Isnin, 9 Mei 2011

ISU ALAM SEKITAR : Ribut Aere punca panas luar biasa

PAPAN tanda yang memaparkan ramalan cuaca sepanjang minggu ini di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR: Kepanasan luar biasa yang berlaku di kebanyakan bandar utama negara, khususnya di Pantai Barat Semenanjung ketika ini sehingga mencecah suhu di antara 35 hingga 36 darjah Celsius dijangka berakhir dalam tempoh terdekat.

Jurucakap Jabatan Meteorologi berkata, fenomena itu disebabkan Ribut Tropika Aere dikesan berlaku di utara Filipina yang meniup angin dari arah barat daya ke negara ini.

"Ia disebabkan kelembapan udara di rantau kita berkurangan dan keadaan ini membawa kepada kurangnya jumlah taburan hujan serta cuaca kering,” katanya di sini, semalam.

Malaysia pernah mencatat suhu 38.3 darjah Celsius di Alor Star, Kedah pada Februari 2005 dan tertinggi sehingga 40.1 darjah Celsius di Chuping, Perlis pada 9 April 1998. Monsun barat daya yang membawa cuaca kering lazimnya berterusan sehingga September.

Dalam pada itu, Pengarah Pusat Ramalan Cuaca Jabatan Meteorologi, Saw Bun Liong, dipetik BERNAMA berkata keadaan panas yang berterusan akan menyebabkan rumput dan tanah menjadi kering.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan pembakaran secara terbuka dan mengurangkan aktiviti luar yang mendedahkan diri mereka secara terus kepada matahari.

Sementara itu, pengamal perubatan, Dr K Venkateswara Rao, berkata berikutan keadaan suhu mencecah sehingga 36 darjah Celcius, orang ramai bukan saja harus mengurangkan aktiviti luar malah perlu mengamalkan corak pemakanan seimbang. “Individu perlu minum air secukupnya dan elak makan makanan pedas serta banyakkan pengambilan sayur,” katanya.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU BAHASA : Mengembalikan Bahasa Melayu

Usaha mengembalikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi di negara kita seharusnya mendapat sokongan semua pihak. Bahasa Melayu tidak seharusnya dipolitikkan demi perpaduan dan menjadikan bahasa ilmu bagi semua pelajar di negara ini.

Bahasa Melayu telah berperanan menyatukan pelbagai kaum melalui bahasa pengantar, bahasa perantaraan dan bahasa komunikasi yang berkesan. Apa yang telah termaktub dalam Perlembagaan tidak harus diganggu gugat bagi keharmonian bangsa dan rakyat di negara ini.

Melalui pandangan pelbagai pihak untuk memartabatkan bahasa kebangsaan, mulai tahun ini kerajaan telah memutuskan untuk menggantikan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada tahun 2003 dengan Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Penguasaan bahasa Inggeris (MBMMBI).

Justeru, MBMMBI dikatakan berfungsi sebagai serampang dua mata kerana selain memartabatkan bahasa kebangsaan, kerajaan akan terus menekankan aspek penguasaan dan pengukuhan bahasa Inggeris yang menjadi bahasa antarabangsa.

Usaha dan langkah ini dikatakan memang dinanti-nantikan oleh banyak pihak demi masa depan anak bangsa yang akan menimba ilmu dalam bahasa sendiri. Melaluinya bahasa Melayu juga akan menuju ke arah bahasa ilmu dalam era globalisasi.

Selain itu, usaha ini dapat memperkukuhkan Bahasa Inggeris (BI) yang akan dilaksanakan dengan penuh kesedaran bahawa BI akan menjadi bahasa komunikasi yang perlu dikuasai generasi muda untuk persediaan kepada mereka bersaing di peringkat nasional dan global.

Di samping itu, usaha meletakkan BM di tempat yang betul dilaksanakan menerusi beberapa langkah di sekolah dan paling utama ialah melalui penggunaan bahasa itu dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) Sains dan Matematik.

Langkah seterusnya penambahan masa P&P Bahasa Malaysia pada Tahap Satu di SJK adalah sebanyak 30 minit (dari 270 minit ke 300 minit), manakala bagi Tahap Dua jumlah peruntukan masa bagi P&P Bahasa Malaysia ialah 270 minit.

