintaan IPT untuk membuat pemilihan pelajar bagi mengikuti jurusan tertentu yang memerlukan kemahiran berbahasa Inggeris pada tahap tinggi, selain penilaian terhadap kelulusan akademik pelajar.

Dengan demikian, IPT tidak perlu lagi mengadakan kelas bahasa Inggeris bagi pelajarnya dalam jurusan berkenaan.

Pertambahan bilangan ujian MUET daripada dua kepada tiga kali setahun pula dibuat atas permintaan pelajar.

Seperti dinyatakan Pelajar MUET, Shah Alam, pertambahan ini memberikan ruang lebih selesa kepada calon menduduki MUET mengikut masa sesuai dan memberi lebih peluang kepada calon memperbaiki keputusan MUET sebelumnya. MPM sentiasa mengambil berat kebajikan penjawat MPM dalam mengendali peperiksaan atau ujian, termasuk guru pengawas ujian MUET. MPM sedia maklum mengenai beban tugas dan kekangan masa yang terpaksa ditanggung guru di sekolah.

MPM sentiasa berusaha menyediakan kemudahan dan memperbaiki sistem pengurusan peperiksaan bagi meringankan beban guru yang bertugas sebagai pengawas dan mengambil langkah mengurangkan penggunaan borang untuk tuntutan elaun pengawasan dan perjalanan serta sistem pendaftaran peperiksaan secara online.

KHAWARI IDRIS,
Pegawai Perhubungan Awam
Majlis Peperiksaan Malaysia.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU PENDIDIKAN : Pendidikan sejarah bukan indoktrinasi

Persepsi pendidikan sejarah di sekolah sebagai satu proses indoktrinasi oleh 'golongan yang menang' atau untuk mempromosikan tokoh tertentu adalah salah dan berniat jahat.

Sejarah sebenarnya untuk memahami kompleksiti dalam sesebuah masyarakat atau negara. Melalui sejarah, kita boleh mengambil iktibar dan teladan daripada sesuatu peristiwa.

Banyak nilai murni yang boleh dipelajari seperti nilai kemanusiaan sejagat, semangat setia kawan, mengelak konflik dan pergaduhan atau konfrontasi.

Di samping itu, pelajar juga boleh memahami kedinamikan dalam perhubungan dan penyatuan antara kelompok.

Melalui proses pengajaran dan pembelajaran (P&P), fakta serta asal-usul sesuatu peristiwa akan diterangkan dengan hasrat pelajar akan saling mengenali, hormat-menghormati dan bertoleransi dalam menyelesaikan sesuatu perselisihan faham.

Malah, peranan serta sumbangan kelompok minoriti turut diajar dan sekali gus menafikan bahawa pendidikan Sejarah sebagai satu alat propaganda.

Pendekatan baharu dalam P&P juga tidak lagi memfokus kepada hafalan fakta, sebaliknya menjurus kepada nilai atau sumbangan yang diperoleh daripada sesuatu peristiwa itu.

Begitu juga dalam aspek kisah seseorang tokoh. Bukan peribadi tokoh yang ditonjolkan, tetapi wawasan, keupayaan dan kebolehannya. Sifat dan sikap positif tokoh itu yang perlu dicontohi.

Pelajar juga didedahkan dengan perhubungan diplomatik dan dasar yang melibatkan negara kita dengan negara lain. Hal ini penting agar pelajar memahami manfaat yang diperoleh hasil hubungan erat antara Malaysia dan negara lain.

Pada masa sama, ia juga bagi mengelakkan rakyat kita daripada membuat perkara yang boleh menjejaskan hubungan tersebut.

Justeru, langkah mewajibkan pelajar lulus Sejarah dalam SPM mulai 2013 amat tepat dan menepati aspirasi gagasan 1Malaysia.

Langkah ini pasti akan melonjak pencapaian pelajar dalam subjek itu dan paling utama mereka akan mengamalkan etika hidup yang selaras dengan Perlembagaan negara.

Tambahan pula, ada institusi pengajian tinggi (IPT) yang mula mengenakan pra-syarat wajib lulus Sejarah untuk mengikuti sebarang kursus kelolaannya.

Berdasarkan statistik, prestasi akademik pelajar terbukti semakin baik jika ia diwajibkan lulus seperti subjek Bahasa Melayu yang merekodkan pencapaian lulus melebihi 90 peratus pada tahun lalu.

Sementara itu, subjek Sejarah pada 2010, hanya mencatat 76.4 peratus lulus di bandar dan 75.4 peratus lulus di luar bandar.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/