Jumaat, 24 Jun 2011

ISU ANTARABANGSA : Mengenali budaya, adat resam

Peserta yang menyertai Program Pertukaran Pelajar Antarabudaya Melalui Keluarga Angkat anjuran AFS bergambar kenangan di Kampung Temenin Baru, Kota Tinggi, baru-baru ini.

Oleh FARIK SALLEH
editjohor@utusangroup.com.my

KOTA TINGGI 23 Jun - Keharmonian hidup rakyat negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum, budaya dan agama dikagumi pelajar luar negara yang mengikuti Program Pertukaran Pelajar Antarabudaya Melalui Keluarga Angkat anjuran Yayasan Antarabudaya Malaysia (AFS), baru-baru ini.

Kumpulan pelajar luar negara itu diberikan peluang tinggal bersama keluarga angkat selama tiga hari di Homestay Kampung Temenin Baru, dekat sini untuk melihat kehidupan rakyat Malaysia secara dekat.

Seorang pelajar Jerman, Elisabeth Klein, 17, mengakui program itu membolehkannya menikmati suasana kampung serta merasai makanan orang Melayu yang enak walaupun agak pedas.

"Saya seronok kerana penduduk di sini semuanya peramah dan menerima kehadiran saya dengan baik. Saya dapat melihat kehidupan penoreh getah dan bagaimana pokok getah ditoreh," katanya yang merupakan anak sulung daripada dua beradik yang telah 11 bulan menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Puteri, Ipoh, Perak.

Anak bongsu daripada tiga beradik dari Itali, Porru Veronica, 18, pula teruja kerana berpeluang menyertai program tersebut dan berharap dapat menyesuaikan diri serta belajar bahasa Melayu.

"Pelbagai makanan yang sedap disediakan oleh keluarga angkat dan saya gembira dapat mempelajari cara dan proses memasak lemang," katanya yang menyifatkan peluang seperti ini hadir hanya sekali seumur hidup dan belajar di SMK Chenderawasih, Kuantan, Pahang.

Bagi Melania Van Cauwenbergha, 18, dari Belgium, program itu membolehkannya berkenalan dengan lebih ramai rakan dari pelbagai negara selain mendalami kehidupan masyarakat Malaysia, khasnya di Johor.

"Dengan keramahan dan keprihatinan masyarakat di sini, saya dapat menyesuaikan diri dengan mudah," katanya bangga kerana kini mampu bertutur dalam bahasa Melayu dengan fasih dan kini menuntut di SMK Syed Hassan, Kangar, Perlis.

Nathalie Goetz, 18, pula mengakui keadaan di sini berbeza berbanding kampungnya di Jerman sambil menyifatkan pengalaman mandi menggunakan gayung merupakan kenangan yang tidak dapat dilupakan.

Dia yang belajar di SMK Taman Jasmin 2, Kajang, Selangor turut mengakui kemesraan dan layanan keluarga angkat yang baik membuatnya sedih apabila terpaksa berpisah pada akhir program tersebut.

Bapa angkatnya, Ab. Karim Ab. Ghani, 47, memberitahu, program seumpama itu sering diadakan di kampung tersebut dan mereka akan memberi layanan terbaik kepada anak angkat masing-masing.

"Ini adalah cara kami memperkenalkan Malaysia. Pelajar mahupun pelancong akan diajar selok-belok tinggal di kampung dan menikmati suasana berbeza dengan perumahan mereka di negara masing-masing," katanya.

Anak keduanya, Arrzalina, 23, pula berharap program pertukaran pelajar seperti itu dapat diteruskan pada masa akan datang kerana ia memberikan pelbagai manfaat kepada peserta dan keluarga angkat masing-masing.

"Program ini dapat mempromosikan keunikan kehidupan penduduk negara ini selain sebagai produk pelancongan dan dapat merapatkan lagi hubungan rakyat kedua-dua negara," katanya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

ISU BAHASA : Langkah perkasa bahasa Melayu

Mohd. Puad Zarkashi (kanan) mengucapkan tahniah kepada penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2010, Abu Bakar Buyong di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, semalam

Oleh MD. AZRIN ROSLY
pengarang@utusan.com.

KUALA LUMPUR 23 Jun - Penggunaan bahasa Melayu pada persidangan antarabangsa diharap dapat dilaksanakan tahun ini dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan itu.

Ia merupakan antara langkah yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan untuk memperkasakan bahasa Melayu, selain digunakan dalam surat-surat rasmi kerajaan, syarikat milik kerajaan (GLC) dan swasta.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, cadangan-cadangan itu akan dibawa kepada makluman Kabinet terlebih dahulu sebelum pekeliling mengenainya dapat dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"Tidak salah untuk menggunakan bahasa kebangsaan dalam persidangan antarabangsa termasuk dalam penyampaian ucaptama kerana penterjemah disediakan untuk para peserta.

"Kebanyakan wakil negara lain menggunakan bahasa kebangsaan sendiri ketika berucap seperti peserta China bercakap dalam bahasa Mandarin, peserta Asia Barat menggunakan bahasa Arab dan peserta Indonesia menggunakan bahasa Indonesia.

"Namun, apabila dalam perbincangan, dialog dan sebagainya, kita akan menggunakan bahasa Inggeris. Mesyuarat-mesyuarat dan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di peringkat tempatan juga diharap menggunakan bahasa kebangsaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan sambutan ulang tahun ke-55 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2010 di sini, hari ini.

