Isnin, 11 April 2011

ISU BAHASA : Satu bahasa, satu sastera

Oleh Hafizah Iszahanid

Sastera pelbagai kaum akan hanya menghancurkan perpaduan

APABILA Perlembagaan Persekutuan Fasal 152 (1) mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan dan hak bahasa Melayu mengatasi semua bahasa lain di Malaysia, manakala Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 pula menguatkan lagi kedudukan bahasa itu.

Justeru, ia juga sepatutnya menjadi titik tumpu sastera kebangsaan atau dalam bahasa mudah, sastera Malaysia mesti dihasilkan dan ditulis dalam bahasa Melayu, selari dengan kedudukannya sebagai bahasa rasmi serta kebangsaan negara ini.

Ketika Seminar Sastera Pelbagai Kaum di Akademi Seni Budaya dan Warisan (ASWARA), Kuala Lumpur, minggu lalu, tiada langsung ditemui titik kesamaan di antara enam pembentang kertas kerja.

Sasterawan Negara (SN), Datuk Dr Anwar Ridhwan mengeluh mengenai khalayak sastera berbahasa Melayu yang tidak mengenali penulis sastera Mahua, meskipun hebat hingga menerima Anugerah Sastera di Taiwan kerana mereka menulis dalam bahasa Cina.

Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Goh Sang Seong pula, bercakap mengenai penulis sastera Mahua sangat mencintai Tanah Melayu sebagai tanah kelahiran, namun semua rasa cinta itu diluah dalam bahasa ibunda.

Pensyarah Universiti Malaya (UM), Dr Chew Fong Feng, pula sibuk menegaskan perlunya karya sastera Mahua diterjemah ke dalam bahasa Melayu dan dipilih sebagai teks Komponen Sastera Dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu (KOMSAS).

Pensyarah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Henry Banting pula mengingatkan usaha Cosmos Abah yang mengeluarkan wang pencen untuk membiayai penerbitan himpunan puisi dalam bahasa Kadazandusun.

Hanya Pensyarah Sastera Bandingan UM, Dr Krishanan Maniam dan Pensyarah Kolej Seni dan Sains, Universiti Utara Malaysia (UUM), Phat Awang Deng, melakukan pembentangan yang hampir senada - semuanya kerana penulis India di Malaysia sebilangannya menulis dalam bahasa Melayu, manakala penulis keturunan Siam juga berkarya dalam bahasa Melayu hingga ada yang dinobat sebagai pemenang hadiah sastera.

Penulis bukan Melayu yang menulis dalam bahasa kebangsaan bukan seorang dan tidak juga fenomena luar biasa serta dibuktikan dengan keindahan puisi Prof Madya Dr Lim Swee Tin, kehebatan novel Jong Chian Lai atau cantiknya budaya dalam cerpen Jaya Ramba apalagi Jair Sulai.

Malah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) juga sudah menjalankan tugas mengeratkan perpaduan dan keharmonian masyarakat melalui sastera seperti dapat disaksikan sejumlah antologi cerpen serta puisi, malahan novel bukan Melayu yang menulis dalam bahasa Melayu diterbitkan.

Aneh juga, jika Lee Keok Chih, Peter Agustine Goh, Selina SF Lee, Jong Chian Lai, Eh Deng Eh Chik, Saroja Theavy, Prasert Eh Chai, Joseph Selvam, Mahat Anak China, Poul Nanggang, Raja Rajeswari Seetha Raman dan Tan Bok Hoi boleh menulis dengan baik dalam bahasa Melayu, mengapa tidak penulis lain?

Dapat difahami kebanyakan penulis sastera Mahua mendapat pendidikan sekolah jenis kebangsaan dan begitu juga sebahagian penulis sastera Tamil, namun, seperti kata Dr Chew dan dipersetujui Dr Goh, subjek Bahasa Melayu sudah diperkenalkan di sekolah jenis kebangsaan sejak di tahun satu. Generasi muda Cina dan India hari ini sebenarnya boleh bertutur, menulis dan memahami bahasa kebangsaan dengan baik sekali, tetapi ia bukan jaminan mereka akan berkarya dalam bahasa kebangsaan kerana sesungguhnya, luahan rasa datang dari jiwa paling halus dan apa sebenarnya ternukil dengan indah adalah dalam bahasa yang terlalu dekat di hati pengarang.

