Sabtu, 14 Mei 2011

ISU PENDIDIKAN : Guru pikul amanah bentuk masyarakat cemerlang

Kejayaan sistem pendidikan bergantung kepada kesediaan pendidik berdepan cabaran

KECEMERLANGAN hidup seseorang di dunia ini tidak dapat lari daripada pengorbanan orang lain sama ada ibu bapa, ahli keluarga, kaum kerabat, rakan dan guru. Sumbangan itu sudah tentu tidak mampu dibalas, lebih-lebih lagi sumbangan guru membimbing ke arah kecemerlangan

Statistik menunjukkan bilangan guru ialah seramai 380,000 manakala bilangan anak kita yang berada di alam persekolahan ialah 5.4 juta orang. Lihat betapa besarnya tanggungjawab guru untuk membimbing dan mendidik anak kita ini.

Tanggal 16 Mei dipilih sebagai hari bersejarah untuk kita semua memperingati dan menghargai sumbangan guru terutama dalam mendidik dan menjana tranformasi pendidikan bagi membina negara bangsa.

Sesungguhnya seorang guru adalah insan mulia kerana mereka diamanahkan untuk menyampaikan ilmu dan mentarbiah masyarakat, mereka diibaratkan seperti bintang di langit yang menjadi penunjuk jalan bagi menerangi kegelapan di darat dan lautan.

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan Anas bin Malik: “Sesungguhnya perumpamaan orang yang berilmu pengetahuan di muka bumi ini seperti bintang di langit yang menjadi petunjuk dan menerangi dalam kegelapan sama ada di daratan mahupun lautan, apabila ia terbenam atau hilang dikhuatiri akan hilang arah tujuan.”

Sejarah ketamadunan Islam mencatatkan guru atau ulama adalah golongan amat dihormati oleh masyarakat dan pemerintah. Bukan menjadi sesuatu yang menghairankan jika seorang khalifah sanggup berjalan ke rumah seorang ulama, semata-mata untuk menuntut ilmu.

Diriwayatkan, Imam Malik bin Anas pernah menolak tawaran untuk mengajar di istana bahkan dengan tegas beliau mengatakan, ilmu itu didatangi bukan mendatangi.

Kisah Imam Malik juga adalah contoh murid yang menghormati guru. Jika ada sesuatu persoalan dikemukakan kepadanya, ia lebih suka merujuk kepada gurunya terlebih dulu.

Beliau pernah berkata, “Aku tidak mahu menjawab permasalahan ini sebelum aku bertanya terlebih dulu kepada orang lebih alim daripadaku. Apakah pendapatku ini lebih bertepatan dengan kebenaran.”

Lihatlah sikap merendah diri dan rasa hormat seorang imam dan ulama terbilang seperti Imam Malik.

Begitu juga yang berlaku kepada Imam Shafie yang amat menghormati gurunya. Beliau pernah berkata, “Malik bin Anas adalah guruku. Seandainya tidak ada Imam Malik dan Ibnu Uyainah, maka hilanglah seluruh ilmu ulama negeri Hijaz ini.”

Saidina Ali juga pernah berkata, “Barang siapa yang mengajar aku walaupun satu huruf maka dia adalah tuan kepadaku.”

Dalam menjana tranformasi pendidikan, tugas guru bukan hanya sekadar menyampaikan ilmu pengetahuan tetapi juga berperanan sebagai murabbi untuk membentuk bangsa supaya menjadi insan yang berakidah, dinamik dan berkualiti di dunia dan akhirat.

Mereka berada di saf hadapan untuk membangun bangsa cemerlang yang akan menentukan sebuah negara maju, aman dan dihormati. Maka, dalam merialisasikan harapan tinggi itu, guru terpaksa menempuh pelbagai cabaran dan dugaan termasuk perubahan dalam sistem penyampaian serta maklumat supaya selari kehendak diperlukan bagi mencapai aspirasi negara.

Walau bagaimanapun kejayaan dan keberkesanan pencapaian sistem pendidikan sebenarnya berkait rapat dengan kesedaran guru terhadap tanggungjawabnya, kelengkapan ilmunya dan keluhuran peribadinya.

