Isnin, 4 Julai 2011

ISU KENEGARAAN : Kebebasan mengeluarkan fikiran

oleh Syahredzan Johan

Sebagai rakyat Malaysia, kita mempunyai kebebasan dan hak yang dijamin Perlembagaan. Hak ini secara amnya terkandung di dalam Bahagian II Perlembagaan Persekutuan dan merangkumi pelbagai aspek seperti kesamarataan, kebebasan beragama, berhimpun, berpersatuan dan bergerak.

Menurut Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan, tiap-tiap warganegara berhak bebas bercakap dan mengeluarkan fikiran (ekspresi). Kebebasan ini bukan setakat memberi hak untuk anda memberikan pandangan dan pendapat, tetapi juga merangkumi apa-apa cara anda mengeluarkan fikiran anda. Sekiranya anda menari dan menyanyi, anda mengeluarkan fikiran.

Sekiranya anda mendeklamasi sajak, anda mengeluarkan fikiran. Cara anda berpakaian, warna yang anda pilih, baju yang anda pakai semuanya merupakan amalan pengeluaran fikiran yang termaktub sebagai kebebasan asasi di bawah Perlembagaan.

Adakah kebebasan ini mutlak? Sudah tentu tidak. Perkara 10(2)(a) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Parlimen boleh melalui undang-undang mengenakan sekatan ke atas kebebasan bersuara dan mengeluarkan fikiran apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, hubungan baik dengan negara-negara lain, ketenteraman awam atau prinsip moral dan sekatan-sekatan yang bertujuan untuk melindungi keistimewaan Parlimen atau mana-mana Dewan Undangan atau untuk membuat peruntukan menentang penghinaan mahkamah, fitnah, atau perbuatan mengapi-apikan sesuatu kesalahan. Maka sememangnya kebebasan ini boleh disekat.

Tetapi, sekatan itu haruslah melalui undang-undang. Maknanya, harus terdapat undang-undang sedia ada untuk menjadi asas bagi menyekat kebebasan tersebut. Tanpa apa-apa undang-undang terpakai, mana-mana pihak tidak boleh secara sewenang-wenangnya menyekat kebebasan bersuara dan mengeluarkan fikiran. Tanpa asas undang-undang, apa-apa tindakan mana-mana pihak adalah tidak berperlembagaan.

Di samping itu, tidak lama dahulu, Mahkamah Persekutuan, Mahkamah tertinggi negara, juga telah memutuskan bahawa kebebasan-kebebasan asasi yang termaktub di dalam Perlembagaan harus diberi makna dengan luas manakala peruntukan yang mengehadkan atau menyekat kebebasan pula harus diberi makna yang sempit dan terhad. Di dalam konteks kebebasan bercakap dan mengeluarkan fikiran, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa perkataan berpatutan (atau dalam bahasa Inggeris, ‘reasonable’) harus dibaca ke dalam peruntukan yang membenarkan sekatan.

Maka, apa-apa sekatan yang dikenakan melalui undang-undang haruslah berpatutan. Adakah sekatan ke atas hak itu suatu keperluan berpatutan dan wajar demi mencapai salah satu matlamat yang digariskan di dalam Perlembagaan? Interpretasi ini telah memberi dimensi baru kepada sekatan-sekatan yang dibenarkan oleh Perlembagaan. Sekatan yang dikenakan harus diukur dengan kayu ukur ‘berpatutan’.

Di samping itu, Mahkamah juga telah memutuskan bahawa apa-apa tindakan yang dikenakan untuk menyekat sesuatu kebebasan haruslah juga berkadaran (‘proportionate’) dengan matlamat sah yang mahu dicapai. Apa maksudnya berkadaran? Maknanya, jika mengupas kacang, janganlah menggunakan tukul besi. Ianya bukanlah sekadar jika cara berpakaian dihalang demi menjaga ketenteraman awam, misalnya. Mahkamah berhak membatalkan tindakan- tindakan yang tidak berkadaran dengan matlamat yang ingin dicapai.

Kita harus sentiasa ingat akan prinsip asas konsep keperlembagaan, iaitu hak kita termaktub dan dijamin Perlembagaan dan hanya boleh disekat oleh peruntukan-peruntukan terhad di dalam Perlembagaan.

Hak kita datangnya dan dijamin oleh Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara, dan bukannya hanya apabila dibenarkan oleh mana-mana institusi atau individu. Apa-apa tindakan yang diambil yang tidak mengikut undang-undang, bukan merupakan sekatan yang berpatutan atau wajar atau tidak berkadaran dengan matlamat adalah tindakan yang tidak berperlembagaan dan tidak sah di sisi undang-undang.