Melalui pengukuhan ini juga, penambahbaikan dalam kurikulum sekolah (Kurikulum Standard Sekolah Rendah) meliputi kaedah pengukuhan dan penguasaan asas kemahiran berbahasa melalui pendekatan modular yang bersepadu seimbang dan holistik menerusi modul P&P.

Guru-guru BM yang mencukupi dan berkualiti dengan penggunaan meluas teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam P&P dalam mata pelajaran BM.

Bagi penguasaan BI tambahan masa bagi P&P Bahasa Inggeris juga dilakukan dan kualiti guru yang mengajar BI dengan mengambil 360 guru luar negara untuk melatih guru BI tempatan, di samping mengambil 600 guru BI yang bersara untuk mengajar semula di sekolah. Justeru, melalui perkembangan dan pelaksanaan dasar MBMMBI ini akan dapat meningkatkan P&P BM dan BI di sekolah rendah dan menengah di negara ini. Tumpuan yang diberikan melalui kaedah dan teknik P&P yang terkini dapat meningkatkan penguasaan kedua-dua bahasa ini.

Penulis pengamal media. PhD Persuratan Melayu, UKM

Sumber : http : //www.sinar.com.my/

ISU BAHASA : Kerajaan Sedia Hantar Dan Latih Guru Mengajar B. Melayu Di Luar Negara

COPENHAGEN: Kerajaan bersedia menimbangkan untuk menghantar dan melatih guru untuk mengajar Bahasa Melayu khusus untuk kanak-kanak warganegara Malaysia di luar negara, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menjawab soalan pada majlis makan malam dengan warga Malaysia di sini pada Ahad iaitu sama ada kerajaan akan membantu menganjurkan kelas Bahasa Melayu bagi kanak-kanak Malaysia di luar negara, Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata perkara itu boleh diaturkan berikutan terdapat permintaan baginya.

"Sama ada kami boleh hantar guru ke sini atau anda hantar seseorang dari sini (ke Malaysia) supaya kami boleh latih untuk ajar (Bahasa Melayu), ini boleh diaturkan," katanya.

Muhyiddin berkata oleh kerana bahasa Melayu bukan bahasa yang sukar untuk dipelajari, mungkin rakyat Malaysia sendiri yang berada di luar negara boleh mengadakan kelas atau tuisyen untuk mengajar bahasa itu.

Buku dan sukatan pelajaran Bahasa Melayu boleh dihantar untuk membantu pengajaran, katanya.

Beliau berkata kajian akan dijalankan untuk mengenal pasti jumlah kanak-kanak rakyat Malaysia yang perlu belajar Bahasa Melayu dan kos terlibat.

Terdahulu ketika berucap pada majlis yang dihadiri kira-kira 100 rakyat Malaysia di Denmark, Muhyiddin meminta rakyat Malaysia memperkukuhkan penguasaan Bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan walau di mana juga mereka berada.

Beliau memberikan contoh rakyat Denmark yang walaupun kebanyakan mereka boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris tetapi begitu mengutamakan bahasa Denmark.

Muhyiddin turut menyampaikan perkembangan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan di Malaysia seperti pelan tranformasi kerajaan, pelan tranformasi ekonomi dan inisiatif menarik rakyat Malaysia kembali berkhidmat di tanah air.

Timbalan Perdana Menteri juga memaklumkan kepada warga Malaysia di sini bahawa prestasi para menteri Kabinet adalah amat baik berdasarkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) mereka.

Beliau berkata KPI para menteri dinilai dan disahkan oleh pakar antarabangsa.

"Ia bukannya "laporan politik" oleh kerajaan; ia diperakui dan disahkan oleh pakar antarabangsa. Setakat ini kami (menteri Kabinet) telah menjalankan tugas kami dengan amat baik (berdasarkan KPI)," katanya.

Kepada soalan lain, Muhyiddin berkata garis panduan baru mengenai penjualan makanan sihat di sekolah sedang dimuktamadkan.

