
Kuala Lumpur.


PENGUASAAN bahasa Inggeris (BI) pelajar di negara kita secara umumnya masih lemah dan sering dijadikan salah satu faktor kegagalan dalam temu duga permohonan biasiswa atau untuk mendapatkan pekerjaan.
Hal ini tidak sepatutnya berlaku kerana pelajar telah menerima pendidikan BI secara formal bermula dari sekolah rendah hingga ke sekolah menengah.
Selama sebelas tahun, ia sepatutnya lebih daripada mencukupi untuk menyediakan asas kepada pelajar menguasai BI.
Malah pelajar juga telah didedahkan kepada proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) BI pada usia lima atau enam tahun ketika di peringkat prasekolah.
Ironinya, pelajar yang sama jika diajar secara intensif selama tiga bulan, dia mampu berkomunikasi dalam BI dengan baik.
Pastinya ada sesuatu yang tidak kena dalam sistem pendidikan BI di sekolah sama ada pengajaran guru tidak berkesan atau kurikulum yang digunakan sudah ketinggalan.
Mungkin kaedah P&P guru BI tidak menyeronokkan dan terlalu berorientasikan peperiksaan. P&P lebih fokus kepada aspek akademik seperti tatabahasa, kosa kata dan penulisan.
Kurikulum yang diguna pakai mungkin kurang memberi tumpuan kepada aspek BI untuk berkomunikasi.
Justeru, Kementerian Pelajaran melalui dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) telah menggunakan beberapa pendekatan inovatif untuk memantapkan penguasaan BI di kalangan pelajar.
Misalnya dengan mengambil penutur jati untuk melatih guru BI supaya P&P bahasa tersebut lebih 'hidup' dan menyeronokkan serta mudah difahami.
Proses P&P tidak lagi terlalu bergantung kepada buku teks semata-mata tetapi menggunakan bahan pelbagai media yang mencakupi elemen multimedia dan sumber daripada Internet.
Selain itu, guru yang telah bersara tetapi mempunyai kepakaran, pengalaman dan pengetahuan diambil secara kontrak untuk memantapkan BI para pelajar.
Bagaimanapun, terdapat sedikit kekangan kerana golongan guru bersara ini cenderung untuk memilih mengajar di sekolah yang berhampiran dengan tempat kediaman mereka sahaja.
Masalah guru baharu atau yang masih dalam perkhidmatan enggan mengajar di pedalaman dan kawasan luar bandar juga merupakan salah satu faktor yang merencatkan usaha memperkukuh BI selama ini.
Natijahnya, guru lain yang bukan opsyen bahasa itu terpaksa mengajar BI di sekolah luar bandar dan pedalaman. Apabila ini berlaku, umpama ketam mengajar anaknya berjalan lurus.
Inisiatif lain ialah kerajaan Malaysia dan Amerika Syarikat pada dasarnya telah bersetuju untuk menggunakan khidmat sukarelawan Peace Corp bagi mengatasi masalah penguasaan BI di kawasan pedalaman dan luar bandar.
Sukarelawan yang terdiri daripada pelabagai latar belakang akademik ini bukan sahaja mempunyai kemahiran tertentu malah sanggup ditempatkan di kawasan terpencil untuk menunaikan amanah yang diberikan.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/


Kasih sayang mengikat erat hubungan ibu bapa dan anak. Berikan anak anda sepenuh kasih sayang yang diperlukannya.
BERIKAN ANAK ANDA
| · | bimbingan | - | secara tekun dan berterusan. Hal ini penting sekali bagi kesuburan pertumbuhan mentalnya. |
| · | masa anda | - | setiap masa yang digunakan bersamanya adalah lebih bermakna daripada apa yang anda jangkakan. |
| · | peluang | - | untuk mempelajari dan mengalami hal-hal baru. Hal ini memperkayakan pemikirannya. |
| · | galakan | - | dalam bekerja dan bermain . Jangan dihadkan percubaannya meneroka, mencontohi, mencipta dan meneroka fikiran. |
| · | tanggungjawab | - | bermula dengan kerja-kerja mudah. Hal ini latihan terbaik yang meyakinkan bahawa dia berguna. |
| · | hak mempunyai watak berbeza | - | kerana setiap anak adalah unik. Jangan bandingkan dia dengan adik-beradiknya atau dengan orang lain. |
| · | pujian | - | atas segala pencapaiannya. Lebih-lebih lagi kerana usahanya mencuba, walaupun dia kandas atau gagal. |
| · | akal- budi bicara anda | - | timbangkan umur dan tabiat - perangainya apabila anda tidak menyetujuinya. Anda boleh singkirkan kelakuannya tetapi jangan sekali-kali kutuk anak anda. |
| · | keyakinan ketenteraman | - | sentiasa. Jangan menjauhkan diri daripadanya atau mengugut menarik balik kasih sayang anda atau mengancam menyerahkannya kepada orang lain. |
| · | segala yang diperlukannya | - | tanpa mengharapkan balasan. Bukan kehendaknya untuk dilahirkan tetapi adalah kehendak anda. Oleh itu asuhilah dia menghormati orang tua dan taat kepada ibu bapa. |
SEBANYAK MANA KASIH SAYANG YANG ANDA BERIKAN, BANYAK ITULAH JUGA KASIH SAYANG YANG AKAN ANDA TERIMA DAN PEROLEH!
Sumber : Kasmini Kassim, buku Memahami Jiwa kanak-kanak 2, Kafarina Holdings Sdn Bhd, 1993.