Kesepaduan antara peribadi dan kemahiran keilmuan adalah unsur penting membantu ke arah kecemerlangan pendidikan. Bagi mencapai hasrat itu, tuntutan kepada ilmu pengetahuan berbentuk fardu ain dan fardu kifayah diperlukan demi memenuhi tuntutan kesejahteraan dunia dan akhirat.

Amalan memisahkan pendidikan fardu ain dan fardu kifayah akan melahirkan masyarakat yang tempang sekali gus menggagalkan usaha membentuk modal insan yang gemilang.

Firman Allah yang bermaksud: “Allah menerangkan (kepada sekalian makhluknya dengan dalil dan bukti) bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia, yang sentiasa mentadbir seluruh alam dengan keadilan, dan malaikat serta orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian) tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah Ali-Imran, ayat 18)

Anak bangsa yang berkualiti harus bermula daripada orang yang mendidik mereka. Keupayaan ini mestilah didokong bersama guru dan masyarakat terutama ibu bapa. Jika tidak, nescaya harapan negara ke arah melahirkan generasi modal insan kelas pertama berjiwa ‘Ulul Albab’ akan sia-sia.

Mimbar percaya hubungan baik antara ibu bapa dengan pihak guru penting supaya usaha mengasuh dan mendidik anak berjalan dengan lancar dan sempurna. Ibu bapa dan masyarakat perlu menjalin hubungan erat dan berterusan dengan pihak sekolah supaya permasalahan diselesaikan secara muhibah. – Khutbah JAKIM

ISU PENDIDIKAN : Festival Hari Guru di Tebingan Kuching bermula

Persiapan akhir dilakukan di pentas utama bagi menjayakan Festival Hari Guru 2011 di Tebingan Kuching, Sarawak, semalam.

KUCHING 12 Mei - Bahang Festival Hari Guru 2011 anjuran Kumpulan Utusan bersama Kementerian Pelajaran di Tebingan Kuching bermula esok semakin dirasai dengan setiap agensi dan sektor swasta yang terbabit sibuk melakukan persiapan terakhir hari ini.

Penganjuran festival berkenaan selama empat hari adalah bersempena pemilihan bandar raya ini sebagai lokasi sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan yang diraikan pada 16 Mei setiap tahun.

Pengurus festival dan Pengarang Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim berkata, festival itu akan bermula esok dengan majlis praperasmian oleh Pengarah Pelajaran Sarawak, Abdillah Adam.

Beliau berkata, Abdillah kemudiannya akan melancarkan e-LAB.com.my sebelum program diteruskan pada sebelah petang dan malam dengan persembahan Pentarama yang turut melibatkan penyanyi terkenal, Rahmat Mega.

''Selain itu, terdapat kira-kira 90 gerai pameran, jualan dan demonstrasi produk oleh peserta pameran yang terdiri daripada agensi kerajaan dan syarikat swasta termasuk institusi pengajian tinggi (IPT).

''Turut dianjurkan jualan buku dan majalah serta permainan yang melibatkan interaksi secara langsung antara warga pendidik, pelajar, sektor korporat, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat setempat," katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Wahid memberitahu, gerai Kumpulan Utusan juga menganjurkan pelbagai program antaranya jualan buku, pertandingan mewarna dan teka-teki, sesi bergambar untuk muka depan majalah serta banyak lagi.

Dalam pada itu, katanya, majlis perasmian Festival Hari Guru 2011 bakal disempurnakan oleh Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II, Datuk Awang Tengah Ali Hassan Sabtu ini yang mewakili Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Pada Ahad pula, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd. Ghafar Mahmud dijangka menyempurnakan pelancaran 'Intelligent Learning Management System (iLMS)' peringkat negeri di Tebingan Kuching pada pukul 10 pagi.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula akan menyempurnakan majlis penutupan pada hari terakhir yang akan turut dihadiri Abdul Taib.

Sebelum ini, Festival Hari Guru anjuran Kumpulan Utusan dengan kerjasama Kementerian Pelajaran pernah diadakan di Terengganu pada 2009 dan Pahang pada 2010,

Sumber : http : //www,utusan.com,my/

Jumaat, 13 Mei 2011

ISU SOSIAL : Integriti elemen penting bentuk sahsiah masyarakat

Oleh Sharifah Haryati
bhnews@bharian.com.my

Kesedaran laksana amanah, berakhlak mulia dalam setiap aspek angkat kemuliaan ummah

KALIMAH integriti biasa pada pendengaran dan kian difahami masyarakat kerana semakin luas penggunaannya dalam penulisan serta perbahasan umum. Khasnya, selepas penekanan diberi dalam perkhidmatan dekad ini.