Oleh itu, kita tidak harus khuatir bercakap atau mengeluarkan fikiran. Teruskan nyanyian, teruskan ucapan, teruskan tari menari, teruskan warna-warni, teruskan cara berpakaian, teruskan bersajak, melukis dan mengekspresikan diri anda. Kita punya hak berbuat demikian.

Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/

ISU SOSIAL : Melayu kini lebih suka berdemonstrasi, lupa akan nilai muafakat ?

Oleh Imlan Adabi

MASYARAKAT Melayu tradisional sering beralas ketika berhujah dan memberi pendapat. Mereka tidak bertekak, apatah lagi menyanggah sesuatu pandangan dengan rusuhan dan menumpahkan darah.

Suasana kekitaan menjadi tonggak muafakat hingga menerbitkan peribahasa 'bersatu teguh bercerai roboh'. Jarang Melayu mengamuk kecuali kes 'Sultan Mahmud mangkat dijulang' membabitkan amukan seorang rakyat yang isterinya dibunuh Raja dengan alasan remeh.

Melayu juga pernah berdemonstrasi dalam dua kes bersejarah – penentangan dasar Malayan Union dan isu agama membabitkan peristiwa Natrah di Singapura. Dua kes ini membabitkan survival bangsa dan agama ekoran dasar penjajah yang tidak memihak kepada warga tempatan.

Kes Natrah pula memang dijangka tidak memihak kepada Melayu kerana keputusan mahkamah Barat yang mengambil pendekatan status gadis bawah umur bertukar agama dan berkahwin dengan Mansor Adabi. Apapun penentangannya, suara Melayu musnah di sebalik tabir undang-undang penjajah yang lebih kebal di Singapura.

Era selepas merdeka membabitkan kesan langsung peristiwa 13 Mei berjaya membentuk cara berfikir yang lebih radikal dalam kalangan sesetengah Melayu. Mereka bukan saja menggerakkan demonstrasi pelajar pada 1974 di Kuala Lumpur, bahkan berani secara terbuka menyanggah sesuatu pendapat yang dirasai tidak kukuh.

Demonstrasi pelajar menjadi medan meluahkan pandangan yang di luar pemikiran arus perdana. Mereka berani berhujah, walaupun ada ketika dituduh diresapi ideologi komunis.

Dalam kalangan ahli UMNO pula, mereka pernah menyaksikan tunjuk perasaan penyokong bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Harun Idris yang membantah hukuman penjara bersabit kes rasuah. Ribuan Pemuda UMNO yang ketika itu dikenali Pemuda Tahan Lasak berkumpul di beberapa daerah. Mereka menentang Perdana Menteri ketiga, Tun Hussien Onn yang dianggap mempunyai agenda terhadap Harun. Mujur, tunjuk perasaan tidak sampai menjejaskan keselamatan negara.

Keadaan sebaliknya berlaku menjelang 2 September 1998 apabila ribuan anak muda tunjuk perasaan dan secara terbuka bersuara lantang di jalanan. Mereka menggunakan ruang demokrasi untuk demonstrasi. Isu reformasi, korupsi, kronisme berbaur dengan pertuduhan di mahkamah.

Gerakan jalanan menjadi tumpuan pihak tertentu di Barat, khususnya Naib Presiden Amerika Syarikat, Al Gore yang menyifatkan ‘perjuangan rakyat berani’. Ketika ekonomi negara merudum ekoran mainan spekulator mata wang, gerakan anak muda mudah dikaitkan sebagai tali barut asing. Suara dan aksi mereka mendapat liputan meluas media antarabangsa yang berpangkalan di Australia, Hong Kong dan Singapura. Banyak drama dan intrig dihidupkan. Ada masanya, media bagai mahkamah yang mudah menghukum pihak yang tidak disenanginya.

Demokrasi dan hak asasi menjadi mantera di media maya. Banyak yang dikatakan sebagai penyelewengan dan isu kemanusiaan bertebaran di laman web, portal berita dan blog. Ruang untuk menegakkan keadilan seperti yang diperjuangkan, semakin perlekeh oleh suara yang kononnya pejuang sejati. Betapa mudah perasaan awam dipermainkan hingga menyingkirkan fakta dan keadaan sebenar.