Timbalan Menteri Pelajaran itu berkata, jika surat-menyurat melibatkan syarikat dari negara luar, bahasa Melayu digunakan dengan terjemahannya sekali.

Beliau menyeru GLC supaya mendukung usaha memartabatkan bahasa Melayu dengan menggunakannya semasa mesyuarat peringkat atasan mahupun bawahan.

"Kadangkala individu perseorangan tidak menggunakan bahasa kebangsaan walaupun dalam majlis yang menggunakan bahasa Melayu," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz berkata, pihaknya menyasarkan penglibatan bukan Melayu sebanyak 30 peratus dalam aktiviti melibatkan bahasa dan kesusasteraan.

"DBP mendapat kerjasama baik daripada persatuan dan Dewan Perniagaan Cina untuk memperkasakan bahasa kebangsaan menerusi penganjuran pelbagai aktiviti seperti pertandingan.

"Kami juga ada membantu 61 sekolah menengah persendirian Cina bagi memperkasakan guru bahasa Melayu.

"Harapan kami, bahasa kebangsaan diperkasakan dalam semua peringkat kerana ia menunjukkan jati diri sesuatu bangsa," katanya.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Khamis, 23 Jun 2011

ISU ALAM SEKITAR : Pelan pengurusan bencana strategik mampu elak risiko

Oleh Hasliza Hassan

JIKA takut bermain ombak jangan berumah di tepi pantai. Jika takut tanah runtuh, jangan berumah di lereng bukit. Tetapi jika itu memang sudah jadi kediaman sejak dulu atau hanya tanah di lereng bukit yang ada untuk didirikan bangunan, apakah kita ada pilihan.

Adakah mereka yang sekian lama tinggal berdekatan lereng bukit perlu mengambil tindakan drastik untuk berpindah bagi mengelak bencana tanah runtuh. Bagaimana pula yang tinggal di kawasan banjir, adakah mereka juga perlu mencari rumah di kawasan lain jika tidak mahu berdepan dengan banjir?

Andainya mereka ingin terus tinggal di kediaman sedia ada, adakah ini bermakna mereka perlu berdepan dengan risiko kemalangan dan jika berlaku tragedi, siapa perlu dipertanggungjawabkan.

Yang pasti, apabila berlaku bencana alam tiada siapa akan mengaku itu tanggungjawab mereka. Lebih-lebih lagi yang membabitkan kehilangan nyawa. Sebaliknya berlakulah drama tuduh menuduh atau tuding-menuding.

Terbaru ialah tragedi tanah runtuh di Hulu Langat yang mengorbankan 16 nyawa. Nampaknya, isu itu pun sudah sejuk atau terus ditangani pihak tertentu tanpa publisiti besar-besaran.

Kejadian tanah runtuh yang berlaku memperlihatkan sikap ‘gempar, kesal, prihatin dan simpati’ yang bersifat sementara kerana keadaan akan kembali ‘reda’ selepas beberapa ketika dan hanya hangat apabila berlaku lagi tragedi menggemparkan.

Presiden Pertubuhan Perancang Malaysia, Prof Dr Alias Abdullah, berkata negara memerlukan pelan pengurusan bencana yang strategik untuk menangani isu membabitkan keselamatan rakyat, selain meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap pengurusan risiko.

Katanya, dalam keadaan sekarang adalah sukar untuk meminta pemilik rumah atau premis terletak di kawasan berisiko berpindah terutama apabila tiada tempat lain hendak dituju.

“Masyarakat sendiri akan berdegil, khususnya pemilik tanah dan rumah. Pastinya mereka tidak mahu berpindah kerana sudah lama menetap di situ. Tetapi kita tidak boleh salahkan mereka kerana itulah saja harta mereka ada.

“Lagipun, pemberian tanah zaman dulu tidak terancang dan tanah status pertanian memang dibenarkan dibina rumah separuh kekal. Sebab itu kita lihat rumah dibina tidak mempunyai pelan. Jika dari dulu mereka tinggal di situ, tiba-tiba disuruh pindah, ke mana mereka hendak pergi,” katanya.

Bagaimanapun katanya, masih ada cara bagi mengurangkan risiko serta membantu mereka yang tinggal di kawasan terdedah kepada bencana alam memastikan keselamatan terjamin.

Katanya, pihak berkuasa negeri dan pihak berkuasa tempatan perlu menyediakan satu pelan kawasan penempatan merangkumi lokasi penempatan lama, baru serta mengenal pasti kawasan berisiko terhadap bencana alam dengan mengkategorikannya mengikut kelas risiko seperti A untuk kawasan berisiko tinggi terhadap tanah runtuh, banjir, tanah mendap atau bencana alam lain sementara B untuk berisiko sederhana dan seterusnya.

Pada peringkat Persekutuan pula, perlu ada kerangka lebih besar bagaimana hendak menukar kawasan penempatan berisiko sedia ada kepada keadaan lebih baik, selain pelan strategik dirangka dengan jelas supaya risiko dapat dikurang atau dielakkan pada masa depan.

“Kawasan yang dikenal pasti sebagai kawasan berisiko, kita kena maklumkan kepada penduduk supaya mereka lebih berhati-hati. Tidak boleh beritahu kawasan ini berisiko dan awak kena pindah. Hendak pindah ke mana, siapa hendak beri tanah?,” katanya.

Katanya, pihak berkuasa tempatan perlu bekerja lebih jika tidak mahu kejadian tidak diingini berlaku kerana mereka tidak boleh pergi dan tengok tanpa melakukan usaha pencegahan atau penambahbaikan.