Penekanan khusus dapat dilihat melalui beberapa usaha pengukuhan dan pembaharuan perkhidmatan iaitu dengan penubuhan institusi serta pelan tindakan khas iaitu Institut Integriti Malaysia (IIM) dan Pelan Integriti Nasional (PIN) selain tumpuan terhadap rancangan pembangunan.

Namun, sebagai pegangan nilai ia sebenarnya sudah dijadikan dasar dalam pelbagai bentuk dan penggunaan istilah sejak kemerdekaan lagi. Integriti adalah istilah menggambarkan pegangan nilai dan kayu pengukur kepada nilai diri yang kompeten, profesional, jujur dan amanah sama ada sebagai anggota masyarakat mahupun penjawat awam.

Ia adalah elemen penting dalam pembentukan sahsiah, etika, imej dan jati diri jika dibudayakan dalam masyarakat tanpa mengira kaum, agama, bangsa dan negara. Justeru, isu membabitkan integriti semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat dan pemimpin pelbagai lapisan.

Isu seperti kelewatan dan ketidakcekapan, kecuaian, sikap sambil lewa dalam perkhidmatan, ketirisan, penyalahgunaan kuasa, penipuan dan rasuah banyak diperkatakan.

Kehangatan perbahasan dan tindakan berkaitan integriti disebabkan beberapa faktor antaranya tahap kesedaran masyarakat yang semakin tinggi dalam membuat penilaian dan pemilihan terbaik bagi setiap urusan mereka.

Oleh itu, yang penting sebenarnya adalah faktor kebangkitan kita untuk melunaskan amanah Allah, kebimbangan untuk menjawab apabila gagal melunaskan dan faktor kesedaran mengenai peranan kita untuk menjadi cerminan sesama Islam dan teladan kepada bukan Islam.

Kegemilangan tamadun Islam bersandar kepada kekuatan sahsiah. Ia adalah bukti pegangan akhlak dan integriti yang utuh. Pembentukan sahsiah diri yang baik dan hebat bukan satu pilihan sebaliknya kewajipan dan teras dalam Islam iaitu melalui kehidupan berakhlak.

Bahkan Islam didefinisikan sebagai akhlak yang baik seperti sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesungguhnya agama itu (al-din) adalah akhlak yang baik.”

Imam al-Ghazali berkata, akhlak ialah nilai yang tertanam dalam jiwa seseorang sehingga melahirkan tindakan baik secara spontan. Pandangan Ibn Manzur dan Abu Ali Miskawayh, ia adalah refleksi kepada nilai yang terbit dalam diri dan naluri manusia serta faktor penentu kecemerlangan.

Persoalannya ialah bagaimana memupuk integriti sebagai sebahagian sahsiah diri, khasnya dalam suasana kehidupan hari ini yang mencabar dan manusia seolah-olah dicabar pelbagai peluang serta keperluan?

Dalam apa juga halnya, kaedah Baginda Rasulullah SAW memahatkan penghayatan ihsan dan perlakuan berakhlak melalui qudwah hasanah adalah formula terbaik.

Firman Allah bermaksud: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk memberi rahmat bagi sekalian alam.” (Surah al-Anbiya, ayat 107)

Rahmat pengutusan Rasulullah SAW adalah nikmat terbaik kepada manusia dan segala makhluk meliputi segala aspek dan tempoh jangka masa kehidupan. Salah satu aspek rahmatnya adalah mengubah gaya hidup negatif kepada yang positif, jahat kepada baik dan berusaha ke arah pencapaian terbaik dalam melahirkan khaira ummah melalui sahsiah diri yang Baginda pamerkan.

Pencapaian terbaik itu juga mestilah dengan cara yang tidak membawa kemudaratan atau keburukan kepada orang lain.

Imam al-Ghazali melontarkan idea sahsiah diri melalui integriti dengan berkesan sekali apabila mengingatkan tiga asas dalam melakukan sesuatu tugasan iaitu sebelum melakukan sesuatu pekerjaan bersihkanlah hati.