Selepas berakhir Perang Dingin dan runtuhnya Tembok Berlin, gerakan hak asasi antarabangsa semakin akrab melihat dan menyemak isu demokrasi di dunia ketiga. Isu keadilan, kemanusiaan, tata urus pilihan raya menjadi semakan yang mengghairahkan. Rejim Suharto bukan saja tumbang kerana amalan kronisme dan ekonomi bobrok, juga isu kebebasan pilihan raya dan hak asasi di Timor Timur (Timur Leste), Aceh dan kepulauan Sumatera.

Keadaan sama berlaku di Thailand dengan pelbagai jenama baju yang ditaja. Baju merah, kuning dan entah apa lagi, sering bergelut di jalanan yang akhirnya memberi kesan kepada ekonomi rakyat dan kestabilan keselamatan negara.

Kesan langsungnya adalah kepada proses pembudayaan minda masyarakat; apakah tunjuk perasaan penyelesaian terbaik dalam menangani sesuatu isu? Alangkah mudahnya membakar perasaan orang ramai di jalanan, tetapi tidak semudah itu untuk menanganinya.

Masyarakat Melayu tradisional mengutamakan muafakat dan perbincangan sebagai jalan penyelesaian. Tradisi Islam pula menerima muzakarah dan ijtihad sebagai ruang menyemak dan menyelesaikan sesuatu isu. Apakah unsur yang sudah lama diamalkan dalam masyarakat kita sudah lama berkubur? Apakah kepentingan siasah menjadi bahang api yang bakal membara dan kita semakin tidak rasional?

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : Buruan penjenayah siber

Oleh DAVID HALL

HARI ini, mengemas kini status atau menyiarkan gambar kita di laman-laman rangkaian sosial telah hampir menjadi sesuatu yang dilakukan secara naluri bagi kebanyakan kita.

Populariti telefon pintar dan peralatan bergerak telah menjadikan ia mudah untuk berkongsi dengan pantas lokasi, fikiran dan pengalaman kita dengan rakan-rakan dan keluarga.

Menurut sebuah syarikat digital terkemuka, conScore, Malaysia memiliki penembusan rangkaian sosial kedua tertinggi di Asia Tenggara pada 91 peratus, selepas Filipina.

Satu daripada aktiviti rangkaian sosial yang semakin popular di Malaysia ialah berkongsi gambar.

Dari 2009 hingga 2010, populariti perkongsian gambar dalam talian meningkat sebanyak 57 peratus di Malaysia, peratusan kedua tertinggi di kalangan negara Asia Tenggara.

Bagaimanapun, ramai daripada kita tidak menyedari bahawa apabila mengemas kini halaman rangkaian sosial , sebenarnya kita memberi penjahat-penjahat berkenaan maklumat yang mereka perlukan untuk melancarkan serangan yang disusun khusus.

Dengan membaca maklumat umum, penjenayah siber boleh mengetahui kesukaan kita, memperdaya kepercayaan dan menjadikan kita dan rakan-rakan sebagai sasaran untuk ditipu.

Lama sudah berlalu apabila anda menerima emel dari alamat yang aneh, tatabahasa yang buruk dan pautan yang jelas kelihatan mencurigakan.

Hari ini, serangan siber yang disusun cukup teratur, telah menjadikan hampir sukar bagi kita untuk mengenal pasti berbanding zaman emel itu.

Laporan terbaru Ancaman Keselamatan Internet Symantec Volume 16 (ISTR 16) mendedahkan kecanggihan yang meningkat dalam kaedah serangan-serangan yang mengambil kesempatan di laman-laman rangkaian sosial.

Penjenayah siber menyedari terdapat data yang banyak untuk diperoleh dan menggunakan apa saja kaedah untuk mendapatkan maklumat peribadi.

Apatah lagi penemuan Laporan Jenayah Siber Norton 2010 mendapati bahawa 65 peratus pengguna-pengguna Malaysia tidak membuat penetapan kerahsiaan tinggi ke atas laman rangkaian sosial, menjadikan mereka kumpulan yang mudah ditembusi.

Di samping itu, ISTR 16 menemui bahawa penjenayah siber menggunakan rangkaian sosial untuk mengutus pautan pendek ke laman-laman web berniat jahat kerana destinasi sebenar pautan tersebut tersorok daripada pengguna.

Sepanjang tempoh tiga bulan pada 2010, dua pertiga pautan berniat jahat dalam sumber berita yang dipantau oleh Symantec menggunakan kependekan URLs dan daripadanya, 73 peratus diklik 11 kali atau lebih - membuktikan keberkesanan mereka!

Bagaimanapun, penjenayah siber tidak sahaja menggunakan rangkaian sosial untuk menyerang para pengguna.

Dengan penggunaan peralatan bergerak, penjenayah siber juga sama bergerak seperti anda.