Namun beliau menegaskan bahawa masalah kegemukan di kalangan murid tidak terbatas di kantin sekolah sahaja kerana ia juga melibatkan pemakanan di luar masa sekolah.-BERNAMA

Ahad, 8 Mei 2011

ISU BAHASA : Martabat bahasa Melayu semakin tidak dipeduli

Oleh Zainor Said

Pencemaran berleluasa seperti tiada garis panduan

ISU membabitkan bahasa Melayu sering menjadi perbincangan pelbagai pihak, bukan saja pakar bahasa malahan orang kebanyakan, ahli politik serta pemimpin negara. Boleh dikatakan setiap hari ada saja berita mengenai pengabaian penggunaan bahasa Melayu dipaparkan menerusi media. Isu paling hangat pernah mendapat perhatian umum ialah mengenai bantahan pelaksanaan Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dikuat kuasa di sekolah rendah pada 2003.

Mulai tahun ini, pengajaran Matematik dan Sains di Sekolah Kebangsaan (SK) kembali diajar dalam bahasa Melayu, manakala di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) pula diajar dalam bahasa ibunda masing-masing.

Sebagai langkah memartabat dan mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, dan pada masa sama mengukuh penggunaan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan negara, Kementerian Pelajaran memperkenalkan dasar baru iaitu Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI). Namun isu penggunaan bahasa Melayu terus diperkatakan dan menjadi topik hangat, sama ada menerusi forum, seminar dan sering dipaparkan menerusi media.

Sebagai orang Melayu, kita harus bangga dengan komitmen sesetengah golongan yang terus membela dan memperjuangkan kedudukan bahasa Melayu. Mereka terus menjadi mata dan telinga orang Melayu untuk menangkis sebarang cubaan pihak tertentu yang sentiasa berusaha memperlekeh dan memandang rendah terhadap bahasa ibunda mereka.

Jika tidak ada kumpulan ini, tidak mustahil bahasa Melayu akan terabai dan penggunaannya terus dipinggirkan. Kita akui sejak Kementerian Pelajaran diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Timbalan Perdana Menteri, banyak usaha dilakukan untuk mengangkat kembali kedudukan bahasa Melayu. Beliau juga prihatin dengan pandangan rakyat khususnya orang Melayu yang mahukan bahasa rasmi negara itu diperkasakan dan dimartabatkan menerusi sistem pendidikan.

Bagaimanapun kedudukan bahasa Melayu tidak mungkin dapat dipertahankan dan dibela dengan hanya menerusi sistem pendidikan yang diajar di sekolah, sedangkan umum masih menyanjung tinggi bahasa asing. Malahan ada segelintir orang Melayu sendiri yang malu menggunakan bahasa ibundanya, termasuk di kalangan kakitangan sektor awam.

Pencemaran bahasa Melayu masih berleluasa seperti yang dapat kita lihat menerusi papan tanda dan papan iklan yang dipasang di seluruh negara. Malang sekali, masyarakat kita hari ini tidak sensitif dengan kesalahan yang berlaku secara terang-terangan terhadap bahasa Melayu, sebaliknya mereka cepat menegur dan berasa malu jika melakukan kesalahan bahasa Inggeris.

Kita menyokong dan bersetuju dengan kenyataan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim baru-baru ini yang menyelar golongan tertentu kerana tidak menghormati bahasa kebangsaan negara sendiri.

Beliau kesal dengan sikap sesetengah pihak yang terus mengetepikan bahasa Melayu, sebaliknya cenderung menggunakan bahasa Inggeris termasuk pada papan iklan dan papan tanda di seluruh negara.

Beliau juga kesal dengan sikap pihak berkuasa tempatan (PBT) yang lebih cenderung menggunakan bahasa Inggeris bagi menamakan taman perumahan, khususnya di sekitar bandar utama.

Tindakan mereka jelas tidak membantu memartabatkan bahasa Melayu, sebaliknya membuktikan minda serta tindak tanduk mereka masih terjajah walaupun kita sudah lebih 53 tahun mencapai kemerdekaan.

Isu ini bukan baru malah teguran dan peringatan seumpama itu sering dibuat, malangnya mereka seolah-olah tidak langsung mempedulikannya, jauh sekali mahu merujuk kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebelum mendapatkan lesen iklan daripada PBT.