Ketika melakukannya pula khusyukkanlah hati dan sesudah melakukannya tundukkanlah hati. Ke-tiga-tiga proses berterusan ini se-benarnya proses menjadikan integriti sebagai sahsiah diri.

Dengan erti kata lain, nilai integriti yang ditekankan adalah ikhlas, berasaskan matlamat yang jelas, komited, dedikasi, fokus dan tidak sombong atau mengungkit-ungkit.

Adapun formula penghayatan ihsan pula ialah apabila individu sentiasa mengingati Penciptanya dan merasakan setiap perbuatan dan gerak hatinya dinilai Allah dengan nilaian serta balasan yang berganda.

Firman Allah bermaksud: “Sesiapa melakukan amal yang baik, maka baginya (pahala) sepuluh kali lipat amalnya; dan barang siapa yang melakukan perbuatan jahat maka dia tidak diberi pembalasan melainkan seimbang dengan kejahatannya, sedang mereka sedikitpun tidak dianiaya (dirugikan).” (Surah al-An’am, ayat 160)

Penilaian pada setiap amalan ini ditegaskan dalam ayat lain yang bermaksud: “Dan tidaklah engkau (wahai Muhammad) dalam menjalankan sesuatu urusan, dan tidaklah engkau dalam membaca sesuatu surah atau sesuatu ayat dari Al-Quran, dan tidaklah kamu (wahai umat manusia) dalam mengerjakan sesuatu amal usaha, melainkan adalah kami menjadi saksi terhadap kamu, ketika kamu mengerjakannya. Dan tidak akan hilang lenyap dari pengetahuan Tuhanmu sesuatu dari sehalus-halus atau seringan-ringan yang ada di muka bumi atau di langit, dan tidak ada yang lebih besar, melainkan semuanya tertulis dalam kitab yang terang nyata.” (Surah Yunus, ayat 61)

Rahmat daripada formula Rasulullah SAW melahirkan umatnya yang bukan sekadar ramai jumlahnya tetapi hebat sahsiah melalui penghayatan hidup berakhlak atau berintegriti .

Penulis ialah Pensyarah Jabatan Siasah Syar’iyyah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU KESIHATAN : Cara pemakanan sempurna bermula di rumah

Oleh Nazri Hussein

Halal, berkhasiat serta tak membazir ciri-ciri utama lahir masyarakat berkualiti

ISLAM bukan sekadar menuntut umatnya menitikberatkan persoalan kerohanian tetapi juga mendidik manusia bagaimana menjaga pemakanan yang betul untuk kesihatan tubuh badan. Anggota fizikal yang sihat, cergas serta bertenaga akan membina jiwa bersemangat, beriltizam, istiqamah dalam semua urusan serta memiliki kekuatan rohani melaksanakan ibadah kepada Allah.

Adab dan akhlak dalam soal pemakanan seperti mengawal nafsu makan, mengelak daripada makan terlalu kenyang, memilih makanan halal dan berkhasiat serta tidak membazir adalah ciri-ciri yang sangat diutamakan demi melahirkan masyarakat berkualiti yang terhindar daripada gejala penyakit.

Allah berfirman yang bermaksud: “Makanlah makanan yang halal dan baik daripada rezeki yang telah Allah kurniakan kepada kamu. Dan patuhlah kepada Allah yang kepada-Nya kamu telah beriman.” (Surah al-Maidah, ayat 88)

Isu obesiti atau kegemukan tidak terkawal dalam kalangan kanak-kanak sekolah mendapat perhatian umum akhir-akhir ini sewajarnya dapat diatasi jika pendidikan mengenai etika pemakanan dianjurkan Islam dilaksanakan dengan sempurna dan bersungguh-sungguh.

Dalam soal ini, ibu bapa sebagai kaunselor pertama wajar memainkan peranan penting dengan mendidik anak cara pemakanan yang betul bermula dari rumah. Ibu bapa wajar memastikan sumber rezeki yang akan dikongsikan bersama anak datang daripada sumber halal.

Rezeki dalam bentuk makanan, minuman atau wang ringgit yang jelas haram, syubhat, akan membentuk generasi lemah fizikal, mudah dijangkiti penyakit sama ada rohani atau jasmani selain sukar menguasai ilmu.

Malah, darah daging yang tumbuh hasil daripada rezeki haram akan dilaknat Allah serta disediakan pembalasan dalam bentuk seksaan neraka.