Pada tahun lepas, Norton mencatatkan 163 kes serangan pada peralatan bergerak; peningkatan sebanyak 42 peratus berbanding 2009.

Di Malaysia, Symantec juga menyaksikan peningkatan dalam penggunaan peralatan bukan-PC, terutamanya telefon pintar.

Menjelang tahun 2014, Pyramid Research mengunjurkan kadar penembusan peralatan bergerak Malaysia akan meningkat sebanyak 133 peratus, yang mana langganan jalur lebar bergerak akan berjumlah 2.6 juta.

Tatkala lebih ramai pengguna memuat turun dan memasang aplikasi pihak ketiga bagi peralatan bergerak, kemungkinan memasang aplikasi berniat jahat juga meningkat.

Dengan kod jahat kini direka untuk menjana perolehan, kita berkemungkinan besar akan menyaksikan lebih banyak ancaman dicipta bagi peralatan seumpamanya ketika orang semakin menggunakannya bagi transaksi sensitif seperti membeli-belah dalam talian dan perbankan Internet.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Ahad, 3 Julai 2011

Titah Khas Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mengenai perhimpunan haram anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih)

KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Istana Negara mengeluarkan Titah Khas Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mengenai perhimpunan haram anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 9 Julai.

Berikut adalah teks penuh Titah Khas tersebut:

Beta sedang mengikuti dengan teliti akan perkembangan cadangan Kumpulan Bersih untuk mengadakan perarakan dan perhimpunan beramai-ramai yang bertujuan untuk menyerahkan memorandum kepada Beta selaku Yang di-Pertuan Agong, dan bagaimana pihak kerajaan menangani isu ini khususnya agensi-agensi dan jabatan-jabatan yang terlibat.

Namun Beta yakin kepimpinan negara di bawah Yang Amat Berhormat Dato' Sri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak berkemampuan untuk menangani masalah ini dengan sebaik mungkin.

Beta menyeru di dalam keghairahan sebahagian rakyat berpolitik bagi menyuburkan demokrasi dalam negara kita ini hendaklah dipastikan juga bahawa tuntutan demokrasi itu tidak akan membawa kemusnahan kepada negara.

Kita tidak boleh terlalu terikut-ikut dengan amalan-amalan negara-negara luar secara umumnya kerana keharmonian dan kestabilan negara adalah asas penting bagi sesebuah negara yang perlu semua pihak pertahankan.

Beta juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana dan yang pentingnya Beta selaku Yang di-Pertuan Agong tidak mahu melihat dalam negara bermasyarakat majmuk ini berada di dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri ataupun sebahagian rakyatnya bermusuh dengan kerajaan atas apa jua alasan pun.

Setiap permasalahan yang timbul, kita sebagai masyarakat bertamadun hendaklah menyelesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan seperti pepatah Melayu "Yang Dikejar Tak Dapat Yang Dikendong Berciciran".

Hakikatnya demonstrasi jalanan banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik.

Sebaliknya kita harus menumpukan kepada matlamat utama memajukan negara, bukannya mencipta masalah yang membuat negara berada terkebelakang. Ingatlah bumi mana yang tidak ditimpa hujan, lautan mana yang tidak bergelora.

Itulah pentingnya sifat kesederhanan dan tolak ansur yang telah begitu lama diamalkan oleh warisan pentadbiran negara.

Sumber : http : //www.bernama.com.my/

Sabtu, 2 Julai 2011

ISU PENDIDIKAN : Larian Satu Murid, Satu Sukan Cipta Rekod

Timbalan Perdana Menteri,Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) menyaksikan penyerahan sijil Malaysia Book of Records daripada wakil agensi itu, Diana Paul (tiga dari kanan) kepada Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd Ghafar Mahmud ketika pelancaran larian serentak 1Murid 1Sukan 1Malaysia, di Taiping, Perak.

TAIPING: Seramai 4.1 juta pelajar daripada 9,980 buah sekolah menengah dan sekolah rendah seluruh negara menyertai larian serentak Satu Murid Satu Sukan 1Malaysia peringkat kebangsaan pada Sabtu sekali gus mencipta rekod Malaysia Book of Records (MBR) bagi kategori larian pelajar sekolah serentak terbesar.

Larian sempena majlis pelancaran Dasar Satu Murid Satu Sukan itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Padang Dataran Perbandaran Taiping di sini pagi Sabtu.