Menulis dalam bahasa selain bahasa kebangsaan juga bukanlah bermaksud mereka tidak patriotik atau karya itu tidak indah seperti dipancarkan dalam puisi Wu Tianci yang merakam rasa cinta pada Tanah Melayu yang tidak berbelah bahagi.

Tanah Melayu - tempat tumpah darahku//air sungai menyanyikan lagu gembira/banjaran gunung mempamerkan muka manis//irama perkasa berdendang di ladang getah/ (Nyanyian Buat Pertiwi terjemahan oleh Yuen Boon Chan).

Fu Chengde pula berkongsi resah dan impian terhadap negara ini lewat puisinya, Salam Malaysia.

Salam pagi Malaysia/ apakah fajar mentari masih bebas menyinar/ apakah angin sepoi masih bebas menghembus/ apakah unggas pagi masih bebas berlagu/ jika ya/ salam pagi, pertiwiku/ (Terjemahan Thock Ker Pong)

Begitu juga Cosmos Abah, penulis puisi Kadazandusun, Siapalah anak emas Malaysia/ Seorang pemimpin negara Malaysia/ Kedudukan kukuh penuh kesabaran/ Seorang penuh visi dan misi (Anak Emas Malaysia, terjemahan Henry Bating).

Bagaimanapun, semua karya indah ini hanya dinikmati oleh kelompok yang boleh berbahasa berkenaan, lalu untuk menterjemahkannya agar difahami pembaca berbahasa Melayu turut sama menghayati karya seni bukan berbahasa kebangsaan adalah tugas yang sungguh mulia.

Walaupun demikian, untuk meletakkannya dalam definisi sastera kebangsaan adalah tidak molek, malahan melanggar Dasar Kebudayaan Kebangsaan, selain sastera pelbagai kaum dalam pelbagai bahasa sebenarnya hanya menjarakkan lagi silaturahim sesama warga negara.

Ini jika slogan bahasa lambang perpaduan diambil kira dan lagipun, bukankah sangat janggal dalam negara yang bahasa rasminya bahasa Melayu, sasteranya pula dipecah-pecahkan kepada sastera berbahasa kebangsaan dan sastera tidak berbahasa kebangsaan?

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU KEMALANGAN MAUT : Pemandu lori perlu lebih bertimbang rasa

Seluruh rakyat Malaysia berasa sedih, pilu, geram dan marah apabila membaca laporan berita terbaru yang mengorbankan lapan nyawa dalam tiga kejadian kemalangan berasingan.

Lebih menyayat hati apabila kemalangan tersebut turut meragut nyawa dua kanak-kanak yang tidak berdosa yang masing-masing baru berusia dua dan empat tahun, selain dua pelajar tingkatan empat yang maut dirempuh lori tangki di Batu 12, Jalan Kapar, Klang pada 8 April lalu.

Kejadian lain yang turut melibatkan lori menyaksikan dua wanita terkorban apabila kereta Perodua Viva yang dinaiki mereka dilanggar oleh sebuah lori yang terbabas selepas merempuh sebuah kereta lain di Kuantan, Pahang pada tarikh yang sama.

Ironinya persamaan kemalangan maut tersebut ialah pertama ia melibatkan lori dan kedua, pemandu ketiga-tiga lori tersebut pula hanya mengalami kecederaan ringan. Itulah yang membuatkan kita berasa cukup geram dan marah.

Kesemua kemalangan maut ini memperlihatkan betapa bahayanya kemalangan yang melibatkan lori.

Sebagai sebuah kenderaan yang besar, ternyata pemandunya seringkali terselamat sebaliknya pihak yang satu lagi baik pemandu mahupun penumpang kereta ataupun motosikal pasti akan maut atau paling tidakpun akan mengalami kecederaan yang sangat serius. Jarang sekali kita mendengar pemandu lori turut terkorban.

Kemalangan maut melibatkan lori bukanlah suatu isu baru di negara kita. Hampir setiap hari kita boleh membaca laporan tentang kemalangan yang melibatkan lori di seluruh negara.

Ini menimbulkan pelbagai persoalan di kalangan khalayak misalnya apakah para pemandu lori kita sudah tidak mempedulikan keselamatan pengguna jalan raya yang lain dan juga apakah pemandu lori kita semakin bongkak dan menganggap diri mereka hebat apabila berada di atas jalan raya kerana memandu kenderaan yang jauh lebih besar berbanding dengan orang lain?