Rasulullah SAW mengingatkan perkara ini kepada umat Islam dalam hadis yang bermaksud: “Setiap daging yang tumbuh dari sumber yang haram, maka api neraka saja yang layak untuknya.” (Hadis riwayat Muslim)

Islam tidak boleh memandang mudah atau mengambil sikap acuh tidak acuh dalam soal makanan kerana apa saja yang masuk ke dalam halkum akan dinilai oleh Allah. Ia bukan sekadar untuk mengenyangkan perut semata-mata tetapi makanan turut mempengaruhi akidah.

Rezeki dalam bentuk makanan atau minuman yang berkat tentulah menjernihkan minda serta memudahkan kita menghafaz ayat al-Quran sebagai amalan seharian.

Rasulullah SAW sentiasa berhati-hati menjaga pemakanan. Baginda sama sekali tidak akan memakan sesuatu makanan yang dihidangkan jika tidak mengetahui sumbernya yang sebenar. Malah, bentuk badan Rasulullah SAW yang sederhana iaitu tidak terlalu kurus dan tidak terlalu gemuk menunjukkan keprihatinan Baginda dalam aspek pemakanan seimbang.

Sabda Baginda yang bermaksud: “Tiada satu tempat yang dipenuhkan oleh anak Adam yang lebih mencelakakan dirinya selain daripada perutnya. Memadailah untuk anak Adam itu beberapa suap makan untuk menguatkan tulang belakangnya (bagi menahan kelaparan dan untuk berdiri ketika beribadah). Jika itu tidak dapat dipertahankan, maka hendaklah bahagikan perut kepada tiga bahagian; satu untuk makanan, satu untuk minuman dan satu lagi kosongkan untuk bernafas.”

Sebagai umat akhir zaman yang sentiasa terdedah dengan pelbagai penyakit kronik, sewajarnya saranan Rasulullah SAW dicontohi dan diikuti kerana kesejahteraan hidup bermula daripada tubuh badan yang cergas dan sihat serta akal yang cerdas.

Allah amat melaknat orang yang gemuk kerana terlalu banyak makan dan minum. Kegemukan menjadikan seseorang itu lemah, malas melakukan sesuatu usaha dan membantutkan produktiviti.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bala yang pertama sekali berlaku kepada umat ini sesudah pemergian Nabi ialah kekenyangan perut. Sebab apabila sesuatu kaum itu kenyang perutnya maka akan gemuklah badannya, lalu akan lemahlah hatinya dan akan bermaharajalelalah syahwatnya.” (Hadis riwayat Bukhari)

Antara adab dan amalan Nabi ketika makan adalah makan mengguna jari tangan, tidak bernafas ketika minum, makan hanya ketika lapar dan berhenti sebelum kenyang serta mengunyah makanan sehingga halus dan menghabiskan sisa makanan tanpa dibiarkan membazir.

Baginda juga tidak tidur selepas makan kerana tabiat ini memberi kesan buruk pada kesihatan. Antara makanan digemari Rasulullah SAW ialah susu, buah-buahan, kurma, daging kambing, madu, sayur-sayuran serta bubur yang mempunyai khasiat kepada tubuh badan.

Baginda sepanjang hayatnya tidak pernah mengalami penyakit berat kecuali penyakit ringan yang biasa dialami oleh manusia biasa. Kehebatan Rasulullah SAW menjaga gaya pemakanan menjadikan Baginda pemimpin disegani, ketua keluarga yang cergas, pahlawan perang yang kuat dan bertenaga selain memiliki kebijaksanaan akal yang tinggi.

Pelbagai penyakit kronik yang melanda umat Islam di seluruh dunia hari ini dapat dihindari andai kita berusaha bersungguh-sungguh menjaga tabiat pemakanan serta mengamalkan penjagaan kesihatan yang betul.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

Khamis, 12 Mei 2011

ISU BAHASA : ' Apakah saya munafik bahasa Melayu?'

Oleh : Salbiah Ani
bhnews@bharian.com.my

TERSENTUH hati penulis apabila menyaksikan Timbalan Perdana Singapura, Wong Kan Seng, berucap dalam bahasa Melayu pada kempen Parti Tindakan Rakyat (PAP) di kawasan undi perwakilan berkumpulan (CRC) Aljunied sempena Pilihan Raya Singapura yang baru lalu.

