
Khamis, 28 April 2011
ISU BAHASA : Contohi amalan rakyat negara lain junjung bahasa kebangsaan

ISU KENEGARAAN : Membentuk citra jati diri unggul bangsa Malaysia
rencanabh@bharian.com.my
Ia menjadi teras dan lambang keperibadian seseorang individu atau sesuatu bangsa. Jati diri itu akan menunjukkan citra identiti sesebuah bangsa.
Rabu, 27 April 2011
ISU BAHASA : Siapa berani daulatkan BM?
Oleh Azman AnuarDALAM beberapa hari lalu, pemimpin masyarakat bercakap semula tentang bahasa kebangsaan. Cerita tentang bahasa ini sekejap tenggelam, sekejap timbul.
Masa isunya timbul, tak ada pun tindakan berkesan dari segi undang-undang diambil untuk perbetulkan mana yang salah. Isu berlalu begitu sahaja dengan janji-janji akan dilakukan.
Apabila isu bahasa kebangsaan dibangkitkan kembali, ada pihak dipersalahkan dan ada pihak lain mempertahankan pendiriannya. Jarang-jarang ada pihak yang mahu mengaku kelemahan sendiri.
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sejak 1956 diamanahkan sebagai institusi penjaga kedaulatan bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu. Memang itu pun tugas, fungsi dan agenda yang perlu dimainkan oleh badan berkanun itu hingga kini.
Dahulu, DBP tempat lahirnya pejuang sastera dan bahasa Melayu yang hebat. Hari ini, tak ramai yang muncul ke hadapan untuk mengangkat kembali tugas utama DBP – mendaulatkan bahasa kebangsaan.
Mereka yang berjiwa besar untuk mendaulatkan bahasa kebangsaan ini pasti masih ada di dalam bangunan tinggi berbumbung lambang buku gergasi itu. Kecuali, kalau-kalau ada pegawai DBP yang kurang bersemangat atau sudah tidak rasa apa-apa terhadap peranan utama mereka kepada negara dan bangsa.
DBP tidak boleh menampakkan kepada orang ramai bahawa badan berkanun itu sudah letih apabila segala teguran dan permintaannya tidak dihormati oleh pihak lain.
Malah beberapa kali Akta DBP dipinda tetapi masih tidak diberi kuasa penguatkuasaan. Yang ada kuasa seperti dimiliki oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) pun tidak dimanfaatkan.
Selagi DBP tidak ada kuasa menghukum, entah bila kita akan dapat melihat semua jabatan kerajaan dan sektor swasta benar-benar menghormati penggunaan bahasa kebangsaan dalam segala urusan masing-masing.
Tambahan pula sekarang bagaikan ada gelombang membuatkan orang ramai ‘malu-malu’ untuk menggunakan bahasa kebangsaan dengan betul. Kita tahu punca dan faktor pendorongnya. Pemimpin kerajaan yang terdiri daripada orang Melayu sendiri pun kadang kala tak banyak membantu mendaulatkan bahasa kebangsaan.
Kalau begini keadaannya, sampai bila DBP harus menggunakan pendekatan mendidik dan berlembut? Sudah 55 tahun DBP memainkan peranannya dan hampir 54 tahun negara kita merdeka – tetapi kedudukan bahasa kebangsaan masih di takuk lama. Melayu, Cina, India, Iban, Kadasan dan kaum-kaum lain masih mengguna bahasa tunggang-langgang.
Apa tindakan DBP terhadap kian banyak kesalahan bahasa misalnya pada papan iklan premis perniagaan. DBP mungkin menjawab ia tugas PBT dan PBT pula boleh memberi pelbagai alasan. Masing-masing cuba lepas tangan. Hal ini yang kita dengar dan perhatikan saban tahun tanpa penyelesaian.
Agaknya siapa yang berani mengubah kelemahan dan kegagalan kita hari ini supaya semua rakyat menghormati dan mendaulatkan bahasa kebangsaan?
Sumber : http : //ww.utusan.com.my/
ISU BAHASA : Rancangan Televisyen, Radio Guna Bahasa Melayu Dengan Betul

JELEBU: Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan mahukan supaya bahasa Melayu digunakan dengan betul dalam semua rancangan di radio dan televisyen.
Menterinya, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata rakyat Malaysia tidak perlu khuatir untuk mengucapkan bahasa Melayu dengan jelas dan betul kerana bahasa itu setanding dengan bahasa Inggeris.
"Kita harus gunakan bahasa Melayu di dalam mesyuarat rasmi, dan perlu ada usaha untuk jadikan sehari atau dua di dalam seminggu sebagai hari bertutur dalam bahasa Melayu dengan betul," katanya kepada pemberita pada majlis kampung wifi di Dewan Besar Felda Pasoh 3 di sini pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai teguran Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin Isnin lepas yang mengatakan bahawa sikap malu dan rendah diri masyarakat untuk bertutur dalam bahasa Melayu menyebabkan bahasa itu seolah-olah terpinggir di bumi sendiri.
Dalam mengiakan kata-kata Muhyiddin itu, Rais memberi contoh dalam menjalankan tugasnya sebagai menteri, beliau sering menerima surat rasmi dari pihak swasta yang menggunakan bahasa Inggeris.
"Pihak swasta harus sedar, bahasa Melayu itu adalah lingua franca, saya sendiri banyak terima surat mereka dalam bahasa Inggeris, saya secara hormat menjawabnya dalam bahasa Melayu," katanya.
"Selepas sekian lama merdeka pihak swasta masih lagi tulis dalam bahasa Inggeris, seolah-olah kita ini dibelenggu Inggeris," tambahnya.
Sementara itu, Rais mengumumkan bahawa Negeri Sembilan merupakan negeri yang paling tinggi kadar penembusan jalur lebar di Malaysia.
Katanya di Negeri Sembilan kadar penembusan teknologi itu adalah 67 peratus berbanding hanya 57.9 peratus di negeri-negeri lain. - BERNAMA
ISU KESIHATAN : Penjaga wajar didik anak cara pemakanan sihat