Memang tidak wajar untuk kita menuduh kesemua pemandu lori berperangai sebegitu, namun kejadian yang baru berlaku ini terus memperkukuhkan dan mengiyakan persoalan-persoalan tersebut. Ternyata kemalangan melibatkan lori adalah antara kemalangan yang paling ngeri dan cukup membahayakan.

Akibatnya juga, setiap kali musim perayaan, pergerakan lori di lebuh raya disekat ataupun dihadkan oleh kerajaan untuk mengelak kemalangan yang tidak diingini seperti ini berlaku sepanjang musim perayaan.

Walaupun tidak semua kemalangan yang berlaku berpunca daripada kecuaian pemandu lori terbabit, namun ada baiknya pemandu lori juga lebih berhati-hati dan lebih bertimbang rasa.

Hal ini penting kerana pengalaman kita menunjukkan baik di lebuh raya mahupun di jalan persekutuan, pemandu lori sering kali seolah-olah mengetepikan soal keselamatan diri dan juga pengguna jalan raya yang lain di mana mereka akan memandu dan memotong kenderaan lain dengan laju terutamanya apabila tiada muatan. Ini menyebabkan mereka mudah hilang kawalan sehingga boleh merempuh kenderaan lain.

Apa yang diharapkan ialah di samping pihak berkuasa mengambil tindakan yang tegas ke atas pemandu seperti ini, kita juga menuntut perubahan sikap dan tingkah laku para pemandu lori kita.

Sikap timbang rasa dan menghormati pengguna jalan raya yang lain perlu dipupuk dan dihayati oleh setiap pemandu lori agar tidak mudah hilang kawalan dan pertimbangan.

Justeru, kita merayu dan juga berharap sangat agar kemalangan yang meragut lapan nyawa yang tidak berdosa ini akan dijadikan pengajaran dan iktibar oleh semua pemandu lori di negara kita agar tidak terus menjadi penyumbang utama kepada kemalangan maut dan ngeri seperti ini.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU EKONOMI : Senario Harga & Bekalan: Satu Perbandingan

Oleh ROZAID A. RAHMAN (rozaid@thestar.com.my)

SETIAP hari, kita tidak akan terlepas daripada membeli atau menggunakan salah satu daripada tujuh barangan/produk berikut - gula, tepung, minyak masak, beras ST15, petrol, diesel dan gas memasak.

Namun begitu, kita tidak sedar, kesemua tujuh barangan atau produk itu kita beli pada harga yang telah disubsidikan oleh kerajaan.

Misalnya, gas memasak untuk setiap silinder (14kg) kita beli pada harga RM26.60 dari kedai sedangkan harga sebenarnya ialah RM48.02.

Ini bermakna kerajaan telah mensubsidikan RM21.42 untuk setiap silinder yang kita beli.

Kos sebenar Diesel pula ialah RM2.78 tetapi dijual di pasaran pada harga RM1.80 selepas menerima subsidi daripada kerajaan.

Kerajaan juga masih menanggung subsidi petrol RON95. Atas sebab itulah kita masih dapat memberi harga petrol ini pada kadar RM1.90 seliter.

Jika tidak kita terpaksa membeli petrol ini pada harga RM2.66. Begitu juga dengan minyak masak.

Harga sebenar minyak masak ialah RM4.60 untuk setiap kampit dan RM5.40 untuk setiap botol (1kg).

Tetapi oleh kerana produk tersebut berada dalam senarai tujuh produk yang disubsidikan maka kita para pengguna hanya membayar RM2.50 untuk setiap kampit dan RM3.30 untuk setiap botol (1kg).

Penulis telah bertanya kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kenapakah kerajaan masih perlu menanggung subsidi yang sebegitu besar ke atas minyak masak sedangkan negara kita adalah pengeluar minyak kelapa sawit terbesar dunia.

Katanya, ini kerana hanya 4% sahaja minyak sawit digunakan untuk keperluan dalam negara. Baki 96% lagi adalah untuk memenuhi permintaan eksport yang tinggi.

Kata Ismail Sabri, beras juga adalah salah satu produk yang dikawal oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Kerajaan membiayai RM4.00 untuk setiap pak beras ST15.

Ini adalah untuk memastikan paras beras jenis ini kekal pada tahap RM19.00 setiap pak. Untuk gula pula, buat masa ini, kerajaan menanggung subsidi sebanyak 40sen untuk setiap kilogram.