Soalnya kenapa bahasa asing khususnya bahasa Inggeris terus digunakan secara berleluasa jika kita mempunyai garis panduan serta peraturan yang wajib dipatuhi. Kita juga ada pihak berkuasa yang boleh bertindak terhadap mereka yang tidak mematuhi garis panduan dan peraturan ditetapkan. Apakah ini juga berpunca daripada kelemahan penguatkuasaan dan pemantauan pihak berkuasa sendiri?

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Sabtu, 7 Mei 2011

ISU SOSIAL : Mengekang jenayah dan rasuah

Oleh Mior Kamarul Shahid
mkamarul@bharian.com.my

SETIAP hari, dunia tidak pernah sunyi daripada kegiatan jenayah yang berpunca daripada keinginan dan nafsu manusia yang tiada batasan. Dari sekecil-kecil jenayah hinggalah kepada pembunuhan sesama manusia berlaku atas pelbagai alasan dan motif. Ini menjadikan tugas pihak berkuasa, khasnya anggota polis begitu mencabar.

Saban hari, ada saja berita mengenai polis di media tidak kiralah sama ada positif atau negatif. Dalam kebanyakan hal, berita negatif mengaburi kebaikan yang begitu banyak dilakukan oleh pasukan itu. Orang ramai juga sudah pandai menilai bahawa anjing gigit orang bukan berita untuk mereka, tetapi orang gigit anjing adalah berita yang mereka cari.

Bagi mereka yang sentiasa mencari kesalahan pihak berkuasa, kejayaan operasi polis mencegah jenayah, menembak mati perompak, merampas dan melumpuhkan sindiket dadah tidak penting bagi mereka.
Sebaliknya, bila berlaku sedikit kesilapan, peluang ini dieksploitasi sepenuhnya. Di Malaysia, pendirian terhadap keterbukaan dan ketelusan memberi ruang kepada pihak berkenaan mencemuh dan mempertikai kewibawaan polis.

Satu lagi perkhidmatan yang tidak kurang hebatnya dikecam pihak yang sering menangguk di air keruh ialah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) – juga dari segi baik dan buruknya.

Kebaikan dilakukan banyak, tetapi setakat ini keburukannya yang sedikit ialah berhubung kesilapan tindakan pegawainya ketika menjalan tugas.

Biasanya, SPRM menghadapkan pelaku rasuah ke mahkamah, tetapi dalam kes tertentu, SPRM pula diadili di mahkamah.

Apa pun, ini menunjukkan polis dan SPRM begitu aktif dalam melaksanakan tugas mereka. Keadaan ini menyedarkan kedua-dua pasukan itu bahawa mereka sentiasa diperhati dan dinilai rakyat.

Dua badan ini adalah antara dua badan yang diberi perhatian utama dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang merangkumi enam teras utama termasuk mengurangkan kadar jenayah dan memerangi rasuah.

Jika setiap berita mengenai dua perkhidmatan ini dianalisis, ia jelas mencerminkan tugas dua badan ini memenuhi pendekatan kerajaan menerusi Gagasan 1Malaysia - rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.

Dua perkhidmatan ini berada dalam senarai paling atas untuk membuktikan bahawa kerajaan tidak berkompromi dalam apa juga tindakan yang boleh merosakkan imej negara. Pelabur tidak akan datang menanam modal jika negara ini penuh dengan kegiatan ‘mafia’.

Pelabur akan lari jika kegiatan rasuah tidak dikawal kerana pelabur bimbang mereka akan menjadi mangsa keadaan. Jika rasuah menguasai segala peraturan dan undang-undang, ia akan menyusahkan urusan pelabur.

Indeks Prestasi Utama (KPI) PDRM ditentukan atas kejayaan mereka mengawal kenteraman awam dan mengurangkan kadar jenayah manakala KPI SPRM ialah kejayaan mereka mencegah kegiatan rasuah.

Anggota polis dan SPRM berada di mana-mana saja mengawasi gelagat manusia. Mereka membantu siapa saja tanpa batasan warna kulit dan agama. Mereka juga bertindak terhadap sesiapa saja tanpa mengambil kira latar belakang dan ideologi. Tidak pernah berlaku peristiwa anggota polis enggan membantu seseorang yang menghadapi masalah hanya kerana orang itu pengikut parti pembangkang.