Meskipun alasan di sebalik penggunaan bahasa Melayu adalah percubaan pemimpin itu memenangi hati pengundi Melayu yang semangat mereka dibakar parti pembangkang, setidak-tidaknya bahasa Melayu yang digunakan sempurna, bukan bahasa rojak dan disebut mengikut sebutan Johor-Riau.

Hakikatnya walaupun PAP tewas di tangan Parti Pekerja (WP) untuk SRC Aljunied, usaha pemimpin mereka bertutur dalam bahasa Melayu yang fasih dan kain rentang kempen ditulis dalam bahasa Inggeris, Tamil, Mandarin serta Melayu, meskipun dalam saiz aksara berlainan, cukup bermakna.

Berbeza sekali dengan situasi di Malaysia, baik kelompok marhaen mahupun borjuis khususnya di bandar, semua berlumba-lumba bertutur dalam bahasa Inggeris tanpa mengira siapa khalayak sasar mereka, dalam perlumbaan membuktikan betapa antarabangsanya bahasa Inggeris.

Lalu dalam perlumbaan yang tiada garis pemula dan penamat itu, ramailah yang bertutur dalam bahasa Melayu dan Inggeris yang bercampur aduk, selain terjadi sebutan yang bercampur aduk ekoran tidak tahu membezakan antara 'e' taling dan 'e' pepet.

Serangan demi serangan diatur untuk menidakkan wibawa bahasa Melayu dan percubaan memastikan Dasar Pengajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dihidupkan semula demi kepentingan kelompok tertentu.

Kepentingan menerima bahasa melambangkan bangsa dan jati diri rakyat Malaysia tidak dirasai kelompok yang mendewa-dewakan bahasa Inggeris, sehingga menutup akal budi mereka untuk menerima Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Sudah pasti hati pejuang bahasa sejuk dengan berita terkini berhubung permintaan Pengerusi Malaysia Danish Association (MDA), Poo Chu Chua, pada jamuan makan malam Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan rakyat Malaysia yang menetap di Denmark.

Dapat dibayangkan betapa bimbangnya mereka kemungkinan keturunan masing-masing tidak lagi tahu bertutur dalam bahasa Melayu dan mengenali sejarah budaya negara tumpah darah mereka sehingga kerjasama dipohon daripada Kementerian Pelajaran agar dihantar guru bahasa Melayu.

Teringat lagi kerinduan sasterawan veteran wanita, Khadijah Hashim untuk bertutur dalam bahasa Melayu ketika mengikuti Program Penulisan Antarabangsa (IWP) selam enam bulan di Iowa Universiti, Amerika Syarikat, pada 1994 yang penulis sambut dengan senyuman.

Rasa aneh penulis dengan kerinduan Khadijah menimpa diri ketika berkunjung ke Sri Lanka pada 1996 kerana tugas selama 10 hari dan sebagai satu-satunya Melayu dalam kelompok wartawan dari seluruh dunia ketika itu, rasa rindu untuk bertutur dalam bahasa Melayu hanya dapat dipendamkan.

Begitu juga dengan pengumuman Muhyidin akan kemungkinan menggunakan bahasa Melayu pada program antarabangsa sebagai langkah memartabatkan bahasa terbabit seperti yang dilakukan Indonesia.

Sebenarnya Muhyidin tidak perlu bimbang dengan prasarana bagi pelaksanaannya kerana sejak sekian lama ia sudah disediakan dan ini termasuklah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan Negara Malaysia dan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu.

Bukan saja Indonesia sudah melakukan perkara ini, tetapi juga China, Korea, Jepun, Perancis dan Jerman, sudah lama memartabatkan bahasa mereka sendiri dalam segala urusan negara mereka termasuk dalam hal berhubungan dengan orang asing kerana dasar bahasa melambangkan bangsa.

Malaysia saja yang nampak seakan-akan berdolak-dalik dalam hal bahasa Melayu, meskipun hakikatnya daripada segi perundangan ia sudah termaktub, tetapi daripada segi pelaksanaan sentiasa berpatah balik, seolah-olah bimbang dengan bayangan bahasa penjajah!

Pasti ramai yang dapat memberi jawapan sejauh mana keberkesanan peraturan baru yang mensyaratkan pengiklan merujuk dulu kepada DBP berkuatkuasa tahun lalu sebelum pihak berkuasa tempatan (PBT) memberi lesen akan dipatuhi.