Selain penyertaan pelajar, guru dan ibu bapa, larian berkenaan turut berlangsung serentak di 28 buah Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan 15 buah Kolej Matrikulasi seluruh negara.Pada majlis pelancaran di sini, Timbalan Perdana Menteri melepaskan 15,000 peserta daripada 30 buah sekolah menengah dan 20 buah sekolah rendah dari sekitar Taiping.

Larian tersebut bermula pada 7.45 pagi dan para peserta seluruh negara berlari sejauh 1.5 kilometer (km) manakala peserta di Taiping berlari pada jarak 1.85 km di sekitar Taman Tasik Taiping.

Penyertaan 4,137,126 peserta itu dicatat dalam Malaysia Book of Records (MBR) bagi kategori larian terbesar dan diisytiharkan sebagai rekod baru oleh Diana Paul dari MBR dalam kategori larian serentak.

Larian serentak terbesar yang direkodkan MBR sebelum ini ialah larian anjuran Kementerian Belia dan Sukan pada tahun 2000 dengan penyertaan 2.3 juta peserta.

Turut menyertai Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran dalam larian pagi tadi ialah Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Seri Dr Abdul Rahman Hashim dan Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Abdul Ghafar Mahmud.

Dalam ucapan semasa merasmikan program tersebut, Muhyiddin turut menekankan bahawa sukan merupakan satu platform dalam pembentukan kemenjadian holistik dan sahsiah murid-murid selain membentuk integrasi nasional.

"Sehubungan itu, bagi menjayakan matlamat dasar 1Murid 1Sukan, kesedaran serta komitmen yang jitu haruslah ditunjukkan oleh kepimpinan sekolah, setiap guru dan kakitangan sekolah," katanya.

Larian berkenaan bertujuan memupuk budaya sukan dalam kalangan murid sekolah serta mempertingkatkan kesedaran masyarakat terhadap pentingnya penyertaan murid dalam aktiviti sukan.

Kementerian sebelum itu mengumumkan hari larian berkenaan boleh dijadikan sebagai hari persekolahan oleh sekolah-sekolah yang mengambil bahagian, kerana selain acara larian itu, sekolah juga hendaklah mengadakan aktiviti pendidikan seperti hari persekolahan biasa.

Dasar 1Murid 1Sukan mewajibkan setiap murid, termasuk murid berkeperluan khas yang tidak mengalami masalah kesihatan, untuk mengambil bahagian dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan yang ditawarkan oleh pihak sekolah atau yang dijalankan dengan pengetahuan dan persetujuan pihak sekolah.

Ia berhasrat untuk membangunkan modal insan melalui penyertaan menyeluruh murid dalam kegiatan sukan sepanjang tahun serta memupuk budaya bersukan agar mereka menjadi ahli masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas.

Dasar 1Murid 1Sukan yang menjadi serampang dua mata bagi melengkapkan skop pembangunan sukan sekolah dalam melahirkan pelajar seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Dasar itu yang dilancarkan Mac lalu bertujuan memantapkan pembangunan sukan peringkat sekolah selaras program terdahulu iaitu Sukan Berprestasi Tinggi Sekolah (SPTS), khusus bagi membangunkan atlet sekolah cemerlang yang dilaksanakan sejak Julai 2008.

Sementara itu, pelbagai acara lain turut diadakan sempena majlis itu, antaranya senamrobik, pertandingan sepak raga, futsal, bola jaring, tenis, bola tampar serta acara wall climbing.

Sumber : http : //www.bernama.com.my/

APABILA MANUSIA TIDAK FAHAM BAHASA

Oleh Mior Kamarul Shahid
bminggu@bharian.com.my

ORANG Melayu, Cina, India dan semua kaum lain di negara ini faham bahasa Melayu. Bahasa Melayu bukan saja digunakan sebagai bahasa pertuturan setiap hari, malah ia adalah bahasa rasmi negara dan difahami sebahagian besar rakyat.

Sebagai warga negara, tidak ada seorang pun yang sepatutnya tidak tahu atau jahil terhadap bahasa Melayu. Jika pekerja asing boleh belajar bahasa Melayu dalam masa singkat dan menggunakannya dengan baik, tidak ada sesiapa yang boleh memberi sebarang alasan untuk tidak menggunakan bahasa Melayu, walau dari mana sekali pun asal usul keturunan mereka.
Mereka yang tidak tahu menggunakan bahasa Melayu adalah rakyat yang tidak patriotik kepada negaranya. Malah, mereka juga sanggup merosakkan negaranya dengan cara apa sekali pun.
Bahasa Inggeris, Mandarin Hokkien, Tamil dan bahasa etnik lain terus digunakan mengikut fungsi-fungsi tertentu. Selain bahasa Inggeris yang turut digunakan untuk tujuan pertuturan, perniagaan dan hubungan antarabangsa, penggunaan bahasa lain terbatas oleh penutur daripada kelompok kaum itu saja.