Tanpa subsidi ini, harga sebenar gula akan menjadi RM2.50 sekilogram. Tetapi kini kita hanya membayar RM2.10 untuk setiap kilogram gula.

Untuk tepung pula, oleh kerana kerajaan menanggung subsidi sebanyak 45sen, untuk setiap kilogram maka kita hanya membayar RM1.35 sekilogram. Jika tidak harga sebenar tepung RM1.80 sekilogram.

> Secara keseluruhannya jumlah subsidi yang ditanggung oleh kerajaan ke atas tujuh jenis barang dan produk bagi tahun 2010 sahaja berjumlah RM11.412 bilion.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/.

3 Juta Kenderaan Di Kuala Lumpur

Pembangunan yang pesat menjadikan ruang untuk parkir kenderaan terhad.

Mengakibatkan Kesan Serius Terhadap Kemudahan Parkir

Oleh IWAN SHU-ASWAD SHUAIB (iwan@thestar.com.my)

PERCAYA atau tidak, pada masa ini dianggarkan sebanyak tiga juta kenderaan yang melalui Kuala Lumpur pada setiap hari.

Hakikatnya, begitulah senario yang berlaku di ibu negara sekali gus dilihat sebagai antara penyumbang kepada masalah kesesakan lalu lintas.

Perkara itu didedahkan oleh Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Salleh Yusup berhubung kajian berkaitan dengan pergerakan keluar masuk kenderaan termasuk kenderaan sedia ada di ibu negara.

“Berdasarkan kajian juga adalah didapati nisbah pengguna pengangkutan awam kurang daripada 30 peratus berbanding lebih 70 peratus pengguna kenderaan persendirian.

“Nisbah itu bukan sahaja mewujudkan kesesakan lalu lintas tetapi turut menyebabkan kemudahan letak kereta tidak mencukupi,” katanya kepada Mingguan mStar, baru-baru ini.

Berdasarkan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), seramai 600,000 orang disasarkan menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam di Lembah Klang menjelang akhir tahun 2012.

Salleh bagaimanapun berkata, bilangan kenderaan terus meningkat kerana jumlah purata pendaftaran kenderaan baru di Kuala Lumpur menjangkau 1,000 buah sehari.

“Oleh itu, jumlah kenderaan akan terus berkembang pesat pada masa akan datang dan ini ternyata memberi kesan serius kepada kemudahan parkir kenderaan.

“Memang tak cukup tapi kita akan buat sesuatu. Kita mahu perkara ini selesai supaya mereka yang ke Kuala Lumpur mempunyai tempat untuk meletak kereta,” katanya.

Pada masa ini, satu cara yang mampu menyelesaikan masalah tersebut ialah peralihan pengguna kenderaan persendirian kepada pengangkutan awam.

Selain itu, DBKL merancang untuk mewujudkan kemudahan parkir bertingkat selain kemudahan ‘park and ride’ berhampiran laluan pengangkutan awam utama.

Menurut Salleh, matlamat DBKL adalah mengimbangkan antara penyediaan kemudahan parkir awam dan keperluan pengguna kenderaan bagi tujuan itu.

“Jika lebih ramai yang menggunakan pengangkutan awam ke Kuala Lumpur diharapkan penggunaan itu meningkat dari kurang 30 peratus kepada 70 peratus.

“Apabila peningkatan tersebut dapat dicapai maka tidak perlu mewujudkan lebih banyak kawasan parkir di ibu negara secara besar-besaran,” katanya.

Beliau menambah, isu kemudahan parkir yang tidak mencukupi menjejaskan imej Kuala Lumpur dan keseimbangannya mempunyai kaitan dengan perancangan bandar.

“Justeru, DBKL mahu menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya yang selesa dan terancang serta lengkap dengan kemudahan terbaik untuk rakyat,” katanya.

Pada masa ini, DBKL menyediakan lebih 30,000 petak parkir di tepi jalan manakala 5,300 petak parkir terkawal melibatkan 29 tapak bagi kemudahan orang awam.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

ISU BAHASA : Penguasaan BI Hanya Boleh Dilakukan Menerusi Bahasa Itu Sendiri - Pakar Bahasa

BESUT: Pakar dan pendidik bahasa kebangsaan berpendapat, peningkatan penguasaan Bahasa Inggeris hanya dapat dicapai dengan cara meningkatkan pembelajaran dalam subjek itu dan bukannya kembali melaksanakan semula Pengajaran Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia-China Beijing, Profesor Dr Awang Sariyan berkata, kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran tidak sewajarnya berganjak daripada keputusan yang telah diambil pada tahun 2009 untuk memansuhkan PPSMI.