Jika ada sesiapa dirompak penjenayah atau rumah mereka dipecah pencuri, polis akan datang membantu dan menjalankan siasatan tanpa bertanya latar belakang kaum atau agama mangsa. Begitu juga dengan tugas SPRM yang membantu siapa yang membuat aduan.

Aduan yang diterima diterjemah kepada tindakan terhadap siapa saja yang bersalah walaupun terhadap orang berpengaruh. Kejayaan siasatan bergantung kepada bukti kes. Tidak pernah berlaku SPRM enggan menerima aduan hanya disebabkan pengadu atau orang yang didakwa adalah orang Melayu, Cina, India, ahli UMNO, PAS, PKR atau DAP.

Begitu juga dengan perkhidmatan lain seperti hospital yang akan menerima siapa saja untuk menerima rawatan sekiranya pemeriksaan kesihatan menunjukkan mereka perlu dirawat. Di negara ini tidak ada hospital yang melarang kaum atau penganut agama tertentu menerima rawatan atau melarang seseorang pesakit dibawa menaiki ambulans ketika kecemasan.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Khamis, 5 Mei 2011

ISU KESIHATAN : Obesiti: Di manakah peranan ibu bapa?

NORKUMALA AWANG
Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

KANAK-KANAK montel, mungkin dianggap comel tetapi pernahkah kita terfikir jika kemontelan itu berterusan sehingga dewasa? Ditambah pula dengan penyakit tidak berjangkit pada masa kini tidak mengenal usia dan jantina.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa masyarakat kita sekarang sedang membentuk dan menyediakan generasi yang gemuk dan berpenyakit pada masa akan datang.

Kanak-kanak obes kini sudah tidak asing lagi dalam masyarakat kita tetapi senario ini tidak dipandang sebagai satu masalah kesihatan awam.

Hakikatnya, masyarakat kita telah pun menyedari tentang peri penting menjaga kesihatan tetapi kadangkala sikap dan tabiat gaya hidup yang tidak sihat diamalkan secara tradisi menjadi ikutan.

Lantas, ia menjadi satu kelaziman dan akhirnya pelbagai masalah yang menyusup masuk dalam kehidupan mengundang bala yang tidak disedari. Lihat saja, berapa ramai antara kita yang sihat, tiba-tiba meninggal dunia akibat penyakit pembunuh secara senyap?

Berapa ramai pula sekarang anak-anak telah pun mengidap penyakit diabetes sejak kecil dan paling malang lagi di bangku sekolah telah mengambil suntikan insulin sebagai rawatan diabetes?

Secara asasnya, pendidikan pemakanan dibentuk oleh kedua ibu bapa, keluarga atau orang yang menjaga anak-anak sejak darkecil. Segala aspek bermula daripada pemilihan makanan, tabiat, cara makan dan jenis makanan adalah dicedok daripada apa yang diberikan oleh ibu bapa.

Kemudian barulah faktor-faktor luaran yang memainkan peranan dalam membentuk tabiat pemakanan anak-anak. Jika di sekolah, mereka mungkin terpengaruh dengan kawan-kawan dan juga persekitaran yang mereka lalui. Tetapi di rumah, ahli keluarga dan persekitaran rumah adalah penting dalam mencorak pola pemakanan.

Pada umur awal tumbesaran, masalah pemakanan menjadi agenda utama dalam perkembangan mereka. Ini kerana sesetengah kanak-kanak mungkin menjadi kurang berselera dan ada yang mempunyai selera yang berlebihan terhadap sesuatu makanan.

Mungkin disebabkan faktor ini, ibu bapa memanjakan anak-anak dengan memberi segala jenis makanan dengan harapan agar mereka mendapat semua khasiat yang diperlukan.

Walaupun faktor genetik atau keturunan tidak dapat dinafikan menyumbang kepada masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak namun punca luaran atau persekitaran tidak boleh dipandang sepi. Kanak-kanak cenderung menjadi obes apabila ibu bapa mereka juga obes. Walaupun berlaku ketidakseimbangan genetik menyebabkan individu makan secara berlebihan namun faktor ini tidak dapat diuruskan dalam kita menangani obesiti kanak-kanak.

Namun, kita boleh melihat corak pemakanan anak-anak juga dicontohi daripada ibu bapa. Ibu bapa yang tidak mempunyai amalan pemakanan yang sihat boleh menyebabkan anak-anak mengikut acuan tersebut.