Di Malaysia, bahasa komunikasi paling meluas dan berkesan ialah bahasa Melayu. Jarang orang membeli ikan atau sayur di pasar menggunakan bahasa lain jika pembeli dan penjualnya berbeza kaum.

Mereka hanya bercakap bahasa ibunda jika pembeli daripada kaum yang sama. Kerajaan tidak melarang penggunaan bahasa ibunda kaum sebagai bahasa pertuturan dan komunikasi termasuk menerusi media cetak, elektronik dan segala bentuk saluran penyaluran maklumat.

Isunya ialah masih ada rakyat negara ini tidak tahu atau tidak faham bahasa, tidak kiralah menerusi bahasa apa sekali pun. Mereka tidak faham mesej yang disampaikan secara bertulis atau lisan, seolah-olah pada mereka bahasa yang ditujukan kepada mereka mempunyai simbol makna yang berbeza.

Jika mereka anak kecil sikap ini mungkin mudah difahami terutama anak-anak yang membuat kerenah untuk menarik perhatian ibu-bapa mereka. Anak kecil ini memberontak kerana ibu bapa mereka tidak mahu membelikan mereka sesuatu yang tidak baik untuk kesihatan atau perkembangan mental mereka.

Anak kecil itu terus menangis meronta selagi tidak mendapat apa yang dihajatkan. Ibu bapa mereka bukan tidak mahu melayan kerenah anak mereka tetapi mereka tahu kesan daripada mengikut saja permintaan anak mereka itu. Mudah difahami, anak-anak bersikap demikian kerana mereka tidak faham bahasa.

Sikap anak-anak ini tidak ubah seperti sikap kumpulan manusia yang beriya-iya mahu mengadakan perhimpunan haram di beberapa tempat 9 Julai ini. Bezanya mereka bukan anak-anak kecil lagi tetapi mereka juga tidak tahu bahasa. Mereka tidak peduli apa juga yang akan berlaku dan kesannya kepada orang ramai dan negara. Bezanya, mereka adalah orang dewasa yang sepatutnya mempunyai akal budi. Pemimpin mereka perasan kononnya mereka adalah manusia terbaik dan tidak ada cacat celanya. Seandainya diberi kuasa, mereka akan merosakkan negara ini.

Jika mereka menjadi pemimpin perhimpunan haram, seandainya diberi kuasa, mereka tidak boleh menghalang perhimpunan menentang mereka kelak. Akhirnya, rakyatlah yang menjadi mangsa. Ramai pihak sudah menyatakan pendirian, malah membuat laporan polis membantah perhimpunan haram itu.

Penganjur tidak faham maksud amaran pasukan keselamatan. Mereka tidak faham erti kemungkinan berlakunya pergaduhan dan rusuhan. Mereka tidak faham apa yang mereka mahu lakukan itu adalah tindakan ‘tidak perlu’. Tidak perlu bermakna tidak ada sebab perhimpunan itu perlu diadakan.

Tidak ada jaminan perhimpunan yang bermotif dan ditentang pelbagai pihak, boleh berjalan lancar. Untuk mengawal sekumpulan kecil manusia, contohnya di sebuah asrama, juga menimbul banyak masalah, inikan pula ribuan manusia yang mempunyai niat dan tujuan yang pelbagai. Motif perhimpunan ini sebenarnya tidak jelas. Segelintir pemimpin mereka sengaja mahu menimbulkan kekecohan kerana mereka yakin jika melalui proses pilihan raya biasa, mereka tidak mungkin diterima rakyat.

Dalam perhimpunan seperti ini, banyak pihak akan menangguk di air keruh. Pihak luar juga mahu mengambil kesempatan untuk memburukkan keadaan. Mereka berbuat demikian kerana tidak faham bahasa dan budaya kita.

Mereka hanya tahu erti konflik dan keuntungan yang boleh mereka peroleh jika berlaku kekacauan di negara ini. Ada antara penganjur perhimpunan haram itu memang tidak mendalami simbol bahasa. Mereka tidak faham isyarat bahawa tindakan mereka itu adalah cubaan mencabar kerajaan.

Mereka mencabar pelbagai pihak untuk meningkatkan ketegangan. Mereka mahu menunjuk berani kerana mahu menempa nama. Mereka juga mahu mengalih perhatian kepada isu sebenar. Amat sedih apabila orang Melayu sendiri tidak faham bahasa. Mereka mahu menyertai perhimpunan haram itu sedangkan mereka tidak tahu tujuan sebenarnya perhimpunan itu diadakan.