Begitu juga dengan hal pembudayaan bahasa di stesen radio negara ini, ia tidak sepatutnya timbul lebih-lebih lagi jika sememangnya bersiaran dalam bahasa terbabit dan situasi ini seolah-olah suatu lelucon!

Dalam hal memartabatkan dan memasyarakatkan bahasa Melayu di negara ini, suatu yang pasti sesetengah individu Melayu tampil lebih munafik daripada bukan Melayu dan lebih membimbangkan apabila kelompok ini memegang tampuk kepimpinan sesebuah institusi!

Tiada maknanya Malaysia menubuhkan Kerusi Pengajian Melayu di luar negara, menghulur bantuan untuk program bahasa Melayu Radio Beijing, DBP melantik Munsyi Bahasa dan Radio BBC pernah berkumandang dengan bahasa Melayu, jika di dalam negara, bahasa Melayu diperlekeh dan diperkotak-katikkan!

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU BAHASA : Bahasa ibunda bantu kecemerlangan pelajar

PARIS 12 Mei — Kanak-kanak akan cemerlang jika didedahkan dengan pelajaran menggunakan bahasa ibunda khususnya di peringkat rendah, kata Ketua Pengarah Unesco, Irina Bokova.

Beliau berkata, terdapat bukti menunjukkan kanak-kanak di seluruh dunia seperti di Mexico dan Peru yang mendapat pendidikan peringkat rendah dalam bahasa ibunda akan cemerlang di bilik darjah.

Bercakap kepada wartawan Malaysia di ibu pejabat Unesco di sini hari ini, Bokova berkata, bahawa sebagai satu dasar, pertubuhan itu sentiasa menggalakkan pengajaran dalam bahasa ibunda khususnya di peringkat rendah dan bagi mata pelajaran yang sukar.

"Saya tahu ianya memerlukan sedikit belanja dan sukar untuk dikendalikan kerana kita perlukan buku teks dan yang lain-lain tetapi mutu pelajaran akan meningkat jika terdapat pembelajaran dalam bahasa ibunda,” katanya.

Bokova memuji kerajaan Malaysia kerana menetapkan satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi pendidikan. — Bernama.

Rabu, 11 Mei 2011

ISU BAHASA : Atasi isu bahasa kebangsaan dengan serius

BELAKANGAN ini, pelbagai isu giat dibangkitkan berkenaan dengan bahasa kebangsaan. Daripada rancangan menghantar guru mengajar Bahasa Malaysia di luar negara hinggalah ke peminggiran bahasa Kebangsaan pada iklan dan sektor swasta serta ketandusan kefasihan pelakon bukan Melayu.

Saya sedih dan terkilan melihat ada pihak yang mempolitikkan segala yang berhubung isu bahasa kebangsaan.

Persoalannya, siapakah yang tidak terdaya menguasai Bahasa Malaysia? Saya sudah tidak larat lagi melayari laman agensi awam yang ghairah dengan Bahasa Melayu-ciplak.

Susun kata bagai diterjemah terus daripada bahasa Inggeris tanpa mengambil kira nahu bahasa Melayu. Sebagai keluaran sekolah Melayu dan kini bekerja sebagai penterjemah sambilan, bagi saya gelagat campur aduk ini amat tidak bertanggung-jawab dan menyinggung.

Sia-sia saya bertungkus-lumus memahirkan diri dengan bahasa Malaysia sedangkan kebanyakan masyarakat hari ini lebih selesa dengan perkataan seperti ‘integriti’, ‘informasi’, ‘kombinasi’, ‘sensitif’, berbanding ‘ketelusan’, ‘maklumat’, ‘gabungan’ atau ‘peka’. Mungkin benar ungkapan bahasa rasmi kini seumpama ‘sekerat ular, sekerat belut’.

Perlukah guru Bahasa Malaysia dipindah ke luar negara tetapi jurang tempatan belum lagi didekati? Siapakah yang meluluskan papan iklan?

Cepat sangat kita menuding jari kepada orang lain tanpa menilai diri sendiri. Mungkin inilah yang dikatakan, 'kuman di lautan nampak tetapi gajah di depan mata tidak'.

DOTTIE C,
Kuala Lumpur

Sumber : http : //www.bharian.com.my/