"Keputusan itu bertepatan dengan hasrat mengembalikan martabat dan peranan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama sistem pendidikan negara seperti yang telah diasaskan oleh Jawatankuasa Razak 1956 dan kemudian menjadi undang-undang negara dalam Akta Pelajaran 1961 dan seterusnya dalam pindaan Akta Pendidikan 1996.

"Langkah kembali kepada sistem dua aliran (bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris) meskipun dalam subjek-subjek bidang Sains dan Matematik, hanya meruncingkan keadaan dan kedudukan Dasar Bahasa Kebangsaan yang menjadi salah satu asas kenegaraan dan pembinaan negara," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata peningkatan penguasaan Bahasa Inggeris sebagaimana yang telah berkali-kali ditegaskan oleh ahli bahasa dan ahli pendidikan yang mendukung perjuangan bahasa kebangsaan tidak akan dapat diatasi dengan pelaksanaan PPSMI.

"Usaha itu hanya boleh dilakukan melalui peningkatan dalam pengajaran Bahasa Inggeris itu sendiri dan bukan melalui PPSMI," tegasnya.

Menurut beliau, Kementerian Pelajaran sendiri telah mengumumkan program Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) dan rancangan itu perlu dilaksanakan dengan berkesan tanpa mengganggu perancangan memartabatkan bahasa kebangsaan.

Presiden Persatuan Pendidik Bahasa Melayu Malaysia (PPBMM), Profesor Madya Dr Hashim Othman pula berkata, tidak perlu PPSMI diadakan semula semata-mata berdasarkan desakan sesetengah pihak.

Katanya, PPBMM menyokong Bahasa Inggeris diajar kepada pelajar sekolah dan pernah mendesak agar mata pelajaran itu diwajibkan lulus dalam peperiksaan awam di negara ini.

Bagaimanapun katanya, usaha meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar tidak patut dilakukan dengan mengorbankan kedudukan bahasa kebangsaan dengan perlaksanaan PPSMI.

Menurutnya, PPBMM secara tegas membantah sebarang usaha bagi mengembalikan PPSMI tanpa kompromi.

"Kita harap kerajaan memikirkan secara mendalam sebelum melayani desakan golongan tertentu untuk mengembalikan semula PPSMI kerana ia boleh membawa banyak implikasi buruk kepada usaha memartabatkan bahasa kebangsaan," katanya.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

Sabtu, 9 April 2011

ISU BAHASA : Kerjaya Idaman Hanya Untuk Mereka Yang Mahir Berkomunikasi

PETALING JAYA: Tidak mengapa sekiranya anda gagal untuk memperoleh segulung ijazah yang cemerlang sebaliknya anda hanya perlu mempunyai kemahiran bertutur dan menulis dalam bahasa Inggeris dengan baik sudah pasti kerjaya idaman akan menjadi milik anda.

Berdasarkan maklum balas yang diperoleh daripada syarikat tempatan dan antarabangsa menunjukkan kemahiran komunikasi lisan dan menulis dalam Bahasa Inggeris kekal sebagai kriteria utama yang dicari oleh majikan dalam memilih pekerja yang mempunyai prospeks yang cerah.

Menurut kajian yang dijalankan oleh Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), ciri tersebut merupakan faktor utama dalam merekrut graduan yang baru tamat pengajian.

Berdasarkan Kajian Gaji untuk Eksekutif 2010 yang dikeluarkan oleh MEF menunjukkan bahawa 68 peratus syarikat meletakkan kemahiran komunikasi sebagai kualiti utama dalam memilih pekerja, ia diikuti oleh pengalaman berkerja (67 peratus), kemahiran individu (56.2 peratus), ketekunan serta komitmen (55.7 peratus).

Menuru Pengarah MEF, Shamsuddin Bardan, globalisasi telah merubah faktor pemilihan pekerja, kemahiran komunikasi terutamanya bahasa Inggeris merupakan aset bernilai yang perlu ada pada setiap pekerja.

Jelasnya, ia merupakan kriteria penting dalam semua profesion termasuklah untuk kerjaya seperti jurutera, kakitangan teknikal dan ahli sains.