Dalam pada masa sama, kita tidak boleh menyalahkan lambakan satu-satu makanan yang menyebabkan anak-anak kecil menjadi obes. Budaya semasa masyarakat yang gemarkan makanan berkalori tinggi contohnya nasi lemak, roti canai, teh tarik dan makanan segera lain juga menyumbang kepada masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak.

Namun begitu, ia tidak menjadi satu-satunya punca kepada permasalahan ini berlaku. Oleh itu, amatlah tidak wajar jika trend ini dipersalahkan sedangkan pokok pangkal penyebabnya tidak diperbetulkan. Contohnya, jika makanan seperti nasi lemak mudah didapati tetapi pengambilannya tidak dikawal, maka ia juga boleh menyumbang kepada masalah obesiti disebabkan kekerapan pengambilannya.

Dalam hal sebegini, kesibukan ibu bapa menyebabkan pemilihan makanan yang berkhasiat agak terhad. Ibu bapa yang sibuk cenderung memilih makanan segera sebagai hidangan untuk keluarga disebabkan kekangan masa. Akhirnya ia menjadi satu budaya dalam sesebuah keluarga.

Jika di sekolah, anak-anak di luar pengaruh dan kawalan ibu bapa, maka rakan sebaya dan persekitaran menjadi contoh utama dalam memilih sesuatu makanan. Di sekolah, pemilihan makanan yang berkhasiat juga terhad malah kebanyakan makanan yang disediakan tidak cukup seimbang, berkalori tinggi, tinggi gula, garam dan kolesterol. Kewujudan dan mudahnya membeli snek dan minuman manis melalui "vendor machine" di sekolah juga menyebabkan anak-anak cenderung mengambil gula secara berlebihan. Apatah lagi, jika pembekal makanan di sekolah lebih suka menjual makanan rapuh atau "junk food" yang menjadi kesukaan kanak-kanak.

Pengambilan kalori yang tinggi, gula dan garam berlebihan akan menyumbang kepada masalah obesiti kanak-kanak.

Kanak-kanak yang obes akan cenderung menjadi obes apabila dewasa kelak ataupun mengalami berat badan berlebihan sepanjang hayat mereka jika tidak dirawat dan dipantau. Di samping pelan pemakanan yang sihat, anak-anak juga perlu diterapkan latihan fizikal yang mantap.

Ibu bapa yang memiliki anak-anak obes perlu tahu bahawa mengurangkan berat badan dan mengekalkan berat badan unggul adalah satu perkara sukar. Bukan setakat diterapkan kepada anak-anak malah perlu dilakukan bermula daripada diri sendiri.

Barulah ia mempunyai sinergi yang cukup kuat dalam menyediakan kanak-kanak yang sihat dan generasi tidak obes.

Kesimpulannya, kita perlu mencegah penyakit yang bakal timbul akibat kegemukan generasi masa kini dengan menerapkan amalan pemakanan sihat.

Sejajar dengan saranan dalam surah Isra' ayat 7 yang bermaksud "Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga..."

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU SOSIAL : Air dalam konteks kehidupan, pembangunan modal insan

Oleh Dr Zaini Ujang
zaini@utm.my

AIR bukan sekadar diminum atau penyucian fizikal semata-mata. Dalam konteks moden, air digunakan untuk pembangunan ekonomi, terutama dalam bidang pertanian industri. Jika diungkapkan secara lebih meluas, air juga sangat penting dari segi diplomasi dan politik setempat atau serantau.

Namun, tidak ramai cuba memahami air dari perspektif pembangunan modal insan atau falsafah hidup.
Realitinya air dianggap sumber kehidupan, kemudahan awam atau penjanaan kekayaan semata-mata. Dengan kata lain, peranan air tidak dilihat penting dari segi kemajuan sahsiah, intelektual apatah lagi kerohanian.
Bagi orang Islam, air sumber utama penyucian diri menerusi mandi wajib atau wuduk. Kualiti air terbaik ialah air mutlak yang suci dan menyucikan.