Dr Alias berkata, masyarakat juga perlu sentiasa peka dengan persekitaran premis mereka dan jika berlaku perubahan hendaklah memaklumkan kepada pihak berkuasa supaya tindakan segera diambil.

Katanya, pihak berkuasa tempatan juga perlu mengambil langkah proaktif untuk memantau kawasan sedia ada yang terdedah kepada risiko bencana alam seperti banjir, tanah runtuh, pokok tumbang atau bencana lain.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Sinaran Dan Manusia Dalam Aktiviti Harian

KUALA LUMPUR: Sebaik saja kita mendengar perkataan “radioaktif”, secara automatik terlintas di fikiran bahawa radioaktif adalah bahan yang sangat berbahaya, tidak boleh didekati apatah lagi disentuh.

Ada yang mengatakan, barangkali radioaktif itu boleh meletup, menyebabkan kematian atau boleh menyebabkan seseorang individu itu terkena penyakit seperti kanser dan sebagainya. Itu persepsi umum masyarakat terhadap radioaktif.

Bukan itu sahaja, radioaktif turut dikaitkan dengan peristiwa-peristiwa hitam yang telah berlaku di seluruh dunia antaranya seperti letupan bom atom di Hiroshima, Jepun pada 6 Ogos, 1945; kemalangan loji kuasa nuklear di Chernobyl, Ukraine pada 26 April, 1986; dan terkini ialah peristiwa kebocoran radiasi di loji kuasa nuklear di Fukushima akibat gempa bumi dan bencana tsunami pada 11 Mac, 2011 lalu.

Peristiwa-peristiwa seperti ini menyebabkan masyarakat semakin berasa bimbang dan gusar kerana mereka beranggapan radioaktif adalah punca kepada segala-galanya iaitu kehilangan nyawa, kerosakan harta-benda, pencemaran terhadap alam sekitar dan mengidap penyakit berbahaya seperti kanser.

Sememangnya stigma masyarakat terhadap radioaktif sukar untuk diubah. Namun begitu, pada hakikatnya dan tanpa kita sedari, radioaktif sebenarnya wujud secara semulajadi di sekeliling kita yang mengeluarkan sinarannya secara semulajadi dan kita terdedah kepadanya dalam kehidupan kita seharian.

Umpamanya pendedahan sinaran dari tanah-tanih dan batu-batan yang kita duduki, dari angkasa seperti kosmik, bahkan kita turut memakannya melalui makanan dan minuman kita seharian seperti di dalam buah-buahan dan sayuran.

Tubuh badan kita sendiri mempunyai bahan radioaktif semulajadi seperti potassium-40 (K-40). Data UNSCEAR 2000 (United Nations Scientific Committee on the Effects of Atomic Radiation to the General Assembly) menyatakan purata dedahan dos sinaran semulajadi di sekeliling kita yang terdedah kepada kita setahun adalah sebanyak 2.4 milliSievert (mSv).

Malah di dalam semua tanah di dunia terdapat bahan radioaktif semulajadi (Naturally Occurring Radioactive Materials – NORM) terutamanya kandungan uranium-238 iaitu dalam julat 16 – 110 Becquerrel/kg[Bq/kg] (bersamaan 0.016 – 0.1 Bq/gm) dan kandungan thorium-232 dalam julat 11 – 64 Bq/kg (bersamaan 0.011 – 0.064 Bq/kg).

Di Malaysia, kandungan uranium dan thorium semulajadi ini adalah dalam julat 49 – 86 Bq/kg (bersamaan 0.049 – 0.086 Bq/gm) untuk uranium dan dalam julat 63 – 110 Bq/kg (bersamaan 0.063 – 0.1 Bq/g) untuk thorium.

Apa itu radioaktif?

Radioaktif atau sinaran yang terhasil daripada bahan radioaktif ialah satu bentuk tenaga yang dipancarkan oleh atom atau molekul yang disebarkan melalui ruang atau jirim sebagai partikel/zarah ataupun gelombang elektromagnet.

Sinaran mempunyai pelbagai istilah antaranya seperti gelombang cahaya, gelombang radio, sinar infra-red (haba), gelombang mikro dan sinar X.

Antara sinaran mengion yang wujud ialah zarah Alfa, zarah Beta, sinar Gamma, sinar X dan juga Neutron.

Bahan radioaktif ini terhasil melalui dua pendekatan iaitu ada bahan radioaktif semulajadi seperti uranium dan thorium dalam alam sekitar (tanah, pokok, air dan udara) dan yang satu lagi bahan radioaktif “buatan” manusia seperti Technitium-99m yang digunakan di dalam perubatan dan Iridium-192 yang digunakan di dalam industri termasuk penjanaan kuasa nuklear.

ISU LYNAS: Isu terkini yang melibatkan bahan radioaktif di Malaysia dan heboh diperdebatkan adalah mengenai projek Lynas. Secara ringkasnya, Lynas Malaysia Sdn Bhd ialah syarikat subsidiari milik penuh Lynas Corporation Ltd, Australia.

Perniagaannya berkaitan dengan pengeluaran serta penjualan nadir bumi.

Hasil dari pemprosesan nadir bumi sebenarnya digunakan oleh ratusan aplikasi industri contohnya bateri bagi komputer riba, telefon mudahalih serta kereta hibrid, tiub “cathode-rays” bagi monitor TV dan komputer, wayar “fibre-optic”, aplikasi aeroangkasa sehingga ke magnet bagi penghasilan tenaga dari sumber angin.