Selasa, 26 April 2011
ISU BAHASA : Bahasa Melayu mengerat rakyat pelbagai budaya

Oleh Teo Kok Seong
teokok@ukm.my
ISU BAHASA : Galak rakyat guna bahasa kebangsaan

KEMPEN menggunakan bahasa kebangsaan bukan sahaja harus diteruskan, malah diperhebatkan melalui semua saluran yang ada di negara ini. Baik saluran media cetak mahupun media elektronik ataupun pihak kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT), kesemuanya perlu duduk semeja bagi membincangkan kaedah pantas yang dapat menyedarkan orang ramai pentingnya penggunaan bahasa kebangsaan dalam urusan seharian.
Melalui penguatkuasaan peraturan dan penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sesuatu boleh dilakukan untuk memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan di kalangan rakyat negara ini. Jika perlu memaksa, maka lakukan dari sekarang kerana kita lihat bahasa kebangsaan hari ini bukan sahaja tidak digunakan dengan meluas terutama dalam kalangan kaum bukan Melayu, malah tidak dihormati dan tidak dimartabatkan dengan sewajarnya.
Penguatkuasaan penggunaan bahasa kebangsaan hendaklah diberi perhatian serius termasuk mewajibkan majlis-majlis di peringkat nasional menggunakan sepenuhnya bahasa kebangsaan. Bak kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, terdapat penganjur yang sengaja menggunakan bahasa Inggeris walaupun tetamu yang hadir hanya dua atau tiga orang bangsa asing. Pihak penganjur yang 'berlagak' dan sombong seperti itu sewajarnya dikenakan tindakan tegas kerana memperlekehkan bahasa kebangsaan.
Begitu juga sidang media yang diadakan oleh penganjur majlis diwajibkan menggunakan bahasa kebangsaan sepenuhnya. Jika gagal berbuat demikian, maka denda boleh dikenakan.
Kadangkala, tindakan 'keras' seperti denda dan tidak memperbaharui lesen perniagaan bagi pengusaha yang ingkar menggunakan bahasa kebangsaan pada papan iklan di premis masing-masing perlu dilakukan demi maruah bahasa kebangsaan.
Alasan kurang fasih berbahasa kebangsaan tidak lagi boleh diterima memandangkan negara telah mencapai kemerdekaan selama 54 tahun pada 31 Ogos ini. Mustahil dalam tempoh itu, rakyat gagal belajar menguasai bahasa kebangsaan dengan baik. Sebagai warganegara Malaysia yang merdeka, setiap rakyat sepatutnya mampu bercakap dalam bahasa kebangsaan dengan baik tanpa pelat pembawaan bahasa ibunda.
Namun, amat malang sekali kerana tidak hanya kaum bukan Melayu yang malu dan gagap bercakap dalam bahasa kebangsaan, malah ada orang Melayu sendiri bersikap sedemikian.
Bagi Melayu lupa diri itu, tidak glamor jika bercakap Melayu (bahasa kebangsaan) dan kerana itu, mereka lebih selesa bercakap dalam bahasa penjajah. Tak payahlah kita mengambil contoh rakyat di negara Jepun dan Korea yang begitu menyanjung tinggi bahasa mereka. Lihat saja contoh terdekat di negara jiran, Indonesia yang berjaya mendidik setiap rakyatnya termasuk daripada bangsa Cina supaya menggunakan bahasa Indonesia sepenuhnya dalam semua urusan harian.
Justeru, tidak hairanlah apabila penduduk Cina di Indonesia begitu fasih bertutur di dalam bahasa nasional mereka berbanding dengan bahasa ibunda mereka. Tindakan tegas pemerintah Indonesia mendisiplinkan rakyatnya agar menggunakan bahasa Indonesia dalam segala urusan wajar dicontohi kerajaan Malaysia.
Sebagai langkah permulaan, pihak kerajaan melalui PBT perlu mengetatkan peraturan dan mengambil tindakan tegas terhadap semua pengusaha perniagaan yang tidak menggunakan bahasa kebangsaan di papan iklan ataupun premis mereka. Pastikan juga setiap majlis menggunakan bahasa kebangsaan sepenuhnya. Mulakan dari sekarang!
Sumber : http : //www.utusan.com.my/