Kejernihan rohani hanya dapat dicapai menerusi kejernihan, kebersihan dan ketulenan air mutlak. Itu sebabnya konsep air mempunyai kedudukan penting sehingga menjadi antara satu bab terawal dalam ajaran fikah. Yang pasti tentu ada hikmahnya sehingga air zam-zam mempunyai kualiti terbaik, seperti hadis Rasulullah SAW diriwayatkan Ibnu Abbas yang bermaksud: “Sebaik-baik air di muka bumi ialah air zam-zam”.

Justeru, air dari segi peranan mempunyai pengertian tersendiri, melebihi penyucian fizikal seperti menghilangkan najis, bau atau sekadar menyegarkan tubuh setiap pagi dan petang. Hal ini juga selalu disorot dalam konteks penyucian rohani menerusi konsep sentiasa berada keadaan berwuduk atau amal salih dengan menyediakan sumber air kepada masyarakat seperti hadis sahih daripada Anas r.a menyebut bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Ada tujuh pahala yang tetap diterima oleh seseorang itu apabila dia mati kelak, iaitu orang mendirikan masjid dan terus digunakan orang ramai sebagai tempat ibadah; orang mengalirkan air sungai selagi orang tetap menggunakannya; orang menulis mushaf selagi masih ada orang membacanya; orang menggali perigi selagi ada orang memanfaatkannya; orang menanam tumbuhan selagi ada yang memakan buahnya sama ada manusia atau binatang; orang mengajarkan ilmunya selagi ilmu itu diamalkan mereka mempelajarinya dan orang meninggalkan anak salih dan anak itu sentiasa mendoakan kesejahteraan kedua-dua orang tuanya”.

Hadis ini menjelaskan tiga golongan manusia yang mendapat pahala secara berterusan, biarpun sudah meninggal dunia, iaitu mereka yang membina rumah ibadah, membangunkan modal insan menerusi kepakaran dalam bidang penulisan serta pendidikan dan mereka melestarikan alam sekitar dengan memulihara sungai, sumber air serta tumbuhan.

Selain itu, air juga perlu difahami dari segi falsafah hidup dan pembangunan insaniah secara menyeluruh. Dalam pemikiran Melayu Islam, peranan air begitu menyerlah seperti terungkap menerusi pepatah dan bidalan. Ia membabitkan budaya hidup, semangat kekitaan, nasihat dan pedoman yang sangat bermakna, tepat dan ringkas.

Hakikatnya pemikiran Melayu Islam menjadikan air sebagai instrumen pengajaran sangat berguna. Itu sebabnya bidalan Melayu penuh dengan kalimat suci dan hikmah. Oleh kerana hikmah itu adalah air mandi atau lumrah dalam konteks Melayu Islam, khususnya dari segi pembentukan jati diri dan kekuatan budaya.

Mana sungai yang tidak berhulu? Seseorang mesti ada asal-usulnya sehingga jati diri seseorang mempunyai kaitan sangat akrab dengan persekitaran budaya dan rumpun masyarakat biarpun mereka telah jauh berkelana. Tetapi kita sering diingatkan bahawa air dicincang tidak akan putus, bahawa tautan darah, persaudaraan dan rumpun bangsa tidak akan hilang walaupun ada yang cuba menafikannya.

Secara zahir kita sering berbeza, termasuk pemikiran dan gaya hidup, sesuai dengan fitrah insaniah sebagai salah satu tanda mengenai kebesaran Allah SWT yang mencipta makhluk dengan penuh kepelbagaian, namun sumber kekuatan adalah perpaduan. Bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat. Itu sebabnya ajaran Islam yang menjadi teras pemikiran dan jati diri Melayu meletakkan kerjasama dan semangat berpasukan sebagai suatu kemestian membentuk barisan padu, bagai aur dengan tebing.

Mereka yang tidak bekerjasama dan hanya mementingkan diri sendiri diumpamakan seperti kera sumbang. Sering mereka mendapat bahana, karam tidak berair. Memang kebaikan dan keburukan itu jelas, seperti minyak dengan air. Justeru, kita tidak boleh lari daripada hakikat bahawa kebaikan perlu diraikan dan dilaksanakan sebaiknya. Air setitik dilautkan, tanah seketul digunungkan.

Penulis akan menyampaikan kuliah umum di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, hari ini bertajuk ‘Water, Wealth and Wisdom.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/