Syarikat Lynas di Kuantan dijangka dapat menghasilkan hampir 30% dari bekalan dunia (di luar China) apabila mula beroperasi kelak.

Pertikaian masyarakat mengenai “residue” yang mengandungi bahan radioaktif semulajadi (NORM – naturally occurring radioactive materials) yang dihasilkan.

Punca utama kebimbangan orang awam khususnya bagi masyarakat Pahang ialah Lynas bercadang untuk membawa masuk bijih Lathanid dari lombong Mount Weld di Australia Barat dan bijih tersebut akan diproses dan diekstrak di kawasan perindustrian Gebeng, Pahang.

Sisa sampingan yang bakal dihasilkan daripada proses pengesktrakan nadir bumi itu menyebabkan orang awam mempertikaikan ketelusan kerajaan dan agensi-agensi yang terlibat dalam menjamin keselamatan rakyat.

Malah, isu ini telah digembar-gemburkan oleh segelintir pihak yang sebenarnya bermotifkan politik semata-mata.

Apa yang dikesalkan, orang awam menjadi mangsa keadaan kerana mereka telah dihidangkan dengan maklumat yang mengelirukan sehingga menyebabkan mereka berfikir bahawa pemprosesan rare earth atau nadir bumi oleh Lynas adalah sama dengan pemprosesan syarikat Asian Rare Earth (ARE) dan peristiwa yang berlaku di syarikat Asian Rare Earth pada awal tahun 80’an yang lalu akan berulang.

Kerajaan Malaysia telah mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kejadian ARE berulang. Pelbagai agensi kerajaan, antaranya Jabatan Alam Sekitar, Lembaga Pelesenan Tenaga Atom dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan dan kesihatan rakyat terjamin serta mutu alam sekitar sentiasa berada dalam keadaan baik dan terpelihara.

Orang awam mempersoalkan kredibiliti agensi-agensi bertanggungjawab yang terlibat antaranya tindakan AELB dalam mengeluarkan lesen serta sejauh mana ketelusan panel pakar bebas yang dijemput dalam memberi keputusan berhubung projek Lynas ini.

Sebenarnya dalam projek melibatkan pengilangan bahan radioaktif, kelulusan pembinaan akan diberi tetapi pemberian lesen operasi hanya akan diberi selepas syarikat Lynas mematuhi kesemua langkah serta syarat keselamatan yang telah dinyatakan dalam lesen dan juga dokumen Program Perlindungan Sinaran yang dibangunkan oleh syarikat berdasarkan keperluan yang termaktub dalam Akta 304 dan peraturan-peraturan subsidiarinya.

Malah, kerajaan juga telah menjemput panel pakar bebas antarabangsa dari negara yang tidak mempunyai kepentingan dengan projek Lynas ini bagi menjalankan kajian semula dari aspek kesihatan dan keselamatan. Ini membuktikan bahawa kerajaan Malaysia benar-benar telus dalam proses membuat keputusannya.

Sejauh manakah tahap selamat yang diwar-warkan itu adalah selamat?

Berdasarkan fakta serta analisis sampel-sampel yang telah dibuat oleh agensi-agensi yang bertanggunjawab, residue yang akan dihasilkan oleh projek Lynas adalah rendah iaitu 0.165% kandungan thorium [bersamaan dengan 1650 bahagian per juta [parts per million, (ppm)] iaitu bersamaan dengan 6.7 Becquerrel per gram[Bq/g] (atau 6500 Bq/kg). Ia 60 kali lebih rendah berbanding projek Asian Rare Earth yang mengandungi 10% kandungan thorium iaitu sebanyak100,000 ppm (bersamaan dengan 406 Bq/g (atau 406,000 Bq/kg).

Kandungan thorium yang terdapat dalam residue Lynas, iaitu Water Leach Purification (WLP), menghasilkan dedahan sinaran sebanyak 0.002 mSv/tahun yang jauh lebih rendah dengan dedahan yang sepatutnya terdedah kepada orang awam sebanyak 1 mSv/tahun.

Sehubungan dengan itu, penduduk setempat khususnya yang tinggal di kawasan berhampiran kilang tersebut tidak perlu risau kerana projek itu tidak meninggalkan kesan kesihatan kepada mereka.

Tahap dedahan dos sinaran untuk orang awam adalah sebanyak 1 mSv/tahun atau 0.50 microSievert/jam (uSv/j).

Berdasarkan pemantauan dan kajian, orang awam yang tinggal di sekitar kawasan projek Lynas antaranya seperti di daerah Balok, Beserah, Sungai Ular dan Sungai Karang tidak perlu khuatir waima berasa bimbang kerana anggaran dos dedahan yang bakal diterima adalah sebanyak 0.002 mSv/tahun.

Malah, kajian yang dilaksanakan oleh badan bebas berkelayakan menunjukkan kadar dos dedahan maksimum yang dapat diukur di sekitar Kuantan ialah lebih 0.00012 milliSievert/jam saja (1000 microSievert = 1 milliSievert).

Kadar dos dedahan ini adalah jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan kadar dos dedahan yang diterima sewaktu menjalani pemeriksaan CT Scan dan juga X-Ray dimana dos dedahan yang diterima sewaktu membuat CT Scan adalah sebanyak 6.9 mSv/dedahan iaitu bersamaan 41.4 mSv/jam (data dari Japan Atomic Industry Forum, JAIF) manakala sinar-X untuk dada (chest X-ray) pula ialah 0.5 mSv/dedahan iaitu bersamaan dengan 18,000 mSv/jam (UNSCEAR, 2000).