Apakah tidak terlintas langsung dalam fikiran mereka apa yang akan terjadi. Kalau tidak mahu menghadapi bahaya, jangan pergi ke tempat yang berbahaya. Jangan harap kalau hidup mereka terhimpit hari ini, pemimpin pembangkang boleh mengubah nasib mereka sekelip mata. Jika apa-apa berlaku, tanggung sendiri.

Kaji personaliti setiap penganjur perhimpunan itu. Apakah sumbangan besar mereka kepada bangsa dan negara ini. Yang jelas, mereka memperalatkan rakyat untuk menonjolkan diri. Setiap peserta perhimpunan perlu ingat pihak berkuasa keselamatan mempunyai had dan batasan yang mereka boleh bertahan. Apabila tiba waktu mereka terpaksa bertindak, macam-macam boleh berlaku. Peserta perlu ingat bahawa perhimpunan itu tidak boleh mengubah nasib mereka.

Perhimpunan tidak boleh memberi jaminan bahawa selepas perhimpunan itu, yang miskin terus menjadi kaya. Di Malaysia, kejayaan terletak kepada usaha individu. Mereka yang berusaha akan berjaya. Pendatang asing juga boleh hidup senang, inikan pula rakyat tempatan. Tetapi jika mahu senang dengan menjatuhkan kerajaan, mereka sebenarnya mencari kemusnahan.

Sumber : http : //www.bharian.com.my/

INFO :

Pelbagai pihak termasuk dari dalam dan luar negara mengkritik kerajaan Malaysia kerana menyekat hak asasi melalui Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) , OSA, dan lain-lain.

Pandangan Suhakam (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia) :

1. Larangan ceramah umum dianggap mencabuli hak asasi manusia kerana tidak ada peruntukan undang-undang yang boleh menghalang seseorang itu daripada mengadakan ceramah politik.

2. Meminta polis menjelaskan mengenai larangan terhadap ceramah umum kerana berpendapat larangan secara umum untuk berhimpun adalah mencabuli hak asasi manusia.Tiada peruntukan undang-undang bagi larangan dikenakan ke atas ceramah politik.Hak untuk berhimpun secara aman merupakan hak asasi manusia bersifat asas yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

3. Mengkaji semua perakuan dalam Laporan Kebebasan Berhimpun kerana jika ia dilaksanakan masalah berhubung dengan ceramah umum sekarang dapat dielakkan.

4. Suhakam tidak merestui keganasan dalam semua bentuk tetapi berhimpun secara aman boleh diadakan.


Seksyen 27 Akta Polis 1967 pula secara jelas memperuntukkan :

1. Mana-mana pihak yang hendak mengadakan perhimpunan atau ceramah umum hendaklah mempunyai kelulusan daripada pegawai polis daerah yang berkenaan.

2. Sebelum mengadakan perhimpunan sama ada di dalam premis atau di luar premis, kebenaran polis hendaklah diperoleh demi kepentingan ketenteraman awam dan keselamatan rakyat.

3. OCPD boleh menimbang sesuatu permohonan (permit perhimpunan dan ceramah umum) itu tetapi ini bukan bermakna kumpulan atau mana-mana pihak boleh dengan sendiri mengadakan ceramah umum dan perkumpulan yang lebih dari bilangan lima orang.

4. Kelulusan permohonan permit juga tertakluk kepada budi bicara polis dan perhimpunan biasa di dalam bangunan kebiasaannya dibenarkan.


Jumaat, 1 Julai 2011

ISU AGAMA : Muafakat tingkat kualiti kerja

Sharifah Hayaati
bhagama@bharian.com.my

Persefahaman organisasi bentuk suasana kondusif

ALHAMDULILLAH, setiap hari kita menghabiskan separuh daripada masa dengan bekerja. Selama itu kita berada dalam ‘dunia pejabat’ bersama komuniti pejabat.
Sudah tentu dalam tempoh bekerja yang panjang ini, kita menginginkan suasana selesa, tenang dan gembira. Jika mahu keselesaan, kita boleh sediakan ruang pejabat yang luas, perabot mencukupi dan peralatan canggih.
Namun, jika kita mahu keseronokan dan kepuasan bekerja, kita perlu mengutamakan muafakat. Muafakat adalah pelbagai nilai diri pekerja termasuk tolak ansur, berfikiran positif, baik prasangka dan saling menghormati.