"Kriteria ini penting terutamanya bagi mereka yang bekerja dengan syarikat multinasional dan firma-firma besar.

"Hari ini pelanggan kita boleh datang dari mana-mana negara di seluruh dunia. Di kilang-kilang, misalnya tugas jurutera tidak sama seperti dahulu. Kini, mereka perlu melibatkan diri dalam pelbagai aspek perniagaan serta berinteraksi dengan pelanggan,” katanya.

Beliau berkata apa yang dibimbangkan adalah kebanyakan siswazah tempatan hari ini tidak mampu berkomunikasi dan menulis dalam bahasa Inggeris dengan baik sehingga mereka menghadapi kesulitan untuk mendapatkan pekerjaan dalam sektor swasta.

Pengarah Urusan Kelly Services (M) Sdn Bhd, Melissa Norman turut bersetuju dengan menyatakan enam daripada 10 graduan yang menghadiri temu duga yang dijalankan oleh syarikatnya tidak boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan baik.

Kelly Servives merupakan salah satu agensi mencari pekerjaan terkenal di negara ini.

Menurut Norman, adalah penting untuk setiap siswazah menguasai bahasa Inggeris kerana ia merupakan bahasa penting yang digunakan secara meluas dalam bidang perniagaan di Malaysia dan seluruh dunia.

Berdasarkan Tinjauan Tenaga Kerja Kelly Global 2010 menyenaraikan kemahiran komunikasi sebagai kriteria pertama daripada lima ciri-ciri lain yang dicari oleh setiap majikan.

“Kami telah mengenal pasti ramai siswazah tempatan yang lemah bertutur, menulis dalam bahasa Inggeris serta menggunakan perbendaharaan kata yang terhad.

“Calon seperti ini hanya berjaya mendapat pekerjaan dalam perusahaan kecil dan sederhana serta syarikat-syarikat kecil,” katanya.

Beberapa syarikat serta pemimpin dalam bidang perniagaan memberi amaran bahawa penguasaan bahasa Inggeris yang lemah akan mempengaruhi daya saing global di Malaysia.

Presiden Persekutuan Pengilang Malaysia, Tan Sri Mustafa Mansur berkata golongan muda yang tidak mahir berkomunikasi dalam bahasa Inggeris tidak akan mampu untuk berunding untuk mendapatkan persetujuan terbaik dalam urusan perniagaan atau pelaburan yang dijalankan.

“Kita perlu menghantar pekerja kita ke luar negara untuk memasarkan produk kita, berunding dalam setiap perjanjian mahupun mendapatkan kontrak untuk ditandatangani.

"Jika mereka ini tidak boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan baik maka kita akan ketinggalan," katanya.

Pengerusi bersama Pemudah, Tan Sri Yong Poh Koh pula berpandangan bahawa kakitangan awam juga perlu menguasai bahasa Inggeris dengan baik kerana perkembangan dunia tanpa sempadan pada hari ini.

“Kualiti bahasa Inggeris akan memberi kesan kepada sektor awam apabila mereka perlu berinteraksi dengan warganegara asing mahupun dunia perniagaan apabila mereka perlu menyatakan pendirian dalam isu-isu yang melibatkan masyarakat dunia.

“Ia meliputi rundingan dalam perjanjian penting seperti perjanjian perdangangan,” katanya.

Ini meliputi rundingan pada perjanjian-perjanjian penting seperti perjanjian-perjanjian perdagangan.”

Dalam pada itu, bekas Menteri Sumber Manusia, Tan Sri Fong Chan Onn menyatakan sejak dua dekad yang lalu, kualiti bahasa Inggeris di negara ini telah menurun.

Beliau berkata sekiranya perkara itu tidak segera diatasi boleh menyebabkan Malaysia akan ketingggalan dan tidak mampu bersaing dengan negara jirannya.

“Thailand, Indonesia dan China sedang meningkatkan usaha untuk memperbaiki pengguasaan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan mereka,” katanya.