Bukan itu sahaja, lantai marmar yang kita pijak, cawan atau pinggan porselin yang kita guna, tanah yang anak-anak kita bermain, batu yang dipakai untuk membuat rumah dan pejabat sebenarnya mengandungi bahan-bahan yang mempunyai unsur-unsur radioaktif seperti thorium, uranium dan lain-lain lagi.

Tetapi, unsur-unsur tersebut hanya menyumbang kepada dos yang sangat rendah dan tidak menyebabkan ancaman terhadap kesihatan manusia.

Antara contoh penggunaan harian yang melibatkan kadar dos dedahan yang agak tinggi adalah seperti berikut: Pinggan Porselin 0.000323 mSv/j (bahan kadar dos dedahan sejam)

Gelas 0.000227 mSv/j

Loket rantai yang diperbuat daripada gunung berapi (pendant) 0.002128 mSv/j

Tanah 0.000227 mSv/j

Pasir 0.000161 mSv/j

Batu-Bata Simen 0.000257 mSv/j

Batu Bata Merah 0.000239 mSv/j (Sumber: Lembaga Pelesenan Tenaga Atom Malaysia)

Kegunaan Sinaran: Sinaran sebenarnya banyak digunakan dalam industri perubatan di mana sinar Gamma dari kobalt-60 digunakan untuk membunuh sel-sel barah dalam rawatan radioterapi dan digunakan juga untuk membunuh kuman dalam proses pensterilan alat perubatan seperti termometer, jarum dan picagari suntikan, alat pembedahan dan sebagainya. Sinaran radioaktif daripada radioisotop turut digunakan untuk membunuh serangga perosak. Sinaran juga digunakan dalam sistem pengawalan ketebalan secara automatik dalam pembuatan kertas, kepingan plastik dan kepingan logam. Dalam industri pembungkusan makanan dan minuman, teknologi sinaran dimanfaatkan bagi tujuan pengukuran kandungan yang tepat dan pengesanan bendasing yang boleh memudaratkan kita.

Pek atau tin yang mengandungi sebarang bendasing atau mempunyai kandungan kurang daripada yang ditetapkan akan secara spontan disingkirkan. Imbasan sinar-x turut mampu mengesan sebarang ketidakseragaman pada susunan lilitan keluli radial di tayar kenderaan yang tidak kelihatan pada mata kasar.

Di Malaysia, Lynas (M) Sdn Bhd bukanlah satu-satunya syarikat yang menjalankan aktiviti pemprosesan mineral. Antara syarikat lain yang menjalankan aktiviti tersebut ialah Petronas Carigali (M) Sdn Bhd, TOR Mineral (M) Sdn Bhd, Tioxide Hunstman (M) Sdn Bhd dan Samsung Corning (M) Sdn Bhd.

Selain Malaysia, aktiviti pemprosesan nadir bumi turut dijalankan di Afrika, India, Kanada, Vietnam, China dan Brazil.

Justeru, adalah tidak adil sekiranya sinaran dikatakan mendatangkan bahaya sahaja. Hakikatnya sinaran telah membawa banyak faedah kepada manusia terutamanya dalam rawatan dan diagnostik ke atas penyakit kanser. - BERNAMA

Nota Hujung :

Ada beberapa persoalan yang pada pandangan penulis, perlu diperjelas dengan lebih terperinci, antaranya :

i. Mengapa Syarikat Lynas tidak mendirikan Loji Pemprosesan Nadir Bumi di negara mereka sendiri (Australia)? Mungkinkah hal ini berpunca daripada kesan jangka panjang (bahaya yang mungkin timbul) daripada operasi loji tersebut yang menyebabkan Kerajaan Australia sendiri atau masyarakat negara tersebut menentang pembinaan loji berkenaan di negara mereka.

ii. Penutupan Loji Nuklear di negara-negara maju seperti langkah yang diambil oleh negara German yang mengisytiharkan penutupan loji-loji nuklear negara berkenaan sepenuhnya menjelang 2020 tentu mempunyai rasional tersendiri, yang harus kita renungkan, justeru sebelum bencana lebih besar melanda negara kita, maka operasi Syarikat Lynas ini perlu difikirkan semula pelaksanaannya di negara kita.

Selasa, 21 Jun 2011

ISU SOSIAL : Memahami perbezaan demi perpaduan

Oleh Teo Kok Seong

Kepentingan pengetahuan antara budaya patut jadi asas fahami kaum

TIDAK dapat dinafikan bahawa keutuhan perpaduan kaum di negara ini sudah banyak merosot. Daripada sikap yang mudah memperlihat tolak ansur pada satu ketika dulu, kini ia sudah meruncing kepada tahap saling mencurigai antara satu sama lain. Keadaan tidak sihat ini antaranya sudah menular kepada pemikiran bahawa kejayaan serta keuntungan yang diraih oleh sesuatu kaum itu, dianggap sebagai kegagalan dan kerugian yang ditanggung oleh kaum lain.

Beberapa sebab boleh diajukan untuk menerangkan hubungan antara etnik yang bertambah buruk ini. Antaranya adalah pengasingan etnik yang berlaku dan digalakkan pula pada usia yang muda melalui sistem persekolahan pelbagai aliran. Kurangnya apresiasi terhadap kepelbagaian, sama ada etnik, budaya atau agama adalah sebab utama lain yang tidak kurang pentingnya.

Dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, perpaduan kaum tidak mungkin berjaya dicapai sepenuhnya melalui dominasi hanya sesuatu ideologi. Ia sebetulnya amat memerlukan persefahaman menyaling, penghormatan ikhlas dan penghargaan jujur oleh satu kaum terhadap yang lain. Selain ini, ia juga sangat bergantung kepada kewujudan beberapa institusi yang kukuh, misalnya keluarga dan agama yang didukung setiap kaum.

Sebaliknya, ekstremisme etnik dan fanatisisme agama selain tiadanya toleransi budaya, bukan saja boleh membawa mudarat besar kepada usaha penyatupaduan kaum di negara ini. Tetapi ia juga boleh meranapkan hubungan etnik yang terbina sehingga ini.

Untuk mengatasi masalah perpaduan kaum yang meruncing ini, kita perlu antaranya mempertingkat pemahaman kita mengenai budaya kaum lain, khususnya dari perspektif pandangan mengenai kehidupan oleh sesuatu kaum itu. Pendekatan begini adalah baik kerana menerusi perspektif pandangan ini, kita sebetulnya dapat mengetahui cara sesuatu kaum itu memahami pelbagai peristiwa duniawi, khususnya mengenai kehidupan. Dengan ini, falsafah dan konsep kehidupan yang dipegang oleh sesuatu kaum itu dapat kita fahami dengan lebih baik.

Pengetahuan antara budaya ini, yakni usaha mengenali cara hidup mereka yang berasal daripada latar, pegangan dan pemahaman yang berbeza daripada kita, adalah prasyarat untuk interaksi antara satu sama lain yang berkesan dalam masyarakat majmuk. Dengan adanya pengetahuan sebegini, selain mendedahkan teori, prinsip dan dinamika pelbagai budaya, ia juga boleh mempermudah kita daripada pelbagai kaum ini untuk bergaul antara satu sama lain dengan lebih selesa, selain bermakna lagi.

Dengan pengetahuan ini, banyak masalah pemahaman mengenai kaum lain boleh diatasi. Ini antaranya dapat dilakukan melalui dorongan, pengetahuan dan apresiasi kita terhadap kepelbagaian budaya dalam negara ini. Sesungguhnya budaya mempunyai impak besar dalam kehidupan manusia. Oleh itu, ia mempunyai pengaruh kuat terhadap kepercayaan, nilai dan pandangan kita mengenai kehidupan.

Pengaruh budaya ini, sama ada terhadap budaya sendiri atau terhadap budaya kaum lain didapati sentiasa terpancar pada pertuturan dan tingkah laku. Semoga dengan mengetahui budaya kaum lain, rakyat Malaysia akan lebih senang lagi menerima cara hidup kaum lain sebagai keunikan, seperti yang disarankan dalam Gagasan 1Malaysia. Penerimaan ini diharapkan akan membawa kepada filsafat yang cuba disampaikan peribahasa ‘tak kenal maka tak cinta’, iaitu kita akan lebih mudah menerima sesuatu itu selepas kita mula mengenalinya.

Dalam nada lebih serius, sebetulnya dengan mengetahui budaya kaum lain, banyak buruk sangka, konsep yang salah, stereotaip, sikap perkauman, etnosentrisme dan kejutan budaya dapat diatasi. Ini antara lain adalah kerana kita lebih memahami cara hidup kaum lain melalui pengetahuan antara budaya yang diperoleh itu.

Sesungguhnya dengan adanya pengetahuan antara budaya ini, interaksi kita khususnya dengan kaum lain, bukan saja akan menjadi lebih mudah, tetapi yang penting lagi ialah ia akan menjadi lebih ikhlas. Dengan mengenali budaya kaum lain dengan lebih dekat, kita sebetulnya menemui lebih banyak persamaan daripada perbezaan antara kita.

Sehubungan ini, kesan pengetahuan mengenai budaya, iaitu terhadap semua unsur penting dalamnya adalah besar sekali. Budaya mempunyai pengaruh kuat ke atas kepercayaan, nilai dan pandangan kita terhadap kehidupan. Pengaruh kuat ini sebetulnya dapat dilihat pada tingkah laku dan pertuturan kita yang didapati akan kurang atau tidak lagi bersifat prasangka dan perkauman terhadap kaum lain selepas kita mengenali budaya kaum lain.

Untuk perpaduan kaum benar-benar wujud di Malaysia, kita perlu memahami satu sama lain. Ini hanya dapat dilakukan dengan mengenali budaya kaum lain. Inilah satu-satunya cara untuk berfungsi dengan baik dalam sebuah masyarakat majmuk seperti Malaysia.

Sehubungan ini, dalam konteks kebudayaan kebangsaan, pengetahuan antara budaya ini perlu mengambil kira budaya Melayu sebagai budaya dominan. Oleh itu, ia perlu dijadikan rujukan utama ketika rakyat Malaysia mengenali pelbagai budaya lain yang merupakan budaya bersama dalam kebudayaan kebangsaan.

Penulis ialah Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu UKM

Sumber : http : //www.bharian.com/

Isnin, 20 Jun 2011

ISU BAHASA : Pentingnya budaya merujuk pakar

Oleh : Ridhuan Tee Abdullah

Saya berasa pelik kenapa kerajaan masih mahu melayan tuntutan kumpulan yang terlal minoriti seperti The Parent Action Group for Education Malaysia (PAGE) yang mahu kembali semula kepada Pengajaran Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Jika itu kemahuan mereka, biarlah mereka yang buat, kita lihat sejauh mana hebatnya mereka mahu mengubah sistem pelajaran, bukan memperbaiki penguasaan bahasa Inggeris mengikut pandangan pakar.