Gabungan keselesaan dan keseronokan bekerja ini mampu mewujudkan suasana bekerja kondusif yang menjamin kualiti perkhidmatan dan pengurusan dalam organisasi.

Bayangkan jika kita melangkah masuk ke pejabat, melihat wajah ceria rakan, mesra dengan tutur kata dan ucapan salam, saling bertanya khabar, bertukar pandangan dan mudah membantu.

Sudah tentu ia menyuntik semangat bekerja sehingga waktu yang panjang bagai tidak terasa. Berbanding apabila melangkah masuk melihat wajah masam, sinis dan tutur kata menyakitkan hati.

Jika ingin membuat pilihan, yang mana antara kedua-dua senario ini yang kita inginkan?

Sudah tentu kita ingin situasi pertama iaitu suasana ceria dengan wajah manis, budi bahasa, tutur kata baik dan rakan yang mudah diajak bekerjasama.

Suasana bekerja yang didukung oleh nilai, sikap dan hubungan baik ini mampu menatijahkan kerja secara bermuafakat. Pepatah Melayu menyebut, “Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat”.

Dr Abbas Mahmud dalam Abqariyyah Umar, menyatakan khalifah Saidina Umar al-Khattab menginginkan pekerja yang baik dengan katanya: “Aku mahukan individu yang apabila berada dalam suatu kaum, seolah-olah dia ketua mereka, sedangkan dia bukanlah ketua. Apabila individu itu menjadi ketua kepada sesuatu kaum pula, dia seolah-olah rakyat biasa daripada kalangan mereka.”

Kata-kata ini merujuk kepada sifat peribadi individu yang mudah menyesuaikan diri dengan suasana dan didekati dengan sifat disebutkan tadi selain merendah diri, berlapang dada, disenangi tutur katanya serta bertanggungjawab.

Muafakat adalah imej persaudaraan dalam Islam dan imej baik bagi pengurusan organisasi. Ia membuka peluang kepada bekerja dengan bermotivasi, keseronokan dan kepuasan yang dapat mengurangkan tekanan di tempat kerja selain mengelak berlaku zalim sesama rakan sejawat.

Rasulullah SAW dengan tegas mengingatkan umatnya dengan bersabda: “Orang Islam adalah bersaudara, tidak boleh menzalimi dan menghinanya. Barang siapa menunaikan hajat saudaranya, nescaya Allah menunaikan hajatnya. Barang siapa melepaskan kecelakaan daripada seorang Muslim, nescaya Allah menyelamatkannya dari kecelakaan pada Hari Kiamat. Barang siapa menutup kelemahan seseorang Muslim, nescaya Allah menutupi kelemahannya pada Hari Kiamat.” (Hadis riwayat Muslim)

Justeru, bagi menghasilkan muafakat kerja, mulakan dengan memupuk nilai itu dalam diri kita. Nescaya, kita akan menjadi contoh dan mendapat kemuliaan daripada-Nya. Bercita-citalah menjadi individu yang mencetuskan kegembiraan dan keselesaan kepada rakan selain berusaha untuk tidak menimbulkan masalah dalam perhubungan serta persekitaran kerja.

Firman Allah bermaksud: “Sesiapa mahukan kemuliaan (maka hendaklah dia berusaha mencarinya dengan jalan mematuhi perintah Allah), kerana bagi Allah jugalah segala kemuliaan. Kepada Allah naiknya segala perkataan baik dan amal salih pula diangkat-Nya naik (sebagai amal yang makbul). Sebaliknya, orang yang merancang kejahatan (untuk mendapat kemuliaan) akan beroleh azab yang berat.” (Surah Fatir, ayat 10)

Selain itu, pekerja perlu sentiasa memohon pertolongan daripada Allah seperti munajat Rasulullah SAW dikisahkan dalam Surah al-Isra’, ayat 80 bermaksud: “Dan mohonlah (Wahai Muhammad, dengan berdoa): Wahai Tuhanku! masukkanlah daku dalam urusan agamaku dengan kemasukan benar lagi mulia, serta keluarkanlah daku daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi mulia, dan berilah kepadaku daripada sisiMu hujah keterangan serta kekuasaan yang menolongku.”

Mengekalkan suasana kondusif dan budaya kerja positif lebih sukar berbanding mewujudkannya. Abu al-Qasim al-Qushayri berkata, “Istiqamah atau berterusan dalam sesuatu kebaikan adalah ukuran sebenar kejayaan dan sia-sialah usaha tanpa istiqamah.”

Penulis ialah Pensyarah Jabatan Siasah Syar’iyyah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

Sumber : http : //www.bharian.com.my/