Sumber : http : //mstar.com.my/

NOTA HUJUNG :

6 Ciri Yang Harus Dimiliki Oleh Mahasiswa Untuk Memastikan Mereka Dapat Bersaing Dalam Pasaran Global:

i. Mahir dan mempunyai pengetahuan yang tinggi terhadap bidang ilmu yang dipelajarinya.

ii. Mempunyai kemahiran atau 'soft skill' sebagai nilai tambah (added value) seperti kemahiran ICT, kemahiran berkomunikasi (communication skill), kemahiran bersosial (social skill) atau dengan kata lain kemahiran berinteraksi dengan masyarakat sekeliling.

iii. Mempunyai kemahiran penguasaan bahasa asing khususnya bahasa Inggeris sebagai bahasa dunia bagi membolehkan pelajar kita bersaing di arena antarabangsa dan lebih kompetetif dalam dunia kerjaya mereka.

iv. Memiliki sifat dan ciri-ciri kepimpinan, keterampilan dan keyakinan yang tinggi. Sifat ini adalah penting apabila berhadapan dan berurusan dengan masyarakat dunia kini yang semakin kompleks dan pelbagai sifatnya.

v. Memiliki ciri-ciri personaliti yang menarik dan berkualiti seperti disiplin diri, kekemasan diri, daya inisiatif, kreativiti dan inovasi yang tinggi di samping mempunyai sifat keluwesan atau fleksibiliti terhadap perubahan sekelilingnya. Dalam hal ini, pelajar kita harus dididik agar tidak terlalu ektrimis terhadap budaya sendiri sebaliknya hendaklah lebih fleksibel dan sensitif terhadap budaya dan keperluan masyarakat lain.

vi. Sentiasa memelihara akhlak, etika dan kehormatan diri. Hal ini kerana dalam apa juga keadaan dan suasana yang kita alami, keteguhan akhlak perlu dipertahankan agar kita tidak hanyut dengan kehendak-kehendak negatif yang merosakkan hati budi manusia.

ISU KESIHATAN : Pembersihan berkala elak penularan virus


Oleh Rosnah Abd Rashid Shirlin

Sistem pengudaraan, bilangan pelatih di pusat latihan perlu dihadkan untuk cegah penyakit

PERKEMBANGAN terbaru kejadian influenza-like illness (ILI) di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Kuala Lumpur dan Pusat Asas Latihan Tentera Darat (PUSASDA), Negeri Sembilan yang disahkan positif influenza A (H1N1) dan Adenovirus sememangnya menarik perhatian rakyat.

Apatah lagi selepas tiga pelatih PULAPOL, Kuala Lumpur meninggal dunia kerana jangkitan adenovirus bulan lalu, menyebabkan ramai tertanya apa sebenarnya adenovirus dan bagaimana ia menjangkiti manusia.

Saya ingin memberi penjelasan untuk mengelakkan salah faham dan panik keterlaluan sehingga rasa takut yang tidak perlu. Walau bagaimana pun, ini tidak bermakna kita tidak perlu berhati-hati dalam berhadapan dengan adenovirus dan apa juga virus yang lain.

Jangkitan adenovirus mula dikesan sekitar 1950-an ketika Perang Dunia Kedua di kalangan askar Amerika yang menghidap penyakit Respiratori Akut (Acute Respiratory Diseases). Adenovirus adalah kumpulan virus besar yang mana ada lebih daripada 50 jenis dan boleh menyebabkan jangkitan pada manusia. Virus ini boleh menjangkiti tonsil, kelenjar adenoid dan usus tanpa menunjukkan sebarang gejala (asymptomatic).

Adenovirus pada kebiasaannya tidak menyebabkan penyakit yang teruk. Walau bagaimanapun, ada beberapa faktor seperti jenis Adenovirus, keadaan persekitaran, umur dan status kesihatan pesakit yang menyebabkan jangkitan teruk. Selain itu, adenovirus juga menyebabkan sakit perut dan cirit-birit (gastroenteritis), sakit mata (conjunctivitis), jangkitan pundi kencing (cystitis) dan ruam.

Sesetengah jenis Adenovirus memang endemik di kebanyakan negara dan jangkitan ini biasanya mula diperoleh ketika zaman kanak-kanak lagi. Selalunya ia menyebabkan jangkitan secara berasingan atau sporadik tetapi kadangkala boleh juga menyebabkan wabak. Umpamanya, wabak penyakit mata keratoconjunctivitis dikaitkan dengan jangkitan Adenovirus jenis 8, 19 dan 37. Wabak cirit birit diakibatkan oleh Adenovirus jenis 40 dan 41. Manakala wabak jangkitan pernafasan pula disebabkan oleh Adenovirus jenis 3, 4, 7, 14 dan 21. Bagi wabak Adenovirus di PULAPOL baru-baru ini, adalah disebabkan oleh Adenovirus jenis 7.