Pertubuhan ini nampaknya begitu agresif bersama pertubuhan bukan Melayu yang lain, mahukan PPSMI dikembalikan semula. Pertubuhan ini tidaklah terlalu berpengaruh. Saya yakin ahli-ahlinya hanya ada sekelumit, tetapi mungkin kabel mereka agak besar. Mereka berhujah menggunakan pendapat segelintir ibu bapa dan bukan Melayu yang memang mahu melihat bahasa Melayu terkubur serta respons yang diperoleh melalui perbahasan dalam talian internet.

Ingin saya bertanya pimpinan mereka ini mengkhusus dalam bidang apa? Jika berada di luar bidang kepakaran, lebih baik senyap dahulu. Jangan ikut pandai sendiri sahaja, sedangkan kelulusan tidak seberapa. Jika sakit pergilah berjumpa doktor perubatan, jangan jumpa doktor falsafah atau jurutera. Begitulah pentingnya budaya merujuk pakar, supaya mendapat input yang betul.

Tidak ada seorang pun yang menolak akan kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa dunia. Persoalan pokok adalah, janganlah sampai merubah sistem. Jika bahasa itu yang lemah, maka perbaikilah bahasa tersebut seperti cuba dilakukan Kementerian Pelajaran hari ini, bukan dengan mengorbankan identiti dan jati diri.

Kementerian Pelajaran sedang bertungkus lumus untuk memperhebatkan penggunaan bahasa Inggeris dalam pelbagai aspek. Biarlah pakar-pakar yang menentukan dan menanganinya. Siapakah kita jika dibandingkan dengan pakar-pakar bahasa?

Hormatilah budaya merujuk pakar. Sama juga dengan isu novel Interlok. Majoriti pakar bahasa dan sasterawan mengatakan bahawa isi kandungan novel tersebut sebenarnya tiada masalah langsung. Kenapa kita seperti cacing kepanasan kalau bukan kerana ada udang di sebalik batu?

Namun, setelah dipinda pun, masih ramai yang tidak berpuas hati. Kenapa? Jawapannya mudah, kumpulan ultra kiasu ini ada agenda lain. Komuniti besar kepala ini merasakan diri mereka telah kuat melalui keputusan pilihan raya umum 2008. Kerjanya tidak ada lain, ugut, desak dan tuntut. Saya yakin mereka tidak akan berani angkat kepala sedikit pun jika umat Islam bersatu atau keputusan pilihan raya 2008 tidak ‘menyebelahi’ mereka.

Kalau tidak percaya, bacalah laman-laman web ultra kiasu. Bacalah komen-komen negatif mereka. Saya syorkan Kementerian Dalam Negeri mengambil inisiatif menterjemahkan akhbar, majalah dan buku-buku karangan pengarang bukan Melayu terpilih, kita lihat berapa banyak pujian dilontarkan kepada bangsa Melayu, negara Malaysia dan 1Malaysia. Kita lihat siapakah yang paling banyak menabur racun. Sekurang-kurang novel Interlok berani berterus terang menceritakan realiti sebenar masyarakat berbilang kaum di negara ini, daripada lempar batu sembunyi tangan.

Sebenarnya, kita amat memerlukan ramai rakyat Malaysia seperti ini. Bukannya, mereka yang akan mencari seribu satu alasan untuk mematahkan apa jua idea baik yang dikemukakan. Hari ini, mereka menggunakan gagasan 1Malaysia sebagai hujah utama jika tidak berpuas hati. Misalnya, terbaru, pertubuhan Kristian terus mencabar Kementerian Dalam Negeri, berkaitan isu-isu sensitif seperti alkitab dalam bahasa Melayu, kalimah Allah dan sebagainya.

Kenapa perkara ini perlu diperbesarkan sedangkan populasi mereka hanya di sekitar di bawah 10 peratus? Jawapannya juga mudah, mereka ada agenda lain. Kita yang terlalu bersangka baik dan terlalu menjaga hati mereka untuk mendapatkan undi. Sedangkan belum tentu mereka mengundi kita. Tidak cukupkah lagi kebebasan beragama yang diamalkan di negara kita?

Gagasan 1Malaysia bukan bermakna memadamkan semua unsur Melayu dan Islam sehingga menjadikan ia sama rata dan sama rasa. Bayangkan jika tidak diperkenalkan gagasan 1Malaysia, apakah kita yakin mereka tidak akan mencari apa jua hujah untuk mematahkan hujah-hujah kita. Kadangkala terfikir juga saya apakah gagasan ini satu kesilapan kerana ramai sangat orang yang memperalatkannya?

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU BAHASA : Di mana letaknya kedudukan bahasa Melayu?


Oleh ROHAMI SHAFIE

MESKIPUN isu bahasa Melayu sudah lama diperkatakan, namun setakat ini tiada perubahan drastik yang boleh dilihat bagi memartabatkan bahasa rasmi Malaysia di buminya sendiri.

Bahasa Melayu layu di tanah air sendiri. Layu umpama menanti rebah ke bumi. Pengalaman penulis ketika berada di Kuala Lumpur baru-baru ini, menggambarkan bahawa Bahasa Melayu dipinggirkan oleh rakyat Malaysia sendiri.

Ketika penulis tercari-cari jalan menuju ke sebuah kilang di Petaling Jaya, penulis berhenti sejenak untuk bertanya laluan ke kilang tersebut di salah sebuah kilang automatif.