Makanan berkolesterol tinggi seperti roti canai, nasi lemak, makanan dan minuman ringan, jeruk dan sebagainya dicadang supaya tidak lagi dijual di kantin-kantin sekolah dan ditukarkan dengan menu-menu lain yang lebih berkhasiat serta sesuai untuk pemakanan kanak-kanak.
Pensyarah Fakulti Farmasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Wan Iryani Wan Ismail berkata, isu ini telah membuka mata banyak pihak bermula daripada ibu bapa sehingga pihak kerajaan kerana menyedari bahaya yang bakal timbul daripada obesiti kepada individu dan masyarakat.
Menurut beliau, masalah obesiti atau kegemukan ini mampu untuk diatasi jika masyarakat menyedari puncanya dan seterusnya melatih kanak-kanak seawal di bangku sekolah untuk mengamalkan gaya hidup serta pengambilan makanan yang sihat.
"Antara faktor utama yang dikenal pasti menjadi penyumbang kepada masalah ini ialah pengambilan diet yang tidak seimbang seperti makanan yang tinggi kandungan lemak, garam dan gula serta rendah kandungan zat mineral, vitamin dan nutrisi penting untuk tubuh seperti vitamin A, D, C dan kalsium.
"Tidak dinafikan kebanyakan makanan seperti roti canai, nasi lemak dan makanan berkari mempunyai kandungan lemak, garam dan gula yang tinggi," katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.
Ujarnya, ini diburukkan lagi dengan pengambilan makanan seperti burger, kentang goreng, gula-gula dan sebagainya yang mempunyai kandungan lemak trans.
"Lemak trans yang biasanya terdapat dalam makanan yang diproses atau penggunaan minyak masak sama berulang kali mudah diperoleh melalui penyediaan makanan terutama makanan segera di mana proses berkenaan mampu mengubah struktur asal kimia lemak makanan daripada lemak cis yang mudah dihadam kepada lemak trans yang sukar diurai.
"Jadi, cubalah beralih kepada makanan-makanan yang segar dan direbus ataupun yang menggunakan proses wap atau steam serta makanan seperti bijirin dan yang mengandungi omega-3 seperti ikan," terangnya.
Tambah Wan Iryani, gula juga merupakan faktor penyumbang ke arah obesiti bahkan boleh menjurus kepada penyakit kencing manis atau diabetis.
"Selain gula, masyarakat di negara ini juga sinonim dengan penggunaan monoglutamate sodium(MSG) yang berleluasa di dalam makanan ringan, masakan restoran dan masakan harian yang turut boleh menyebabkan obesiti.
"Kandungan ion sodium yang tinggi akan menyukarkan proses perkumuhan dalam badan kerana ia akan mengurangkan kandungan air di dalam sel badan seterusnya menjejaskan hormon adeponektin yang penting bagi merangsang metabolisme lemak di dalam badan manusia.
"Perubahan hormon ini akan menjurus kepada obesiti," jelasnya.
Selain itu katanya, masalah obesiti ini berlaku disebabkan perubahan gaya hidup masyarakat kini seperti gaya kerja dan perubahan kemudahan infrastruktur yang semakin maju serta kurangnya aktiviti fizikal seharian.
"Masyarakat dulu, walaupun mengambil makanan yang tinggi kandungan lemak tetapi kadar penggunaan tenaga yang diperoleh daripada makanan tersebut adalah seimbang. Berbeza dengan masyarakat hari ini yang hanya duduk dan lebih menggunakan otak dalam kerja seharian mereka.
"Hal ini menyebabkan makanan yang berlebihan terutama lemak di dalam badan yang tidak ditukar ke pada tenaga akan disimpan di dalam sel lemak yang menyebabkan obesiti," jelasnya.
Terangnya lagi, faktor seterusnya adalah genetik di mana kanak-kanak boleh mewarisi bilangan sel yang banyak daripada generasi sebelumnya.
"Jadi tidak hairan jika ibu bapa yang obes biasanya akan melahir kan anak yang berpotensi tinggi untuk obes juga.
"Walau bagaimanapun, perkara ini boleh dielak jika gaya hidup dan pemakanan dapat dijaga dari peringkat awal lagi," katanya.
Wan Iryani memberitahu, masalah obesiti boleh diatasi dengan pengambilan ubat-ubatan tradisional dan moden, pembedahan (liposuction), mengamalkan diet yang seimbang hinggalah mengamalkan gaya hidup sihat seperti bersenam atau hanya sekadar mengemas rumah.
"Namun, pengguna perlu berhati-hati dalam pengambilannya kerana ubat-ubatan moden sekarang ini mempunyai kesan sampingan yang boleh merangsang pembentukan lemak yang berlebihan dengan mengganggu fungsi normal hormon badan.
"Terdapat juga beberapa pendekatan baru yang telah diperkenalkan dalam mengatasi obesiti seperti rawatan akupuntur dan mengamalkan pergerakan yoga," jelasnya.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