Jangkitan pernafasan oleh Adenovirus kebiasaannya menyebabkan jangkitan ringan dengan gejala, selesema, demam dan batuk. Kadangkala ia boleh menyebabkan radang saluran pernafasan (bronchitis) dan radang paru-paru (pneumonia). Anak kecil dan mereka yang mempunyai tahap imuniti yang rendah berisiko mendapat komplikasi daripada jangkitan ini.

Jangkitan pernafasan oleh Adenovirus bukanlah sesuatu yang baru di negara ini kerana jangkitan berasingan atau sporadik memang berlaku memandangkan ia virus yang endemik. Bagaimanapun, wabak jangkitan pernafasan yang membabitkan Adenovirus jenis 7 di PULAPOL adalah yang pertama pernah dilaporkan di Malaysia.

Untuk pengetahuan, wabak jenis ini pertama kali dilaporkan di kem tentera di Amerika Syarikat dan menimbulkan masalah di kalangan rekrut baru sehingga Amerika terpaksa memberi vaksinasi khusus terhadap virus ini suatu ketika dulu. Namun, langkah ini dihentikan pada 1999 memandangkan ada masalah dalam penghasilan vaksin, tambahan pula jangkitan ini boleh diatasi melalui kaedah mudah iaitu menjaga kebersihan diri dan sistem pengudaraan yang baik.

Walaupun jangkitan Adenovirus jenis 7 ini selalunya menyebabkan jangkitan yang ringan tetapi sebahagian kecil pesakit boleh mengalami jangkitan yang lebih teruk. Keadaan di kem latihan yang agak padat, memudahkan penularan jangkitan ini ke tahap wabak. Ini berbeza dengan keadaan di rumah kerana kepadatan penghuni yang rendah dan pengudaraan yang lebih baik berbanding di kem latihan.

Masyarakat perlu tahu bagaimana virus tersebar. Seseorang boleh dijangkiti melalui pernafasan jika ia berada berhampiran orang yang dijangkiti apabila dia batuk atau bersin. Kita juga boleh dijangkiti jika menyentuh permukaan yang tercemar. Cecair pernafasan yang dijangkiti itu seterusnya memasuki saluran pernafasan. Tempoh inkubasi bagi jangkitan pernafasan ialah antara dua hingga 14 hari.

Jangkitan adenovirus seperti penyakit jangkitan virus yang lain, diberi rawatan simptomatik dan akan sembuh dengan sendiri. Rawatan simptomatik ini adalah rawatan terhadap gejala seperti demam, batuk dan cirit-birit. Pesakit yang menunjukkan jangkitan pada respiratori, maka doktor akan meningkatkan pengambilan cecair, memberi rawatan bronkolidator dan bantuan oksigen bagi membantu pernafasan. Jika jangkitan berlaku di bahagian usus pesakit akan diberi ubat rehidrasi.

Memandangkan jangkitan penyakit ini disebabkan virus maka antibiotik tidak berkesan. Pencegahan cara terbaik menghindari penyakit ini. Seperti H1N1, amalan kebersihan diri adalah senjata terbaik menjauhi jangkitan adenovirus. Amalkan cuci tangan dengan betul dan kerap menggunakan sabun atau pembasmi kuman.

Bagi mereka yang menunjukkan gejala amalkan:

  • Adab batuk dan bersin yang baik. Tutup mulut dan hidung dengan sapu tangan atau tisu dan buang ke dalam tong sampah. Segera cuci tangan selepas itu.

  • Elak ke tempat tumpuan ramai dan guna penutup mulut serta hidung.

  • Bagi mereka yang berada di kem atau asrama, pihak pentadbiran mesti memastikan bilik berkenaan mempunyai pengudaraan yang baik dan mengehadkan bilangan anggota dalam satu bilik tersebut agar tidak terlalu padat.

    Persekitaran dan bilik asrama mesti dibersihkan secara berkala. Langkah berjaga-jaga perlu diambil agar kesihatan rakyat terjamin dan Kementerian Kesihatan tidak akan mengabaikan tahap kesihatan rakyat negara ini. Namun, semua pihak mesti berganding bahu untuk menangani masalah ini.

    Sumber : http : //www.bharian.com.my/