Penulis menemui tiga orang pekerja rakyat Malaysia di kilang tersebut dan bertanyakan soalan dalam bahasa Melayu. Setiap kali penulis bertanya dalam bahasa Melayu, dibalas oleh mereka dalam bahasa Inggeris.

Sebanyak tiga kali penulis bertanya kepada mereka sehinggakan penulis beranggapan betapa rendahnya martabat bahasa Melayu di hati pekerja-pekerja kilang tersebut. Walhal, mereka sememangnya memahami soalan penulis. Jika tidak mana mungkin mereka mampu menjawab dengan baik apa yang ditanya oleh penulis.

Itu kejadian pertama. Kejadian kedua berlaku kepada bekas-bekas pelajar penulis. Ramai antara mereka bercita-cita untuk bekerja di syarikat multinasional antarabangsa. Ada antara mereka dipanggil temu duga.

Sungguh memeranjatkan, terdapat syarikat minyak antarabangsa yang mengenakan syarat mahir berbahasa Mandarin untuk diambil bekerja. Sudahlah hanya segelintir orang Melayu dipanggil temu duga berbanding bukan Melayu, syarat berbahasa Mandarin pula disebut ketika ditemu duga.

Kalau begitu, lebih baik tidak dipanggil temu duga langsung. Buang masa sahaja! Adakah memanggil orang Melayu untuk ditemu duga hanya untuk memenuhi syarat kononnya tiada berlaku diskriminasi kaum? Syarat sebegini wajib dihapuskan.

Pernahkah kita mendengar syarikat-syarikat Jepun yang beroperasi di Malaysia mengenakan syarat bahasa Jepun untuk mengambil pekerja Malaysia bekerja dengan mereka?

Mohon pihak berkuasa dan barisan kabinet buatlah sesuatu agar lebih ramai orang Melayu dan bumiputera bekerja di syarikat-syarikat multinasional tanpa adanya syarat mahir berbahasa Mandarin.

Kalau tidak, orang Melayu dan bumiputera hanya bekerja di jabatan-jabatan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Bagi penulis perkara ini amat memalukan.

Kita cuba lihat di negara-negara lain seperti Perancis dan Jepun, hatta jiran kita Indonesia dan Thailand, rata-rata keseluruhan rakyat mereka menggunakan bahasa kebangsaan dalam urusan peribadi dan rasmi.

Penulis ingin memberi dua contoh bagaimana rakyat mereka berbangga dengan bahasa mereka sendiri. Cuba kita bercakap dalam bahasa Inggeris ketika mula-mula menjejaki bumi Perancis.

Percayalah, mereka tidak akan layan kita. Mereka akan layan sehinggalah kita bercakap dalam bahasa Melayu atau bahasa selain bahasa Inggeris, barulah mereka mula bercakap dalam bahasa Ingeris. Sebenarnya mereka mengharapkan kita bercakap dalam Bahasa Perancis.

Itu kes pertama, kes kedua berlaku sendiri pada rakan penulis ketika belajar di United Kingdom. Wajah rakan penulis ini ada iras-iras orang Jepun, maka, selalu sahaja berlaku kejadian orang Jepun memarahi beliau.

Puncanya kerana menyangkakan beliau merupakan orang Jepun, maka soalan-soalan yang diajukan kepada beliau dalam bahasa Jepun. Apabila setiap kali beliau menjawab dalam bahasa Inggeris dengan menyatakan bahawa beliau tidak memahami bahasa Jepun, orang Jepun ini memarahinya dalam bahasa Inggeris bahawa beliau sudah lupa daratan kerana tidak mahu bercakap dalam bahasa Jepun!

Perancis dan Jepun adalah dua bangsa yang jauh maju ke hadapan berbanding Malaysia tetapi di hati mereka hanyalah bahasa kebangsaan mereka. Kita pula masih tercari-cari rentak untuk bergelar negara maju, tetapi sudah mula lupa diri.

Apakah akan terjadi pada tahun 2020 nanti? Adakah ketika itu bahasa Melayu hanya sesuai menjadi tatapan generasi 2020 sebagai salah satu lipatan sejarah di Muzium Negara?

Malaysia tidak akan menjadi negara maju dan mapan jika rakyatnya sendiri tidak mempunyai jati diri mempertahankan kekuatan yang ada. Bahasa Melayu adalah salah satu kekuatan yang wajib dipertahankan. Paling penting bahasa Melayu wajib dimartabatkan sehingga seluruh Malaysia menggunakannya tanpa rasa segan dan silu.

Mengambil iktibar seorang profesor rakyat Malaysia yang bukan berbangsa Melayu, bekerja di luar negara berpuluh-puluh tahun lamanya tetapi masih berbicara dalam bahasa Melayu dengan fasihnya apabila berada di sini.

Kita yang menetap di Malaysia janganlah sesekali merendahkan bahasa kebangsaan kita sendiri. Tiada gunanya bahasa Melayu dinyatakan dengan jelas dalam Perlembagaan sebagai bahasa kebangsaan tetapi pengisiannya tidak langsung menggambarkan ia sebagai bahasa teras rakyat Malaysia.

Pendekatan menyeluruh perlu dilaksanakan. Sebagai permulaan, penulis mencadangkan agar bahasa Melayu diamalkan dan dimartabatkan dalam segala program transformasi kerajaan (Program Transformasi Kerajaan, Model Baru Ekonomi dan Program Transformasi Ekonomi) dan selepas itu diperluaskan dalam segala urusan kehidupan rakyat Malaysia.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia

Sumber : http : //www.utusan.com.my/